13 June, 2011

Kumpulan Pertama Doktor Universiti Kebangsaan Malaysia


Kumpulan pertama 37 graduan yang menerima Ijazah Doktor Perubatan di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada hari Sabtu, 7 Julai 1979 telah menempa sejarah dalam sistem pelajaran kebangsaan kita. Mereka bukan sahaja merupakan doktor sulung yang dikeluarkan oleh UKM malah mereka menjadi bukti sejarah tentang kemampuan Bahasa Malaysia digunakan dalam jurusan perubatan di sebuah universiti di tanah air kita.

37 doktor baru itu adalah bekas pelajar aliran Bahasa Kebangsaan. Mereka telah membuktikan kepada masyarakat dan negara bahawa dengan Bahasa Malaysia mereka juga mampu memburu ijazah dalam jurusan yang banyak sekali menggunakan istilah teknik iaitu perubatan. Selama ini Bahasa Malaysia dianggap sebagai sesuatu yang rendah!

Hasil pencapaian mereka juga setanding dengan apa yang dicapai oleh institusi perubatan lain sama ada di dalam negeri mahupun di luar negeri. Pengakuan ini diberikan oleh lima orang pakar perubatan dari luar negeri yang menjadi pemeriksa luar yang menjalankan pengawasan dan penelitian dalam peperiksaan akhir pelajar-pelajar Perubatan UKM tersebut.

Mereka ialah Prof J.A. Strong (Professor perubatan dari Sekolah Perubatan Universiti Edinburgh), Prof O.P. Gray (Professor kesihatan kanak-kanak dari Sekolah Perubatan Universiti Wales), Prof M.H. Irving (Professor bedah dari Sekolah Perubatan Universiti Manchester), Prof M.G. Elder (Professor perbidanan dan sakit puan di Sekolah Siswazah Lanjutan Diraja, London) dan Prof J.E. Rohde.

Mereka semuanya sependapat bahawa mutu calon-calon doktor UKM adalah setanding dengan mereka yang menuntut di sekolah-sekolah perubatan lain yang mereka juga menjadi pemeriksanya. Mereka terutama sekali mengulas tentang mutu yang tinggi dalam peperiksaan klinikal yang ditunjukkan oleh calon-calon doktor itu.

Dan satu lagi perkara yang membanggakan ialah di antara doktor-doktor baru itu terdapat juga beberapa orang bukan Bumiputera yang tidak mengalami apa-apa kesulitan mengikuti kuliah dalam Bahasa Malaysia.

Universiti Kebangsaan Malaysia, malah seluruh rakyat dan negara seharusnya merasa bangga dengan kejayaan siswazah perubatan sulung dari UKM itu yang akan berkhidmat untuk negara Malaysia.

Dr. Abu Salim Idris yang bercita-cita menjadi doktor sejak dari kecil lagi memperolehi kejayaan cemerlang dalam pembedahan perubatan dan pediatrik, perbidanan dan sakit puan serta kesihatan masyarakat. Beliau juga telah berjaya menggondol pingat emas sebagai pelajar terbaik dengan memenangi pingat emas Fakulti Perubatan.

Dr. Abu Salim juga berkata, kejayaannya itu adalah juga bermakna kejayaan bagi Dasar Pelajaran Kebangsaan negara kita. "Kejayaan 37 orang doktor baru itu dengan sendirinya menyangkal anggapan orang-orang yang meragukan tentang kemampuan Bahasa Malaysia di bidang pengajian tinggi dan profesional", katanya lagi.


Anak seorang petani di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Dr. Mohamed Sabirin Abdul Rahman, yang juga mendapat kejayaan cemerlang menyatakan ini adalah bukti yang jelas kepada setiap rakyat Malaysia untuk menerima sepenuhnya hakikat tentang kebolehan Bahasa Malaysia dalam semua bidang pelajaran.

Dr. Kamsiah Ja'arin yang juga memperolehi keputusan cemerlang berkata, Kejayaan ini adalah hasil dari galakan suaminya Dr. Masbah Omar, seorang pensyarah di UKM dan berkat dorongan kedua orang tuanya di Rawang, Selangor. Dr. Kamsiah juga telah mendapat pingat emas Wanita UMNO bagi kejayaannya itu.

Bagi Dr. Leow Eng Lee, kejayaan cemerlangnya dalam peperiksaan tahun akhir kursus profesional perubatan di UKM adalah sesuatu yang istimewa dan bersejarah. Betapa tidak, seorang pemuda berketurunan Cina telah memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan perubatan dengan menggunakan Bahasa Malaysia.

Dr. Leow yang berasal dari Seremban berkata, beliau tidak mengalami apa-apa masalah sepanjang masa beliau mengikuti pengajian dalam bidang perubatan tersebut. Tidak ada bezanya bagi seseorang yang mengikuti kursus ini baik dalam Bahasa Malaysia ataupun Inggeris. Yang penting ialah ketekunan keyakinan dan usaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam mata pelajaran yang diikuti.

Dr. M. Veeramuthu, seorang lagi penuntut bukan Bumiputera yang lulus dari Fakulti perubatan UKM turut menyetujui bahawa bahasa penghantar tidak penting dalam menentukan kejayaan para pelajar. Apa yang penting ialah usaha serta keyakinan untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan.

Dr. M. Veeramuthu berasal dari Pulau Pinang telah memasuki sekolah Melayu sejak dari Darjah Satu lagi iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Abdullah Munshi sebelum mengikuti kursus profesional perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973.

Kesemua doktor muda (sekarang ini mungkin telah berusia dalam lingkungan lewat 50-an) lulusan pertama dari UKM ini telah menerima ijazah kedoktoran masing-masing daripada Canselor UKM, DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 7 Julai 1979 iaitu kira-kira 32 tahun yang lalu..

11 June, 2011

Bintang RTM 1978


M. Rizal yang telah diumumkan sebagai johan Bintang RTM '78 dalam bahagian solo memang telah menjadi ramalan ramai. Kemenangannya banyak bergantung kepada personaliti dan gaya showmanshipnya yang tersendiri. Ini jelas semasa beliau bergaya dengan lagu kedua-duanya, satu lagu medley "Isebella" dan "Abang Beca". bakat seninya mungkin diwarisi daripada ibunya yang juga seorang pelakon bangsawan pada tahun-tahun silam.


Johan Bintang RTM 1978 bahagian solo, M. Rizal dengan piala kemenangannya. Di sebelah beliau ialah YB Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat.


Semenjak kemenangannya banyak tawaran telah diterima oleh Rizal. Berlakon di dalam filem, membuat rakaman di radio dan TV, tawaran menyanyi di kelab malam dan juga membuat piring hitam tempatan.

Dengan kemenangan sebanyak $2,000 (pada waktu itu) M. Rizal akan membelanjakan sebahagian daripadanya untuk kenduri kesyukuran dan selebihnya akan disimpan untuk kegunaan masa depan terutamanya di bidang seni suara yang sangat-sangat diminatinya.


Muhaini Suratman yang menjadi hot favourite pada mulanya telah mendapat tempat kedua. Dengan cara yang simple dan penuh kesederhanaan beliau dapat mendendangkan lagunya terutama lagu "Burung Pungguk" dengan berkesan sekali. Muhaini yang bertugas sebagai seorang kerani dan telah mempunyai seorang cahaya mata menganggapkan kemenangannya satu rahmat dan ini akan memberi perangsang kepadanya untuk meninggikan lagi seni suaranya di masa hadapan.

Muhaini yang telah begitu lama berkecimpung di bidang nyanyian baharu kali ini telah mendapat kejayaan yang begitu cemerlang walaupun katanya, "Saya pernah juga menang beberapa pertandingan tetapi cuma di peringkat sekolah dan daerah sahaja". Muhaini berazam kuat untuk mendapat kejayaan yang lebih cemerlang dari sekarang ini.


Penuntut Tingkatan Tiga dari Sekolah Convent Ava Maria Ipoh, Chang Kim Fong berjaya menduduki tempat ketiga. Kejayaannya agak mendukacitakan kerana di saat-saat kegemilangannya ayah kesayangan Kim Fong tidak dapat bersama. Kata Kim Fong ayahnya telah meninggal dunia kira-kira dua tahun yang lalu dan sekarang beliau tinggal bersama ibunya sahaja. Wang kemenangannya sudah tentu akan disimpan untuk perbelanjaan sekolah dan apabila tamat nanti beliau akan meneruskan kegiatannya di bidang nyanyian dengan lebih cergas lagi.

Sebaik sahaja Kim Fong diumumkan berjaya mendapat tempat ketiga, sebuah syarikat piring hitam yang mengedarkan lagu-lagu Cina yang terkemuka telah menawarkan kontrak nyanyian kepadanya. Tetapi sehingga sekarang beliau masih belum memberikan jawapan yang pasti. Kata Kim Fong, "Saya lebih utamakan pelajaran saya dan kemudian barulah menyanyi".


Dalam bahagian kumpulan, The Crescendos gabungan empat suara dari Sarawak telah menjadi johan. Kumpulan yang dianggotai oleh Junainah Suleiman, Kamil Salim, Husni Eddy dan Julai Alan telah menyampaikan dua buah lagu ciptaan sendiri iaitu "Siapa Dia" dan "Ibu Sayang'. Kemungkinan ini menyebabkan kemenangan mereka. Boleh dikatakan kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian semuanya setanding dan jika diukur dari poise dan personaliti, tidak syak lagi Nada Budaya yang mendapat tempat ketiga mengatasi kumpulan-kumpulan lain.


Kumpulan Par-J Square terdiri daripada lima orang penyanyi dari Tawau, Sabah telah biasa bertanding di Rancangan Bintang RTM secara perseorangan tetapi inilah kali pertama mereka bertanding secar kumpulan dan ini tidak mengecewakan. Walaupun baru sembilan bulan ditubuhkan, tetapi kejayaan mereka menduduki tempat kedua ini amatlah membanggakan.


Nada Budaya terdiri daripada Suhaimi Mohd Zain, Ali Khan, Mahmud, Fadizala dan Norhayati adalah artis-artis daripada Kompleks Budaya yang telah mendapat tempat ketiga. Kumpulan ini sungguh menarik dengan cara stage personality mereka dan ini tidak hairan kerana mereka ini terdiri daripada penari-penari terkemuka negara. Ramai berpendapat jika mereka menguasai suara dan harmoni yang betul, sudah tentu kedudukan mereka akan lebih baik. Kemenangan tempat ketiga pada tahun ini akan mendorong dan menambah azam Kumpulan Nada Budaya mencuba nasib lagi pada tahun hadapan.


Bagi pertandingan akhir ini, 6 peserta akan dipilih daripada Semenanjung Malaysia. Empat mewakili bahagian Solo dan dua di bahagian Padu Suara. Manakala untuk Sabah dan Sarawak, tiap-tiap bahagian (Solo dan Padu Suara) akan diwakili oleh seorang peserta. Ini bermakna kesemuanya 10 peserta telah mengadu nasib di peringkat akhir ini.


RTM telah menyediakan hadiah yang menarik seperti wang tunai dan piala pusingan kepada semua peserta yang mengambil bahagian:

Bahagian Solo:

Tempat Pertama: $2,000 serta piala pusingan.
Tempat Kedua: $1,500.
Tempat Ketiga: $1,000.
Hadiah Sagu Hati: $400 setiap seorang (x3).

Bahagian Padu Suara:

Tempat Pertama: $2,500 serta piala pusingan.
Tempat Kedua: $2,000.
Tempat Ketiga: $1,500.
Hadiah Sagu Hati: $500 setiap seorang (x1).


05 June, 2011

The City Hall and Nathan Philips Square, Toronto Ontario, Canada


The City Hall symbolizes the modern thinking of Toronto. It stands on Nathan Philips' Square a 12 acre area containing green lawns and a reflecting pool that becomes a skating rink in winter. The First Tower on the right is 27 stories and the West Tower on the left is 20 floors high. The clam shaped stucture between the towers is the beautiful domed Council Chamber measuring 155 ft. in diameter and 40 ft. from the floor to the highest point in the dome.


The Square is named for Nathan Phillips, who was Mayor of Toronto from 1955 to 1962. Completed in 1966, Toronto's fourth City Hall was one of the city's first modernist buildings. The mayor, Nathan Phillips, held an international competition, won by Finnish architect Viljo Revell. Revell designed the council chamber as a low, round building, embraced by two concave office towers. The architect died before the building was completed and there is a commemorative column dedicated to him.


City Hall faces south on to the concrete expanse of Nathan Phillips Square. In the centre of the square there is The Peace Gardens and various sculptures are dotted around the city. The square is a lively gathering place, and hosts many public and civil events. At the square South end is a reflecting pool, a popular gathering place for people to relax in the summer, and ice skate in the winter.


For more information: Nathan Philips Square/Wikipedia


03 June, 2011

Mara Ekspress Blues...


Khas untuk bekas anak-anak rantau di perantauan di penghujung tahun 1970-an dan di awal 1980-an yang pernah menggunakan perkhidmatannya pastinya tidak pernah lupa kepada bas MARA ekspress seperti yang tertera di dalam gambar ini. Pada waktu itu bas-bas ekspress tidaklah banyak seperti sekarang apatah lagi yang dua tingkat, memang tidak pernah dibayangkan lagi pada waktu itu.

Sungguh berlainan dengan sekarang di mana Konsortium Transnasional Berhad dengan rangkaian Nice, Plusliner, Cityliner dan Transnasionalnya, Konsortium Bas Ekspress Semenanjung, Firstcoach dan sebagainya yang telah membanjiri jalan raya dan lebuhraya-lebuhraya kita di mana menyaksikan kadar kemalangan yang melibatkan bas-bas ekspress juga turut meningkat. Kalau dahulu hendak mendengarkan sebuah bas masuk parit pun susah...


(Keratan berita mengenai MARA Ekspress yang telah diambil daripada sebuah majalah keluaran tahun 1978).


Untuk pengetahuan, bas MARA ekspress ini merupakan pengangkutan jarak jauh yang utama pada waktu itu sama ada untuk ke selatan (Singapura), utara (Alor Setar) mahupun timur (Kota Bharu) dari Kuala Lumpur. Bas ini berwarna putih dan bercermin gelap serta berlangsir, ia boleh membawa penumpang sekitar 35 orang dan sudah tentunya mempunyai penghawa dingin yang dikira sudah cukup canggih pada waktu itu.

Sesungguhnya pengaruh bas MARA ekspress sungguhlah kuat sehinggakan seorang kawan BR semasa di Kedah dahulu telah bertukar kepada dialek KL hanya kerana selepas berselisih dengan bas ini.

Di saat bas-bas berhawa dingin mula diperkenalkan, boleh dikatakan hampir kesemua bas yang mempunyai pendingin hawa akan meletakkan pelekat "Berhawa Dingin" pada bas masing-masing untuk pengetahuan dan tarikan bakal penumpang. Sememangnya hawa dingin itu pun sudah cukup untuk menjadikannya sesuatu yang sungguh istimewa pada waktu itu.

Dengan modal berbayar yang mencecah hampir RM5 juta nilainya pada waktu itu telah menjadikan MARA ekspress ini merupakan perkhidmatan pengangkutan utama yang menjadi pilihan pengguna pada waktu itu.

Adalah difahamkan bas jenama Mercedes ini adalah yang tercanggih pada waktu itu kerana memiliki sistem suspensi yang sungguh selesa. Sesuatu yang istimewa di dalam bas MARA ekspress ini ialah ia mempunyai tandas di dalam bas seperti dalam kapal terbang kerana ia mungkin telah dicipta untuk perjalanan jarak jauh.

Untuk pengetahuan, bas-bas yang mempunyai tandas ini pernah popular suatu ketika dahulu di era 1980-an di mana belum lagi tercipta lebuhraya-lebuhraya yang telah memendekkan sesuatu perjalanan. Pernah di suatu ketika bas ini juga turut mempunyai pramugari.

Penumpang juga turut disediakan dengan selimut dan tisu lembab sepanjang perjalanan untuk keselesaan. Kisah tisu lembab ini juga telah turut mengingatkan BR kepada seorang makcik yang mengunyahnya dengan selamba kerana sangkanya ia adalah makanan ringan yang disediakan oleh pihak bas... Penggunaan selimut terutama pada perjalanan di waktu malam sungguh menyelesakan tetapi malangnya ramai penumpang yang telah menyalahgunakan selimut itu dengan menjadikannya sebagai pengelap kasut... He.. he..


(Imej Ihsan Google)


Bila disebut sahaja "Bas MARA" ini maka teringatlah juga BR di zaman kanak-kanak dahulu di mana bas MARA merupakan pengangkutan awam yang utama semasa di kampung. Basnya kontot sahaja, berwarna merah dan berjenama "Seddon". Apa yang istimewanya ialah pemandunya yang juga merangkap 'kolet' (tukang kutip tambang) dan boleh singgah dirumahnya untuk makan tengah hari.

Pemandunya juga sungguh segak dengan pakaian batik berwarna biru. Apa yang sungguh menarik minat BR pada waktu ialah terdapat tangga di belakang bas untuk naik ke bumbungnya, memang teringin sungguh untuk memanjatnya sampai ke atas... He.. he..

Kepada mereka yang pernah menggunakan perkhidmatan bas MARA ini semuanya kini hanyalah tinggal kenangan kerana putaran waktu telah melihatkan kehadiran bas-bas yang lebih canggih dan perkhidmatan yang lebih selesa pada hari ini. Perkhidmatan bas MARA ini juga telah diberi penjenamaan semula dengan dikenali sebagai Mara Liner.


Kita lihat serba sedikit mengenai sejarah penubuhan Syarikat MARA Express Sdn. Bhd. ini:


Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai lagi bumiputra berkecimpung dalam bidang perniagaan dan perindustrian. Galakan dan bantuan sentiasa diberikan bagi membolehkan mereka mengambil bahagian yang cergas dalam kedua-dua lapangan itu.

Di samping menggalakkan penubuhan syarikat-syarikat perniagaan persendirian, kerajaan melalui berbagai badan dan agensi, telah menubuhkan beberapa buah syarikat yang apabila sudah berjalan dengan baik, kukuh dan menguntungkan akan diserahkan, atau sebahagian sahamnya akan dijual kepada orang ramai, terutama bumiputra.

Sesuai dengan semangat ini, Syarikat MARA Express Sdn. Bhd. akan menjual 40 peratus dari sahamnya kepada orang ramai mulai dari 31 Ogos akan datang.

Mara Ekspress adalah sebuah anak syarikat MARA yang ditubuhkan dalam tahun 1969 khas untuk mengadakan perkhidmatan bas jarak jauh.

Modal yang dibayar syarikat tersebut sekarang ialah $3.9 juta dan ini akan dinaikkan menjadi $5 juta.

Berikutan dengan itu, $2 juta dari modal yang dibayar yang dinaikkan itu nanti, akan dijual kepada orang ramai.

Satu prospektus mengenai penjualan saham-saham untuk orang ramai seperti yang dikehendaki oleh Akta Syarikat, akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Keutamaan akan diberikan kepada syarikat-syarikat kenderaan bumiputra, syarikat-syarikat kerjasama serta pekerja-pekerja kenderaan.

Syarikat itu sekarang mempunyai 70 buah bas, ada yang berhawa dingin ada yang tidak.

Setakat ini, syarikat itu mengadakan perkhidmatan terus Kuala Lumpur Alor Setar, Kuala Lumpur Singapura, Kuala Lumpur Kota Baharu dan lain-lain.

Perkhidmatan bas ke tempat-tempat itu diadakan siang dan malam. Selalunya tambang untuk bas untuk tanpa hawa dingin kurang sedikit dari yang berhawa dingin.


Mesra, Selesa, Bergaya

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'