31 October, 2011

Facebook Di Tahun 1970-an..


Facebook telah wujud semenjak tahun 1970-an? Biar betul.. Sebenarnya pada entri kali ini BR cuma ingin berkongsi maklumat mengenai bagaimana cara orang dulu-dulu berkenalan antara satu sama lain terutamanya yang tinggal berjauhan di serata pelusuk negeri sebelum adanya Facebook, Twitter dan sebagainya.

Mungkin ada di antara Pak Long Mak Long, abang-abang dan kakak-kakak yang pernah terlibat dengan perkenalan melalui cara ini dan tidak kurang juga yang telah bertemu jodoh melalui ruangan seperti ini. Surat-menyurat merupakan medium utama pada waktu itu untuk berinteraksi sebelum wujudnya kecanggihan teknologi perhubungan seperti sekarang. Sayugia dimaklumkan bahawa perkenalan seperti ini juga adalah bebas dan tidak hanya tertakluk kepada berlainan jantina sahaja.


Maklum balas yang diterima oleh mereka yang menyertai laman-laman seperti ini amatlah menggalakkan kerana mungkin berguni-guni surat untuk berkenalan akan diterima setelah wajah mereka dengan sedikit maklumat peribadi disiarkan di dalam sesebuah majalah. Oleh itu dapat dilihat pada setiap photo yang disiarkan, para peserta akan cuba untuk menghantar gambar dengan posing terbaik yang mereka ada kerana sudah menjadi resam dunia yang cantik dan yang tampan juga yang akan menjadi pilihan utama.

Biasanya melalui surat-menyurat ia akan disusuli dengan pertemuan yang bakal menentukan keikhlasan dan kejujuran sesuatu perhubungan. Kerap kali berlaku photo yang dipaparkan tidak sama dengan apa yang dilihat secara realiti. Begitu juga jika ada di sebelah pihak yang memandang paras rupa dan harta benda. Bak kata Jamal Abdillah di dalam salah sebuah lagunya, "Harta dan rupa pilihan dipinta, yang tiada padaku..." huhu..

Ruangan berkenalan ini boleh dikatakan 'wajib ada' pada waktu itu di setiap majalah terutamanya majalah hiburan seperti URTV (Kembang Setaman), Variapop dan sebagainya. Begitu juga dengan majalah-majalah keluaran tahun 1960-an. Gambar, nama, umur, alamat, kegemaran dan kadangkala ciri-ciri pasangan pilihan juga bolehlah dinyatakan secara ringkas.

Masih teringat suatu ketika dahulu kebanyakan ayat yang sering digunakan oleh pemudi untuk mencari pemuda ialah "Pemuda yang beruniform". Bagi pemuda untuk mencari pemudinya pula ialah "Yang berlesung pipit".. hehe..

Sesuai dengan perkembangan teknologi, ruangan berkenalan seperti ini sudahpun pupus ditelan zaman. Kepada mereka yang pernah terlibat secara langsung atau tidak dalam bentuk-bentuk perkenalan seperti ini tentunya akan meninggalkan satu kenangan yang sungguh blues...

Kepada pembaca yang berminat untuk berkenalan atau mengeratkan silaturrahim dengan mereka yang dipaparkan ini, amatlah dialu-alukan tetapi harus diingat bahawa bagi setiap umur yang tertera pada setiap individu perlulah ditambah dengan 33 tahun lagi untuk mendapatkan usia sebenar mereka pada hari ini.



Moral Value: If what you see by the eye doesn't please you, then close your eyes and see from the heart. Because the heart can see beauty and love more than the eyes can ever wonder...


Nota:
Paparan SAHABAT SZ di atas telah diambil dari Majalah Sinar Zaman Jilid IV Bil. 70, 1978. Tidak bertujuan untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak atau individu sama ada yang masih hidup ataupun yang telah tiada.

29 October, 2011

Lairig Ghru From Coylumbridge, Inverness-shire


Sekeping poskad yang telah berusia 30 tahun (1981) yang menggambarkan mengenai keindahan Lairig Ghru di Scotland, tempat yang sunguh sesuai bagi mereka yang gemar berjalan kaki merentasi tanah tinggi. Kita ikuti kisahnya:


Looking upstream to the great cleft of the Lairig Ghru in the Cairngorms. The route of this most arduous trek from Coylumbridge through the Lairig Ghru to Deeside follows the stream for some distance.


Coylumbridge, Scotland is a village in Inverness-shire, Scotland. It is 88 miles (141km) north of Edinburgh and 37 miles (60km) south west of Elgin, Scotland. Coylumbridge is situated in what is arguably one of the most beautiful places in the country.


The Lairig Ghru is the best known hill-pass in Scotland. It climbs to an altitude of 835 metres and crosses through the central Cairngorms, one of the wildest areas in the country, and is a true classic walk. Walk the entire length starting near Aviemore on Speyside and arriving at the Linn of Dee, near Braemar on Deeside.


Untuk maklumat lanjut boleh dilihat di: Wikipedia/Lairig Ghru


26 October, 2011

TV Pendidikan Blues...


Terkenang di zaman persekolahan di tahun 1970-an, sungguh seronok apabila cikgu membawa murid-muridnya masuk ke dalam 'Bilik Tayangan' untuk menonton TV. Murid-murid sungguh tekun mengikutinya meskipun ia hanyalah rancangan TV Pendidikan dalam bentuk hitam putih...

Pada satu ketika, satu sekolah juga boleh tidak belajar kerana murid-murid akan dibawa ke kantin sekolah untuk menonton TV menyaksikan setiap kali perlawanan tinju Muhammad Ali diadakan. Masih terbayang kehebatan Muhammad Ali menentang pencabarnya seperti Joe Bugner, Joe Frazier, Antonio Inoki dan sebagainya.


Gambar di atas ini boleh menceritakan segala-galanya. Pernahkah anda mengalami pengalaman itu? Sungguh syahdu...

24 October, 2011

Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-5, 1979


Pesta Dendang Rakyat diadakan dengan matlamat untuk menggalakkan minat terhadap kesenian rakyat. Walaupun pada mulanya ia dianggap sebagai sesuatu yang boleh menimbulkan semangat kenegerian atau kedaerahan, tetapi dengan adanya penyertaan RTM (Radio & TV Malaysia), kesenian ini telah berkembang begitu luas sekali dengan tidak hanya bertumpu kepada sesuatu negeri atau daerah sahaja.

Setelah beberapa kali pertandingan serupa ini diadakan, masyarakat telah dapat menerima kesenian-kesenian negeri atau daerah ini sebagai hak milik mereka bersama.

Pada tahun 1979, Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-5 telah diadakan di Dewan Besar, Sekolah Kebangsaan Cina Foong Yew, Johor Bahru bermula pada 9 hingga 12 Mac (empat hari).

Semenjak permohonan mula dibuka ternyata sekali penyertaan terbesar diterima ialah dari Bahagian Ghazal diikuti oleh Dikir Barat, Dondang Sayang dan Boria. Namun begitu sambutan terhadap bahagian Keroncong amatlah dingin sekali. Cuma dua kumpulan sahaja yang mengemukakan permohonan dan dengan demikian jawatankuasa pertandingan telah mengambil keputusan untuk membatalkan sahaja pertandingan itu buat kali ini.

Semenjak siri ini mula diadakan, kita masih lagi dapat menyaksikan beberapa kumpulan veteran seperti Kumpulan Boria Sungai Pinang, Kumpulan Buneka dan juga Kumpulan Ghazal Sri Kenangan yang masih lagi dapat mengekalkan mutu persembahan mereka serta melayakkan diri memasuki ke peringkat akhir sekali lagi pada kali ini.

Terdapat empat bahagian utama yang dipertandingkan. Berikut adalah senarai nama-nama peserta dan kumpulan yang telah terpilih untuk bertanding di dalam Pesta Dendang Rakyat Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 ini:


Hitam Ahmad, Peserta Dondang Sayang, dari Seremban, Negeri Sembilan.


Bahagian Dondang Sayang:

1. Zin Abdullah (Subang, Selangor).
2. Jantan Dollah (Tangga Batu, Melaka).
3. Hitam Ahmad (Seremban, Negeri Sembilan).
4. Baba Aman (Tampin, Negeri Sembilan);
serta dua peserta mewakili Sabah dan Sarawak.


Kumpulan Buneka Dikir Barat, Kelantan.



Bahagian Dikir Barat:

1. Sri Temenggong (Kota Bharu, Kelantan).
2. Kumpulan Buneka (Pengkalan Chepa, Kelantan).
3. Belia 4B (Pasir Puteh, Kelantan).
4. Pemuda UMNO Mulong (Kota Bharu, Kelantan).


Kumpulan Ghazal Sri Kenangan, Batu Pahat.


Bahagian Ghazal:

1. Ghazal Polis Diraja Muar (Muar, Johor).
2. Ghazal Sri Kenangan (Batu Pahat, Johor).
3. Sri Berlian Ghazal (Yong Peng, Johor).


Kumpulan Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang. "Boria Sungai Pinang membuka cerita.. eeewwaaaahhh!!!" hehe..



Bahagian Boria:

1. Kumpulan Boria Sungai Pinang (Pulau Pinang).
2. Kumpulan Boria 4B (Jelutong, Pulau Pinang).
3. Kumpulan Boria Kem Tahanan (Taiping, Perak).


Pada malam pertama (9 Mac) pertandingan Dikir Barat dan Dondang Sayang telah diadakan.

Pada malam kedua (10 Mac) pertandingan Boria peringkat akhir diadakan.

Pada malam ketiga (11 Mac) pertandingan separuh akhir Dikir Barat dan Dondang sayang diadakan.

Pada malam terakhir (12 Mac) pertandingan akhir bagi Bahagian Ghazal, Dondang Sayang dan Dikir Barat serta persembahan istimewa johan Boria diadakan.


Hadiah-hadiahnya berupa piala pusingan berbentuk Rebana Ubi serta wang tunai. Bagi Bahagian Boria, Ghazal dan Dikir Barat:

Johan: $2,000.00.
Naib Johan: $1,500.00.
Ketiga: $1,000.00.
Saguhati: $750.00.

Bagi Bahagian Dondang Sayang:

Johan: $750.00.
Naib Johan: $500.00.
Dua Hadiah Saguhati: $300.00.

Nota: Nilai ($) adalah nilai ringgit pada waktu itu.


Radio Malaysia telah menyiarkan secara langsung Pesta Dendang Rakyat Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 ini pada pukul 8.30 malam melalui Rangkaian Nasional dan TV Malaysia hanya menyiarkannya pada malam terakhir sahaja melalui Rangkaian Nasional pada pukul 8.50 malam. Untuk pengetahuan, siaran TV pada waktu adalah dalam warna.

Walaupun peristiwa ini telah berlaku hampir 32 tahun yang lalu, pastinya akan meninggalkan kenangan kepada pembaca yang pernah menyaksikannya melalui kaca TV pada waktu itu. Gambar-gambar peserta yang dipaparkan tentunya akan menggamit memori ketika itu sama ada ketika itu masih lagi kanak-kanak ataupun remaja.

Sayang sekali rancangan atau pertandingan sebagus ini telah tiada untuk tatapan generasi kini untuk mengekalkan kesinambungan kesenian hiburan warisan. Tidaklah menghairankan jika generasi kini sudah tidak mengetahui apa itu Dikir Barat, Dondang Sayang, Boria, Ghazal dan Keroncong...


21 October, 2011

Flora Santos


Beliau merupakan seorang rekording artis dari Sabah yang pertama diberi penghormatan membuat rakaman ke piring hitam di Semenanjung Malaysia. Mula giat dan berjinak-jinak dalam arena seni suara sejak tahun 1976 lagi dan pernah menjadi anggota kumpulan padu suara D' Tuareans.


Dengan mendendangkan lagu "Doa Anak" dan "South Of The Border", Flora Santos telah berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan akhir Bintang RTM 1979. Kini Bintangnya mula menyinar apabila Flora ditawarkan untuk merakamkan lagu-lagu dengan syarikat piring hitam Life dengan album sulungnya "Doa Anak".


Dalam album ini terdapat 10 buah lagu, di samping lagu "Doa Anak", Flora akan mendendangkan lima buah lagu ciptaan oleh pencipta-pencipta tempatan. Dalam album ini Flora akan mendendangkan dua buah lagu Indonesia dan dua buah lagu copyright dari lagu-lagu barat. Beliau diiringi oleh Band D'Channel.

Muka Satu

1. Doa Anak - John Gaisah/John Gaisah.
2. Cintaku - Jamal Abdullah/Jamal Abdullah.
3. Kamaria - Copyright/S. Farisah.
4. Apa Dosaku - Faridah/F. Santos.
5. Ku Cinta Padamu - Copyright/S. Farisah.

Muka Dua

1. Kalau Terharu - Mahzan Manan/Mahzan Manan.
2. Tidurlah Anakku - Copyright/Neneng Susanti.
3. Joget Nasihat - Rosli/F. Santos.
4. Mizan Abangku - Osman Chani/Rahim Maarof.
5. Hatiku Masih Yang Dulu - A. Riyanto/Grace Simon.


Flora Santos mendapat didikan awal di Sekolah Rendah Stella Maris, Tanjung Aru, Kota Kinabalu dan di Sekolah Menengah St. John, Tuaran, Sabah. dan pernah bertugas dengan Persatuan Budaya Sabah. Di samping itu Flora juga menjadi penyanyi dengan kumpulan D Impression.

Flora mempunyai tiga orang adik beradik - dua lelaki dan seorang perempuan. "Saya menyanyi ini ialah untuk membantu kehidupan keluarga dan bukan untuk mencari populariti."


Maklumat lanjut mengenai Flora Santos boleh dilihat di: Flora Santos


17 October, 2011

Terowong Genting Sempah Blues...


Mungkin ramai di antara pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak yang sering melalui terowong ini tanpa mengetahui kisah sejarahnya. Marilah kita imbau kembali kenangan kira-kira 33 tahun yang lalu mengenai terowong yang pernah mencatat sejarah sebagai sebuah terowong lebuh raya pertama di Malaysia.

Pembukaan terowong dan sebahagian lebuh raya baharu Kuala Lumpur - Karak ini kepada lalu lintas telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Abdul Ghani Gilong, Menteri Kerjaraya Dan Kemudahan-Kemudahan Awam pada 07.01.1978 tatkala Bro Alan yang tinggal di Bentong masih belum lagi dilahirkan ke dunia ini.


Terowong jalan raya yang pertama di Malaysia ini terletak di genting Sempah, panjangnya kira-kira 3 000 kaki, ditebuk di tengah-tengah bukit dan hutan yang melintasi sempada negeri Selangor dan negeri Pahang berdekatan dengan persimpangan jalan lama ke Genting Highlands. Tingginya ialah kira-kira 2 000 kaki dari paras laut.

Tinggi terowong ialah 26 kaki dan lebarnya 32 kaki. Di sepanjang terowong diterangi oleh lampu-lampu berwarna merah muda dan sekiranya bekalan elektrik terputus, stanby generator akan bertugas secara otomatik.


YB Datuk Haji Abdul Ghani Gilong, Menteri Kerjaraya Dan Kemudahan-Kemudahan Awam sedang melihat sendiri Bilik Gerakan pemantauan terowong.


Para pengguna terowong ini tidak akan menghirup udara yang beracun seperti gas carbon monoxide atau gas-gas kotor yang lain kerana satu sistem di mana udara bersih dimasukkan ke dalam dan udara kotor dikeluarkan ada disediakan.


Selain dari itu, sistem mencegah dan memadam kebakaran juga dilengkapkan. Perkhidmatan telefon dan lain-lain kemudahan juga disediakan. Tanda-tanda isyarat lalu lintas dan kawalan yang cukup di dalam terowong disediakan dan sebagai tambahan sebuah sistem kawalan melalui televisyen (CCTV) telah dipasang dengan menggunakan dua buah kemera.

Telefon darurat untuk menghubungi pengawal-pengawal terowong juga turut disediakan. Kakitangan JKR bertugas secara 24 jam di bangunan terowong itu dan sekiranya berlaku kecemasan seperti kemalangan atau kebakaran, pengguna-pengguna terowong adalah diminta menghubungi mereka dengan menggunakan telefon-telefon yang disediakan di sepanjang terowong itu.


Dengan terbukanya terowong lebuh raya ini yang serba indah dan lengkap di Batu 23 jalan Kuala Lumpur - Bentong dan sebahagian jalan baharu, maka pengguna-pengguna jalan raya dari Batu 11 (Mimaland) hingga ke Batu 28, akan mengalami dan merasai satu perubahan yang sungguh selesa dan menyenangkan.

Mereka tidak lagi mengikuti jalan yang berbengkang-bengkok, tidak lagi menemui selekoh-selekoh yang merbahaya, pendeknya tidak lagi melalui jalan yang berliku atau berkelok-kelok.

Jalan raya dari Batu 11 dan Batu 28 dengan terowong yang terpanjang terletak di Batu 23, Genting Sempah, merupakan sebahagian dari rancangan kerajaan meningkatkan keadaan jalan raya di antara Kuala Lumpur dengan Karak.


Sebahagian daripada lebuh raya baharu Kuala Lumpur - Karak yang telah dibuka kepada pengguna jalan raya.


Projek lebuh raya Kuala Lumpur - Karak ini bermula di Batu 3, Jalan Pahang Kuala Lumpur hinggalah ke batu 54 di pekan Karak. Sungguhpun jarak lebuh raya baharu ini hanya dapat dikurangkan sejauh tujuh batu sahaja, namun perjalanan di lebuh raya baharu ini akan dapat dikurangkan sebanyak 45 minit dan dalam keadaan yang lebih selamat dan lebih selesa.

Pembukaan jalan dari Batu 11 hingga ke Batu 28 yang termasuk di dalam rancangan Seksyen 1, 2 dan 3 kini telah memendekkan jarak perjalanan kira-kira 41/2 batu dan masa perjalanan dapat dikurangkan kira-kira 25 minit.

Bagaimanapun, kerana jalan raya itu ditebuk dan dibina di tengah-tengah bukit dan hutan belantara tebal, maka tentulah terdapat juga sedikit selekoh yang tajam dan pendakian bukit yang curam. Namun demikian jumlah selekoh dan pendakian yang begini telah dapat diminimumkan.

Tanda-tanda jalan, jalur pemisahan, kerlipan batu-batu isyarat di malam hari dan lain-lain tanda disediakan dengan secukupnya untuk memberi amaran kepada pemandu-pemandu. Lorong tambahan ada disediakan ketika mendaki bukit-bukit yang tinggi.


Pintu masuk terowong dari Negeri Pahang ke Kuala Lumpur. Kelihatan juga sebuah bas berwarna putih itu yang jika di zoom, jelas tertulis perkataan "Mara Ekspress".


Dengan keadaan ini maka para pengguna akan dapat memandu dengan lebih selesa, lebih cepat dan lebih selamat pada kelajuan 40 hingga 50 batu sejam.

Pemandu-pemandu kenderaan berat adalah dinasihatkan supaya mematuhi isyarat-isyarat lorong mendaki dan terus menggunakan lorong mendaki tambahan dengan seberapa segera dan pengguna-pengguna jalan yang lain haruslah berjaga-jaga sewaktu melalui tanda-tanda ini kerana kemungkinan pemandu-pemandu kenderaan berat akan mengambil semula lorong biasa mereka apabila saja mereka selesai menggunakan lorong tambahan tadi. Oleh itu, memotong pada tempat-tempat ini adalah tidak digalakkan dan merbahaya.

Tegasnya, lebuh raya ini telah dibina dengan mutu kejuruteraan dan keselamatan yang paling tinggi dan sebarang cubaan untuk mencemar mutu ini adalah salah dari segi moral dan salah di sisi undang-undang. hehe..


Jumlah perbelanjaan keseluruhan projek ini adalah dianggarkan sebanyak $160 juta. Ini tremasuklah kos pembinaan, pengambilan balik tanah dan sebagainya.

Fasa pertama projek ini mengandungi Seksyen 1, 2 dan 3. Seksyen 1 bermula di Batu 11 berhampiran dengan Mimaland dan berakhir di Batu 21. Seksyen 2 bermula di Batu 21 hingga ke Batu 22. Seksyen 3 dari Batu 22 membawa ke Batu 28.

Jalan dari Batu 22 ke Batu 28 telah dibuka pada 1 Julai 1977dengan satu jalan sementara dekat Batu 28. Jalan sementara ini akan diputuskan apabila kerja-kerja Seksyen 4, 5 dan 6, peringkat kedua disiapkan.

Tiga syarikat pemaju telah terlibat dalam pembinaan projek ini. Pemborong Seksyen 1 dan 3 ialah Syarikat Italian-Thai Development Corporation. Pemborong Seksyen 2 termasuk pembinaan terowong ialah Korea Development Corporation. Pemborong Seksyen 4, 5, 6 dan 7 yang termasuk dalam peringkat kedua ialah Syarikat Sato Kogyo Co. Limited dari Jepun.

Kerja-kerja sekyen yang lain dalam Projek Lebuh raya Kuala Lumpur - Karak ini dari Batu 28 hingga ke Batu 43 dijangka akan dapat disiapkan pada pertengahan tahun 1978.


11 October, 2011

Peluru "Anak Lela"


Di sekitar tahun 1977 dahulu, empat belas biji peluru lama telah ditemui di tebing Sungai Perak di Kampung Pasir Salak, Perak Tengah, Perak Darul Ridzuan. Peluru lama tersebut dipercayai peluru "Anak Lela" kepunyaan orang-orang Datok Maharaja Lela yang mempertahankan Pasir Salak dari serangan penjajah Inggeris (1875 - 1876).


Sisa peluru "Anak Lela" yang dipercayai kepunyaan orang-orang Datok Maharaja Lela.


Peluru tersebut ditemui oleh seorang penduduk kampung, Encik Osman bin Arshad, 52 tahun, ketika beliau mencangkul tebing sungai berhampiran dengan Tugu Peringatan Birch (di sebelah Masjid Pasir Salak). Menurut Encik Osman, peluru yang ditemuinya itu berada kira-kira enam kaki dalam tanah berlonggok bersama-sama sebiji mangkuk.


Encik Osman bin Arshad, yang menemui peluru "Anak Lela".


"Tetapi sayangnya mangkuk itu telah saya buangkan ke dalam sungai," katanya.


Tugu Peringatan Birch, di belakangnya ialah Masjid Pasir Salak.


Peluru-peluru itu kebanyakannya sebesar telur itik diperbuat dari besi tungkal yang diselaputi oleh tanah dan karat. Beratnya dianggarkan kira-kira setengah kati.

Kebanyakan orang-orang tua di kampung itu yakin bahawa peluru tersebut adalah sisa peluru orang-orang Datok Maharaja Lela ketika menentang serangan penjajah Inggeris.


Encik Mohamad bin Anjang Mat Kasim yang mempunyai pertalian darah dengan Tok Puntum, orang yang membunuh Birch.



Encik Mohamad bin Anjang Mat Kasim, 77 tahun, bekas sidang Kampung Biak mengakui bahawa tempat peluru itu ditemui adalah berhampiran dengan Balai Datok Maharaja Lela.

"Kini tempat itu telah didirikan Tugu Peringatan Birch, Masjid dan pangkalan perahu."

Cerita Encik Mohamad ini mungkin boleh dijadikan asas kerana beliau diberitahu oleh bapa dan datuknya yang hidup di zaman Datok Maharaja Lela.

Malah Encik Mohamad sendiri mempunyai pertalian darah dengan Tok Puntum, orang yang berjaya membunuh Residen British Pertama di Perak, James Wheeler Woodford Birch (J.W.W. Birch) pada tahun 1875 ketika dia berada di dalam perahu di tebing sungai (berhampiran masjid sekarang).

Menurut Encik Mohamad lagi, Tok Puntum adalah seorang pemuda yang taat kepada Datok Maharaja Lela dan berani.

"Tapi kemudiannya beliau dikhianati dan ditangkap oleh orang Ingeris lalu dihukum gantung di Bandar Lama, Kampung Gajah."


Sebahagian kata-kata yang tertulis di atas Batu Peringatan Birch.


Kubu Datok Maharaja Lela pula yang panjangnya kira-kira 3 rantai terletak berhampiran dengan padang Sekolah Kebangsaan Pasir Salak. Kubu itu adalah sebagai bukti kepada generasi kini bahawa datuk nenek kita dahulu bersatu tenaga dan menggadai nyawa demi mempertahankan tanah air dari jatuh ke tangan musuh tanpa kemudahan-kemudahan persenjataan seperti sekarang ini.

Adalah dipercayai juga kemungkinan masih terdapat bahan-bahan bersejarah seperti senjata dan peluru lama terpendam di bumi di sekitar kawasan sekolah, kubu dan masjid kampung tersebut, sisa peninggalan dari peperangan menentang Inggeris.


08 October, 2011

Bressingham Gardens, Diss, Norfolk, England


Poskad yang berusia 30 tahun ini menggambarkan mengenai keindahan Taman Bressingham yang terletak di Barat Diss, Norfolk, England. Kita ikuti kisahnya:

Bressingham is a large scattered village, on the north side of the open vale of the Waveney, 2 miles W. by N. of Diss, and has in its parish 647 inhabitants, and 2287a. of land, lying mostly in the Duke of Norfolk's manors of Bressingham and Boyland, (fines arbitrary) and partly in the rectory manor, and Buckenham Priory manor.


Alan Bloom (1906-2005) was one of the great British plantsmen of the twentieth century. Founder of the Blooms nursery business, created the Dell Garden and its famous 'Island Beds' from 1955-1962 A gardener from the age of 16, he bought Bressingham Hall, Norfolk in 1946 and founded a world-renowned gardening dynasty that today spans three generations.


This is a six-acre complex of about 50 island beds, which act as a trial-ground and conservation resource for the herbaceous and alpine plants (over 5,000 of them) for which Alan Bloom is famous.


Opening Times:
10.30 am–4.30 pm (5.30 pm from May to August); daily; 31 March to 30 October.

Admission:
Adults £8.50; Concessions £8; Children £5.


Sila lawati Bressingham Gardens untuk maklumat lanjut.


05 October, 2011

Leftenan Muda Udara Wanita Blues...


Satu lagi kejayaan bagi kaum wanita negara kita dalam bidang ketenteraan telah terbukti apabila empat orang gadis muncul sebagai Leftenan Muda Udara. Dengan kemunculan mereka maka bertambahlah lagi jumlah Leftenan Muda Wanita yang kini sedang berkhidmat dalam berbagai cabang angkatan tentera kita.


Keempat-empat gadis Leftenan Muda Udara itu ialah:
1. Leftenan Muda (U) Fauziah binti Mohd Ariffin.
2. Leftenan Muda (U) Celine Chang Yen Yong.
3. Leftenan Muda (U) Siti Eshah binti Mohammad.
4. Leftenan Muda (U) Loh Soo Har.

Mereka ini sebenarnya telah mencipta satu sejarah kerana mereka ini dulunya bertugas sebagai Air Stewardess di lapangan Tentera Udara kemudian terpilih untuk menjalani latihan intensif dan akhirnya berjaya lulus sebagai Leftenan Muda Udara. Mereka bolehlah dianggap sebagai pelopor dalam bahagian ini.


Leftenan Muda (U) Celine Chang Yen Yong, 21 tahun dari Melaka menyifatkan kejayaannya dan kejayaan rakan-rakannya sebagai membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan apa jua latihan di dalam bidang ketenteraan.


Leftenan Muda (U) Fauziah binti Mohd Ariffin berkata, jika ada keazaman semua kesukaran boleh diatasi. Beliau menganggap kesukaran adalah sebagai kunci di dalam sesuatu kejayaan.


Leftenan Muda (U) Siti Eshah binti Mohammad, 23 tahun dari Johor pula berkata, tidak ada sesuatu yang tidak boleh dilakukan sekiranya ada kemahuan untuk berjaya. Beliau menjadikan kesusahan yang diharunginya sebagai tekad untuk mencapai kejayaan.


Leftenan Muda (U) Loh Soo Har, 27 tahun dari Kuala Lumpur berkata, bidang ketenteraan adalah satu lapangan baharu yang harus dicuba oleh wanita. Kerjayanya menarik tetapi mencabar terutama bagi gadis-gadis yang inginkan pekerjaan yang adventure.


Dalam perkiraan biasa, usia mereka sekarang telahpun mencecah 54 hingga 60 tahun. Semoga apa yang telah mereka lakukan ini boleh dijadikan pembakar semangat kepada generasi kini terutamanya kaum wanita tidak kiralah dalam apa jua bidang yang diceburi...

03 October, 2011

Group Kalibers


Group Kalibers begitulah nama sebuah kumpulan muzik yang dianggotai oleh empat orang pria serba boleh dalam bidang seni. Sebuah syarikat piring hitam tempatan iaitu Life Records telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan mereka kepada peminat muzik tanahair melalui album sulung yang berjudul "Menanti" yang telah diterbitkan pada tahun 1982.


Memang patut pun artis dulu-dulu tidak semewah artis-artis sekarang, harga bagi sebuah piring hitam pada waktu itu ialah $8.50.. hehe..


Anggota-anggota kumpulan ini terdiri dari Eddynor Ali, Abbysaifullah Ali, Eddy Ali dan Ann Sulaiman. keempat-empat mereka ini pula mempunyai hubungan persaudaraan. Dari hubungan persaudaraan inilah wujudnya nama Group Kalibers yang bermaksud "Kami Ahli Bersaudara".

Juga bermaksud serba boleh dalam arena seni iaitu menyusun muzik, mencipta lagu, bermain alat muzik dengan membaca nota dan juga menulis seni kata juga berlakon.


Eddynor Ali telah diberi tugas selaku penerbit bagi album pertama mereka merangkap penyusun muziknya. Sementara Abbysaifullah Ali diberi tugas sebagai jurucakap bagi kumpulan ini.


Terdapat 10 buah lagu yang dihasilkan sendiri oleh anggota-anggota kumpulan ini. Lagu-lagu tersebut ialah:

Muka Satu

1. Menanti - merupakan judul untuk album sulung mereka ini, dicipta oleh Eddy Ali dan Ann Sulaiman (berentak disco).
2. Liah Wajah Ibu - ciptaan Eddynor Ali.
3. Setelah - ciptaan Eddynor Ali (dangdut).
4. Pergi Tanpa Mu - ciptaan Abby Ibrahim (sentimental).
5. Hancur Cinta Seorang Pria - ciptaan Abbysaifullah Ali (ballads).

Muka Dua

6. Ku Coba Andai Kau Terima - ciptaan Eddynor Ali (sentimental).
7. Pemuzik Malang - ciptaan Eddynor Ali (sentimental).
8. Yang Kuasa - ciptaan Eddynor Ali.
9. Masa Remaja - ciptaan Eddynor Ali (berentak disco).
10. Kerana Kau - ciptaan Eddy Ali (dangdut).