30 September, 2011

Unit Payung Terjun Wanita Pertama PDRM Terima Sayap


Setelah kita mengikuti kisah wanita awam Melayu pertama menjadi penerjun di negara ini, marilah kita ikuti pula kisah tujuh orang anggota polis wanita yang telah menunjukkan kemampuan sebagai kumpulan pertama ahli payung terjun wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira 23 tahun yang lalu.

Semangat, ketabahan dan keberanian mereka inilah yang membawa kejayaan sehingga mereka layak menerima sayap payung terjun dari isteri Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Datin Paduka Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali, dalam satu upacara khas yang diadakan di Taman Tasik Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 17 Julai 1988.


Tujuh anggota ahli payung terjun wanita PDRM bergambar kenangan.


Ketujuh-tujuh anggota polis wanita itu terdiri dari:
1. Inspektor Ng Guat Choo (Kontijen Melaka).
2. Koperal Wanita 59037 Jamilah binti Dahlan.
3. Konstabel Wanita 105779 Hasmawati binti Mohamad (Kontijen Pahang).
4. Konstabel Wanita 106347 Nurmala binti Rashid.
5. Konstabel Wanita 105820 Rohani Koran Khan (PULAPOL, Kuala Lumpur).
6. Konstabel Wanita 90033 Harjinder Kaur a/p Hazara Singh.
7. Konstabel Wanita 106231 Zalilah binti Abu Yahya (Kontijen Pulau Pinang).

Mereka mula menjalani latihan darat dari 5 Februari 1988 selama dua minggu dan mereka telah berjaya diterjunkan dari pesawat Bilatus Porter PC6 Polis Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Ipoh, Perak sebanyak 6 kali bagi payung bulat dan 9 kali bagi payung jenis empat segi.

Bagi latihan peringkat kedua, mereka telah mendalami termasuk penerjunan bebas yang diadakan di Kompleks Latihan Para PPH, Ulu Kinta, Perak dan diterjunkan secara bebas dari ketinggian 4 000 kaki dari paras laut. Ketujuh-tujuh penerjun wanita yang menunjukkan semangat dan keberanian yang luar biasa sehingga berjaya membuat penerjunan bebas walaupun melalui saat-saat kecemasan.

Dengan kesungguhan dan kegigihan, mereka telah berjaya mencapai kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi saat kecemasan di udara.


Ketujuh-tujuh anggota payung terjun wanita itu dengan tunjuk ajar jurulatih-jurulatih yang berpengalaman, berjaya membuat purata lompatan sebanyak 60 kali bagi setiap orang dari ketinggian 4 000 kaki hingga 10 000 kaki dengan terbang bebas selama 45 saat sebelum mengembangkan payung mereka dan mampu mendarat tepat di sasaran.

Hanya enam orang sahaja penerjun wanita PDRM akan menunjukkan keupayaan mereka terjun pada paras ketinggian 3 048 meter dari paras laut dalam satu upacara khas pada tarikh itu.

Seorang anggota unit itu, Konstabel Ruhani Koran Khan tidak turut serta kerana mengalami kecederaan di kaki ketika mengadakan lompatan ke-61.

Dalam satu pertemuan dengan ketujuh-tujuh anggota payung terjun itu, mereka merasa bangga di atas kemampuan mereka dan berjaya menjalani latihan yang mencabar itu sehingga hari itu mereka berjaya menerima sayap payung terjun PDRM.


Inspektor Ng Guat Choo (gambar kecil) sedang membuat penerjunan.


Bagi Inspektor Ng Guat Choo, 34 tahun yang menyertai pasukan polis dalam tahun 1975 sebagai seorang konstabel wanita. Beliau pernah bertugas dalam cawangan tugas am, trafik, mahkamah, cawangan khas dan cawangan komputer.

Dalam tahun 1976 beliau telah dilantik sebagai Inspektor Percubaan dan selepas menjalani latihan ditukarkan ke Pulau Pinang sebagai Pegawai Penyiasat JSJ. Pada tahun 1979 sekali beliau telah ditukarkan ke Cawangan Komputer di Bukit Aman dan dalam bulan April 1987 ditukarkan ke Kontijen Melaka sebagai pegawai penyiasat.

Menurut Inspektor Ng Guat Choo, dalam bulan Januari 1988 beliau dengan cara sukarela memohon untuk menyertai Unit Payung Terjun PDRM. Beliau dipanggil untuk menyertai latihan payung terjun di PPH 69 di Ulu Kinta, Perak. kerana menerima sebagai satu cabaran dan dengan galakan yang diberikan oleh keluarganya itu maka beliau menyertai unit itu.

Beliau sudahpun melakukan 60 kali penerjunan termasuk penerjunan di waktu malam dengan ketinggian 10 000 kaki. Bercita-cita untuk menjadi seorang jurulatih payung terjun yang baik dan akan menyertai pertandingan payung terjun bersama anggota-anggota payung terjun PDRM di pertandingan-pertandingan payung yang diadakan di dalam negeri atau luar negeri.


Koperal Jamilah binti Dahlan.


Koperal Wanita Jamilah binti Dahlan, 34 tahun, yang sudahpun berkhidmat dengan pasukan polis selama 14 tahun dan pernah bertugas dalam Cawangan Pasukan Simpanan Persekutuan dan pernah menjadi pengawal peribadi kepada Almarhumah Tengku Ampuan Pahang.

Jamilah, ibu kepada empat orang anak menyertai Unit Payung Terjun ini setelah mendapat galakan dari suaminya.

Koperal Jamilah berjaya membuat 60 penerjunan dari ketinggian 10 000 kaki termasuk penerjunan malam yang telah dilakukan di pertunjukan Tatu PDRM di Johor Bahru sempena menyambut Ulang Tahun Penganugerahan Gelaran Diraja ke-30 kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia.


Konstabel Wanita Rohani Koran Khan menerima sayap dari Dato' Sri Datin Paduka Sri Hasmah.



Konstabel Wanita Rohani Koran Khan, 28 tahun, dari PULAPOL yang telah berkhidmat dengan pasukan polis sejak 6 tahun yang lalu merupakan seorang ahli sukan polis yang aktif dalam bidang sukan olehraga, bola jaring dan hoki.

Beliau menyertai Unit Payung Terjun PDRM dengan sukarela menyahut cabaran dan membuktikan keupayaan kaum wanita menyertai Unit Payung Terjun yang selama ini di monopoli oleh kaum lelaki.

Rohani merupakan anak keempat dari enam orang adik beradik. Sebelum menyertai unit ini beliau pernah bertugas di Komplek Sukan PULAPOL. Beliau telahpun melakukan 60 penerjunan dari ketinggian 10 000 kaki termasuk penerjunan di waktu malam.

Menurut Konstabel Rohani, beliau meras terkilan kerana tidak dapat membuat penerjunan pada majlis itu kerana mengalami kecederaan di kaki kanannya semasa menjalani latihan. Tetapi beliau merasa bangga dapat menghadirkan diri di upacara menerima sayap.


Konstabel Wanita Harjinder Kaur a/p Hazara Singh.


Bagi Konstabel Wanita Harjinder Kaur a/p Hazara Singh, 32 tahun, dari Kontijen Pulau Pinang telah berkhidmat dengan pasukan polis 7 tahun yang lalu. Sebelum menyertai Unit Payung Terjun PDRM, beliau bertugas di Cawangan Tugas Am di IPD balik Pulau, Pulau Pinang.

Beliau yang memohon secara sukarela untuk menyertai unit payung terjun ini telah menjalani latihan intensif di PPH 69, Ulu Kinta, Perak sejak bulan Januari 1988.

Harjinder Kaur, yang sangat berminat di dalam penerjunan bebas ingin membuktikan bahawa kaum wanita juga boleh menceburi lapangan yang mencabar ini dan ingin maju sehingga mencapai taraf profesional dan boleh mewakili Malaysia dalam sebarang pertandingan payung terjun.

Beliau merupakan seorang ahli sukan yang pernah beberapa kali menjadi johan dalam sukan jalan kaki di kejohanan-kejohanan yang diadakan.


Konstabel Wanita Hasmawati binti Mohamad.


Konstabel Wanita Nurmala binti Rashid, 25 tahun, anak ke-4 dari 8 orang adik beradik ini mulai menyertai pasukan polis 5 tahun yang lalu.

Beliau merupakan seorang anggota yang aktif dalam bidang sukan olahraga, hoki dan badminton dan beberapa kali mewakili PDRM dalam kejohanan-kejohanan yang diadakan.

Selepas tamat latihan rekrut, beliau ditugaskan di Komplek Sukan di PULAPOL sebelum menyertai Unit Payung Terjun PDRM.

Nurmala yang masih belum berumahtangga, begitu cenderung dan berminat dalam bidang yang diceburi ini. Pada kali pertama melakukan penerjunan, Nurmala merasa gayat dan juga takut payung tidak terbuka, dengan tabah hati beliau berjaya melakukan penerjunan pertamanya dan rasa ketagih pula, katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang penerjun yang baik di samping mewakili negara dan pasukan di dalam pertandingan payung terjun.

Konstabel Wanita Zalilah binti Abu Yahya, 27 tahun, dilahirkan di Kuala Kedah dan berkhidmat dengan pasukan polis sejak 6 tahun yang lalu, sebelum menyertai Unit Payung Terjun PDRM pernah bertugas di IPD Georgetown, Pulai Pinang di Cawangan Kereta Peronda.

Anak kedua dari dua orang adik beradik ini masih belum berumah tangga. Zalilah begitu berminat dengan sukan payung terjun dan setelah ada peluang menyertai unit ini maka cita-citanya akan tercapai.

Beliau sudahpun melakukan penerjunan sebanyak 55 kali dari ketinggian 8 000 kaki dari paras laut dari lompatan para bebas termasuk beberapa penerjunan waktu malam.


Ketua Polis Negara pada waktu itu, Tan Sri Mohd Haniff Omar dengan caranya tersendiri melihat anak buahnya bergayut di awan biru.


Ketujuh-tujuh anggota Unit Payung Terjun PDRM ini telah dilatih oleh Sarjan Jamil bin Othman dari PPH 69, Ulu Kinta, Perak.


Mengikut perkiraan biasa mungkin ada di antara mereka yang telahpun bersara atau masih lagi berkhidmat bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini, tetapi dimanakah mereka?

29 September, 2011

Greetings From London


Poskad ini bertarikh 26.04.1984 iaitu kira-kira 27 tahun yang lalu. Tiada pula bersetem cuma menggunakan satu pelekat "Postage Paid". Keseluruhannya menggambarkan mengenai keindahan dan tempat-tempat menarik yang terdapat di ibu kota London.


The city of contrasts; from fish and chips to the Savoy Grill. Portobello market to Bond Street, the Tower of London to the Bowater Building, dustmen to dukes (and it's often hard to tell them apart) and bowler hats to bowling alleys... all this goes to make up the most fascinating city in the world.


Entertainment knows no bounds; night clubs, theatres, cinemas and sight-seeing tours guarantee to hold the visitor enraptured for the duration of his stay.


Untuk maklumat lanjut mengenai London, silalah ke: Wikipedia/London


27 September, 2011

Batu Hampar - Tempat Memancung Orang Berzina?


Benarkah batu hampar di Kuala Selangor digunakan sebagai tempat memenggal leher penderhaka atau tempat memancung orang berzina? Untuk mengetahuinya, bacalah secebis cerita sejarah Negeri Selangor di bawah ini.

Di halaman istana dalam kota pertahanan kedua di Bukit Selangor terdapat tiga mata anak tangga turun dari dataran tanah tapak istana. Halaman 30 x 30 kaki itu dihiasi oleh seketul batu pejal 5 x 5 x 2 kaki terletak di atas satu lapik yang kukuh kedudukannya.

Batu pejal dan padu di tengah-tengah halaman itu mengandungi beberapa cerita yang berbeza-beza.


Beberapa orang yang ditemui menyatakan bahawa di atas batu itulah beberapa orang penderhaka dan melakukan zina ditiarapkan untuk dipenggal lehernya. Sementara darah-darahnya pula ditakung dalam sebuah bekas untuk disemahkan sekeliling istana.

Salah seorang yang menjadi korban di situ ialah seorang gadis istana dihukum pancung kerana bermukah dengan seorang jejaka luar istana. Darah gadis ini juga disiramkan keliling istana tersebut.

Tetapi kenyataan ini ditentang hebat oleh Encik Norbit bin Lakik keturunan Bugis jati lahir di Jeram, 8 batu ke selatan Kuala Selangor.

Encik Norbit menerangkan, "Tempat memancung atau membunuh penderhaka ialah di suatu tempat lain, iaitu di sebuah bukit kini dikenali dengan nama Bukit Hospital."

Di bukit ini terdapat sebatang pokok bunga tanjung berhampiran dengan sebuah telaga. Di pangkal pokok tersebutlah hukuman bunuh atau penyeksaan dijalankan.

Suatu tempat lagi ialah di suatu cangkat Bukit Selangor kira-kira 500 meter dari istana. Di tempat yang dikatakan itu juga masih terdapat sebatang pokok besar dan juga sebuah telaga.

"Batu Hampar itu ialah tempat sultan bersemayam kerana bermain catur," Encik Norbit menerangkan. "Tidak ada seorang sultan pun menghukum rakyatnya di dalam kawasan istana, cuba kita baca syair, kisah ataupun hikayat," tambahnya lagi.

Encik Norbit pernah mendengar sendiri keterangan dari Allahyarham ayahnya yang berketurunan seorang Panglima Diraja dalam tahun 1743, sezaman dengan Sultan Selangor pertama.

Beliau juga menyebut tujuh nama yang menjadikan lahirnya salasilah beliau. Iaitu dari Encik Norbit bin Lakik bin Haji Ahmad bin Darasim bin Panglima Gempur (seorang Panglima Selangor sebelum perang saudara antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin) bin Aki bin Daeng Jumbuk.

Daeng Jumbuk ialah orang yang menjadi panglima handalan Selangor ketika itu, juga digelar Panglima Hitam atau pernah digelar Datuk Aru.


Encik Norbit ialah bekas mandur Lembaga Bandaran Kuala Selangor dan bermastautin di atas Bukit Selangor tidak kurang dari 25 tahun. Beliau juga adalah seorang yang sentiasa mengawasi kesan-kesan sejarah di atas bukit tersebut.

Pendapat ini disokong oleh Encik Ramli bi Ab Rani, kini bekerja di Lembaga bandaran sebagai mandur. Beliau juga menegaskan bahawa Batu Hampar itu adalah tempat bersemayam sultan ketika bermain catur bukan tempat memancung kepala.

Sebagai buktinya di Jugra (berhampiran dengan tempat membuat kayu arang sekarang) terdapat juga sebuah Batu Hampar yang sama bentuknya. "Batu Hampar ini adalah tempat sultan bersemayam ketika menerima pembayaran ufti dari jajahan takluknya," Encik Norbit menyambung.

Encik Muhammad bin Mahmuddin, 76 tahun, iaitu seorang penjaga Keramat Rubiah (Anak Dara) pula menyatakan, "Saya bersetuju dengan pendapat kedua-dua mereka di atas tadi kerana saya pernah mendengar cerita yang sama."

Keanehan Batu Hampar ini ialah tentang kedudukannya terletak cuma di atas tanah pasir sahaja.


Satu lagi kesan yang masih ada di Kuala Selangor ialah sebuah busut (bukit kecil) yang dibina khas di namakan Malawati.

Bukit kecil seluas 20 x 20 kaki dan setinggi tidak kurang dari 20 kaki itulah yang mempengaruhi panggilan kepada Bukit Selangor dan dipanggil juga Bukit Malawati.

Nama Malawati begitu terkenal di Selangor terutama di Kuala Selangor. Nama Malawati ini diabadikan oleh beberapa badan dan syarikat, seperti nama toko buku, nama syarikat kerjasama, syarikat pembangunan, kedai kerinting rambut dan sebuah taman batu.

Jarak bukit kecil ini dari istana kira-kira 100 meter melalui jalan batu-batu yang disusun rapi. Di situlah setiap pelawat dibawa berehat serta mengadakan perundingan di samping melihat permainan menyabung ayam di zaman dahulu.

Itulah juga yang menyebabkan nama bukit kecil tadi dinamakan Malawati, dari perkataan "lawat".

Di keempat penjuru bukit itu ditanam dengan pohon-pohon sena, ada yang berumur tidak kurang dari 100 tahun. Tetapi kini hanya dua penjuru sahaja yang masih mempunyai pokok tersebut.

Jika dipandang sekali imbas tidak ada apa-apa pun yang menarik di Busut Malawati ini selain dari menjadi tempat berehat. Tetapi sebenarnya ia menyimpan suatu rahsia yang tersembunyi.

Encik Norbit menerangkan, "Di dalam Bukit Malawati itu terdapat sebuah gua, inilah dinamakan gua Kuala Selangor."

Di dalam gua ini tersimpan beberapa harta kerajaan Selangor, antara lain ada tiga bilah keris tanpa hulu. Keris panjang mempunyai tujuh lok, keris kedua lima lok dan yang pendek hanya tiga lok sahaja.

"Saya pernah memohon untuk mendapatkan salah satu daripada keris itu di suatu malam. Malangnya saya tidak berjaya kerana saya tidak tahan menerima dugaan," jelas Encik Norbit.

Encik juga menerangkan, jika dapat pun keris itu hanya boleh digunakan untuk menolong orang yang susah sahaja. "Pendek kata bukan untuk kebanggaan," dia menambah.

Beliau juga telah menunjukkan arah mana yang dikatakan pintu gua itu. Jika mendaki Bukit Selangor itu dari pangkalan Batu Buruk melalui tangga 100 kita dengan senang akan nampak pintunya.

Malangnya tidak semua orang boleh masuk ke dalam gua ini walaupun bertemu dengan pintunya.

Pintu gua yang dimaksdukan itu terdiri dari tiga ketul batu pejal 6 x 4 kaki tiap-tiap satu. Dua ketul berdiri terserinding sebelah menyebelah, sedangkan yang seketul lagi itu merupakan sekeping papan lebar seolah-olah penutup pintu.

Encik Sudin bin Bohir (Pak Sampul), 84 tahun, juga berketurunan Bugis jati, yang kini ditugaskan menjaga makam-makam almarhum di situ mengakui keterangan yang dibuat oleh Encik Norbit tadi.

Malah beliau menambah, harta yang tersimpan di dalam gua itu antara lainnya ialah alat kebesaran sultan, sebatang tombak Kerajaan juga ada di situ.

Wallahualam.


Sumber: Sinar Zaman, Jilid VI, Bil. 55, 1977. Halaman 10 & 11. Ditulis oleh Yusoff Hassan.


22 September, 2011

Kereta Polis Hari Raya...


Oleh kerana kita masih lagi di dalam suasana berhari raya, elok benarlah kiranya BR membawa pembaca sekalian kembali mengenangkan zaman berhari raya di zaman kanak-kanak dahulu.

Bagi kanak-kanak lelaki tiada lain yang difikirkan dengan duit raya yang diperolehi selain daripada enjoy dengan membeli permainan, tengok wayang, beli mercun dan main judi tikam-tikam. Itulah sahaja saatnya untuk bergembira memandangkan kuasa membeli yang tinggi hanya setahun sekali...


Salah satu permainan yang masih lagi disimpan sebagai kenangan ialah kereta polis tin toy berkunci ini. Cukup mengimbau kenangan apabila melihatnya. Pusing satu kampung kutip duit raya baru boleh dapat membelinya.. hehe..


Kebanyakan permainan kanak-kanak dahulu menggunakan teknologi berkunci berbanding sekarang yang lebih menggunakan bateri bagi permainan yang boleh bergerak dan berbunyi. Tahap ketahanan permainan dahulupun adalah di tahap terbaik berbanding dengan permainan sekarang yang mudah rosak.


Ada machine gun di hadapan untuk memudahkan anggota polis bertugas menembak penjenayah yang melarikan diri.. Sekali pandang macam water gun pun ada, mungkin sesuai digunakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.. hehe.. Di belakangnya pula ada bendera bertuliskan "Play Land".


Masih elok dan boleh dimainkan lagi tetapi jalannya hanya lurus ke hadapan tiada belok-belok. Dari dahulu sehinggalah sekarang kebanyakan permainan kanak-kanak made ini China. Keseluruhan badan kereta polis ini diperbuat daripada tin manakala patungnya dibuat daripada getah, hanya di bahagian bawahnya sahaja plastik.


Kereta polis dari Skuad 176 ini sedia untuk beraksi menjaga keamanan negara. "Tegas, Adil dan Berhemah" hehe..

20 September, 2011

Kuantan Blues...


Pada 17 dan 18 September yang lalu BR sekeluarga berada di Kuantan kerana menghadiri majlis perkahwinan bapa saudara di Briged Tenggara, Kem PGA Bukit Galing, Kuantan, Pahang Darul Makmur. Mengikut sejarahnya ini adalah kali ke empat BR akan ke Kuantan. Kita ikuti serba sedikit catatan perjalanan yang telah ditempuhi yang jaraknya dari rumah hampir 355 km sehala ini.


Bertolak dari rumah jam 7.30 pagi, odometer kereta memang telah disetkan menjadi 0 sengaja untuk mengetahui jarak perjalanan yang bakal ditempuh. Perjalanan melalui Batang Kali - Genting Sempah. Jalan yang berliku serta mendaki dan menuruni bukit memang memerlukan fokus pemanduan tahap tertinggi.


Melalui Genting Highland memang boleh melihat pemandangan yang menarik, salah satunya ialah kereta kabel serta pemandangan berkabus menyejukkan mata memandang.


Pemandangan dari tanah tinggi.


Satu soalan yang menarik daripada anak-anak, dalam hutan pun boleh ada Balai Polis?


Menempuh Lebuhraya Karak merupakan satu pengalaman yang menarik terutama bagi mereka yang pernah menonton filem "Karak".. hehe..


Singgah di Hentian Rehat Lentang, rehat-rehat dan santai-santai sambil berkelah. Sememangnya perjalanan ini telah dirancangkan untuk lebih bersantai dan tidak tergesa-gesa. Apa yang hendak dikejar sebenarnya?


Tn. Hj. Mohd Haznam dan isteri (tengah) bergambar bersama keempat-empat mempelai.

Tiba di Kem PGA Bukit Galing, Kuantan tepat jam 1.30 petang. Suasana di majlis perkahwinan sungguh meriah kerana majlis ini diadakan untuk dua orang anaknya serentak. Ramai juga tetamu yang hadir termasuklah beberapa orang-orang kenamaan, tetapi siapalah kita untuk bersama mereka.


Bermalam di Bukit Gambang Resort City. Selepas makan malam, melayan anak-anak dengan amusement park di situ pula.


Selepas sarapan pagi, sempat juga membawa anak-anak ke Bukit Gambang Water Park untuk memenuhi agenda utama mereka ke Kuantan iaitu untuk bermandi-manda. Membiarkan mereka bermandian dengan berbagai aksi sepuas hati.


Kira-kita jam 1.00 petang, sebelum bertolak pulang sempat juga bertemu dengan blogger Si Manis bersama keluarganya. Katanya teringin sangat untuk bertemu dengan Luqman.

Terharu juga kerana beliau sekeluarga terpaksa dan sanggup bergegas dari Kuantan ke Gambang kira-kira 40 km hanya untuk satu pertemuan yang sesingkat itu.

Kepada Si Manis dan suami sekeluarga hanya ribuan terima kasih sahajalah yang dapat BR sekeluarga ucapkan. InsyaAllah jika panjang umur bertemu lagi kita. Dapat juga buah tangan daripada Si Manis, keropok dan kuih serta duit raya untuk anak-anak.

Dalam perjalanan pulang, singgah sebentar di sebuah 'Restoran Seri Berkelah" di Kampung Gelugor kira-kira 14 km dari Gambang membeli bekal apa-apa yang patut sebelum meneruskan perjalanan pulang.


Singgah sebentar di Maran 'Bandar Ayam Kampung', sebelum memasuki Lebuhraya Maran - Genting Sempah. Hujan lebat di sepanjang perjalanan serta lebuhraya yang 'jem' hampir 3 km sebelum Temerloh kerana kerja-kerja pembaikan jalan yang menjadikan lebuhraya hanya satu lorong sahaja.

Niat di hati memang hendak menyusuri jalan lama Maran - Temerloh - Lanchang sebelum memasuki semula lebuhraya. Memandangkan hari sudahpun petang dan cuaca pun hujan, niat tersebut terpaksalah dibatalkan. Ada sebab sebenarnya, hanya kerana ingin mencari sesuatu yang 'hilang' untuk sebuah jawapan yang hampir 13 tahun belum terungkai...

Ada satu cerita yang ingin BR kongsikan disini terpulanglah kepada pembaca untuk mempercayainya atau tidak. Kali pertama BR sampai di Kuantan ialah pada tahun 1998. Waktu itu anak baru seorang (Luqman) dan menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Kuala Terengganu. Sewaktu pergi kami melalui Ipoh - Gerik - Jeli - Kota Bharu - Kuala Terengganu.

Dari Kuala Terengganu kami bermalam di Kuantan dan bertolak balik melalui Kuantan - Kuala Lumpur melalui jalan lama keesokannya. Perjalanan terpaksa melalui jalan lama kerana pada waktu itu Lebuhraya Kuantan - Kuala Lumpur belum ada lagi.

Menyusur jalan lama antara Maran - Temerloh, hari sudahpun tengahari lalu kami berhenti untuk menikmati makan tengahari di sebuah kedai makan yang kelihatan sungguh ramai orang.

Tempatnya tidaklah sunyi sangat kerana banyak kereta turut singgah di situ dan boleh dilihat bumbung-bumbung perumahan seperti sebuah pekan kecil di bawah bukit di celah-celah rimbunan pokok.

Setelah memesan makanan kelihatan orang di situ dengan hal masing-masing. Makanannya pun biasa-biasa saja. Sewaktu hendak membuat pembayaran, agak menghairankan juga kerana tuan punya kedai seolah-olah tidak mahu mengambil bayaran tetapi akhirnya bayar juga walaupun dengan harga yang agak mahal untuk dua pinggan nasi yang tidak berlauk ikan patin pun.

Membebel juga BR di dalam kereta kerana itu ditambah pula dengan hampir-hampir melanggar seorang wanita yang sedang mendukung anak melintas di hadapan kereta tanpa menoleh kiri dan kanan.

Setelah selamat sampai di rumah, berceritalah kami kepada beberapa rakan sekerja yang terdiri daripada orang Pahang dan juga orang Temerloh sendiri.

Setelah lokasi kedai makan diceritakan, masing-masing mengatakan bahawa tempat, suasana persekitaran dan kedai makan yang diceritakan itu sememangnya TIDAK pernah wujud. Puas juga bertekak tetapi akhirnya beralah jua kerana sebagai anak jati Pahang tentunya mereka lebih arif mengenai tempat itu berbanding kami yang hanya pertama kali pernah melalui jalan itu.

Jika begitu, apakah gerangan sebenarnya yang telah berlaku? Apa yang telah kami makan di situ? Siapakah mereka yang dilihat turut sama di kedai itu? Sampai sekarang persoalan itu masih belum terjawab...


15 September, 2011

Pejuang dan Perjuangan...


Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua (DBP) erti merdeka ialah bebas drpd penjajahan, kurungan, naungan dll; tidak bergantung pd yg lain; berdiri sendiri. Sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-54 dan Hari Malaysia 2011, marilah kita sama-sama mengenang jasa-jasa pahlawan yang telah terkorban demi mempertahan tanah air yang tercinta ini.


Mat Salleh

Datu Mohammad Salleh Datu Balu atau Mat Salleh dilahirkan di Inanam, Sabah. Pejuang berketurunan Bajau dan Suluk ini menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB) pada 1895 yang memperkenalkan pelbagai peraturan menyusahkan penduduk tempatan seperti buruh paksa, lesen dan cukai beras.

Perjuangan beliau juga didorong semangat jihad orang Sulu melawan Sepanyol di Filipina. Beliau terkorban selepas SBUB melancarkan serangan besar-besaran pada Januari 1900 di Kampung Tebuh, Tambunan. Perjuangannya diteruskan dua pengikut, Mat Sator dan Kamunta, tetapi SBUB menghentikan kebangkitan pengaruh Mat Salleh pada Julai 1902.


Dol Said

Datuk Naning Abdul Said atau lebih dikenali sebagai Dol Said, pahlawan Naning menentang Undang-Undang British terutama cukai diperkenalkan pada 1800-an. British mengarahkan Naning mematuhi peraturan ditetapkan di Melaka, tetapi tidak dituruti Dol Said kerana menganggap Naning daerah berdaulat.

Berikutan itu, Inggeris mengisytiharkan Dol Said penderhaka dan menghantar 150 orang menyerang Naning tetapi ditewaskan taktik perang gerila bersama bantuan Yamtuan Muda Raja Ali dari Rembau serta dari Seri Menanti pada 15 Julai 1831. Pada Mac 1832, tentera Inggeris menawan Taboh serta membakar rumah penduduk di situ. Dol Said berundur ke Seri Menanti dan menyerah diri.


Tok Janggut

Mat Hassan Munas atau Tok Janggut, pahlawan Melayu tersohor menentang British di Kelantan. Dilahirkan di Kampung Jeram, Pasir Puteh pada 1853 dan menetap di Kampung Nering, mendapat pendidikan pondok di Kelantan dan Makkah, kemudian menjadi petani serta peniaga selain mahir ilmu persilatan, menentang Inggeris pada awal 1900-an antaranya kerana cukai membebankan.

Tok Janggut terkorban dalam serangan British ke kubu beliau di Kampung Dalam Pupuh, Saring pada 24 Mei, mayatnya diarak ke Pasir Puteh dan Kota Bharu sebelum digantung songsang di Padang Balai Besar, Kota Bharu selama empat hari serta dikebumikan di Pasir Puteh.


Sharif Masahor

Pembesar Sarikei di Sarawak menentang Inggeris selepas kewibawaan beliau tergugat apabila wilayah itu diletakkan di bawah pentadbiran Brooke. Pada 1855, Sharif menyerang Mukah, mengusir Pangeran Matusin yang menyokong James Brooke.

Beliau berpakat dengan Datu Patinggi Abdul Ghapur dari Kuching untuk menghalau Brooke dari Sarawak dengan menyerang Kanowit pada 1856 sebelum berpakat dengan Abdul Ghapur dan Temenggung Hashim dari Sadong pada 1860 bagi menyerang Kuching, namun gagal. Abdul Ghapur ditahan dan dipenjarakan di Betawi, kapal dan perahu dinaiki Sharif yang bertempur dengan tentera Inggeris di Sungai Sadong ditenggelamkan, menyebabkan beliau berundur ke Mukah.


Yamtuan Antah

Dilantik Yamtuan Seri Menanti pada 1875, wilayah jajahan meliputi Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol. Penentangan bermula apabila baginda tidak bersetuju dengan Datuk Kelana Sungai Ujong yang menandatangani perjanjian dengan Inggeris. Pertikaian mengenai kawasan Terachi mencetuskan pertempuran.

Yamtuan Antah disokong Datuk Siamang Gagap, Tunku Besar Tampin, penduduk Rembau, Jelebu dan Johol, menawan Paroi dan membina kubu pada Disember 1875, namun berjaya ditawan semula Inggeris. Baginda berundur ke Bukit Putus dan Johor dan pada Mei 1876, Yamtuan Antah berunding dengan Gabenor William Jervois sebelum diiktiraf British sebagai Yamtuan Besar Seri menanti.


Rentap

Menentang James Brooke pada abad ke-19. Atas alasan mahu menghapuskan lanun sekitar saribas dan Skrang, Brooke memusnahkan penempatan Iban di Sungai Skrang dan mendirikan kubu di Nanga Skrang. Pada 1853, Rentap menyerang kubu itu sebelum Brooke menawan kubu Rentap di Sungai Lang pada 1854, membakar perkampungan pahlawan itu sehingga memaksa pengikut Rentap berundur ke Bukit Sadok.

Inggeris gagal menawan Bukit Sadok dalam serangan pada 1857 san 1858, menyebabkan Brooke sendiri mengetuai serangan pada 1863 dan menewaskan Rentap dalam pertempuran sengit selama sebulan. rentap berundur ke Entabai untuk menyusun strategi baru, tapi meninggal dunia.


Maharaja Lela

Datuk Maharaja Lela adalah Orang Besar Berlapan dan penghulu di Pasir Salak menentang British pada 1875, merancang membunuh Residen British Perak, James Wheller Woodfird Birch atau JWW Birch selepas ketuanan Melayu dicabar. Pada 2 November 1875, Birch tiba di Pasir Salak untuk menyiarkan surat pengisytiharan hak memungut cukai, tetapi mati dibunuh.

British menyerang Pasir Salak, namun ditewaskan pejuang Melayu, tetapi akhirnya menang dalam pertempuran setengah tahun dengan bantuan tentera dari India dan Hong Kong. Maharaja Lela, Datuk Sagor, Pandak Indut dan Sepuntum digantung sampai mati pada 1877 manakala Sultan Abdullah dibuang negeri ke Seychelles.


Datuk Bahaman

Nama sebenarnya Abdul Rahman Iman Noh, pembesar Temerloh menentang British di Pahang. Dilahirkan di Rantau Panjang, Bentong namun banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali, ayahanda Sultan Ahmad. Karisma dimilikinya menyebabkan Datuk Bahaman disegani dan dihormati penduduk dan pemerintah Pahang sehingga dilantik mentadbir Semantan dan menjadi salah seorang daripada Orang Besar Delapan Pahang.

Selepas empat tahun menentang penjajah dari 1891 hingga 1894, Datuk Bahaman ditahan dan dibawa ke Bangkok pada November 1895.


Abdul Rahman Limbong

Pejuang di Terengganu dipercayai antara peguam Melayu pertama negara pada 1921. Nama sebenarnya Haji Abdul Rahman Abdul Hamid, menjadi peguam untuk membela penduduk teraniaya serta menentang penjajah di mahkamah. Perjuangannya bermula awal 1920-an, antara puncanya apabila Inggeris melarang pemburuan haiwan liar pada 1923 dan memperkenalkan peraturan baru tanah pada 1924.

Inggeris menuduh Abdul Rahman menghasut rakyat sehingga tercetus pertempuran di Padang Kacong dan atas nasihat Datuk Seri Amar Diraja Ngah Muhammad, Abdul Rahman dihukum buang negeri ke Singapura seterusnya ke Makkah pada 1928 sebelum meninggal dunia akibat sakit pada 6 November 1929.


Ontoros Antanom

Pahlawan Murut ini hanya berusia 30 tahun ketika memimpin kaumnya menentang British di Sabah pada 1915. Dilahirkan di Masinpunon di Sungai Selarom pada 1885 dan berketurunan Murut Tagol. Antanom dibesarkan sebagai 'kalawon' atau pahlawan gagah berani.

Antara punca kebangkitannya apabila Syarikat Borneo Utara British (SBUB) mengenakan cukai membebankan penduduk, mewujudkan larangan peraturan membuka tanah baru, memaksa orang Murut menjadi buruh paksa dan menceroboh hutan untuk pembinaan jalan.

Pada Februari 1915, beliau menyerang bangunan kerajaan di Pensiangan dan membakarnya serta menyerang Rundum pada Mac tetapi terkorban.


Sumber: Berita Minggu 04.09.2011


***********************************************

Terlalu ramai pahlawan-pahlawan kita yang gugur di era penjajah yang hanya tercatat di lipatan masa tetapi bukan di lipatan sejarah untuk dikenang budi dan baktinya terhadap tanah air tidak kiralah yang berada di haluan kiri atau kanan.

Begitulah juga terlalu banyak kisah-kisah pejuang dan perjuangan di belakang tabir yang tidak dikisahkan untuk tatapan kita pada hari ini.

Masih ramai lagi nama-nama besar seperti Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh), Tok Kenali, Dato Moyang Salleh (Negeri Sembilan), Mohamad Salleh Perang (Johor), Tok Gajah (Pahang), Pengiran Shah Bandar Salleh (Sarawak), Mat Kilau (Pahang) serta ribuan lagi pahlawan yang berjuang untuk mempertahankan tanah air ini dari penjajahan.

Sama-sama kita hargai jasa pahlawan-pahlawan dahulu. Moga roh mereka dicucuri rahmat. Amin.


"Selamat Hari Kemerdekaan & Hari Malaysia 2011"


Moral Value: Teringat semasa di Darjah 4 dan di Darjah 6, belajar Tawarikh...


13 September, 2011

UPSR 2011


Ucapan selamat menduduki Peperiksaan UPSR kepada 497 691 orang murid tahun 6 di semua Sekolah Rendah SK, SJKC dan SJKT di seluruh Malaysia yang bermula pada hari ini 13.09.2011 (Selasa) hingga 15.09.2011 (Khamis) membabitkan 8 235 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Peperiksaan UPSR tahun ini juga agak bermakna kerana anak kedua BR, Nazhan turut menduduki peperiksaan yang sungguh berprestij ini yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia.


Meskipun perjalanan mereka masih jauh, namun kehendak pendidikan yang berorientasikan peperiksaan telah membuatkan ibu bapa, guru-guru, PPD dan JPN turut merasa bahangnya...


"Ya Allah Kami memohon kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada dan kehidupan orang-orang bahagia serta kemenangan mengatasi musuh" ..Amin.


SEMOGA BERJAYA DAN MEMPEROLEH KEJAYAAN CEMERLANG UNTUK SEMUA!


Kisah peperiksaan juga boleh diikuti di: UPSR


10 September, 2011

Parliament Square, London


Parliament Square was designed to provide a more open aspect for the new Houses of Parliament built in 1870. Parliament Square was laid out in 1868 on site of a notorious slum.

Parliament Square is dotted with statues of famous statesmen, the most notable being Winston Churchill. A statue of Abraham Lincoln sits in front of the Middlesex Guildhall , completed in 1913.


Other buildings around the square include Westminster Central Hall, Westminster Abbey and St Margaret's Westminster. Opposite the Houses of Parliament, across Bridge Street towards Westminster Bridge, stands the rather forbidding Portcullis House, completed in 2001. This houses government offices and Westminster Underground (Tube) Station for Jubilee Line, Central and District Lines.

The square became Britain's first official roundabout in 1926 as well as the site of the first traffic lights.


The Palace of Westminster (more commonly known as the Houses of Parliament) and Westminster Abbey including St Margaret's Church were inscribed on the UNESCO list of World Heritage Site in 1987, in recognition of the outstanding universal architectural, historic and symbolic significance of this group of buildings and spaces. They are recognised internationally both as a group of buildings of outstanding architectural importance, and as a symbol of spiritual and democratic ideals throughout the world.


Untuk maklumat lanjut sila ke: Wikipedia/Parliament Square

07 September, 2011

Luqman Berhari Raya...


Sudah lama tidak me'mosting' kisah Luqman, anak BR yang sulung ini. Pada Hari Raya yang lalu BR sekeluarga beraya di Trolak Selatan. Memang meriahlah dengan suasana Hari Raya diikuti dengan rumah terbuka pada Hari Raya Keduanya. Banyak juga duit raya yang Luqman dapat daripada tok ayah, maktok, ibu-ibu dan bapa-bapa saudaranya serta saudara-mara yang datang berkunjung meskipun beliau tidak pernah mengerti apa-apa...


Pada Hari Raya Ke-2 juga BR membawa Luqman ke sebuah klinik kulit di Tapah (Klinik Jaya) kerana terdapat ketumbuhan di pipinya. Entah apa penyakit kulit itu tak tahulah pula tetapi menurut doktor ianya tidaklah serius dan akan hilang selepas diubati.

Bermasalah juga kerana ubat 'makan' semua dalam bentuk pil atau tablet, tiada yang cecair. Luqman memang bermasalah sedikit untuk mengambil ubat pil atau tablet ini. Terpaksalah doktor sediakan pula ubat yang ditumbuk dan dicampur dengan sirap selain daripada beberapa jenis krim sapuan. Alhamdulillah, sehingga hari ini sudah menampakkan kesembuhannya.

Terima kasih juga kepada doktor Jaya yang telah memenuhi tanggungjawab sosialnya dengan hanya mengambil bayaran ubat sahaja tanpa mengenakan sebarang caj konsultansi memandangkan Luqman seorang OKU yang menghidap penyakit Cerebral Pulsy (CP). Biasanya jika bayaran untuk penyakit kulit pastinya akan mencecah ratusan ringgit. Rezeki Luqman mungkin...


Di sebalik adik-adiknya bergembira dengan duit raya dan pelbagai barang mainan yang dibeli, tidak dilupakan juga Luqman pun ada barang baharu yang dibelikan untuknya. Sebuah 'kerusi roda raya' untuk menggantikan kerusi roda lama yang telah rosak. Telah dirosakkan oleh 'seseorang' (salah seorang daripada 3 orang adiknya) yang sampai sekarang tiada siapapun yang tampil mengaku. Boleh hancur hub dan berterabur jejari mereka kerjakan..


Amat penting untuk memudahkan pergerakannya terutama apabila ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pemulihan Carakerja (JPCK). Pernah BR mendukungnya sejauh lebih kurang 80 meter dari tempat parkir, macam nak tercabut tangan, bagai nak patah pinggang...

Kerusi roda yang baharu ini nampaknya lebih selesa sedikit daripada yang lama kerana lebih sesuai dengan fizikal Luqman. Kakinya sudah semakin panjang sampaikan meleret ke lantai jika masih menggunakan kerusi roda yang lama.

Apa-apapun, pastinya Luqman akan gembira sekiranya dia mengerti...


Moral Value: Tuhanlah di sisinya, syurgalah di tanganNya...


05 September, 2011

Woon Wen Kin

Encik Woon Wen Kin telah mendapat didikan dan pengalaman sebagai pemain violin dan pemimpin muzik dari Trinity College of Music di London. Beliau mengambil bahagian yang cergas dalam konsert-konsert seperti International Oxford Bash Festival dan Henry Wood Concerts.


Beliau telah dipilih untuk mewakili The British Student Youth Orchestra dalam lawatan ke negara-negara Eropah yang dibiayai oleh UNESCO dalam tahun 1965. Beliau juga telah mengambil bahagian dalam International Youth Juenesses Musicale Congress 1965 dan di Paris dalam tahun 1967. Beliau pernah bertugas di London Opera dan pernah membuat rakaman untuk BBC Overseas Service di London.

Encik Woon Wen Kin adalah pengasas Penang Philharmonic Society di mana beliau menjadi Naib Yang Dipertua dan Pengarah Orkestra tersebut. beliau mewakili Malaysia sebagai salah seorang daripada tutor violin di Kem Muzik Belia Serantau Asia Yang Pertama dalam tahun 1977 dan memimpin Orkestra Chamber.


Beliau telah dianugerahkan dengan Cultural Award oleh negara Australia untuk menjadi tetamu di Kem Muzik Kebangsaan Australia di Adelaide. Beliau juga merupakan Penolong Pengarah Kem Muzik Kebangsaan Malaysia yang pertama.


Encik Woon adalah seorang tutor di dalam Kem Muzik Kebangsaan 1980 dan menjadi konduktor dalam persembahan akhirnya. Seperti Encik Abdul Fatah Karim, beliau juga menjadi salah seorang konduktor dalam persembahan Simfoni Belia ASEAN yang pertama pada 19 Disember 1980 di Petaling Jaya.