Nasi bungkus untuk kursus guru
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Guru  menghadiri  kursus atau latihan di bawah anjuran Jabatan Pelajaran negeri selama ini  menikmati hidangan bufet ketika rehat dan makan tengah hari, boleh  melupakan amalan itu apabila kini hanya disediakan nasi bungkus dan air  mineral untuk makan tengah hari dan sepotong kuih dengan air teh atau  kopi untuk minum pagi dan petang.
Difahamkan, untuk seharian kursus tanpa bermalam, peruntukan  untuk makanan hanya RM4 sehari. Sambil mengakui kebenaran itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan  Kebangsaan (NUTP) juga mendedahkan Kementerian Pelajaran sudah  mengurangkan peruntukan untuk kos latihan dan kursus guru, selain tiada  lagi peruntukan untuk aktiviti sekolah dan majlis seperti sambutan Hari  Guru.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata beliau sedih dengan  perkembangan itu yang pastinya akan menjejaskan kualiti pengajaran dan  pembelajaran pelajar di sekolah.
"Kami menerima banyak aduan daripada guru yang menghadiri  kursus dengan mendakwa dibekalkan sepotong kuih dan secawan kopi atau  teh untuk minum pagi dan petang, manakala nasi bungkus satu lauk dan  sayur dengan air kosong untuk makan tengah hari. 
  "Keadaan ini  menyedihkan, sedangkan kursus   dihadiri itu  adalah untuk menaik taraf profesionalisme guru," katanya dihubungi   semalam.
Beliau berkata, sambutan Hari Guru yang bakal diadakan di  Pahang, Mei ini juga tidak disediakan  peruntukan dan NUTP tidak tahu  bagaimana majlis berkenaan dapat dilangsungkan.
Katanya, Kementerian Pelajaran perlu memandang serius masalah  berkenaan dan membuat penyelarasan peruntukan dengan betul supaya dapat  digunakan sebaiknya atau setidak-tidaknya dikekalkan seperti pada  tahun-tahun sebelumnya.
"Saya akur perlu ada langkah penjimatan, namun, janganlah  sampai ke tahap sekarang yang mana peruntukan menghadiri kursus terpaksa  dicatu," katanya.


1 Any comments?:
Ish...kesian cikgu no....
Post a Comment