22 August, 2013

Surat Panggilan PLKN Untuk Luqman


Alhamdulillah, pada 24 Ogos ini genaplah umur Luqman 18 tahun. Tidaklah menghairankan jika pada bulan Julai yang lalu BR telah menerima surat daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang memaklumkan bahawa Luqman telah terpilih untuk menjalani Program Latihan Khidmat Negara Kumpulan 3 Siri 10/2013 bertempat di Kem Teluk Rubiah, Lumut, Perak.



Pada mulanya rasa lucu pun ada, rasa kejanggalan sistem pun ada. Tetapi BR tidak menyalahkan JLKN kerana mungkin cabutan nama Luqman adalah secara rawak melalui sistem daripada Jabatan Pendaftaran Negara. Terpaksalah pula BR menghubungi ke Pusat Panggilan PLKN memaklumkan duduk perkara yang sebenar.

Dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas untuk mengisikan beberapa borang disamping perlu disertakan salinan Kad OKU serta laporan perubatan dan dihantar ke JLKN untuk tindakan selanjutnya.

Selaras dengan Subseksyen 4(1) Akta Latihan Khidmat Negara (Akta 628), (d) Orang yang telah diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan mengalami kecacatan fizikal yang menyebabkan dia tidak berupaya menjalani Latihan Khidmat Negara adalah layak untuk memohon pengecualian. Alhamdulillah semuanya telah BR uruskan.




Teringat kembali mengenai apa yang telah berlaku terhadap Mohamad Sukri (Sila rujuk SINI) seorang remaja cacat fizikal yang pernah BR postkan kisahnya suatu ketika dahulu. Jawapan yang akan BR berikan mungkin sama seperti jawapan daripada ibu Mohamad Sukri "Beliau sedia menyerahkan anaknya mengikuti PLKN selama tiga bulan jika pihak kem mampu menguruskan anaknya yang memerlukan penjagaan rapi, termasuk memakai lampin pakai buang".




Luqman sepatutnya menaiki bas untuk ke Kem Teluk Rubiah, Lumut di Padang Majlis Daerah Tapah pada 17 Ogos yang lalu. Seandainya Luqman sihat dan normal seperti insan biasa, mungkin di masa ini beliau sedang sibuk berkenalan dengan rakan-rakan baharu dan tidak sabar untuk mengendalikan senjata M16...


Moral Value: Wordless..

04 June, 2013

Cenderawasih


Sebuah lagu lama yang mempunyai melodi dan susunan lirik yang indah dengan maksud yang sungguh mendalam.



 


Cenderawasih

Cenderawasih burung kayangan
Tuanku putih kilau keemasan
Gelisah hamba si gagak hutan
Terpandang seri manis wajahmu tuan

Cenderawasih burung kayangan
Tuanku putih kilau keemasan
Adumu bercadarkan hamparan gemawan
Tidur hamba beralas reranting hutan

Aduhai cenderawasih
Suratan apa menimpa
Hamba tertawan dengan kasih
Tinggi letaknya

Tak sepadan baju di badan
Tak seiring terbang di awan
Tak sepantun biarpun dondang
Sama rentaknya

Cenderawasih burung kayangan
Tuanku putih kilau keemasan
Kaupinta dikalungkan untaian intan
Kumampu kalung daun yang kekeringan

Tak hamba terkelindan
Sayap dipatahkan
Tak hamba terkilan
Lara hamba tak kesudahan
Hamba akur dengan suratan
Hamba akur dengan kehendak Tuhan
Hamba akur kiranya cinta mimpi kesiangan


Nyanyian Kopratasa daripada album Balada Seorang Pejuang (1999)
Lagu & Senikata: Zaidy Nandir


Moral Value: The heart has its own language. The heart knows a hundred thousand ways to speak.


22 April, 2013

Alleycats


Kumpulan muzik yang dianggotai oleh tiga orang pemuzik keturunan India dan dua keturunan Cina. Merupakan kumpulan muzik pop paling lama bertahan dan terus kekal sehingga ke hari ini. Alleycats ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1968 iaitu 45 tahun yang lalu.

Pengasas kumpulan terkenal ini, David Arumugam, penyanyi utama dan pemimpin Alleycats merupakan penyanyi bukan Melayu yang paling diminati di negara ini. Popularitinya terus bertahan sehingga kini meskipun telah mula merakamkan album pertama pada tahun 1979.



45 tahun mereka bertahan, Alleycats kumpulan muzik bukan Melayu paling popular di negara ini. mereka sememangnya berbangga selain pencapaian cemerlang dalam muzik, juga satu-satunya kumpulan muzik paling lama bertahan.

Alleycats yang mengambil nama sempena nama sebuah tempat di Pulau Pinang iaitu Agar Road di mana terdapat banyaknya kucing buangan yang berkeliaran. Pada awal penubuhannya hanya bermain di kelab malam di sekitar Pulau Pinang. Sebelum mencipta nama di Malaysia, Alleycats terlebih dahulu telah mencipta nama bermain di beberapa kelab malam terkemuka di Denmark.

Pada awal penubuhannya kumpulan terdiri dari 7 orang pemuzik  iaitu David Arumugam (vokal), Loganathan Arumugam (vokal & percussion), Shanmuganathan (gitar utama), Tan Chin Hock (drum), Chester Anthony Passerella (saxaphone),  Khoo Fook Sin (keyboard), Frank Ong (gitar bass).

Banyak lagu dendangan Alleycats yang telah menjadi hit dan pernah menjuarai Lagu Pilihan Minggu ini. Antara lagu tersebut termasuklah yang paling diminati ramai, Hingga Akhir Nanti (1981), Sekuntum Mawar Merah (1982), Kerana Kau (1984), Andainya Aku Pergi Dulu (1982), Sampaikan Salam Cintaku (1987) di samping lagu-lagu hit yang lain. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan lagu-lagu mereka adalah bertemakan cinta dan kekecewaan.

Tidak seperti kumpulan-kumpulan muzik yang lain yang terus berpecah dan dibubarkan, Alleycats terus dapat bertahan dan mengekalkan populariti mereka kerana mengamalkan beberapa petua antaranya: saling menghormati, bertolak ansur, memahami perasaan dan berkongsi populariti.

Setakat ini Kumpulan Alleycats telah mendahalui kumpulan muzik tanah air kerana paling banyak menghasilkan album. Alleycats juga satu-satunya kumpulan muzik yang paling berjaya membuat jualan 50,000 unit kaset pada setiap album yang mereka hasilkan.




Tol Jalan Duta, Pintu masuk Kuala Lumpur dari arah utara seolah-olah menyambut kedatangan dengan lagu "Senyumlah Kuala Lumpur"...


Moral Value: Only those who have hurt and lost or have been sad and disappointed know how to truly comfort and forgive another in the same circumstances.


Sumber:  Ghulam Jie M Khan, (1990). Rekod-rekod Dunia Di Malaysia (5), Kluang, Johor: Ainna's Publications.

Maklumat lanjut juga boleh diperoehi di: http://www.alleycatsmalaysia.com/index.html

13 April, 2013

Scoliosis (tulang belakang bengkok)


Scoliosis ialah istilah perubatan yang merujuk kepada keadaan tidak normal di mana tulang belakang seseorang itu membengkok ke kanan atau ke kiri, atau boleh juga ia berpusing.



Jika dilihat pada x-ray dari sudut hadapan, tulang belakang seorang pesakit scoliosis akan membentuk lebih kepada huruf ‘S’ atau pun ‘C’ berbanding bentuk lurus pada orang normal.



Kebanyakkan pesakit menganggap sebagai perkara biasa sahaja.Tetapi sebenarnya ianya merupakan sakit yang yang berbahaya sekiranya tidak ditangani.


Komplikasi sekiranya tidak dirawat.

Kerosakan paru-paru dan jantung. Ini boleh berlaku jika tulang belakang membengkok melebihi 70 darjah. Tulang rusuk akan menekan paru-paru dan jantung, menyebabkan pesakit sukar bernafas dan cepat penat.

Malah, jantung juga akan mengalami kesukaran mengepam darah. Dalam keadaan ini, pesakit lebih mudah terdedah kepada jangkitan paru-paru dan pneumonia.

Sakit tulang belakang. Semua pesakit, sama ada dewasa atau kanak-kanak, berisiko tinggi mengalami masalah sakit belakang kronik.




Jika tidak dirawat, pesakit mungkin boleh menghidap masalah sakit sendi. Tulang belakang juga mengalami lebih banyak masalah apabila pesakit berumur 50 atau 60 tahun.

BR pun tidak pasti sampai bila Luqman boleh bertahan dengan Scoliosis ini. Mungkin boleh diatasi dengan pembedahan tetapi masalah Cerebral Pulsy yang dihadapinya pula akan menjadi penghalang kerana Luqman tidak pernah mengerti apa-apa walaupun dalam kesakitan.


Ibu mengertilah aku sengsara, lemas berendam airmata,
Rendang kasihmu dalam gelora, jadi rebutan selamanya,
Sakit kurasakan jadi peneman, masa semalam yang silam...



Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'