27 September, 2011

Batu Hampar - Tempat Memancung Orang Berzina?


Benarkah batu hampar di Kuala Selangor digunakan sebagai tempat memenggal leher penderhaka atau tempat memancung orang berzina? Untuk mengetahuinya, bacalah secebis cerita sejarah Negeri Selangor di bawah ini.

Di halaman istana dalam kota pertahanan kedua di Bukit Selangor terdapat tiga mata anak tangga turun dari dataran tanah tapak istana. Halaman 30 x 30 kaki itu dihiasi oleh seketul batu pejal 5 x 5 x 2 kaki terletak di atas satu lapik yang kukuh kedudukannya.

Batu pejal dan padu di tengah-tengah halaman itu mengandungi beberapa cerita yang berbeza-beza.


Beberapa orang yang ditemui menyatakan bahawa di atas batu itulah beberapa orang penderhaka dan melakukan zina ditiarapkan untuk dipenggal lehernya. Sementara darah-darahnya pula ditakung dalam sebuah bekas untuk disemahkan sekeliling istana.

Salah seorang yang menjadi korban di situ ialah seorang gadis istana dihukum pancung kerana bermukah dengan seorang jejaka luar istana. Darah gadis ini juga disiramkan keliling istana tersebut.

Tetapi kenyataan ini ditentang hebat oleh Encik Norbit bin Lakik keturunan Bugis jati lahir di Jeram, 8 batu ke selatan Kuala Selangor.

Encik Norbit menerangkan, "Tempat memancung atau membunuh penderhaka ialah di suatu tempat lain, iaitu di sebuah bukit kini dikenali dengan nama Bukit Hospital."

Di bukit ini terdapat sebatang pokok bunga tanjung berhampiran dengan sebuah telaga. Di pangkal pokok tersebutlah hukuman bunuh atau penyeksaan dijalankan.

Suatu tempat lagi ialah di suatu cangkat Bukit Selangor kira-kira 500 meter dari istana. Di tempat yang dikatakan itu juga masih terdapat sebatang pokok besar dan juga sebuah telaga.

"Batu Hampar itu ialah tempat sultan bersemayam kerana bermain catur," Encik Norbit menerangkan. "Tidak ada seorang sultan pun menghukum rakyatnya di dalam kawasan istana, cuba kita baca syair, kisah ataupun hikayat," tambahnya lagi.

Encik Norbit pernah mendengar sendiri keterangan dari Allahyarham ayahnya yang berketurunan seorang Panglima Diraja dalam tahun 1743, sezaman dengan Sultan Selangor pertama.

Beliau juga menyebut tujuh nama yang menjadikan lahirnya salasilah beliau. Iaitu dari Encik Norbit bin Lakik bin Haji Ahmad bin Darasim bin Panglima Gempur (seorang Panglima Selangor sebelum perang saudara antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin) bin Aki bin Daeng Jumbuk.

Daeng Jumbuk ialah orang yang menjadi panglima handalan Selangor ketika itu, juga digelar Panglima Hitam atau pernah digelar Datuk Aru.


Encik Norbit ialah bekas mandur Lembaga Bandaran Kuala Selangor dan bermastautin di atas Bukit Selangor tidak kurang dari 25 tahun. Beliau juga adalah seorang yang sentiasa mengawasi kesan-kesan sejarah di atas bukit tersebut.

Pendapat ini disokong oleh Encik Ramli bi Ab Rani, kini bekerja di Lembaga bandaran sebagai mandur. Beliau juga menegaskan bahawa Batu Hampar itu adalah tempat bersemayam sultan ketika bermain catur bukan tempat memancung kepala.

Sebagai buktinya di Jugra (berhampiran dengan tempat membuat kayu arang sekarang) terdapat juga sebuah Batu Hampar yang sama bentuknya. "Batu Hampar ini adalah tempat sultan bersemayam ketika menerima pembayaran ufti dari jajahan takluknya," Encik Norbit menyambung.

Encik Muhammad bin Mahmuddin, 76 tahun, iaitu seorang penjaga Keramat Rubiah (Anak Dara) pula menyatakan, "Saya bersetuju dengan pendapat kedua-dua mereka di atas tadi kerana saya pernah mendengar cerita yang sama."

Keanehan Batu Hampar ini ialah tentang kedudukannya terletak cuma di atas tanah pasir sahaja.


Satu lagi kesan yang masih ada di Kuala Selangor ialah sebuah busut (bukit kecil) yang dibina khas di namakan Malawati.

Bukit kecil seluas 20 x 20 kaki dan setinggi tidak kurang dari 20 kaki itulah yang mempengaruhi panggilan kepada Bukit Selangor dan dipanggil juga Bukit Malawati.

Nama Malawati begitu terkenal di Selangor terutama di Kuala Selangor. Nama Malawati ini diabadikan oleh beberapa badan dan syarikat, seperti nama toko buku, nama syarikat kerjasama, syarikat pembangunan, kedai kerinting rambut dan sebuah taman batu.

Jarak bukit kecil ini dari istana kira-kira 100 meter melalui jalan batu-batu yang disusun rapi. Di situlah setiap pelawat dibawa berehat serta mengadakan perundingan di samping melihat permainan menyabung ayam di zaman dahulu.

Itulah juga yang menyebabkan nama bukit kecil tadi dinamakan Malawati, dari perkataan "lawat".

Di keempat penjuru bukit itu ditanam dengan pohon-pohon sena, ada yang berumur tidak kurang dari 100 tahun. Tetapi kini hanya dua penjuru sahaja yang masih mempunyai pokok tersebut.

Jika dipandang sekali imbas tidak ada apa-apa pun yang menarik di Busut Malawati ini selain dari menjadi tempat berehat. Tetapi sebenarnya ia menyimpan suatu rahsia yang tersembunyi.

Encik Norbit menerangkan, "Di dalam Bukit Malawati itu terdapat sebuah gua, inilah dinamakan gua Kuala Selangor."

Di dalam gua ini tersimpan beberapa harta kerajaan Selangor, antara lain ada tiga bilah keris tanpa hulu. Keris panjang mempunyai tujuh lok, keris kedua lima lok dan yang pendek hanya tiga lok sahaja.

"Saya pernah memohon untuk mendapatkan salah satu daripada keris itu di suatu malam. Malangnya saya tidak berjaya kerana saya tidak tahan menerima dugaan," jelas Encik Norbit.

Encik juga menerangkan, jika dapat pun keris itu hanya boleh digunakan untuk menolong orang yang susah sahaja. "Pendek kata bukan untuk kebanggaan," dia menambah.

Beliau juga telah menunjukkan arah mana yang dikatakan pintu gua itu. Jika mendaki Bukit Selangor itu dari pangkalan Batu Buruk melalui tangga 100 kita dengan senang akan nampak pintunya.

Malangnya tidak semua orang boleh masuk ke dalam gua ini walaupun bertemu dengan pintunya.

Pintu gua yang dimaksdukan itu terdiri dari tiga ketul batu pejal 6 x 4 kaki tiap-tiap satu. Dua ketul berdiri terserinding sebelah menyebelah, sedangkan yang seketul lagi itu merupakan sekeping papan lebar seolah-olah penutup pintu.

Encik Sudin bin Bohir (Pak Sampul), 84 tahun, juga berketurunan Bugis jati, yang kini ditugaskan menjaga makam-makam almarhum di situ mengakui keterangan yang dibuat oleh Encik Norbit tadi.

Malah beliau menambah, harta yang tersimpan di dalam gua itu antara lainnya ialah alat kebesaran sultan, sebatang tombak Kerajaan juga ada di situ.

Wallahualam.


Sumber: Sinar Zaman, Jilid VI, Bil. 55, 1977. Halaman 10 & 11. Ditulis oleh Yusoff Hassan.


15 comments:

  1. nama batu hampar ni macam nama popular juga.

    Kat Terengganu ada dua tempat nama batu hampar, salah satu kampung saya Kg Batu Hampar Manir.

    Lagenda kampung saya, ada satu pulau besar, pulau batu yang mendatar. Tenggelam sudah. Tapi kalau air surut masih nampak. Ada buaya putih (konon) yang jaga. hehe. Aduhai tuk nenek aku reka cerita dongeng.

    ReplyDelete
  2. bila fikir balik, memang logiklah batu hampar tu bukan tempat membunuh pesalah.

    lagipun memang tak logik pesalah dibunuh dikawasan istana dan darah dibuat semah.

    kalau ikut cerita dahulukala, hukuman dibuat dipasar atau tumpuan orang ramai sebagai pengajaran.

    gua tu ada lagi ke? rasa nak cuba juga disana mana tahu boleh dapat sesuatu hehehehe.

    ReplyDelete
  3. thanks sebab sudi follow wen balik... btw macam2 kan ceta org dulu2... sejarah ni best...

    ReplyDelete
  4. bila baca pasal sejarah2 ni..perasaan ingin tahu tu membuak2 kan.. :D

    ReplyDelete
  5. Muzium kat atas bukit tu pun ada mengalami kebakaran beberapa bulan lepas... memang syok atas bukit tu. Oh ya lagi satu ada juga kisah terowong dari sana ke klang dan ke beberapa tempat, kisah meriam meletup, harta karun ghaib dan macam - macam lagi...

    ReplyDelete
  6. BR to Asrul Rae:
    selalunya nama batu hampar akan dikaitkan dengan kisah2 lagenda. kisah buaya putih penjaga pulau memang pernah dengar, terpulanglah untuk percaya atau tidak, mungkin betul atau dongengan..

    BR to bro alan:
    betul juga kerana asas logiknya memang ada. cubalah korek tengok di situ, tuah ayam nampak dikaki.. hehe.. ada bran?

    BR to Wen:
    sama2. kebanyakan sejarah telah ditokok tambah sebagai penyedap cerita sehingga ada yg terkeluar dari batas2 logika..

    BR to Ezad Skytech:
    betul tu, memang membuak2 kerana sejarah dapat membuktikan banyak perkara..

    ReplyDelete
  7. BR to bro ia:
    memang banyak kisah2 misteri yg dikaitkan dgn tempat itu. tak cuba masuk ke terowong tu, mana tahu kalau2 ada sesuatu yang boleh di bawa balik.. hehe..

    ReplyDelete
  8. err rasa2 untuk berzina ni mcm xde hukuman pancung je.. yg tau ada rejam sampai mati bg yg dh kawin atau sebat 100 kali bagi yg blum kawin.. correct me if i'm wrong

    jadi mungkin betul tu tempat sultan brmain catur :)

    ReplyDelete
  9. apakah Bugis yang dimaksud, tempat Encik Norbit adalah Bugis di Sulawesi Selatan-Indonesia,karena membaca nama panglima Daeng Jumbuk sama dengan panggilan Daeng di Sulawesi Selatan-Indonesia.
    btw-artikel yang sangat menarik kawan :) terimakasih sudah berbagi

    ReplyDelete
  10. bez lah bace tentang sejarah2 ni..ape kata wat sejarah terengganu time raja dulu2.. teringin nak tahu.. ;b

    ReplyDelete
  11. apabila BR cerite.. rs nak gi je tempat tu.. nak geledah sendiri..

    ReplyDelete
  12. BR to Miss A:
    pada zaman dahulu kuasa menjatuhkan hukuman adalah di tangan sultan, wallahualam.

    BR to BlogS of Hariyanto:
    yang itu BR tak pasti, kena rujuk dengan encik norbit atau warisnya..

    BR to Harisya Diary:
    sedang mencari kisah sejarah terengganu.. hehe..

    BR to LadyBird:
    klu dah beri, cubalah pergi.. geledahlah apa2 yang patut. itupun kalau berani mcm indiana jones.. hehe..

    ReplyDelete
  13. wah..dah lama tinggalkan subjek sejarah pas abih sekolah. kena mula baca balik la bila lapang.hehe

    ReplyDelete
  14. Best dapat baca pasal sejarah..makin nak tahu semua cerita jadinya..:)

    ReplyDelete
  15. blog pasal sejarah...wah menariknya :))

    ReplyDelete