22 August, 2013

Surat Panggilan PLKN Untuk Luqman


Alhamdulillah, pada 24 Ogos ini genaplah umur Luqman 18 tahun. Tidaklah menghairankan jika pada bulan Julai yang lalu BR telah menerima surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang memaklumkan bahawa Luqman telah terpilih untuk menjalani Program Latihan Khidmat Negara Kumpulan 3 Siri 10/2013 bertempat di Kem Teluk Rubiah, Lumut, Perak.



Pada mulanya rasa lucu pun ada, rasa kejanggalan sistem pun ada. Tetapi BR tidak menyalahkan JLKN kerana mungkin cabutan nama Luqman adalah secara rawak melalui sistem daripada Jabatan Pendaftaran Negara. Terpaksalah pula BR menghubungi ke Pusat Panggilan PLKN memaklumkan duduk perkara yang sebenar.

Dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas untuk mengisikan beberapa borang disamping perlu disertakan salinan Kad OKU serta laporan perubatan dan dihantar ke JLKN untuk tindakan selanjutnya.

Selaras dengan Subseksyen 4(1) Akta Latihan Khidmat Negara (Akta 628), (d) Orang yang telah diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan mengalami kecacatan fizikal yang menyebabkan dia tidak berupaya menjalani Latihan Khidmat Negara adalah layak untuk memohon pengecualian. Alhamdulillah semuanya telah BR uruskan.




Teringat kembali mengenai apa yang telah berlaku terhadap Mohamad Sukri (Sila rujuk SINI) seorang remaja cacat fizikal yang pernah BR postkan kisahnya suatu ketika dahulu. Jawapan yang akan BR berikan mungkin sama seperti jawapan daripada ibu Mohamad Sukri "Beliau sedia menyerahkan anaknya mengikuti PLKN selama tiga bulan jika pihak kem mampu menguruskan anaknya yang memerlukan penjagaan rapi, termasuk memakai lampin pakai buang".




Luqman sepatutnya menaiki bas untuk ke Kem Teluk Rubiah, Lumut di Padang Majlis Daerah Tapah pada 17 Ogos yang lalu. Seandainya Luqman sihat dan normal seperti insan biasa, mungkin di masa ini beliau sedang sibuk berkenalan dengan rakan-rakan baharu dan tidak sabar untuk mengendalikan senjata M16...


Moral Value: Wordless..
Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'