30 September, 2010

Horlicks Mixer


Gelas Pengadun Horlicks atau Horlicks Mixer inipun lama juga jika hendak difikirkan tentang usianya. Pendek kata semenjak celik-celik mata lagi benda ini telahpun berada di dalam rumah dan masih disimpan sehingga kini untuk tatapan kita sekarang. Memang banyak mixer yang biasa kita lihat, tetapi pada BR mixer ini istimewa sedikit kerana ia adalah daripada Horlicks iaitu jenama minuman malt yang terkenal di Malaysia. Ho.. ho.. ho..


Masih terkenang semasa kanak-kanak dahulu di mana setiap hari mesti menggunakan alat ini untuk membancuh air. Bukan hanya pada air Horlicks sahaja tetapi apa sahaja jenis air yang perlu dibancuh termasuklah air kopi dan teh sekalipun. Bukan apa, cuma seronok tengok buih yang terhasil dan terasa kepuasan yang tersendiri apabila meminum air hasil daripada mixer ini. Emak kata kami 'perak'... He. he..


Terbayang telatah pelawak terkenal Hamid Ghurka kerana beliau pernah muncul di dalam iklan Horlicks ini...


Tinggi gelas mixer ini ialah lebih kurang 15 cm dan disertakan dengan sebatang pembancuhnya yang bertindak seperti injap piston naik dan turun apabila membancuh minuman kegemaran. Waktu inilah keseronokan menjelma apabila melihat batang pembancuhnya itu naik dan turun ke atas dan ke bawah... He.. he..


Disertakan sekali dengan sukatan ounce dan grammes bagi menyukat bancuhan yang tepat. Biasanya main agak-agak sahaja sesedap rasa...


Made in England tu... Pak Long Hassan, Mak Long Rokiah...


Kacanya cukup berkualiti dan tebal, melambangkan mutu yang terdapat pada barang-barang buatan dahulu. Sekarang pun sekali-sekala BR masih menggunakan lagi mixer ini dan akan tersenyum sendiri ketika menikmati minuman sambil mengenang kembali memori silam...


29 September, 2010

Penyangkut Baju Zaman Dulu-dulu


Penyangkut baju ini adalah pusaka keluarga yang telah dimiliki semenjak dari tahun 1950-an lagi dan masih digunakan sehingga sekarang. Apa yang menarik di sini ialah dari sudut penciptaan penyangkut baju ini yang tiada pada penyangkut baju zaman sekarang.


Selain daripada untuk menyangkut baju, ianya juga boleh digunakan untuk menyangkut seluar. Diperbuat daripada kayu dan dawai yang kelihatan cukup simple tetapi amat berguna.


Dibahagian bawah penyangkut baju merupakan kayu bulat yang boleh berpusing (roller) untuk menyangkut seluar, ini akan memudahkan seluar apabila ditarik tanpa sebarang kedutan. Satu inovasi yang tidak terfikir oleh kita sekarang.


Dawai penyangkutnya pun sudah kelihatan uzur bersesuaian dengan usianya. Dawai penyangkut baju ini juga boleh berpusing-pusing dan tidak statik untuk memudahkan kita menyangkutnya dari pelbagai arah.


Kelebihan penyangkut baju daripada kayu ini ialah ianya tidak berkarat dan tidak mengotorkan pakaian. Penggunaan kayu juga boleh mewujudkan nilai estetika yang tersendiri bagi penggemar ciri-ciri kedesaan.


Adalah diharapkan agar para pengilang penyangkut baju pada hari ini dapat menggunakan idea ini (dengan memberikan sedikit sentuhan inovasi) untuk mengeluarkan penyangkut baju yang lebih efisyen untuk keperluan pengguna. Gerenti laris di pasaran...


28 September, 2010

Jam Loceng Berlipat


Jam loceng ini sebenarnya membawa banyak kenangan di dalam hidup BR. Telah dibeli pada tahun 1979 iaitu kira-kira 31 tahun yang lalu. Peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah apabila ianya berbunyi di dalam beg sekolah ketika guru sedang mengajar, maka kelam-kabutlah jadinya...


Tidak menggunakan bateri tetapi menggunakan cara tradisional iaitu 'kunci'. Untuk pengetahuan, jam ini masih berfungsi dengan baik sehingga kini tetapi ia tidak digunakan lagi memandangkan tugasnya telah digantikan oleh telefon bimbit sebagai penggera untuk bangun tidur.


Pernah digunakan sebagai 'pengejut' utama ketika bangun pagi untuk ke sekolah dan juga sewaktu bangun bersahur.


Jenama Supreme dan buatan Jepun. Menurut beberapa orang pakar jam, jam buatan Jepun ini kadangkala lebih baik daripada jam buatan Swiss!


Kemas apabila dilipat dan disimpan di dalam kocek tetapi biasanya jam ini orang tidak bawa berjalan.


Bahagian belakang jam yang menunjukkan beberapa fungsi asas mengendalikannya.


Amat sesuai diletakkan di atas meja dan apabila malam 'cahaya dingin' (luminesensi) nya akan kelihatan menunjukkan waktunya di dalam gelap.


Moral value:
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
(Surah Al-Asr)


27 September, 2010

Mangkuk Ayan Blues...


Di zaman kanak-kanak dahulu siapa yang tidak pernah makan di dalam pinggan ayan? Teringat semasa bersekolah rendah dahulu di mana pengusaha kantin akan menggunakan pinggan ayan (iron) ini sebagai pinggan mangkuk utama untuk dihidangkan kepada murid-murid. Mungkin ada juga rasionalnya di mana pinggan ayan ini amat sesuai digunakan oleh kanak-kanak dan ianya cukup tahan lama.


Sebenarnya pinggan ayan ini banyak kelebihannya berbanding dengan pinggan kaca, plastik, porcelain atau polisterine yang digunakan sekarang kerana jaminan seumur hidup tidak akan pecah. Ianya juga dijamin tiada kesan toksid dan kesan sampingan serta selamat digunakan cuma tidak boleh digunakan di dalam microwave.


Pada hari ini memang jarang sungguh kita melihat penggunaan pinggan ayan ini kerana penggunaannya boleh melambangkan status seseorang. Tempatnya kini mungkin hanya sebagai pinggan ubat nyamuk ataupun sebagai pinggan makanan haiwan kesayangan...


Namun begitu, di tahun 1980-an masih ada lagi gerai-gerai makanan yang menghidangkan pinggan ayan ini kepada pelanggan-pelanggannya seperti yang pernah BR alami ketika menjamu selera di salah sebuah gerai di utara semenanjung. Hidangan yang paling sesuai dihidangkan di dalam pinggan ayan ini sudah semestinya makanan berkuah seperti laksa atau mee.


Sewaktu kanak-kanak dahulu juga mangkuk ayan ini adalah pilihan utama untuk dijadikan topi besi ketika bermain 'perang-perang'...


Didatangkan dengan berbagai corak bermotifkan bunga dan haiwan dan juga plain colour seperti biru, kuning dan hijau. Kebanyakan pinggan ayan adalah diimport daripada negara China tetapi pinggan ayan yang BR miliki ini adalah jenama JURY buatan England. Masih berkeadaan cantik dan belum lagi digunakan sekadar untuk tatapan anak-anak cucu nanti...


26 September, 2010

Old Spice.. Is Where The Old Spice Is...


Kali ini BR hendak tunjukkan pula satu jenama pendandan diri lelaki jenama Old Spice yang cukup popular di tahun 1980-an. Kepada jejaka-jejaka yang seangkatan dengan BR pastinya pernah mendengar jenama ini kalaupun tidak pernah menggunakannya. Sebenarnya banyak lagi produk daripada Old Spice ini seperti after shave, cologne dan sebagainya tetapi cuma talcum powder dan stick deodorant sahaja yang sempat diselamatkan untuk tatapan kita hari ini.


Produk talcum powder dan stick deodorant dua kombinasi yang sudah cukup untuk membuatkan si pemakainya berasa seperti lelaki sejati atau jika di dalam Bahasa Inggerisnya 'Smell like a man' He.. he..


'Famous Old Spice quality in a smooth-textured, non-staining body talcum. Cooling, soothing, highly absorbent. Also excellent for foot protection. Scented with crisp, fresh Old Spice. Sprinkle it on and enjoy a fresh well-groomed feeling all day'.

Untuk makluman, produk Old Spice ini masih lagi berada di pasaran dengan menggunakan tag 'Is where the old spice is' cuma packagingnya sahaja yang telah berubah mengikut peredaran waktu. Sila rujuk: http://www.oldspice.com/ Namun begitu, simbol kapal layarnya tetap dikekalkan sebagai trademark produk semenjak dahulu lagi.


Pada waktu itu harga bagi talcum powdernya (150gms) ialah RM5.90 manakala harga bagi stick deodorantnya pula (75 g) ialah RM11.95 dan dibeli di Parkson Ria, Butterworth. Untuk makluman, supermarket ini telah tidak wujud lagi sekarang ini lantaran satu kebakaran yang pernah dialaminya sutu ketika dahulu (tak ingat bila). Bangunannya pun telah dirobohkan untuk membina semula stesen bas dan terminal feri yang baharu di Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth.



Produk ini diimpot oleh DIETHELM (M) SDN. BHD. 74, Jalan University, Petaling Jaya. Kepada jejaka-jejaka di luar sana atau kepada wanita-wanita yang sedang mencari hadiah birthday untuk orang yang tersayang bolehlah mencuba produk ini. Gerenti 'Smell like a man'...


25 September, 2010

Seniwati Datuk Maria Menado


Sambil membelek album gambar lama di kampung sewaktu pulang berhari raya baru-baru ini, terjumpalah pula dengan gambar ini. Arwah ayah merupakan salah seorang peminat seniwati ini dan tidak hairanlah poskad ini masih lagi tersimpan sebagai kenang-kenangan.

Untuk makluman, gambar ini sebenarnya adalah sekeping poskad yang menunjukkan seniwati Datuk Maria Menado bersama sebuah piala Miss Film Star Malaya 1955 yang diianjurkan oleh St. John Ambulance Association bertempat di Johor Baharu Fun Fair pada tahun 1955. (Berdasarkan catatan pada piala itu).


Datuk Maria Menado (nama asal beliau Liesbet Dotulong) dilahirkan pada 2 Februari 1932, merupakan seorang bintang filem Melayu yang termasyhur antara 1957 dan 1963. Maria Menado berhijrah ke Singapura dan memeluk Islam ketika berusia 19 tahun dan berkahwin dengan promoter tinju dan juga penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad.

Peranannya sebagai puntianak dalam filem "Pontianak", yang merupakan filem seram tempatan yang sulung, memberikannya kemasyhuran dalam dunia filem tempatan pada tahun 1957. Pada tahun itu, beliau digelarkan "Wanita Terjelita Malaya" oleh Times Magazine serta "Wanita Berpakaian Paling Menarik di dalam Asia Tenggara" oleh United Press International, sebuah pertubuhan berita.

Untuk maklumat lanjut mengenai seniwati tersohor ini silalah rujuk: http://ms.wikipedia.org/wiki/Maria_Menado


Kualiti gambar ini agak kurang memuaskan kerana dianggarkan poskad ini telah disimpan semenjak 50 tahun yang lalu. Namun begitu adalah diharapkan agar generasi kini sama ada di kalangan artis mahupun bukan artis supaya lebih mengenali dan menyedari bahawa artis-artis kita dulu-dulu sememangnya hebat...


24 September, 2010

Kad Selamat Hari Raya Di Tahun 50-an...


Hari ini 15 Syawal 1431H kita masih lagi dalam suasana Hari Raya. Tentunya banyak sekali undangan-undangan ke majlis rumah terbuka yang terpaksa dipenuhi terutamanya pada hari esok dan lusa. Puasa sebulan dan berhari rayapun sebulanlah juga..


Kali ini BR hendak tunjukkan sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya yang telahpun berusia hampir 55 tahun kepunyaan arwah ayah yang masih tersimpan rapi di dalam album gambarnya.


Lambang bunga padi, tanda berjabat tangan serta keris yang bersilang yang melatari kad ucapan ini adalah menandakan bahawa kad ucapan adalah daripada seorang anggota polis. Difahamkan bahawa kad ucapan ini telah beliau terima daripada seorang rakan setugas di sekitar tahun 1950-an ketika bersama-sama bertugas di Kem Alor Akar, Kuantan, Pahang.


Kualiti kertas kad ucapan ini adalah sama dengan kualiti kertas gambar foto hitam putih pada waktu itu. Secara tidak langsung ini juga telah membuktikan bahawa kad ucapan dengan cetakan gambar peribadi pengirim telahpun lama wujud semenjak dahulu lagi. Agak malang kerana tarikh sebenar kad ucapan ini telah kabur untuk kita mengetahui usia sebenarnya...


Kad ucapan ini menggunakan tulisan jawi sepenuhnya dan disertakan juga dengan bait-bait syair yang indah menggambarkan perasaan si pengirim:


Bukan tak hajat hendak kemari,
Berhari raya barang sehari,
Sebab tak dapat meminta cuti,
Kad sahaja datang menziarahi.

Makan terminum halal dipinta,
Terkhilaf terbebel dimaafkan serta,
Tunggu pula tidak berjumpa,
Di dalam hati sedikit tak lupa.


23 September, 2010

Tin Biskut Berkaca Zaman Dulu-dulu...


Sewaktu kanak-kanak dahulu, pergi ke kedai terutamanya ke kedai runcit adalah merupakan salah satu tugas utama yang perlu dilakukan sebagai salah satu tugas membantu ibu bapa. Masih terbayang lagi apabila emak menyuruh ke kedai membeli minyak masak ataupun minyak tanah, terkontang-kantinglah berjalan ke kedai dengan membawa sebiji botol '1 kati' lusuh yang mulutnya diikat dengan seutas tali...


Hari ini BR hendak bercerita mengenai tin biskut yang terdapat di kedai-kedai pada tahun 1970-an. Pada waktu itu belum ada lagi biskut-biskut yang dijual secara packing seperti sekarang dan jika ada pun, tentulah mahal harganya. Biskut-biskut yang dijual di dalam tin ini boleh dibeli secara 'timbang kati' dan diisikan di dalam kertas surat khabar berbentuk sampul.


Walaupun pada hari ini masih kedapatan lagi biskut-biskut yang dijual di dalam tin seperti ini, namun ianya tidaklah sama dengan tin biskut lama ini.


Di bahagian hadapan diletakkan cermin lutsinar supaya pelanggan mudah untuk melihat apakah isi di dalamnya. Pada tin-tin biskut sekarang, kaca atau cermin lutsinar ini telah digantikan dengan plastik lutsinar.


Pandangan di bahagian dalam tin yang luas dan boleh diisikan dengan beberapa kati biskut.


Asalnya adalah daripada tin minyak tanah ataupun tin minyak masak yang telah diubah suai. Kelihatan kesan sealed pada mulut tin yang asal.


Tudungnya yang kemas dan diperbuat daripada tin juga, dijamin kedap udara. Pada tin-tin biskut sekarang, tudung ini telah digantikan dengan tudung plastik.


Apakah yang biasanya diisikan di dalam tin biskut ini?




Biskut Gula atau orang kampung BR panggil 'Roti Asan'. Sewaktu kanak-kanak dahulu, seperti mana kuih samperit juga, BR hanya makan gulanya yang berwarna-warni itu sahaja manakala biskutnya akan dibuang. He.. he..




Biskut Jari atau 'Roti Jari'. Biskut ini adalah pilihan utama kanak-kanak pada masa itu kerana sewaktu memakan biskut ini, bolehlah digayakan seolah-seolah sedang menghisap rokok. He.. he..




Kacang goreng masin. Pada waktu itu belum ada lagi kacang goreng yang dijual di dalam bungkusan seperti sekarang. Kalau tidak silap kuantiti kacang goreng yang sebanyak BR tunjukkan ini berharga 30 sen pada waktu itu.


Ada kenangan yang tersendiri apabila kita melihat kembali tin biskut lama ini. Terkenang kembali di zaman kanak-kanak dan kedai runcit yang selalu kita kunjungi hanya untuk membeli gula-gula 3 biji 5 sen... Di tempat BR dahulu ada sebuah kedai runcit bernama 'Tuck Heng' (nama rasmi di atas pintu kedai) tetapi di kalangan orang kampung lebih mengenalinya sebagai 'Kedai Toceng'. Di kedai inilah selalunya BR shopping semasa kanak-kanak dahulu.


Anda pula bagaimana? Adakah kenangan kita serupa...

22 September, 2010

Flash Kamera Hanimex


Jawapan Bagi Teka-teki Siri 3/2010


Setelah 4 hari berlalu sehinggalah jam 9.00 pagi tadi, seperti yang telah dijanjikan, hari ini BR akan umumkan jawapan sebenar dan siapakah pemenangnya bagi soalan teka-teki siri 3/2010 yang telah disiarkan pada 18.09.2010 yang lalu. Terima kasih kerana sambutan yang diberikan amatlah menggalakkan. Tetapi sebelum itu mari kita lihat dahulu jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh peserta-peserta yang telah sudi mengambil bahagian:


1. Solihin Zubir - penunu bunsen.
2. eszol - thermostat or jam randik
3. iza - soket plug fius
4. dyetika - pelita
5. tengkusri - lampu minyak tanah
6. ateyn - stand kipas ataupun blender punya motor yang bawah toh
6. Ahmad Hidayat - Pelita
7. zalya - pe tu... klu len, bg le...
8. Ezao' Edogawa - kepala pelita yang pakai minyak tanah
9. Hairil Rizal - Aerial tv? Ariel Radio? Ariel Luna Maya Cut Tari he.. he..
10. aren - tapak kaki lampu minyak tanah
11. MgtBobber - Tombol radio keset
12. MgtBobber - meter
13. transformed housewife - lampu suluh
14. F33Z~Hafizah~cucuatokaji - pelita/lampu minyak tanah/kaki pelita
15. MgtBobber - Tombol lampu gasolin !
16. iaryylr - suis
17. iza - kaki/penutup lampu gasolin
18. ikebal - pemegang mentol tungsten
19. MgtBobber - Suis reostat lampu!!


Setelah diteliti oleh para juri dan juruodit bertauliah berdasarkan jawapan yang diberikan di atas, keputusan pemenangnya ialah: TIADA walaupun tiga klu telahpun diberikan.


Jawapan yang sebenarnya ialah flash kamera (lampu kilat) dan gambar ini adalah pandangan dari bawah iaitu tapak bagi lampu flash tersebut. Rujuk: http://bluesriders.blogspot.com/2010/09/teka-teki-siri-32010-apakah-benda-ini.html


Flash kamera yang dimaksudkan ini berbentuk kiub dan mempunyai 4 lampu flash bagi setiap satu kiub dan saiz bagi setiap permukaannya ialah kira-kira 1 inci persegi. Setiap lampu flash yang telah digunakan akan menunjukkan tanda terbakar (hitam) sebagai tanda ianya telah digunakan.


Untuk pengetahuan, flash kamera ini dibeli berasingan dan hanya boleh berfungsi sebanyak 4 shots sahaja dan selepas itu ianya perlu diganti dengan yang baharu (pakai buang). Dipasang pada kamera dan setiap permukaan lampunya akan berpusing kepada permukaan lampu yang baharu setiap kali selepas shutter kamera ditekan.


Pandangan dari atas, jenama HANIMEX buatan Great Britain.


Lagi pandangan dari bawah, BR pernah menggunakan kamera ini disekitar tahun 1978 untuk mengambil gambar sewaktu masih kanak-kanak. Malang sekali kerana kameranya tidak sempat BR selamatkan untuk tatapan kita pada hari ini. Kameranya pun simple sahaja (body plastik) tetapi boleh menghasilkan gambar yang cantik pada ketika itu.


Sesuai dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi terkini, kamera dan flashnya ini bolehlah dianggap telah pupus kerana tiada lagi kelihatan jurugambar-jurugambar yang menggunakannya.


Mungkin ada di antara pembaca yang pernah menggunakannya dan lebih mengetahui mengenai flash kamera ini maka bolehlah berkongsi maklumatnya di sini.


Kepada semua peserta diharap supaya jangan berputus asa kerana teka-teki ini akan diadakan dari semasa ke semasa dengan soalan-soalan yang lebih mencabar lagi... He.. he..


21 September, 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR 2010!


Kepada semua anak-anak yang berada di Darjah Enam sekolah rendah di seluruh Malaysia BR ingin mengucapkan selamat menduduki Peperiksaan UPSR yang telah bermula pada jam 8.00 pagi tadi dan akan berakhir pada hari Khamis 23.09.2010 (tiga hari). Jawablah soalan-solan yang dikemukakan dengan tenang dan penuh keazaman untuk mendapat gred 'A' bagi setiap subjek yang diduduki.


Pada zaman persekolahan BR dahulu iaitu ketika di tahun 1970-an, belum wujud lagi Peperiksaan UPSR ini tetapi yang ada hanyalah Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Untuk makluman, Peperiksaan Penilaian Darjah Lima telah diperkenalkan pada tahun 1967 dan dimansuhkan pada tahun 1986 dan diganti dengan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah atau UPSR sekarang.


Rata-rata apabila ditanya kepada rakan-rakan seangkatan, ramai yang tidak mengetahui kepentingan peperiksaan PPDL ini termasuklah BR sendiri kerana pada waktu itu kami hanya belajar seperti biasa sahaja tanpa sebarang tekanan berorientasikan peperiksaan.


Hasil daripada keputusan cemerlang Peperiksaan Penilaian Darjah Lima ini rupa-rupanya membolehkan murid melanjutkan pelajarn Tingkatan 1 di Sekolah Sains, MCKK, STAR, Clifford, Maktab Tentera dan lain-lain sekolah berasrama penuh.


Apabila tiba hari peperiksaan, kami hanya tahu menduduki dan menjawab soalan kerana cikgu hanya menyuruh kami membawa pensil 2B dan getah pemadam.


Amat berbeza dengan situasi sekarang di mana komitmen oleh pihak Kementerian, Jabatan, PPD, Sekolah, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat amatlah tinggi bagi memastikan kejayaan murid-murid di dalam peperiksaan UPSR ini sehinggakan kadangkala mewujudkan satu suasana perlumbaan dan tekanan seolah-olah Peperiksaan UPSR ini adalah kayu pengukur muktamad terhadap kebolehan seseorang individu itu.


Untuk itu berbagai-bagai siri-siri motivasi, bengkel, teknik menjawab soalan, kelas-kelas tambahan serta berbagai lagi nama dan istilah yang diberikan kepada program-program anjuran pihak sekolah dan sebagainya telah diadakan bagi memastikan kejayaan murid di dalam Peperiksaan UPSR ini.


Apa kaitannya gambar-gambar yang dipaparkan dengan musim peperiksaan ini?


Di era 70-an dahulu, barangan di dalam gambar-gambar yang ditunjukkan memang memainkan peranan yang penting sebelum seseorang murid itu menduduki sebarang peperiksaan awam.


Ramai di kalangan ibu bapa menggunakan ikhtiar terakhir dengan membawa barangan tersebut untuk di'hembus' oleh tokoh-tokoh agama serta para alim ulama bagi tujuan penerang hati dan tidak gugup ketika menghadapi peperiksaan.


Gambar 1: Sebotol air - diminum sedikit di rumah sebelum melangkah untuk menduduki peperiksaan bertujuan untuk penerang hati.

Gambar 2: Sirih pinang - dimakan sebelum peperiksaan bermula bertujuan menghilangkan darah gemuruh.

Gambar 3: Cekelat (gula-gula) HACKS - dimakan ketika peperiksaan dijalankan juga untuk menghilangkan perasaan gemuruh.

Gambar 4: Pensil 2B

Gambar 5: Raba (pemadam)

Gambar 6: Gerumit (pengasah)


Sebagai contoh di Daerah Pendang, Kedah pada waktu itu terdapat beberapa orang tokoh agama dan alim ulama di antaranya ialah Allahyarham Tok Guru Haji Yazid dan Allahyarham Tok Guru Haji Razak (Haji Daq). Apabila tiba musim peperiksaan, maka ramailah yang akan berkunjung dari seluruh pelusuk negeri untuk meminta air penerang hati ini.


Namun begitu, walau apapun jua usaha dan ikhtiar yang dilakukan, mohonlah doa kepada Allah S.W.T. semoga segala apa yang diusahakan akan mendapat keberkatan dan keredaanNya.


Untuk anak-anak, buatlah yang terbaik dan buktikan kemampuan diri dengan penuh keyakinan... InsyaAllah.


Selamat Berjaya!