31 August, 2010

Merdeka!


Tepat pada tengah malam seluroh raayat bertempek 'Malaya sudah merdeka'!


Kita ikuti lagi gambar-gambar bersejarah yang diambil dari Keluaran Khas Berita Harian bertarikh Khamis 30 Ogos 2007 terbitan Berita Harian Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Sumber The New Straitas Times Press (M) Bhd.



31 Ogos 1957:
Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Malaya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur selepas membaca deklarasi kemerdekaan.



5 Ogos 1957:
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya, Sir Donald MacGillivray dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selaku Yang di-Pertuan Agong bergambar sebelum majlis memetarai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.



13 Februari 1956:
Empat anggota misi Persekutuan 'Merdeka' yang pulang ke Singapura bersama beberapa Menteri Persekutuan dan Singapura yang menyambut mereka di lapangan terbang.

Dari kiri: V T Sambanthan (Menteri Buruh), Francis Thomas (Menteri Kerja Raya dan Komunikasi), T H Tan (Setiausaha Misi), Datuk Panglima Bukit Gantang, Dr Ismail Abdul Rahman (ahli misi), Abdul Hamid (Menteri Kerajaan Tempatan), Lim Yew Hock (Menteri Buruh), Wong Foo Nam (Wakil Rakyat Perikatan), Datuk Mohamed Seth (ahli misi), Mohamed Sidik (Penolong Menteri Pelajaran) dan Chew Swee Kee (Menteri Pelajaran).



9 Mei 1957:
Delegasi bersama pemimpin kerajaan dan wakil parti Perikatan yang akan bertolak ke Britain bagi membincangkan cadangan perlembagaan baru Tanah Melayu dengan Setiausaha kerajaan negara itu, Sir Alan Lennox Boyd.

Dari kiri, Menteri Buruh dan Presiden MIC, V T Sambanthan, Menteri Pelajaran, Datuk Abdul Razak Hussein, Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Mustapha Albakri, Menteri Besar Negeri Sembilan, Shamsuddin Nain dan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Presiden MCA, Ong Yoke Lin.



20 Februari 1956:
Tunku Abdul Rahman memegang keris berusia 100 tahun yang diberikan oleh Wanita UMNO di Bandar Hilir Melaka. Beliau melawat Melaka selepas kejayaan misi mencapai kemerdekaan ke London, selain mahu mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.



11 Ogos 1957:
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, mengenakan pakaian rasmi bagi upacara sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos. Berdiri di depan beliau ialah anak angkatnya, Mariam. Pakaian yang dinamakan 'baju Muscat' itu adalah pakaian rasmi pegawai kerajaan di negeri Kedah. Ia merangkumi tafeta sutera hitam, jaket terbuka dengan epaulette dan baju bahagian dalam dengan ropol pada bahagian tengkuk selain seluar panjang bersulam benang emas.



11 Oktober 1956:
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, berdiri di sisi kereta rasminya, Chrysler Imperial. Ia adalah kereta terbesar dan terpanjang di Kuala Lumpur pada masa itu.



2 Mei 1964:
Percutian empat hari Tunku Abdul Rahman di Bukit Fraser dicemari satu kejadian apabila tiba-tiba asap keluar daripada bonet kereta Chrysler ketika menuruni bukit itu. Bagaimanapun, Tunku dapat menenangkan keadaan sambil memberitahu asap itu berpunca daripada brek tayar depan.



Ini pula gelas cenderamata sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tercatat juga di dalam tulisan jawi 'Persekutuan Tanah Melayu' dan 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Agar-agar Marmar


Bahan-bahannya:


4 biji telur ayam merah sahaja
1 tahil agar-agar
5 gelas air
1 1/2 gelas gula
1 gelas susu cair
Sedikit esen vanilla dan koko


Cara Membuatnya:


Masakkan agar-agar sampai hancur, kemudian bubuh gula. Bila masak diangkat.
Kacau merah telur bersama susu supaya bersatu.

Tapis agar-agar tadi dan masukkan ke dalam telur dan kacau lagi agar-agar itu di atas api.
Kemudian bahagikan agar-agar itu kepada dua bahagian. Satu bahagian dimasukkan koko dan sebahagian lagi diwarnakan sesuka hati.

Kacau agar-agar tadi hingga sejuk dan kemudian tuangkan ke dalam acuan yang bulat sedikit demi sedikit berselang-seli antara agar-agar berkoko dan berwarna supaya
nampak berlapis, biarlah hingga sejuk.


Selamat mencuba!


30 August, 2010

Jawapan Bagi Teka-teki Siri 2/2010



Setelah 48 jam berlalu, seperti yang telah dijanjikan, hari ini BR akan umumkan jawapan sebenar dan siapakah pemenang bagi soalan teka-teki siri 2/2010 yang telah disiarkan pada 28.08.2010 yang lalu. Terima kasih kerana sambutan yang diberikan amatlah menggalakkan. Tetapi sebelum itu mari kita lihat dahulu jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh 19 orang peserta yang telah mengambil bahagian:

1. fatiah - penutup tin.
2. iaryylr - penyukat.
3. Hairil Rizal - takde klu ke?
4. MgtBobber - Sudu untuk pakai kasut tu bro!
5. Aidi-Safuan - besi aluminium.
6. Anne - pemegang tudung periuk.
7. ikebal - scoop aiskrim.
8. ASaDa RyutaRo - penutup tin.
9. tia - untuk pakai kasut!
10. kakrose@kakyon - alat untuk pakai kasut.
11. ~^CoKLaTsToBeRi^~ - blade kipas.
12. zaujahafis - fishing spoon / cam penutp ti tak logik / buah rantai
13. Misterious Yuyu - blade kipas / bhgn atas kepit kuku.
14. MUZAFFAR - bilah kipas lama.
15. Gusti Ayu - tempat gantung langsir zaman dulu-dulu kot.
16. Fitri Osman - Pembuka penutup tin yang sudah patah.
17. zahidah dihaz - 'pela' a.k.a. kipas untuk boat.
18. Rezza - rupa macam sudu kasut!
19. nur aisya humaira - ape plak ni br???


Inilah jawapan sebenar kepada soalan tersebut iaitu Alat Pemakai Kasut atau Sudu Kasut. Setelah jawapan-jawapan diteliti oleh para juri dan juruodit bertauliah, keputusan pemenangnya ialah: MgtBobber berdasarkan beliau adalah peserta PERTAMA yang telah menjawab dengan betul meskipun jawapan seterusnya yang diberikan oleh tia, kakrose@kakyon dan Rezza adalah betul juga.


Sebenarnya apalah sangat pada hadiah yang ditawarkan, tetapi tujuan sebenar BR ialah untuk memeriahkan lagi dunia blog ini di samping lebih saling mengenali dan mengeratkan silaturrahim sesama rakan bloggers. Selain daripada itu dapat juga kita mengenali semula barang-barang lama yang semakin dilupakan terutama kepada generasi muda kini. Rujuk: http://bluesriders.blogspot.com/2010/08/teka-teki-apakah-benda-ini.html


Tahniah kepada Bro MgtBobber yang telah berjaya menjawab dengan betul. Sila berikan nombor telefon bimbit anda (Maxis, Celcom atau Digi sahaja) untuk menuntut hadiah yang telah dimenangi.

Kepada yang tidak berjaya, cuba lagi di lain kali kerana banyak lagi teka-teki berdasarkan gambar yang akan BR kemukakan selepas ini. Mungkin selepas ini nilai hadiah akan di 'up' kan sedikit memandangkan soalan-soalannya yang lebih mencabar fikiran dan perasaan. Untuk makluman, semuanya ini hanyalah untuk suka-suka sahaja dan tiada sebarang maksud yang tersurat mahupun tersirat...


Alat pemakai kasut atau sudu kasut adalah satu alat yang direka khas supaya pemakaian kasut akan menjadi lebih mudah tanpa perlu menjolokkan jari di bahagian belakang kasut untuk memakai kasut. Sesuai untuk sebarang kasut lelaki dan wanita terutamanya kasut 'serelom'.

Alat ini juga bertujuan untuk mengelakkan di bahagian belakang kasut akan cepat rosak akibat terpijak oleh tumit kaki ketika memakai kasut.


Alamat kedai kasut yang tercatat pada alat ini iaitu United Shoes, 475C, Penang Road, Penang. Tidak pasti lagi sama ada kedai kasut ini masih lagi beroperasi lagi atau tidak kerana sudu kasut ini telah lama dimiliki iaitu semenjak BR masih kanak-kanak lagi.


-------------------------------------------------------------------------------------------------



Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Apam Lapis


Bahan-bahannya:


3 biji telur ayam
4 cawan tepung gandum
2 gelas ice-cream soda
3 jenis pewarna
2 gelas gula halus


Cara Membuatnya:

Telur dipukul dengan gula hingga hancur dan masukkan ice-cream soda. Masukkan Tepung.
Kalau adunan terlalu pekat, masukkan sedikit lagi ice-cream soda.

Bahagikan adunan kepada tiga bahagian. Warnakan tiap-tiap bahagian itu dengan warna-warna yang dipilih.
Sediakan pengukus. Tuangkan selapis-selapis adunan tadi dan kukuslah hingga masak.


Selamat mencuba!


28 August, 2010

Teka-teki: Apakah Benda Ini?


Adalah dimaklumkan bahawa dengan ini BR dengan murah hatinya akan menghadiahkan topup RM5 (Maxis, Celcom & Digi sahaja) kepada sesiapa sahaja yang boleh menekanya dengan betul.

Syaratnya mudah sahaja, terbuka kepada SEMUA pengunjung blog ini dan sila berikan jawapan anda di bahagian komen sahaja (di Cbox tidak akan dikira). Jawapan PERTAMA yang betul atau hampir betul akan dikira sebagai pemenang. Keputusan pengadil adalah muktamad, surat menyurat tidak akan dilayan. He.. he..


(Sila klik untuk besarkan imej)

Selamat mencuba!

* Teka-teki ini dibuka 48 jam dari sekarang. Jawapan sebenar dan pemenangnya akan diumumkan pada hari Isnin jam 11.00 pagi.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Telur Masak Bali



Bahan-bahannya:


4 biji telur ayam
1/2 senduk makan kicap
2 ulas bawang putih
4 biji cili merah
sedikit belacan
sedikit air asam jawa
daun limau purut
sedikit garam


Cara Membuatnya:

Rebus telur dan buangkan kulitnya.
Cili, belacan, garam dan bawang ditumbuk.
Tumiskan bawang merah dan masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi hingga naik bau.
Masukkan satu gelas air sejuk, kicap, asam jawa dan daun limau purut. Biarkan hingga mendidih dan keluar minyak.
Masukkan telur, beberapa minit kemudian baru diangkat dan dihidangkan.


Selamat mencuba!


27 August, 2010

Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi S.A.W. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad S.A.W. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi S.A.W. maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.


Nuzul Al-Quran


‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya.
Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)".
(Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi S.A.W. ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
(al-‘alaq:1-5)



Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran


Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah S.A.W. di antaranya firman Allah SWT Maksudnya:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut): Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"
(al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah S.A.W. telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah S.A.W. menyatakan bahawa Allah S.W.T. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda "bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan."


Panduan


Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.


Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah 'iqra' iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah S.W.T. mengiringi dengan ayat yang bermaksud: Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: 'ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa'.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah S.A.W. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah S.A.W. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya.
Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan.

Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah S.W.T. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.


Kesimpulan


Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.

Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).


Oleh Dr. Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Roti Kukus


Bahan-bahannya:


1 buku roti
2 gelas gula pasir
1 butir kelapa parut
2 gelas tepung gandum


Cara Membuatnya:


Dari satu biji kelapa dapatkan enam gelas santan yang agak pekat. Rendam roti dalam santan tadi dan dihancur-hancurkan. Campurkan tepung dan gula.

Gaulkan kesemua bancuhan tadi hingga ianya sebati. Bila telah selesai masukkan bancuhan kuih tadi ke dalam acuan yang telah disapukan marjerin dan kukuslah hingga ia masak.

Adunan ini boleh juga dibakar.


Selamat mencuba!


26 August, 2010

Kukur Kelapa Di Dalam Kertas Soalan Percubaan UPSR


Khas untuk anak-anak yang akan menduduki Peperiksaan UPSR selepas Hari Raya nanti, berikut ialah satu petikan soalan bagi kertas soalan Bahasa Melayu Pemahaman (SK) Ujian Percubaan UPSR yang telah dijalankan di sebuah sekolah baru-baru ini.

Jawapan yang betul bagi soalan ini ialah B iaitu 'mengukur'. Tetapi berdasarkan analisis item yang telah dijalankan, ramai murid didapati telah menjawab soalan ini dengan jawapan A iaitu 'menyagat'. Ini kerana jawapan 'mengukur' adalah asing bagi mereka berdasarkan logik yang difahami kata dasar bagi perkataan mengukur ialah 'ukur'.

Demikianlah kelemahan yang boleh dirumuskan terhadap anak-anak zaman sekarang iaitu kelemahan penguasaan perbendaharaan kata terutamanya yang berkaitan dengan perkataan, benda atau perbuatan yang asing bagi mereka.


Untuk pengetahuan anak-anak, inilah kukur kelapa. Perbuatan yang tepat bagi orang yang menggunakan kukur kelapa ini ialah 'mengukur'. Penggunaan mesin pengukur elektrik yang lebih efisyen membuatkan penggunaan kukur kelapa manual ini semakin dilupakan dan jarang-jarang lagi kita melihat penggunaannya apatah lagi kukur kelapa itu sendiri.


Cara-cara untuk menggunakan kukur kelapa ini telahpun BR nyatakan pada posting yang lalu, sila rujuk: http://bluesriders.blogspot.com/2010/04/kukur-kelapa-blues.html tiada perbezaan dari segi kaedah penggunaannya walaupun kedua-dua kukur ini mempunyai perbezaan dari segi bentuk.


Kukur kelapa ini adalah peninggalan moyang BR di kampung. Walaupun telah berusia melebihi 80 tahun, kukur kelapa ini masih kelihatan kukuh dan boleh digunakan lagi jika dibersihkan.


Berbeza dengan kukur kelapa yang telah disiarkan sebelum ini, kukur kelapa ini adalah jenis yang tidak boleh dilipat.


Memiliki bentuk yang cantik dan slim hasil kerja tangan orang dulu-dulu. Untuk pengetahuan, kukur kelapa ini boleh didapati di dalam berbagai bentuk kerana bentuknya boleh dibuat mengikut cita rasa sendiri manakala mata kukurnya boleh dibeli berasingan untuk dipasang pada kukur kelapa yang telah siap.


Mata kukurnya yang masih tajam walaupun telah berkarat kerana telah lama tidak digunakan. Kalau di zaman dahulu di dalam kesibukan menyediakan kuih raya dan juadah berbuka, kukur kelapa inilah yang paling sibuk sekali dengan tugasannya...


Demikianlah serba sedikit berkenaan kukur kelapa ini. Semoga sedikit maklumat yang diberikan dapat membantu menambahkan lagi pengetahuan kita semua.


Kepada semua murid Tahun 6 di seluruh Malaysia, diucapkan selamat menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 21 - 23 September iaitu selepas Hari Raya Puasa nanti.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Apam Gula Hangus


Bahan-bahannya:


2 1/2 gelas tepung gandum
1 gelas gula pasir
1/2 gelas gula pasir (jadikan gula hangus dengan 1/2 gelas air)
2 biji telur ayam
2 sudu besar tepung susu (dibancuh dengan 1 sudu air sejuk)
4 sudu teh soda bicarbonate
2 sudu teh vanilla


Cara Membuatnya:

Cara Membuat Gula Hangus:

Jerangkan gula. Rendangkan hingga gula itu cair dan kuning, kemudian masukkan air sejuk. Kacau hingga cair dan sejukkan.


Cara Membuat Apam Itu:

Ayak tepung bersama soda bicarbonate. Pukul telur dengan gula pasir hingga naik kemudian masukkan gula hangus. Kacau hingga rata.

Kemudian masukkan tepung gandum berselang-seli dengan susu yang sudah dibancuh. masukkan juga vanilla. Setelah itu tuangkan adunan itu ke dalam loyang dan kukuslah selama satu jam.

*Sebelum mengukus adunan itu, terlebih dahulu masaklah air kukusan itu sehingga mendidih barulah dimasukkan loyang yang berisi adunan itu.


Selamat mencuba!


25 August, 2010

Jom Minum Indocafe...


Di dalam banyak-banyak koleksi gelas minuman yang dimiliki, gelas hadiah percuma daripada Indocafe inilah yang boleh dikatakan istimewa sedikit kerana gelas ini mempunyai tangkai atau pemegang plastik. Sesuai digunakan untuk menghidang minuman sejuk atau panas dengan pemegang atau tanpa pemegangnya.


Tidak pasti pula bilakah ianya dikeluarkan tetapi rasanya ia masih baru memandangkan pasaran produk Indocafe di negara inipun bermula di sekitar tahun 1990-an.


Tangkai atau pemegangnya yang boleh ditanggalkan atau dipasang pada gelas. Unik dan tersendiri.


Gelas berwarna oren bercampur kuning memberikan daya tarikan yang tersendiri. Risau juga jika minum menggunakan gelas ini, takut kalau-kalau pemegangnya tertanggal...


Sesuai untuk dijadikan gelas hidangan semasa Hari Raya nanti... He.. he..



-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:



Resepi Kelupon Ubi



Bahan-bahannya:


4 batang isi ubi kayu
1/2 kati gula merah
1/2 biji kelapa muda
Satu cawan tepung gandum
Sedikit garam dan minyak untuk menggoreng


Cara Membuatnya:


Ubi dan kelapa diparut, dicampurkan garam dan gaul rata-rata. Masukkan pula tepung ke dalam adunan tadi dan gaullah hingga sebati.

Kemudian dibuat bulat-bulat sebesar telur ayam. Lubangkan ditengahnya dan masukkan gula merah ke dalamnya.

Panaskan minyak dan bila sudah cukup panas, gorenglah sehingga kuning.


Selamat mencuba!


24 August, 2010

Sardin Dalam Sos Tomato Ayam Brand


Menurut Pengerusi Ayam Brand, Tunku Dato' Mu'tamir bin Tunku Tan Sri Mohamed, "Produk-produk Ayam Brand amat mudah disediakan lagi berkhasiat. Apa yang perlu dilakukan adalah hanya membuka tin dan makanan sudah sedia untuk disajikan," katanya. Oleh itu, tidak hairanlah sardin merupakan merupakan makanan 'kecemasan' atau ration utama yang diperlukan di saat kehabisan lauk-pauk ataupun untuk beralih selera untuk sekali-sekala.


Bersempena dengan bulan Ramadhan ini, sardin ini juga boleh dijadikan pilihan untuk bersahur atau berbuka. Memang sedap dijadikan sandwich atau dimakan dengan roti. Selain daripada itu, sesuai dengan peredaran masa, sardin ini juga diperkaya dengan lemak dan Omega 3, kalsium dan nutrien penting yang diperlukan oleh tubuh.


Sardin Dalam Sos Tomato Ayam Brand ini boleh didapati didalam berbagai bentuk tin dan saiz iaitu di dalam bentuk tin biasa (cylinder) dan juga tin bujur (oval) seperti di dalam gambar. Ianya masih boleh didapati di pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai runcit di seluruh negara ketika ini.


Dikeluarkan oleh A.Clouet & Co yang telah established semenjak 1892. Syarikat ini memang terkenal dan telah mengusai pasaran di rantau Asia Pasifik. Sardin ini juga turut dipromosikan oleh Juara Akademi Fantasia Musim Kelima, Mila serta Dafi di dalam Kempen Masyarakat Penyayang Ayam Brand di Rumah Charis's Home For Children di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Inilah rahsianya posting Sardin Dalam Sos Tomato Ayam Brand pada kali ini. Tin sardin yang belum dibuka ini telah BR simpan semenjak tahun 1997 iaitu kira-kira 13 tahun yang lalu. Tidak sangka pula pasaran sardin ini masih boleh bertahan sehingga kini, kalau tidak sudah tentu ianya akan menjadi satu lagi bahan yang bersejarah... He.. he..




Sedikit maklumat tentang Sardin Dalam Sos Tomato Ayam Brand:

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan emel internet palsu yang berniat jahat bahawa Sardin Dalam Sos Tomato Ayam Brand mengandungi bahan tidak HALAL seperti daging katak.

Menurut Encik Mohammad Hisham Talib, Head of Ayam Brand Halal Department A.Clouet & Co (KL) Sdn. Bhd. Semua produk Ayam Brand yang dikeluarkan di Malaysia adalah disahkan HALAL oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Kilang kami di Malaysia, Taiping adalah disijilkan HALAL oleh JAKIM dan hanya dibenarkan untuk mengeluarkan produk-produk HALAL.

Nombor Sijil HALAL untuk produk Sardin Dalam Sos Tomato dan Mackerel Dalam Sos Tomato Ayam Brand adalah : 006835A . Manakala, nombor rujukan JAKIM adalah : JAKIM / (22.00 ) / 492 / 2 / 1 / 014-07/2005 (SJ1). Pihak tuan / puan boleh menghubungi pihak JAKIM untuk memeriksa kesahihan sijil-sijil tersebut di www.islam.gov.my ataupun menghubungi 03-88864000 / 03-83150200. Sila rujuk nama syarikat A. Clouet & Co (KL) Sdn. Bhd.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Bubur Ikan


Bahan-bahannya:


2 aun beras
1 hiris ikan kurau/tenggiri/bawal
Sedikit salad dan garam
1/2 pain air
1/2 inci halia
1 pokok daun bawang
Bawang goreng (sebagai hiasan)


Cara Membuatnya:


Bersih dan basuh beras, masak dengan air.

Buang tulang ikan, potong ikan 1/4 inci dadu. Bubuh halia hiris, lada sulah dan garam pada ikan. gaul dan ketepikan.

Apabila beras hampir lembik, masukkan lobak merah (yang telah dipotong dadu).

Apabila lobak merah masak, bubuh ikan, tutup dan masak seminit lagi. Hias dengan bawang goreng dan daun bawang.


Selamat mencuba!


23 August, 2010

Libby's Hot Ketchup


Jika sebelum ini kita telah disajikan dengan kehebatan sos tomato dan sos cili keluaran Del Monte, kali ini kita ikuti pula satu lagi jenama sos tomato yang tidak kurang hebatnya iaitu sos tomato daripada Libby's. Produk keluaran Libby's ini memang cukup popular di Malaysia sekitar tahun 1980-an tetapi tidak pasti lagi sama ada jenama ini masih lagi berada di pasaran kita sekarang.


Untuk pengetahuan, Libby's merupakan sebuah syarikat yang bermula dengan membekal daging bertin dari Amerika Syarikat yang telah beroperasi semenjak tahun 1875 lagi. Syarikat ini juga mengeluarkan beberapa produk di dalam tin dan di dalam botol yang lain seperti buah-buahan dan jus, sayur-sayuran, dan sebagainya.


Sos ini dikeluarkan oleh Libby McNeil & Libby Limited, 36, Park Street Croydon/Surrey/England. Jika tidak silap produk ini diedarkan oleh oleh Syarikat Nestle di Malaysia di sekitar tahun 1980-an dan iklan-iklan mengenai produk Libby's ini juga sering terpampang di majalah-majalah Malaysia pada waktu itu.


Isi kandungan 340g sebotol merupakan isian yang standard bagi mana-mana jenama sos.


Terdapat berbagai bahasa yang digunakan untuk menyatakan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat sos ini. Berpadanan dengan namanya, Libby's Hot Ketchup ini adalah sos tomato bercampur cili padi (cili api, cabai melaka, cabai burung, lada kecik, cabai perawit atau seumpamanya) yang sudah semestinya 'hot' ataupun pedas sesuai dengan citarasa penduduk Asia yang menggemari makanan yang pedas-pedas atau 'hot and spicy'.


Kepada mereka yang pernah merasai 'kepedasan' sos ini tentulah lebih mengetahuinya. Tetapi pada BR, kepedasan sos ini tidaklah sepedas sambal belacan buatan sendiri di rumah kerana istilah 'hot and spicy' bagi masyarakat Eropah adalah tidak sama dengan 'hot and spicy' kita di sini.


Jelas dinyatakan di dalam bahasa Arab bahawa tarikh dikilang sos ini ialah pada 10/1983 dan tarikh luputnya pula dua tahun selepas itu iaitu pada 10/1985. Ini bererti botol sos ini telahpun berusia 27 tahun.


Isi kandungannya sudah tentulah tidak boleh dimakan lagi tetapi memandangkan kepada usianya itu, amat sesuailah untuk dijadikan bahan sejarah untuk generasi kini yang tidak pernah melihat ataupun mengenali sos Libby's ini. He.. he..


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:



Resepi Agar-agar Rintik



Bahan-bahannya:


3/4 aun agar-agar
3/4 pain air
3 aun gula
1 helai daun pandan
1/4 biji kelapa parut (1/2 cawan pati dan secubit garam)
3/4 camca esen ros (jika suka)
sedikit bahan pewarna merah, hijau dan kuning



Cara Membuatnya:


Basuh serta rendam agar-agar. Tos dengan betul dan rebus dengan air dan daun pandan yang dicarik-carik dan disimpul. Apabila agar-agar hancur, masukkan gula dan rebus lagi hingga gula hancur. Sementara itu perah 1/2 cawan pati santan dan campur secubit garam. Tapis santan dengan kain nipis.

Tapis pula agar-agar dan dibahagikan kepada 1/3 dan 2/3. Tuang santan ke dalam sukatan 2/3 itu serta kacau rata-rata dan masukkan ke dalam tin berukuran 7 inci persegi. Biarkan di tempat yang panas.

Bahagikan pula sukatan 1/3 tadi kepada 3 bahagian yang sama dalam piring-piring kecil setebal 1/4". Warnakan tiap-tiap satu itu dengan warna yang berlainan, merah, hijau dan kuning. Dinginkan di dalam peti sejuk selama 10 minit. Setelah beku, dipotong dadu sebesar 1/4" persegi serta campurkan ketiga-tiga warna itu sama rata.

Kacau kesemua agar-agar yang berwarna-warni itu ke dalam agar-agar santan. Campur rata-rata serta dinginkan dalam peti ais hingga beku. Keluarkan dari acuan ke atas papan canai serta potong dalam bentuk serong wajik dengan pisau bergigi.


*Kaedah membuatnya agak teknikal sedikit, oleh itu pengalaman pembaca amat diperlukan untuk menyediakan resepi ini.


Selamat mencuba!


22 August, 2010

Pahlawan Kanak-kanak 1977


Jamakuddin bin Ahmad, 12 tahun dari Sarawak tidak menyangka sama sekali akan terpilih sebagai Pahlawan Kanak-kanak dan menerima Pingat Hang Tuah. Malah dia tidak tahu langsung tentang adanya pengurniaan pingat itu kepada kanak-kanak yang berjasa. Maka oleh itu ia menganggap adalah di luar dugaan apabila beliau dipilih sebagai pemenang pingat itu pada tahun 1977.


Jamakuddin diberi gelaran Pahlawan Kanak-kanak kerana berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun dari lemas di sungai di kampungnya iaitu Kampung Haji Karim, Bahagian Keenam, Sarikei, Sarawak pada 4 Disember tahun 1976. Jamakuddin ialah murid darjah enam Sekolah Rendah Kerajaan Abang Haji Matahir di Sarikei.

Ketika ditemui di Staduim Negara selepas menerima Pingat Hang Tuah dari Yang di-Pertuan Agong di hadapan beribu-ribu orang kanak-kanak di perayaan Hari kanak-kanak Sedunia 1977, Jamakuddin berkata tindakannya menyelamatkan kanak-kanak itu adalah secara jujur dan ikhlas.

"Secara kebetulan kanak-kanak yang diselamatkan itu ialah cucu kepada penghulu kampung kami," sampuk ayah Jamakuddin, Encik Ahmad bin Anis yang hadir mengiringi anaknya itu. Menurut Jamakuddin, dia ternampak kanak-kanak itu sedang dia di dalam perjalanan menuju ke kedai untuk membeli barang-barang yang disuruh oleh ibunya. "Saya terus sahaja ke tempat itu dan terjun ke dalam arus yang deras itu," ceritanya. "Bila saya lihat keadaannya terlalu pucat, sayapun menjerit memanggil ibunya yang tinggal tidak jauh dari sungai itu," kata Jamakuddin lagi.

Menurut bapanya, Jamakuddin adalah seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap. Di rumah dia cuma suka membantu ibunya seperti menolong menjaga adik-adiknya. Walaupun dia kelihatan lemah lembut tetapi bila ditanya cita-cita di masa depan, beliau berkata askar adalah pilihan utamanya. Jamakuddin mempunyai dua orang adik perempuan dan dia adalah anak sulung.


Gambar menunjukkan beberapa persembahan menarik oleh kanak-kanak di majlis sambutan itu. Selain daripada menerima Pingat Hang Tuah, Jamakuddin juga dihadiahkan wang tunai berjumlah $500 (nilai pada waktu itu) hadiah dari Colgate dan Palmolive. Segala pembiayaan pakaian, tambang serta wang perbelanjaan dihadiahkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.


Dimanakah Jamakuddin sekarang?


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Agar-agar Celoreng


Bahan-bahannya:


1 tahil agar-agar
1 kati gula batu
1 besen air sejuk
1 camca esen ros
4 macam pencelup warna


Cara Membuatnya:


Agar-agar dibasuh bersih dan dimasak dengan air hingga hancur. Masukkan gula batu sambil dikacau.

Apabila naik buih, buangkan buihnya. Setelah masak taruh esen ros dan kacau. Masaklah hingga pekat.

Kemudian tuangkan ke dalam acuan. Bubuh empat pencelup warna setempat-setempat supaya tidak tergaul rapi. Biarkan hingga beku.


Selamat mencuba!


21 August, 2010

Loteri PEMADAM Malaysia...


Bagi pembaca yang pernah melalui kehidupan di tahun 1970-an tidak kiralah sama ada masih kanak-kanak ataupun telah dewasa, tiket loteri Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) ini sudah tentulah bukan suatu perkara yang 'pelik' pada waktu itu. PEMADAM telah ditubuhkan pada 22 Mac 1976 dan sebagai sebuah badan bukan kerajaan, PEMADAM telah bergerak cergas membantu kerajaan memerangi DADAH iaitu Musuh Utama Negara dengan inisiatif mewujudkan loteri ini bertujuan untuk mengutip dana bagi menampung perbelanjaan di dalam usaha untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia.



Perangilah Penyalahgunaan Dadah Habis-habisan



Dadah dikatakan telah mula mengancam anak-anak muda dalam tahun 1972 apabila Pesta Woodstock diadakan oleh Pengakap, di Cheras, dekat Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, sebelum itu dadah tidak begitu terkenal dana adalah tidak benar bahawa dadah boleh mengatasi banyak masalah. Penagihnya juga tidak mempunyai pegangan.

Orang-orang muda yang terlibat dengan salahguna dadah lemah peribadinya, mereka tidak boleh dipimpin. Hanya ibu bapa dan guru yang boleh membimbing.

Dadah juga merupakan masalah keselamatan dan akan memudahkan anasir-anasir komunis menyerap masuk menjalankan dakyah kepada yang terlibat.

Para belia yang gemar dengan nilai hidup dari barat, terutamanya meniru para penyanyi barat banyak terlibat dengan dadah.


SOSIAL

Dan ini juga adalah masalah sosial yang wujudnya secocok dengan kegemaran anak muda.

Pusat tahanan penagih dadah di Pulau Jerjak hanya mampu menempatkan 700 orang sahaja, tetapi sekarang hampir 1,000 orang.

Ada penagih yang telah balik semula selepas mendapat rawatan.

Dalam soal ini para alim ulama perlu turut sama mengatasi masalah itu dengan memberi satu cara pemulihan yang intensif.

Kementerian Kebajikan Am, telah berjaya merawat lebih dari 2,000 penagih.

Penglibatan RELA adalah amat dialu-alukan dan boleh memberikan kerjasama mencegah kemasukan bahan-bahan itu di sempadan.

Kerajaan akan melancarkan kempen mencegah penyalahgunaan dadah secara besar-besaran tahun depan melibatkan berbagai-bagai kalangan dan Jabatan Kerajaan.

Baru-baru ini para dukun dan bomoh telah pula bermesyuarat di Kuala Lumpur untuk menolong Kerajaan memerangi penyakit masyarakat yang berbahaya ini.

PEMADAM telah pula ditubuhkan untuk melibatkan orang ramai dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah. Orang ramai adalah diseru memberikan sokongan kepada PEMADAM dengan menjadi ahli di tempat masing-masing.

Pihak PEMADAM baru-baru ini telah melancarkan jualan loteri untuk memungut wang dari seluruh masyarakat bagi membiayai berbagai-bagai rancangannya dalam menghadapi masalah dadah.

Orang ramai adalah diminta menyokong usaha ini dengan membeli tiket-tiket yang dijual dengan seberapa banyak yang ikhlas.

Usaha menentang penyalahgunaan dadah dan merawat penagih-penagihnya adalah memerlukan perbelanjaan yang besar.

Beberapa buah Kerajaan Negeri telah ikut menolong menjayakan rancangan PEMADAM khasnya di segi pemulihan.

Kerajaan Negeri Terengganu telah menguntukkan sebuah pulau iaitu Pulau Tenggul dekat Dungun untuk dijadikan Pusat pemulihan. Kerajaan Johor telah menguntukkan Pulau Pisang dekat Mersing sementara Kerajaan Selangor menguntukkan kawasan 200 ekar di Salak Tinggi, Sepang untuk tujuan yang sama. Semuanya ini memerlukan belanja yang besar.

Berdermalah dengan membeli Loteri PEMADAM.


(Artikel ini telah dipetik daripada majalah Sinar Zaman, Jilid VI, Bil. 59, 1977).



Tiket Loteri PEMADAM ini berharga seringgit sekeping pada waktu itu dan hadiah-hadiah yang disediakan kepada pemenang Loteri PEMADAM ini ialah:

Satu (1) hadiah yang Pertama - sebuah Rumah Banglo
Satu (1) hadiah yang Kedua - sebuah Rumah Terrace
Satu (1) hadiah yang Ketiga - sebuah Rumah Terrace

Lima (5) hadiah yang Keempat - tiap-tiap satu sebuah TV set
Sepuluh (10) hadiah yang Kelima - tiap-tiap satu sebuah Cassette Recorder
Dua puluh lima (25) hadiah yang Keenam - tiap-tiap satu sebuah Kipas Meja
Lima puluh tujuh (57) hadiah yang Ketujuh - tiap-tiap satu sebuah Periuk Nasi


Tiket seperti contoh di atas akan diundi di dewan Tunku Abdul Rahman pada 15 Oktober, 1977 jam 2.30 petang.


Untuk pengetahuan, Loteri PEMADAM ini telah lama dimansuhkan bersesuaian dengan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia...


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:



Resepi Agar-agar Lychee


Bahan-bahannya:


1 oz. agar-agar
1 tin susu cair
4 biji telur (asingkan putih dan merah telurnya)
1 1/4 tin gula
1 tin lychee (dipotong kecil-kecil)


Cara Membuatnya:


Masakkan agar-agar dengan air hingga hancur. Masukkan gula dan kemudian ditapiskan agar-agar yang telah hancur itu.

Setelah ditapis masakkan semula agar-agar itu hingga mendidih dan dimasukkan pula susu, telur merah yang telah dipukul terlebih dahulu dan lychee.

Akhir sekali masukkan telur putih yang juga telah dipukul dan kemudian dituangkan agar-agar tadi ke dalam bekas yang telah dibasahkan terlebih dahulu.

Bila sudah beku bolehlah dipotong dan dihidangkan.


Selamat mencuba!


20 August, 2010

Nila Cap Burung Unta...


Pepatah lama "kerana nila setitik rosak susu sebelanga" sememangnya sudah tidak asing lagi kepada kita semua. Secara tidak langsung ianya juga menunjukkan penggunaan nila ini telah sekian lama wujud di dalam kehidupan kita seharian sebagai medium untuk mengekalkan keputihan pakaian yang berwarna putih.


Untuk pengetahuan, selain daripada untuk memutihkan pakaian, nila juga digunakan untuk mengelakkan pakaian putih dari menjadi kekuningan. Suatu ketika dahulu penggunaan nila ini memang cukup popular terutama dikalangan murid-murid sekolah. BR sendiripun tidak terkecuali... He he..


Bukan setakat baju sekolah di'nila'kan, kasut sekolah pun turut diberi sentuhan nila. Pemandangan di mana murid-murid ke sekolah dengan pakaian dan kasut yang kebiruan adalah fenomena biasa yang boleh kita lihat pada waktu itu.


Kepada pembaca yang mempunyai pengalaman ke sekolah berbaju biru (bukan pengawas sekolah) akibat penggunaan nila ini bolehlah berkongsi bersama BR di sini. Bila dikenangkan kembali memang terasa lucu dan amat kelakar kenangan kita dahulu...


Nila yang dipaparkan di sini adalah berbentuk serbuk tetapi seingat BR, nila yang emak gunakan dahulu berbentuk kiub, diikat dan dibungkus di dalam kain kecil lalu dicelupkan ke dalam besen yang mengandungi pakaian yang hendak dinilakan. Air yang kebiruan akan terhasil bercampur dengan pakaian. Pakaian tersebut dibasuh dan dibilas bersih sebelum dijemur.


Tetapi awas! jika terlebih sukatan itulah yang akan membuatkan pakaian putih tadi akan menjadi kebiruan...


Generasi kini mungkin tidak mengetahui apa itu nila lagi kerana penggunaan nila ini boleh dikategorikan sebagai telah pupus memandangkan setiap rumah telah menggunakan kaedah membasuh pakaian menggunakan mesin basuh.


Bahan pencuci pakaian yang didatangkan dengan berbagai formula kebersihan dan keharuman telah menggantikan fungsi nila ini selain daripada penggunaan air paip bersih telah mengelakkan pakaian daripada menjadi kekuningan berbeza dengan zaman dahulu di mana penggunaan air sungai ataupun air perigi adalah menjadi sumber utama untuk membasuh pakaian secara manual.


Tips:

Nila juga boleh digunakan secara tradisional untuk mengubati penyakit beguk (leher membengkak akibat kekurangan iodine). Caranya ialah dengan menggunakan nila dan cuka makan iaitu dengan mencampurkan kedua-dua bahan tersebut dan kemudian di sapukan pada bahagian yang bengkak. Lakukan selalu sehingga hilang bengkaknya.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Agar-agar Putih Telur Berlimau


Bahan-bahannya:


1/4 oz. agar-agar
3/4 pain air
3 oz. gula
1 biji putih telur
1 helai daun pandan
1/2 biji air limau nipis
Bahan pewarna hijau atau kuning


Cara Membuatnya:


Basuh serta rendam agar-agar. Tos dengan betul dan rebus dengan air dan daun pandan yang dicarik dan disimpul.

Apabila agar-agar hancur, masukkan gula dan rebus lagi hingga gula hancur.

Sementara itu, pukul putih telur hingga putih dan gebu.

Tapis agar-agar dengan kain maslin dan biar sejuk sedikit. Pukul dan masukkan putih telur ke dalam agar-agara hingga menjadi sama rata. Bubuh air limau nipis dan sedikit sahaja pewarna.

Tuangkan ke dalam acuan yang telah dibilas dan dirikan dalam air sejuk.

Dinginkan baik-baik sebelum menghidang. Hidangkan dalam mangkuk gelas berkaki.


Selamat mencuba!


19 August, 2010

Gold Dollar Tea...


Gold Dollar Tea atau Teh Ringgit Emas ini cukup terkenal semenjak dari tahun 1970-an lagi. Dikategorikan sebagai salah satu jenama teh yang cukup enak pada waktu itu dan mempunyai serbuk teh yang agak kasar. Berlambangkan (tanda perniagaan) simbol ringgit pada pembungkusnya membuatkan ianya cukup dikenali sebagai teh 'duit emas'.


Ditanam dan dan dikilangkan oleh Gunong Emas Tea Plantations Sdn. Bhd., Cameron Highland, Pahang, Malaysia. Sememangnya ia adalah 'teh tulen dari gunung'. Gold Dollar Tea Estate juga merupakan salah satu daripada ladang teh yang menarik untuk dikunjungi di Cameron Highland dan termasuk di dalam peta lawatan jika anda ke sana.


Masih menggunakan sukatan lama di dalam menyatakan berat bersihnya iaitu 1 aun atau 28.4 gram bagi bungkusan teh seperti ini.


Bukti bahawa teh ini telah wujud semenjak tahun 1975 kerana telah mendapat pengiktirafan kelulusan paiwaian daripada Standards Institution of Malaysia (SIM) pada waktu itu. Untuk pengetahuan, SIM ini adalah sebuah badan standard kebangsaan pada waktu itu sebelum tertubuhnya Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) sekarang.


Serbuk teh yang timbul di permukaan cawan atau gelas bersama kepulan asap kepanasan ditambah pula dengan aroma teh ini yang harum, membuatkan sesiapa sahaja yang pernah merasainya pasti tidak akan melupakannya. Jika di kampung dahulu, air teh yang bercampur dengan aroma kayu terbakar (dapur kayu) sungguh nostalgia jika dikenangkan kembali...


Pada hari ini tidak pasti lagi sama ada teh Gold Dollar Tea atau Teh Ringgit Emas ini masih wujud atau tidak. Mungkin nama dan kehebatannya dahulu telah ditenggelami oleh jenama-jenama teh popular yang lain seperti Lipton dan BOH. Namun kepada pembaca yang pernah menggunakannya, pastinya ada nostalgia apabila melihatnya kembali...


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:



Resepi Puding Jagung


Bahan-bahannya:


1 tahil agar-agar
4 1/2 gelas air
1 3/4 gelas gula pasir
4 biji telur ayam
1 tin jagung
1 tin susu cair


Cara Membuatnya:


Agar-agar dimasak hingga hancur.

Merah telur diputarkan hingga naik.

Apabila agar-agar telah hancur, masukkan gula dan tapiskan.

Merah telur, jagung dan susu cair dimasukkan ke dalam sebuah bekas dan kacau sampai sebati. Kemudian masukkan adunan ini ke dalam agar-agar dan masak sekali lagi.

Kacau di atas api yang sederhana. Bila telah pekat, angkat dan tuangkan ke dalam acuan, biarkan sehingga ia beku.


Selamat mencuba!