Suatu perkara yang sukar dialami dan dilupakan pada zaman kanak-kanak lelaki ialah "masuk jawi". Masuk jawi merupakan zaman peralihan antara zaman kanak-kanak ke zaman praremaja. Zaman yang menunjukkan taraf kelakian seorang kanak-kanak lelaki yang diberi pengiktirafan sebagai "Orang Muda". Selepas menjalani upacara masuk jawi ini, kanak-kanak tersebut seperti dinaikkan taraf atau mendapat lesen untuk berkawan dan bergaul dengan orang dewasa.
Hukum masuk jawi atau bersunat ini adalah WAJIB bagi lelaki dan perempuan di sisi ulama mazhab syafie.
Di setengah-setengah tempat, masuk jawi dipanggil juga sebagai bersunat, berkhatan ataupun bersuci. Bagi masyarakat Melayu pula, masuk jawi merupakan adat resam nenek moyang yang diamalkan sejak turun-temurun dengan mengadakan kenduri-kendara.
Biasanya kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur antara sepuluh hingga dua belas tahun akan disunatkan oleh seorang tukang sunat atau lebih mesra dipanggil "Tok Mudim". Biasanya ibubapa akan berpakat untuk majlis ini secara beramai-ramai sama ada adik-beradik dan jiran tetangga atau mencari kawan-kawan sebaya anaknya yang dipanggil "rakan sesunat".
Selepas menetapkan tarikh dan persetujuan Tok Mudim, ibubapa akan menjemput sanak saudara dan orang kampung untuk mengadakan majlis kenduri masuk jawi ini. Tok Mudim akan diberikan wang pendahuluan di samping peralatan yang diperlukan seperti pulut semangat, bunga telur, batang pisang, seekor ayam jantan, sebiji buyung air, sirih pinang secukupnya dan benang mentah.
Sehari sebelum upacara masuk jawi diadakan, kanak-kanak tersebut akan dipuja semangatnya, dimandikan air tolak bala, diandamkan dan dipakaikan dengan pakaian baharu atau pakaian pengantin. Ada juga yang mengenakan pakaian seorang pendekar atau pahlawan. Menurut pendapat orang tua-tua, perbuatan ini bertujuan untuk memberikan semangat kepada kanak-kanak tadi supaya tidak berasa takut ataupun gentar untuk menghadapi Tok Mudim pada keesokan harinya.
Kanak-kanak yang bakal masuk jawi ini akan diberikan peluang menuntut apa sahaja yang mereka ingin atau idamkan untuk makan kerana selepas disunatkan kanak-kanak tersebut akan dikenakan pantang. Biasanya mereka diberikan nasi berlaukkan ikan masin seperti ikan gelama dan pelata. Dalam masa pantang ini mereka juga tidak boleh makan makanan yang berbisa, gatal dan berlemak disamping tidak dibenarkan berjalan atau melangkah bendul. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada alahan, mabuk darah, pitam dan terutamanya 'bentan' demi untuk keselamatan.
Ada juga keluarga yang mengarakkan anak lelakinya sehari sebelum bersunat dan ada yang mengarakkannya pada hari bersunat itu. Bagi keluarga yang berada akan menyediakan sebuah pelamin untuk ditepung tawarkan anak lelaki yang bakal disunatkan.
Sekiranya anak lelaki tersebut telah khatam al-Quran, maka upacara mengkhatam al-Quran akan dijalankan terlebih dahulu. Ada juga anak perempuan atau anak lelaki lain yang telah khatam diberi kesempatan untuk mengkhatam al-Quran pada majlis masuk jawi ini.
Pada hari kanak-kanak tersebut hendak disunatkan, Tok Mudim akan menyuruh kanak-kanak tersebut berendam sama ada di dalam kolam yang disediakan atau pada masa dahulu berendam di dalam sungai sepuas-puasnya. Tujuan berendam ini adalah untuk mengurangkan pengaliran darah, mengecutkan kulit dan menyucikan bahagian yang hendak disunatkan.
Selepas berendam, Tok Mudim akan memandikan mereka dengan air yang disediakan di dalam buyung yang telah dijampi.
Selesai memandikan kanak-kanak ini, mereka akan diberikan pakaian berupa kain sarung (pelikat) dan disuruh duduk keliling menghadap pulut semangat dan bunga telur untuk menjalani upacara menyuap pulut semangat. Mereka dikehendaki memakan tiga kepal pulut atau tiga suap sahaja. Selepas ini mereka akan menanti dengan penuh debaran giliran untuk disunatkan sama ada di atas pelamin atau di tengah rumah.
Tok Mudim biasanya akan menyunatkan mereka di serambi rumah atau di suatu sudut yang terlindung sedikit. Kanak-kanak yang hendak disunatkan akan disuruh duduk bercelapak di atas batang pisang dengan keadaan berhadapan dengan Tok Mudim. Kain sarung akan dibuangkan atau diselimutkan di bahagian belakang sementara kedua belah tangannya diluruskan ke depan diletakkan di atas lutut. Kemudian anak lelaki itu akan disandarkan kepada seorang pemegangnya di belakang sambil mendongakkan kepala.
Inilah saat-saat yang paling kritikal untuk dilalui untuk bersunat. Banyak kejadian melarikan diri, menangis dan menjerit biasanya akan berlaku pada waktu ini. Tidak kurang juga kepada peserta lain yang sedang menunggu giliran, emosi mereka adalah bergantung 100% kepada peserta yang sebelumnya. Jika elok yang sebelum mereka itu, eloklah mereka, jika menjerit terlolong yang itu maka secara psikologi akan meninggalkan kesan kepada peserta yang seterusnya.. hehe..
Tok Mudim akan mula membuka cerita, bersyair ataupun berpantun untuk melekakan kanak-kanak tersebut demi memudahkan kerja mencantas kulit kemaluan anak tersebut. Ada juga Tok Mudim yang membaca mentera seperti menurun atau berselawat dengan tujuan yang sama.
Pencantasan hendaklah dilakukan dengan pisau yang tajam, pantas dan sekali cantas sahaja untuk mengelakkan sakit. Pada masa dahulu Tok Mudim tidak menggunakan sebarang cara atau ubat bius (pelali) seperti sekarang. Sakit akibat luka dicantas memang terasa ke'originalan'nya bak kata orang tua-tua, bagai digigit semut sahaja adanya..
Seterusnya Tok Mudim akan membalutkan luka cantasan tadi dengan kain dan diikat dengan tali (tangsi) yang dibuat khas oleh Tok Mudim. Kanak-kanak yang telah disunatkan akan dipapah ke bilik dan kemudian kain sarungnya diikat pada bucu tengah dengan tali ke palang bumbung. Biasanya mereka akan disediakan dengan tempurung kelapa untuk diketuk di kepala lutut kononnya untuk mengelakkan sengal, tegang urat dan menghilangkan sakit. Ada juga yang menggunakan bulu ayam untuk mengorek telinga apabila terasa sakit, mencium buah limau dan sebagainya.
Bagi ibu bapa dulu-dulu, kanak-kanak itu juga akan dibekalkan dengan rokok untuk dihisap ketika terasa sakit. Tetapi perbuatan ini amatlah tidak digalakkan.
Sementara itu, bahagian kulit yang telah dipotong 'kutil' akan ditanam bersama abu panas di bawah rumah dan ada yang menyalainya beberapa hari sebelum ditanam.
Selepas disunatkan, kanak-kanak tersebut tidak dibenarkan mandi selama tiga hari. Luka bahagian yang disunat itu akan dicuci pada tiap-tiap pagi dan petang selama sepuluh hari sehingga luka tersebut kering dan sembuh. Ubat yang digunakan secara tradisi ialah 'gelomok nyior' iaitu sejenis debu yang terlekat di pelepah kelapa muda dan pelbagai jenis daun kelat. Ada juga yang menggunakan 'teh cina' sebagai pencuci luka tersebut di samping ubat luka yang paling popular pada waktu itu ialah ubat berwarna biru nila 'cap senapang'.
Berpantang semasa menunggu masa sembuh amatlah menyiksakan disamping selalu diawasi oleh ibu bapa. Kanak-kanak itu tidak boleh terpijak tahi ayam kerana dikatakan lambat sembuh, tidak boleh makan makanan yang berkelapa, telur, sayuran gatal dan daging kerana dikatakan membawa alahan. Biasanya luka bersunat ini akan sembuh selama dua minggu atau selewat-lewatnya tiga minggu.
Berbeza dengan sekarang dengan pelbagai teknik bersunat moden dengan ubat-ubatan yang disediakan, luka bersunat ini akan sembuh selewat-lewatnya hanya seminggu sahaja. Saat menghadapi sembuh sepenuhnya adalah yang paling menyeronokkan kerana kanak-kanak akan merasa 'geli' terutamanya ketika hendak memakai seluar... hehe..
Sekiranya dalam tempoh tersebut tidak sembuh, ini bermakna ia telah melanggar pantang larang, bentan, alahan atau tersampuk. Tok Mudim akan datang semula dalam tempoh sembuh untuk membuka balutan luka atau menyembuh sakit yang melanggar pantang.
Zaman kini telah jauh berubah, sudah jarang-jarang lagi kedapatan majlis kenduri, adat berarak, berendam dan berpantang seperti dahulu. Ramai ibu bapa lebih suka memilih bersunat di klinik atau hospital yang menyediakan pelbagai teknik bersunat moden yang lebih mudah dan selamat. Namun demikian, ada juga ibu bapa yang terus memilih bersunat secara tradisi ini (menggunakan Tok Mudim) atas sebab-sebab yang tersendiri. Biar apapun pilihan, tujuannya tetap sama iaitu untuk menunaikan tanggungjawab wajib bersunat bagi lelaki dan perempuan di sisi ulama mazhab syafie.
Demikianlah serba sedikit kisah mengenai majlis bersunat yang pernah diadakan suatu ketika dahulu. Mungkin ada pembaca yang mempunyai kisahnya yang tersendiri ketika melalui saat-saat genting untuk berkhatan terutamanya secara tradisional di mana masih belum ada lagi pelbagai kaedah moden berkhatan seperti hari ini. Sedih, lucu atau gembira tetap akan meninggalkan kesan dan kenangan yang tidak mungkin dilupakan untuk dikisahkan kembali kepada anak cucu kerana itulah pengalaman sekali seumur hidup...
Semalam, 24.11.2011, Alhamdulillah, maka selamat sejahteralah kedua-dua putera BR iaitu Muhammad Muqri dan Muhammad Aidiel berkhatan di Poliklinik Razi, Tapah, pada jam 9.00 pagi.
Moral Value: Kata orang hanya 3 perkara yang paling digeruni oleh lelaki, 1. Masuk jawi, 2. Akad nikah; 3. Isteri hendak bersalin.
30 Any comments?:
wuiyo budak 2 org ni dh masuk jawi la..bravo la..
hehe! teringat time darjah 4!! hujung disember 2003. hek3!!! :)
lawok2.....memang geli time lepas sembuh tuu....hek3!
saya dulu sunat masa darjah lima tahun 1995..buat kat klinik je..doktor siap hisap rokok time sunatkan budak hahahaha.
malam malam ketuk lutut dengan tempurung sebab anu menegang.bila menegang tu yang rasa sakit sikit..sebab tu ketuk lutut hehehehe.
info menarik..dh dewasa..moga ank2 dpt berbakti kpd mak ayah dgn baik sekali..jadi ank soleh!
len zaman len cara tp kewajipan tetap kewajipan.dlu ngan gunting la pisau la apa.skang pakai alat tu je.mkin sng je sme bnda.adk drjh 5 kt rmh pn dh nk sunat.hohoho
salam;
sekarang ni nampak mudah berkhatan kalau dulu..tengok muka tok mudim dah mengeletar lutut dahlah khatan guna pisau cukur lipat..tak guna ubat bius pulak main minum air jampi agaknya, tapi yg peliknya tak rasa sakitpun masa tengah potong kulit anu...
hi. waw detail pulak cerita pasal sunat zaman dulu ni.pengalaman sendiri ke? hihi. btw, kenapa lelaki takut time akad? jawab jela...senang je kan? hihihi
BR to Faztee Danisha:
memang bravo la mama betty, muka selamba jer..
BR to Syafiq Ahadin:
geli..? hehe..
BR to bro Alan:
betul tu bro, salah satu sebabnya kena ketuk lutut supaya si anu mengendur.. wakakaka..
btw doktor tu memang blues..
BR to Brilliant Marjan:
insyaAllah.. Amin.
BR to aReLaN:
biar apapun kaedah yang digunakan, kewajipan tetap kewajipan. sekarang kecil2 lagi sudah bersunat. zaman BR dahulu ada yang sampai usia belasan tahun..
BR to yusuflaili(Goku):
itulah kelebihan tok mudim. ramai yang berpendapat kaedah tradisional lebih baik drp kaedah moden. wallahualam.
BR to Dr Zatiel Ismail:
sebahagiannya adalah dari pengalaman sendiri dan pemerhatian.
mengenai akad, bukan takut tapi gementar saja.. hehe..
ngeeeeesshh!! nasib la Yaya pompuan.. =.= huhu,, khatan time baby.. huhu
hehe..ye ke lelaki takut bila isteri nak bersalin??
syok hoo sunat, dulu sunat pakai pisau lama.... memang pisau paling banyak makan darah adalah pisau sunat...
syabas, selamat datang ke alam macho man. (bawah bantal banyak isi tuh...)
BR to Yaya Luffya:
ada juga lelaki yang bersunat semasa masih baby..
BR to Arra Ahmad:
tak tahulah pula, orang yang cakap macam tu.. hehe..
BR to bro ia:
betul tu bro, pisau berdarah dan paling digeruni..
BR to bro Spallan:
lepas ni dah boleh mengorat tu.. bukan bawah bantal saja bro, siap sediakan tabung lagi.. hehe..
hehe..lagi-lagi cuti sekolah nie, mesti ramai yang nak bersunat. cayalah budak tu sempat senyum lagi. :)
Selamat beristirehat Muqri dan Aidiel...Selamat melangkah ke alam baru juga...
BR to Aida Omar:
tak sakit pun, sebab tulah boleh senyum..
BR to simanis:
terima kasih.
anak akak pun baru lepas..alhamdulillah..dah ok dah
ape rasenye eh berkatan?mesti takot kan..mujur emy pompuan.takyah katan.haha :)
hihi...comel je budak2 tu duk baca buku lepas berkhatan ya..
adik aku pon sunat masa cuti sekolah ni..keh3..
Kami Cool
BR to Cik Tie@Akak:
alhamdulillah.. semoga selamat semuanya..
BR to emy zulaiha:
hehe..
BR to KizZ:
baca buku tu berlakon jer tu..
BR to nikamir:
alhamdulillah..
assalam..hehehe..comel dedua...selamat sudah yer..
BR to et:
alhamdulillah.. esok nak buka clamp.
wa semua cerita best2 ni
BR to gagak putih:
cerita mana yang best tu? hehe..
Nice job
hehe teringat tahun 2000..tgk adik laki sorang kite sunat kat klinik...canggih2..
BR to herizal alwi:
terima kasih.
BR to hana nabihah:
memang canggih dan tidak menyakitkan..
wah.. kita plak yg takut baca n3 ni.. maklumlah ada 2 hero yang kena lalui saat ini..
BR to Sofya:
tak ada apa yang perlu ditakutkan.. tak sakit pun.. hehe..
Post a Comment