16 December, 2010

Lesung Kaki Yang Tidak Berkaki


Pulang ke kampung sepanjang cuti sekolah ini memang seronok terutamanya ketika BR mengambil kesempatan itu untuk menggeledah harta pusaka tinggalan nenek di kampung. Rupa-rupanya masih banyak lagi khazanah yang ditinggalkan untuk sama-sama kita lihat sambil mengimbau kenangan bersama alat-alat tersebut...


Inilah lesung yang pernah digunakan suatu ketika dahulu tetapi sudah dilupakan khidmatnya bersama perkembangan teknologi moden. Sebenarnya lesung ini adalah 'lesung kaki' yang berada di bawah rumah nenek tetapi telah dipisahkan daripada 'kakinya' kerana kakinya itu telah reput dimamah usia.


Dinamakan lesung kaki adalah kerana alu yang menumbuk bahan di dalam lesung ini adalah alu yang dipijak menggunakan kaki. Dibuat seperti jongkang-jongkit lengkap dengan tempat pemegang tangan sewaktu menumbuk lesung.


Untuk makluman, lesung kaki ini telah berusia hampir seratus tahun berdasarkan ianya telahpun wujud di bawah rumah nenek semenjak BR masih lagi kanak-kanak. Masih teringat ketika itu BR memang suka bermain dengan lesung ini dengan memijak alunya yang boleh juga dijadikan jongkang-jongkit.


Pada kebiasaannya ia digunakan untuk menumbuk padi, tepung atau melembutkan mengkuang untuk dibuat tikar. Pada waktu itu jiran-jiran pun turut datang untuk sama-sama menggunakan lesung ini. Keadaan akan menjadi bertambah meriah ketika di bulan puasa sewaktu jiran-jiran secara gotong-royong akan bersama-sama menumbuk tepung untuk membuat kuih raya terutamanya dodol.


Jika tidak digunakan, lesung ini akan ditutup dengan papan bagi mengelakkan bendasing daripada memasukinya manakala alunya akan dibiarkan menindih papan tersebut.


Tidak pastilah pula kayu apakah yang digunakan untuk membuat lesung ini tetapi pastinya ia dari jenis kayu yang kukuh dan keras sehingga boleh bertahan sekian lama. Untuk alu pemijaknya, BR masih ingat ia diperbuat daripada batang pokok jambu.


Kepada generasi kini yang hanya mengenali pengisar elektrik tentunya tidak pernah mengenali lesung ini apatah lagi jika ianya lengkap dengan kakinya. Untuk memberikan gambaran dengan lebih lengkap lagi bagaimanakah rupa sebenar lesung kaki ini memang BR tak pandai, tetapi dengan gambar-gambar lesung ini yang diambil dari pelbagai sudut, sedikit sebanyak dapatlah membantu walaupun kakinya atau alu nya telah tiada.

Kepada pembaca yang mungkin pernah mengalami pengalaman menggunakan lesung kaki ini, dapatlah kiranya kita berkongsikan pengalaman-pengalaman tersebut...


15 December, 2010

Kad Jagoan Milo


Setelah melihat paparan Kad Jagoan Milo di blog Bro pada bulan lalu, maka teringatlah bahawasanya BR juga memiliki kad tersebut tetapi tidaklah banyak, cuma dua keping ini sahaja... He.. he..


Adalah difahamkan ini merupakan kad permainan yang amat sesuai untuk kanak-kanak dengan pengiraan jumlah mata untuk menentukan pemenangnya. Secara logiknya ia sepatutnya mengandungi 36 keping kad yang berbeza bagi satu set sama seperti lain-lain kad permainan. Tetapi bagi Kad Jagoan Milo ini, tidak pastilah pula berapa kepingkah semuanya untuk melengkapkan satu set.


Kad nombor 1, Gaya Tendangan Terbang untuk mara ke hadapan... Nilai serangan 105 dan nilai bertahan ialah 40.


Kad nombor 8, Acara Larian Marathon Milo yang menguji kekuatan stamina peserta... Nilai serangan 87 dan nilai bertahan ialah 52.


Pandangan di belakang kad tertera logo Milo sebagai satu langkah promosi.


14 December, 2010

Bocong vs Tumbler Milo


Tumbler Milo atau 'bocong' (meminjam kata-kata bro Rasli) ini, memang menarik kerana bentuknya yang unik dan memiliki ciri-ciri sebuah tumbler yang mesra pengguna. Tumbler ini masih baharu (kira-kira beberapa tahun yang lalu) dan pernah digunakan oleh anak-anak BR ke sekolah.


Pandangan dari bahagian hadapan yang menunjukkan logo Milo emboss pada sebelah atas badan tumbler.


Pandangan yang membelakangi kamera menunjukkan cetakan logo Milo di bahagian bawahnya. Pada badannya juga terdapat bahagian yang menggerutu supaya tidak licin dipegang terutamanya sewaktu tangan berpeluh selepas bersukan.


Close-up apabila penutup atasnya dibuka menunjukkan tempat untuk menyedut air yang akan berfungsi apabila ianya ditarik ke atas. Ring pada penutup atasnya juga boleh digunakan sebagai pemegang tumbler dan boleh dimasukkan tali untuk menyandang tumbler ini.


Penutupnya juga mempunyai lock atau kunci untuk memastikan penutup ini tidak akan terbuka secara tidak sengaja.


13 December, 2010

Gelas Plastik Milo Berkaki Tiga


Malaysia menggunakan 90% daripada penggunaan Milo di seluruh dunia. Ianya amat popular sehingga hampir setiap rumah mempunyai satu tin Milo dan hampir mustahil untuk mencari restoran yang tidak menghidangkan minuman Milo.


Pengarah Urusan Nestle Malaysia, Sullivan O'Carrol berkata Milo telah berada di negara ini hampir 60 tahun dan rakyat Malaysia merupakan pengguna Milo terbesar di dunia.


Kita ikuti keunikan gelas plastik Milo berkaki tiga ini yang BR simpan entah sejak bila dan dari mana ianya diperolehi. He.. he..


Pandangan hadapan menunjukkan logo Milo.


Adalah difahamkan mungkin gelas Milo ini dikeluarkan dengan tema permainan sukan yang berbagai, tetapi setakat yang BR miliki hanyalah dua sahaja iaitu Basketball dan Tennis sahaja.


Amat sesuai sebagai bekas mengisi Ais Kacang (ABC) kerana sifatnya yang tinggi dan berkaki.


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'