Inilah bekas yang dipanggil 'Sia' (Disebut dengan sedikit bunyi sengauan). Kadang-kadang mangkuk tingkat pun orang panggil sia juga. Terdapat berbagai saiz yang digunakan dan ianya diperbuat daripada logam (aluminium). Sungguh ringan dan mudah dibawa. Ianya juga lebih dikenali di kalangan orang Banjar sebagai 'Rantang'.
Suatu masa dahulu bekas ini cukup popular digunakan semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan terutamanya oleh kaum-kaum ibu. Diisi sama ada dengan gula, beras, kuih dan sebagainya sebagai buah tangan kepada tuan rumah lalu dibalas kembali oleh tuan rumah dengan mengisikan nasi dan sejenis lauk kenduri. Kebiasaannya sambal kacang merah. 'Berbalas-bekas' kata orang.
Sebagai penanda kepada tuan punya bekas sia ini tadi, diletakkan riben atau cat. Biasanya yang selalu aku tengok ialah cat berwarna hijau atau merah yang dicalit atau ditulis nama pemilik supaya tidak terambil orang lain punya.
Pada akhir majlis kenduri, bekas sia ini akan dikumpulkan di halaman rumah berlapikkan tikar mengkuang. Pemilik bekas sia ini tadi akan mencari dan mengambil bekas sianya berpandukan kepada penanda yang telah ditandakan pada bekas masing-masing.
Jika terlupa untuk dikunci, apabila mengangkatnya untuk dibawa pulang maka bertaburanlah isi-isinya. Ini adalah kisah benar yang aku saksikan sendiri di satu majlis kenduri...
Kunci yang kemas dan kalau nak letak 'padlock' pun boleh supaya isi di dalamnya tidak dicuri orang. Selalunya ranting kayu atau buluh yang diikat pada tangkai bekas sia digunakan sebagai alat pengunci dengan menjolokkannya ke dalam lubang pengunci. Kadang-kadang terdapat juga pemilik bekas sia ini yang menggunakan kertas yang digulung sahaja sebagai penguncinya.
Terdapat juga sesetengah kaum ibu menggunakan bekas sia ini sebagai tempat menyimpan barangan kemas.
Masih terbayang lagi di mata mereka yang membawa sia ini berjalan melenggang sambil berpayung serta diiringi oleh anak-anak kecil untuk ke majlis kenduri... Tangan-tangan mereka juga dihiasi oleh cincin dan gelang yang bergemerlapan. He.. he..
Pandangan dari atas. Kelihatan bentuk tangkainya yang menarik. Bekas sia ini juga dihiasai dengan corak bunga-bungaan berbentuk ukiran.
Beginilah rupanya apabila dibuka penutupnya. Besar juga kapasitinya dan jika diisi dengan nasi dan lauk kenduri, bolehlah dua kali kenyang...
Pada masa kini penggunaan bekas sia ini bolehlah dikategorikan sebagai yang telah hampir pupus, jadi sama-samalah kita tersenyum sendirian sambil mengimbau masa silam...
2 Any comments?:
BR, bekas nie memang sekarang sukar ditemui, saya ada satu tetapi puas dicari tidak terjumpa.Bekas nie tentu usianya lebih 25 tahun sudah.
BR..cheq nak pinjam gambaq sia ni tau..cheq ada N3 pasal ni..kat Kelantan bekas ni kamin panggil puyuk koci(periuk kunci)
Post a Comment