30 August, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2011/1432H


Pada kesempatan ini BR sekeluarga ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Salam Lebaran kepada semua umat Islam muslimin dan muslimat tidak kira di mana jua mereka berada.

Ucapan juga ditujukan kepada semua kaum keluarga, sahabat handai, jiran-jiran, rakan-rakan sekerja, rakan-rakan Facebook, rakan-rakan Bloggers, pembaca senyap, pengikut, pemaut, anonymous, peminat-peminat (ada ka?) dan kepada sesiapa sahaja yang pernah atau tidak pernah melayari blog ini secara sengaja atau tidak sengaja.


Kepada yang belum mengenali siapakah jejaka yang berselindung di sebalik nama BR, dengan ini secara eklusifnya dipaparkan gambar BR sekeluarga sebagai salam perkenalan. Jika berjumpa di mana-mana silalah tegur... hehe..

Ribuan ampun dan maaf dipohon sekiranya ada terkasar bahasa dan terlajak bicara...

Semoga di Hari Lebaran ini juga akan mengeratkan lagi tali persaudaraan dan silaturrahim di antara kita semua dan semoga dilimpahi rahmat oleh Allah S.W.T. hendaknya. Amin.

MAAF ZAHIR & BATIN.


Tidak dilupakan juga, selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54.

Dengarlah sebuah lagu raya yang sungguh mengesankan ketika BR di zaman kanak-kanak dahulu tatkala bergembira bersama rakan-rakan mengutip duit raya sekeliling kampung.

Biasalah pada waktu itu, serendah-rendahnya 5 sen dan setinggi-tingginya 50 sen (rumah cikgu) itupun sudah dikira cukup besar. Selepas itu pergi enjoy di pekan beli permainan, mercun dan main tikam-tikam sambil minum air lemenet...


(sila klik tajuk lagu)


Berbaju merah jambu
Berkain songket biru
Dengan senyum ketawa
Pada pagi Hari Raya

Berkunjung rumah taulan
Menghibur hati kawan
Berjabat-jabat tangan
Bermuram jangan

Bila Hari Raya pun tiba
Suasana menjadi riang
Dunia jadi terang

Bermacam kuih lazat
Rendang serta ketupat
Hidangan Hari Raya
Hari mulia


Moral Value: Bermaaf-maafan, bersalam-salaman, di hari yang mulia ini...


27 August, 2011

Buckingham Palace


Buckingham Palace was built in 1702 by the Duke of Buckingham as his London home. The house was then later sold to George III in 1761 by the Dukes son. In 1774 it was renamed "Queen's House" as Queen Charlotte resided there. Queen Victoria was the first monarch to take up residence in Buckingham Palace in 1837.

Once again extensive changes took place. Today Buckingham Palace is used not only as the home of The Queen and her husband, The Duke of Edinburgh, but also for the administrative work for the monarchy. It is here in the state apartments that Her Majesty receives and entertains guests invited to the Palace.


Buckingham Palace has 775 rooms. These include 19 State rooms, 52 Royal and guest bedrooms, 188 staff bedrooms, 92 offices and 78 bathrooms. In measurements, the building is 108 metres long across the front, 120 metres deep (including the central quadrangle) and 24 metres high.


Buckingham Palace is not only the home of the Queen and Prince Philip but also the London residence of the Duke of York (Prince Andrew) and the Earl and Countess of Wessex (Prince Edward and his wife) and their daughter.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: Wikipedia/Buckingham palace

25 August, 2011

Bintang RTM 1978 dan 1979 - Komen Pembaca...


Ekoran dari penyiaran kisah Bintang RTM 1978 dan Jamal Abdillah Juara Bintang RTM 1979 yang lalu, BR telah menerima maklum balas yang sungguh menggalakkan daripada para pembaca yang telah meninggalkan komen dan tidak kurang juga yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut kisah peserta-peserta yang terlibat dalam pertandingan nyanyian yang sungguh prestij suatu ketika dahulu itu.

Tidak disangka-sangka pula salah satu komen yang diterima ialah daripada Ketua Kumpulan K.S Five dari Sarawak (Naib Johan Bahagian Padu Suara Bintang RTM 1979) sendiri yang telah menceritakan pengalaman beliau ketika menyertai pertandingan tersebut. Kita ikuti kisah suka duka beliau yang seharusnya dikongsi bersama.

Salam hormat dan selamat berkenalan Sdra BR.

Terima kasih bebanyak ler.. Blog sdra mengamitkan kembali ingatan saya yang ikut serta dalam pertandingan akhir Bintang 1979 ketika itu. Saya Ketua Kumpulan K.S Five dari Sarawak. Kami berlima ketika itu. Selain saya yang lainnya Rahim Saring (lead singer), Mas Rahman Musa, Sulastri Sulehan (adik kepada Prof Juneanah Sulehan UKM - lead singer Kumpulan Crescendos Juara Bintang RTM 1978) dan Dayang Jamayah Awang Bujang.

Saya masih ingat lagi, 2 buah lagu yang kami pertaruhkan ketika final iaitu "BERCINTA" dan "MARI MENARI" di mana kedua-dua lagu tersebut adalah ciptaan Sdra Kamel Salem (Ketua Kumpulan Crescendos).


Kumpulan Crescendos


Sebenarnya, kumpulan kami adalah rangkaian Kumpulan Crescendos yang menjuarai Bahagian Padusuara Bintang RTM 1978. Crescendos dikhususkan untuk menyertai Bintang RTM 1978 manakala K.S Five untuk Bintang RTM 1979.

Setelah lebih 30 tahun berlalu, masing-masing pun dah ada kehidupan sendiri. Dayang Jamayah kini menetap di Brunei Darussalam. Mas Rahman telah bersara dari perkhidmatan kerajaan dan menetap di Kuching. Begitu juga dengan Rahim Saring dan Sulastri masing-masing menetap di Kuching. Saya pun dah begitu lama "lost contact" dengan mereka kecuali dengan Sdra Mas Rahman apabila sesekali saya bertemu dengannya ketika pulang ke Kuching. Saya sendiri kini terdampar di Penang meniti hari-hari akhir dalam perkhidmatan dengan kerajaan.

Saya terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas daya usaha sdra dalam mengumpul sejarah seni tanah air. Tidak ramai di kalangan masyarakat kita yang berminat atau serius dalam menjejak orang-orang lama yang pernah mencebur diri dalam bidang seni.

Apabila memperkatakan tentang Kumpulan K.S Five, dari sejarahnya ianya tidak dapat tidak kita akan turut memperkatakan tentang Kumpulan Crescendos yang merupakan Juara Bahagian Padusuara Bintang RTM 1978.

Mengimbas kembali permulaan kami dalam K.S Five, sebenarnya ianya bermula dengan Kumpulan Crescendos di mana saya adalah ahli kumpulan yang terawal bersama dengan Sdra Kamel Salem selaku Ketua Kumpulan, Sdra Affendi dan Prof Dr Juneanah Sulehan (UKM).

Bagaimanapun ketika itu saya bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan dan kerap keluar untuk tugas "out station" di serata Sarawak, maka untuk Bintang RTM 1978 tempat saya digantikan oleh seorang rakan kami iaitu Sdra Julai Elen. Setelah itu atas dayausaha Sdra Kamel, diwujudkan pula Kumpulan K.S Five sebagai persediaan menghadapi Bintang RTM 1979 di mana saya sendiri selaku ketua kumpulan.


Kumpulan K.S Five. Yang mana satukah saudara Mohammad Zain Rasit?


Sebenarnya kejayaan kedua-dua Kumpulan Crescendos dan K.S Five adalah bergantung sepenuhnya kepada komitmen anggotanya di samping disiplin diri yang tinggi. Sdra Kamel adalah orang penting dan juga tunggak utama bagi kedua-dua kumpulan ini. Beliau adalah seorang komposer dan penggubah muzik yang kreatif dan berdisiplin (saya masih berhubung dengannya yang kini menetap di Kuching).

Beliau juga seorang yang cukup "determined" dalam kerjanya. Pernah suatu ketika pada jam 3 pagi beliau mengejutkan saya dari tidur (ketika itu saya bermalam di rumahnya selepas sesi latihan) bilamana mendapat ilham lagu baru dan meminta pendapat saya samada melodi lagu baru itu sesuai atau sebaliknya.

Ketika kami menyertai Bintang RTM, tidak pernah terfikir pun soal glamour atau kemasyuran. Kami ikut serta hanya disebabkan kami benar-benar berminat dengan bidang seni. Kami bersiap sedia untuk ikut dalam pertandingan itu selama setahun.

Seingat saya kami berlatih sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selepas waktu pejabat. Menyanyi dalam sebuah kumpulan padusuara bukanlah satu perkara mudah atau semudah kita menyanyi solo. Persefahaman dan semangat kerjasama adalah resepi penting bagi sesebuah kumpulan.

Menyanyi secara berpadusuara merupakan nyanyian secara berharmoni dengan "voicing arrangement" yang disusun dengan cukup teliti manakala dalam setiap melodi lagu yang dinyanyikan, suara setiap anggota kumpulan mestilah menepati "note" untuk setiap harmoni.

Konsep nyanyian padusuara seumpama itu disebut sebagai "modern jazz voicing" dan ianya merupakan sejarah pertama dalam muzik tanah air ketika itu dipelopori oleh kumpulan padusuara di Malaysia iaitu Crescendos dan K.S Five. Perkara ini diakui sendiri oleh Sdra Ooi Eow Jin (pemuzik terkenal RTM / tanah air).

Konsep nyanyian harmoni menggunakan "modern jazz voicing" sehingga ke hari ini jarang sekali digunapakai oleh mana-mana kumpulan padusuara di tanah air kita. Kalau adapun yang menggunakannya hanya secara sebahagian sahaja.

Ini disebabkan untuk menghayatinya amat sukar dan perlu kesabaran yang tinggi. Saya masih ingat lagi, suatu ketika semasa dalam latihan saya sendiri selaku "third voicer singer" pernah mengetuk kepala sendiri dengan gitar disebabkan tidak dapat mengalunkan melodi lagu menepati "note" yang ditetapkan. Begitulah sukarnya… bagaimanapun atas usaha dan penghayatan akhirnya kesukaran itu berjaya diatasi.

Seperkara lagi yang saya ingin catatkan di sini ialah mengenai seorang yang turut memainkan peranan penting dalam mengetengahkan bakat Crescendos dan K.S Five. Orang yang dimaksudkan ialah Sdra Lawrance Oliver Dragon, seorang yang tidak asing bagi peminat muzik di Sarawak. Ketika itu beliau adalah Ketua Kombo RTM Sarawak yang bertanggungjawab menyusun serta menggubah lagu untuk kami selain dibantu dan berdasarkan idea asal Sdra Kamel.

Seingat saya beliau berasal dari PJ dan rumah terletak di Jalan Gasing. Kalau saya tidak silap, beliau mempunyai pertalian kekeluargaan dengan mendiang Alfonso Suliano yang juga merupakan seorang pemuzik terkenal tanah air ketika itu. Saya tidak pasti samada beliau masih hidup atau telah meninggal dunia. Kalau pun dia masih hidup, mungkin usianya telah mencecah lewat 70an.

Itulah antara kenangan yang masih segar dalam ingatan saya. Cuma saya ingin mencadangkan kepada Sdra BR, andainya dapat diusahakan bersama pihak RTM supaya dihimpunkan semula otai-otai Bintang RTM sekitar 1970an dan 1980an dalam satu program.

Untuk Anonymous - sampaikan salam saya buat ibu sdra / sdri (Puan Pinny Md Radzi)

Salam hormat.
Tok Jen (Mohammad Zain Rasit)

Salam Ramadhan Al Mubarak dan Salam Aidilfitri.


Blog Tok Jen pembaca boleh ikuti di: TOK JEN


Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Tok Jen yang telah sudi berkongsi maklumat dan pengalaman beliau di sini. Adalah diharapkan lebih ramai lagi lagi pembaca yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan setiap paparan yang disiarkan supaya dapat memeriahkan lagi blog ini dengan sumber-sumber maklumat terkini atau sebarang pembetulan jika ada, sebagai bahan rujukan dan sebagai pengetahuan kepada generasi kini.

Kepada Anonymous juga, adalah diharapkan juga sekiranya saudara/saudari juga dapat berkongsi maklumat mengenai ibu saudara/saudari iaitu Pinny Mohd Radzi yang juga merupakan seorang penyanyi yang hebat pada waktu itu meskipun beliau hanya berjaya mendapat tempat sagu hati dalam Pertandingan Bintang RTM 1979 bersama Najib Hanif dan M Dzulkarnean. Pastinya ramai yang sedang menanti perkembangan beliau.


*************************************************

Resepi hari ini:

BISKUT BAWANG BAKAR

Bahan-bahannya:

5 cawan tepung gandum
1 cawan gula halus
2 biji bawang
1 cawan minyak
sedikit roti kering
kuning telur

Cara membuatnya:

Tepung gandum digaul dengan gula.
Bawang dipotong dadu kecil-kecil dan dicampur dengan gula dan tepung tadi.
Masukkan juga roti yang dipotong kecil-kecil.
Selepas itu masukkan minyak sedikit demi sedikit sehingga boleh diuli.
Bentuklah adunan itu sesuka hati anda.
Selepas itu sapukan kuning telur di atasnya dan dibakar sehingga masak.


SELAMAT MENCUBA!


Nota: Resepi-resepi yang disiarkan ini adalah resepi lama. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat pengubahsuaian di mana perlu untuk menambahkan lagi 'kesedepan' resepi tersebut.
Kepada pembaca yang meminta gambar hasil resepi yang disiarkan, memang tak ada kerana BR sendiripun belum pernah cuba membuatnya.. hehe..


Terima kasih juga kepada Simanis Yang Manis kerana telah cuba menghasilkan BISKUT MILO mengikut resepi yang pernah disiarkan (dengan sedikit pengubahsuaian) sebelum ini. Kepada pembaca yang ingin melihat hasilnya bolehlah melayari blog beliau di: Blog Simanis

Sebarang pertanyaan bolehlah merujuk kepada beliau.. hehe..


22 August, 2011

Pertandingan Akhir Bakat TV 1979


Keputusan Bakat '79 Peringkat Kebangsaan memang tepat dan adil. Begitulah pendapat yang telah diterima dari kebanyakan orang ramai. Walaupun ramai telah menyangka yang Bakat kali ini kurang meriah namun sangkaan itu ternyata meleset sekali.

Sambutan orang ramai yang menyaksikan pertandingan pada malam itu sungguh menggalakkan. Ini amat membanggakan pihak RTM sebagai penganjurnya. Orang ramai telah datang dengan begitu besar jumlahnya hinggakan ramai penonton yang tidak mendapat tempat yang sempurna.


DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Tengku Ampuan mencemar duli menyaksikan Pertandingan Akhir Bakat TV '79.


Kumpulan lawak jenaka Hassan Putumayong (Allahyarham) walaupun telah agak lama berkecimpung dalam bidang lawak jenaka namun masih lagi gementar apabila mempersembahkan lawaknya pada malam itu.

"Saya tidak lalu makan dan gementar seluruh badan dan ini tidak pernah berlaku," kata Hassan dengan telor (dialek) Pulau Pinangnya. Dengan hadiah kemenangan Tempat Pertama sebanyak $2,000 itu Hassan akan membesarkan perniagaannya di Seberang Perai. Untuk pengetahuan, beliau juga turut menganggotai Cahaya Mata Ghazal Parti Sungai Bakau, Seberang Perai.

Tempat Kedua dimenangi oleh Ibrahim Hamzah dan Tahir Budiman dari Sabah dan Tempat Ketiga oleh Kumpulan Osman dan Rajah dari Kelang.


Kumpulan D'Atomic Power dari Sandakan, Sabah, Juara bahagian Pancaragam menerima hadiah dari DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.


Kumpulan Pancaragam D'Atomic Power dari Sandakan, Sabah telah berjaya menjadi Juara dalam bahagian Pancaragam. Selain dari memenangi wang tunai sebanyak $3,000 mereka juga layak menerima Piala Pusingan yang menjadi idaman kepada setiap kumpulan pancaragam tanah air.

Keanggotaan asal D'Atomic Power ketika itu ialah terdiri daripada Rashid Kamsiran (Gitar Utama/Keyboard/Trombone/Vocal/Ketua Kumpulan), Sulaiman Alman @ Ringgo (Drummer), Ismail Arun (Bass/Vocal), Saat Talip (Keyboard/Altosax), Karim Awang (Altosax), Rudy Ahmad (Vocal Utama), Geofrey Tan (Vocal) dan Alleh Aggullana (Vocal).

Menurut ketuanya, Rashid Kamsiran, Mereka datang ke Paroi dengan hasrat menjadi juara dan mereka telah berlatih sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang bagi kawasan Sabah. "Hasil usaha gigih dari semua rakan, kami akhirnya berjaya," kata Kamsiran lagi.

Sebaik sahaja D'Atomic Power diumumkan sebagai pemenang, kumpulan ini telah ditawarkan untuk membuat rakaman ke piring hitam dalam bentuk LP dari salah sebuah syarikat piring hitam tempatan.

Ini bukanlah pertama kali kumpulan ini bertanding untuk Pertandingan Bakat TV. Pada tahun lepas D'Atomic Power telah mendapat tempat ketiga.

Menurut salah seorang anggota kumpulan itu, pada tahun hadapan mereka tidak akan lagi turut bertanding untuk memberi peluang kepada kumpulan lain pula. Pada waktu itu mereka bermain di Kelab Malam di Sandakan dan juga dalam pertunjukan-pertunjukan pentas.

Maklumat lanjut mengenai Kumpulan D'Atomic Power ini pembaca boleh ikuti di: D'Atomic Power


Kumpulan Panada Ista dari Kuala Kangsar telah memenangi Tempat Kedua.


Tempat Kedua dimenangi oleh Panada Ista dari Kuala Kangsar. Kumpulan di bawah naungan DYMM Sultan Perak ini sebelumnya dikenali sebagai The Pelican. Panada Ista menerima wang tunai sebanyak $2,000 dan medallion sebagai kenangan.

Ketua Panada Ista, Azli Jili memberitahu kumpulan ini telah ditubuhkan pada tahun 1973 dan dipandu dan dilatih oleh Orkes Rishah juga dari Kuala Kangsar. "Kami akan mencuba lagi pada tahun hadapan untuk mencapai keputusan yang lebih baik lagi," katanya. Tempat Ketiga pula dimenangi oleh T. Road Band juga dari Perak.


Peserta termuda dalam Bakat TV '79 yang juga merupakan Johan bagi bahagian Solo Instrumental, Nicholas Ong Cheng Hooi bersama piala kemenangannya.


Nicholas Ong Cheng Hooi peserta termuda dalam Bakat TV '79 berasal dari Petaling Jaya. Telah mula bermain piano sejak umurnya enam tahun di bawah bimbingan ibu dan seorang guru muzik terkemuka di Petaling Jaya.

Sungguhpun Nicholas baru berumur sembilan tahun pada waktu itu namun potensinya sebagai pemuzik kelihatan jelas sekali. Sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang bahagian Solo, dengan penuh kemesraan beliau memeluk ibunya dan berkata, "Duit yang akan saya dapati nanti akan saya beli TV warna untuk ibu".

Walau bagaimanapun sebuah syarikat penjual TV telah menghadiahkan sebuah TV warna kepada beliau. Selain dari itu, beliau juga telah menghadiahkan jam yang diterimanya untuk ibu kesayangannya.

Ibunya Puan Ong berkata, buat masa ini Nicholas akan menumpukan masanya lebih kepada pelajaran walaupun kecenderungan bermain piano yang terdapat dalam diri Nicholas tidak akan disekat. Bakat yang terdapat di dalam dirinya harus dipupuk dan dibaja supaya pada masa akan datang beliau akan lebih maju dan berjaya.


Semua peserta Bakat TV '79 berbaris memberi penghormatan kepada para penonton di akhir majlis.


Tempat Kedua dalam bahagian Solo Instrumental dimenangi oleh Shah Rizan Mohd Salmi juga dari Kuala Lumpur dan Tempat Ketiga dimenangi oleh Stephen Jaramiah dari Sarawak.


Tiba-tiba teringatlah pula lagu hits Kumpulan D'Atomic Power yang sungguh popular suatu ketika dahulu iaitu "Cinta Benar Cinta" (Nyanyian vokalis utama Rudy Ahmad). Untuk makluman, lagu ini juga sering dijadikan 'lagu cinta' bagi pasangan kekasih yang dalam percintaan di sekitar tahun 1980-an dahulu.. he.. he..
(sila klik tajuk lagu untuk mendengar lagunya)




Usah kau ragui cintaku suci
Ku tak kan menduakan
Walaupun kita berjauhan
Namun kau tetap dalam ingatan

Ingatan mesra yang ku berikan
Di akhir pertemuan
Agar kau tak melupakan
Pabila kita berjauhan

Oh rindunya tiada terkira
Antara kita berdua
Cinta benar cinta
Semoga kekal selamanya

Cinta benar cinta
Semoga kekal selamanya...


*************************************************


Resepi hari ini:

BENGKANG DURIAN BERJAGUNG

Bahan-bahannya:

2 cawan isi durian (durian segar bukan tempoyak hehe..)
1 tin jagung
2 1/2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
2 1/2 cawan gula pasir
2 butir telur ayam
7 helai daun pandan
4 1/2 cawan santan pekat dari 1 1/2 butir kelapa

Cara membuatnya:

Gaulkan gula dengan telur hingga sebati.
Kemudian daun pandan ditumbuk, perah dan ambil airnya.
Kelapa diperah dan asingkan patinya sebanyak 4 1/2 cawan.
Sesudah itu gaulkan pula durian dan jagung.
Selepas itu tepung gandum dan tepung beras digaul rata, tuangkan santan sedikit-sedikit biar rata sambil itu masukkan pula jagung dan durian yang telah digaul tadi.
Apabila adunan itu telah sebati masukkkan bancuhan telur tadi beserta air daun pandan dan kacau lagi biar sebati.
Lepas itu baru masukkan dalam acuan dan dibakar dengan api yang sederhana, bakarlah hingga ianya betul-betul masak.


SELAMAT MENCUBA!

20 August, 2011

Sunset At Lake Minnetonka


Lake Minnetonka (meaning "Big Waters" in the native Dakota language) is located 20 miles due west of Minneapolis/St. Paul (about 10 miles south of Lake Independence) is more of a collection of 16 interconnecting lakes with about 23 named bays and areas.


The lake was formed by glacial melting during the last Ice Age. At 14,500 acres (22.6 sq miles) it is the 10th largest lake in Minnesota. Deep lake with a maximum depth of 133 ft.


Lake Minnetonka is a valued natural and recreational resource in the Twin Cities metro area. It's large size, recreational opportunities, fisheries, location within the metro area, aesthetics, and rich cultural history make Lake Minnetonka well known in Minnesota as well as the nation.


Untuk maklumat lanjut, sila lawati: Wikipedia/Lake Minnetonka


*************************************************

Resepi hari ini:


BISKUT ALOKA

Bahan-bahannya:

1 gelas tepung jagung
1 gelas tepung gandum
2 gelas tepung ubi goreng
1 gelas gula halus
1 gelas mentega
2 biji telur ayam (ambil putihnya sahaja)
Serbuk koko

Cara membuatnya:

Tepung, gula dan mentega digaul sehingga sebati.
Pukul putih telur hingga kembang, masukkan ke dalam adunan.
Kemudian dibahagikan dua bahagian.
Sebahagian dibubuh koko (gaul).
Canai warna koko dan warna putih dibuat bulat, letak di tengah dan gulung.
Masukkan ke dalam acuan dan semperitkan dan potong dengan benang.
Atur dalam tempat pembakar dan bakar.


SELAMAT MENCUBA!

18 August, 2011

Pantang Larang Blues...

Orang tua-tua khasnya ibu bapa di zaman dahulu telah mengadakan beberapa pantang larang yang dimasukkan ke dalam kebudayaan Melayu sebagai salah satu usaha mencegah perkara yang tidak diingini berlaku atau dilakukan oleh anak-anak mereka.

Sementara mereka pula kurang sangat memikirkan bahawa pantang larang yang diadakan itu logik atau tidak, yang mustahaknya memberi satu alasan supaya sesuatu perkara itu jangan dilakukan, malah mereka akan menekankan lagi hujah-hujah itu. Jika pantang larang tersebut dilanggar juga, tidak dapat tidak si pelakunya akan menerima tindak balas dari perbuatannya.


Berpayung di dalam rumah memanglah satu perbuatan yang tidak elok dipandang. Kalau perbuatan ini masih dilakukan, akibatnya nanti mengikut pantang larang orang tua-tua dulu akan memendekkan umur salah seorang dari ahli keluarga dalam rumah itu.

Kadangkala segala contoh yang 'mengerikan' juga disebutkan sebagai membuktikan bahawa perkara itu jangan dilakukan. Inilah yang menakutkan perasaan anak-anak. Orang tua-tua juga percaya bahawa perasaan takut melakukan apa yang dilarang adalah salah satu dari cara membendung kesopanan. Mereka ingin anak mereka lahir menjadi putera atau puteri yang berguna dan penuh disiplin.

Ibu bapa juga menyedari bahawa anak yang berdisiplin adalah meninggikan lagi sifat sopan santun yang sangat diharapkan oleh seorang penjaga. Tambahan pula anak-anak ini disiramkan lagi dengan pelajaran agama dan larangan-larangan syariat yang penuh perjuangan untung ruginya dalam hidup. Dengan lain perkataan, pantang larang dan juga contoh-contoh tadi adalah dianggap sebagai prinsip hidup di zaman itu.

Umpamanya pada waktu itu jarang benar kita bertemu dengan anak-anak muda terpekik terlalak di waktu petang, apa lagi jika di waktu Maghrib atau senja. Jika pun ada yang nampak di jalan raya ialah mereka yang menuju ke surau atau ke masjid untuk menunaikan seruan Tuhannya.

Sama-samalah kita renungkan adakah dengan kehilangan pantang larang orang Melayu lama itu merupakan suatu kemenangan bagi kita atau bagaimana? Apa yang dapat kita dengar dan lihat ramai di antaranya menganggap bahawa pantang larang tersebut merupakan suatu perkara tahyul sahaja.


Sebenarnya pantang larang ini juga dianggap sebagai pengawal peribadi, setengah-setengahnya telah dijadikan adat atau undang-undang masyarakat umpamanya dilarang anak-anak duduk di atas bantal dengan alasan nanti diserang penyakit bisul iaitu sejenis penyakit kulit di bahagian punggung.

Larangan ini akan membawakan anak tersebut berfikir jika punggungnya bisul sudah tentu susah hendak duduk, sedangkan duduk adalah sebahagian besar perbuatan yang mesti dilakukan setiap hari. Ini menjadikan anak tersebut meninggalkan perbuatan itu. Inilah antara lain yang dapat disimpulkan.

Di hati ibu bapa adalah semata-mata untuk mencegah anak-anak dari menduduki bantal supaya bantal tidak lekas koyak dan memang kurang manis dipandang jika bantal yang digunakan untuk kepala dijadikan tempat mengalas punggung!

Apa yang jelas dapat kita lihat, melalui pantang larang ini terselit sopan santun dan nilai peribadi yang tinggi. Usaha ini memang patut disanjung dan orang tua tidak patut disalahkan kerana manusia ketika itu memang mempunyai sifat tidak sanggup menjatuhkan maruah atau air muka secara terus terang.

Dari sifat tidak suka berterus terang inilah yang mewujudkan ahli bijak pandai Melayu yang telah melahirkan beribu-ribu Simpulan Bahasa, Perumpamaan, Kiasan, Bidalan, Pepatah, Lidah Pendita dan sebagainya.

Disebabkan generasi kini lebih bersifat suka berterus-terang (?) dan menganggap pantang larang tersebut sudah tidak relevan dan tidak perlu dipakai lagi di zaman moden ini. Hasil dari pemansuhan inilah menyebabkan penghasilan generasi itu sendiri yang telah menjadi kucar-kacir seperti mana yang dapat kita lihat sekarang.

Anak-anak gadis makan semasa berjalan dan ketawa terbahak-bahak di jalan raya tidak kira masa. Di mana-mana kelihatan gadis-gadis comel sedang bersikat dan bersolek. Kelihatan juga anak-anak gadis duduk di kerusi terkangkang hinggakan ke rumah orang meninggal dunia pun ada yang memakai pakaian yang tidak bersesuaian. Anak-anak muda lelaki pula bersidaian di kepala-kepala simpang dengan motosikal masing-masing pada waktu maghrib dan senja (sekadar memberikan beberapa contoh).

Kehilangan pantang larang tersebut boleh mengakibatkan kepincangan generasi sekarang, ada di antaranya langsung tidak menghormati ibu bapa mereka lagi.

Dalam usaha mengembalikan semula ingatan generasi muda kepada pantang larang yang telah diadakan oleh orang Melayu lama, terdapat beberapa pantang larang yang sempat dipaparkan untuk renungan kita bersama. Ketepikan soal logiknya kerana ianya terpulanglah kepada pendapat masing-masing kerana yang pentingnya terdapat unsur-unsur rasional dan kebaikan pada setiap pantang larang yang diadakan bertujuan untuk mendidik sebenarnya.

Dilarang membunuh labah-labah atau rama-rama. Barangsiapa melanggarnya dia akan terbalik apabila menaiki sebarang kenderaan. Rasionalnya ialah untuk mendidik anak-anak supaya jangan membunuh binatang yang tidak berdosa lebih-lebih lagi binatang ini tidak mempunyai senjata.

Meniup api tidak dibenarkan berdua serentak. Ditakuti mereka itu akan bisu. Jika perkara ini berlaku juga hendaklah kedua-duanya meludah ke langit iaitu salah satu cara menjauhkan dari berlakunya perkara yang tidak diingini.


Dilarang menunjuk pelangi kerana perbuatan ini boleh mengakibatkan jari kudung. Kekudungan ini tidak berlaku dengan serta-merta tetapi mungkin disebabkan perkara-perkara lain yang membawakan jari itu kudung.


Ditegah menyusup di bawah ampaian jemuran kain dan di bawah rumah terutamanya kepada mereka yang berpenyakit pitam. Perbuatan ini boleh mengakibatkan pening kepala atau sakit kepala. Sebenarnya tujuan larangan ini adalah untuk mengelakkan anak-anak dari bermain di bawah ampaian yang mungkin akan mengotorkan kain yang baru dibasuh begitu juga rumah-rumah dahulu diperbuat daripada batang pinang atau nibung yang jarang-jarang yang boleh menampakkan orang di atas rumah.

Jika dalam perjalanan bertemu dengan sebarang bangkai yang telah busuk, dilarang meludah di situ juga, perbuatan ini boleh mempercepatkan kerosakan gigi atau gigi menjadi reput.


Gigi juga dilarang digunakan untuk mengerat tali, benang atau digigitkan kepada kayu. Jika dilakukan boleh menyebabkan gigi tersebut dimakan ulat dan boleh mendapat sakit gigi.

Seperti yang telah dikatakan, terdapat beribu-ribu pantang larang Melayu mengikut kategori masing-masing yang jika dikumpulkan boleh dijadikan sebuah buku rujukan seperti sebuah ensaiklopedia. Di zaman kanak-kanak dahulu memang BR sering di'takut'kan dengan berbagai pantang larang ini begitu juga dengan pembaca (sekiranya ada). Tetapi dengan berbagai pantang larang itulah juga yang telah menjadikan kehidupan kita lebih bermakna dan menjadi 'orang' seperti sekarang... hehe...

Janganlah dirisaukan sangat mengenai APA, tetapi sama-samalah kita memikirkan MENGAPA pantang larang ini diwujudkan...

Rujukan ringkas mengenai pantang larang boleh juga pembaca ikuti di Wikipedia/Pantang Larang Melayu.


*************************************************

Resepi hari ini:

AGAR-AGAR PUTIH TELUR BERLIMAU

Bahan-bahannya:

1/4 auns agar-agar
3/4 pain air
3 auns gula
1 biji putih telur
1 helai daun pandan
1/2 biji air limau nipis
Bahan pewarna hujai atau kuning

Cara membuatnya:

Basuh serta rendam agar-agar. Tos dengan betul dan rebus dengan air dan daun pandan yang dicarik dan disimpul.
Apabila agar-agar telah hancur, masukkan gula dan rebus lagi sehingga gula hancur.
Sementara itu, pukul putih telur hingga putih dan gebu.
Tapis agar-agar dengan kain maslin (?) dan biar sejuk sedikit. Pukul dan masukkan putih telur ke dalam agar-agar sehingga menjadi sama rata.
Bubuh air limau nipis dan sedikit sahaja pewarna.
Tuangkan ke dalam acuan yang telah dibilas dan dirikan dalam air sejuk.
Dinginkan baik-baik sebelum menghidang.
Hidangkan dalam mangkuk gelas berkaki.


SELAMAT MENCUBA!


Moral Value: Teringat satu pantang larang dulu-dulu, jangan makan beralih tempat, kadangkala sengaja juga BR engkari, tetapi sampai sekarang tak jadi apa-apa pun.. hehe..

15 August, 2011

Bedak Sejuk Blues...


Bedak sejuk ataupun bedak yang diperbuat daripada beras merupakan sebagai alat solekan asli. Ianya selalu dipakai oleh golongan tua dan juga muda. Bedak asli ini bukan sahaja menyerikan wajah seseorang apabila memakainya, malah ianya mempunyai khasiat yang tertentu iaitu sebagai penawar bagi mereka yang mengidap masalah penyakit kulit.


Namun begitu, tidak semua, daripada kita yang tahu akan cara serta rumusan yang disediakan untuk membuat bedak sejuk yang tulen tanpa sebarang campuran bahan-bahan asing seperti yang terdapat dalam bedak-bedak moden.

Caranya ialah:

Beras Jawi direndam selama dua atau tiga bulan. Lebih lama beras ini direndam lebih baik kerana bedak yang akan dibuat akan menjadi sebagai penawar dan sejuk apabila memakainya.

Apabila beras yang direndam selama tiga bulan tadi kelihatan hampir hancur dan luluh, ramaskan dan tapis dengan kain jarang yang bersih, sebaik-baiknya dengan kain putih. Perlu diingatkan bahawa pada peringkat ini, bau busuk dan masam beras amatlah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.. hehe..




Kemudian ramuan ini disimpan di dalam bekas yang sesuai dan ditutup rapi. Air di dalam ramuan ini patut diganti setiap hari sehingga hilang bau busuk dan masam.

Kemudian ramuan ini dikepal-kepal dan dijemur sehingga kering. Selepas itu bahan ini dicampurkan dengan air. Janganlah terlalu cair sangat sebab sukar bagi kita untuk 'menitik' bedak itu nanti.




Untuk 'menitik' bedak, buatlah satu kelongsong dari daun pisang (bentuknya seperti kelongsong kacang putih). kemudian tepung tadi dimasukkan ke dalam kelongsong tadi dan titikkan setitik demi setitik di atas sebidang kain putih. Saiz bedak yang akan dihasilkan adalah bergantung kepada saiz pada lubang kelongsong, jika besar, besarlah ia dan jika kecil pula, maka kecillah ia.

Biasanya proses ini dikaitkan juga dengan tahap 'kerajinan' si pembuat bedak, jika saiz bedak itu kecil-kecil dan comel lote maka terbayanglah akan kerajinan si pembuat bedak dan begitulah juga sebaliknya.. hehe..




Bintil-bintil bedak ini kemudiannya akan dijemur di tempat yang teduh supaya bedak ini tidak menjadi terlalu keras. Biasanya sehelai lagi kain yang jarang akan digunakan sebagai penutup kepada bedak-bedak tadi supaya tahap kepanasan jemurannya dapat dikawal.




Untuk mengelakkan bedak ini dari menjadi masam, masukkanlah bunga-bungaan yang wangi seperti bunga melur, cempaka, bunga mawar dan daun pandan yang dihiris halus. Bedak anda pasti akan menjadi harum dan semerbak. Bedak ini boleh disimpan di dalam botol ataupun bekas tembikar supaya bedak ini boleh tahan lama.

Khasiat bedak sejuk ialah ia dapat digunakan sebagai 'tepung tawar' untuk mengubati orang sakit. Selain daripada itu, bedak ini juga dapat digunakan untuk menghilangkan penyakit ruam, jerawat, badan panas, gatal-gatal badan, kayap dan lain-lain penyakit kulit.

Pemakaian bedak sejuk ialah dengan mengambil beberapa butir bedak, mengikut agak sendiri dan dicampurkan dengan sedikit air, kemudian disebatikan biasanya di tapak tangan. Bedak yang lembab itu kemudian bolehlah disapukan pada wajah dan leher atau di mana-mana tempat yang berkenaan.


*************************************************

Resepi hari ini:

KEK KACANG HIJAU

Bahan-bahannya:

1 cawan mentega
2 cawan tepung
1 cawan gula caster
3 biji telur ayam
sedikit garam
esen vanilla
1/2 cawan kacang hijau

Cara membuatnya:

Kacang hijau direndam semalaman dan rebus hingga empuk.
Tapis untuk mengeluarkan air yang berlebihan.
Pukul telur yang dicampurkan dengan sedikit garam dan esen vanilla.
Pukul mentega dengan gula hingga kembang.
Masukkan telur, selepas itu masukkan tepung sedikit demi sedikit.
Masukkan kacang hijau. Gaul hingga rata.
Masukkan dalam acuan dan bakar hingga masak.


SELAMAT MENCUBA!


12 August, 2011

Abdul Fatah Karim


Siapakah Abdul Fatah Karim ini? BR pasti tidak ramai yang mengenali beliau sebagai salah seorang seorang tokoh muzik yang hebat jika tidak didedahkan di sini. Kehebatannya sebagai pelopor utama dalam pembangunan kurikulum simfoni orkestra di Malaysia di suatu ketika dahulu telah tenggelam ditelan arus zaman dan semakin dilupai oleh generasi kini.

Lahir di Kota Bahru Kelantan pada 10 Februari 1935, Abdul Fatah Karim ialah seorang daripada murid Abdullah Bukhari yang telah mendapat lanjutan dalam pelajaran muzik khususnya di bidang violin, harmoni dan memimpin orkestra di Royal Academy of Music, London, England. Beliau berkursus di akademi ini selama lima tahun setengah sebagai bumiputra yang pertama mendapat kelulusan dalam bermain violin.


Sekembalinya ke tanah air, beliau telah bertugas sebagai Ketua Jabatan Muzik di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (sekarang UPSI). Di samping kesibukannya sebagai seorang pendidik beliau berkesempatan mencipta dan menggubah lagu seterusnya melatih belia-belia bermain muzik sehingga tertubuhnya sebuah orkestra muda di bawah naungan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

Beliau juga telah dijemput manjadi pensyarah sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) dalam bidang Muzik Tradisional Melayu.

Abdul Fatah Karim telah dipilih mewakili Malaysia ke Bengkel Muzik Melayu anjuran UNESCO di Kalimantan Timur, Indonesia pada bulan April 1977, dan mesyuarat pakar muzik memilih lagu-lagu Asia dan Oceania pada tahun 1979 di Manila dan pada tahun 1980 di Tokyo juga tajaan UNESCO.

Pada bulan Mei 1977 beliau telah mewakili Malaysia ke Kem Muzik Belia Serantau Asia di Manila sebagai salah seorang tutor. Pada bulan Januari 1978 beliau telah dijemput menghadiri Kem Muzik Kebangsaan Australia di Adelaide. Beliau juga yang telah bertanggungjawab bermulanya Kem Muzik Kebangsaan Malaysia Pertama di Kuala Lumpur pada tahun 1977.


Mulai Ogos 1978, Abdul Fatah Karim telah beralih tugas sebagai salah seorang daripada Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan yang bertanggungjawab tentang muzik (Pengarah Muzik) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia.

Beliau turut menjadi tutor dan konduktor dalam Kem Muzik Kebangsaan pada November 1980. Beliau turut menjadi konduktor dalam Simfoni Belia ASEAN yang pertama di petaling Jaya pada 19 Disember 1980.

Di atas sumbangan beliau yang luas dalam bidang muzik, Abdul Fatah telah dianugerahkan Australian Cultural Award pada tahun 1977 dan 1981, ASEAN Award (Cultural Communication – Literary Work) pada tahun 1990, dan dikurniakan pangkat Ahli Mangku Negara (AMN) dan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Sekiranya ada di kalangan pembaca yang mempunyai maklumat mengenai beliau, amatlah dialu-alukan untuk turut berkongsi di sini.

Sedikit maklumat mengenai beliau boleh juga diikuti di: Komposer Muzik Di Malaysia Dulu Dan Kini.


*************************************************

Resepi hari ini:

BISKUT MILO

Bahan-bahannya:

1 1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan tepung jagung
3/4 cawan Milo
1/2 cawan gula halus
3/4 cawan tepung sagu
3/4 cawan mentega

Cara membuatnya:

Kacau gula dan mentega dan masukkan Milo. Kacau hingga rata.
Ayak dan campur semua tepung.
Masukkan sedikit-sedikit ke dalam campuran gula-mentega-Milo hingga adunan menjadi lembut.
Canai dan terap.
Bakar dengan api yang sederhana.


SELAMAT MENCUBA!

10 August, 2011

Freeda - Wanita Ulung Berpangkat Leftenan Kolonel

Penglibatan wanita dalam pelbagai bidang sama ada dalam sektor awam atau kerajaan ketika ini bukanlah satu keganjilan. Telah banyak dari kalangan wanita yang telah menonjolkan diri berganding dengan kaum lelaki dalam jabatan-jabatan kerajaan atau swasta, malah ramai di antara mereka yang menjadi ketua dalam pertubuhan-pertubuhan tersebut.


Namun demikian dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak ramai wanita yang menjadi pegawai tinggi sehingga ini, kerana angkatan tentera merupakan satu profesion yang berbeza dan unik berbanding lain-lain profesion. Selain dari mesti mahir dalam ilmu ketenteraan, kenaikan pangkat berpandukan perjawatan yang disandang bagi memimpin sesuatu ketumbukan.

Walau bagaimanapun telah muncul seorang wanita terulung yang mencapai pangkat yang tinggi sebagai seorang pegawai kanan yang setanding dengan jawatan seorang lelaki yang jika dibanding taraf pangkatnya ianya setaraf dengan seorang Pegawai Memerintah yang memimpin satu ketumbukan atau batalion Infantri. Beliau ialah Leftenan Kolonel Dr. Freeda Fernandez.

Lt. Kol. Dr. Freeda Fernandez yang bercita-cita tinggi sentiasa tekun dalam kerjayanya sama ada sebelum berkhidmat dalam angkatan tentera mahupun sebelumnya semasa berkhidmat dengan perkhidmatan awam.

Beliau yang mula berkhidmat dengan angkatan tentera setelah ditauliahkan dengan pangkat Kapten adalah salah seorang dari kumpulan pertama seramai tiga orang Pegawai Perubatan wanita yang diserapkan dalam angkatan tentera.

Lt. Kol. Dr. Freeda Fernandez yang sudahpun mendirikan rumah tangga pada tahun 1985 dengan seorang pakar pergigian yang bertugas di Hospital Besar Melaka yang juga bekas penuntut Maktab Tentera Diraja Sungai Besi.

Beliau ialah seorang pakar dalam bidang kaji kuman yang berkhidmat dalam Kor Perubatan dan Pergigian Tentera Darat, kini bertugas dengan 95 Hospital Angkatan Tentera, Kinrara sebagai Ketua Pakar Kaji Penyakit.

Lt. Kol. Dr. Freeda Fernandez yang berasal dari Kuala Lumpur adalah bekas penuntut Sekolah Convent Bukit Nanas dan Sekolah St. John ini telah mendapat pendidikan perubatan di Lady Haringe medical College, New Delhi, India. Beliau lulus pada tahun 1975 dan pada tahun 1976 membuat Housemen di Hospital Besar Ipoh, setelah itu dihantar bertugas di Hospital Besar Seremban dan Kuala Pilah.


Anak kelima dari enam orang adik beradik ini menyatakan tidak menyesal berkhidmat dalam angkatan tentera, malah beliau merasa bangga kerana berpeluang dan berkemampuan mengabdikan diri dalam dua bidang ketenteraan yang mencabar kepakaran dalam perubatan.

Beliau pernah dihantar berkursus di Royal Post Graduate medical School, England pada tahun 1979 dalam kepakaran dan lulus serta mendapat diploma dalam bidang kaji kuman.

Di Hospital Kinrara ini, beliau menguruskan pengendalian kajian-kajian untuk mengenal pasti jenis kuman, jenis darah dan lain-lain yang berkaitan dengan dibantu oleh beberapa orang anggota perubatan lain-lain pangkat.

Selain dari itu tugasnya juga meneliti data-data tertentu dengan menyerahkan hasil kajian dan juga untuk membantu kumpulan doktor atau pihak atasan jika diperlukan.

Lt. Kol. Dr. Freeda Fernandez juga turut membuat pemeriksaan Pap Smear untuk wanita yang menerima rawatan di hospital tersebut sama ada dari kalangan anggota Pranita mahupun keluarga tentera yang mahu melakukan pemeriksaan bagi memastikan mereka terlepas dari kanser rahim.

Seorang yang tidak pernah merasa bosan dengan tugas dan tanggungjawabnya ini, beliau turut menduduki Jawatankuasa Penyalahgunaan Dadah, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Ini akan memberi peluang kepadanya untuk bertukar-tukar pendapat dengan lain-lain doktor seperjuangannya serta menambahkan lagi pengalamannya sebagai seorang doktor.


Dalam satu-satu kes, beliau juga terpaksa memeriksa air kencing perajurit-perajurit bagi memastikan dan mengesan sama ada perajurit tersebut terlibat dengan penyalah gunaan dadah atau sebaliknya.

Sebelum menjadi pelopor doktor perubatan wanita dan menjadi wanita terulung mencapai pangkat tersebut, beliau berkhidmat di Hospital Besar Seremban. Biarpun tanggungjawabnya lebih mencabar ketika bertukar dengan hospital tentera dari hospital awam, namun beliau menyatakan rasa gembira kerana ini akan memberi pengalaman yang lebih dalam meningkatkan mutu kerja dan prestasi kedoktorannya. malah beliau sedia menerima cabaran itu dengan hati yang tabah dan jujur bagi mengatasi segala cabaran tersebut.

Lt. Kol. Dr. Freeda Fernandez menyatakan kesediaannya mengubah haluan dari seorang doktor awam kepada doktor dalam tentera kerana ingin mencari sesuatu yang berlainan dalam hidupnya kerana dalam ketenteraan segala tugas pekerjaan berjalan mengikut peraturan dan disiplin tersendiri.

Pada pandangannya doktor wanita juga wajar berkhidmat dengan angkatan tentera kerana profesion dalam angkatan tentera mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Sumber: Sinar Zaman, Bil. 140 (tahun tidak pula dinyatakan).


*************************************************

Resepi hari ini:

BISKUT REPUT

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung sagu
1 1/2 cawan gula halus
1 cawan tepung gandum (digoreng dahulu)
1/4 cawan tepung kastard
4 biji kuning telur
1 cawan santan pekat
sedikt garam dan baking powder


Cara membuatnya:

Telur dan gula dipukul hingga kembang.
Lepas itu masukkan pati santan, tepung gandum yang telah digaul dengan tepung sagu.
Lepas itu masukkan pula tepung kastard, sedikit garam dan baking powder.
Uli sehingga sebati barulah dicanai dan diterap.
Bakarlah hingga masak.

SELAMAT MENCUBA!


04 August, 2011

Imbasan Bakat TV 1979 (Separuh Akhir)


Peminat-peminat Bakat 79' mungkin telah mengikuti rancangan pertandingan bakat ini di peringkat awal dengan enam siri rancangan telah dipancarkan sebelum ini. Kita ikuti imbauan di peringkat separuh akhir ini di mana 18 orang peserta telah mengambil bahagian, enam peserta untuk tiap-tiap bahagian.

Bahagian-bahagian yang dipertandingkan ialah Bahagian Pancaragam atau Kugiran, Bahagian Lawak Jenaka dan Bahagian Solo Instrumental. Dari 18 peserta ini lebih dari separuh adalah muka-muka baharu dan boleh dikatakan masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.


Abdul Rahim Abdul Rahman bermain gitar klasik dari Kuala Lumpur (Instrumental Solo).


Mendengar kepada nama peserta-peserta yang mengambil bahagian ini tentunya akan mengembalikan nostalgia lama apabila terkenangkan aksi-aksi peserta yang telah mempersembahkan bakat masing-masing. Tidak kiralah pada waktu itu pembaca masih lagi kanak-kanak ataupun telah dewasa atau dalam keadaan ingat-ingat lupa...


Band Panada Ista dari Kuala Kangsar, Perak (Pancaragam atau Kugiran).



Berikut ialah nama-nama peserta yang layak menyertai ke peringkat separuh akhir Bakat TV 1979 ini:

Bahagian Pancaragam atau Kugiran:

1. Band Q'cumber Uprising dari Melaka.
2. SBS Band dari Alor Setar, Kedah.
3. Band Panada Ista dari Kuala Kangsar, Perak.
4. Band Dendang Kilat dari Alor Setar.
5. T. Road Band dari Tapah, Perak.
6. H.B. Group dari Ulu Kinta, Perak.


Kumpulan IBS Bersaudara dari Johor (Lawak Jenaka).


Bahagian Lawak Jenaka:

1. Kumpulan KAU dari Alor Setar, Kedah.
2. Kumpulan Manikam dan Baby dari Melaka.
3. Kumpulan Osman dan Rajah dari Kelang, Selangor.
4. Kumpulan Isbando dari Teluk Anson (sekarang Teluk Intan), Perak.
5. Kumpulan IBS Bersaudara dari Johor.
6. Kumpulan Hassan Putu Mayam dari Pulau Pinang.


Nicholas Ong Cheng Hooi bermain piano dari Kuala Lumpur (Instrumental Solo).


Bahagian Solo Instrumental:

1. Nicholas Ong Cheng Hooi bermain piano dari Kuala Lumpur.
2. Shahrizan Mohd Salmi bermain flugle horn dari Kuala Lumpur.
3. Abdul Rahim Abdul Rahman bermain gitar klasik dari Kuala Lumpur.
4. Wan Mohammad Wan Zainal bermain gitar elektrik dari Perlis.
5. Mohd Yasin bermain gambus dari Kuala Lumpur.
6. Kesavan Pulusamy dari Seberang Perai.


Dari 18 orang peserta ini, enam peserta akan dipilih untuk menyertai peringkat akhir kelak iaitu dua peserta bagi tiap-tiap bahagian. Manakala Sabah dan Sarawak pula akan diwakili oleh enam peserta iaitu satu bagi tiap-tiap bahagian. pada keseluruhannya 12 peserta akan turut mengambil bahagian di Peringkat Kebangsaan kelak.


Kumpulan Manikam dan Baby dari Melaka(Lawak Jenaka).


Adalah menjadi cita-cita dan hasrat RTM untuk mengadakan acara-acara pentingnya di luar dari kompleks Angkasapuri dengan tujuan memberi gambaran sebenar tentang kegiatan RTM kepada orang ramai di samping mengeratkan lagi suasana kerjasama dan muhibah di antara RTM dan rakyat.

Dalam usaha untuk melaksanakan hasrat inilah, maka RTM sekali lagi bercadang mengadakan Bakat 79' Peringkat Kebangsaan (Akhir) di luar dari Angkasapuri. Kali ini ialah di Negeri Sembilan. Tempat yang dipilih ialah di Tapian Gelanggang, Paroi berhampiran bandar Seremban.

Bakat 79' Peringkat Kebangsaan (Akhir) akan disiarkan secara langsung oleh RTM dan di dalam bentuk warna. DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tengku Ampuan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Penerangan akan turut hadir di upacara yang meriah yang buat pertama kalinya ia diadakan di Negeri Sembilan.

Untuk mengetahui keputusan sebenar Pertandingan Akhir Bakat TV 1979 ini, insyaAllah akan BR siarkan pada postingan akan datang. Persoalannya di manakah mereka ini berada sekarang?


*******************************************************

Seperti di bulan puasa pada tahun lalu, setiap posting akan disertakan dengan resepi cadangan untuk pembaca mencubanya di sepanjang bulan puasa ini.

Untuk makluman, resepi yang dicadangkan ini adalah resepi klasik yang masih menggunakan kaedah sukatan imperal seperti cawan, tin, kati, tahil, oz, inci, camca dan sebagainya.

Terpulanglah kepada budi bicara pembaca untuk menukarkannya kepada sukatan standard atau metrik supaya hasil rasa dan bentuknya nanti tidak 'lari' hehe..


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


KELUPON UBI

Bahan-bahannya:

4 batang isi ubi kayu
1/2 kati gula merah
1/2 biji kelapa muda
satu cawan tepung gandum
sedikit garam dan minyak untuk menggoreng


Cara membuatnya:

Ubi dan kelapa diparut, dicampurkan garam dan gaul rata-rata. Masukkan pula tepung ke dalam adunan tadi dan gaullah sehingga sebati. kemudian dibuat bulat-bulat sebesar telur ayam (bukan telur puyuh hehe..) Lubangkan ditengahnya dan masukkan gula merah ke dalamnya.

Panaskan minyak dan bila sudah cukup panas, gorenglah sehingga kuning.


Selamat mencuba! Kalau kuih ini menjadi, janganlah lupa menghantar ke sini barang seketul dua.. hehe..