16 June, 2011

Jamal Abdillah Juara Bintang RTM 1979


Pertandingan Akhir Bintang RTM pada malam 8 Januari 1980 telah disiarkan secara terus menerus dalam warna ke seluruh negara. Jamal Abdillah, bekas penyanyi Kugiran T. Road Band, telah berjaya menyandang gelaran Johan Bintang RTM '79 dalam bahagian solo mengalahkan enam penyanyi lain.


Johan Bintang RTM '79, Jamal Abdillah menerima hadiahnya daripada Menteri Penerangan, Dato' Mohamed Rahmat.

Jamal yang baru berumur 20 tahun pada waktu itu berazam untuk menjadikan lapangan nyanyian sebagai satu profesion dan berharap untuk menjadi penghibur popular pada suatu hari kelak. Setakat ini Jamal telah menerima beberapa tawaran daripada syarikat piring hitam tetapi belum lagi membuat sebarang keputusan. Walau bagaimanapun, beliau membayangkan ingin mendapat bimbingan daripada komposer Ahmad Nawab untuk mencapai cita-citanya.


Jamal Abdillah (Johan bahagian solo).

Mengenai wang kemenangannya sebanyak $2,000, beliau mengatakan ia akan membuat sedikit kenduri kesyukuran dan bakinya akan digunakan untuk pakaian bagi melengkapkan diri menyanyi di pentas dan sebagainya.


Lanny Lim Mui Lan (Naib Johan bahagian Solo).

Sementara itu pemenang tempat kedua, Lanny Lim Mui Lan, seorang pendidik yang menjadi Naib Johan (kalah hanya dengan satu mata sahaja) menyatakan yang dia akan terus mencuba lagi bakatnya di bidang seni suara sehingga dia betul-betul berjaya. Walaupun bidang seni suara menjadi minatnya, namun tugasnya sebagai seorang guru masih lagi menjadi keutamaan baginya dan "nyanyian jatuh tempat kedua", kata Lenny.


Flora Santos (Tempat ketiga bahagian Solo).

Flora Santos, 17 tahun, penyanyi daripada Sabah agak berpuas hati mendapat tempat ketiga. Flora mula mengasah bakatnya semasa berada dengan Kumpulan D'TUAREAN dan ekoran daripada itu, Flora terus bergiat sehingga berjaya mewakili negeri Sabah pada tahun tersebut. Beliau akan terus mencuba lagi sehingga berjaya menjadi johan.

Bagi bahagian solo, Johan menerima $2,000, Naib Johan $1,500 dan tempat ketiga $1,000. Tiga hadiah sagu hati sebanyak $400 telah diterima oleh Mohd Najib Abd Hanif (Najib Hanif), Pinny Mohd Radzi dan M. Dzulkarnean.


Kumpulan OFYZA (Johan bahagian Padu Suara).

Kumpulan OFYZA dengan ahli-ahlinya seramai 5 orang iaitu Omar Bakar (ketua), Faridah Bee Kader Mydin, Yahya Ismail, Zulkifli Muhammad dan Azizah Atan kesemuanya daripada Pulau Pinang melahirkan perasaan gembira mereka kerana tidak menyangka langsung akan muncul sebagai juara bagi bahagian padu suara.

Kumpulan ini berazam menggiatkan lagi usaha mereka di bidang seni suara dengan menyertai pertunjukan pentas dan kutipan amal yang mungkin diadakan jika mereka diundang. Wang yang mereka menangi sebanyak $2,500 akan mereka belanjakan untuk keluarga dan rakan-rakan di Pulau Pinang.


Kumpulan K.S '5' (Naib Johan bahagian Padu Suara).

Kumpulan K.S '5' dari Sarawak juga tidak menyangka yang mereka boleh mencapai kejayaan sebegitu rupa. Ketua kumpulan, Mohd Zain Rasit, memberitahu bahawa mereka ingin meninggikan lagi mutu persembahan mereka dan terus berkecimpung dalam alam muzik tanah air di masa akan datang. Kumpulan ini yang mendapat tempat kedua menerima wang tunai sebanyak $2,000.


Kumpulan Sea Legs Department (Tempat Ketiga bahagian Padu Suara).

Tempat ketiga jatuh kepada Kumpulan Sea Legs Department daripada Sabah. Nama yang sungguh ganjil ini adalah ilham daripada sejenis pil perjalanan (Sea Legs) dan persetujuan untuk menggunakan nama ini diambil oleh tiga orang anggota kumpulan ini iaitu Leonard Lejaim Ijim, Ledy Wong dan Philip Kating yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Walaupaun agak kecewa kerana hanya mendapat tempat ketiga, mereka berazam akan mencuba lagi pada tahun berikutnya. Kumpulan ini menerima hadiah wang tunai sebanyak $1,000.

Kumpulan MARS daripada Pahang mendapat hadiah sagu hati sebanyak $500. Mengikut salah seorang daripada kumpulan itu, jika mereka masih lagi bertugas di tempat yang sama iaitu di Kuantan, mereka akan mencuba nasib mereka sekali lagi pada tahun berikutnya.

Lima anggota jemaah hakim terdiri daripada Ahmad Nawab, Frankie Cheah, Puan Beh, Rahman Rahmat dan Ooi Eow Jin berpendapat mutu bagi pertandingan tahun ini adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Showmanship yang baik dan harmony yang begitu teratur menunjukkan bahawa para peserta pada tahun itu membuat persiapan dan latihan yang gigih untuk pertandingan akhir ini.


Sumber: Sinar Zaman, Jilid VIII, Bil. 87, 1980.

*Simbol '$' menunjukkan nilai mata wang pada ketika itu.


26 Any comments?:

peace289 said...

pergh....cayalah blog nie..teroskan lg...huhu

i'm shin... i'm inesen said...

besh nya dpt baca ngan nengok gambo lelama

paksab said...

sebenarnya tradisi bintang rtm dulu dulu, penyanyi bukan melayu ada sikit advantange untuk dapat top three, walaupun perfomance lebih kurang sama dengan peserta melayu ..cthnya dlm bintang rtm 1979 najib haniff dan pinny mohd radzi lebih menyerlah dari flora santos dan lenny lim ..

Blues Riders said...

BR to peace289 & i'm shin... i'm inesen:
t kasih, sekadar mengimbau masa silam yg hampir dilupakan..

BR to paksab:
betul tu paksab. seolah2 ada quota di situ mengikut negeri dan ras. namun demikian, qualiti mereka tetap hebat jika dibandingkan dengan program seumpamanya skrg..

Unknown said...

salam kunjungan... pehhhh cayalah pd admin blog ni. trm kasih bro... mmg besla.. tabik spring to you!!

iKhRam said...

pertandingan nyanyian dulu dgn hari ni tak sama.. namun kemeriahan pertandingan nyanyian rasanya lebih adil dan mendebarkan kan?

Muzaffar said...

Salam...

Jamal nyanyi lagu apa masa tu? kalau tak silap saya lagu Senandung Semalam kan?

Blues Riders said...

BR to Santri T.P.I.N.I:
t kasih. singgah2lah selalu.

BR to iKhRam:
dulu2 masuk bertanding atas inisistif sendiri. skrg lengkap dengan guru @ mentor..

BR to cikgu Muzaffar:
betul tu, lagu 'senandung semalam' dan lagi satu lagu tak ingat la pula..

PenDekAr LauT said...

Minat gila kat Jamal Abdillah... Memang besh..

Thomas Lee said...

kenangan manis era Bintang RTM.

My Name is Mar said...

Ayah wa minat gila kat Jamal Abdillah..

paksab said...

Jamal nyanyi lagu "Senandung Semalam" dan lagu "Pesta Hari jadiku(lebih kurang cam tu la tajuk dia) . kedua dua lagu dari album Alleycats..tetapi ketika saingan peringkat awal jamal banyak nyanyi lagu indonesia.

Anonymous said...

Ada latest info pasal Pinny Mohd Radzi?. I benar2 minatkan dia dulu. Pada saya dia lebih baik dari Jamal Abdillah. Dia pandai nyanyi dan cantik sekali. I kecewa bila dia hanya dapat harga saguhati saja.

Kalau ada maklumat, sila kongsi

zul jb

Unknown said...

jamal abdillah memang best sampai saat ini beliau masih lagi jadi fav gua...

Ummiross said...

Salam..

waa bestnya gambar2 lama ni, teringat zaman ummi muda2 hee..

Anonymous said...

to ZUL JB : Pinny Mohd Radzi tu ibu saya :)

TOK JENG said...

Salam BR,

Terima kasih bebanyak ler.. Blog sdra mengamitkan kembali ingatan saya yang ikut serta dalam pertandingan akhir Bintang 1979 ketika itu. Saya Ketua Kumpulan K.S Five dari Sarawak. Kami berlima ketika itu. Selain saya yang lainnya Rahim Saring (lead singer), Mas Rahman Musa, Sulastri Sulehan (adik kepada Prof Juneanah Sulehan UKM - lead singer Kumpulan Crescendos Juara Bintang RTM 1978) dan Dayang Jamayah Awang Bujang. Saya masih ingat lagi, 2 buah lagu yang kami pertaruhkan ketika final iaitu "BERCINTA" dan "MARI MENARI" di mana kedua-dua lagu tersebut adalah ciptaan Sdra Kamel Salem (Ketua Kumpulan Crescendos).

Sebenarnya, kumpulan kami adalah rangkaian Kumpulan Crescendos yang menjuarai Bahagian Padusuara Bintang RTM 1978. Crescendos dikhususkan untuk menyertai Bintang RTM 1978 manakala K.S Five untuk Bintang RTM 1979.

Setelah lebih 30 tahun berlalu, masing-masing pun dah ada kehidupan sendiri. Dayang Jamayah kini menetap di Brunei Darussalam. Mas Rahman telah bersara dari perkhidmatan kerajaan dan menetap di Kuching. Begitu juga dengan Rahim Saring dan Sulastri masing-masing menetap di Kuching. Saya pun dah begitu lama "lost contact" dengan mereka kecuali dengan Sdra Mas Rahman apabila sesekali saya bertemu dengannya ketika pulang ke Kuching. Saya sendiri kini terdampar di Penang meniti hari-hari akhir dalam perkhidmatan dengan kerajaan.

Salam hormat.
Tok Jen (Mohammad Zain Rasit)

Blues Riders said...

BR to TOK JENG:
salam juga buat Tok Jeng.
BR sungguh terharu dan amat berbangga sekali dengan komen yg sdr tinggalkan. tidak disangka2 ketua kumpulan K.S Five sendiri telah datang untuk menceritakan kisah sebenar yg berlaku kira2 32 tahun yg lalu. fakta sebenar adalah amat penting utk sama2 kita jadikan rujukan.

mungkin Tok Jeng dapat menceritakan serba sedikit pengalaman suka duka semasa menyertai pertandingan itu utk tatapan generasi kini. pestinya terdapat perbezaan yg sungguh ketara utk bergelar seorang penyanyi. mungkin juga sungguh indah pengalaman itu.

selamat berkenalan buat Tok Jeng.

Blues Riders said...

BR to Anonymous:
adalah diharapkan agar sdr/sdri dapat menceritakan perkembangan ibu sdr/sdri untuk tatapan kita semua. tentunya ramai yg sedang menunggu krn sehingga kini masih ada peminat Pinny Mohd Radzi yg ingin mengetahui perkembangan diri beliau. tentu sekali amat dihargai.

TOK JENG said...

Salam dan selamat berkenalan Sdra BR.



Saya terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas dayausaha sdra dalam mengumpul sejarah seni tanah air. Tidak ramai di kalangan masyarakat kita yang berminat atau serius dalam menjejak orang-orang lama yang pernah mencebur diri dalam bidang seni.



Apabila memperkatakan tentang Kumpulan K.S Five, dari sejarahnya ianya tidak dapat tidak kita akan turut memperkatakan tentang Kumpulan Crescendos yang merupakan Juara Bahagian Padusuara Bintang RTM 1978. Mengimbas kembali permulaan kami dalam K.S Five, sebenarnya ianya bermula dengan Kumpulan Crescendos di mana saya adalah ahli kumpulan yang terawal bersama dengan Sdra Kamel Salem selaku Ketua Kumpulan, Sdra Affendi dan Prof Dr Juneanah Sulehan (UKM). Bagaimanapun ketika itu saya bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan dan kerap keluar untuk tugas "out station" di serata Sarawak, maka untuk Bintang RTM 1978 tempat saya digantikan oleh seorang rakan kami iaitu Sdra Julai Elen. Setelah itu atas dayausaha Sdra Kamel, diwujudkan pula Kumpulan K.S Five sebagai persediaan menghadapi Bintang RTM 1979 di mana saya sendiri selaku ketua kumpulan. 



Sebenarnya kejayaan kedua-dua Kumpulan Crescendos dan K.S Five adalah bergantung sepenuhnya kepada komitmen anggotanya di samping disiplin diri yang tinggi. Sdra Kamel adalah orang penting dan juga tunggak utama bagi kedua-dua kumpulan ini. Beliau adalah seorang komposer dan penggubah muzik yang kreatif dan berdisiplin (saya masih berhubung dengannya yang kini menetap di Kuching). Beliau juga seorang yang cukup "determined" dalam kerjanya. Pernah suatu ketika pada jam 3 pagi beliau mengejutkan saya dari tidur (ketika itu saya bermalam di rumahnya selepas sesi latihan) bilamana mendapat ilham lagu baru dan meminta pendapat saya samada melodi lagu baru itu sesuai atau sebaliknya.

BERSAMBUNG…

Salam hormat



Tok Jen

TOK JENG said...

Salam Sdra BR,

Ketika kami menyertai Bintang RTM, tidak pernah terfikir pun soal glamour atau kemasyuran. Kami ikut serta hanya disebabkan kami benar-benar berminat dengan bidang seni. Kami bersiap sedia untuk ikut dalam pertandingan itu selama setahun. Seingat saya kami berlatih sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selepas waktu pejabat. Menyanyi dalam sebuah kumpulan padusuara bukanlah satu perkara mudah atau semudah kita menyanyi solo. Persefahaman dan semangat kerjasama adalah resepi penting bagi sesebuah kumpulan. Menyanyi secara berpadusuara merupakan nyanyian secara berharmoni dengan "voicing arrangement" yang disusun dengan cukup teliti manakala dalam setiap melodi lagu yang dinyanyikan, suara setiap anggota kumpulan mestilah menepati "note" untuk setiap harmoni. Konsep nyanyian padusuara seumpama itu disebut sebagai "modern jazz voicing" dan ianya merupakan sejarah pertama dalam muzik tanah air ketika itu dipelopori oleh kumpulan padusuara di Malaysia iaitu Crescendos dan K.S Five. Perkara ini diakui sendiri oleh Sdra Ooi Eow Jin (pemuzik terkenal RTM / tanah air). Konsep nyanyian harmoni menggunakan "modern jazz voicing" sehingga ke hari ini jarang sekali digunapakai oleh mana-mana kumpulan padusuara di tanah air kita. Kalau adapun yang menggunakannya hanya secara sebahagian sahaja. Ini disebabkan untuk menghayatinya amat sukar dan perlu kesabaran yang tinggi. Saya masih ingat lagi, suatu ketika semasa dalam latihan saya sendiri selaku "third voicer singer" pernah mengetuk kepala sendiri dengan gitar disebabkan tidak dapat mengalunkan melodi lagu menepati "note" yang ditetapkan. Begitulah sukarnya… bagaimanapun atas usaha dan penghayatan akhirnya kesukaran itu berjaya diatasi.

BERSAMBUNG…



Salam hormat



Tok Jen

TOK JENG said...

Salam Sdra BR.

Seperkara lagi yang saya ingin catatkan di sini ialah mengenai seorang yang turut memainkan peranan penting dalam mengetengahkan bakat Crescendos dan K.S Five. Orang yang dimaksudkan ialah Sdra Lawrance Oliver Dragon, seorang yang tidak asing bagi peminat muzik di Sarawak. Ketika itu beliau adalah Ketua Kombo RTM Sarawak yang bertanggungjawab menyusun serta menggubah lagu untuk kami selain dibantu dan berdasarkan idea asal Sdra Kamel. Seingat saya beliau berasal dari PJ dan rumah terletak di Jalan Gasing. Kalau saya tidak silap, beliau mempunyai pertalian kekeluargaan dengan mendiang Alfonso Suliano yang juga merupakan seorang pemuzik terkenal tanah air ketika itu. Saya tidak pasti samada beliau masih hidup atau telah meninggal dunia. Kalau pun dia masih hidup, mungkin usianya telah mencecah lewat 70an.



Itulah antara kenangan yang masih segar dalam ingatan saya. Cuma saya ingin mencadangkan kepada Sdra BR, andainya dapat diusahakan bersama pihak RTM supaya dihimpunkan semula otai-otai Bintang RTM sekitar 1970an dan 1980an dalam satu program.



Untuk Anonymous - sampaikan salam saya buat ibu sdra / sdri (Puan Pinny Md Radzi)



Salam Ramadhan Al Mubarak dan Salam Aidilfitri.



Tok Jen

Sweet And Simple said...

klu dpt ulang siaran ni kn bgus...suara jamal abdillah memang hebat sampailah sekarang ni.

Anonymous said...

ANONYMOUS,

Ya ke you anak Pinny Mohd Radzi? Sorrylah kalau dalam post saya dulu kata emak you cantik dan macamana minatnya saya pada dia dulu. I bukannya ada niat jahat atau apa2 . Hanya perkara ini, kenyataan. Masa tu saya pun baru 13 tahun, dan tentulah tertarik pada gadis dewasa yang cantik dan pandai nyanyi macam dia.


I tak pasti you ni lelaki ke perempuan, but I yakin you pun cantik/ handsome macam dia.

Anyway, kirim salam pada Puan Pinny

ZUL JB

Anonymous said...

Pinny sekarang menetap disaujana impian kajang....

dannalli said...

Anon 26 May.

Seperti ZUL JB, PakCik ini pula minat pada ibu kamu masa beliau bersama kumpulan nasyid lagi. Terutama satu nasyid berkenaan Rukun Islam.

" Menunai Fardhu Haji Ke Baitullah ... "

" Oh Tuhan Ku .. kurniakanlah amalan soleh yang diredhai ... amalan soleh yang diredhai ... "


Salam kepada beliau, dan ampunya blog, BR ... semoga diredhai ALLAH.

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'