01 February, 2012

Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Satu haribulan Februari adalah Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan pada 1 Februari 1974 dan ditadbirkan secara langsung oleh Kerajaan Pusat.


Pemandangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kiri-kira 30 tahun yang lalu.


Sebuah kementerian yang diberi nama Kementerian Wilayah Persekutuan telah diwujudkan pada 28 Julai 1978 dengan Perdana Menteri sendiri menjadi Menteri yang bertanggungjawab.

Kementerian ini adalah bertujuan untuk merumus dasar, merancang strategi dan menentukan matlamat pembangunan Wilayah Persekutuan dari segi ekonomi, sosial, budaya dan agama terhadap pencapaian Dasar Ekonomi Baru.

SELAMAT HARI WILAYAH.


***************************************************

Kali pertama BR menjejakkan kaki di Kuala Lumpur ialah di sekitar tahun 1984 (tidak termasuk rombongan sekolah pada tahun 1979). Punyalah seronok dan berbangga kerana telah sampai ke ibu kota yang sering dimomokkan dengan cabaran hidup yang penuh dengan pancaroba.

Pada waktu itu Kompleks Daya Bumi, Central Market, Pudu Raya, Kota Raya, Kompleks Pertama merupakan tempat tumpuan utama untuk melepak di samping pengangkutan utama pada waktu itu iaitu bas panjang Sri Jaya, Len dan bas mini (dengan tambang 50 sen untuk sekali perjalanan).

Kalau hendak tahu bas mini yang beradio, lihat pada lampu LED nya, jika berkelip-kelip maknanya bas tersebut ada radio. Tetapi ada juga malangnya, silap-silap dipasangnya lagu Tamil.. hehe..

Berlaku bermacam-macam peristiwa juga di dalam bas mini ini, pencopet dan 'pergeseran' yang disengajakan memang sering berlaku kerana kesesakan yang melampau.

Tempat makan yang popular pula ialah di Benteng (Di belakang Mahkamah). Supermarket pula ialah Batu Road Supermarket di Chow Kit Road seiring dengan kemunculan Hankyu Jaya di hadapannya. Selain daripada itu di Kompleks Campbell juga menjadi tumpuan utama untuk membeli belah.

Panggung wayang pula ialah panggung Federal (pernah menayangkan filem Superman hampir sebulan), Odeon. Cineplex pun banyak juga tetapi kurang mendapat sambutan kerana 'cerah', tidak sesuai untuk pasangan.. hehe..

Sekarang semuanya itu telah tiada dan hilang ditelan arus pembangunan. Tiada lagi deruman bas mini, tiada lagi kesesakan dan bau asap bas-bas ekspress di Hentian Pudu Raya (tempat popular untuk mengadakan blind date pada waktu itu, U tunggu I kat platform berapa?.. hehe..).

Kompleks Daya Bumi semakin suram, Kompleks Pertama, Central Market hanya dimeriahkan oleh 'pelancong-pelancong' asing yang seolah-olah sudah tidak terkawal...




Kuala Lumpur senyumanmu
Di pagi ini
Sungguh bererti
Kerna cinta bersemi lagi
Setelah kemarau panjang

Di lebuhraya
Di papan tanda
Tergambar wajahmu
Dengan kalimat
Cinta untuk kita
Semoga kekal selamanya

Bila ku bisikan puisi cinta
Dan Tugu Peringatan Negara
Bagai tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Berganding tangan
Kita berdua
Menyusuri jalan
Di tengah kota
Sambil senandungkan lagu
Lagu kisah cinta lama

Bilaku bisikan puisi cinta
Dan tugu peringatan negara
Bagai tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Terima kasih kuucapkan
Oh kepadamu
Kuala Lumpur
Kerna kau telah temukan
Cinta antara kami berdua


Moral Value: Time is not measured by a watch but by moments.