23 February, 2011

Pengisar Tepung Dulu-dulu..


Inilah pengisar tepung zaman dahulu di sekitar tahun 1970-80an yang pernah digunakan oleh keluarga BR untuk mengisar beras untuk dijadikan tepung beras. Diperbuat 100% daripada batu dan sungguh berat sesuai dengan tugasnya sebagai pengisar.

Masih teringat lagi pada waktu itu emak menghancurkan beras untuk membuat bedak sejuk dengan menggunakan pengisar ini. Maka berebutlah kami adik beradik menunggu giliran untuk sama-sama 'menolong' mengisar beras tersebut atau yang sebenarnya memang seronok untuk memutar-mutar pengisarnya...


Sebenarnya pengisar ini dilengkapi dengan pemegangnya yang diperbuat daripada besi (yang diikat disekeliling batu pengisar) atau pemegang daripada kayu yang dimasukkan dengan kemas ke dalam lubang di sisi pengisar bertujuan untuk memusingkannya.


Berbagai kuih-muih yang berasaskan tepung beras seperti apam dan sebagainya pada zaman dahulu biasanya akan menggunakan batu pengisar ini untuk mengisar beras untuk dijadikan tepung. Rasanya jika alat ini masih digunakan lagi sekarang tentunya suri-suri rumah masa kini akan lebih nampak 'tough'... He.. he..

Terdiri daripada dua lapisan batu yang digunakan untuk menghancurkan beras atau seumpamanya melalui kaedah geseran. Beras akan di rendam semalaman dan bila sudah kembang akan di kisar dengan pengisar ini untuk dijadikan tepung.


Pandangan dari atas batu pengisar. Kaedahnya ialah dengan memutarkan lapisan batu di atas manakala beras yang hendak dihancurkan akan dimasukkan melalui lubang kecil di atasnya. Air juga diperlukan untuk mengalirkan beras yang telah dihancurkan ke dalam bekas tadahan di bawah pengisar. Maka akan mengalirlah beras yang telah hancur itu (berwarna putih) perlahan-lahan menuruni batu pengisar ini.


Tapak bawah pengisar yang menunjukkan longkang kecil di sekelilingnya untuk mengalirkan beras yang telah hancur ke dalam bekas tadahan. Manakala besi ditengah-tengahnya pula ialah untuk menetapkan kedudukan batu pengisar atas untuk memudahkan tugas memutarkannya.

Bersama putaran masa, batu pengisar ini sudah tidak digunakan lagi dan dibiarkan tersadai bersendirian bersama memori usangnya. Kehadiran mesin pengisar elektrik pada hari ini telah membunuh terus penggunaan pengisar batu ini. Namun begitu, bagi mereka yang kreatif, batu pengisar ini boleh dijadikan hiasan taman ataupun sekurang-kurangnya boleh juga dijadikan pengimpit nasi himpit ketika tibanya Hari Raya...


Moral Value: Bila sudah ada yang baharu, yang lama dilupa jangan...


14 Any comments?:

Alan said...

zaman sekarang orang lebih suka membeli tepung beras yang dah siap dijual kat pasaraya.

farhana sahri said...

wow...mesti berat kan batu tu...kat umah ada dua mesin geleng getah..tp dah kena curi...sebelum tu nak simpan, tp terlalu berat

fiqas said...

nenek saya pernah guna ni dulu2..sempat gak la duk main2 putar benda ni..

zati embong said...

hm simpanlah molek2.syg di biarkan mcm tu je O.o

Jumir said...

Penah tgk ni....kat kg dolu2....ada makcik sebelah umah yg suke buat kuih kepal. Guna kisar ni la....buat tepung beras.

Muzaffar said...

sekarang...ini barang ada harga. pencinta lanskap cari merata-rata...hati-hati, jangan sebarang letak, nanti diambil kaki ekor.....hahaha

zul permatang badak said...

Pengisar batu generasi kedua diperbuat drp simen dan pasir...telah ditentukan acuannya cantik sikit...beratnya boleh tahan....tapi blue riders punya original sbb seratus peratus batu....
Tekun orang yang memahat...batu tersebut...
simpan...susah nak dapat yang ori....

nikths said...

betul spt kata zul permatang badak,kisar dulu-dulu diperbuat dari batu granit bukan simen.Teringat masa kecik2 tolong mak kisar beras buat laksam.

Bro BR,orang-orang sekarang dah dimanjakan dengan barangan moden dah tak mau guna benda2 lama ni padahal guna benda2 lama makanan jadi lebih sedap contohnya lesung batu sebab banyak mineral masuk dalam makanan.

Anonymous said...

saya batu giling peninggalan atuk saya buat hiasan taman dan tempat air terjun kolam ikan di laman,memang cantik dan berseni

eira eixora said...

kat umah nenek saya masih ada dan masih guna lagi

Hj Shaari Hj Mohd Yusof (hj.khasaf) said...

baru je sembang2 dgn kwn terkenang batu pengisar ni.. terima kasih bro..dpt juga tgk batu ni.

Anonymous said...

Agak2 nya kalau saya nak jual batu pengisar tepung nie ada tak yang berminat???n brapa harga yang anda mahu letak..jika berminat sila hubungi ALONG 0192033474

Anonymous said...

Anything please whatsapp di no di atas...

Chempaka Aziz said...

ada yg nk menjual pengisar ni? hubungi saya- sue 0193144399

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'