23 April, 2011

Sudahkah Anda menjelaskan Cukai Taksiran?


Cukai pintu atau cukai taksiran adalah cukai yang dikenakan ke atas pemilik dan penghuni pegangan berkadar yang terletak di dalam kawasan bidang kuasa sesebuah Majlis. Bagi menggalakkan penghuni membayarnya dengan segera, terdapat juga beberapa Majlis Daerah yang menawarkan hadiah-hadiah yang lumayan seperti motosikal sehinggalah ke tiket parkir.

Entri kali ini marilah kita melihat pula sekeping resit cukai taksiran yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Utara Seberang Perai bagi setengah tahun berakhir pada 31.12.1969.

Apa yang menarik mengenai resit ini ialah mengenai penggunaan ejaan lama Bahasa Malaysia yang memerlukan sedikit masa untuk kita memahaminya. Begitu juga dengan kaedah 'mematikan setem' yang masih lagi diamalkan untuk sebarang resit rasmi pada waktu itu.


(Sila klik untuk besarkan imej)


RASIT YANG RASMI akan di-chapkan di-sini dan tidak akan di-terima sabagai bukti bayaran terkechuali jika di-chapkan oleh Mesin Rasit Majlis.


Bill ini hendak-lah di-simpan dan ditunjok semasa membuat bayaran. Chek bayaran kira2 ini hendak-lah di-keluarkan dengan nama "Majlis Daerah Utara, Seberang Perai" dan di-palangan Kira2 "Penerima Sahaja." BAYARAN DENGAN SETEM TIDAK DI-TERIMA.


(Sila klik untuk besarkan imej)

Di bahagian belakang resit tertera beberapa syarat meminda rumah dan pembayaran taksiran.

PINDAAN DAN PERUBAHAN KA-RUMAH TANGGA

Untok faedah enche' sebagai tuan yang empunya rumah atau pendudok-nya, hendak-lah enche' mendapat kebenaran jika enche' hendak meminda atau membuat sa-barang perubahan pada rumah enche'. Jika pekerjaan itu di-buat sechara haram, harus enche' terpaksa meruntohkan-nya atau enche' munkin akan di-da'awa yang mana akan mendatangkan kerugian kapada enche'.

Permintaan enche' hendak-lah di-alamatkan kapada Majlis Daerah Utara, Seberang Perai.

HASIL RUMAH

Hasil Rumah hendak-lah di-bayarkan sa-tengah terlebeh dahulu dengan tidak payah di-tuntut lagi pada 1hb. Januari dan 1hb. July pada tiap2 tahun.


Untuk maklumat lanjut mengenai sejarah Majlis Daerah Utara, Seberang Perai ini, pembaca bolehlah melayari: MPSP


******************************************


APAKAH ITU CUKAI TAKSIRAN?

Cukai pintu adalah cukai yang dikenakan ke atas pemilik dan penghuni pegangan berkadar yang terletak di dalam kawasan bidang kuasa sesebuah Majlis.

SIAPAKAH PEMBAYAR CUKAI TAKSIRAN?

Jika anda mempunyai rumah, rumah kedai, hotel, stesen servis, tanah kosong atau pegangan berkadar yang lain yang terletak di dalam kawasan Majlis, anda akan dikenakan cukai taksiran. Sebaliknya, jika anda menduduki bangunan atas tanah tanpa dokumen hakmilik berasingan atau tanah yang dirizabkan untuk sesuatu maksud awam, anda juga perlu membayar cukai taksiran.

KENAPA PERLU MEMBAYAR CUKAI TAKSIRAN?

Kutipan dari cukai pintu adalah perlu untuk menampung perbelanjaan Majlis dalam menyediakan perkhidmatan seperti penyelenggaraan, taman rekreasi, pemotongan rumput, lampu jalan dan tempat kemudahan awam untuk kesejahteraan masyarakat.

BOLEHKAH CUKAI TAKSIRAN DIBERI PELEPASAN?

Cukai taksiran boleh diberi pelepasan jika bangunan tersebut dirobohkan atau dimusnahkan dengan sebab-sebab kebakaran, angin ribut atau sebab-sebab lain.

BILA PERLU DIBAYAR?

Cukai Taksiran perlu dibayar 2 kali setahun iaitu:

* ½ tahun pertama – 1hb. Januari hingga 28hb. Februari.
* ½ tahun kedua – 1hb. Jul hingga 31hb. Ogos bagi tiap-tiap tahun.

Cukai taksiran yang dibayar selepas tarikh akhir pembayaran akan dikenakan caj 1% sebulan atau sebahagian daripadanya.

APAKAH YANG AKAN TERJADI JIKA TIDAK MENJELASKAN CUKAI DALAM TEMPOH TERSEBUT?

Mengikut Akta 171, anda akan dikenakan tindakan –tindakan seperti berikut:

* Notis (Borang E) akan dikeluarkan kepada anda. Anda dikehendaki menjelaskan dalam masa 1 hari daripada tarikh notis. Denda sebanyak 2% daripada baki tunggakan akan dikenakan kepada anda mengikut Seksyen 147(1).

* *Jika masih gagal, waran tahanan akan dikeluarkan keatas anda. Waran ini membolehkan Majlis merampas barang-barang yang ada di dalam bangunan atau menutup bangunan daripada menjalankan operasinya atau melelong bangunan tanah melalui Pendaftar Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 151. Bayaran waran sebanyak 10 peratus juga akan dikenakan.

BAGAIMANA UNTUK MENGELAKKAN DIKENAKAN DENDA ATAU TINDAKAN MAHKAMAH?

Bayar segera sebelum 28hb. Februari – 31hb. Ogos pada tiap-tiap tahun.


Moral Value: Tunggu diskaun denda... He.. he..



5 Any comments?:

Koding said...

Untuk jangka masa yang terdekat ini, selain cukai pendapatan yang perlu diurus sebelum 30 April, cukai yang perlu dijelaskan sebelum 31 Mei setiap tahun adalah cukai tanah...

Lepas ini BR boleh bongkar2 resit lama cukai tanah pulak...

Blues Riders said...

BR to Koding:
cukai tanah coming soon.. hehe..

tH said...

wah bagus info ni,,xtau jd tau..thanks :)

Izyan Masri said...

HEHEHE.KLASSIK BETUL BLOG NI.THUMBS UP ! :D

Kak Mahh said...

Belum bayar lagi...

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'