30 April, 2010

Vespa 150 Super Penuh Kenangan...


Inilah motosikal Vespa peninggalan arwah ayah. Semasa hayat beliau cukup sayang dengan motor Vespa ini. Dibeli dan didaftarkan pada tahun 1972 semasa beliau bertugas di Daerah Pendang, Kedah. Akupun masih kecil lagi waktu itu..



Spesifikasi: Vespa Super MKII

Cubic capacity : 145.45 cc
Power : 6.93hp
Bore x Stroke : 57 x 57 mm
Manufacturer of the engine : Piaggio
Type of the engine : 2 stroke, One-cylinder
Max. speed : 72 km/h
4 gears
Voltage : 6 V
Tyres : AV : 3.50 x 8", AR : 3.50 x 8"
Tank : 7.7 liters
Consumption : 2.17 l/100 km
Weight : 93 kg



Dah hampir 5 tahun tidak bergerak dan tidak dihidupkan enjinnya. Tersimpan di bawah rumah. Body semua masih cantik lagi. Warna asalnya ialah warna cream. Emblem piaggio berbentuk hexagon.



Selalu juga orang singgah ke rumah minta hendak beli... Emak aku pula yang susah hati sebab terpaksa melayan dan memberi berbagai alasan kepada mereka yang datang bertanya.



Tetapi aku sentiasa memastikan cukai jalannya sentiasa hidup sehingga kini dan bercadang untuk membuat restroration semula sepertimana motosikal Honda CB100 yang terdahulu.



Selepas ini bolehlah simpan jambul (remos), lagak A. Mahmud, pusing-pusing kampung...


29 April, 2010

Batu Giling Peninggalan MGR...



Bagi anak-anak, adik-adik dan kakak-kakak yang tidak pernah melihat batu giling, inilah rupanya... Sudahpun pupus penggunaannya di kalangan suri-suri rumah sekarang berikutan adanya mesin pengisar ataupun blender yang penggunaannya lebih efisyen, cekap dan mudah.


MGR di sini bukanlah membawa maksud aktor India yang cukup popular di tahun 60-70-an dahulu, tetapi ianya membawa maksud 'Mamak Giling Rempah'.. he.. he..



Penggunaannya tidak begitu relevan di zaman sekarang ini berdasarkan beberapa faktor:

1. Mobiliti. Berat batu giling ini dianggarkan melebihi 20kg!

2. Lambat dan leceh. Bermula daripada menyediakan rempah sehinggalah kepada proses menggiling, memang mengambil masa yang lama dan memenatkan.

3. Akan tumbuh 'muscles' di lengan suri-suri rumah yang menggunakannya setiap hari...

4. Jari jadi kuning kena kunyit he.. he..


Bagi para pengguna, tiada cara atau kaedah yang khusus ditetapkan untuk menggunakannya seperti kukur kelapa terdahulu. Boleh duduk dengan gaya bebas tetapi yang biasa aku tengok ialah duduk dengan mencangkung beralaskan 'bangku sayur' dengan batu penggiling berada di hadapan manakala kedua-dua belah tangan akan memegang kemas batu penggiling di kiri dan kanan. Batu penggiling tadi akan disorong-tarik ke hadapan dan ke belakang sambil memusing-musingkan batu penggiling itu tadi beserta bunyi irama yang dihasilkan begitu mengasyikkan.


Namun begitu perlulah berhati-hati supaya batu penggiling tidak terbabas sama ada di hadapan atau di belakang. Timpa kaki sakit ooo...


Rempah yang telah siap digiling akan dikumpulkan di tengah-tengah papan muka penggiling dan akan diambil menggunakan kaedah 'jemputan dengan jari' lalu dimasukkan ke dalam bekas yang lain yang telah disediakan.



Batu penggiling yang dicipta agar mendapat genggaman kemas di kiri dan kanan. Bukan seperti memegang handle motosikal tetapi dipegang dari sebelah tepi.



Papan muka penggiling di mana segala macam rempah ratus yang akan digiling akan diletakkan di tengah-tengah permukaannya. Sebelum proses menggiling dimulakan, rempah-rempah tadi akan di hancurkan terlebih dahulu dengan menghentak batu penggiling secara perlahan-lahan di atasnya. Sedikit air perlu dicampur supaya rempah yang digiling akan menjadi basah dan sebati.


Masih kelihatan kesan-kesan rempah kekuningan yang tertinggal di papan muka penggiling. Itu membuktikan batu giling ini masih lagi digunakan. Keenakan kari yang dihasilkan daripada rempah giling memang berbeza daripada rempah ready made yang dijual dipasaran.



Walaupun ianya sudah hampir tidak digunakan lagi, tetapi di dalam keadaan tertentu terutama ketika menyambut Hari Raya, batu giling ini akan digunakan oleh suri-suri rumah sebagai pemberat untuk menindih nasi himpit.


28 April, 2010

Sudu Tonic Chop Gajah



Tonik Cap gajah ini adalah minuman kecergasan yang cukup popular bagi orang dulu-dulu dalam tahun 70-an. Botolnya sebesar botol kicap dibungkus dengan plastik berwarna merah/kekuningan. Ada free gift iaitu sebatang sudu dan sebiji gelas plastik. Gelas plastik ini seingat aku kalau jatuh ke lantai ianya akan melantun-lantun...

Gelas plastiknya tak dapat aku selamatkan, tetapi sudunya masih ada untuk tatapan generasi kini. Sudu ini memang tahan lasak, 100% stainless steel.



Masih boleh digunakan tanpa karat. Nipis, ringan dan simple.



Tertera dengan jelas perkataan 'TONIC CHOP GAJAH'.



Di bahagian hujung pemegang sudu ini pun terdapat Registered Trade Mark Chop Gajah beserta illustrasi seorang lelaki dengan gajah. Mungkin membawa maksud bila minum tonik ini akan kuat dan bertenaga seperti gajah... he.. he..



Pemandangan dari hadapan sudu.



Pemandangan dari bahagian belakang sudu. Untuk makluman, aku masih menggunakan sudu ini sehingga sekarang...



27 April, 2010

Television SETRON 20" Tahi Cicak Blues...



Inilah television keluarga yang telah banyak berjasa suatu ketika dahulu. Digelar TV 'tahi cicak' sebab masa dulu-dulu mana ada TV colour, semuanya hitam putih (monochrome). Masih tersimpan di dalam stor kerana telah tidak digunakan semenjak bermulanya era TV colour pada tahun 1979.




Berjenama SETRON. Tidak pasti pula buatan mana.


Alas kain 'kait' itupun package sekali dengan TV. Kakak aku buatkan, memang tahan sampai sekarang. Kalau tidak silap masa itu menggunakan benang 'Minlon' atau 'Minkle'.


TV ini masih lagi digunakan sehingga awal tahun 80-an memandangkan masih tidak mampu lagi membeli TV warna yang harganya masih mahal ketika itu. Amat berbeza dengan zaman sekarang di mana sebuah TV warna 29" boleh dibeli hanya dengan harga RM399.00.


Bagi mereka yang kreatif, TV lama sebegini boleh dijadikan hiasan yang cantik dengan menjadikannya aquarium.


Control panel yang terdapat ialah pemilihan channel jenis pusing-pusing atau pulas-pulas. Terdapat 12 channel pilihan, tetapi yang boleh digunakan hanya 1 dan 2 sahaja kerana pada waktu itu hanya terdapat siaran RTM 1 dan RTM 2 sahaja. Memang betul kata Starsky di dalam komen beliau pada post Hiburan Minggu Ini yang lalu.

Lain-lain control panelnya ialah power, volume, contrast, bright dan v-hold. Apabila sebut v-hold ini, fungsinya ialah untuk mengawal siaran supaya berkedudukan tetap supaya siaran tidak turun dan naik.


Mempunyai pintu yang boleh disorong-tarik di kiri dan kanan untuk membuka atau menutup. Lengkap dengan penguncinya sekali sebagai fungsi child lock. Masa bebudak dahulu aku cukup suka bermain dengan pintu ini.


Mempunyai rak di bahagaian bawah sesuai untuk meletakkan surat khabar atau majalah. Nak letak ubat nyamuk pun boleh...


Pembesar suara di kiri kanan TV. Bunyinya tidaklah seberapa kerana pada waktu itu belum ada teknologi audio yang secanggih sekarang.

Kisah blues di zaman TV hitam putih ini:

Rancangan yang paling diminati pada waktu itu ialah siaran filem-filem Melayu di setiap malam Sabtu. Kedai-kedai kopi atau rumah-rumah penduduk kampung yang memiliki TV akan didatangi oleh jiran-jiran dan rakan taulan dari seluruh pelusuk untuk menyaksikan tayangan filem dengan membayar 10 sen kepada tuan rumah atau tuan kedai kopi sebagai bayaran minyak petrol. Macam mini pawagam la pulak.

Hanya orang berada sahaja yang mampu memilki TV pada waktu itu dan pada waktu itu juga bekalan elektrik masih belum menyeluruh seperti sekarang. Generator elektrik peribadi yang menggunakan petrol adalah sebagai sumber utama bekalan elektrik pada waktu itu.

Pernah berlaku di mana tuan punya generator/TV disambar api sewaktu membetulkan generator yang tidak berfungsi. Kejadian berlaku ketika anak beliau menyuluh generator tersebut dengan pelita minyak tanah sewaktu kerja-kerja pembaikan dilakukan. Mujurlah tiada kemalangan jiwa yang berlaku...

Bagi ibu bapa yang tidak mampu membeli TV pada waktu itu dan apabila anak-anak meminta dibelikan TV, jawapan yang paling sesuai untuk diberikan ialah "Ambil besen ikat dengan tali, lepas tu gantung dan tengok, jadilah 'talibesen'...". Jawapan yang pernah atok aku berikan he.. he..

Tidak ketinggalan juga pada waktu persekolahan dahulu cikgu-cikgu akan memasang TV di kantin sekolah dan sama-sama menyaksikan perlawanan langsung acara tinju antara Muhammad Ali vs Joe Fraser... Tak belajarlah hari itu sehari.


Di antara rancangan-rancangan TV yang masih lagi aku ingat sewaktu di zaman 70-an dan awal 80-an...

Ultraman:
Hero dari Jepun yang bernama Goh dan boleh bertukar menjadi ultraman. Selalunya bergaduh dengan raksasa di pencawang elektrik.

Giant Robot:
Kisah dari Jepun mengenai sebuah robot yang menerima arahan daripada seorang kanak-kanak melalui jam tangan.

Gemini Man:
Kisah seorang hero yang boleh ghaib selama 30 saat dengan menekan butang di jam tangan Casio.

The Man From Atlantis:
Kisah seorang hero dua alam atau amfibia. Tubuhnya akan menjadi lemah jika tidak kena air. Jarinya macam itik. he.. he..

Combat:
Siri yang paling diminati mengisahkan perang di antara tentera Amerika dengan tentera Jerman. Starring: Vic Morrow as Sergeant Sanders...

The Six Million Dollar Man:
Kisah seorang hero dengan anggota bionic, tangan, mata dan kaki. Starring Lee Majors.

The Bionic Woman:
Kisah seorang heroin dengan anggota bionic, telinga, tangan dan kaki. Starring Lindsay Wagner.

Potret Pekerti:
Drama-drama Melayu seperti cerekarama di tv3 hari ini. Pelakon Cina yang selalu muncul: Lai Joo Lian.

Tiga Sekawan:
Kisah tiga wanita cina yang bersahabat baik dan selalu memakai cheong sam.

Cabutan Sports Toto:
Siaran petang sebelum rancangan TV bermula. Pengacara akan memusing raga yang mengandungi bola bernombor. Apabila pintu di bawah raga dibuka, sebiji bola akan terjatuh dan nombornya akan dipemerkan. Pengacara selalunya ialah Ho Kwee Ling dan seorang pengacara India (dah lupa nama).

CHiPs:
Kisah polis traffic di Carlifornia. Watak utama ialah Punch dan Jon. Lebih kurang seperti rancangan Roda-roda Kotaraya sekarang.

Rockford Files:
Kisah seorang penyiasat persendirian yang suka menumbuk orang dan suka mendrif kereta.

Hawaii Five O:
Kisah penyiasatan.

The High Chaparral:
Kisah cowboy. Watak: Blue, Monalito.

Tayangan Gambar Melayu:
Kebanyakan filem-filem dari studio Jalan Ampas lakonan P. Ramlee, Nordin Ahmad dan lain-lain pelakon sezaman.

Charlie's Angel:
Kisah tiga orang gadis penyiasat lincah yang tidak mengenali bossnya. Starring: Farah Fawcett dan Jaclyn Smith.

Space 1999:
Kisah fiksyen sains di angkasa lepas.

Nano! Nano! (tajuk sebenar dah lupa):
Hero dari angkasa lepas hidup di bumi. di akhir cerita akan menghantar mesej kepada rakannya di angkasa. Starring: Robin Williams.

Buck Rogers In The 21st Century:
Juga kisah fiksyen sains di angkasa lepas.

Little House On The Prairie:
Kisah 'orang putih kampung' di ladang prairie. Starring: Michael London, Melissa Gilbert. Watak: Laura, Merrie, Nellie.

The Saint:
Kisah penyiasatan agen british. Starring: Lan Ogily.

The New Adventures:
Kisah penyiasatan agen british pakai topi dan payung serta memandu kereta Rolls Royce.

Hardy Boys & Nancy Drew:
Kisah penyiasatan 3 bersaudara menyelesaikan misteri. Novelnya pun ada. Memang aku suka baca masa bebudak dahulu.

Mission Impossible (Masa bebudak dulu aku panggil 'mesin imposibel'):
Kisah 5 agen khas yang mempunyai kepakaran tersendiri dengan menggunakan gadget yang canggih.

Drama Minggu Ini:
Drama-drama tempatan Melayu.

Hiburan Minggu Ini:
Program nyanyian artis2 tempatan. Melibatkan tiga kaum utama melayu, cina dan india dan pengacaranya ialah Taufik Haji Ali yang suka membebel he.. he..

Bintang RTM:
Program mencungkil bakat-bakat penyanyi seperti akademi fantasia sekarang. Ramai penyanyi terkenal tanahair yang telah dihasilkan daripada program ini.

Bakat TV:
Program mencungkil bakat di dalam bidang muzik dan nyanyian berkumpulan seperti tiup daun getah, gesek gergaji, main bag pipe, angklong macam piano dan sebagainya.

Kuiz Perpaduan:
Rancangan kuiz pengetahuan am. Pengacaranya ialah Zainal Alam.

Peristiwa:
Menceritakan perkembangan semasa di dalam dan di luar negara seperti majalah 3 sekarang.

Kesuma:
Rancangan masakan. Pengacaranya ialah Dahlia Atan dan Norlela Samad.

Sapphire And Steel:
Aku tak faham cerita apa...

Exercise With Gloria:
Rancangan senaman.

Rencana (Transtel Cologne):
Dokumentari dan sukaneka dari German.

Rancangan Tergendala Sebentar:
Gambar orang gemuk duduk di kerusi sambil membetulkan tv.

Medicine Man:
Kisah seorang doktor yang mencari ubat-ubatan di hutan.

Run Joe Run:
Kisah seekor anjing yang bijak dan membantu tuannya menyiasat.

Lassie:
Kisah seekor anjing yang cerdik.

BJ And The Bear:
Kisah seorang drebar lori treler dengan seekor chimpanze.

Manix:
Kisah penyiasatan.

Kojak:
Kisah seorang penyiasat botak yang suka hisap lolipop.

Zorro:
Kisah seorang hero berkuda dan bertopeng serta bersenjatakan pedang selalu membantu golongan susah.

Baa Baa Black Sheep:
Kisah perang tentera Amerika dengan tentera Jepun menggunakan kapal terbang.

Incredible Hulk:
"Mr. Maggie, you don't make me angry, you don't like me when i'm angry.." Lepas tu bertukar menjadi raksasa hijau.

Lost In Space:
Kisah sebuah keluarga yang terkandas di sebuah planet di angkasa. Turut bersama ialah seorang doktor yang selalu membuat huru-hara.

Sheriff Lobo:
Kisah cabaran seorang sheriff bersama seorang timbalannya yang bodoh2 alang.

Swiss Family Robinson:
Kisah sebuah keluarga yang tinggal di atas pokok di sebuah pulau akibat kapal mereka yang karam di tengah lautan.

Donny And Merrie Show:
Rancangan hiburan dari keluarga the Osmond Brothers. Semuanya nampak gigi.

Sha Na Na:
Rancangan hiburan dengan gaya retro 70an.

Dallas:
Kisah orang-orang kaya orang putih.

Starsky And Hutch:
Kisah dua orang penyiasat yang bersahabat baik.

The Wild Wild West:
Cerita penyiasatan cowboy.

Animals:
Kisah seorang penyiasat yang boleh bertukar menjadi haiwan yang dikehendakinya.

Wrestling:
Rancangan gusti. Teknik dulu-dulu biasanya kepit kepala lawan kat ketiak lepas tu hayun lawan kat tali. Penggusti yang diingati ialah Tiger Singh dari Singapore.

UFO:
Kisah fiksyen sains angkasa lepas.

Planet Of The Apes:
Kisah masyarakat manusia yang berwajah beruk.

Star Trek:
Kisah fiksyen sains angkasa lepas.

Scobby Doo:
Kartun kisah penyiasatan misteri dibantu oleh seekor anjing (Scobby Doo) yang selalu membawa masalah.

Merry Melodies:
Rancangan kartun dari Walt Disney. Kartun 'Tom And Jerry' dan 'The Road Runner' selalu disiarkan.

The Flinstone:
Kisah kartun purba. Naik kereta dengan berkayuh, burung jadi penyepit baju, tulang jadi cucuk sanggul.

Woody Wood Pecker:
Kartun mengenai seekor burung tukang.

Superman:
Kisah hero Amerika yang suka menolong orang dan boleh terbang.

Iklan Serbuk Pencuci Drive:
Ada pacman makan kotoran.

Iklan Ribena:
"Minta sikit..", "Boleh.. sikit saja tau.."

Mickey Mouse:
M.I.C.K.E.Y... M.O.U.S.E... MICKEY MOUSE..

Demikianlah serba sedikit rancangan-rancangan TV yang setakat termampu aku ingati...

Beberapa tambahan lagi rancangan-rancangan TV daripada pembaca:
(Terima kasih kerana sudi berkongsi perasaan yang blues...)


Daripada Gallery Warisan:

I Dream Of Jeannie

Land Of The Giants

The Man From U.N.C.L.E

Daripada Nostalgia Zaman Berzaman:

Eight Is Enough
Kisah sebuah keluarga yang mempunyai 8 orang anak. Yang bongsu kalau tak silap nama Nicholas, rambut lurus macam topi keledar.


26 April, 2010

Basikal Mini Ruby Di Tahun 70an

Inilah basikal mini yang dihadiahkan oleh arwah ayah supaya aku ke sekolah pada awal tahun 70an dahulu. Masih wujud hingga kini tetapi sudah lama tidak digunakan. Memang blues habis...

Puncanya ialah kerana pada waktu itu memang aku tidak mahu ke sekolah, jadi basikal inilah dijadikan umpannya... Namun begitu aku tetap tidak mahu ke sekolah he.. he..



Masih boleh berdiri dengan kukuh dan teguh. 70% masih ori. Pada waktu itu basikal mini ini memang cukup popular dan pada hari inipun masih kelihatan lagi 'orang-orang lama' yang menggunakannya terutama di pekan-pekan kecil.



Keluaran yang seusia dengan basikal Chooper. Masa mula-mula beli dahulu ada rambu-rambu di handle grip dan ada bakul berwarna putih di hadapan. Ala-ala hippies gitu..



Lambang jenama Ruby.





Brek belakang.. Teknologi apa akupun tak tahu.



Brek depan menggunakan V-brake.



Saddle masih ori tetapi sudah terlalu uzur. Basikal inilah yang pernah aku gunakan di zaman kanak-kanak dahulu berkayuh setiap pagi dan petang sampai tidak ingat makan dan minum.


25 April, 2010

Lagi Kisah Paling Sadis...


"Bapa kepada seorang remaja yang cacat fizikal dan mental terkejut apabila didatangi dua anggota polis yang mahu menahan anaknya, Mohamad Sukri, 20, kerana gagal melaporkan diri menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 2008."


Apakah perasaan anda apabila membaca keratan akhbar ini? Berbagai perasaan menerjah fikiran kerana akupun mempunyai seorang anak yang sebegini (Rujuk entri March 2010: 'My Son Luqman Harith').


Menurut Encik Zulkifli Abdul, 46, yang juga seorang nelayan: "Anak saya cacat sejak berusia tujuh bulan dan tidak mampu mengurus diri sendiri... malah makan dan minum perlu disuap. Beliau hanya boleh duduk di atas kerusi roda saja dan hidupnya seratus peratus dibantu."
(Sila klik untuk besar image).



Sumber: Berita Harian 31.03.2010



Menurut Encik Zulkifli lagi, kad orang kurang upaya (OKU) anaknya sudahpun diserahkan kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk dikecualikan.


Jawapan daripada ibu kepada Mohamad Sukri, Khatijah Husin yang berbunyi:


"Beliau sedia menyerahkan anaknya mengikuti PLKN selama tiga bulan jika pihak kem mampu menguruskan anaknya yang memerlukan penjagaan rapi, termasuk memakai lampin pakai buang."


Tahniah kepada Puan Khatijah Husin kerana telah memberikan satu jawapan yang ringkas, tepat dan padat daripada seorang ibu yang lebih memahami...


24 April, 2010

Kukur Kelapa Blues...



Inilah kukur kelapa manual yang pernah digunakan dahulu sebelum tibanya mesin. Orang kampung aku panggil 'kukoq nyoq'. Masih ada mereka yang menggunakannya, tetapi sudah memasuki tahap yang begitu kritikal iaitu sudah hampir pupus umpama Harimau Sumatera dan Badak Sumbu gitu...

Rata-rata apabila aku berkunjung ke rumah rakan-rakan ataupun saudara mara, memang tidak pernah nampakpun benda ini di dapur mereka terutamanya di dapur-dapur moden sekarang ini yang ada dry kitchen dan wet kitchen.. eewah..



Bentuknya seperti kuda. Masa bebudak dahulu kalau main 'cowboy-cowboy', benda inilah yang akan menjadi kudanya.



Dihasilkan biasanya di dalam dua bentuk, iaitu yang boleh dilipat dan yang tidak boleh dilipat. Yang tidak boleh dilipat bentuknya seperti tepak sirih hantaran pertunangan di mana mata kukur boleh dilipat masuk ke dalam ataupun mata kukur yang statik.



Cara duduk semasa mengukur kelapa ini pun ada caranya, bukan boleh duduk sembarangan, terutamanya kepada anak-anak gadis. Duduk mesti dengan cara penuh bersopan dan bertatasusila dengan kedua-dua kaki mesti berada sama ada di sebelah kanan atau kiri. Bukannya duduk seperti orang menunggang kuda. Pendek kata, mesti ada gaya atau stail tersendiri...



Mata kukur yang masih tajam. Berbentuk bulat mengikut bentuk kelapa yang telah dibelah dua. Hati-hati apabila mengukur, mungkin ada kakak-kakak yang pernah luka terkena jari.



Boleh dilipat semasa tidak digunakan atau untuk tujuan penyimpanan.



Hebat juga teknologi orang dulu-dulu ni.. Meskipun ianya telah jarang digunakan dan semoden manapun kita pada hari ini, janganlah lupa bahawa kukur inilah yang telah membesarkan kita dengan makanan-makanan yang berasaskan kelapa dan santan suatu masa dahulu... he.. he..


Tentatif kerja-kerja mengukur kelapa:


Langkah 1:

Buah kelapa hendaklah di'gubai' iaitu kulitnya hendaklah dibuang sehingga tinggal tempurung kelapa yang bulat.

Cara-cara menggubai:

Pertama: Menyiat kulit kelapa dengan menggunakan parang. Kalau orang kuat hanya menggunakan gigi sahaja...


Kedua: Dengan menggunakan chop. Chop ini adalah sejenis alat yang berbentuk mata lembing yang dicantumkan dengan kayu dan dipacakkan ke tanah.


Ketiga: Cara yang lebih moden ialah dengan menggunakan chop yang telah dicipta berbentuk seperti gunting yang panjang, ditikam dan dikuak untuk mengupas kulit kelapa.


Langkah 2:

Setelah dibuang serba sedikit sabut-sabut kelapa yang masih terdapat di tempurung kelapa itu tadi, ianya akan ditakek ataupun diketuk dengan menggunakan belakang parang untuk membelah isi kelapa bersama tempurungnya. Kaedah ini memerlukan skill yang tinggi kerana bagi yang pakar sahaja tahu dimanakah letaknya 'mata' pada tempurung kelapa untuk diketuk supaya ia terbelah dengan cantik dan sama besar.


Semasa bebudak dahulu selalu juga aku menunggu emak membelah kelapa kerana jika bernasib baik akan terdapat 'kumboi' di dalam kelapa yang sedap untuk dimakan. Nak tanya sikit, sudah berapa lamakah anda tidak pernah memakan kumboi?


Langkah 3:

Maka dengan gaya yang tersendiri, makcik-makcikpun mulalah duduk dengan gaya yang telah diterangkan di atas untuk mengukur isi kelapa. 'Kruk, kruk, kruk..' kedengaran bunyi irama kukuran dan terhasillah isi kelapa yang telah dikukur. Isi kelapa yang telah dikukur akan jatuh ke dalam besen tadahan. Biasanya besen ayan seperti yang ditunjukkan di bawah.




Langkah 4:

Isi kelapa yang telah dikukur tadi dicampur dengan sedikit air dan diramas-ramas untuk mengeluarkan santannya. Semasa aku belajar Ekonomi Rumahtangga dahulu, cikgu mengajarkan isi kelapa itu dimasukkan ke dalam kain nipis untuk memerah santannya. Adegan yang tidak sanggup dilihat ialah apabila air santan tadi akan mengalir di celah-celah jari hingga ke siku..


Langkah 5:


Hasil ramasan tadi ditapis dengan menggunakan penapis (Gambar atas). Maka terhasillah santan yang digunakan untuk memasak gulai, bubur kacang, masak lemak, kuah durian dan sebagainya.


Zaman sekarang semuanya sudah pakai mesin. Kerja menjadi lebih mudah. Hendak lagi mudah pergi ke kedai dan beli sahaja sama ada santan segera atau kelapa yang telah siap dimesin. Kalau tidak percaya tanyalah Opah...




23 April, 2010

Golok Ghurka Beach Street Mari...


Golok ini aku jumpa di dalam laci almari kepunyaan arwah ayah. Biasanya orang panggil golok ini sebagai Golok Ghurka mungkin kerana bentuknya yang melengkung.





Kalau tidak silap dibeli di Lebuh Pantai (Beach Street), Pulau Pinang sekitar tahun 1985 dan dijual di kaki lima. Jika dilihat kepada bentuknya, akupun tak pasti apakah kegunaannya. Buat menakek sesuai kot..



Siap ada 2 bilah 'anak' pisau lagi...



Anak pisau ini diselitkan di dalam sarung berasingan berhampiran hulu golok.



22 April, 2010

Kompas Antik Peninggalan Tok Ki...



Kompas antik adalah milik seorang rakan iaitu Ustaz Ahmad Dusuki b. Zulkifli. Menurut beliau, kompas ini adalah milik asal Allahyarham Tok Ki nya yang suatu ketika dahulu pernah bekerja sebagai pegawai perhutanan di negeri Pahang Darul Makmur.



Kompas yang berusia hampir 76 tahun ini keseluruhannya diperbuat daripada tembaga. Masih berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah.



Didatangkan lengkap dengan sarung kulit keras yang berkualiti dan bertutup kemas.



Juga jelas tertulis nama pemiliknya iaitu 'AWANG NGAH BIN MAMAT' (Allahyarham Tok Ki kepada Ustaz Ahmad Dusuki) dan juga tahun 1934 - 1935 iaitu mungkin tempoh setahun pengajian pemilik kompas ini di 'MALAYAN FOREST SCHOOL'.



Di bahagian belakang kompas pula tertera negara pembuatnya iaitu Geneve Suisse berserta dengan nombor siri produknya. Umum mengetahui bahawa negara Swiss adalah pembuat jam tangan yang sungguh terkenal dengan kualiti dan ketepatannya.



Muka kompas yang masih jelas dan boleh digunakan.



Kunci jarum kompas sewaktu ianya tidak digunakan.





Sukatan-sukatan tertentu yang hanya difahami oleh ahli kompas.



Terdapat engsel di bahagian belakang untuk membuka kompas.



Bahagian teropong kompas yang tersembunyi sebelum ianya dibuka.



Kompas yang telah banyak berjasa kepada pemiliknya dalam menentukan batu sempadan dan arah perjalanan.








Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'