25 August, 2011

Bintang RTM 1978 dan 1979 - Komen Pembaca...


Ekoran dari penyiaran kisah Bintang RTM 1978 dan Jamal Abdillah Juara Bintang RTM 1979 yang lalu, BR telah menerima maklum balas yang sungguh menggalakkan daripada para pembaca yang telah meninggalkan komen dan tidak kurang juga yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut kisah peserta-peserta yang terlibat dalam pertandingan nyanyian yang sungguh prestij suatu ketika dahulu itu.

Tidak disangka-sangka pula salah satu komen yang diterima ialah daripada Ketua Kumpulan K.S Five dari Sarawak (Naib Johan Bahagian Padu Suara Bintang RTM 1979) sendiri yang telah menceritakan pengalaman beliau ketika menyertai pertandingan tersebut. Kita ikuti kisah suka duka beliau yang seharusnya dikongsi bersama.

Salam hormat dan selamat berkenalan Sdra BR.

Terima kasih bebanyak ler.. Blog sdra mengamitkan kembali ingatan saya yang ikut serta dalam pertandingan akhir Bintang 1979 ketika itu. Saya Ketua Kumpulan K.S Five dari Sarawak. Kami berlima ketika itu. Selain saya yang lainnya Rahim Saring (lead singer), Mas Rahman Musa, Sulastri Sulehan (adik kepada Prof Juneanah Sulehan UKM - lead singer Kumpulan Crescendos Juara Bintang RTM 1978) dan Dayang Jamayah Awang Bujang.

Saya masih ingat lagi, 2 buah lagu yang kami pertaruhkan ketika final iaitu "BERCINTA" dan "MARI MENARI" di mana kedua-dua lagu tersebut adalah ciptaan Sdra Kamel Salem (Ketua Kumpulan Crescendos).


Kumpulan Crescendos


Sebenarnya, kumpulan kami adalah rangkaian Kumpulan Crescendos yang menjuarai Bahagian Padusuara Bintang RTM 1978. Crescendos dikhususkan untuk menyertai Bintang RTM 1978 manakala K.S Five untuk Bintang RTM 1979.

Setelah lebih 30 tahun berlalu, masing-masing pun dah ada kehidupan sendiri. Dayang Jamayah kini menetap di Brunei Darussalam. Mas Rahman telah bersara dari perkhidmatan kerajaan dan menetap di Kuching. Begitu juga dengan Rahim Saring dan Sulastri masing-masing menetap di Kuching. Saya pun dah begitu lama "lost contact" dengan mereka kecuali dengan Sdra Mas Rahman apabila sesekali saya bertemu dengannya ketika pulang ke Kuching. Saya sendiri kini terdampar di Penang meniti hari-hari akhir dalam perkhidmatan dengan kerajaan.

Saya terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas daya usaha sdra dalam mengumpul sejarah seni tanah air. Tidak ramai di kalangan masyarakat kita yang berminat atau serius dalam menjejak orang-orang lama yang pernah mencebur diri dalam bidang seni.

Apabila memperkatakan tentang Kumpulan K.S Five, dari sejarahnya ianya tidak dapat tidak kita akan turut memperkatakan tentang Kumpulan Crescendos yang merupakan Juara Bahagian Padusuara Bintang RTM 1978.

Mengimbas kembali permulaan kami dalam K.S Five, sebenarnya ianya bermula dengan Kumpulan Crescendos di mana saya adalah ahli kumpulan yang terawal bersama dengan Sdra Kamel Salem selaku Ketua Kumpulan, Sdra Affendi dan Prof Dr Juneanah Sulehan (UKM).

Bagaimanapun ketika itu saya bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan dan kerap keluar untuk tugas "out station" di serata Sarawak, maka untuk Bintang RTM 1978 tempat saya digantikan oleh seorang rakan kami iaitu Sdra Julai Elen. Setelah itu atas dayausaha Sdra Kamel, diwujudkan pula Kumpulan K.S Five sebagai persediaan menghadapi Bintang RTM 1979 di mana saya sendiri selaku ketua kumpulan.


Kumpulan K.S Five. Yang mana satukah saudara Mohammad Zain Rasit?


Sebenarnya kejayaan kedua-dua Kumpulan Crescendos dan K.S Five adalah bergantung sepenuhnya kepada komitmen anggotanya di samping disiplin diri yang tinggi. Sdra Kamel adalah orang penting dan juga tunggak utama bagi kedua-dua kumpulan ini. Beliau adalah seorang komposer dan penggubah muzik yang kreatif dan berdisiplin (saya masih berhubung dengannya yang kini menetap di Kuching).

Beliau juga seorang yang cukup "determined" dalam kerjanya. Pernah suatu ketika pada jam 3 pagi beliau mengejutkan saya dari tidur (ketika itu saya bermalam di rumahnya selepas sesi latihan) bilamana mendapat ilham lagu baru dan meminta pendapat saya samada melodi lagu baru itu sesuai atau sebaliknya.

Ketika kami menyertai Bintang RTM, tidak pernah terfikir pun soal glamour atau kemasyuran. Kami ikut serta hanya disebabkan kami benar-benar berminat dengan bidang seni. Kami bersiap sedia untuk ikut dalam pertandingan itu selama setahun.

Seingat saya kami berlatih sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selepas waktu pejabat. Menyanyi dalam sebuah kumpulan padusuara bukanlah satu perkara mudah atau semudah kita menyanyi solo. Persefahaman dan semangat kerjasama adalah resepi penting bagi sesebuah kumpulan.

Menyanyi secara berpadusuara merupakan nyanyian secara berharmoni dengan "voicing arrangement" yang disusun dengan cukup teliti manakala dalam setiap melodi lagu yang dinyanyikan, suara setiap anggota kumpulan mestilah menepati "note" untuk setiap harmoni.

Konsep nyanyian padusuara seumpama itu disebut sebagai "modern jazz voicing" dan ianya merupakan sejarah pertama dalam muzik tanah air ketika itu dipelopori oleh kumpulan padusuara di Malaysia iaitu Crescendos dan K.S Five. Perkara ini diakui sendiri oleh Sdra Ooi Eow Jin (pemuzik terkenal RTM / tanah air).

Konsep nyanyian harmoni menggunakan "modern jazz voicing" sehingga ke hari ini jarang sekali digunapakai oleh mana-mana kumpulan padusuara di tanah air kita. Kalau adapun yang menggunakannya hanya secara sebahagian sahaja.

Ini disebabkan untuk menghayatinya amat sukar dan perlu kesabaran yang tinggi. Saya masih ingat lagi, suatu ketika semasa dalam latihan saya sendiri selaku "third voicer singer" pernah mengetuk kepala sendiri dengan gitar disebabkan tidak dapat mengalunkan melodi lagu menepati "note" yang ditetapkan. Begitulah sukarnya… bagaimanapun atas usaha dan penghayatan akhirnya kesukaran itu berjaya diatasi.

Seperkara lagi yang saya ingin catatkan di sini ialah mengenai seorang yang turut memainkan peranan penting dalam mengetengahkan bakat Crescendos dan K.S Five. Orang yang dimaksudkan ialah Sdra Lawrance Oliver Dragon, seorang yang tidak asing bagi peminat muzik di Sarawak. Ketika itu beliau adalah Ketua Kombo RTM Sarawak yang bertanggungjawab menyusun serta menggubah lagu untuk kami selain dibantu dan berdasarkan idea asal Sdra Kamel.

Seingat saya beliau berasal dari PJ dan rumah terletak di Jalan Gasing. Kalau saya tidak silap, beliau mempunyai pertalian kekeluargaan dengan mendiang Alfonso Suliano yang juga merupakan seorang pemuzik terkenal tanah air ketika itu. Saya tidak pasti samada beliau masih hidup atau telah meninggal dunia. Kalau pun dia masih hidup, mungkin usianya telah mencecah lewat 70an.

Itulah antara kenangan yang masih segar dalam ingatan saya. Cuma saya ingin mencadangkan kepada Sdra BR, andainya dapat diusahakan bersama pihak RTM supaya dihimpunkan semula otai-otai Bintang RTM sekitar 1970an dan 1980an dalam satu program.

Untuk Anonymous - sampaikan salam saya buat ibu sdra / sdri (Puan Pinny Md Radzi)

Salam hormat.
Tok Jen (Mohammad Zain Rasit)

Salam Ramadhan Al Mubarak dan Salam Aidilfitri.


Blog Tok Jen pembaca boleh ikuti di: TOK JEN


Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Tok Jen yang telah sudi berkongsi maklumat dan pengalaman beliau di sini. Adalah diharapkan lebih ramai lagi lagi pembaca yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan setiap paparan yang disiarkan supaya dapat memeriahkan lagi blog ini dengan sumber-sumber maklumat terkini atau sebarang pembetulan jika ada, sebagai bahan rujukan dan sebagai pengetahuan kepada generasi kini.

Kepada Anonymous juga, adalah diharapkan juga sekiranya saudara/saudari juga dapat berkongsi maklumat mengenai ibu saudara/saudari iaitu Pinny Mohd Radzi yang juga merupakan seorang penyanyi yang hebat pada waktu itu meskipun beliau hanya berjaya mendapat tempat sagu hati dalam Pertandingan Bintang RTM 1979 bersama Najib Hanif dan M Dzulkarnean. Pastinya ramai yang sedang menanti perkembangan beliau.


*************************************************

Resepi hari ini:

BISKUT BAWANG BAKAR

Bahan-bahannya:

5 cawan tepung gandum
1 cawan gula halus
2 biji bawang
1 cawan minyak
sedikit roti kering
kuning telur

Cara membuatnya:

Tepung gandum digaul dengan gula.
Bawang dipotong dadu kecil-kecil dan dicampur dengan gula dan tepung tadi.
Masukkan juga roti yang dipotong kecil-kecil.
Selepas itu masukkan minyak sedikit demi sedikit sehingga boleh diuli.
Bentuklah adunan itu sesuka hati anda.
Selepas itu sapukan kuning telur di atasnya dan dibakar sehingga masak.


SELAMAT MENCUBA!


Nota: Resepi-resepi yang disiarkan ini adalah resepi lama. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat pengubahsuaian di mana perlu untuk menambahkan lagi 'kesedepan' resepi tersebut.
Kepada pembaca yang meminta gambar hasil resepi yang disiarkan, memang tak ada kerana BR sendiripun belum pernah cuba membuatnya.. hehe..


Terima kasih juga kepada Simanis Yang Manis kerana telah cuba menghasilkan BISKUT MILO mengikut resepi yang pernah disiarkan (dengan sedikit pengubahsuaian) sebelum ini. Kepada pembaca yang ingin melihat hasilnya bolehlah melayari blog beliau di: Blog Simanis

Sebarang pertanyaan bolehlah merujuk kepada beliau.. hehe..


9 Any comments?:

iaryylr said...

Maklum balas,komen yang sangat menarik dari K.S Five, Syabas B.R!

pak su dee said...

iih ..tegak bulu roma bila pemuzik lama ni respon.. timbulkan nostalgia.... iiiih best betui.

LadyBird said...

sedapnye nampak kuih ni.. tp malas nak buat..

p/s ; dah lama x jenguk blog ni.. tp still same.. :)

Blues Riders said...

BR to simanis yang manis:
memang sedap kan?

BR to bro ia:
memang BR pun teruja..

BR to pak su dee:
satu penghargaan untuk orang lama. menceritakan pengalaman suka duka mereka dalam melakar sejarah yang semakin dilupakan.. paksu pun jika ada pengalaman berharga bolehlah berkongsi di sini..

BR to LadyBird:
tengok resepi pun dah sedap? cubalah buat tengok. jenguk2lah selalu, BR masih seperti dulu..

paksab said...

nak tanya TOKJENG , apa nama kumpulan yang nyanyi lagu
"gadis bisu" pada final bakat tv 1978? saya rasa kumpulan tersebut dari sabah atau sarawak . lirik dia saya ingat sikit sikit lagi "oh gadis manis pujaan hamba, kenapa kau tak beri jawapan"

Blues Riders said...

BR to paksab:
kita tunggu jawapannya dari tok jen..
"oh gadis manis pujaan hamba, kenapa kau tak beri jawapan"...

Santri T.P.I.N.I said...

tahniah bro !!! dpt komen dr org lama.

ridwan said...

gan ditunggu kunjungan baliknya ok.... jgn lupa senggolan adsnya :)..... sukses slalu gan...

Anonymous said...

saudara pernah dengar tentang eddie shariff? Penyanyi bintang rtm zmn 70-80an. Permah memenangi ertandingan. Malangnya piala yg dimiliki dipinjam dan dihilangkan oleh pihak muzium negara.

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'