Facebook telah wujud semenjak tahun 1970-an? Biar betul.. Sebenarnya pada entri kali ini BR cuma ingin berkongsi maklumat mengenai bagaimana cara orang dulu-dulu berkenalan antara satu sama lain terutamanya yang tinggal berjauhan di serata pelusuk negeri sebelum adanya Facebook, Twitter dan sebagainya.
Mungkin ada di antara Pak Long Mak Long, abang-abang dan kakak-kakak yang pernah terlibat dengan perkenalan melalui cara ini dan tidak kurang juga yang telah bertemu jodoh melalui ruangan seperti ini. Surat-menyurat merupakan medium utama pada waktu itu untuk berinteraksi sebelum wujudnya kecanggihan teknologi perhubungan seperti sekarang. Sayugia dimaklumkan bahawa perkenalan seperti ini juga adalah bebas dan tidak hanya tertakluk kepada berlainan jantina sahaja.
Maklum balas yang diterima oleh mereka yang menyertai laman-laman seperti ini amatlah menggalakkan kerana mungkin berguni-guni surat untuk berkenalan akan diterima setelah wajah mereka dengan sedikit maklumat peribadi disiarkan di dalam sesebuah majalah. Oleh itu dapat dilihat pada setiap photo yang disiarkan, para peserta akan cuba untuk menghantar gambar dengan posing terbaik yang mereka ada kerana sudah menjadi resam dunia yang cantik dan yang tampan juga yang akan menjadi pilihan utama.
Biasanya melalui surat-menyurat ia akan disusuli dengan pertemuan yang bakal menentukan keikhlasan dan kejujuran sesuatu perhubungan. Kerap kali berlaku photo yang dipaparkan tidak sama dengan apa yang dilihat secara realiti. Begitu juga jika ada di sebelah pihak yang memandang paras rupa dan harta benda. Bak kata Jamal Abdillah di dalam salah sebuah lagunya, "Harta dan rupa pilihan dipinta, yang tiada padaku..." huhu..
Ruangan berkenalan ini boleh dikatakan 'wajib ada' pada waktu itu di setiap majalah terutamanya majalah hiburan seperti URTV (Kembang Setaman), Variapop dan sebagainya. Begitu juga dengan majalah-majalah keluaran tahun 1960-an. Gambar, nama, umur, alamat, kegemaran dan kadangkala ciri-ciri pasangan pilihan juga bolehlah dinyatakan secara ringkas.
Masih teringat suatu ketika dahulu kebanyakan ayat yang sering digunakan oleh pemudi untuk mencari pemuda ialah "Pemuda yang beruniform". Bagi pemuda untuk mencari pemudinya pula ialah "Yang berlesung pipit".. hehe..
Sesuai dengan perkembangan teknologi, ruangan berkenalan seperti ini sudahpun pupus ditelan zaman. Kepada mereka yang pernah terlibat secara langsung atau tidak dalam bentuk-bentuk perkenalan seperti ini tentunya akan meninggalkan satu kenangan yang sungguh blues...
Kepada pembaca yang berminat untuk berkenalan atau mengeratkan silaturrahim dengan mereka yang dipaparkan ini, amatlah dialu-alukan tetapi harus diingat bahawa bagi setiap umur yang tertera pada setiap individu perlulah ditambah dengan 33 tahun lagi untuk mendapatkan usia sebenar mereka pada hari ini.
Moral Value: If what you see by the eye doesn't please you, then close your eyes and see from the heart. Because the heart can see beauty and love more than the eyes can ever wonder...
Nota:
Paparan SAHABAT SZ di atas telah diambil dari Majalah Sinar Zaman Jilid IV Bil. 70, 1978. Tidak bertujuan untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak atau individu sama ada yang masih hidup ataupun yang telah tiada.