30 July, 2010

16 Tahun Bersama Majalah Anjung Seri


Oleh kerana minat yang melampau di dalam hiasan dalaman ini, di sini BR paparkan koleksi majalah Anjung Seri yang dimiliki sebanyak 202 buah kesemuanya bermula daripada keluaran pertama sehinggalah keluaran terkini bulan Julai 2010. Sehingga entri ini ditulis, keluaran Ogos 2010 telahpun berada di pasaran, Sekejap lagi hendak pergi beli... Di sini BR kumpulkan mengikut gandaan setiap dua tahun keluaran. Ada juga yang sempat dibaca dan ada juga yang tidak sempat dibaca... He.. he..


Keluaran 1 hingga 24 iaitu daripada keluaran Oktober 1993 hingga September 1995.


Keluaran 25 hingga 48 iaitu daripada keluaran Oktober 1995 hingga September 1997.


Keluaran 49 hingga 72 iaitu daripada keluaran Oktober 1997 hingga September 1999.


Keluaran 73 hingga 96 iaitu daripada keluaran Oktober 1999 hingga September 2001.


Keluaran 97 hingga 120 iaitu daripada keluaran Oktober 2001 hingga September 2003.


Keluaran 121 hingga 144 iaitu daripada keluaran Oktober 2003 hingga September 2005.



Keluaran 145 hingga 168 iaitu daripada keluaran Oktober 2005 hingga September 2007.



Keluaran 169 hingga 192 iaitu daripada keluaran Oktober 2007 hingga September 2009.



Keluaran 193 hingga 202 iaitu daripada keluaran Oktober 2009 hingga Julai 2010. Sebenarnya memang banyak majalah berbentuk hiasan dalaman di pasaran sekarang, tetapi majalah ini tetap menjadi pilihan kerana konsep hiasan dalamannya yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada ke'Asia'an. Terpulanglah kepada individu masing-masing untuk memilih majalah kegemaran mereka tetapi yang pentingnya terlepaslah juga bayaran cukai pendapatan kerana membeli majalah ini... He.. he..


Moral Value: 'Membaca Jambatan Ilmu'.

29 July, 2010

Happy Birthday To You...


Mungkin tidak ramai yang berpeluang untuk melihat Sijil Daftar Kelahiran (Certificate Of Registration Of Birth) yang telah dikeluarkan pada 29.07.1950 ini. Ini juga bererti pemilik sijil lahir ini telahpun berusia genap 60 tahun pada hari ini...


Kadang-kadang terfikir juga mengapakah dokumen yang sepenting ini kerap sangat bertukar wajah dan tidak diseragamkan. Sebagai contoh, anak-anak BR yang empat orang itu memiliki sijil lahir yang berbeza bagi setiap seorang. Ada yang siap di'laminated', ada yang kecil dan bertaip, ada yang tiada pekerjaan bapa, ada yang lengkap nombor mykid, ada yang bertanda tangan pemaklum, ada yang bersaiz A4, ada yang ditulis 'Borang A', ada yang bertulis 'Borang A1' dan bla.. bla.. bla.. He.. he..


Anda bagaimana?


28 July, 2010

Majalah Anjung Seri Keluaran Pertama 1993


Ramai di antara kita yang meminati hiasan dalaman termasuklah BR sendiri. Banyak majalah hiasan dalaman berbahasa Inggeris yang telah diterbitkan di sekitar tahun 1980-90an tetapi pada waktu itu majalah hiasan dalaman berbahasa Melayu boleh dikatakan tiada sehinggalah terbitnya majalah Anjung Seri keluaran pertama ini iaitu pada bulan Oktober 1993 yang diterbitkan oleh Berita Harian Sdn. Bhd. (sekarang Berita Publishing Sdn Bhd.). Ramai juga peminat majalah ini tetapi tidak ramai pula yang berjaya memiliki majalah keluaran pertama ini...


Gambar pada kulit hadapan majalah menunjukkan gambaran sebuah dapur. Untuk makluman, Majalah Anjung Seri ini merupakan sebuah majalah berbahasa Melayu yang diterbitkan di Malaysia. Ia merupakan majalah khusus untuk hiasan dalaman dan diterbitkan secara bulanan sehingga kini. Ia merupakan 'majalah hiasan dalaman nombor 1 di Malaysia' dengan menggunakan motto 'Mewarna dan Menyeri'. Majalah ini juga diedarkan di negara jiran seperti Singapura.



Harga bagi senaskhah Anjung Seri pada waktu itu ialah RM8.00 bagi Semenanjung dan RM8.50 bagi Sabah dan Sarawak. Berbanding sekarang, majalah ini berharga RM9.00 di Semenanjung Malaysia, RM11.50 di Sabah/Sarawak, dan S$7.00 di Singapura.


Pada helaian 2 tercatat sidang redaksi bagi majalah Anjung Seri keluaran sulung ini di antaranya ialah:

Penerbit: Ahmad Nazri Abdullah, Editor: Abdul Manaf Saad, Penolong Editor: Ahmad Zaini Zainuddin sementara wartawannya terdiri daripada Zamberi Othman, Veena Rusli dan Rashidah Ibrahim. Tenaga-tenaga kerja yang turut menjayakan keluaran pertama majalah Anjung Seri ini boleh anda ikuti seterusnya pada helaian ini.



Mengapakah majalah ini menggunakan tag 'majalah hiasan dalaman nombor 1 di Malaysia' bukannya 'majalah hiasan dalaman yang pertama di Malaysia'? Mungkin terdapat majalah hiasan dalaman berbahasa Melayu yang lain yang telah mendahului majalah Anjung Seri ini...


Seperti biasa hiasan dalaman akan bertumpu kepada beberapa segmen dalaman rumah seperti ruang tamu, ruang makan, dapur, bilik tidur dan sebagainya. Pada halaman 32 ini ia menceritakan mengenai penggunaan ruang dapur basah dan dapur kering.


Pada helaian 19 memberikan fokus mengenai ruang makan. Amat sesuai untuk dijadikan rujukan dan panduan untuk menghias dalaman rumah.



Helaian 10 pula memfokuskan mengenai bilik tidur. Walaupun pada waktu ini beberapa majalah hiasan dalaman berbahasa Melayu semakin banyak di pasaran seperti majalah Laman Impiana, Impiana, Ruang, Seni Hias, Dapur Impiana, Laman Impiana dan sebagainya namun majalah ini tetap mempunyai peminat-peminat setianya yang tersendiri.


27 July, 2010

'Pahlawan Kanak-Kanak 1976'


Seorang murid Darjah Empat Sekolah Kebangsaan Petaling, Musa bin Zainuddin, 10 tahun dari Petaling Jaya, Selangor telah diisytiharkan oleh Majlis Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia sebagai 'Pahlawan Kanak-Kanak 1976'.


DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu iaitu Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra telah berkenan menganugerahkan 'Pingat Hang Tuah' kepada pahlawan kecil itu di satu perhimpunan sempena menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia yang berlangsung di Staduim Negara, Kuala Lumpur. Tema perayaan tahun itu ialah 'Mendekati mereka yang sukar dihampiri'.


Musa ialah anak seorang buruh, menerima Pingat Hang Tuah beserta hadiah wang tunai $350.00 berserta sijil penghargaan oleh pihak Lembaga Letrik Negara (LLN) dan menerima anugerah dari syarikat Guiness Stout.


Musa berjaya menerima Pingat Hang Tuah kerana keberaniannya menyelamatkan ibunya serta tiga orang rakan-rakannya daripada korban kejutan elektrik pada 1 September 1975 kira-kira pukul 2.00 petang.


Kronologi Kejadian:

Kejadian itu berlaku apabila tiga orang kanak-kanak adik beradik iaitu Saharah bt. Abdul Aziz 8 tahun, Azizan 6 tahun dan Azahar 5 tahun telah bermain-main di rumah kosong dengan wayar yang mepunyai arus elektrik. Mereka telah terkena kejutan elektrik daripada wayar tersebut dan kejadian itu telah disaksikan oleh adik kecil Musa yang melaporkan kepadanya.


Musa pun berkejar ke tempat itu dan melihat tiga orang adik beradik tadi sedang terbaring dan tidak menyahut penggilannya. Musa segera memanggil ibunya di rumah yang berhampiran tempat kejadian. Ibunya, Puan Rahmah bt. Harun terus memegang wayar tersebut bila melihat kanak-kanak itu sedang bergelimpangan. Dia juga turut mengalami kejutan elektrik dan Musa segera mengambil sebatang kayu dan memukul wayar itu hingga terputus.


Akhirnya keempat-empat mangsa kejutan elektrik itu dapat diselamatkan setelah dirawat di Hospital Universiti, Petaling Jaya.


Mengikut sejarah, Anugerah Pingat Hang Tuah telah diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian istimewa mereka dan penganugerahan Pingat Hang Tuah telah dijadikan acara tetap sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia bermula 21 Okt 1960.


Bagi tempoh 1960 hingga 1977, seramai 30 orang kanak-kanak telah dianugerahkan Pingat Hang Tuah sebelum ia ditamatkan kerana ia hanya menumpukan kepada kebolehan fizikal. Ia ditukar kepada Tokoh Kanak-Kanak Kebangsaan pada 1982 yang mengambilkira keistimewaan seseorang kanak-kanak secara menyeluruh meliputi kecemerlangan akademik, kegiatan ko-kurikulum, kepimpinan, motivasi diri dan sahsiah.


Boleh dikatakan semua kanak-kanak pada waktu itu termasuklah BR pernah berangan-angan untuk mendapatkan anugerah ini. He.. he..


Dimanakah Musa bin Zainuddin sekarang?


26 July, 2010

Nostalgia Kad Permainan...


Baru-baru ini BR ke kedai buku Popular yang terletak di Aeon Seberang Perai City Shopping Centre dan didalam kesibukan melayan anak-anak memilih buku, tiba-tiba terpandang pula beberapa kotak kad permainan yang terpamer di atas rak di bahagian kanak-kanak. Kad permainan yang dimaksudkan itu ialah 'Happy Family', 'Snap', 'Donkey' dan 'Old Maid'. Untuk pengetahuan, kad permainan ini pernah dimainkan sewaktu BR kanak-kanak dahulu di tahun 1970-an. Mungkin juga ada pembaca yang pernah bermain dengan kad-kad ini sebelumnya.


Saiznya adalah sebesar daun terup biasa tetapi ianya merupakan kad-kad gambar yang mempunyai cara-cara permainan yang tertentu. Kad-kad permainan yang baru dibeli ini telah diberikan wajah baru tetapi gambar-gambar yang terdapat pada kad dan cara bermainnya adalah sama. Harganya adalah 80 sen bagi setiap kotak.


Contoh kad-kad yang terdapat pada permainan 'Happy Family'. Pemain mesti mengumpulkan kad-kad daripada keluarga yang sama.


Cara-cara untuk bermain 'Happy Family' ini ada tertera di belakang kotak.


Contoh kad-kad yang terdapat pada permainan 'Snap'. Permainan ini bising sedikit kerana pemain terpaksa menyebut 'snap' sewaktu bermain.


Cara-cara untuk bermain 'Snap' ini ada tertera di belakang kotak.


Contoh kad-kad yang terdapat pada permainan 'Donkey'. Di akhir permainan, pemain yang kalah akan digelar 'donkey'... Satu amalan kurang sihat yang cuba diserapkan kepada kanak-kanak, tetapi pada waktu itu manalah mengerti semuanya itu.


Cara-cara untuk bermain 'Donkey' ini ada tertera di belakang kotak.


Contoh kad-kad yang terdapat pada permainan 'Old Maid'. Seperti juga permainan 'Donkey', pemain yang kalah akan digelar 'old maid'...


Cara-cara untuk bermain 'Old Maid' ini ada tertera di belakang kotak.


Selepas dibeli, BR pun turut bermain bersama-sama dengan anak-anak tetapi telah diubah-suai kaedah permainannya iaitu tanpa gelaran-gelaran tertentu bagi pemain yang kalah. Memang terasa menjadi seperti kanak-kanak semula...


Selain daripada bermain kad-kad yang telah disebutkan, terdapat juga beberapa jenis kad permainan yang turut dimainkan pada waktu itu seperti kad spesifikasi kereta, kereta kebal, kapal dan kapal terbang. Permainan ini ialah pertandingan kad siapa yang lebih 'power'. Memang seronok pada waktu itu bermain dan bergelak ketawa tanpa melibatkan unsur-unsur perjudian...

25 July, 2010

Brother Kita Yang Blues...


Gambar ini telah diambil daripada gambar muka hadapan Majalah Sinar Zaman Jilid VI, Bil. 76, keluaran bulan Mac 1979 ketika Y.A.B. Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Allahyarham Tun Hussein Onn telah melakukan lawatan selama lapan hari ke India dan Pakistan pada bulan Januari 1979. Gambar menunjukkan Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 itu sedang berbual mesra dengan sebahagian daripada para pelajar Malaysia yang sedang menuntut di beberapa buah kolej dan universiti di Lahore, Pakistan.


Di dalam pertemuan itu beliau telah menerangkan beberapa masalah yang melibatkan para pelajar di luar negeri seperti pengiktirafan ijazah dan diploma mereka dan bagaimana kerajaan cuba mengatasinya. Perdana Menteri juga telah menasihatkan para pelajar kita supaya belajar bersungguh-sungguh dan jika mereka mempunyai apa-apa masalah supaya berhubung dengan Pejabat Kedutaan yang berhampiran.


Apa yang menarik perhatian BR di sini ialah kelihatan lelaki di dalam bulatan yang sedang menyendeng sambil merokok dengan wajah yang selamba sahaja di dalam jarak tidak kurang daripada 1 meter daripada Y.A.B. Perdana Menteri (duduk bersongkok). Sekali lihat macam kelakar pun ada dan dua kali lihat, macam kurang sopan pun ada...


Apa pendapat anda?


Moral Value: Tidak kira di manapun anda berada, merokok tetap membahayakan kesihatan...


24 July, 2010

Rukun Tetangga vs Rukun Rumahtangga...


Mungkin ramai di antara kita terutamanya generasi muda kini yang tidak mengetahui apakah itu Rukun Tetangga. Rukun Tetangga telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1975 asalnya untuk menjamin keselamatan penduduk setempat. Satu akta yang dikenali sebagai Peraturan Rukun Tetangga 1975 (P.U. (A) 279/75) [3] telah diluluskan untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada pertubuhan tersebut.


Ia juga merupakan satu program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Malaysia. Konsep program ini hampir sama seperti Neighbourhood Watch seperti yang diamalkan di United Kingdom. Objektifnya ialah untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.


Peranan utama Rukun Tetangga ialah menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan yang bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan. Anggota kumpulan rondaan biasanya dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan tersebut lebih kurang seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telah diperkenalkan di kebanyakan kampung-kampung dan taman-taman perumahan seperti sekarang ini.


Untuk makluman, sehari bercuti pada keesokan harinya adalah layak diberikan kepada anggota Rukun Tetangga yang telah bertugas pada sebelah malamnya. Di sini BR paparkan satu contoh surat kebenaran bercuti Rukun Tetangga bertarikh 29 Julai 1978. Dapat dilihat di situ iaitu waktu bertugas ialah bermula pada pukul 12.00 a.m. hingga 4.00 a.m. Sayugia diingatkan bahawa ahli-ahli yang bertugas biasanya adalah terdiri daripada kaum lelaki sahaja.


Satu pos kawalan atau lebih dikenali sebagai Pondok Rukun Tetangga akan dibina dan dijadikan sebagai bilik gerakan di sesuatu kawasan kejiranan itu. Berbagai lapisan penduduk tidak kira bangsa dan agama bersama-sama meronda dan menjaga keselamatan kampung masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sebagai pengenalan, satu lilitan kain di lengan akan dipakai oleh anggota Rukun Tetangga yang bertulis 'RT'. Lampu suluh dan sebatang belantan juga turut dibekalkan selain daripada bekalan 'roti mayat' dan secerek kopi 'O' untuk anggota-anggota Rukun Tetangga yang bertugas pada malam itu... He.. he..


Pada 1984, fokus pertubuhan ini bertukar kepada merapatkan hubungan di antara pelbagai kaum di Malaysia. Kemudian pada 2001, fokus program ini sekali lagi bertukar kepada fokus sekarang, iaitu pembangunan masyarakat setempat. Kepada abang-abang dan pakcik-pakcik yang pernah menyertai Rukun Tetangga ini bolehlah memberikan info pengalaman yang boleh kita kongsikan bersama.


23 July, 2010

Telegram - "Pulang Segera Ayah Sakit Tenat"


Itulah lebih kurang bentuk ayat yang dibaca ketika seseorang itu menerima telegram suatu ketika dahulu. Sesungguhnya telegram ini adalah cukup sinonim dengan perkhabaran berita sedih yang memerlukan tindakan segera oleh pihak yang menerimanya sesuai dengan sifatnya sebagai salah satu alat perhubungan yang terpantas pada waktu itu. Lebih pantas daripada Pos Laju... He.. he..


Biasanya pesanan daripada telegram ini akan mengambil masa selama satu hari untuk sampai kepada penerimanya dan disampaikan pula oleh posmen seperti surat. Adalah sesuatu yang paling ditakuti dan di'fobia'i oleh penerimanya apabila posmen menghulurkan telegram memandangkan kebangkalian berita kesedihan adalah amat tinggi berbanding dengan berita gumbira. Satu persepsi yang telah sekian lama terpahat di pemikiran penerima telegram.


Untuk itu, di sini BR paparkan sekeping telegram yang telahpun berusia 40 tahun untuk tatapan generasi kini yang tidak pernah melihatnya dan sebagai satu nostalgia kepada pakcik-makcik dan opah-tok wan yang pernah menggunakan perkhidmatan ini suatu ketika dahulu tidak kiralah sebagai pengirim ataupun penerimanya.


Telegram ini dikirimkan oleh seseorang daripada Melbourne kepada keluarganya di Petaling Jaya pada tahun 1970 dan diuruskan oleh Jabatan Talikom Malaysia dan Pejabat Taligerap Petaling Jaya. Mesej yang disampaikan tidak perlu panjang tetapi padat memandangkan bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan telegram ini adalah berdasarkan bilangan patah perkataan yang digunakan.


Kalau hendak tulis panjang-panjang dan dengan bahasa yang berbunga-bunga adalah dinasihatkan supaya menggunakan surat sahaja. "Sebelum mata pena ini terus menari-nari di atas lembaran kertas yang usang ini, izinkanlah daku bla..bla..bla.." contoh bahasa berbunga yang pernah BR baca pada surat dulu-dulu he..he..


Contohnya di sini ialah "ARRIVED SAFELY LETTER FOLLOWS LOVE HUI". Lebih kurang membawa maksud yang pengirimnya yang bernama Hui ini telahpun selamat sampai ke destinasi dan surat-menyurat akan menyusul kemudian. (Bukan berita sedih...).


Di era 1970-an, perkhidmatan telegram ini sememangnya cukup popular sebagai salah satu alat perhubungan terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan-kawasan yang sukar untuk dihubungi.


Dengan kemudahan telefon bimbit, internet, e-mail, sidang video, SMS, MMS, Push-to-Talk, Radio Amatur, blog, shoutmix, cbox (he.. he..) dan pelbagai lagi kaedah perhubungan yang semakin canggih sekarang ini, perkhidmatan telegram ini semakin dipinggirkan meskipun pada waktu ini perkhidmatan ini masih lagi dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad.


22 July, 2010

Jam Dinding Antik


Boleh dikatakan rata-rata rumah suatu ketika dahulu pernah memiliki jam dinding seperti ini. Tempat utama ia diletakkan ialah disangkut pada tiang seri rumah dan kedudukannya pula perlu disengetkan sedikit untuk memastikan momentum bandulnya berayun dengan betul. Sekarang ini penggunaan jam sebegini telah semakin berkurangan lantaran kehadiran jam-jam dinding kuarza yang menggunakan kuasa bateri ataupun kuasa elektrik.


Walaupun pintunya telah tertanggal, ia masih boleh berfungsi dengan baik. Usianya kini telah hampir mencecah satu abad. Untuk makluman, selain daripada sebagai penunjuk waktu, jam dinding ini juga boleh dijadikan tempat untuk menyembunyikan sesuatu barang yang kecil di dalamnya seperti yang selalu arwah datuk BR lakukan. He.. he..


Semasa kanak-kanak dahulu, bunyi jam ini dirasakan sungguh menyeramkan terutamanya ketika ianya berbunyi di waktu tengah malam yang sunyi. Apabila terdengar sahaja detik yang berbunyi serta dentingan jam yang menandakan pukul berapa mulalah terbayangkan hantu seperti yang selalu ditunjukkan di dalam filem-filem seram.


Jenama Gold Cup Brand (macam nama sejenis serbuk agar-agar) dan tidak pasti pula buatan daripada mana. Selalunya jam lama sebegini adalah buatan daripada Swiss, Jerman ataupun Jepun. Tertulis juga di muka jam 'Super Deluxe 31 Days'. Kepada pakar-pakar jam lama bolehlah berkongsikan info.


Pengunci jam yang akan digunakan untuk mengunci jam ini setiap hari. Jam ini perlu dikunci setiap hari bagi memastikan perjalanannya yang lancar dan berfungsi dengan baik.


Bandul atau dipanggil juga 'buah jam' yang masih berkilat dan tidak berkarat. Ayunannya sungguh mengasyikkan diiringi dengan bunyi detiknya.


Bunyi dentingan sekali setiap 30 minit dan bunyi dentingan berikutnya adalah mengikut jumlah jam misalnya dua kali menandakan pukul dua dan seterusnya.


21 July, 2010

Sijil Lulus Pelajaran Sekolah Rendah 1972


Sebagai seorang pelajar yang telah menamatkan zaman persekolahannya, selain daripada sijil akademik, sijil berhenti sekolah juga adalah amat penting sebagai resume untuk memohon sesuatu pekerjaan. Melalui sijil berhenti sekolah, seseorang itu boleh dinilai mengenai pencapaian akademik, kelakuan dan pencapaiannya yang tertentu di dalam sesuatu bidang ko-akademik dan kokurikulum.


Kali ini BR akan tunjukkan contoh sekeping sijil tamat persekolahan sekolah rendah yang dikeluarkan oleh pihak sekolah di tahun 1970-an. Kepada abang-abang dan kakak-kakak yang pernah bersekolah pada zaman tersebut tentu sekali telah memiliki sijil seperti ini kerana pengeluarannya adalah seragam bagi semua sekolah-sekolah rendah di seluruh Malaysia pada waktu itu.


Contoh sijil yang dipaparkan di sini ialah daripada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Huah, Kampar, Perak yang telah dikeluarkan kepada salah seorang muridnya bertarikh 6 November 1972. (Maklumat peribadi terpaksa dipadam untuk tidak menyinggung mana-mana pihak). Keseluruhan pernyatan pada sijil ini masih lagi menggunakan ejaan-ejaan lama Bahasa Melayu. Kaedah pengisian maklumat pada sijil ini juga turut berbeza mengikut sesebuah sekolah kerana ada maklumat sijil yang ditaip dan ada juga yang hanya bertulisan tangan.


Dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu sebagai bukti bahawa seseorang itu telah menamatkan persekolahannya di sekolah rendah selama enam tahun iaitu dari darjah 1 hingga darjah 6. Sijil ini juga boleh digunakan pada waktu untuk memohon pekerjaan untuk menjadi seorang tentera selain daripada sihat tubuh badan. Ramai rakan-rakan BR yang telah menjadi tentera dengan menggunakan sijil ini.


Di bahagian belakang sijil, tercetak panduan gred-gred tertentu yang digunakan untuk menilai tahap pencapaian seseorang murid itu sepanjang pengajiannya di sekolah rendah. Bermula daripada Pangkat I bagi yang terbaik manakala Pangkat V bagi yang amat lemah.


Berlalu dengan perubahan zaman dan tahap pembelajaran masa kini, Sijil Lulus Pelajaran Sekolah Rendah ini seolah-olah sudah tidak sesuai lagi untuk dijadikan resume untuk memohon sesuatu pekerjaan. Seboleh-bolehnya pencapaian akademik di tahap yang tertinggi adalah menjadi keutamaan pada masa kini untuk seseorang itu boleh memasuki sektor pekerjaan makan gaji. Kepada adik-adik yang masih belajar, utamakanlah pelajaran untuk kesenangan di masa hadapan...


19 July, 2010

Koleksi Banknotes Cikgu Nizam



Baru-baru ini secara kebetulan BR sempat bertemu dengan seorang rakan iaitu Cikgu Nizam yang cukup berpengetahuan serta terkenal dengan hobinya yang berbagai iaitu bermula daripada memancing, memikat burung, memburu, melukis sehinggalah kepada mengumpul syiling dan wang kertas. Kebetulan pada waktu itu beliau sedang bersama koleksi wang kertasnya lalu BR pun mengambil kesempatan itu untuk memaparkan sebahagian daripada koleksinya itu untuk tatapan kita semua.


Cikgu Nizam disamping sebahagian daripada koleksi banknotes nya. Menurut beliau, hobi ini telah lama diceburinya dan beliau juga mengharapkan untuk mengenali lebih ramai lagi peminat-peminat numismatic ini untuk menambahkan lagi kenalan dan bertukar-tukar fikiran mengenai hobi ini.


Sebahagian daripada koleksi yang dilambakkan di atas meja. Kita ikuti koleksi banknotes ini satu persatu.


Ten Dollars Board Of Commissioners Of Currency Malaya And British Borneo.


Five Dollars Board Of Commissioners Of Currency Malaya.


Fifty Cents Board Of Commissioners Of Currency Malaya.


Twenty Cents Board Of Commissioners Of Currency Malaya.


One Cents Board Of Commissioners Of Currency Malaya.


Ten Dollars Board Of Commissioners Of Currency Malaya And British Borneo atau lebih dikenali sebagai 'Duit Kerbau'.


One Dollars Board Of Commissioners Of Currency Malaya And British Borneo atau lebih dikenali sebagai 'Duit Kapal Layar'.


Twenty Five Cents (atas) dan Ten Dollars (bawah) Board Of Commissioners Of Currency Malaya.


Five Dollars (atas), One Dollar (tengah) dan Ten Cents Board Of Commissioners Of Currency Malaya.


One Dollar dan Ten Dollars Board Of Commissioners Of Currency Malaya And British Borneo.


One cent, Five Cents, Ten Cents dan Fifty Cents The Japanese Goverment. Senang cakap orang panggil 'Duit Jepun'.


One Hundred dan One Thousand Dollars The Japanese Goverment.


Matawang Singapore.


Lagi matawang Singapore.


Matawang Malaysia dengan nilai RM 1 'uncut'.


Matawang Malaysia dengan nilai RM 2.


Matawang Malaysia dengan nilai Satu Ringgit, Lima Ringgit dan Sa-Puloh Ringgit.


Matawang Malaysia dengan nilai RM 20, RM 50 dan RM 100.


Matawang Indonesia pun ada dengan nilai Seratus Rupiah.


Matawang Malaysia dengan nilai RM 100.


Demikianlah sebahagian daripada koleksi wang Cikgu Nizam yang dapat ditunjukkan. Sebenarnya masih banyak lagi koleksi-koleksi beliau yang tidak dipaparkan disini memandangkan pertemuan kami cuma sekejap sahaja. Mungkin di lain waktu jika berkesempatan akan BR paparkan lagi.


Menurut beliau, sebenarnya banyak kriteria-kriteria yang diguna pakai oleh pengumpul-pengumpul wang kertas ini di dalam menilai keunikan sesuatu wang kertas dan mengapa ianya menjadi buruan collector. Dengan rasa rendah diri beliau mengakui bahawa masih ramai lagi di kalangan peminat-peminat numismatic yang berada luar sana yang memiliki koleksi wang yang lebih hebat.
Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'