31 July, 2011

Ramadhan Datang Lagi...


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan selamat berpuasa diucapkan kepada semua umat Islam di seluruh Malaysia khasnya dan kepada seluruh umat Islam tidak kira di mana jua mereka berada di muka bumi ini. Juga kepada semua pembaca beragama Islam yang telah berkunjung atau terkunjung ke blog ini. Semoga amalan yang kita lakukan dilimpahi rahmat dan diberkati oleh Allah S.W.T. hendaknya. Amin.


Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya memandangkan ia merupakan bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan keberkatan bagi mereka yang tahu dan menghayatinya.


Firman Allah S.W.T:

"Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.."
Surah Al-Baqarah ayat 183.


SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA.

29 July, 2011

Postcard Lambs And Daffodils, New Zealand


Poskad bertarikh 06.03.1997 ini sudah lama BR simpan sebenarnya, terkumpul bersama koleksi poskad-poskad yang lain. Cukup tertarik dengan dua ekor anak bebiri yang comel sambil dikelilingi oleh bebunga Daffodils.

Bunga Narcissus atau Daffodil, disebut juga dengan nama bunga serombong bentuknya terdapat seperti trumpet kecil di tengah-tengahnya dan di kelilingi oleh 6 kelopak. Warna bunga ini kebanyakan kuning, tetapi ada juga yang berwarna putih dan oren. Tinggi tanaman ini boleh mencapai hingga 2 kaki atau 60 cm.


Ia juga merupakan Bunga Kebangsaan Wales tetapi perlu dingat bahawa bunga ini juga adalah beracun. Socrates pernah menyebut tanaman ini sebagai ‘Chaplet of the infernal Gods’.


Kita ikuti sebuah puisi daripada pujangga Inggeris yang terkenal dari abad ke-19, William Wordsworth yang memuja keindahan bunga daffodil ini:

'Daffodils'

I wandered lonely as a cloud
That floats on high o'er vales and hills,
When all at once I saw a crowd,
A host, of golden daffodils;
Beside the lake, beneath the trees,
Fluttering and dancing in the breeze.

Continuous as the stars that shine
And twinkle on the milky way,
They stretched in never-ending line
Along the margin of a bay;
Ten thousand saw I at a glance,
Tossing their heads in sprightly dance.

The waves beside them danced; but they
Out-did the sparkling waves in glee,
A poet could not but be gay
In such a jocund company;
I gazed--and gazed--but little thought
What wealth the show to me had brought.

For oft, when on my couch I lie
In vacant or in pensive mood,
They flash upon that inward eye
Which is the bliss of solitude;
And then my heart with pleasure fills
And dances with the daffodils.

- William Wordsworth


Untuk maklumat lanjut mengenai bunga bunga Narcissus atau Daffodil ini, pembaca bolehlah ke: Wikipedia/Narcissus


Moral Value: Tunggu M. Nasir/S. Amin Shahab cipta lagu "Sekuntum daffodil sebuah puisi" pula he.. he..


28 July, 2011

Unit Udara Polis Memulakan Tugas


Pada bulan Februari 1980, Polis Diraja Malaysia telah mempunyai unit rondaan udaranya sendiri dengan menggunakan dua buah kapal terbang Cessna 206 yang telah diterima pada 19 Disember 1979. (Unit Udara PDRM ditubuhkan secara rasmi pada 1 Februari 1979).


Ketua Polis Negara bersama ASP Mohd Noor Jamari (kanan) dan Supt. Zulkifli Ali, Timbalan Pengarah Logistik Polis Diraja Malaysia.


Ketua Polis Negara pada waktu itu, Tan Sri Mohd Haniff Omar (sekarang Tun), telah menerima penyerahan dua buah kapal terbang tersebut dalam satu upacara ringkas di Lapangan Terbang Subang.

Unit Udara Polis Diraja Malaysia dianggotai oleh 13 orang pegawai polis dengan diketuai oleh Komander Unit Udara pada masa itu, ASP Mohd Noor Jamari. (Allahyarham DSP). Pada hari penerimaan kapal terbang itu juga, empat orang Inspektor telah menerima sayap mereka.


Dari kiri ke kanan: Inspektor Thoo Joon Loi, Inspektor Abdul Karim Haji Idris, Inspektor Leong Wai Tak dan Inspektor Izam Sulaiman bergambar selepas menerima sayap penerbangan mereka daripada Ketua Polis Negara dan seterusnya melayakkan mereka untuk menjadi juruterbang.


Tan Sri Mohd Haniff Omar sedang menyematkan sayap penerbangan kepada Inspektor Abdul Karim Haji Idris.


Tan Sri Haniff Omar diberikan penerangan ringkas mengenai pesawat Cessna 206.


Pesawat Cessna 206.
(Gambar hiasan hasil carian Google).

Sumber: Sinar Zaman, Jilid VIII, Bil. 87 (Februari) 1980.


Setelah hampir 31 tahun berlalu, mungkin pegawai-pegawai polis di atas telahpun bersara dari perkhidmatan mereka. Walau bagaimanapun, sekalung tahniah dan penghargaan kerana telah menjadi anggota pengasas kepada Unit Udara PDRM ini.

Untuk maklumat mengenai Unit Udara PDRM ini, pembaca bolehlah ke: Wikipedia/Unit Udara PDRM


Moral Value: Dream a little dream, to soar in the sky, its all that I can dream...



27 July, 2011

Resit Sewa Rumah


Setelah kita berhibur dengan lagu "Diam-diam Rindu" dendangan Dahlan Zainuddin ataupun Abang Dell, untuk entri kali ini kita akan lihat satu resit sewa rumah yang dikeluarkan atas nama Madam Phoon Kuan Mee bertarikh 23.02.1976 iaitu kira-kira 35 tahun yang lalu.

Mungkin ada di antara pembaca yang belum dilahirkan lagi pada waktu itu atau mungkin sahaja baharu berumur setahun pada waktu itu. Sengaja dijadikan koleksi kerana terdapat beberapa unsur yang boleh didapati di situ sebagai satu bahan arkib.


Perkara pertama ialah mengenai setem yang dilekatkan pada resit tersebut. Setem Ulang Tahun Ke-50 (1925-1975) Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM-Rubber Research Institute Of Malaysia). Menunjukkan bahawasanya setem 10 sen yang dikeluarkan pada tahun 1975 ini terus digunakan sehingga tahun 1976 (atau sehingga kehabisan stok).

Kepada generasi baharu jangan terkejut pula apabila setiap resit pada waktu itu diwajibkan "pemati setem" dengan jumlah yang tertentu pada nilai pembayaran yang tertentu.

Adapun hal yang keduanya ialah mengenai sistem dokumentasi yang diamalkan pada waktu itu iaitu menyediakan resit rasmi bagi setiap pembayaran hatta sewa rumah sekalipun. Mungkin ramai di antara kita adalah penyewa atau tuan rumah sewa, tetapi tidak ramai juga yang akan menerima atau mengeluarkan resit rasmi bagi setiap penerimaan dan pembayaran kerana sebarang penerimaan dan pembayaran sekarang lebih mudah dilakukan secara online atau lebih tepat lagi dihujung jari.. hehe..

Perkara ketiga ialah nilai sewa rumah pada waktu itu. Dapat dilihat dengan jelas pada resit jumlah sewa yang telah dibayar ialah $200. Satu kadar yang dikira cukup tinggi pada waktu itu. Mungkin juga itu adalah kadar sewa bagi tingkat bawah sebuah rumah kedai di No. 161, Jalan Kampar, Ipoh. Adalah dianggarkan kadar sewa tersebut mungkin lebih tinggi nilainya bagi premis berkenaan pada masa ini sementelahan Ipoh telahpun menjadi sebuah bandaraya.


Moral Value: Jangan liat bayar sewa rumah...


26 July, 2011

Dahlan Zainuddin


Nama penyanyi Dahlan Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Dell, sememangnya cukup popular di era 70-an. Cukup sinonim dengan lagunya 'Kisah Seorang Biduan'.

Beliau juga merupakan satu-satunya penyanyi yang pernah bergelar superstar dalam arena hiburan tanah air suatu ketika dahulu.




Moral Value: Blues... Ada Lagi..!


25 July, 2011

Imbasan Suku Akhir Bintang RTM 1980


Bintang RTM telahpun wujud 41 tahun dahulu semenjak Talentime TV yang pertama pada tahun 1970. Dengan munculnya televisyen di negara kita maka diadakan pula pertandingan Bintang Radio di TV. Pertandingan ini telah mendapat sambutan hangat dan menarik minat orang ramai di seluruh tanah air.

Sejak itu, pihak RTM terus giat menganjurkan pertandingan Talentime TV dan yakin inilah satu-satunya jalan dan cara untuk mencungkil bakat-bakat terpendam di kalangan muda-mudi, bakat-bakat yang boleh digunakan untuk pertunjukkan-pertunjukan TV seterusnya.


Sharon Premela Issac menyanyikan lagu " Ku Nyanyi Untukmu" dan "When It's Just You And Me".

Pencarian bakat baharu bagi Bintang RTM 1980 telahpun dimulakan pada 30 September 1980 bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang seni suara untuk diketengahkan.

Pihak RTM telah menyediakan sebanyak tujuh rancangan bagi merakamkan pertandingan peringkat suku akhir ini yang telahpun disiarkan mulai tarikh tersebut. Rancangan ini akan disiarkan seminggu sekali untuk memberi peluang rakyat Malaysia menghayati dan menikmati persembahan para peserta.


Kumpulan Raja Doli yang mempersembahkan lagu "Tari Gembira" dan "Jesamine".

Pertandingan ini telah disertai oleh kira-kira 6,000 permohonan di mana 120 daripadanya telah ditolak. Daripada jumlah itu, hanya 70 orang sahaja yang layak dan akan beradu nasib pada peringkat suku akhir untuk melayakkan mereka memasuki peringkat separuh akhir yang akan diadakan pada akhir tahun 1980.

Peserta-peserta dari Sabah dan Sarawak tidak lagi bertanding sebagai mewakili kawasan masing-masing seperti tahun-tahun sebelumnya diadakan pertandingan di tempat mereka. Pada tahun 1980 ini mereka akan bertanding dengan peserta-peserta Semenanjung dari peringkat awal lagi.


Raisuddin Hamzah juga merupakan pelakon utama "Nenek Kebaya" dan merupakan ayahanda kepada Sarah Raisuddin membawa lagu "Keluhan Perantau" dan "Semua Bisa Bilang".

Semua peserta akan dihakimi dan markahnya akan dicatatkan. 40 peserta dari seluruh negara akan memasuki pertandingan peringkat separuh akhir dan sistem yang serupa akan dikenakan untuk ke peringkat akhir pada awal tahun 1981 di Oditorium Besar, Wisma Radio, Kuala Lumpur.

Hanya 13 orang peserta sahaja akan dipilih ke peringkat akhir. Mereka akan dibahagikan pula kepada empat kumpulan dan sembilan solo atau lima kumpulan dan lapan solo.


Seorang peserta suku akhir yang tidak dapat dipastikan sama ada Mimi Noorazamimah atau Norhana Jalaluddin?

Kita ikuti imbauan peserta yang telah menyertai pertandingan peringkat suku akhir Bintang RTM 1980 ini adalah seramai lapan orang peserta solo dan dua bagi acara kumpulan. (10 peserta).

Peserta yang pertama ialah Mimi Noorazamimah membawa dua buah lagu "Terkenang Desa Permai" dan "Raining In My Heart".

Peserta kedua Sharon Premela Issac menyanyikan lagu " Ku Nyanyi Untukmu" dan "When It's Just You And Me".

Kemudian Aziz Khamis muncul sebagai peserta ketiga dengan lagu "Keluhan Dara" dan "Layu Sebelum Kembang".

Roslan Jalil membawakan lagu "Ku Sangka Siang Kiranya Malam" dan "Oh Di Mana".

Kumpulan Highlight pula muncul dengan lagu "Hidup Bukan Hanya Sehari" dan "Lesson In Love".

Peserta keenam Helena Hon May Ling membawakan lagu "Biarlah Aku Sendiri" dan "He Ain't Heavy He's My Brother".

Peserta ketujuh Norhana Jalaluddin telah membawakan lagu "Daun-daun Berguguran" dan "Tak Kuasa Ku Hindari".

Adnan Mohamad pula dengan lagu "Hujan Di Tengahari" dan "Joget Orang Berkasih".

Raisuddin Hamzah peserta kesembilan membawa lagu "Keluhan Perantau" dan "Semua Bisa Bilang".

Peserta kesepuluh yang juga peserta terakhir ialah dari Kumpulan Raja Doli yang mempersembahkan lagu "Tari Gembira" dan "Jesamine".

Hadiah-hadiah pertandingan ini tetap seperti tahun -tahun yang sebelumnya. Pengacara pertandingan Bintang RTM 1980 ini ialah Zainal Abbas dan Penerbitnya ialah saudara Ahmad Raphay.

Untuk keputusan penuh siapakah yang telah menjuarai Bintang RTM 1980 ini, pembaca bolehlah ke Bintang RTM 1980 yang telah disiarkan dahulu.


Moral Value: Teringat bait-bait lirik lagu "Oh Di Mana".. nyanyian Roslan Jalil (D'lloyd).


23 July, 2011

Postcard Paris Et Ses Merveilles...


Paris, the world's most popular city destination, has plenty of must-see places but make sure you spend at least a day strolling off the beaten path, as this is the only way to discover the real Paris: a lively cosmopolitan but undeniably French city.


La Seine, le quai d'Orsay et la tour Eiffel.


The Seine River (780km) is the second longest river in France after the Loire River. The old buildings, the riverboats, the changes of colour reflected by the water, the gardens, and the 32 bridges compose one of the worlds grandest, yet most endearing cityscapes.


Along the river are two of the great set pieces of urban spectacle in the contemporary world. The first sweeps down from the Palais de Chaillot on the Right Bank, crosses the river to the Eiffel Tower, and continues through the gardens of the Champ-de-Mars to the 18th-century Ecole Militaire; the other begins at the Seine and marches up a broad esplanade to the golden dome of the Invalides.


For more information, please visit: Wikipedia/Paris


Moral Value: Teringin juga hendak ke Paris, akan ku gapai menara Eiffel, tapi apakan daya tangan tak sampai.. dapat simpan poskad pun jadilah.


19 July, 2011

Pas Bulanan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang


Dalam membelek-belek harta karun yang tersimpan, tiba-tiba terlihatlah pula pada Pas Bulanan Feri Pulau Pinang yang dikeluarkan pada tahun 1985 ini. Maka teringatlah kenangan 26 tahun lalu ketika BR masih bersekolah di sebuah sekolah atap di Bukit Mertajam. Pas ini memang masih disimpan rapi namun faktor masa telah menjadikan ia uzur dimamah usia.

Agak pelik pula bunyinya apabila tinggal di Pulau Pinang tetapi bersekolah di Seberang Perai. Sebenarnya waktu itu BR dalam proses pertukaran sekolah, jadi untuk sementara waktu terpaksalah berulang-alik setiap hari ke seberang. Hanya selepas beberapa bulan barulah BR dapat bertukar ke St. Xavier Institution, berdekatan dengan rumah di Beach Street (dekat Padang Kota Lama).


(Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, gambar dan butir-butir yang terdapat pada kad ini terpaksa dikaburkan).


Kad ini bersaiz lebih kurang 4" x 3" dan ia perlu diperbaharui setiap bulan, hanya dengan menggantikan kertas merah nipis yang dilekatkan pada kad.

Pas ini dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang kepada pelajar sekolah atau pekerja yang berulang-alik di antara Pulau Pinang dan Seberang Perai. Berapa nilainya pada waktu itu BR sudah tidak ingat tetapi pas ini boleh digunakan pada bila-bila masa dan untuk beberapa kali tanpa had berulang-alik menaiki feri setiap hari. Tiada sebarang tanda atau tebukan seperti pas bulanan bas, hanya tunjukkan kepada petugas kaunter dan boleh berlalu menaiki feri dengan senang hati..


Pada waktu itu perkhidmatan feri ini adalah 24 jam tanpa henti di mana Jambatan Pulau Pinang masih lagi dalam proses pembinaan. Feri merupakan pengangkutan utama bagi pengguna sama ada pejalan kaki mahupun yang berkenderaan untuk ke seberang. Tragedi terminal feri runtuh (1988) juga masih belum berlaku. Untuk pengetahuan, warna rasmi feri pada waktu itu hanyalah satu sahaja iaitu KUNING.. he.. he..


Bahagian belakang kad yang menyatakan dengan jelas syarat-syarat penggunaan kepada pemegang kad.


Apabila menaiki feri setiap hari tentulah banyak pengalaman suka duka yang ditempuhi. Elok juga jika BR kongsikan di sini sebagai kenangan untuk sama-sama kita ketawa ataupun bersedih.

Pernah satu hari itu BR terlewat ke sekolah hanya kerana feri tidak dapat berlabuh kerana air laut surut. Lama juga terpaksa terapung berlegar di tengah laut sementara menanti air pasang. Bayangkanlah alasan sedemikian hendak diberikan kepada guru disiplin.. Jika pembaca sendiri yang menjadi guru itu boleh diterimakah alasan itu?

Pernah juga ada kes terjun feri (cubaan bunuh diri). Seorang lelaki, tetapi berjaya diselamatkan oleh krew feri. Pelik juga apabila difikirkan jika benar-benar hendak bunuh diri, apabila dihulurkan pelampung, kelam kabut juga beliau menggapai pelampung itu untuk menyelamatkan diri. Hanya untuk menyusahkan orang.. Teruk juga dia dibelasah kerana itu.

Ada juga cerita seorang peniaga ayam bermotosikal dengan raga ayamnya di belakang telah terbalik ketika feri merapat di tambatan. Maka bertaburanlah ayam-ayamnya di dalam feri, tetapi berjaya ditangkap kembali oleh penumpang yang lain. Untuk pengetahuan, kemahiran seseorang pemandu feri biasanya akan dinilai ketika feri merapat di tambatan, seorang pemandu yang berpengalaman akan merapat secara slow and steady tanpa berlaku sebarang hentakan yang terlalu kuat.. he.. he..

Pernah juga seorang pakcik datang bertanya feri yang mana hendak ke Pulau Pinang kerana setiap feri yang sampai tidak pula tertulis 'Pulau Pinang'. Untuk pengetahuan, setiap feri diberikan nama-nama pulau seperti Pulau Undan, Pulau Aman dan sebagainya tetapi semua feri akan hanya menuju ke satu destinasi iaitu Pulau Pinang.

Ada juga seorang pakcik yang telah tergelincir daripada tangga feri dan mengalami kecederaan yang serius. Maklumlah tangga feri itu mempunyai kecuraman 80 darjah sama seperti tangga kapal.


Kenderaan yang rosak dan terpaksa ditolak keluar oleh krew feri memang biasa berlaku. Pernah juga berlaku kejadian seorang pemandu kereta dengan lajunya terus meluncur melalui terminal lalu terjun ke laut bersama keretanya.


Sebagai maklumat kepada pengguna feri, gambar rajah teknikal feri juga turut disediakan.


Perjalanan biasanya akan mengambil masa selama 20 minit jika tiada sebarang halangan. Banyak pemandangan indah boleh dilihat seperti kapal-kapal besar yang berlabuh, ikan lumba-lumba yang berenang mengikuti feri (jika bernasib baik), pemandangan Jambatan Pulau Pinang dari jauh dan sebagainya. Adalah menjadi sesuatu yang wajib atau tidak sah jika anda ke Pulau Pinang jika tidak pernah menaiki feri.

Untuk maklumat terkini menganai Feri Pulau Pinang ini, pembaca bolehlah ke: Wikipedia/Feri Pulau Pinang


Moral Value: Hidup ini umpama pelayaran..


14 July, 2011

Pelaksanaan Sistem Metrik Sepenuhnya Januari 1982


Sistem metrik telah dilaksanakan dengan sepenuhnya di bidang perniagaan runcit dan borong mulai 1 Januari 1982. Semua alat timbangan untuk perniagaan hanya boleh menunjukkan satu unit sukatan sahaja iaitu KILOGRAM bagi timbangan berat. Sebelum ini bagi sukatan berat, Tahil, Kati, Cupak, Gantang dan Mayam (untuk emas) digunakan.


Mulai dari tarikh itu juga semua alat sukatan hendaklah menunjukkan unit metrik sahaja iaitu METER untuk sukatan panjang di kedai-kedai kain baju dan LITER untuk sukatan cecair. Sebelum ini sukatan Ela bagi kain, Hun, Inci dan Kaki bagi ukuran panjang serta Gelen bagi sukatan cecair sering digunakan.

Dengan demikian, penggunaan unit sukatan dan timbangan atau alat-alat timbang-menimbang dan sukatan emperial dan tempatan akan dilarang di dalam bidang perniagaan runcit dan borong mulai 1 Januari 1982.


Para peniaga yang menggunakan alat-alat timbangan dan sukatan bukan metrik selepas tarikh itu adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan apabila disabitkan kesalahannya boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan ataupun kedua-dua denda dan penjara.

Mulai dari 1 Julai sehingga 1 Disember 1981, semua alat timbang dalam kilogram dan kati (dual calibration) yang digunakan oleh pekedai-pekedai hendaklah dikemukakan kepada merinyu-merinyu timbang dan sukat di negeri masing-masing untuk ditentusah semula (re-calibrated) dalam kiraan kilogram sahaja. Untuk itu, semua alat-alat timbang yang dibeli selepas 1 Julai 1981 hendaklah menunjukkan sukatan kilogram sahaja.


Di samping itu, tarikh penguatkuasaan pengharaman dacing kayu yang ditetapkan pada 1 April 1981 telah ditangguhkan kepada 1 Julai 1981 adalah bertujuan untuk membolehkan para peniaga khususnya penjaja-penjaja menjimatkan kos dalam pembelian alat-alat timbang mereka.

Sekiranya peniaga-peniaga menukarkan dacing kayu mereka ke alat timbang spring scale pada 1 April, maka alat timbang baharu yang mereka belikan itu terpaksa di ditentusah sekali lagi ke sukatan kilogram sahaja mulai 1 Julai, dan ini akan melibatkan kos tambahan kepada mereka.


Para peniaga telah mula membuat penukaran alat-alat timbang mereka ke unit kilogram mulai 1 Julai 1981 tanpa menunggu tarikh akhir yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persatuan-persatuan penjual runcit dan pemborong serta Dewan-dewan perniagaan juga telah memberikan kerjasama dengan memberitahu ahli-ahli mereka mengenai perkara ini.


Sebagaimana entri Waktu Standard Bagi Seluruh Malaysia, tidaklah menghairankan sekiranya maklum balas yang BR terima ramai pembaca terutamanya generasi muda yang tidak pernah tahu bahawasanya negara kita pernah mempunyai dua waktu suatu ketika dahulu.

Begitulah juga dengan entri ini mungkin ramai yang tidak pernah tahu bahawa suatu masa dahulu kita juga pernah menggunakan sukatan emperial dalam urusan timbang menimbang dan sukatan panjang.


Itulah tujuan sebenar blog Blues Riders yang tidak seberapa ini dibina. Sekurang-kurangnya ia telah memberikan input yang lama tetapi mungkin baharu bagi sesetengah pembaca.

Bersama-samalah kita berkongsi maklumat dengan memberikan komen atau maklumat tambahan kepada setiap entri yang di paparkan. Mungkin juga ada di kalangan pembaca yang mempunyai kisah tersendiri sewaktu mula-mula sistem metrik ini diperkenalkan.


Moral Value: dan timbanglah dengan timbangan yang lurus (Surah Asy Syu’araa’ Ayat 182).


08 July, 2011

Imbasan Bakat 1978


Buat pertama kalinya Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang telah terpilih untuk Pertandingan Akhir Bakat '78 yang akan diadakan pada 19 September 1978 jam 8.50 malam.

RTM sehingga kini sedang sibuk membuat segala persiapan bagi menentukan yang segala-galanya akan berjalan mengikut yang dijangka apabila pertandingan diadakan kelak.


Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.
(imej hasil carian google)


"Dewan Sri Pinang memang sesuai untuk siaran TV secara langsung," kata salah seorang Penerbit Teknik yang baharu sahaja pulang membuat tinjauan dari sana. "Segala kemudahan ada dan ini akan menjamin penerbitan yang memuaskan."

Bakat '78 pada kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan sekali daripada para peminatnya. "Jika dibandingkan dengan tahun-tahun lalu, kali ini pertandingan lebih competitive dan sophisticated." kata Abdullah Harun selaku Penerbit Rancangan.

Pertandingan Bakat '78 dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian Pancaragam, Instrumental Solo dan Lawak Jenaka. Daripada lebih 1,200 permohonan yang diterima, hanya 36 sahaja yang berjaya untuk memasuki peringkat awal dan daripada 36 itu cuma 9 sahaja yang bernasib baik untuk memasuki Peringkat Akhir bagi Semenanjung Malaysia.


Kumpulan Quinary M sedang menyampaikan persembahan.


Bagi bahagian Pancaragam, tiga kumpulan yang berjaya ialah Gelombang Biru daripada Woodlands, Quinary M daripada Kuala Lumpur dan Band NARF daripada Alor Setar.


Penny Chin salah seorang peserta Instrumental Solo.


Bahagian Instrumental Solo pula yang berjaya ialah Halil Ghani daripada Seberang Perai, Chik Mat Long daripada Kangar, Perlis dan Penny Chin daripada Kuala Lumpur.


Peserta Lawak Jenaka, Mahadi dan Jalud yang menggunakan dua suara ketika menyampaikan persembahan.


Bahagian Lawak Jenaka pula terdiri dari Mahadi dan Jalud daripada Pulau Pinang, Kumpulan ASBA daripada Ipoh dan Dini dan Jali daripada Jengka, Pahang.

"Tiap-tiap bahagian akan diadili secara berasingan supaya tidak timbul sebarang keraguan," kata Penerbit, "dan tiap-tiap bahagian akan diadili oleh pengadil-pengadil yang betul-betul berkelayakan."

Hadiah-hadiah yang akan diberi pada tahun ini agak lumayan. hadiah-hadiah berupa wang tunai diberi mengikut bahagian masing-masing:

Bahagian Pancaragam:

Pertama: $3,000
Kedua: $2,000
Ketiga: $1,000
Saguhati: $750

Bahagian Lawak Jenaka:

Pertama: $2,000
Kedua: $1,500
Ketiga: $1,000
Saguhati: $500

Bahagian Instrumental Solo:

Pertama: $1,000
Kedua: $750
Ketiga: $500
Saguhati: $250

*simbol $ merupakan nilai matawang Malaysia pada waktu itu sebelum ditukar kepada RM.


Demikianlah serba sedikit imbasan Bakat 1978 yang telahpun diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang pada 19 September 1978 iaitu kira-kira 33 tahun yang lalu.

Entri ini telah mengingatkan BR (ingat-ingat lupa kerana masih lagi kanak-kanak) kepada beberapa orang peserta yang memang menonjol bakat mereka dan sungguh menghiburkan.

Contohnya seperti peserta lawak jenaka iaitu Mahadi dan Jalud yang menggunakan puppet dan dua suara yang berlainan ketika menyampaikan persembahannya.

Kumpulan Quinary M pula merupakan sebuah kumpulan adik beradik yang masih dikenali sehingga kini tetapi telah menyepi setelah masing-masing sudah berkeluarga. Salah seorang anggotanya ialah Mazuin Hamzah sebagai pemain drum.


Kumpulan Gelombang Biru daripada Woodlands, Singapura.


Kumpulan Gelombang Biru pula kalau tidak silap merupakan sebuah band yang terdiri dari anggota tentera laut yang berpangkalan di Woodlands, Singapura.

Kepada pembaca yang mengetahui maklumat lanjut mengenai peserta terutamanya bagi peserta Instrumental Solo, silalah berkongsi maklumat di sini kerana BR telahpun lupa apakah alat muzik yang dimainkan oleh Halil Ghani dan Chik Mat Long. Kalau tidak silap, Penny Chin pada waktu itu bermain piano.

Kepada pembaca juga sayugia diingatkan bahawa entri ini hanyalah imbasan sahaja sambil kita melihat gambar-gambar peserta yang mungkin boleh mengembalikan nostalgia anda. Bagi keputusan penuh Pertandingan Bakat 1978 ini, insyaAllah akan BR siarkan pada entri yang akan datang.

Setelah 33 tahun berlalu, kemanakah mereka ini menghilang? Pastinya pembaca dan BR sendiri tertanya-tanya dimanakah mereka sekarang dan ingin sekali berkongsi cerita saat-saat kegemilangan mereka dahulu yang telah hampir dilupakan oleh generasi kini. Sesungguhnya mereka sebagai orang lama tetap hebat!


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'