31 October, 2010

NUTP Mahu Guru Tidak Dipaksa Bayar Yuran PSKPP


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia (NUTP) mahu guru tidak dipaksa memberi sumbangan kepada Persatuan Sukan, Kebudayaan dan Sosial Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) yang ditubuhkan di setiap negeri.


Sumber: Berita Harian 25.10.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


Presidennya, Hashim Adnan, berkata pihaknya menerima maklumat ada guru di sebuah daerah di negara ini yang dipaksa membayar yuran PSKPP, seolah-oleh ia wajib dan diberikan surat tunjuk sebab jika gagal berbuat demikian.

"Ini adalah perbuatan melampaui batas kerana guru tidak boleh dipaksa untuk membayarnya kerana ia hanyalah berbentuk sumbangan dan bukannya suatu bayaran wajib."

"Kami menerima aduan ada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) tertentu yang memaksa guru membayar wang berkenaan dan diugut dengan surat tunjuk sebab jika gagal berbuat demikian. Ada juga kes di satu daerah PPD bertindak mendedahkan maklumat mereka yang enggan memberikan sumbangan dengan mengedarkan salinan penyata gaji, nombor kad pengenalan dan nama guru terbabit kepada seluruh sekolah."

Hashim berkata, ramai guru tidak mahu menyumbang kepada PSKPP kerana mereka meragui ketelusan pengurusan wang yang mereka sumbangkan kerana aktiviti yang dijalankan tidak memadai dengan jumlah dana dimiliki persatuan itu saban tahun.

"Guru tiada masalah untuk membayar antara RM3 dan RM5 setiap tahun, asalkan wang berkenaan diuruskan dengan telus dan berhemah."

Difahamkan selain guru, PSKPP turut dianggotai kakitangan bukan akademik Kementerian Pelajaran termasuk kerani, pemandu, pembantu makmal dan staf sokongan.


Sekiranya anda terlibat dengan PSKPP, apakah komen anda mengenai perkara ini?


29 October, 2010

Pistol Hari Raya... Ada Lagi!


Berbeza dengan Pistol Hari Raya yang pernah BR siarkan dahulu, pistol kali ini adalah lebih moden sedikit di mana ianya berbeza dari segi bentuk pistol yang lebih realistik dan bentuk pelurunya juga telah diberikan sentuhan inovasi untuk menghasilkan bunyi yang lebih kuat.


Pistol mainan buatan China ini boleh didapati di mana-mana sahaja pasar malam di seluruh Malaysia dan memang telah lama wujud kerana rasa-rasanya BR pernah bermain dengannya di zaman kanak-kanak dahulu ataupun ketika di awal remaja. Cuma bentuk dan warnanya sahaja yang berbeza.


Pistol ini telah disertakan bersama dengan silencer olok-olok di hujung larasnya untuk menambahkan lagi kehebatan bentuknya. Asap yang dihasilkan akan keluar melalui celah-celah silencer ini.


Pelurunya dijual dalam bentuk pek yang lebih kemas mengandungi 9 gelung peluru. Setiap gelung peluru boleh menghasilkan 8 tembakan.


Boleh di 'kepak' seperti pistol sebenar untuk memasukkan peluru.


Cara memasukkan pelurunya adalah seperti gambar di atas.


Bagi kanak-kanak atau bapa kanak-kanak yang lebih advance, kaedah ini digunakan iaitu dengan menggunakan palam pencucuh. Tidak perlulah dijelaskan dengan lebih panjang lebar lagi kerana kaedah ini amatlah tidak digalakkan tanpa pengawasan daripada orang dewasa.


Ataupun kaedah kedua ialah dengan menggunakan hammer. Ini adalah ikhtiar terakhir untuk menghasilkan bunyi letupan yang lebih kuat.


Pada mulanya BR hendak menunjukkan gambar demonstrasi semasa tembakan dilepaskan tetapi memandangkan orang yang menembak dan orang yang mengambil gambar takut kepada bunyi yang kuat, gambar ini hanya berjaya dirakamkan selepas tembakan. Oleh itu tidak dapatlah kita melihat percikan api dan asap yang keluar daripada pistol ini.

Kepada pembaca yang pernah bermain dengan pistol ini dan juga pernah menggunakan kedua-dua kaedah alternatif (atau ada kaedah yang lain?) seperti yang telah dinyatakan di atas, bolehlah berkongsi pengalaman anda bersama-sama.


28 October, 2010

Acuan Kek Arnab


Sudah lama kiranya BR tidak bercerita tentang pembuatan kuih-muih semenjak berakhirnya bulan puasa yang lalu. Untuk itu, kali ini marilah kita sama-sama melihat acuan kek arnab ini yang entah berapa usianya dan tidak diketahui asal-usulnya ini.


Diperbuat daripada keluli tahan karat dan mempunyai ketebalan yang sesuai dengan sifatnya sebagai acuan. Saiznya tidaklah besar mana sangat, cukuplah sekadar 'sekali kenyang' setelah menghasilkan kek.

Dengan kemudahan berbagai peralatan kek dan pastry, surirumah bolehlah menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk menghiasi arnab ini dengan pelbagai bahan supaya arnab ini nampak seperti hidup dan lebih menyelerakan apabila dimakan. Amat sesuai dihidangkan sempena sambutan harijadi kerana biasanya kanak-kanak amat menyukai arnab.


Pemandangan hadapan wajah arnab. Renungan matanya sungguh menikam sukma.


Bahagian dalaman acuan ini yang berkedalaman kira-kira 3.5 inci. Terdapat juga dua batang dawai keras di situ yang digunakan sebagai pemegang kepada acuan ini untuk dimasuk atau dikeluarkan dari dalam oven.

Selain sebagai acuan kek, acuan ini serbaguna sebenarnya. Bagi surirumah yang kreatif, acuan ini boleh digunakan sebagai acuan agar-agar, puding, apam ataupun acuan air batu.


Made in England tu.. Mak Long Rokiah, Pak Lang Harun... lengkap dengan nombor patennya 353327.


Arnab sedang wheelie...


Bahagian yang menunjukkan bahawa arnab ini sedang membelakangi kamera ataupun dalam bahasa mudahnya bontot arnab. Memang comel walaupun dilihat dari berbagai sudut...

Sewaktu memotongnya nanti, adalah dicadangkan kepada surirumah supaya membahagikan arnab ini kepada beberapa bahagian seperti kepala, kaki, badan, ekor, telinga dan beberapa bahagian anggota badan yang lain untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang supaya mereka lebih bebas untuk membuat pilihan.


Pemandangan dari bahagian atas. Memang lengkap sebagai seekor arnab jika telah siap dijadikan kek berdasarkan bentuk acuannya.

Untuk pengetahuan, acuan ini boleh menggunakan apa sahaja adunan resepi kek, hasilnya nanti mungkin kek tersebut seperti kuih bahulu berbentuk ikan emas atau berbentuk buah gelugor seperti yang biasa kita lihat.

BR sendiripun belum pernah mencuba untuk membuat kek arnab ini terutama apabila memikirkan hasil keknya nanti tentulah seperti seekor arnab sejati. Rasa tak tergamaklah pula kerana dapat dibayangkan betapa comel dan gebunya arnab ini apabila telah siap dijadikan kek. He.. he..

27 October, 2010

Botol Nestle Contour


Memang sengaja botol ini dinamakan sebagai 'Botol Nestle Contour' kerana BR sendiri sudah terlupa apakah jenama sebenar produk ini sewaktu ianya dipasarkan. Labelnya pun telah lama tertanggal untuk lebih menyulitkan keadaan bagi mengenal pasti asal usulnya itu. Yang pastinya ia adalah salah satu daripada produk keluaran Nestle sama ada Coffeemate, Milo (tentu tidak) ataupun Nescafe. Kepada pembaca yang masih ingat lagi botol ini bolehlah berkongsi maklumatnya. Apa kata Bro Megat?


Botol ini memang sengaja juga disimpan kerana bentuknya yang menarik berbeza dengan lain-lain botol keluaran Nestle. Tahun ianya dikeluarkan juga tidak dapat dipastikan, mungkin di sekitar tahun 1980-an.


Penutupnya yang mempunyai logo Nestle telah membuktikan bahawa botol ini adalah produk keluaran Nestle. Hanya itulah sahaja klu yang dapat diberikan.


Penutupnya berbentuk octagon (8 sisi dan 8 bucu) memang menarik berbeza dengan bentuk penutup botol tradisional yang berbentuk bulat.


Pandangan dari sisi boleh dilihat ke'lebar'an botol dan berketinggian kira-kira 6 inci.


Sekali pandang botol ini seperti pinggang pun ada kerana bentuknya yang melengkung seperti 'V" shape itu. Bagi mereka yang kreatif bolehlah menjadikan botol ini sebagai hiasan, pasu bunga ataupun apa-apa bentuk hiasan yang difikirkan sesuai. Hendak isikan dengan bedak sejuk pun boleh...


Sebenarnya memang terdapat banyak botol yang mempunyai bentuk yang lebih menarik daripada ini tetapi kebanyakannya adalah botol minuman keras. Sebagai seorang Islam, 'tidak manis' lah untuk kita mengumpul botol-botol tersebut. Walau apapun terpulanglah kepada persepsi masing-masing...

26 October, 2010

Berus Gigi Darling


Berus gigi adalah sejenis alat yang terdiri daripada sebuah berus kecil yang digunakan untuk membersihkan gigi dengan menggosok gigi. Memberus gigi sehingga bersih dan secara berkala dapat menjamin kesihatan gigi dan gusi.

Kebersihan mulut yang baik menyumbang kepada penambahbaikan kesihatan dan peningkatan kualiti hidup. Ia juga dapat membantu membersihkan sisa makanan dan plak gigi serta mencegah kerosakan gigi (karies gigi), penyakit gusi (periodontium) dan mengelakkan nafas berbau (halitosis).


Berus gigi yang diperbuat daripada nylon dan berbatang plastik hanya mula direka selepas Perang Dunia Kedua berakhir iaitu pada tahun 1945. Pilihlah berus gigi yang sesuai dengan mulut anda, mempunyai pemegang yang selesa dan mempunyai bulu berus yang lurus dan lembut. Contohnya seperti berus gigi Darling ini.


Tercatat dengan penuh yakin pada kotaknya: "Pemengang nya tidak boleh patah * Bentok nya di buat khas supaya tidak melukai gusi dan mulut tuan * Bulu nylon nya halus dan tahan lama *"

Dari bentuk ejaan dan gaya bahasa yang digunakan, maka dapatlah kita mengagak bahawa berus gigi ini mungkin telah dikeluarkan pada tahun 1970-an. BR sendiri pun tidak pasti bilakah berus gigi ini mula dikeluarkan. Kepada makcik dan pakcik yang pernah menggunakan berus gigi ini bolehlah berkongsi maklumat tersebut.


Buatan Malaysia untuk Gibson Associates Incorporated Product "Darling" Trade Mark. Harganya cuma 25 sen pada waktu itu atau dalam erti kata lain, RM1 untuk empat batang, memang berbaloi dengan wang anda... He.. he..


Berus gigi Darling yang dipaparkan ini adalah daripada jenis 'Hard'. Memang hard betul jika diperhatikan berusnya umpama berus tembaga yang boleh mencederakan gusi. Panjang berus gigi ini pula ialah kira-kira 6 inci dan amat tidak selesa bagi mereka yang bertangan besar.


Anda perlu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari terutamanya selepas makan dan sebelum tidur. Berus gigi selama dua atau tiga minit setiap kali memberus. Anda perlu menukar berus gigi apabila bulu berus mula haus atau kembang, selepas sembuh daripada sakit tekak contoh batuk dan selepas tiga bulan digunakan.


Kalau di zaman dahulu biasanya berus gigi ini akan diselit di celah-celah dinding rumbia ataupun di celah-celah atap bilik mandi.



Beberapa petua memberus gigi:


- Berus semua permukaan gigi terutama di leher dan celah-celah gigi.
- Jangan berkongsi berus gigi.
- Gunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida.
- Simpan berus gigi di tempat kering dan tidak bersentuhan antara satu sama lain untuk mengelak jangkitan.

25 October, 2010

Gaya Bergambar Orang Dulu-dulu...


Di sekitar tahun 1960 - 1970-an, gambar potret merupakan salah satu medium utama sebagai satu cara untuk mengeratkan silaturrahim. Aktiviti bertukar-tukar gambar potret merupakan satu aktiviti yang sering dilakukan tidak mengira bangsa, lelaki mahupun perempuan, sahabat mahupun kekasih... He.. he..

Gambar potret bersaiz 7 x 9 cm ini memang cukup popular pada ketika itu dan jika dibelek-belek kembali album gambar lama kepunyaan ibubapa, datuk dan nenek, pastinya kita akan berjumpa dengan gambar-gambar seperti ini. Penuh bergaya di hadapan kamera dengan aksi-aksi yang sungguh menawan ala-ala peragawan-peragawati lengkap dengan aksesori yang tersedia di dalam studio gambar.

BR pun tidak terkecuali, lihat sahaja gambar header di atas kelihatan sungguh bergaya di atas kuda besi dengan baju London Look (kain berkilat) ala pemain kugiran. Untuk pengetahuan gambar tersebut telah diedit daripada gambar sekeluarga yang telah diambil pada tahun 1971 di Redi Photo Studio, Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar.

Cara duduk, senyuman, gaya, aksesori dan teknik akan ditentukan oleh jurugambar dan ini boleh memakan masa yang lama di dalam studio sebelum sesuatu gambar itu boleh diambil.

Berikut adalah beberapa contoh gaya bergambar orang dulu-dulu untuk kita perhatikan. Kepada jurugambar-jurugambar amatur dan profesional, mungkin ada istilah-istilah fotografi yang lebih tepat lagi bagi menjelaskan lagi teknik-teknik yang digunakan bagi gambar-gambar tersebut.


Gaya Memegang Bunga: Gaya ini memang cukup popular di kalangan wanita kerana memegang bunga akan menyerlahkan lagi gaya kewanitaan seseorang itu kerana bunga dan wanita memang tidak dapat dipisahkan. Gambar ini telah diambil di kedai gambar Lido Photo, Ipoh pada tahun 1961.


Gaya memakai dan Memegang Topi: Gaya ini akan menggambarkan si empunya diri adalah seorang yang bebas dan sukakan aktiviti luar. Berbagai bentuk dan gaya topi boleh didapati di kedai gambar pada waktu itu untuk digayakan oleh lelaki dan perempuan. Gambar ini juga telah diambil di kedai gambar Lido Photo, Ipoh pada tahun 1961.


Gaya Di Taman (Flora dan Fauna): Gaya ini menunjukkan si empunya diri sedang bersantai di meja taman berlatar belakangkan ranting pokok bunga dan keratan daun dan bunga keladi plastik di atas meja untuk membangkitkan suasana di taman.

Cuba perhatikan corak guntingan yang terdapat di sekeliling gambar yang menunjukkan corak berbunga. Boleh dikatakan kebanyakan gambar-gambar pada waktu itu akan dilihat mempunyai corak guntingan sedemikian rupa. Gambar ini telah diambil di kedai gambar Golden City, Ipoh pada tahun 1970 seperti yang tercatat di belakang gambar.


Gaya Mengiring: Gaya ini amat sesuai bagi mereka yang mengenakan baju nampak belakang atau di zaman itu dipanggil baju 'beback'. Gambar ini telah diambil di kedai gambar Chungking Photo, Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) tahunnya tidak pula dicatatkan.


Gaya Close-Up: Memang cantik gambar ini berlatar belakangkan imej yang kabur. Gaya ini akan menunjukkan emosi sebenar si empunya diri seperti sedih atau gembira. Gambar ini telah diambil di kedai gambar Hollywoods, Ipoh. Tahunnya tidak pula dicatatkan.


Gaya Meletakkan Tangan Di Dagu: Gaya ini juga cukup popular pada waktu itu. Berbagai gaya tangan yang diletakkan di dagu boleh didapati lengkap dengan sarung tangan putih atau hitam bagi wanita untuk dipilih. Gambar ini telah diambil di kedai gambar Kong Ngai, 23 Anderson Road, Ipoh pada tahun 1962. Bro Fitri tentu tahu kedai gambar ini masih wujud lagi atau tidak.


Ini satu lagi contoh Gaya Memegang Bunga: Lihat saja cara memegang bunga beserta lenggokan kepala yang menyerlahkan lagi keanggunan si empunya diri. Gambar ini juga telah diambil di kedai gambar Kong Ngai, 23 Anderson Road, Ipoh pada tahun 1962.


Gaya Sisi Tanpa Memandang Kamera: Gaya inilah yang paling popular sekali di dalam banyak-banyak gaya yang telah dipersembahkan. Terdapat juga gambar begini yang latar belakangnya bulan dan bintang berkelipan di waktu malam. Gambar ini telah diambil di kedai gambar Nam Fong, Ipoh pada tahun 1963.


Gaya Renungan Memukau: Gambar ini telah dihasilkan seolah-olah pada waktu malam. Pencahayaan yang sesuai telah membuatkan gambar ini sungguh bercahaya dan menawan. Gambar sebegini juga amat sesuai untuk dijadikan gambar penghias kulit hadapan majalah. Gambar ini telah diambil di kedai gambar Camy, Taiping pada tahun 1969.


Gaya Aksesori Tambahan: Gaya ini juga turut diminati di kalangan remaja pada waktu itu. Pelbagai aksesori yang terdapat di kedai gambar boleh digunakan untuk digayakan sewaktu bergambar. Sebagai contoh ialah memakai cermin mata walaupun si empunya diri sebenarnya tidak bercermin mata. Gambar ini telah diambil di kedai gambar Lido Photo, Ipoh pada tahun 1961.


Tidak ketinggalan juga kebanyakan gambar pada waktu itu terdapat catatan ringkas dibelakangnya. Boleh dikatakan hampir kesemua gambar photo pada waktu itu akan terdapat tulisan atau catatan dibelakangnya sebagai tanda ingatan kepada si penerima.


Demikianlah serba sedikit gaya-gaya bergambar yang dapat dipaparkan untuk kita mengimbau kembali kenangan pada zaman dahulu. Kepada generasi kini juga biar mereka tahu bahawa orang dahulu memang hebat apabila bergambar dengan gaya yang penuh sopan dan bertatasusila dan dengan senyuman yang sungguh menawan...

Kepada pembaca yang pernah memiliki dan pernah melalui pengalaman bergambar di tahun-tahun 1960-70-an dahulu ataupun pernah melihat gambar-gambar datuk dan opah yang diambil pada zaman tersebut, sudi-sudilah kiranya berkongsi pengalaman anda di sini kerana rasanya masih banyak lagi gaya-gaya tertentu yang tidak BR paparkan di sini.

Tidak dinafikan bahawa kualiti gambar yang dihasilkan pada waktu itu sungguh bermutu dengan hasil kerja jurugambar yang sesuai dengan teknologi fotografi pada waktu itu. Walaupun gambar-gambar ini hanyalah berbentuk hitam putih, hasil kreativiti yang ditunjukkan membuatkan orang yang bergambar itu seperti film star. Pendek kata, orang yang tak lawa pun boleh jadi lawa... He.. he..

Untuk pengetahuan, gambar potret dan gaya-gaya seperti yang telah ditunjukkan di atas telahpun luput ditelan zaman dan kebanyakan kedai gambar yang dinyatakan di atas juga telahpun tidak beroperasi lagi. Lebih menyedihkan, kita juga telah tidak beraksi dengan mempraktikkan lagi gaya-gaya tersebut...


24 October, 2010

SPRM Kecewa Banyak Kes Gagal


Kita lupakan dahulu kisah Rozaliya (kisah pertunangan paling tragis...) dan berikan tumpuan kepada 'Jerung' sering terlepas kerana alasan remeh sedangkan bukti lebih daripada memadai.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melahirkan rasa kecewa kerana kebanyakan kes berprofil tinggi yang dibawanya ke mahkamah menemui kegagalan apabila tertuduh dibebaskan hanya atas alasan teknikal yang remeh sedangkan bukti dikemukakan lebih daripada memadai untuk menjatuhkan hukuman.


Sumber: Berita Harian 22.10.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata kerjasama semua pihak, terutama hakim, amat penting bagi membendung amalan rasuah kerana ketegasan mahkamah dalam menjatuhkan hukuman boleh menjadi faktor mengekang perbuatan itu.

"Kadang-kadang saya pun hairan, orang yang beri rasuah mengaku, masa duit bertukar tangan kita tangkap 'red handed', ada pegawai SPRM menyaksikan transaksi, malah ada rakaman video, ada gambar... tapi masih tak boleh dapatkan pendakwaan di mahkamah. Nak apa lagi."

"Saya akui keterangan amat penting dalam sesuatu kes tetapi janganlah buang kes hanya atas alasan teknikal yang remeh-temeh seperti kesilapan kenal pasti tangan mana menerima wang atau poket mana wang dimasukkan. Hakim wajar mengutamakan pertimbangan sama ada rasuah berlaku atau tidak."

Beliau juga pelik kerana kebanyakan kes SPRM yang kalah di Mahkamah Sesyen pada kebiasaannya menang apabila rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan apa sebenarnya bukti yang diharapkan di peringkat Mahkamah Sesyen.

Shukri berkata, dalam masa setahun, SPRM terima purata 10,000 maklumat dan daripada jumlah itu, selepas ditapis dan diteliti, separuh tidak ada unsur rasuah, sebaliknya ia berkaitan hal pentadbiran.

Daripada 5,000 kes itu, saringan seterusnya menyenarai pendek hanya 1,000 kes saja sebagai cukup berasas untuk buka kertas siasatan.

"Daripada 1,000 kes itu dan akhirnya sekitar 200 kes saja yang dianggap layak dibawa ke mahkamah. Justeru, hanya sekitar 200 kes saja, tidak kira kecil, besar, membabitkan swasta atau kerajaan, sampai ke mahkamah setiap tahun."

Shukri berkata, mencari bukti kes rasuah sememangnya amat sukar dan hakim perlu lihat pada keterangan hakiki (bukti keadaan) bagi mengesahkan sama ada wujud rasuah atau tidak tanpa tidak tegar berpegang kepada undang-undang.


Takrif Rasuah:

SPRM mentakrifkan rasuah sebagai: "wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya; apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga; apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu."


Moral Value: 1,000 dibahagi dengan 12 = 83 kes sebulan. 83 dibahagi dengan 30 = 3 kes sehari secara purata (tidak termasuk yang tidak dilaporkan) He.. he..


23 October, 2010

Sukan Olimpik Seoul 1988


Piring ini adalah hadiah daripada seorang rakan sebagai kenangan berlangsungnya Sukan Olimpik Seoul 1988. Simple tetapi menarik untuk dijadikan hiasan.


Tuan rumah pada tahun tersebut ialah Seoul, Korea Selatan. Acara perasmiannya telah diadakan pada 17 September dan Acara penutupnya pula pada 2 Oktober. Sebanyak 27 jenis sukan dipertandingkan dan melibatkan 263 acara.


Walaupun telah 22 tahun berlalu, mengumpul cenderamata sesuatu event ini ada gunanya juga sebagai sejarah dan rujukan berlangsungnya sesuatu acara seperti juga mengumpul stem, syiling peringatan dan sebagainya.



Sejarah Ringkas Mengenai Sukan Olimpik:


Sukan Olimpik ialah sukan antarabangsa yang diadakan setiap empat tahun di Olympia dan bertujuan untuk menghormati Tuhan Zeus. Sukan ini juga adalah untuk mengawal peperangan dan mengekalkan keamanan kerana pada masa ini semua tidak dibenarkan untuk berperang kerana menghormati Zeus. Hadiah yang diberikan berbentuk sekalung daun zaiton dari tempat keramat di Olympia.

Cuma peserta lelaki sahaja yang dapat melibatkan diri. Negara-negara yang terbabit dalam sukan ini merupakan negara-negara kota Yunani. Manakala acara yang diadakan meliputi gusti, melempar cakera dan merejam lembing.

Asal sukan Olimpik tidak lagi diketahui tetapi banyak lagenda tertulis bersama-sama sukan ini. Sambutan pertama Sukan Olimpik yang direkodkan adalah pada 776 SM, walaupun tarikh ini bukanlah kali pertama Sukan Olimpik diadakan. Pada masa itu, hanya satu acara dipertandingkan.

Sukan ini semakin hilang kepentingannya dengan penaklukan Rom ke atas Yunani (sekarang dikenali sebagai Greece). Apabila Kristian menjadi agama rasmi Empayar Rom, Sukan Olimpik dilihat festival orang tidak beragama (pagan) dan pada 393, Maharaja Theodosius mengharamkan Olimpik, dan ini menandakan berhentinya sukan Olimpik selama ribuan tahun sehinggalah diadakan semula pada abad ke-19.

Sukan Olimpik dihidupkan semula oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin pada akhir abad ke-19. Sukan ini yang turut dikenali sebagai Olimpik Musim Panas telah diadakan setiap empat tahun sejak 1896 kecuali ketika Perang Dunia. Pada tahun 2004, Sukan Olimpik ke-28 telah kembali diadakan di tempat asalnya di Athens, Greece.


22 October, 2010

Bekas Nescafe 2 Dalam 1


Ini lagi satu bekas Nescafe bertutup kuning yang sempat diselamatkan untuk tatapan kita. Seperti bekas nescafe yang terdahulu, bekas yang ini juga dipercayai telah lanjut usianya.


Berketinggian kira-kira 9 cm, bekas kaca ini dikatakan 2 dalam 1 kerana ianya boleh dijadikan bekas penyimpanan kedap udara dan sekaligus sebagai gelas minuman. Tetapi ia tidak begitu sesuai untuk hidangan air panas kerana bekas ini tidak bertangkai.


Mempunyai corak ala-ala diamond cut di sekeliling bekas termasuklah juga di bahagian bawahnya yang memang cukup menarik serta memancar-mancar kilatnya apabila terkena cahaya.


Memang cantik dijadikan gelas, namun begitu, sesetengah surirumah tidak begitu menggemari gelas seperti ini kerana jika tidak dicuci dengan betul akan meninggalkan kesan kotoran di celah-celah corak tersebut.


Bekas ini juga memiliki ketebalan kaca yang sesuai untuk tugas-tugas lasak.


Memang sahlah pada penutupnya tertulis perkataan 'Nescafe' berbeza dengan bekas yang terdahulu yang bertulis 'Nestle'.


Malangnya ada dua biji sahaja, kalau cukup set bolehlah dijadikan gelas hidangan untuk Hari Raya Haji nanti... hehe..

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'