30 June, 2011

Waktu Standard Bagi Seluruh Malaysia


Mulai 1 Januari 1982, seluruh Malaysia menggunakan waktu yang sama.


Pada masa yang lepas Malaysia mengikuti dua waktu rasmi yang berbeza sebanyak setengah jam (30 minit). Semenanjung menentukan waktu rasminya 7 1/2 jam ke hadapan Greenwich Mean Time (GMT) sementara Sabah dan Sarawak pula menentukan waktu rasminya 8 jam ke hadapan GMT. Kedudukan seperti ini bukan sahaja tidak kemas tetapi juga mengekalkan terus perbezaan-perbezaan yang wujud di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.


Langkah menyeragamkan waktu rasmi bagi seluruh negara akan dapat mengikis perbezaan-perbezaan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sambil mengeratkan perhubungan dan memperkukuhkan lagi ikatan kesatuan di antara kedua wilayah yang terpisah oleh laut China Selatan.


Waktu rasmi Sabah dan Sarawak iaitu 8 jam ke hadapan GMT telah dipilih sebagai waktu rasmi bagi seluruh negara kerana waktu ini didapati yang paling sesuai dari segi penjimatan ke atas waktu siang atau daylight saving serta gangguan yang minima ke atas keselesaan dan kebiasaan kehidupan rakyat Malaysia pada keseluruhannya.


Sungguhpun mengikut waktu ini Semenanjung perlu mempercepatkan waktunya sebanyak 1/2 jam (30 minit), namun perubahan ini akan dirasai pada permulaannya sahaja. Adalah dijangkakan penyesuaian dan pembiasaan kepada waktu ini tidak akan mengambil masa yang lama atau menimbulkan masalah besar.


Waktu rasmi Semenanjung sekarang ini telah juga ditimbangkan tetapi didapati tidak sesuai. Ini kerana walaupun Semenanjung tidak perlu mengubah waktu, namun bagi Sabah dan Sarawak pula akan mengalami kerugian waktu siang di sebelah petang. Tambahan lagi dengan memilih waktu ini seluruh Malaysia akan terkeluar daripada sistem zon waktu antarabangsa yang berdasarkan prinsip perbezaan waktu seluruh jam di antara satu zon waktu dengan zon waktu berikutnya.


24 June, 2011

Juruterbang Wanita Melayu Pertama


"Di mana ada kemahuan di situ ada jalan", begitulah kata pepatah Melayu yang menjadi pegangan hidup Cik Noor Azizah bt. Hamzah, sehingga telah menempatkan beliau sebagai wanita Melayu yang pertama menjadi juruterbang di negara kita.

Cik Noor Azizah berpendapat, wanita boleh menceburi apa sahaja bidang yang diceburi oleh kaum lelaki dengan syarat mereka haruslah mempunyai kekuatan hati dan semangat keazaman di samping tidak hanya "hangat-hangat tahi ayam". Sebagai bukti, tambahnya, wanita yang mempunyai semangat keazaman yang lebih telah membuktikan kemampuan mereka dalam segala bidang tersebut.


Pendapat Cik Noor Azizah itu memang tidak boleh dinafikan kerana beliau sendiri telah dapat membuktikannya dengan menempatkan dirinya sebagai wanita Melayu yang pertama menjadi seorang pilot di negara kita.

Cik Noor Azizah, 24 tahun dan berasal daripada Kelantan, kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur bersama ibunya setelah ayahnya meninggal dunia semenjak beliau berusia 9 tahun lagi. Beliau mempunyai empat orang adik beradik, dua lelaki dan dua perempuan yang semuanya telah mendirikan rumahtangga, kecuali dirinya sendiri.


Imej contoh kapal terbang jenis BN 2 yang dipandu oleh Cik Noor Azizah.


Ditanya tentang masa depannya, beliau memberitahu soal rumahtangga belum lagi terlintas di hatinya tetapi cita-citanya ialah untuk menjadi seorang kapten yang boleh memandu kapal terbang yang lebih besar dari yang boleh dipandunya sekarang iaitu kapal terbang jenis BN 2 yang hanya terbang ke Sabah dan Sarawak.

Imej contoh kapal terbang MAS 737 yang menjadi idaman Cik Noor Azizah.


Walau bagaimanapun, Cik Noor Azizah tetap bersyukur kerana telah berjaya memperolehi CPL (Commercial Pilot Licence) setelah menuntut di Syarikat penerbangan Filipina selama 9 bulan. "Apa yang saya cita-citakan sekarang ialah untuk menjadi Kapten dan dapat memandu kapal terbang yang lebih besar seperti MAS 737", tegasnya.


Memperkatakan tentang kariernya sekarang, beliau menerangkan bahawa menjadi juruterbang bukanlah cita-citanya sejak kecil tetapi ia mula memutik di hatinya setelah beliau menjadi ahli Kelab Penerbangan Selangor pada tahun 1974.

Cik Noor Azizah sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penyambut tetamu di Hotel Hilton. Beliau memberitahu semenjak menjadi ahli kelab tersebut barulah beliau menanam satu azam baru untuk menjadi seorang juruterbang walaupun sebilangan daripada rakan-rakan lelakinya menganggap itu hanyalah satu angan-angan yang mustahil tercapai.

Tetapi kerana kepercayaan dan keyakinan terhadap pepatah Melayu itu, Cik Noor Azizah telah cekalkan hatinya supaya beliau dapat membuktikan kepada mereka bahawa beliau boleh mendapat apa yang dihajatkannya biarpun mereka menganggapnya itu perkara mustahil.

Kini beliau telah berjaya membuktikan keazamannya itu dan menganggap tentangan tersebut sebagai satu cabaran kaum lelaki terhadap kaum wanita.

Sebenarnya menurut Cik Noor Azizah lagi, menjadi juruterbang bukanlah satu-satunya lapangan pekerjaan yang paling sukar, tetapi dari apa yang dialaminya sendiri selama ini, berada di angkasa lebih menenangkan perasaannya daripada berada di jalanraya. Kerana itulah beliau merasa lebih takut memandu sebuah kereta daripada memandu sebuah kapal terbang.

Kerana itu beliau mengharapkan agar lebih ramai lagi kaum wanita menceburi lapangan juruterbang di samping berpegang kepada prinsip "apa yang kaum lelaki boleh buat, kita juga boleh membuatnya".


Dalam meniti usia 57 tahun, dimanakah Cik Noor Azizah berada sekarang?


Sumber: Sinar Zaman, Jilid VI, Bil. 72, 1978.


21 June, 2011

Rohana Jalil Berjaya Menjadi Juara Bintang RTM 1980


Rohana Jalil daripada Kota Tinggi, Johor, berjaya menggondol Juara Bintang RTM 1980 Bahagian Solo dalam pertandingan peringkat akhir di Auditorium Besar, Angkasapuri, pada malam 13 Januari 1981 lalu yang telah disiarkan secara langsung iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu. Rohana, 26 tahun, menewaskan tujuh peserta solo yang lain, menerima piala pusingan dengan hadiah wang tunai $2,000.


Lapan peserta solo dan empat kumpulan telah mengambil bahagian dalam pertandingan akhir ini. Rohana Jalil pernah dua kali menyertai Bintang RTM dan merupakan anak pertama dari enam orang adik beradik.


Gambar terbaru Rohana Jalil (kiri) bersama anaknya Kilafairy. Ada perubahan wajahnya di situ..
(Imej daripada carian Google)


Beliau memberitahu para pemberita selepas menerima Piala Pusingannya bahawa beliau bercita-cita untuk menjadi penyanyi yang terkenal bertaraf antarabangsa.


Juara Bahagian Solo (Rohana Jalil) dan Juara Bahagian Kumpulan (Kumpulan Bee & Gee) dengan piala masing-masing.


Sementara Kumpulan Gee & Bee terdiri dari Roziah Mohd Ibrahim dan Saleha Ali berjaya merebut Juara Bahagian Kumpulan (Padu Suara). Mereka pula menerima hadiah wang tunai $2,500 dengan piala pusingan daripada Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.

Salah seorang anggota Kumpulan Bee & Gee, Saleha Ali ialah seorang pelajar tahun akhir Jurusan Perhubungan Media Massa di Institut Teknologi MARA (ITM) sekarang Universiti teknologi MARA (UiTM).

Kini beliau sedang menjalani latihan praktikal di Kumpulan Akhbar New Straits Times, Saleha ingin menjadi seorang wartawan. Beliau juga memberitahu bahawa penyertaannya kali ini merupakan kali pertama atas galakan kawan-kawannya.


Dengan perasaan sedih dan penuh gembira, Rohana menjulang piala kemenangannya kepada para penonton selepas menerima hadiahnya daripada Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.


Sharon Premela Isaac, Naib Johan Bahagian Solo.


Naib Johan Bahagian Solo dimenangi oleh Sharon Premela Isaac, 20 tahun daripada Ipoh, dengan mendapat hadiah wang tunai sebanyak $1,500 sementara tempat ketiga jatuh kepada Waynie Pui Lee Keng daripada Kota Bharu, Kelantan mendapat hadiah wang tunai $1,000.

Bagi Naib Johan Bahagian Solo, Sharon, inilah kali ketiga beliau menyertai pertandingan menyanyi dan bercita-cita menjadi seorang penyanyi terkenal. Di samping menyanyi, beliau juga mempunyai hobi melukis dan memasak.

Naib Johan Bahagian Kumpulan dimenangi oleh Kumpulan Mixed Sound daripada Sabah yang terdiri dari lima orang anggota iaitu Rothman Buntar, Sahar Nordin Al-haj, Peter Dicky Lee, Mangarina Kiob dan Sahari Ahmad. Mereka menerima hadiah wang tunai $2,000.


Kumpulan New Vocals, Tempat ketiga Bahagian Kumpulan.


Tempat ketiga Bahagian Kumpulan jatuh kepada Kumpulan New Vocals daripada Subang Jaya, Selangor yang dianggotai oleh dua orang lelaki dan dua orang perempuan iaitu Dzulkeflee Zakaria, Mohamad Johar Jaafar, Puteri Nordiana Megat Baharuddin dan Rafiah Khalid. Mereka menerima hadiah wang tunai $1,500.


Sebahagian daripada para penonton yang menyaksikan Pertandingan Akhir Bintang RTM 1980 di Auditoruim Besar, Angkasapuri, Kuala Lumpur termasuk Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.

Hanya seorang peserta lelaki sahaja yang terpilih masuk ke Pertandingan Akhir Bintang RTM 1980 ini iaitu Khoo Chong Teng daripada Melaka.

Sebarang maklumat tambahan mengenai Juara Bintang RTM 1980 ini amatlah dialu-alukan.


Sumber: Sinar Zaman, Jilid IX, Bil. 99, 1981.


*Simbol '$' menunjukkan nilai wang pada ketika itu.


18 June, 2011

River Liffey, Batchelor's Walk and O'Connell Bridge, Dublin, Ireland


Ireland's River Liffey is the main river in Dublin, the capital of Ireland. It begins at Sally Gap near Kippure in County Wicklow, just south of Dublin. It travels about 78 miles through the center of Dublin and out into Dublin Bay, eventually reaching the Irish Sea. Down through the centuries the name of the River Liffey has taken many forms, which suggest Irish, English, French and Latin influences.

In public records, deeds and maps, the absence of a single recognized spelling may have reflected the sounds that individual scribes heard. Abhann Liffe, Gaelic for River of Life, could have become in an Anglicized version Avon Liffey. The formal name is now Liffey.


Bachelors Walk is a street and quay on the north bank of the Liffey, Dublin, Ireland, between Swifts' Row to the west and both the southern end of O'Connell Street and O'Connell Bridge in the east.

O'Connell Bridge is the probably the most famous one because of it's link to Irish Patriot Daniel O'Connell. This Bridge is in the city center and spans the Liffey between O'Connell Street to the north and O'Connell Street to the south.


It is the second bridge to stand at this location. Following the development of new streets, a new and wider bridge was needed because of the increased traffic. In 1880 it had the distinction of being nearly as wide as was is long and the bridge was renamed in honor of Daniel O'Connell.


16 June, 2011

Jamal Abdillah Juara Bintang RTM 1979


Pertandingan Akhir Bintang RTM pada malam 8 Januari 1980 telah disiarkan secara terus menerus dalam warna ke seluruh negara. Jamal Abdillah, bekas penyanyi Kugiran T. Road Band, telah berjaya menyandang gelaran Johan Bintang RTM '79 dalam bahagian solo mengalahkan enam penyanyi lain.


Johan Bintang RTM '79, Jamal Abdillah menerima hadiahnya daripada Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.

Jamal yang baru berumur 20 tahun pada waktu itu berazam untuk menjadikan lapangan nyanyian sebagai satu profesion dan berharap untuk menjadi penghibur popular pada suatu hari kelak. Setakat ini Jamal telah menerima beberapa tawaran daripada syarikat piring hitam tetapi belum lagi membuat sebarang keputusan. Walau bagaimanapun, beliau membayangkan ingin mendapat bimbingan daripada komposer Ahmad Nawab untuk mencapai cita-citanya.


Jamal Abdillah (Johan bahagian solo).

Mengenai wang kemenangannya sebanyak $2,000, beliau mengatakan ia akan membuat sedikit kenduri kesyukuran dan bakinya akan digunakan untuk pakaian bagi melengkapkan diri menyanyi di pentas dan sebagainya.


Lanny Lim Mui Lan (Naib Johan bahagian Solo).

Sementara itu pemenang tempat kedua, Lanny Lim Mui Lan, seorang pendidik yang menjadi Naib Johan (kalah hanya dengan satu mata sahaja) menyatakan yang dia akan terus mencuba lagi bakatnya di bidang seni suara sehingga dia betul-betul berjaya. Walaupun bidang seni suara menjadi minatnya, namun tugasnya sebagai seorang guru masih lagi menjadi keutamaan baginya dan "nyanyian jatuh tempat kedua", kata Lenny.


Flora Santos (Tempat ketiga bahagian Solo).

Flora Santos, 17 tahun, penyanyi daripada Sabah agak berpuas hati mendapat tempat ketiga. Flora mula mengasah bakatnya semasa berada dengan Kumpulan D'TUAREAN dan ekoran daripada itu, Flora terus bergiat sehingga berjaya mewakili negeri Sabah pada tahun tersebut. Beliau akan terus mencuba lagi sehingga berjaya menjadi johan.

Bagi bahagian solo, Johan menerima $2,000, Naib Johan $1,500 dan tempat ketiga $1,000. Tiga hadiah sagu hati sebanyak $400 telah diterima oleh Mohd Najib Abd Hanif (Najib Hanif), Pinny Mohd Radzi dan M. Dzulkarnean.


Kumpulan OFYZA (Johan bahagian Padu Suara).

Kumpulan OFYZA dengan ahli-ahlinya seramai 5 orang iaitu Omar Bakar (ketua), Faridah Bee Kader Mydin, Yahya Ismail, Zulkifli Muhammad dan Azizah Atan kesemuanya daripada Pulau Pinang melahirkan perasaan gembira mereka kerana tidak menyangka langsung akan muncul sebagai juara bagi bahagian padu suara.

Kumpulan ini berazam menggiatkan lagi usaha mereka di bidang seni suara dengan menyertai pertunjukan pentas dan kutipan amal yang mungkin diadakan jika mereka diundang. Wang yang mereka menangi sebanyak $2,500 akan mereka belanjakan untuk keluarga dan rakan-rakan di Pulau Pinang.


Kumpulan K.S '5' (Naib Johan bahagian Padu Suara).

Kumpulan K.S '5' dari Sarawak juga tidak menyangka yang mereka boleh mencapai kejayaan sebegitu rupa. Ketua kumpulan, Mohd Zain Rasit, memberitahu bahawa mereka ingin meninggikan lagi mutu persembahan mereka dan terus berkecimpung dalam alam muzik tanah air di masa akan datang. Kumpulan ini yang mendapat tempat kedua menerima wang tunai sebanyak $2,000.


Kumpulan Sea Legs Department (Tempat Ketiga bahagian Padu Suara).

Tempat ketiga jatuh kepada Kumpulan Sea Legs Department daripada Sabah. Nama yang sungguh ganjil ini adalah ilham daripada sejenis pil perjalanan (Sea Legs) dan persetujuan untuk menggunakan nama ini diambil oleh tiga orang anggota kumpulan ini iaitu Leonard Lejaim Ijim, Ledy Wong dan Philip Kating yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Walaupaun agak kecewa kerana hanya mendapat tempat ketiga, mereka berazam akan mencuba lagi pada tahun berikutnya. Kumpulan ini menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,000.

Kumpulan MARS daripada Pahang mendapat hadiah sagu hati sebanyak $500. Mengikut salah seorang daripada kumpulan itu, jika mereka masih lagi bertugas di tempat yang sama iaitu di Kuantan, mereka akan mencuba nasib mereka sekali lagi pada tahun berikutnya.

Lima anggota jemaah hakim terdiri daripada Ahmad Nawab, Frankie Cheah, Puan Beh, Rahman Rahmat dan Ooi Eow Jin berpendapat mutu bagi pertandingan tahun ini adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Showmanship yang baik dan harmony yang begitu teratur menunjukkan bahawa para peserta pada tahun itu membuat persiapan dan latihan yang gigih untuk pertandingan akhir ini.


Sumber: Sinar Zaman, Jilid VIII, Bil. 87, 1980.

*Simbol '$' menunjukkan nilai mata wang pada ketika itu.


14 June, 2011

Wanita Payung Terjun Melayu Pertama


Di suatu hari yang hening pada tahun 1978 iaitu kira-kira 33 tahun yang lalu...

Berada di awang-awang setinggi beribu-ribu kaki tentulah mendebarkan seluruh perasaan, apa lagi itu adalah pengalaman pertama. Tetapi bagi Cik Hashimah Hassan, pengalaman tersebutlah yang paling menyeronokkannya sepanjang hayat.

Hashimah, 19 tahun, ialah wanita awam Melayu yang pertama berjaya membuat penerjunan payung terjun di negara ini. Beliau telah terjun setinggi 1,500 kaki dari udara dengan menaiki kapal terbang Cessena 172 kepunyaan Kelab Penerbangan Diraja Selangor di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.


Hashimah lengkap dengan pakaian penerjun sedang bersiap sedia untuk melakukan penerjunan sulung. Untuk pengetahuan, topi yang dikenakan oleh pemuda yang memakai t-shirt putih itu juga dikenali sebagai topi "baretta" mengambil sempena nama watak utama sebuah filem penyiasatan "Baretta" yang cukup popular di sekitar tahun 1970-an dahulu.

Beliau sendiri merasa hairan dengan pengalaman tersebut dan hanya dapat mengucapkan "fantastik, fantastik" sebaik sahaja kakinya mencecah bumi lapangan terbang tersebut.

"Pengalaman ini paling menyeronokkan sepanjang hidup saya", katanya kepada rakan-rakan yang sedang berlari-lari ke arahnya untuk memberikan pertolongan dan tahniah...

Cik Hashimah memberitahu bahawa azamnya ialah untuk terus menjalani latihan penerjunan sehingga beliau dapat menjadi seorang ahli penerjun wanita yang terkenal di negara ini.


Beliau sekarang sedang berkhidmat di salah sebuah firma di Kuala Lumpur sebagai seorang penyambut tetamu dan merupakan wanita tunggal dari seramai 10 orang yang menyertai pasukan payung terjun yang julung kali diadakan oleh Persatuan Sukan payung Terjun Malaysia.

Menurutnya, penyertaan beliau dalam persatuan tersebut adalah atas kemahuan dan minatnya sendiri. Beliau ingin mencari pengalaman dalam sukan yang sungguh asing bagi negara kita. "Mudah-mudahan langkah saya ini dapat dicontohi oleh gadis-gadis lain untuk mengembangkan lagi bidang sukan negara kita", ujarnya.

Beliau juga mendapat galakan dari keluarganya sendiri dan tidak ketinggalan rakan-rakan seahli dengannya. Bapanya ialah seorang Pegawai Pertanian di Alor Setar, Kedah dan tidak pernah menghalang beliau untuk menyertai pasukan penerjunan tersebut.

Hashimah ialah anak ke tujuh dari sembilan orang adik beradik yang terdiri dari tiga lelaki dan enam perempuan.


Mengikut perkiraan, usia Cik Hashimah sekarang ini telahpun hampir mencecah 52 tahun, tetapi di manakah beliau sekarang?


13 June, 2011

Kumpulan Pertama Doktor Universiti Kebangsaan Malaysia


Kumpulan pertama 37 graduan yang menerima Ijazah Doktor Perubatan di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada hari Sabtu, 7 Julai 1979 telah menempa sejarah dalam sistem pelajaran kebangsaan kita. Mereka bukan sahaja merupakan doktor sulung yang dikeluarkan oleh UKM malah mereka menjadi bukti sejarah tentang kemampuan Bahasa Malaysia digunakan dalam jurusan perubatan di sebuah universiti di tanah air kita.

37 doktor baru itu adalah bekas pelajar aliran Bahasa Kebangsaan. Mereka telah membuktikan kepada masyarakat dan negara bahawa dengan Bahasa Malaysia mereka juga mampu memburu ijazah dalam jurusan yang banyak sekali menggunakan istilah teknik iaitu perubatan. Selama ini Bahasa Malaysia dianggap sebagai sesuatu yang rendah!

Hasil pencapaian mereka juga setanding dengan apa yang dicapai oleh institusi perubatan lain sama ada di dalam negeri mahupun di luar negeri. Pengakuan ini diberikan oleh lima orang pakar perubatan dari luar negeri yang menjadi pemeriksa luar yang menjalankan pengawasan dan penelitian dalam peperiksaan akhir pelajar-pelajar Perubatan UKM tersebut.

Mereka ialah Prof J.A. Strong (Professor perubatan dari Sekolah Perubatan Universiti Edinburgh), Prof O.P. Gray (Professor kesihatan kanak-kanak dari Sekolah Perubatan Universiti Wales), Prof M.H. Irving (Professor bedah dari Sekolah Perubatan Universiti Manchester), Prof M.G. Elder (Professor perbidanan dan sakit puan di Sekolah Siswazah Lanjutan Diraja, London) dan Prof J.E. Rohde.

Mereka semuanya sependapat bahawa mutu calon-calon doktor UKM adalah setanding dengan mereka yang menuntut di sekolah-sekolah perubatan lain yang mereka juga menjadi pemeriksanya. Mereka terutama sekali mengulas tentang mutu yang tinggi dalam peperiksaan klinikal yang ditunjukkan oleh calon-calon doktor itu.

Dan satu lagi perkara yang membanggakan ialah di antara doktor-doktor baru itu terdapat juga beberapa orang bukan Bumiputera yang tidak mengalami apa-apa kesulitan mengikuti kuliah dalam Bahasa Malaysia.

Universiti Kebangsaan Malaysia, malah seluruh rakyat dan negara seharusnya merasa bangga dengan kejayaan siswazah perubatan sulung dari UKM itu yang akan berkhidmat untuk negara Malaysia.

Dr. Abu Salim Idris yang bercita-cita menjadi doktor sejak dari kecil lagi memperolehi kejayaan cemerlang dalam pembedahan perubatan dan pediatrik, perbidanan dan sakit puan serta kesihatan masyarakat. Beliau juga telah berjaya menggondol pingat emas sebagai pelajar terbaik dengan memenangi pingat emas Fakulti Perubatan.

Dr. Abu Salim juga berkata, kejayaannya itu adalah juga bermakna kejayaan bagi Dasar Pelajaran Kebangsaan negara kita. "Kejayaan 37 orang doktor baru itu dengan sendirinya menyangkal anggapan orang-orang yang meragukan tentang kemampuan Bahasa Malaysia di bidang pengajian tinggi dan profesional", katanya lagi.


Anak seorang petani di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Dr. Mohamed Sabirin Abdul Rahman, yang juga mendapat kejayaan cemerlang menyatakan ini adalah bukti yang jelas kepada setiap rakyat Malaysia untuk menerima sepenuhnya hakikat tentang kebolehan Bahasa Malaysia dalam semua bidang pelajaran.

Dr. Kamsiah Ja'arin yang juga memperolehi keputusan cemerlang berkata, Kejayaan ini adalah hasil dari galakan suaminya Dr. Masbah Omar, seorang pensyarah di UKM dan berkat dorongan kedua orang tuanya di Rawang, Selangor. Dr. Kamsiah juga telah mendapat pingat emas Wanita UMNO bagi kejayaannya itu.

Bagi Dr. Leow Eng Lee, kejayaan cemerlangnya dalam peperiksaan tahun akhir kursus profesional perubatan di UKM adalah sesuatu yang istimewa dan bersejarah. Betapa tidak, seorang pemuda berketurunan Cina telah memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan perubatan dengan menggunakan Bahasa Malaysia.

Dr. Leow yang berasal dari Seremban berkata, beliau tidak mengalami apa-apa masalah sepanjang masa beliau mengikuti pengajian dalam bidang perubatan tersebut. Tidak ada bezanya bagi seseorang yang mengikuti kursus ini baik dalam Bahasa Malaysia ataupun Inggeris. Yang penting ialah ketekunan keyakinan dan usaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam mata pelajaran yang diikuti.

Dr. M. Veeramuthu, seorang lagi penuntut bukan Bumiputera yang lulus dari Fakulti perubatan UKM turut menyetujui bahawa bahasa penghantar tidak penting dalam menentukan kejayaan para pelajar. Apa yang penting ialah usaha serta keyakinan untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan.

Dr. M. Veeramuthu berasal dari Pulau Pinang telah memasuki sekolah Melayu sejak dari Darjah Satu lagi iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Abdullah Munshi sebelum mengikuti kursus profesional perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973.

Kesemua doktor muda (sekarang ini mungkin telah berusia dalam lingkungan lewat 50-an) lulusan pertama dari UKM ini telah menerima ijazah kedoktoran masing-masing daripada Canselor UKM, DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 7 Julai 1979 iaitu kira-kira 32 tahun yang lalu..

11 June, 2011

Bintang RTM 1978


M. Rizal yang telah diumumkan sebagai johan Bintang RTM '78 dalam bahagian solo memang telah menjadi ramalan ramai. Kemenangannya banyak bergantung kepada personaliti dan gaya showmanshipnya yang tersendiri. Ini jelas semasa beliau bergaya dengan lagu kedua-duanya, satu lagu medley "Isebella" dan "Abang Beca". bakat seninya mungkin diwarisi daripada ibunya yang juga seorang pelakon bangsawan pada tahun-tahun silam.


Johan Bintang RTM 1978 bahagian solo, M. Rizal dengan piala kemenangannya. Di sebelah beliau ialah YB Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat.


Semenjak kemenangannya banyak tawaran telah diterima oleh Rizal. Berlakon di dalam filem, membuat rakaman di radio dan TV, tawaran menyanyi di kelab malam dan juga membuat piring hitam tempatan.

Dengan kemenangan sebanyak $2,000 (pada waktu itu) M. Rizal akan membelanjakan sebahagian daripadanya untuk kenduri kesyukuran dan selebihnya akan disimpan untuk kegunaan masa depan terutamanya di bidang seni suara yang sangat-sangat diminatinya.


Muhaini Suratman yang menjadi hot favourite pada mulanya telah mendapat tempat kedua. Dengan cara yang simple dan penuh kesederhanaan beliau dapat mendendangkan lagunya terutama lagu "Burung Pungguk" dengan berkesan sekali. Muhaini yang bertugas sebagai seorang kerani dan telah mempunyai seorang cahaya mata menganggapkan kemenangannya satu rahmat dan ini akan memberi perangsang kepadanya untuk meninggikan lagi seni suaranya di masa hadapan.

Muhaini yang telah begitu lama berkecimpung di bidang nyanyian baharu kali ini telah mendapat kejayaan yang begitu cemerlang walaupun katanya, "Saya pernah juga menang beberapa pertandingan tetapi cuma di peringkat sekolah dan daerah sahaja". Muhaini berazam kuat untuk mendapat kejayaan yang lebih cemerlang dari sekarang ini.


Penuntut Tingkatan Tiga dari Sekolah Convent Ava Maria Ipoh, Chang Kim Fong berjaya menduduki tempat ketiga. Kejayaannya agak mendukacitakan kerana di saat-saat kegemilangannya ayah kesayangan Kim Fong tidak dapat bersama. Kata Kim Fong ayahnya telah meninggal dunia kira-kira dua tahun yang lalu dan sekarang beliau tinggal bersama ibunya sahaja. Wang kemenangannya sudah tentu akan disimpan untuk perbelanjaan sekolah dan apabila tamat nanti beliau akan meneruskan kegiatannya di bidang nyanyian dengan lebih cergas lagi.

Sebaik sahaja Kim Fong diumumkan berjaya mendapat tempat ketiga, sebuah syarikat piring hitam yang mengedarkan lagu-lagu Cina yang terkemuka telah menawarkan kontrak nyanyian kepadanya. Tetapi sehingga sekarang beliau masih belum memberikan jawapan yang pasti. Kata Kim Fong, "Saya lebih utamakan pelajaran saya dan kemudian barulah menyanyi".


Dalam bahagian kumpulan, The Crescendos gabungan empat suara dari Sarawak telah menjadi johan. Kumpulan yang dianggotai oleh Junainah Suleiman, Kamil Salim, Husni Eddy dan Julai Alan telah menyampaikan dua buah lagu ciptaan sendiri iaitu "Siapa Dia" dan "Ibu Sayang'. Kemungkinan ini menyebabkan kemenangan mereka. Boleh dikatakan kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian semuanya setanding dan jika diukur dari poise dan personaliti, tidak syak lagi Nada Budaya yang mendapat tempat ketiga mengatasi kumpulan-kumpulan lain.


Kumpulan Par-J Square terdiri daripada lima orang penyanyi dari Tawau, Sabah telah biasa bertanding di Rancangan Bintang RTM secara perseorangan tetapi inilah kali pertama mereka bertanding secar kumpulan dan ini tidak mengecewakan. Walaupun baru sembilan bulan ditubuhkan, tetapi kejayaan mereka menduduki tempat kedua ini amatlah membanggakan.


Nada Budaya terdiri daripada Suhaimi Mohd Zain, Ali Khan, Mahmud, Fadizala dan Norhayati adalah artis-artis daripada Kompleks Budaya yang telah mendapat tempat ketiga. Kumpulan ini sungguh menarik dengan cara stage personality mereka dan ini tidak hairan kerana mereka ini terdiri daripada penari-penari terkemuka negara. Ramai berpendapat jika mereka menguasai suara dan harmoni yang betul, sudah tentu kedudukan mereka akan lebih baik. Kemenangan tempat ketiga pada tahun ini akan mendorong dan menambah azam Kumpulan Nada Budaya mencuba nasib lagi pada tahun hadapan.


Bagi pertandingan akhir ini, 6 peserta akan dipilih daripada Semenanjung Malaysia. Empat mewakili bahagian Solo dan dua di bahagian Padu Suara. Manakala untuk Sabah dan Sarawak, tiap-tiap bahagian (Solo dan Padu Suara) akan diwakili oleh seorang peserta. Ini bermakna kesemuanya 10 peserta telah mengadu nasib di peringkat akhir ini.


RTM telah menyediakan hadiah yang menarik seperti wang tunai dan piala pusingan kepada semua peserta yang mengambil bahagian:

Bahagian Solo:

Tempat Pertama: $2,000 serta piala pusingan.
Tempat Kedua: $1,500.
Tempat Ketiga: $1,000.
Hadiah Sagu Hati: $400 setiap seorang (x3).

Bahagian Padu Suara:

Tempat Pertama: $2,500 serta piala pusingan.
Tempat Kedua: $2,000.
Tempat Ketiga: $1,500.
Hadiah Sagu Hati: $500 setiap seorang (x1).


05 June, 2011

The City Hall and Nathan Philips Square, Toronto Ontario, Canada


The City Hall symbolizes the modern thinking of Toronto. It stands on Nathan Philips' Square a 12 acre area containing green lawns and a reflecting pool that becomes a skating rink in winter. The First Tower on the right is 27 stories and the West Tower on the left is 20 floors high. The clam shaped stucture between the towers is the beautiful domed Council Chamber measuring 155 ft. in diameter and 40 ft. from the floor to the highest point in the dome.


The Square is named for Nathan Phillips, who was Mayor of Toronto from 1955 to 1962. Completed in 1966, Toronto's fourth City Hall was one of the city's first modernist buildings. The mayor, Nathan Phillips, held an international competition, won by Finnish architect Viljo Revell. Revell designed the council chamber as a low, round building, embraced by two concave office towers. The architect died before the building was completed and there is a commemorative column dedicated to him.


City Hall faces south on to the concrete expanse of Nathan Phillips Square. In the centre of the square there is The Peace Gardens and various sculptures are dotted around the city. The square is a lively gathering place, and hosts many public and civil events. At the square South end is a reflecting pool, a popular gathering place for people to relax in the summer, and ice skate in the winter.


For more information: Nathan Philips Square/Wikipedia


03 June, 2011

Mara Ekspress Blues...


Khas untuk bekas anak-anak rantau di perantauan di penghujung tahun 1970-an dan di awal 1980-an yang pernah menggunakan perkhidmatannya pastinya tidak pernah lupa kepada bas MARA ekspress seperti yang tertera di dalam gambar ini. Pada waktu itu bas-bas ekspress tidaklah banyak seperti sekarang apatah lagi yang dua tingkat, memang tidak pernah dibayangkan lagi pada waktu itu.

Sungguh berlainan dengan sekarang di mana Konsortium Transnasional Berhad dengan rangkaian Nice, Plusliner, Cityliner dan Transnasionalnya, Konsortium Bas Ekspress Semenanjung, Firstcoach dan sebagainya yang telah membanjiri jalan raya dan lebuhraya-lebuhraya kita di mana menyaksikan kadar kemalangan yang melibatkan bas-bas ekspress juga turut meningkat. Kalau dahulu hendak mendengarkan sebuah bas masuk parit pun susah...


(Keratan berita mengenai MARA Ekspress yang telah diambil daripada sebuah majalah keluaran tahun 1978).


Untuk pengetahuan, bas MARA ekspress ini merupakan pengangkutan jarak jauh yang utama pada waktu itu sama ada untuk ke selatan (Singapura), utara (Alor Setar) mahupun timur (Kota Bharu) dari Kuala Lumpur. Bas ini berwarna putih dan bercermin gelap serta berlangsir, ia boleh membawa penumpang sekitar 35 orang dan sudah tentunya mempunyai penghawa dingin yang dikira sudah cukup canggih pada waktu itu.

Sesungguhnya pengaruh bas MARA ekspress sungguhlah kuat sehinggakan seorang kawan BR semasa di Kedah dahulu telah bertukar kepada dialek KL hanya kerana selepas berselisih dengan bas ini.

Di saat bas-bas berhawa dingin mula diperkenalkan, boleh dikatakan hampir kesemua bas yang mempunyai pendingin hawa akan meletakkan pelekat "Berhawa Dingin" pada bas masing-masing untuk pengetahuan dan tarikan bakal penumpang. Sememangnya hawa dingin itu pun sudah cukup untuk menjadikannya sesuatu yang sungguh istimewa pada waktu itu.

Dengan modal berbayar yang mencecah hampir RM5 juta nilainya pada waktu itu telah menjadikan MARA ekspress ini merupakan perkhidmatan pengangkutan utama yang menjadi pilihan pengguna pada waktu itu.

Adalah difahamkan bas jenama Mercedes ini adalah yang tercanggih pada waktu itu kerana memiliki sistem suspensi yang sungguh selesa. Sesuatu yang istimewa di dalam bas MARA ekspress ini ialah ia mempunyai tandas di dalam bas seperti dalam kapal terbang kerana ia mungkin telah dicipta untuk perjalanan jarak jauh.

Untuk pengetahuan, bas-bas yang mempunyai tandas ini pernah popular suatu ketika dahulu di era 1980-an di mana belum lagi tercipta lebuhraya-lebuhraya yang telah memendekkan sesuatu perjalanan. Pernah di suatu ketika bas ini juga turut mempunyai pramugari.

Penumpang juga turut disediakan dengan selimut dan tisu lembab sepanjang perjalanan untuk keselesaan. Kisah tisu lembab ini juga telah turut mengingatkan BR kepada seorang makcik yang mengunyahnya dengan selamba kerana sangkanya ia adalah makanan ringan yang disediakan oleh pihak bas... Penggunaan selimut terutama pada perjalanan di waktu malam sungguh menyelesakan tetapi malangnya ramai penumpang yang telah menyalahgunakan selimut itu dengan menjadikannya sebagai pengelap kasut... He.. he..


(Imej Ihsan Google)


Bila disebut sahaja "Bas MARA" ini maka teringatlah juga BR di zaman kanak-kanak dahulu di mana bas MARA merupakan pengangkutan awam yang utama semasa di kampung. Basnya kontot sahaja, berwarna merah dan berjenama "Seddon". Apa yang istimewanya ialah pemandunya yang juga merangkap 'kolet' (tukang kutip tambang) dan boleh singgah dirumahnya untuk makan tengah hari.

Pemandunya juga sungguh segak dengan pakaian batik berwarna biru. Apa yang sungguh menarik minat BR pada waktu ialah terdapat tangga di belakang bas untuk naik ke bumbungnya, memang teringin sungguh untuk memanjatnya sampai ke atas... He.. he..

Kepada mereka yang pernah menggunakan perkhidmatan bas MARA ini semuanya kini hanyalah tinggal kenangan kerana putaran waktu telah melihatkan kehadiran bas-bas yang lebih canggih dan perkhidmatan yang lebih selesa pada hari ini. Perkhidmatan bas MARA ini juga telah diberi penjenamaan semula dengan dikenali sebagai Mara Liner.


Kita lihat serba sedikit mengenai sejarah penubuhan Syarikat MARA Express Sdn. Bhd. ini:


Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai lagi bumiputra berkecimpung dalam bidang perniagaan dan perindustrian. Galakan dan bantuan sentiasa diberikan bagi membolehkan mereka mengambil bahagian yang cergas dalam kedua-dua lapangan itu.

Di samping menggalakkan penubuhan syarikat-syarikat perniagaan persendirian, kerajaan melalui berbagai badan dan agensi, telah menubuhkan beberapa buah syarikat yang apabila sudah berjalan dengan baik, kukuh dan menguntungkan akan diserahkan, atau sebahagian sahamnya akan dijual kepada orang ramai, terutama bumiputra.

Sesuai dengan semangat ini, Syarikat MARA Express Sdn. Bhd. akan menjual 40 peratus dari sahamnya kepada orang ramai mulai dari 31 Ogos akan datang.

Mara Ekspress adalah sebuah anak syarikat MARA yang ditubuhkan dalam tahun 1969 khas untuk mengadakan perkhidmatan bas jarak jauh.

Modal yang dibayar syarikat tersebut sekarang ialah $3.9 juta dan ini akan dinaikkan menjadi $5 juta.

Berikutan dengan itu, $2 juta dari modal yang dibayar yang dinaikkan itu nanti, akan dijual kepada orang ramai.

Satu prospektus mengenai penjualan saham-saham untuk orang ramai seperti yang dikehendaki oleh Akta Syarikat, akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Keutamaan akan diberikan kepada syarikat-syarikat kenderaan bumiputra, syarikat-syarikat kerjasama serta pekerja-pekerja kenderaan.

Syarikat itu sekarang mempunyai 70 buah bas, ada yang berhawa dingin ada yang tidak.

Setakat ini, syarikat itu mengadakan perkhidmatan terus Kuala Lumpur Alor Setar, Kuala Lumpur Singapura, Kuala Lumpur Kota Baharu dan lain-lain.

Perkhidmatan bas ke tempat-tempat itu diadakan siang dan malam. Selalunya tambang untuk bas untuk tanpa hawa dingin kurang sedikit dari yang berhawa dingin.


Mesra, Selesa, Bergaya

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'