18 September, 2012

Malaysia Kita - NAN


Telatah hidup manusia di mana-mana juapun, dalam kehidupan mereka sehari-hari, boleh menggelikan hati, mencuit perasaan, bila dilukiskan oleh artis-artis dalam bentuk komik-komik.

Pada masa dahulu, zaman belum adanya artis-artis atau pelukis-pelukis gambar-gambar kartun atau komik, orang Melayu telah biasa membaca kisah-kisah kelakar atau cerita-cerita jenaka seperti cerita Mat Jenin, kisah Pak Pandir dan Mak Andir, cerita Lebai Malang, Si Luncai dan lain-lain lagi.


Musim Durian...

Kisah-kisah lucu yang bertajuk Malaysia Kita yang dicipta oleh NAN dan disiarkan pada tiap-tiap hari Sabtu dalam Utusan Malaysia adalah lebih lucu daripada semua kisah-kisah lucu zaman lampau itu. Sekarang siri komik-komik hujung minggu dalam Utusan Malaysia itu kami bukukan menjadi satu koleksi atau kumpulan telatah-telatah rencah hidup orang ramai dalam negara kita sendiri, dalam Malaysia Kita.

Nama penuh NAN ialah Zainal bin Osman, berasal dari Parit Buntar, Perak. Beliau adalah lepasan dari ITM dalam jurusan Fine Art atau Seni Halus.


Belanja Kahwin Tinggi...

Bagaimanakah telatah orang membeli durian di pasar lambak Jalan Chow Kit? Bagaimanakah telatah kerani-kerani bila gaji mereka dinaikkan? Bagaimana telatah gugup gagaknya seorang pemuda yang pintar bersyarah apabila berhadapan dengan tuan kadi untuk menjawab akad nikah?

Ya, seribu orang ada seribu macam telatahnya. Semuanya dapat diperhatikan oleh NAN, digambarkannya dengan dialog-dialog yang tentu sudah menggelikan hati anda, kiranya anda pembaca tetap Utusan Malaysia dan peminat NAN.


"Angkat" Nikah...

Jikalau anda tidak tergelak sekalipun, namun anda tentu tersenyum-senyum. Kartun-kartun dan kisah-kisah lucu dalam naskhah-naskhah Utusan Malaysia yang anda telah baca itu mungkin anda tidak simpan, anda telah buangkan entah ke mana. Tidak mengapa. Sekarang kami kumpulkan dalam sebuah buku komik kecil comel supaya anda boleh ketawa beramai-ramai tergelak dengan kawan-kawan anda ataupun tersenyum-senyum seorang diri.

Anda bukan tidak tahu gelagat hidup zaman sekarang. Muka kebanyakan manusia masam dari pagi hingga malam. Air muka mereka selalu suram-muram kerana senantiasa berhadapan dengan macam-macam masalah hidup; berebut-rebut nak naik bas, nak menyeberang jalan; letih lesu setelah bekerja sehari suntuk.


Kahwin Lari...

Tanpa gelak ketawa, atau sedikit senyum-senyum kambing, seminit dua dalam sehari, hidup anda akan terasa hampa, seperti pokok-pokok yang tidak berbunga. Mungkin juga anda ada membaca komik-komik lain, sebab kini hampir semua akhbar dan majalah-majalah ada komik-komiknya.

Tetapi kalau anda tidak meminati komik-komik ciptaan NAN maka anda masih boleh dianggap kempunan...


Dicatat oleh PAK SAKO. (Dari komik Malaysia KIta, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. tahun 1980).


***************************************************

Serba sedikit mengenai kartunis NAN:


(Imej Carian Google)


Nan mencipta nama melalui karya yang disiarkan di majalah humor dan kolum kartun khusus di akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Siri kartunnya, Din Teksi dan Malaysia Kita yang disiarkan ketika itu, cukup popular lalu menghangatkan nama Nan dalam industri kreatif tempatan. Nan juga melakar siri kartun popular Ayop Anak Tulakang dan Tuan Kecik dalam majalah humor popular, Gila-Gila dan Batu Api.

Nama penuh : Zainal bin Osman
Tarikh lahir : 24 Mei 1952
Asal : Parit Buntar, Perak
Status : Berkahwin dan dikurniakan empat orang anak
Kuih kegemaran: Cucuq Kodok (Jemput-jemput)


Moral Value: Whoever said the pen is mightier than the sword obviously never encountered automatic weapons - MacArthur


Which Luqman?... Hehe...

13 June, 2012

Sudirman Melaka


Kira-kira 24 tahun yang lalu tentunya anda masih ingat dengan penyanyi atau bakat baru yang menerima jolokan Sudirman Melaka yang merupakan salah seorang anggota dari Kumpulan Muhibah Madu Lebah iaitu Kenny Lee.


Satu keistimewaan Kenny atau Sudirman Melaka ini ialah meniru suara dan gaya Allahyarham Sudirman. Malah wajah dan gayanya juga lebih mirip dengan rupa Allahyarham Sudirman. Untuk pengetahuan pembaca, beliau juga telah dengan rasminya menjadi keluarga New Southern Records (NSR) setelah menandatangani kontrak selama tiga tahun.


Kenny mula dikenali ramai apabila beliau menyertai rancangan JUARA terbitan TV Malaysia bersama Kumpulan Muhibah Madu Lebah. Kumpulan ini telah menjadi juara selama dua rancangan iaitu rancangan yang keenam dan ketujuh.

Sebelum menyertai JUARA, Kenny pernah mengambil bahagian dalam rancangan terbitan Radio Malaysia Melaka dan telah berjaya menjadi juara dalam Pertandingan Bakat Nyanyian Hari RTM Ke-40 di Melaka pada tahun 1986. Di samping itu, beliau juga pernah diundang mengambil bahagian dalam rancangan khas sempena Gerakan Cintai Bahasa Kita iaitu Konsert Emas Gemaria.


Kenny yang sekarang berusia 50 tahun pernah menjadi pengusaha kebun dan perusahaan pokok bonsai di Melaka. Beliau meminati Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah dan Allahyarham P. Ramlee.

Album pertama Kenny yang berjudul Anak Desa Melaka turut memuatkan empat lagu dendangan Allahyarham Sudirman iaitu Merisik Khabar, Anak Gembala, Basikal Tua dan Milik Siapakah Gadis Ini serta lagu baru Joget Melaka.


Moral Value:"Yesterday is history, tomorrow is a mystery. Today? Today is a gift. That is why we call it the present." - Master Wugui from Kung Fu Panda.

14 May, 2012

Adam Ahmad


Pada tahun 1983 lahirlah album "Untukmu Sayang" di bawah label Omry Records, sebuah syarikat piring hitam kepunyaan bumiputera di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur telah membuktikan bahawa kaum bumiputera juga berkemampuan dalam bidang ini.

Secara tidak langsung ini akan menambah dan memberi peluang yang banyak kepada bakat-bakat baru untuk menonjolkan bakat-bakat terpendam mereka di bidang seni suara. Album "Untukmu Sayang" terbitan Omar Taib dan nyanyian pendatang baru Adam Ahmad merupakan tapak permulaan bagi Omry Records menceburi dan mencari pengalaman dalam bidang ini.


Adam Ahmad, 19 tahun, berasal dari Johor Baharu merupakan rekording artis PERTAMA diberi peluang merakamkan album pertama Omry Records.

Sebenarnya Adam bukanlah orang baru dalam bidang seni suara, beliau pernah mencipta lagu-lagu untuk penyanyi Syarikat Polygram seperti "Di Hari Persandinganmu" nyanyian Yunizar Hoessein dan "Di Pantai Cinta Berahi".


Penyanyi muda ini mula berjinak-jinak di bidang nyanyian sejak di bangku sekolah lagi. Di samping boleh menyanyi, Adam juga boleh bermain alat muzik seperti gitar dan piano. Adam yang pendiam orangnya meminati lagu-lagu berirama sentimental.

Di sebalik rakaman album pertama Adam Ahmad ini, ramai yang tidak mengetahui kisah di sebaliknya. Ketika di bilik rakaman, Adam tidak menghadapi masalah tetapi beliau terpaksa menghadapi satu pengalaman pahit dan menyayat hati kerana ibu kesayangan telah meyahut panggilan Illahi. Adam dengan perasaan sedih tapi tabah hati meneruskan rakaman dengan hati yang sayu.


Omar Taib selaku penerbit album sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat yang berguna kepada Adam sepanjang rakaman dijalankan. Atas galakan ini, Adam merasakan hatinya tenteram dan dapat meneruskan rakaman dengan sempurna.

Pada keseluruhannya album sulung Adam ini telah berjaya diterbitkan dengan sepuluh buah lagu:

MUKA SATU:

Untukmu Sayang
Othman Mohamed / Adam Ahmad

Mahu Kutemu Tapi Malu
Omar Taib / Aliah Ahmad

Baru Kini Ku Mengerti Makna Cinta
Adam Ahmad

Mawar Idaman
Omar Taib / Aliah Ahmad

Pertemuan Di Malam Hari Lahir Mu
Othman Mohamed / Adam Ahmad


MUKA DUA:

Di Mana Cahaya
Othman Mohamed / Adam Ahmad / Raja Kobat

Ku Ingin Kembali
Omar Taib / Aliah Ahmad

Bersamamu
Raja Kobat

Pergimu Ku Rela
Omar Taib / Aliah Ahmad

Lagu Si Anak Tani
Othman Mohamed / Adam Ahmad


********************************************


Adam Ahmad merupakan seorang penyanyi yang pernah popular di awal 1990-an. Banyak lagu popular beliau seperti "Rindu Yang Menghempas Hati", "Bersamamu", "Kau Pergi Jua", "Agar Dia Kembali" dan banyak lagi lagu yang membuai perasaan para remaja pada waktu itu.

Berbagai kisah suka dan duka yang kita dengar mengenai beliau, namun begitu, kehadirannya suatu ketika dahulu dalam industri hiburan tanah air sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan dan kenangan melalui lagu-lagu beliau yang sungguh mengesankan.

Di manakah beliau sekarang?


Moral Value:"Memories are what warm you up from the inside. But they're also what tear you apart".

16 April, 2012

The Lake District, England


Pada hari ini genaplah sudah usia poskad ini 28 tahun.

The English Lake District National Park is England's largest and covers 2292 square kilometres (885 square miles), the largest of the 11 national parks in England & Wales, containing over 1800 miles of footpaths through some of Britain's most beautiful countryside. The variety of spectacular mountains, peaceful lakes, rolling fells and bustling market towns make the Lake District a unique part of Britain and is also one of the most visited parts of the country.


The Lake District is the wettest place in England. It is also the most mountainous with 100 peaks over 2,000 feet and 16 lakes including the longest and deepest in the country. Five hundred million years ago the Lakes stood on the edge of the so-called "ring of fire". This was an area of intensive volcanic activity with lava and basalt being thrown up resulting in the creation of some of the area's craggy peaks.


Twelve thousand years ago the area was covered by ice which sculpted the landscape. In 1951, the Lake District was designated as a National Park to protect it for future generations. The Lake District is famous for its lakes, mountains and fells, and its association with the 19th century poetry and writings of William Wordsworth, Beatrix Potter and the Lake Poets.

Untuk maklumat lanjut, silalah ke: Wikipedia/Lake District


Moral Value: Teringat lagu James Last, "Morning In Cornwall"...

28 March, 2012

Lily Patra


Kira-kira 22 tahun yang lalu... Lily Patra adalah nama yang tidak asing lagi kepada peminat drama swasta dan filem tanahair kita kini menjadi rebutan pengarah-pengarah dan penerbit-penerbit filem dan drama swasta.

Kebolehannya membawa berbagai watak inilah yang membuat dia dikenali ramai. Lily mula diperkenalkan melalui filem "Mr. Os" meletakkannya setanding dengan pelakon-pelakon terkenal.


Lily mendapat bimbingan dalam lakonan dari pengarah Azmi Othman dan Johari Yusoff. Anak sulung dari dua orang adik-beradik ini telahpun diberi peluang berlakon dalam empat buah filem, antaranya ialah "Perawan Malam", "Ujang" dan "Taktik" yang disiarkan oleh seorang pengarah dari Hong Kong.

Dalam filem ini Lily berlakon di samping pelakon Melissa, Alice Voon dan penyanyi Man Bai (Kumpulan Gersang) yang diterbitkan oleh Solid Gold Studio.


Lily adalah antara pelakon terlaris, setakat ini sebanyak sebelas buah drama swasta telah dilakonkannya. Antaranya ialah "Main-main Hantu", "Tuan Guru Mat Silat", "Driving School" arahan Othman Hafsham dan banyak lagi.


Secara peribadi, Lily adalah seorang gadis manis, manja dan peramah. Lily dilahirkan pada 6 November 1968 di Kuala Lumpur.


*************************************

Kepada pembaca seangkatan tentunya masih ingat lagi kepada pelakon Lily Patra ini. Namanya yang unik seakan bunyi Cleopatra ini memang cukup top di awal 1990-an. Sengaja BR paparkan kisahnya sebagai imbauan kenangan kepada peminat-peminat beliau sewaktu remaja dahulu. Pada waktu ini usia beliau telahpun mencecah 44 tahun tetapi terus menyepi tanpa khabar berita hatta berlakon sebagai emak-emak atau makcik-makcik dalam drama mahupun filem tempatan.

Di manakah beliau sekarang?


21 March, 2012

Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4, 1978


Setelah kita mengikuti kisah Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-5, 1979, kali ini marilah sama-sama kita ikuti pula kisah Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 yang telah diadakan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1978. Pesta ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan sekali dari penduduk sekitar Alor Setar.

Pesta kali ini bukan sahaja merupakan satu pertandingan untuk menguji bakat masing-masing tetapi ia juga meninggalkan kesan yang mendalam untuk rakyat mengembangkan kesenian-kesenian rakyat seperti Boria, Dikir Barat, Ghazal, Dondang Sayang dan Keroncong.


Pemenang tempat ke-3 kategori Boria, Kumpulan Boria Kesuka dari Pulau Pinang.


Dendang Rakyat kali ke-5 ini telah mencapai satu lagi tahap kemajuan yang baharu dengan penyertaan Sabah dan Sarawak buat pertama kalinya. Secara tidak langsung ia boleh menyumbangkan ke arah kemajuan pesta ini mengikut kategori kesenian yang dipertandingkan.

Pesta Dendang Rakyat yang bermula pada tahun 1973 adalah sebagai satu langkah untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam seni daerah. Semenjak dari awal lagi sambutan terhadap pertandingan ini sungguh luar biasa terutama sekali di kawasan Selatan di mana terdapat jumlah penyertaan terbanyak bagi setiap kali pertandingan diadakan.


Kumpulan Boneka dari Kelantan, Juara bahagian Dikir Barat.


Seperti lain-lain pertandingan, Pesta Dendang Rakyat juga telah mengalami beberapa perubahan dari semasa ke semasa sama ada dalam cara penghakiman mahupun dalam cara persembahannya. Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 ini mengalami satu perubahan yang dianggap penting di mana cara pertandingan Dikir Barat telah diubahsuaikan supaya lebih rapat dengan bentuk persembahan yang asal.

Pada tahun-tahun sebelumnya, Dikir Barat dihakimkan menurut persembahan bersendirian tetapi mulai kali ini kumpulan yang menyertai berbalas bertanding antara satu sama lain. Ini menjadikan Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 cukup meriah apabila acara Dikir Barat ini dipersembahkan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah telah memperkenankan untuk menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.


Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah sedang menerima cenderamata dari YB Menteri Penerangan pada waktu itu, Datuk Mohamed Rahmat.


Kali ini walaupun banyak kumpulan baharu yang muncul, tetapi mengikut keputusan-keputusan dari para pengadil pemenang-pemenang dari tahun lepas masih lagi dapat mempertahankan kejuaraan mereka.

Berikut adalah keputusan penuh Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 ini:


Dikir Barat

1. Kumpulan Boneka, Kelantan.
2. Belia 4B, Kelantan.


Boria

1. Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang.
2. Boria Sri Penanti, Bukit Mertajam.
3. Kumpulan Boria Kesuka, Pulau Pinang.
Hadiah Saguhati: Boria Kem Tahanan, Taiping, Perak.


Dondang Sayang

1. Sarbanun Marican, Kuching, Sarawak.
2. Hitam Ahmad, Negeri Sembilan.
3. Fatimah Nani, Pulau Pinang.


Keroncong

1. Fajar Baru Orkes, Kajang, Selangor.
2. Orkes Keroncong Bintang Sore, Batu Pahat, Johor.
3. Orkes Keroncong Sang Putera Jaya, Kuching, Sarawak.


Ghazal

1. Sri Purnama Ghazal, Johor Baharu.
2. Saujana Ghazal, Muar, Johor.
3. Seri Kenangan Ghazal, Pontian, Johor.


Baginda Sultan sedang menyampaikan hadiah kemenangan kepada Encik Hitam bin Ahmad, Naib Johan bahagian Dondang Sayang.


Moral Value:Life is really simple, but we insist on making it complicated - confucius.


***********************************

Nota Tambahan:

Ekoran dari tersiarnya artikel mengenai Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-5, 1979, BR telah menerima email daripada salah seorang cucu Allahyarham Hj. Hitam bin Ahmad (Naib Johan bahagian Dondang Sayang, 1978). Beginilah bunyi kandungan emailnya:

"as salam.saya adalah salah seorang dari cucu HITAM BIN AHMAD.untuk pengetahuan saudara/saudari HITAM BIN AHMAD @ dikenali juga sebagai HAJI HITAM BIN AHMAD telah pun kembali ke rahmahtullah pada 5/1/2000. (seperti gambar yang saya lampirkan ).

TERIMA KASIH saya ucapkan kepada pihak saudara/saudari kerana masih dan mahu mengangkat muzik tradisional,sekaligus memartabatkan lagi akar muzik tradisional melayu ini.saya ingin bertanya,adakah saudara/saudari masih dan ada menyimpan gambar-gambar atau berita-berita serta keratan yang berkaitan dengan ARWAH HJ HITAM BIN AHMAD,yg boleh dikongsikan.terima kasih sekali lagi saya ucapkan dan saya harap saudara/saudari sudi untuk berkongsi kenangan ini dengan saya." - Razzizan bt Abd Razak.


al-Fatihah buat Allahyarham Hj Hitam bin Ahmad.

05 March, 2012

Penantian


Gambar ini telah diambil dari kulit belakang sebuah majalah keluaran tahun 1990 iaitu kira-kira 22 tahun yang lalu yang berlatar belakangkan Jeti Kuah, Langkawi.


Ada sesuatu yang cuba digambarkan oleh jurufoto PENA PARIS melalui gambar ini yang penuh dengan maksud yang tersurat dan tersirat bersama kata-kata "Bilakah berakhirnya penantian ini... Namun aku tetap menaruh harapan pada setiap hari yang datang".


Moral Value:Waiting is painful. Forgetting is painful. But not knowing which to do is the worse kind of suffering - Paulo Coelho.

01 March, 2012

MAS Gunakan Jumbo Jet


Kembali bersiaran setelah sekian lama menyepikan diri. Terima kasih kepada rakan-rakan blog dan pembaca yang telah menghantar email atau mengeloi (kelui) di shoutbox bertanyakan khabar. Sayang juga mereka kat BR... hehe..

Sebenarnya ada, memang ada lagi..! sihat walafiat cuma kekangan tugas hakiki yang memaksa blog ini untuk berehat sebentar. InsyaAllah selepas ini ianya akan beroperasi seperti biasa untuk menghidangkan sajian kenangan yang tiada akhirnya untuk tatapan pembaca sekalian. Untuk bulan Mac ini kita mulakan dengan kisah jumbo jet..

Suatu hari yang hening di sekitar tahun 1982 iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu...


Inilah wajah sebenar Boeing 747 seperti yang diceritakan.


Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berbangga dengan syarikat penerbangan kebangsaan kita MAS yang telah berkembang dengan pesatnya. Kini MAS telah memasuki era jumbo jet yang besar dengan mempunyai dua buah boeing 747 yang telah mula digunakan sejak minggu kedua bulan April.


Perdana Menteri pada waktu itu, Dato' Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad sedang mencuba keempukan kerusi jumbo jet. Teringat ketika pertama kali BR menaiki kapal terbang dahulu, mesti mencuba dahulu keempukan kerusinya adakah sesuai dengan harga tambang yang dibayar.. hehe..


MAS merupakan syarikat penerbangan yang ke-67 di dunia yang menggunakan pesawat boeing 747 pada waktu itu. Sebenarnya MAS adalah di antara syarikat penerbangan yang terkecil sekali walaupun di kalangan negara-negara ASEAN dan MAS adalah yang terakhir menggunakan pesawat boeing 747 (pada waktu itu).


Penerbangan jet 747 ialah dari Kuala Lumpur ke Dubai-Amsterdam-London pada hari Sabtu dan dari Kuala Lumpur ke Kuwait-Frankfurt-London pada hari Rabu dan Ahad. hari Khamis penerbangan 747 bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Dubai-Paris-London. Penerbangan ke Sydney-Melbourne bertolak dari Kuala Lumpur pada hari Selasa, Jumaat dan Sabtu.

Satu majlis merenjis kapal terbang MAS Boeing 747 yang baharu itu telah diadakan pada 3 April 1982 di mana Perdana Menteri pada waktu itu, Dato' Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad telah melakukan upacara merenjis dan menepung tawarnya sambil meninjau keadaan sebelah dalam kapal terbang.


Moral Value:Follow your gut and your heart; you'll almost always make the right choice. - Leighton Meester.


01 February, 2012

Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Satu haribulan Februari adalah Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan pada 1 Februari 1974 dan ditadbirkan secara langsung oleh Kerajaan Pusat.


Pemandangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kiri-kira 30 tahun yang lalu.


Sebuah kementerian yang diberi nama Kementerian Wilayah Persekutuan telah diwujudkan pada 28 Julai 1978 dengan Perdana Menteri sendiri menjadi Menteri yang bertanggungjawab.

Kementerian ini adalah bertujuan untuk merumus dasar, merancang strategi dan menentukan matlamat pembangunan Wilayah Persekutuan dari segi ekonomi, sosial, budaya dan agama terhadap pencapaian Dasar Ekonomi Baru.

SELAMAT HARI WILAYAH.


***************************************************

Kali pertama BR menjejakkan kaki di Kuala Lumpur ialah di sekitar tahun 1984 (tidak termasuk rombongan sekolah pada tahun 1979). Punyalah seronok dan berbangga kerana telah sampai ke ibu kota yang sering dimomokkan dengan cabaran hidup yang penuh dengan pancaroba.

Pada waktu itu Kompleks Daya Bumi, Central Market, Pudu Raya, Kota Raya, Kompleks Pertama merupakan tempat tumpuan utama untuk melepak di samping pengangkutan utama pada waktu itu iaitu bas panjang Sri Jaya, Len dan bas mini (dengan tambang 50 sen untuk sekali perjalanan).

Kalau hendak tahu bas mini yang beradio, lihat pada lampu LED nya, jika berkelip-kelip maknanya bas tersebut ada radio. Tetapi ada juga malangnya, silap-silap dipasangnya lagu Tamil.. hehe..

Berlaku bermacam-macam peristiwa juga di dalam bas mini ini, pencopet dan 'pergeseran' yang disengajakan memang sering berlaku kerana kesesakan yang melampau.

Tempat makan yang popular pula ialah di Benteng (Di belakang Mahkamah). Supermarket pula ialah Batu Road Supermarket di Chow Kit Road seiring dengan kemunculan Hankyu Jaya di hadapannya. Selain daripada itu di Kompleks Campbell juga menjadi tumpuan utama untuk membeli belah.

Panggung wayang pula ialah panggung Federal (pernah menayangkan filem Superman hampir sebulan), Odeon. Cineplex pun banyak juga tetapi kurang mendapat sambutan kerana 'cerah', tidak sesuai untuk pasangan.. hehe..

Sekarang semuanya itu telah tiada dan hilang ditelan arus pembangunan. Tiada lagi deruman bas mini, tiada lagi kesesakan dan bau asap bas-bas ekspress di Hentian Pudu Raya (tempat popular untuk mengadakan blind date pada waktu itu, U tunggu I kat platform berapa?.. hehe..).

Kompleks Daya Bumi semakin suram, Kompleks Pertama, Central Market hanya dimeriahkan oleh 'pelancong-pelancong' asing yang seolah-olah sudah tidak terkawal...




Kuala Lumpur senyumanmu
Di pagi ini
Sungguh bererti
Kerna cinta bersemi lagi
Setelah kemarau panjang

Di lebuhraya
Di papan tanda
Tergambar wajahmu
Dengan kalimat
Cinta untuk kita
Semoga kekal selamanya

Bila ku bisikan puisi cinta
Dan Tugu Peringatan Negara
Bagai tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Berganding tangan
Kita berdua
Menyusuri jalan
Di tengah kota
Sambil senandungkan lagu
Lagu kisah cinta lama

Bilaku bisikan puisi cinta
Dan tugu peringatan negara
Bagai tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Terima kasih kuucapkan
Oh kepadamu
Kuala Lumpur
Kerna kau telah temukan
Cinta antara kami berdua


Moral Value: Time is not measured by a watch but by moments.

31 January, 2012

Rohana Jalil... Ada lagi!


Di suatu pagi yang hening.. kira-kira 24 tahun yang lalu di tahun 1988... Kemunculan album baharu Rohana Jalil memang sudah dinanti-nantikan oleh para peminat seni suara. Walaupun sebelum ini mungkin Rohana berhasrat untuk bersara dari bidang seni suara.


Rohana seolah-olah merajuk kerana album pertamanya "Pelarian" terbitan Allahyarham Taib Othman pada tahun 1982, keluaran AB Rekod dan album "Masih Dalam Ingatan" pada 1987 terbitan S. Atan keluaran Pustaka Muzik NSR juga kurang mendapat sambutan dari para peminat.

Kini hayatnya itu hanya tinggal kenangan setelah pihak NSR memberi peluang sekali lagi kepada Rohana untuk merakamkan albumnya yang terbaru "Rayuanku" yang mana telah mendapat sambutan hangat dari para peminat di seluruh tanah air.


Album ini benar-benar berjaya menempatkan Rohana di barisan artis rakaman popular masa kini. Ini juga membuktikan penyanyi yang sudah berkahwin masih dapat diterima dan popular di kalangan para peminat muzik.

Secara tidak langsung album "Rayuanku" berjaya menyekat dan memujuk Rohana Jalil bersara dari bidang tersebut.


Rohana masih diminati ramai, ini jelas terbukti dari penjualan album yang meningkat ke angka 15,000 unit dalam tempoh tidak sampai sebulan sejak dipasarkan. Dengan sambutan yang tidak terhingga dari para peminat, ia telah menguatkan azam Rohana untuk terus menyanyi dan bersama peminatnya selalu.

Kemunculan album keempat Rohana kali ini agak berbeza dari albumnya yang terdahulu. Rohana kembali dengan imej baharu. Terdapat beberapa perubahan dan pembaharuan baik dari segi bentuk lagu mahupun personaliti Rohana sendiri.

"Rayuanku" adalah album kedua dikeluarkan oleh Pustaka Muzik NSR untuk Rohana. Album ini diterbitkan oleh A. Ali komposer yang tidak asing lagi kepada kita yang pernah memenangi pencipta terbaik dalam pertandingan "Juara Lagu" pada tahun 1987.


Dengan sokongan kuat dari pihak NSR serta publisiti meluas dari media cetak dan elektronik telah meletakkan Rohana ke mercu kejayaan. Secara tidak langsung ia telah memberi semangat dan bersinar kembali dalam hidup Rohana.

Rohana mula melibatkan diri dalam bidang seni suara sejak dua belas tahun dahulu (tahun 1976). Beliau mengasahkan bakatnya menyanyi di kelab-kelab malam dan pub akhirnya beliau berjaya menjadi juara dalam Pertandingan Bintang RTM tahun 1980.


Album "Rayuanku" mempunyai lagu-lagu yang memenuhi selera para peminat dan sering berkumandang di radio dan menjadi siulan anak-anak muda.

Sebenarnya lagu-lagu dalam album ini yang dicipta oleh A. Ali ini adalah untuk didendangkan oleh Zaiton Sameon, tetapi selepas berlaku sedikit perselisihan faham antara A. Ali dan Zaiton, lagu-lagu tersebut telah diberikan kepada Rohana. Album ini dapat diterima oleh para peminat dan menjulang kembali nama Rohana sebagai rekording artis.

Dalam album "Rayuanku" terdapat sepuluh buah lagu iaitu:

Muka Satu

1. Rayuanku - A. Ali/Lukhman S.
2. Sempadan Kasih - A. Ali/Lukhman S.
3. Badai Kota - D. Hatta/Haron Abdul Majid.
4. Dalam Tangis Ku - A. Ali/Lukhman S.
5. Masihkah Kau Ingat Lagi - Peter Lim/Wan Maharudin.

Muka Dua

1. Biarku Undur Diri - Zahir C. Lubis/Lutfi Ismail.
2. Dalam Birunya Luka - Zahir C. Lubis/Zahir C. Lubis.
3. Penyakit Rindu - Mas Omar/Haron Abdul Majid.
4. Pandang Pertama - Sabri/Dayang Hartini.
5. Suatu Kebetulan - A. Ali/Lukhman S.


Moral Value: If all good things must come to an end, then do not worry. All bad things eventually would end too.

30 January, 2012

Pembela Tanah Air


Pada 31 Disember 1979 seramai 185 orang pegawai kadet Tauliah Jangka Pendek dari semua unit angkatan tentera telah mengadakan upacara perbarisan tamat latihan di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur.


Seri Paduka Baginda menerima Tabik Kehormatan Diraja.


Upacara ini diadakan setelah mereka tamat latihan dari semua segi ilmu ketenteraan selama setahun. Mereka telah diberi latihan tentera di Unit Latihan Pendahaluan Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan kemudiannya di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi.


Kumpulan ini adalah pengambilan yang ke-35 dan terakhir sekali kerana pengambilan yang berikutnya akan dilatih hanya di Kem Sebatang Karah, Port Dickson, sahaja.


Seri Paduka Baginda sedang memeriksa perbarisan.


Dari jumlah 185 pegawai ini, seramai 116 orang adalah terdiri dari pegawai-pegawai kadet tentera darat sementara 34 orang dari tentera laut dan yang bakinya terdiri daripada tentera udara.


Pegawai Kadet Daud bin Japar Pemenang Hadiah Komandan menerima hadiahnya.


Pegawai Kadet Mior Rosdi bin Mior Mohd Jaafar telah terpilih sebagai pemenang Hadiah Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia terbaik manakala Pegawai Kadet Daud bin Japar Pemenang Hadiah Komandan. Pegawai Kadet Daud juga adalah Ketua Platun yang telah mengetuai perbarisan tamat latihan.


Pegawai Kadet Mior Rosdi bin Mior Mohd Jaafar telah terpilih sebagai pemenang Hadiah Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia terbaik.


Pegawai Kadet yang turut ditauliahkan ialah Sopian bin Harun, 23 tahun, yang berasal dari keturunan orang asli. Beliau mencatatkan sejarah sebagai anak orang asli yang pertama sekali ditauliahkan sebagai pegawai tentera.

Beliau telah memeluk agama Islam beberapa lama dahulu dan berasal dari Kuala Rompin, Pahang. Sopian pernah berkhidmat sebagai Pembantu Luar FELCRA selama dua tahun sebelum mengikuti kursus tentera ini.


Moral Value: You don't need water to feel like you're drowning, do you? - Jodi Picoult

28 January, 2012

Amsterdam


Poskad yang telah berusia 30 tahun ini menggambarkan mengenai keindahan bandar Amsterdam. Terdapat 10 tempat yang menarik yang digambarkan untuk kita lawati. Kita ikuti serba sedikit kisah mengenainya:

Amsterdam is the capital of the Netherlands, even though neither the Dutch government nor the head of state resides in Amsterdam. The largest city in the Netherlands is also the country's biggest tourist-draw.


With more than one million inhabitants in its urban area, it is the country's largest city and its financial, cultural, and creative centre. Amsterdam is colloquially known as Venice of the North, because of its lovely canals that criss-cross the city, its impressive architecture and more than 1,500 bridges.

There is something for every traveller's taste here, whether you prefer culture and history, serious partying, or just the relaxing charm of an old European city.


Amsterdam is one of the greatest small cities in the world. From its canals to world-famous museums and historical sights, Amsterdam is one of the most romantic and beautiful cities in Europe.

Amsterdam is a compact little city, hosting dozens of world-class museums, miles of beautiful canals, well-maintained parks, narrow cobblestone streets with lots of Old World charm, and hundreds of hotels and outdoor cafes.


Most of Amsterdam's top attractions date from the city's heyday during the seventeenth century when it was a financial and political powerhouse. Most of the cities' famous canals and harmonious architecture stems from this era.

Amsterdam has long been considered one of the best cities to visit in Europe. It is a beautiful, laid back town with lots to do, lots to see, great food from all over the world and friendly people everywhere you go. A visit to downtown Amsterdam is like taking a walk back in time, as the center of the city is filled with historic architecture dating back to the 17th century.


Untuk maklumat lanjut, sila ke: Wikipedia/Amsterdam

26 January, 2012

Malaya Vintage Soda Bottles and Collectibles Exhibition


Setelah berjaya menganjurkan event Botologi Hi Tea pada 29 Januari 2011 yang lalu, kali ini sekali lagi group "Botologi Malaya" akan menganjurkan Malaya Vintage Soda Bottles and Collectibles Exhibition yang dijangka akan lebih vogue dan grand seperti ketetapan berikut:


Tarikh: 28 Januari 2012 (Sabtu).

Masa: 3.00 - 7.00 p.m.

Tempat: Ipoh Station Antique Cafe, 2-20 Jalan BPU 6, Bandar Puchong Utama, (Parallel to LDP Highway), 47100 Puchong, Selangor.


Antara acara-acara yang bakal diadakan adalah seperti berikut:

1. Pameran botol (soda collectibles, coke collectibles & posters).

2. Jualan 'garage sales'.

3. Sesi minum petang.

4. Tayangan video, sesi pencarian botol di utara tanahair, belum pernah ditayangkan di mana mana stesen televisyen dan pawagam sebelum ini.

5. Lain-lain acara yang mungkin diadakan secara spontan.. hehe..


Menurut maklumat yang diperolehi daripada En. Mat, hampir 100 orang telah bersetuju utk hadir ke event kali ini.


Kepada pembaca yang tidak sempat mengikuti event yang telah diadakan pada tahun lalu, dijemput hadir bagi memeriahkan lagi event ini tidak kira kiralah sama ada anda "kaki botol" atau tidak. Ia terbuka kepada semua dan hadirlah sebagai tanda memeriahkan dan memberikan sokongan!


InsyaAllah jika tiada aral melintang, BR pun akan turut hadir. Tetapi kali ini tidak dapatlah hendak membuka Unser boot sale seperti tahun lalu. Hadir untuk mengeratkan silaturrahim sesama collectors dan bloggers serta berkenalan dengan semua rakan yang hadir.


JOM SEMUA KITA RAIKAN EVENT KITA INI , 2 HARI LAGI DARI SEKARANG!

23 January, 2012

Kong Hee Fatt Choy


Dua puluh tiga haribulan Februari tahun 2012 adalah Hari Tahun Baru Cina. Hari Tahun Baru merupakan perayaan yang paling penting bagi kaum Cina. Ia menandakan permulaan bulan musim dan tahun baharu. Perayaan ini berlarut selama lima belas hari. Hari Tahun Baru ini bukanlah satu perayaan keagamaan seperti Hari Raya.

Mengikut adat dan kepercayaan masyarakat Cina, untuk menyambut hari kebesaran ini permainan mercun adalah digalakkan. Ia melambangkan akhirnya yang lama dan bermulanya hari baharu. Bagi orang-orang yang berniaga, permainan mercun dikatakan dapat membawa keuntungan yang lebih dalam tahun baharu.


Bersempena Hari Tahun Baru, orang-orang Cina adalah digalakkan lawat-melawat antara satu sama lain. Kanak-kanak dan mereka yang belum berumah tangga akan menerima hadiah bungkusan merah (angpau) daripada saudara-saudara mereka.

Tetamu-tetamu akan dihidangkan dengan bermacam-macam kuih-muih, gula-gula dan buah-buahan. Dalam menyambut Hari Tahun Baru ini beberapa pantang larang haruslah diikuti.

Antaranya ialah: Pada hari itu, kaum-kaum Cina dilarang menyapu sampah di dalam rumah. Mereka percaya menyapu sampah mungkin menyapu segala keuntungan yang mereka akan perolehi dalam tahun baharu itu.


Mereka juga percaya yang adab tertib pada hari Tahun Baru sangatlah penting kerana ia boleh melibatkan penghidupan seseorang pada sepanjang tahun yang akan datang itu. Oleh itu perkataan-perkataan seperti yang kurang enak seperti mati, hutang, sakit, kemalangan, kesusahan dan sebagainya tidak boleh disebut kerana dikhuatiri ia akan menimpa diri seseorang itu kelak.

Perkataan-perkataan yang baik seperti keuntungan, kekayaan dan kesenangan mestilah diucapkan selalu sebagai gantinya.


Satu lagi tradisi pada Hari Tahun Baru Cina ialah persembahan Tarian Singa. Ia merupakan satu aktiviti atau acara kebudayaan yang sangat popular di kalangan orang-orang Cina di Malaysia untuk merayakan Hari Tahun Baru Cina.

Menurut fahaman dan kepercayaan mereka, Tarian Singa adalah sama seperti Tarian Naga dipersembahkan untuk menyambut tuah dan kebahagiaan. Barang siapa yang mengadakan tarian ini akan bahagialah nasibnya sepanjang tahun.

Sementara itu, hari ketiga adalah dianggap penting untuk membuka atau menjalankan perniagaan kecuali jika sudah dibuka pada hari yang kedua.

Hari Cap Goh Mei ialah hari yang ke-15 tahun baharu dan menandakan tamatnya perayaan Tahun Baru Cina. Pada hari ini semua ahli-ahli keluarga berkumpul dan makan malam bersama-sama.

Persembahan-persembahan makanan dibuat untuk roh nenek-moyang masing-masing. Keluarga Cina juga pergi sembahyang di kuil-kuil pada hari tersebut sebagai penamat segala acara perayaan.


19 January, 2012

Pak Mat... Kisah Blues


Kemiskinan boleh di atasi dengan berkat rajin dan usaha. Begitulah amalan hidup Encik Mat bin Said, 52 tahun bersama isteri dan seorang anak lelakinya.

Keluarga yang tinggal di Kampung Lubok Meriam, Tasek Gelugor, Seberang Perai, Pulau Pinang ini kini menjadi tumpuan ramai pelawat-pelawat kerana kebolehan mereka yang luar biasa.

Boleh dikatakan apa sahaja yang kelihatan di rumah tersebut ialah hasil ciptaan dan usaha tangan mereka tiga beranak sendiri tanpa bantuan sesiapapun.


Pak Mat di samping isterinya sedang berehat di atas buaian buatannya.


Menurut Pak Mat, sebelum memiliki rumah besar seperti sekarang, mereka bertiga tinggal di sebuah pondok usang lagi kecil dekat situ.

Kerana mengenangkan nasib kemiskinannya, Pak Mat mengambil keputusan untuk berusaha sendiri membuat rumah besar dan segala peralatan di rumah itu.

Tiap-tiap hari Pak Mat, isteri dan anaknya akan ke hutan untuk menebang kayu tembusu dan membawa pulang ke rumah.

Akhirnya terdirilah rumah Pak Mat yang besar lagi teguh di kampung itu, lengkap dengan segala peralatan hasil buatan sendiri (hand made).

Mengenangkan nasib kemiskinannya, Pak Mat mengambil keputusan berusaha sendiri membuat rumah besar dan segala peralatan di rumah itu. Gambar menunjukkan bahagian dapur rumah Pak Mat.


Kini rumah Pak Mat sentiasa dikunjungi tetamu, ada yang datang dari Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sendiri.

Rumah Pak Mat berlainan dari rumah biasa. Tiangnya besar dan tinggi, berdinding atap dan berbentuk rumah purba.

Kerusi, meja, pelita, peralatan dapur, alat kerja angkut, buaian, lesung kaki dan banyak lagi hasil usaha Pak Mat dipamerkan dengan begitu teratur beserta penunjuk tarikh cipta.


Pak Mat memegang gagang telefon hasil ciptaannya sendiri.


Rumah Pak Mat juga mempunyai bekalan air dan elektrik, tetapi buatannya sendiri. Batang paip sedalam 45 kaki ditanam ke bumi dan ianya mengeluarkan air yang jernih lagi deras. Lampu elektrik dan kipas angin pula dibekalkan dari beberapa biji bateri.

Rumah Pak Mat mempunyai telefon dan beliau mendakwa menciptanya sendiri. Rumahnya dijadikan sebagai ibu sawat yang menghubungkan telefon lain kepada lapan buah rumah lagi di kampung tersebut.

Gagang alat telefon itu diperbuat daripada kayu nangka yang diukir oleh Pak Mat sendiri.

Isteri Pak Mat, Cik Bibi binti Ariffin, 38 tahun pula menganyam tiga keping tikar mengkuang sepanjang 45 kaki yang dibentangkan sepanjang rumah itu.


Gambar menunjukkan dua buah lesung kaki yang diusahakan oleh Pak Mat.


Pak Mat yang digelar 'bomoh' dan 'ahli sains' kini dikunjungi oleh lebih tiga ribu pelawat setiap hari. Rumahnya terpaksa ditutup pada jam 6.00 petang untuk membolehkan Pak Mat sekeluarga berehat dari melayan tetamu.


Sumber: Majalah Sinar Zaman, Jilid VI, Bil, 66, 1978 (Majalah yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia).


*******************************************************


Walaupun kisah ini telah hampir 34 tahun berlalu, namun banyak iktibar yang boleh diambil daripadanya. Kisah tiga sekeluarga yang dihimpit kemiskinan telah bangkit dengan segala kudrat dan akal yang ada untuk membaiki taraf hidup dengan usaha sendiri.

Mungkin pada waktu itu (tahun 1978) tidak banyak kemudahan yang boleh diperolehi, namun begitu Pak Mat yang digelar bomoh dan ahli sains itu telah berusaha dengan gigih malah beliau juga mendakwa telah mencipta telefon sendiri yang dihubungkan dengan beberapa buah rumah lain di kampung tersebut.

Mungkin beliau juga orang yang pertama yang telah mengilham dan merealisasikan konsep Rumah Pintar dengan segala kekurangan pada waktu itu.

Mengikut perkiraan biasa, usia Pak Mat sekarang telahpun mencecah 86 tahun dan isteri beliau, Cik Bibi berusia 72 tahun. Sudah tentu ramai pembaca termasuklah BR sendiri ingin sekali mengetahui perkembangan diri Pak Mat sekeluarga sekarang.

Kepada penduduk-penduduk Kampung Lubok Meriam, Tasek Gelugor, Seberang Perai, Pulau Pinang atau sesiapa sahaja yang mengenali keluarga Pak Mat atau yang pernah mendengar mengenai kisah Pak Mat ini dapatlah kiranya memberikan info selanjutnya mengenai perkembangan diri Pak Mat yang terkini.

Kepada generasi kini, jadikanlah kisah Pak Mat ini sebagai dorongan dan motivasi untuk terus berjaya dan tidak mudah mengalah...


Moral Value: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka” (Surah Ar-Ra’ad, Ayat 11).


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'