28 March, 2012

Lily Patra


Kira-kira 22 tahun yang lalu... Lily Patra adalah nama yang tidak asing lagi kepada peminat drama swasta dan filem tanahair kita kini menjadi rebutan pengarah-pengarah dan penerbit-penerbit filem dan drama swasta.

Kebolehannya membawa berbagai watak inilah yang membuat dia dikenali ramai. Lily mula diperkenalkan melalui filem "Mr. Os" meletakkannya setanding dengan pelakon-pelakon terkenal.


Lily mendapat bimbingan dalam lakonan dari pengarah Azmi Othman dan Johari Yusoff. Anak sulung dari dua orang adik-beradik ini telahpun diberi peluang berlakon dalam empat buah filem, antaranya ialah "Perawan Malam", "Ujang" dan "Taktik" yang disiarkan oleh seorang pengarah dari Hong Kong.

Dalam filem ini Lily berlakon di samping pelakon Melissa, Alice Voon dan penyanyi Man Bai (Kumpulan Gersang) yang diterbitkan oleh Solid Gold Studio.


Lily adalah antara pelakon terlaris, setakat ini sebanyak sebelas buah drama swasta telah dilakonkannya. Antaranya ialah "Main-main Hantu", "Tuan Guru Mat Silat", "Driving School" arahan Othman Hafsham dan banyak lagi.


Secara peribadi, Lily adalah seorang gadis manis, manja dan peramah. Lily dilahirkan pada 6 November 1968 di Kuala Lumpur.


*************************************

Kepada pembaca seangkatan tentunya masih ingat lagi kepada pelakon Lily Patra ini. Namanya yang unik seakan bunyi Cleopatra ini memang cukup top di awal 1990-an. Sengaja BR paparkan kisahnya sebagai imbauan kenangan kepada peminat-peminat beliau sewaktu remaja dahulu. Pada waktu ini usia beliau telahpun mencecah 44 tahun tetapi terus menyepi tanpa khabar berita hatta berlakon sebagai emak-emak atau makcik-makcik dalam drama mahupun filem tempatan.

Di manakah beliau sekarang?


21 March, 2012

Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4, 1978


Setelah kita mengikuti kisah Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-5, 1979, kali ini marilah sama-sama kita ikuti pula kisah Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 yang telah diadakan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1978. Pesta ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan sekali dari penduduk sekitar Alor Setar.

Pesta kali ini bukan sahaja merupakan satu pertandingan untuk menguji bakat masing-masing tetapi ia juga meninggalkan kesan yang mendalam untuk rakyat mengembangkan kesenian-kesenian rakyat seperti Boria, Dikir Barat, Ghazal, Dondang Sayang dan Keroncong.


Pemenang tempat ke-3 kategori Boria, Kumpulan Boria Kesuka dari Pulau Pinang.


Dendang Rakyat kali ke-5 ini telah mencapai satu lagi tahap kemajuan yang baharu dengan penyertaan Sabah dan Sarawak buat pertama kalinya. Secara tidak langsung ia boleh menyumbangkan ke arah kemajuan pesta ini mengikut kategori kesenian yang dipertandingkan.

Pesta Dendang Rakyat yang bermula pada tahun 1973 adalah sebagai satu langkah untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam seni daerah. Semenjak dari awal lagi sambutan terhadap pertandingan ini sungguh luar biasa terutama sekali di kawasan Selatan di mana terdapat jumlah penyertaan terbanyak bagi setiap kali pertandingan diadakan.


Kumpulan Boneka dari Kelantan, Juara bahagian Dikir Barat.


Seperti lain-lain pertandingan, Pesta Dendang Rakyat juga telah mengalami beberapa perubahan dari semasa ke semasa sama ada dalam cara penghakiman mahupun dalam cara persembahannya. Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 ini mengalami satu perubahan yang dianggap penting di mana cara pertandingan Dikir Barat telah diubahsuaikan supaya lebih rapat dengan bentuk persembahan yang asal.

Pada tahun-tahun sebelumnya, Dikir Barat dihakimkan menurut persembahan bersendirian tetapi mulai kali ini kumpulan yang menyertai berbalas bertanding antara satu sama lain. Ini menjadikan Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 cukup meriah apabila acara Dikir Barat ini dipersembahkan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah telah memperkenankan untuk menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.


Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah sedang menerima cenderamata dari YB Menteri Penerangan pada waktu itu, Datuk Mohamed Rahmat.


Kali ini walaupun banyak kumpulan baharu yang muncul, tetapi mengikut keputusan-keputusan dari para pengadil pemenang-pemenang dari tahun lepas masih lagi dapat mempertahankan kejuaraan mereka.

Berikut adalah keputusan penuh Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 ini:


Dikir Barat

1. Kumpulan Boneka, Kelantan.
2. Belia 4B, Kelantan.


Boria

1. Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang.
2. Boria Sri Penanti, Bukit Mertajam.
3. Kumpulan Boria Kesuka, Pulau Pinang.
Hadiah Saguhati: Boria Kem Tahanan, Taiping, Perak.


Dondang Sayang

1. Sarbanun Marican, Kuching, Sarawak.
2. Hitam Ahmad, Negeri Sembilan.
3. Fatimah Nani, Pulau Pinang.


Keroncong

1. Fajar Baru Orkes, Kajang, Selangor.
2. Orkes Keroncong Bintang Sore, Batu Pahat, Johor.
3. Orkes Keroncong Sang Putera Jaya, Kuching, Sarawak.


Ghazal

1. Sri Purnama Ghazal, Johor Baharu.
2. Saujana Ghazal, Muar, Johor.
3. Seri Kenangan Ghazal, Pontian, Johor.


Baginda Sultan sedang menyampaikan hadiah kemenangan kepada Encik Hitam bin Ahmad, Naib Johan bahagian Dondang Sayang.


Moral Value:Life is really simple, but we insist on making it complicated - confucius.


***********************************

Nota Tambahan:

Ekoran dari tersiarnya artikel mengenai Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-5, 1979, BR telah menerima email daripada salah seorang cucu Allahyarham Hj. Hitam bin Ahmad (Naib Johan bahagian Dondang Sayang, 1978). Beginilah bunyi kandungan emailnya:

"as salam.saya adalah salah seorang dari cucu HITAM BIN AHMAD.untuk pengetahuan saudara/saudari HITAM BIN AHMAD @ dikenali juga sebagai HAJI HITAM BIN AHMAD telah pun kembali ke rahmahtullah pada 5/1/2000. (seperti gambar yang saya lampirkan ).

TERIMA KASIH saya ucapkan kepada pihak saudara/saudari kerana masih dan mahu mengangkat muzik tradisional,sekaligus memartabatkan lagi akar muzik tradisional melayu ini.saya ingin bertanya,adakah saudara/saudari masih dan ada menyimpan gambar-gambar atau berita-berita serta keratan yang berkaitan dengan ARWAH HJ HITAM BIN AHMAD,yg boleh dikongsikan.terima kasih sekali lagi saya ucapkan dan saya harap saudara/saudari sudi untuk berkongsi kenangan ini dengan saya." - Razzizan bt Abd Razak.


al-Fatihah buat Allahyarham Hj Hitam bin Ahmad.

05 March, 2012

Penantian


Gambar ini telah diambil dari kulit belakang sebuah majalah keluaran tahun 1990 iaitu kira-kira 22 tahun yang lalu yang berlatar belakangkan Jeti Kuah, Langkawi.


Ada sesuatu yang cuba digambarkan oleh jurufoto PENA PARIS melalui gambar ini yang penuh dengan maksud yang tersurat dan tersirat bersama kata-kata "Bilakah berakhirnya penantian ini... Namun aku tetap menaruh harapan pada setiap hari yang datang".


Moral Value:Waiting is painful. Forgetting is painful. But not knowing which to do is the worse kind of suffering - Paulo Coelho.

01 March, 2012

MAS Gunakan Jumbo Jet


Kembali bersiaran setelah sekian lama menyepikan diri. Terima kasih kepada rakan-rakan blog dan pembaca yang telah menghantar email atau mengeloi (kelui) di shoutbox bertanyakan khabar. Sayang juga mereka kat BR... hehe..

Sebenarnya ada, memang ada lagi..! sihat walafiat cuma kekangan tugas hakiki yang memaksa blog ini untuk berehat sebentar. InsyaAllah selepas ini ianya akan beroperasi seperti biasa untuk menghidangkan sajian kenangan yang tiada akhirnya untuk tatapan pembaca sekalian. Untuk bulan Mac ini kita mulakan dengan kisah jumbo jet..

Suatu hari yang hening di sekitar tahun 1982 iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu...


Inilah wajah sebenar Boeing 747 seperti yang diceritakan.


Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berbangga dengan syarikat penerbangan kebangsaan kita MAS yang telah berkembang dengan pesatnya. Kini MAS telah memasuki era jumbo jet yang besar dengan mempunyai dua buah boeing 747 yang telah mula digunakan sejak minggu kedua bulan April.


Perdana Menteri pada waktu itu, Dato' Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad sedang mencuba keempukan kerusi jumbo jet. Teringat ketika pertama kali BR menaiki kapal terbang dahulu, mesti mencuba dahulu keempukan kerusinya adakah sesuai dengan harga tambang yang dibayar.. hehe..


MAS merupakan syarikat penerbangan yang ke-67 di dunia yang menggunakan pesawat boeing 747 pada waktu itu. Sebenarnya MAS adalah di antara syarikat penerbangan yang terkecil sekali walaupun di kalangan negara-negara ASEAN dan MAS adalah yang terakhir menggunakan pesawat boeing 747 (pada waktu itu).


Penerbangan jet 747 ialah dari Kuala Lumpur ke Dubai-Amsterdam-London pada hari Sabtu dan dari Kuala Lumpur ke Kuwait-Frankfurt-London pada hari Rabu dan Ahad. hari Khamis penerbangan 747 bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Dubai-Paris-London. Penerbangan ke Sydney-Melbourne bertolak dari Kuala Lumpur pada hari Selasa, Jumaat dan Sabtu.

Satu majlis merenjis kapal terbang MAS Boeing 747 yang baharu itu telah diadakan pada 3 April 1982 di mana Perdana Menteri pada waktu itu, Dato' Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad telah melakukan upacara merenjis dan menepung tawarnya sambil meninjau keadaan sebelah dalam kapal terbang.


Moral Value:Follow your gut and your heart; you'll almost always make the right choice. - Leighton Meester.