31 May, 2011

Wisel Polis Dulu-dulu


Setelah kita melihat butang polis dulu-dulu, untuk entri seterusnya, kita ikuti pula kisah mengenai wisel polis dulu-dulu. Seperti juga butang polis, adalah dipercayai bahawa wisel polis ini juga telah digunakan sejak tahun 1950-an lagi iaitu hampir 50 tahun yang lalu.


Sepenuhnya adalah "wisel" yang sebenar tanpa sebarang bebola di dalam yang sudah tentu memerlukan tiupan angin yang lebih kuat bersesuaian dengan teknologi pada waktu itu. Diperbuat oleh 100% logam tulen yang tahan karat serta mempunyai kadar berat yang bersesuaian dan boleh dikilatkan ke tahap maksima dengan menggunakan autosol.


Panjangnya ialah kira-kira 8cm dan berbunyi nyaring jika ditiup dengan menggunakan teknik yang betul. Amat tidak bersesuaian jika wisel ini digunakan oleh polis trafik sekarang memandangkan bunyinya tidaklah senyaring wisel fox atau wisel yang berbola di dalam.

Tidak dapat dipastikan pula wisel ini buatan daripada negara mana kerana tiada sebarang catatan mengenai itu. Tetapi berdasarkan kualiti yang ditunjukkan serta kronologi penggunaannya oleh anggota polis sejak 50 tahun yang lalu, adalah dipercayai wisel ini buatan England, sama seperti butang baju sebelumnya.


Wisel ini biasanya akan diikat pada rantai atau tali wisel lalu dimasukkan ke dalam poket baju atas. Biasanya digunakan hanya untuk perhiasan kerana memang tidak pernahpun dilihat atau dikisah di dalam drama 'Gerak Khas' arahan Dato' Yusuf Haslam anggota polis akan meniup wisel ini ketika mengejar penjenayah atau dalam keadaan kecemasan. Kecualilah anggota polis trafik yang memang cukup sinonim dengan wisel walaupun bukan jenis wisel yang ini.


Tertera perkataan "Police" pada wisel ini yang membuktikan secara fizikal bahawa wisel ini sememangnya telah digunakan oleh anggota polis.. He.. he..


Butang Polis Dulu-dulu


Entri kali ialah mengenai butang baju anggota PDRM yang pernah digunakan pada tahun 1950-an. Butang baju yang berusia lebih 50 tahun ini masih lagi disimpan untuk tatapan generasi kini yang mungkin tidak pernah dipedulikan, namun ia masih mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri...


Bersaiz sebesar kira-kira syiling 10 sen, tertulis perkataan "Polis Diraja Persekutuan" beserta imej dipercayai seekor harimau berdasarkan kepada lakaran belang pada badannya.


Mengikut sejarahnya:

Hampir setahun selepas Hari Kemerdekaan, iaitu pada 24 Julai 1958, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abd Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamad telah berkenan mengurniakan gelaran 'Diraja' kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu.

Upacara ini dijalankan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, 54100 Kuala Lumpur. Mulai dari saat itu pasukan polis dikenali dengan nama "Polis Diraja Persekutuan" atau "The Royal Federation of Malayan Police" dan pada 1963 ditukar kepada Polis Diraja Malaysia.


Bahagian belakang butang yang tertulis perkataan "Birmin" dan "London".


Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai PDRM ini, silalah ke: PDRM/Wikipedia


30 May, 2011

Iklan Aji-No-Moto


Kita ikuti sebuah iklan Aji-No-Moto yang telah diambil daripada sebuah majalah keluaran tahun 1979. Pada 14 Julai 2011 ini Aji-No-Moto (Malaysia) Berhad akan menyambut ulang tahunnya yang ke-50 di Malaysia sejak tahun 1961.


Dapatkan kelazatan tersembunyi dalam makanan anda!

Ketahuilah rahsia pemasak-pemasak masyor untuk menambahkan kelazatan makanan mereka - AJI-NI-MOTO. 99+% Monosodium Glutamate Tulin. Apa saja yang anda masak - daging, ikan, sayur-sayuran atau sup, campur sedikit Pelazat Rasa AJI-NI-MOTO dan kelazatan tersembunyi makanan anda akan diperolehi. Hidangan anda akan menjadi lebih istimewa.


************************************************************


Industri makanan menggantikan ‘broth’ atau ‘stock’ dengan perisa sintetik seperti monosodium glutamate (MSG) untuk melazatkan yang mereka proses. Makanan-makanan seperti sup, sos, gravies (berkuah dan pekat), kicap, makanan ringan dalam bungkusan termasuk me segera dan lain-lain.

MSG boleh menyebabkan masalah neurologi atau saraf dan penambahan berat badan. Terdapat beberapa kajian telah membuktikan MSG boleh menaikkan berat badan. Kajian telah dibuat ke atas tikus yang diberi makan MSG menjadi obes dan ada yang menjadi buta. Salah satu cara saintis meningkatkan obesiti dalam makmal kajian haiwan ialah dengan memberi haiwan makan MSG.


Kesan-kesan monosodium glutamate (MSG):


1. Kecederaan kepada hypothalamus, sejenis kelenjar dalam otak berperanan mengawal selera makan, fungsi tiroid dan sistem endokrin.

2. Meracun saraf seperti dilaporkan dalam sebuah kajian bahawa ia menyebabkan tikus menjadi gemuk kerana keracunan MSG merosakkan ‘ isyarat leptin’ yang tertulis dalam minda bawah sedar atau ia memusnahkan papan data sekali gus menyebabkan tiada isyarat bertulis dalam minda bawah sedar.

3. MSG yang dimakan oleh ibu mengandung juga ibu yang sedang menyusukan bayi boleh mengganggu pusat kawalan bayi.

4. Kesan pengambilan MSG ialah kesan kepada otak , ini kerana pengambilan kokain, methamphetamine dan Ritalin. Ia berakhir dengan tindakan stress hipersensitif dan mengakibatkan perut berlemak.

Buktinya pada 25 Oktober 1983, Dr. Shozo Takayama dari institusi tersebut telah menjalankan kajian ke atas 84 ekor tikus yag diberi dua jenis MSG. Selepas 16 bulan, keputusannya menunjukkan tikus-tikus berkenaan telah mengalami tanda-tanda tumor (ketumbuhan) pada paru-paru, usus kecil dan besar, bawah kulit, perut dan otak. Demikian juga hasil kajian Dr. John W. Olney dari University Washington pada awal tahun 1968, yang menunjukkan bahawa MSG mampu menjejaskan otak dan urat saraf.

Biasanya pembeli selalu tertipu bila baca pada label makanan. Ini kerana MSG digunakan dengan nama lain. Sesetengah pengusaha makanan langsung tidak meletakan kandungan MSG pada label makanan tersebut. Jika pada label dinyahkan rempah, perisa, perisa semula jadi, asid sitrik atau apa-apa yang hdrdroyzed atau autolyzed makanan tersebut mungkin mengandungi MSG.

Sup yang ditinkan frozen dinners iaitu makanan beku yang perlu dipanaskan dengan ketuhar gelombang mikro, pelbagai jenis sos, makanan jepun, salad dressing dan banyak lagi makanan yang diproses mengandungi MSG.

Sesetengah mungkin MSG dan bioproduk daripada khinzir. Manakala sesetengah negara terutama negara yang bukan Islam, sungguhpun MSG dihasilkan daripada bahan asas berkarbohidrat seperti jagung atau sagu ubi kayu tetapi starter untuk pemprosesan MSG mungkin adalah produk haiwan yang tidak halal.


Untuk maklumat lanjut silalah ke: Monosodium Glutamate/Wikipedia


29 May, 2011

Postcard of Historic Suffolk


Hadleigh Guildhall from St. Mary's Churchyard

Hadleigh Guildhall complex is situated next to St Mary’s churchyard and is some six hundred years old. Over the years it has had many uses from market house and Guildhall all the way to a cloth hall and even a school. Present day it is used as the offices for the local town council.

Anne of Cleves House in Hamlet Road, Haverhill

It was built in 1540 by Henry VIII as a marriage settlement for his wife, Anne of Cleves. It was restored in 1986 and it is now used as a private nursing home.

Orford Castle

Henry II built Orford Castle in Suffolk between 1165 and 1173. His plans in doing so were fittingly perverse. The castle was built on the coast, and was clearly meant as a strong point for shoreline defences. But the potential invaders were actually a representation of opposition from within the country.



Untuk maklumat lanjut mengenai tiga tempat bersejarah itu, pembaca bolehlah ke:




25 May, 2011

Monolog Seorang Guru Pelatih... (Siri Akhir)


Pancaragam Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang 1987.


Bersama pensyarah muzik yang juga merupakan jurulatih pancaragam iaitu dari kiri En. Mohd Akib Ramly, Pn. Juliet Monica Menezes dan En. Siva. Guru pelatih sebenarnya bukannya opsyen Pendidikan Muzik tetapi telah dipinjamkan oleh Jabatan Muzik berdasarkan Sijil ABRSM dan sijil Yamaha Music School yang dimiliki.

Bergambar setelah selesai membuat persembahan sewaktu Majlis Penyampaian Sijil Sesi 1985/87.Berdiri tiga dari kiri (tidak beruniform), En. Yasin sekarang menjadi seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Jasin, Pahang.

Teringatkan kisah Corong Enamel di mana pada mulanya guru pelatih berada dalam trumpet section lalu ditukarkan drum section hanya kerana 'takut' dengan flugelhorn.


Imej flugelhorn ihsan Google.


************************************************************


Setelah hampir 23 tahun berlalu, sekarang guru pelatih telahpun menjadi seorang guru terlatih. Banyak pengalaman suka dan duka yang telah ditempuhinya. 7 tahun sebagai Guru Muzik, 5 tahun sebagai Guru Kelas dan 10 tahun sebagai guru Bahasa Inggeris.


Nota yang pernah ditinggalkan kepada guru terlatih oleh seorang bekas Ketua Jabatan. Hanya sejauh ini sahajakah yang mampu ditujui oleh seorang guru? DG44, DG48, DG52, DG54?


...dan guru terlatih itupun lalu tersenyum sendirian lagi...


23 May, 2011

Monolog Seorang Guru Pelatih... (Part 3)


Majlis Perasmian Khemah Ibadat dan Hari Penyampaian Hadiah pada 4 November 1988 di SK Juara, Cherok To' Kun, Bukit Mertajam.

Persembahan koir murid-murid Tahun 6 dengan lagu "Istana Ratu" dengan iringan gitar oleh guru pelatih dan diconduct oleh cikgu Jeffry (membelakangi kamera). Persembahan ini juga turut disaksikan oleh YB Tuan Hj. Anwar bin Hj. Ibrahim, Menteri Pelajaran Malaysia pada waktu itu yang juga sebagai perasmi majlis.


Guru pelatih teringatkan sebuah kisah lucu tapi sungguh dramatik bersama cikgu Jeffry ini di mana beliau dan guru pelatih telah terkunci di tingkat dua bangunan sekolah kerana si pengunci pintu tidak menyedari mereka masih berada di dalam. Terpaksalah bergadai nyawa meniti bumbung gajah menyusur untuk turun ke tingkat bawah. Syukur alhamdullillah, semuanya selamat..


Bergambar selepas majlis berakhir. Untuk pengetahuan, murid-murid ini sekarang telahpun berusia 35 tahun dengan membawa haluan hidup masing-masing. Selepas tarikh itu, guru pelatih tidak pernah bertemu lagi dengan mereka walaupun seorang.

Berdiri paling kanan cikgu Jeffry sekarang ini merupakan seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Pulau Pinang manakala berdiri di tengah, cikgu Azman sekarang di SMK St. Mark, Butterworth. Beliau memiliki bakat seni lukis yang sungguh mengagumkan.


...dan guru pelatih itupun lalu tersenyum sendirian lagi...


21 May, 2011

Salisbury Cathedral Postcard


Salisbury has Britain's finest 13th century Gothic Cathedral boasting the tallest spire in the Kingdom. Construction on Salisbury Cathedral began in the Early English Gothic style in 1220. Set within eight acres of lawn and surrounded by historic buildings and museums within the spectacular Cathedral Close, the Cathedral is unique in being built almost entirely in one architectural style - Early English Gothic. Britain's tallest spire (123m / 404ft) was added a generation later.


View from the tower of St. Thomas' Church, showing the High Street and the gate into the Close.

The only major element to be added later was the famous spire, which came along in 1310-33. But its shape matches the cathedral perfectly and is made from the same stone, quarried from Chilmark 12 miles away. The spire was a daring addition, forcing the structure below to carry a dangerous amount of weight (6,500 tons with the tower). Only a multitude of buttresses, bracing arches and iron ties have kept it from collapsing over the centuries.


The Cathedral is a record holder for having the largest Cathedral close, the largest Cathedral Cloisters and the largest and earliest set of Quire stalls in Britain. Inside the Cathedral discover nearly 800 years of history including the finest preserved Magna Carta (1215), Europe's oldest working clock (1386) and most stunning font (2008). Explore the roof spaces on a tower tour, climbing 332 steps to the base of the spire, and admire the magnificent views across Salisbury.


Berdasarkan kepada cop tarikh pada poskad ini (1980), jelas bahawa poskad ini telahpun berusia 31 tahun.


Untuk maklumat lanjut mengenai Salisbury Cathedral ini, pembaca bolehlah ke: Wikipedia/Salisbury Cathedral


19 May, 2011

Monolog Seorang Guru Pelatih... (Part 2)


Guru pelatih itu masih lagi bermonolog teringatkan kepada seorang anak muridnya. Mahanum namanya yang pada waktu itu berusia 12 tahun (Tahun 6 Biru), jika dikira usianya kini telahpun mencecah 35 tahun tetapi entah di manakah beliau berada.

Inilah catatan Mahanum untuk guru pelatih itu pada hari terakhir Latihan Mengajar (LM) di SK Juara, Cherok To' Kun, Bukit Mertajam pada tahun 1988. Kata orang kanak-kanak tidak tahu berbohong dan inilah luahan rasa hati Mahanum terhadap gurunya itu yang masih disimpan sebagai kenang-kenangan...


(Sila klik untuk besarkan imej)


"Cikgu Shabri Dari Pandangan Saya"


Cikgu Shabri kuat ketawa, badan kurus melidi. Ketika mengajar sederhana garangnya. terlalu baik sehingga anak murid naik kepala. Kadang-kadang perangai cikgu manja. Tiap hari suka melawak kalau menyanyi hujan pun turun tapi setakat nak buat kaset cap kucing mati tu boleh juga.

Segala mak nenek dia tau menyanyi, melukis, bermain alat muzik, bersukan, ketawa dan bersembang tapi kalau penyelia datang kecut juga.

Di sebalik kenakalan ada juga sifat kejujuran semasa di dalam bilik darjah. Dari segi perangainya baik dan sporting tapi banyak berdisiplin. Pakaian simple sahaja.


Inilah gambar Mahanum ketika berusia 12 tahun. Kelihatan juga guru pelatih yang sedang mengiringi persembahan koir sempena Hari Ucapan sekolah tersebut.


...dan guru pelatih itupun lalu tersenyum sendirian lagi...


17 May, 2011

Monolog Seorang Guru Pelatih... (Part 1)


Di suatu pagi yang hening pada 19 Oktober 1988 hari Rabu iaitu kira-kira 23 tahun yang lalu seorang guru pelatih yang masih berusia belasan tahun pada waktu itu daripada Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (MPPPP atau M4P sekarang IPGM Kampus Pulau Pinang) sedang berperang dengan perasaan kerana sebagai seorang guru pelatih yang sedang menjalani Latihan Mengajar (LM) beliau akan diobserve di dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia Tahun 3 Biru dan Alam dan Manusia Tahun 6 Biru, SK Juara, Cherok To' Kun, Bukit Mertajam oleh seorang pensyarah bermula jam 8.40 pagi hari tersebut.

Penyeliaan yang akan dilakukan untuk dua mata pelajaran bagi dua kelas yang berbeza tetapi di dalam satu masa yang berturut amatlah menyukarkan memandangkan guru pelatih yang belum berpengalaman itu terpaksa menyediakan setiap satu dua perancangan yang berbeza termasuklah Bahan Bantu Mengajar (BBM) setiap satu bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajarannya nanti.

Guru pelatih Sesi 1986/88 dari Kumpulan 6PBe, Opsyen Pengajian Melayu itu sungguh gementar kerana pensyarah yang akan mengobservenya nanti, Mr. Palusamy a/l Vellasamy adalah seorang pensyarah dari Jabatan Bahasa Inggeris yang memang cukup terkenal di kalangan pelatih sebagai seorang pensyarah yang memiliki keseriousan tahap tertinggi dan sungguh jarang untuk melihat beliau tersenyum. Rambut dan kulitnya iras-iras penyanyi Broery Marantika, berkaca mata tebal dan seorang yang cukup tegas dan sungguh meng'gerun'kan...

Tepat jam 8.40 pagi hari tersebut, penyeliaan dimulakan dengan mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun 3 Biru (30 minit) dan disambung pula pada jam 9.10 pagi dengan mata pelajaran Alam dan Manusia (subjek ini telahpun dimansuhkan dan telah digantikan dengan subjek Kajian Tempatan sekarang) Tahun 6 Biru (1 jam). Masa 1 1/2 jam semasa berlangsungnya P & P berterusan ini terasa sungguh lama memandangkan Mr. Palu yang berada di belakang kelas sedang sibuk mencatatkan sesuatu sambil memerhatikan setiap gerak langkah guru pelatih tersebut.

Murid-muridnya pula ya Rabbi, 40 orang satu kelas Tahun 3 dan 6. Macamana nak handle? Seperti biasa, tiada senyuman langsung di wajah Mr. Palu ini yang lebih membuatkan hati si guru pelatih tadi sungguh berdebar-debar. P & P tetap diteruskan walaupun di dalam hati sedang bertanya-tanya, apa sudah jadi? Ini final observation ni, kalau gagal macamana?

Tepat jam 10.10 pagi P & P tamat. Perjumpaan selepas penyeliaan diadakan di Bilik Gerakan sekolah bersama Mr. Palu. Bla.. bla.. bla.. murid pemulihan.. bla.. bla.. BBM.. bla.. bla.. class control.. bla.. bla.. teori Behaviourisme, Konstruktivisme.. Bla.. bla.. Mr. Palu memberi penerangan di dalam Bahasa Melayu sambil diselang-selikan dengan Bahasa Inggeris. Guru pelatih itu hanya mampu mengangguk tanda faham.

Setelah selesai sesi perjumpaan selepas penyeliaan, Mr. Palu menyerahkan kembali Buku Persediaan Mengajar beserta sesalinan Borang Laporan Penilaian Latihan Mengajar sebagai rumusan hasil P & P yang telah diselianya tadi bagi kedua-dua kelas. Sebelum pulang, beliau bersalam dengan guru pelatih itu dengan satu genggaman yang erat sambil berkata, "Be a good teacher".

Inilah catatan Mr. Palusamy a/l Vellasamy di dalam Buku Persediaan Mengajar dan borang Laporan Penilaian Latihan Mengajar guru pelatih tersebut yang masih disimpan untuk tatapan kita bersama...


(Sila klik untuk besarkan imej)

Borang Laporan Penilaian Latihan Mengajar (Tahun 3 Biru).

Aspek-aspek yang dinilai dan pemberatan:


OBJEKTIF PENGAJARAN (10):

i. Dalam Bentuk Perlakuan Murid: Tepat & jelas.

ii. Tepat, Jelas dan Kemas:


PERANCANGAN (20):

i. Pemilihan Isi Pelajaran: Sesuai.

ii. Cerakinan dan Susunan Isi Pelajaran: Tersusun & teliti.

iii. Kesesuaian Sumber Pembelajaran: Sesuai, berbagai & efektif.

iv. Aktiviti Murid: Pelbagai & menarik. tetapi perlu beri perhatian yang lebih kepada murid-murid Kumpulan C.


PENYAMPAIAN (50):

i. Permulaan Pelajaran: Menarik.

ii. Cepat-Lambat Perkembangan Pelajaran: Lancar & sistematik.

iii. Bahasa dan Suara: Baik.

iv. Pengendalian Kaedah/Teknik Pengajaran: Penguasaan teknik yang memuaskan.

v. Penggunaan Sumber Pembelajaran: Diguna secara efektif.

vi. Pengurusan Bilik Darjah: Kawalan yang baik.

vii. Penyimpulan: Sesuai dengan kehendak objektif pembelajaran.


PENCAPAIAN OBJEKTIF (10):

i. Jelas tercapai: Jelas tercapai.


SAHSIAH (10):

i. Daya Usaha: Rajin dan bersemangat.

ii. Keyakinan Diri: Jujur dan serious dalam menjalankan tanggung jawabnya.

iii. Sikap Terhadap Kerja:

iv. Sifat Kepimpinan: Mempunyai sifat kepimpinan yang baik.



(Sila klik untuk besarkan imej)


Catatan di dalam Buku Persediaan Mengajar (Tahun 6 Biru).


Sdr Shabri,

Kegigihan dan kesungguhan yang anda telah tunjuk sepanjang LM ini perlu dikekalkan semasa anda mengajar di sekolah nanti sebagai guru yang terlatih.

Saya yakin dengan sedikit pengalaman lagi anda akan menjadi seorang guru yang unggul.

Saya harap anda akan memberi perhatian yang lebih kepada murid-murid yang lemah semasa anda merancangkan pelajaran. Ini merupakan kelemahan yang sangat ketara di kalangan sebahagian besar pelatih-pelatih.

Anda telah dapat membetulkan sebahagian besar kelemahan-kelemahan yang kita telah membincang bersama semasa Bimbingan Berkumpul.

Teruskan usaha baik anda!
Negara memerlukan pendidik-pendidik seperti anda!!


Teringat kata-kata Mr. Palu: "Mengajar adalah seperti memandu kereta, apabila tiba masa untuk penukaran gear, kita akan melakukannya sendiri tanpa perlu disuruh atau dipaksa"
(Kata-kata ini masih relevan bagi kereta yang bergear manual).


...dan guru pelatih itupun lalu tersenyum sendirian...


16 May, 2011

Selamat Hari Guru 2011


Ucapan ini ditujukan khas kepada semua guru, bakal guru, bekas guru, pesara guru, rakan-rakan blogger yang bertugas sebagai guru dan kepada sesiapa sahaja di seluruh Malaysia ini yang bergelar guru. Tidak dilupakan juga kepada pengunjung dan yang tidak berkunjung ke blog ini yang merupakan seorang guru.

Tidak kiralah guru apa, guru KEMAS, guru Tadika, guru Prasekolah, guru Permata Negara, guru SK, SJK (C), SJK (T), SM, SMK, SMJK, SMA, SABK, MRSM, guru Pendidikan Khas, guru tuisyen, guru mengaji quran, guru sekolah swasta, guru di Institusi, Maktab, Kolej, IPTA, IPTS, Kementerian, Jabatan, PPD, guru silat, guru driving school, guru KAFA, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan PPPLD dan PPS sama ada Sokongan dan Pengurusan dan Profesional gred DA, DB, DBA, DC, DG, DGA, DM, DS, DU, DUG, guru di Akademi Fantasia, sekolah pondok dan juga kepada semua guru yang layak dipanggil guru.

Di kesempatan ini juga BR ingin menjerit: "Tanpamu siapalah aku..." (perlu disebut intonasinya sama macam Hattan nyanyikan dalam lagu "Rona Rona Cinta") He.. he..

Terimalah sebuah sajak yang tidak seberapanya ini:


Dia Seorang Guru

Dia seorang guru tua sebuah sekolah
terdidik dalam negeri tanpa berjela ijazah
penunggu setia sekolah desa bukan cuma ganjaran upah
tidak juga mengharap kemilau gelar dan anugerah
sekadar kerelaannya menggenggam suatu amanah

yang mengangkat harga diri dan maruah
dengan berbekalkan keyakinan dan hikmah
dengan kelkhlasan had dan pasrah
dengan tidak mengenal jemu dan penat-lelah
yang diperkirakan kepuasan diri membangun ummah
berlandas paksi yang jelas dalam tuju-arah

Dia seorang guru pengganti ayah ibu
dia seorang guru pembentuk generasi baru
dia seorang guru pembina insan sepadu
dia seorang guru pewaris tamadun ilmu
yang terus hidup sepanjang waktu
diimbau berbunyi dilihat bertemu.

Ismail Haji Adnan
1989


* Selamat manyambut Hari Guru di peringkat sekolah meskipun ada pekeliling yang menghadkan waktu sambutannya. Ini hari anda, raikanlah ia dengan penuh kegembiraan kerana mungkin pihak yang mengeluarkan pekeliling itu telah terlupa bahawa suatu ketika dahulu mereka juga pernah menjadi seorang guru...


************************************************************


Profesion guru bukan 'main-main'.
- faktor gaji, beban kerja luntur minat.


Sumber: Berita Minggu 15.05.2011

Profesion perguruan yang pernah menjadi pilihan graduan atas faktor gaji dan waktu bekerja kini bukan lagi suatu tarikan kepada anak muda berikutan perubahan gaya hidup sosial mereka.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata faktor subjek pembelajaran dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi (IPT) yang lebih menumpukan kepada jurusan sains gunaan dan teknikal juga menjadi punca anak muda kurang berminat menjadi guru.

"Untuk menjadi seorang guru, mereka harus dididik dengan sains sosial tapi kebanyakan golongan muda kini menganggap sains sosial sebagai satu jurusan yang membosankan.

"Orientasi hendak menjadi guru perlu ada elemen sosial dan artistik yang tinggi. Tapi anak muda kini lebih berminat kepada perkara yang bersifat realistik seperti penerokaan dan penciptaan,"

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata profesion guru bukan satu kerjaya 'main-main' kerana kriteria paling penting ialah individu itu perlu mempunyai minat dan sikap kasih terhadap kanak-kanak.

"Kita perlu didik perlahan-lahan kerana tidak semestinya jika hari ini menjadi guru, hari ini perasaan cinta terhadap kerjaya itu timbul. Jika hanya kerana desakan kerjaya dan tidak boleh memupuk perasaan itu, baik usah menjadi guru," katanya.

Sama-samalah kita nantikan apakah pengumuman penting yang akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Sambutan Hari Guru hari ini...

"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara".


Moral Value: Mengaji mesti berguru...


Nota:
Bersempena dengan sambutan Hari Guru ini juga, untuk beberapa posting yang akan datang BR akan mengimbau kembali kisah silam seorang guru pelatih. Berkunjunglah lagi dan selamat mengikuti kisah silam yang blues itu...


14 May, 2011

Buku Sejarah Malaysia Darjah Enam


Entri ini sebenarnya telahpun dipaparkan pada 12.05.2011 yang lalu tetapi oleh kerana entah apa yang telah berlaku kepada Blogger baru-baru ini, kesannya ialah posting ini termasuklah dengan komen-komen yang dikemukakan oleh pembaca telah 'hilang' daripada blog ini secara tiba-tiba. Hairan memanglah hairan tetapi tidaklah menghairankan sangat kerana biasalah apabila menggunakan perkhidmatan yang percuma ini.

Tetapi mujurlah cuma satu post sahaja yang hilang, kalau semuanya hilang, memang nak kena terminate dah blog ni. Walau bagaimanapun mujur lagi sekali di mana BR sempat membuat backup bagi setiap post, cuma yang tidak boleh diselamatkan ialah komen-komen pembaca yang telah hilang.

Kepada pembaca yang ingin membuat komen semula dan komen daripada pembaca baharu amatlah dialu-alukan. Oleh itu marilah kita ikuti semula ulang tayang kisah Buku Sejarah Malaysia Darjah Enam ini. Sebarang kesulitan amatlah dikesali...

Setelah kita mengikuti kisah buku teks Sejarah Malaysia Darjah Empat, kali ini marilah sama-sama kita ikuti pula kisah buku teks Sejarah Malaysia Darjah Enam yang pernah kita gunakan semasa di darjah 6 suatu masa dahulu. (Sila klik untuk besarkan setiap imej).


Kulit hadapan buku yang menunjukkan gambaran pelukis mengenai sebuah bangunan hospital atau sekolah yang memiliki ciri-ciri reka bentuk moden.


Pada kulit belakang buku pula yang membawa gambaran pelukis mengenai permodenan sistem jalan raya dengan gambaran seperti sebuah lebuh raya seperti yang dapat kita lihat sekarang. Jelas sekali bilangan kenderaan di atas jalan raya tidaklah sesibuk pada hari ini.


Diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka 1984. Hakcipta oleh Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Khoo Kay Kim dan Muhd. Yusof bin Ibrahim 1979. (Penulis-penulis ini merupakan sejarawan negara yang terkenal sehingga ke hari ini).

Buku teks ini boleh dikatakan baharu juga kerana sebelum ini pelajaran Sejarah adalah dikenali sebagai pelajaran Tawarikh. Cetakan pertama ialah pada tahun 1979 dan cetakan kedua (dengan pembetulan) pada tahun 1980. Sejarah pun boleh buat pembetulan juga? Buku ini telah diulang cetak sebanyak enam kali sehingga tahun 1984 dan dicetak oleh Penerbitan Adabi Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Secara keseluruhannya buku ini mengandungi berbagai aspek sejarah yang diharap akan menambah pengetahuan murid-murid tentang Sejarah Malaysia dan negara-negara lain. Sejarah tokoh-tokoh dan pejuang-pejuang Malaysia serta tokoh-tokoh daripada negara lain dikemukakan supaya murid boleh melihat dan mencontohi perkara-perkara baik yang telah dilakukan oleh mereka.

Murid akan dapat mengetahui bagaimana beraninya Dol Said dan Rentap, bagaimana rajin dan pandainya Za'ba, Joseph Lister, Alexander Graham Bell dan lain-lain lagi.


Isi Kandung terdiri daripada 16 topik pelajaran yang dipersembahkan melalui gaya penulisan yang mudah difahami beserta dengan ilustrasi-ilustrasi yang menarik sesuai dengan tahap penerimaan murid-murid pada waktu itu. Sungguhpun demikian, tajuk-tajuk pelajarannya bolehlah dikatakan agak berat juga memandangkan murid perlu mengingati beberapa nama tokoh dan tarikh-tarikh penting yang berlaku.


Isi Kandungnya:

1. Kemunculan Kuasa Portugis dan Kedatangan mereka ke Melaka.
2. Jatuhnya Melaka dan Kesan-kesan Portugis.
3. Empayar Johor-Riau.
4. Empayar Johor-Riau dan Orang Bugis.
5. Belanda di Tanah Melayu.
6. Pemecahan Empayar Johor-Riau.
7. British di Tanah Melayu.
8. Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu.
9. Penentangan Tokoh-tokoh Tempatan terhadap British.
10. Sarawak, Sabah dan Kedatangan British.
11. Penentangan terhadap British di Sarawak dan Sabah.
12. Perkembangan Ekonomi.
13. Sistem Pendidikan.
14. Perkembangan Sistem Pendidikan.
15. Perkembangan Perkhidmatan Kesihatan dan Perubatan.
16. Pengangkutan dan Perhubungan.

Terdapat juga soalan-soalan latihan lisan dan objektif yang dikemukakan di akhir tajuk pelajaran sebagai langkah pengukuhan. Kita ikuti cabutan beberapa tajuk pelajaran yang sempat dipaparkan.


Tajuk Pelajaran 1: Kemunculan Kuasa Portugis dan Kedatangan mereka ke Melaka.

Topik ini berkisar mengenai sejarah kemunculan kuasa Portugis dan kedatangan mereka ke Melaka. Beberapa tokoh pelayaran seperti Putera Henry Ahli Pelayaran, Christopher Columbus, Vasco da Gama, Alfonso de Albuquerque (Cikgu Mat Isa menyebut sebagai Alfonso di ibu kaki) turut diperkenalkan.

Topik ini juga menceritakan mengenai kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada 24 Ogos 1511 dan penentangan rakyat Melaka terhadap Portugis. Kisah Sultan Ahmad Syah, Tun Fatimah, Laksamana Khoja Hassan dan beberapa tokoh penentang yang lain turut diceritakan. Sedih apabila membaca kisah ini dan mulalah teringatkan lagu nyanyian Kumpulan Bumiputra Rockers "1511" yang mengisahkan mengenai pejuang-pejuang yang mempertahankan Melaka ini.


Tajuk Pelajaran 4: Empayar Johor-Riau dan Orang Bugis.

Topik ini ialah mengenai kewujudan kuasa-kuasa Melayu bermula daripada zaman Aceh, Johor-Riau, Peperangan Jambi dan asal-usul orang Bugis di Tanah Melayu. Salasilah Raja-Raja Selangor juga turut dipaparkan bersama dengan kisah Raja Haji seorang pahlawan Bugis yang terbilang pada waktu itu.


Tajuk Pelajaran 7: British di Tanah Melayu.

Berkisar kepada kedatangan British di Tanah Melayu. Murid didedahkan dengan apakah tujuan Inggeris menubuhkan Syarikat Hindia Timur, penentangan terhadap Inggeris di Pulau Balambangan, kegiatan ekonomi British di kawasan Selat Melaka, Negeri-negeri Selat, Sistem Residen dan sebagainya.

Beberapa orang tokoh British seperti Francis Drake, Francis Light, Alexander Dalrymple dan Sir Andrew Clarke juga turut diperkenalkan selain daripada tokoh-tokoh tempatan seperti Sultan Abdullah dan beberapa orang Pembesar Negeri Perak.

Secara peribadi, memang cukup hebat isi kandungannya dan tidak hairanlah jika murid-murid hari ini dikatakan buta sejarah kerana mereka tidak pernah mempelajari sejarah sebagaimana yang telah kita pelajari pada waktu dahulu...


Tajuk Pelajaran 9: Penentangan Tokoh-tokoh Tempatan terhadap British.

Tajuk ini berkisar mengenai penentangan tokoh-tokoh tempatan terhadap British di mana Cikgu Mat Isa begitu bijak menyampaikan pengajarannya bagi membangkitkan semangat patriotisme
dikalangan murid-muridnya pada waktu itu.

Dimulakan dengan penentangan terhadap British oleh Sultan Kedah, Dol Said, Datuk Kelana Sungai Ujung, Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Sultan Ahmad Pahang, Haji Abdul Rahman Limbung dan beberapa orang tokoh pejuang yang lain yang sanggup menggadai nyawa demi mempertahan tanah air daripada penjajahan...


Tajuk Pelajaran 13: Sistem Pendidikan.

Mengenalkan murid kepada sistem pendidikan negara bermula daripada Zaman Kerajaan Melayu Melaka, Zaman Portugis dan Belanda serta di zaman Inggeris dan Negeri-negeri Selat. Disentuh juga mengenai kemasukan buruh Cina dan India yang telah mempengaruhi sistem pendidikan pada waktu itu. Turut disentuh ialah mengenai perkembangan Sekolah Melayu sehingga Perang Dunia yang Pertama dan sehingga selepas Perang Dunia yang Pertama.

Beberapa orang tokoh pendidikan seperti Buyong bin Adil, Ibrahim bin Yaakob, Za'ba (Zainal Abidin bin Ahmad), Abdul Hadi bin Haji Hassan, Nordin Haji Harun, Muhammad Isa bin Mahmud, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan sebagainya turut juga diberi perhatian terhadap sumbangan mereka terhadap perkembangan sistem pendidikan negara dan politik pada waktu itu.


Demikianlah serba sedikit imbauan mengenai apa yang telah dipelajari oleh murid-murid pada waktu itu bagi subjek Sejarah ini. Jika pada hari ini ramai murid sekolah rendah yang tidak mengenali siapakah itu Datuk Dol Said, Datuk Kelana Sungai Ujung, Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Sultan Ahmad Pahang, Haji Abdul Rahman Limbung dan beberapa nama lain pejuang negara, janganlah disalahkan mereka kerana mereka tidak pernah mempelajari perkara itu dan memang layaklah murid-murid hari ini dikatakan buta sejarah...


"Bagai padang jarak padang terkukur,
Yang mengkebumi ratusan perwira,
Mengalir darah masih hangat,
Menuntut pembela Bangsa,
Negara, Agama di kemudian hari..."


Moral Value: Teringat kata-kata mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad, "Melayu mudah lupa..."


10 May, 2011

Calculator Casio Film Card SL-800


Setelah sekian lama semenjak kisah Electronic Calculator Sharp Elsi Mate EL-206 yang telah disiarkan kira-kira setahun yang lalu, entri kali ini kita ikuti satu lagi kisah kalkulator yang dikira agak istimewa memandangkan bentuknya yang nipis, senipis kad pengenalan ini.


Mempunyai beberapa button asas sesebuah kalkulator dan sesuai juga untuk dibawa shopping atau recalculate di restoran mamak yang selalunya mengira makanan mengikut 'sedap mulut' sahaja.

Kalkulator ini BR miliki hadiah daripada seorang sahabat baik di tahun 1983 iaitu kira-kira 28 tahun yang lalu dan masih disimpan dengan baik di samping masih boleh digunakan lagi.

Agak sadis juga kerana sahabat yang menghadiahkan kalkulator ini telahpun meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Itupun cuma diketahui setelah BR sekeluarga pergi berhari raya di rumah arwah setelah sekian lama tidak bertemu dan bertanya khabar. "Yet dah tak ada.." itulah kata-kata abang iparnya yang menyambut ketibaan kami.

Menurut keluarganya, pemergian beliau juga agak tragis kerana meninggal keseorangan di dalam bilik rumah yang disewanya di Jalan Pahang, KL akibat 'kerosakan' paru-paru sehinggalah disedari oleh rakan sebiliknya yang pulang dari kerja. Sampai sekarang BR masih tertanya-tanya dan agak pelik juga kerana arwah bukanlah seorang perokok yang selalunya dikaitkan dengan punca utama penyakit berkaitan paru-paru ini.

Mungkin suatu hari nanti BR akan keluarkan satu entri khas mengenai arwah Mohd Akhir ini kerana secara kebetulan arwah amat meminati lagu "Tarikan Nafasku Yang Terakhir" terutama pada verse terakhir nyanyian Tetty Kadi dan sehingga ke akhir hayatnya juga arwah masih belum berkahwin.


Bergambar bersama arwah (kanan) di Central Market, KL di sekitar tahun 1985. Arwah yang juga dikenali dengan panggilan "Yet" ini pernah memberitahu BR bahawa senyuman wanita yang paling disukainya ialah senyuman Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman.


Berbalik mengenai kisah kalkulator atau mesin kira yang telah BR simpan sejak sekian lama ini. Apa yang istimewa mengenai kalkulator ini ialah ia hanyalah sebesar dan senipis kad pengenalan. Bersaiz kira-kira 8.5cm x 5.5 cm dengan berketebalan kira-kira 1mm sesuai dengan namanya Film Card. Amat sesuai untuk diletakkan di dalam dompet bersama-sama barisan kad kredit yang dimiliki.

Bahagian belakang kalkulator yang tertera dengan jelas buatan Jepun. Jika dilihat apalah sangat pada kalkulator ini, tetapi ianya sungguh istimewa untuk disimpan bagi mereka yang mengerti...


Al-fatihah untuk allahyarham Mohd Akhir bin Nayan.
*Allahyarham juga merupakan adik bongsu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di salah sebuah negara jiran.

08 May, 2011

Selamat Hari Ibu


Ucapan kepada ibu, semua ibu dan bakal ibu...


Kasihnya Ibu

Kasihnya ibu membawa ke syurga
Kasihnya saudara masa berada
Berkorban raga rela binasa
Berkorban nyawa tanda kasihnya

Berkorban raga rela binasa
Berkorban nyawa tanda kasihnya

Kasihnya ayah sanggupkah berpisah
Dan kasih anaknya berkorban nyawa
Biarpun jiwa akan tersiksa
Ikhlas dan rela tanda kasihnya

Biarpun jiwa akan tersiksa
Ikhlas dan rela tanda kasihnya

(Allahyarham Tan Sri P. Ramlee/S. Sudarmaji)



Moral Value: Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah S.A.W., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah S.A.W, "Ibunya".


05 May, 2011

Majalah Sensasi (Kulit Nipis)


Bila disebut sahaja nama Majalah Sensasi, tentunya pembaca akan terbayangkan sebuah majalah yang menceritakan mengenai dunia glamour artis dan selebriti yang penuh dengan sensasi. Sebaliknya Majalah Sensasi yang BR paparkan ini merupakan sebuah majalah yang menggunakan nama yang sama tetapi mengisahkan mengenai dunia permotoran yang telah diterbitkan kira-kira 23 tahun yang lalu.

Fakta di sebalik itu ialah rupa-rupanya telah ada sebuah majalah di Malaysia yang menggunakan nama "Sensasi".


Majalah Sensasi ini merupakan sebuah majalah berbahasa Melayu yang diterbitkan khusus untuk peminat kereta motor dan diterbitkan secara bulanan. Keluaran sulung atau keluaran pertama majalah ini ialah pada bulan Ogos 1988. Isi kandungnya mencakupi paparan maklumat mengenai kereta motor seperti uji pandu kereta dan motosikal, rencana, gambar, kartun dan tip-tip permotoran seperti kebiasaan terdapat pada majalah permotoran masa kini.


Pada waktu itu (23 tahun yang lalu) sememangnya agak sukar untuk memperolehi sebuah majalah kereta motor terutamanya yang berbahasa Melayu. Sungguh berbeza dengan sekarang di mana terdapat berbagai majalah yang menceritakan mengenai kereta motor sama ada berbahasa Melayu atau Inggeris seperti majalah Kereta, Evo, Stereng, Motokar, 4WD, Asia Motor, Top Fuel, Autozoom, Motor Trader, K-Kar, Ekei, Hypertuned, Otomania, Putera, Cars.my, Wheels dan sebagainya.


"HANYA UNTUK LELAKI. WANITA DILARANG MEMBELI". Satu gimik pemasaran yang sungguh menarik untuk memikat kaum wanita membelinya kerana secara psikologinya sudah tentu wanita akan meronta-ronta untuk mengetahui apakah isi kandungnya.


Diterbitkan oleh Penerbitan Bayan, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur dan apa yang menariknya di sini ialah senarai orang kuat sidang redaksi di sebalik terbitnya majalah ini ialah senarai mereka yang kebanyakkannya terlibat dengan penerbitan majalah Gila-Gila dan merupakan pelukis terkenal seperti Jaafar Taib, Azman Yusof dan Zainal Buang Hussein yang juga merupakan pelukis yang BR kagumi di samping sungguh teruja dengan hasil tangan mereka.

Bagaimana orang seni boleh terlibat pula dengan penerbitan majalah berbentuk permotoran ini? Cikgu Kema tentu lebih arif mengenai perhubungan antara seni dan permotoran ini.

Penasihat: Jaafar Taib
Perunding: Azman Yusof
Penerbit: Zainal Buang Hussein
Editor Teknik: Sazili Yusof
Produksi Grafik: Rosli Abd. Hamid
Pengurusan: Siti Hawa Paiman
Penulis Khas: Elias Idris
Pengarang Kumpulan: Adi Alhadi
Pemasaran: Maznan Noordin
Editor Bersekutu: Banni Ali


Salah sebuah motosikal yang direview iaitu motosikal Honda NR750 yang beromboh bujur ditulis oleh Harabumi Sato lengkap dengan lukisan teknikalnya sekali. Cikgu Zmah tentunya lebih arif mengenai motosikal ini. Jika masih wujud pun sudah tentu motosikal ini boleh dikategorikan sebagai 'motosikal lama'.


Contoh mini Poster Sensasi catan air brush yang terdapat di tengah-tengah majalah untuk peminat pada waktu itu menampalnya di dinding bilik. Memang sudah menjadi adat mana-mana bilik anak bujang mesti akan menampal poster kereta motor selain daripada gambar selebriti yang diminati. Sewaktu remaja dahulu BR juga tidak terkecuali tetapi Amy Lela Dewi Chandran seorang peragawati tahun 1990-an yang lebih menjadi pilihan. He.. he..


BR juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti keluaran majalah ini daripada keluaran pertama tanpa putus sehinggalah pengeluarannya telah diberhentikan iaitu kira-kira dua setengah tahun selepas itu iaitu pada keluarannya yang ke-27. Inilah di antara beberapa buah majalahnya yang masih berada di dalam simpanan.

Untuk pengetahuan, sungguhpun pengeluaran Majalah Sensasi (kulit nipis) ini telah terhenti pengeluarannya tanpa sebab-sebab yang tidak diketahui, tiba-tiba ia muncul semula dengan konsep yang masih sama dan telah menemui pembaca pada keluaran pertamanya iaitu pada 1 Oktober 1991.

Masih mengekalkan beberapa nama sidang redaksinya yang terdahulu tetapi telah diberi wajah baharu dengan berkulit tebal. Jika berkesempatan insyaAllah akan BR paparkan pula pada postingan yang akan datang mengenai Majalah Sensasi berkulit tebal ini.

Kepada pembaca yang mempunyai sebarang maklumat tambahan mengenai Majalah Sensasi (kulit nipis) ini, silalah berkongsi maklumatnya bersama.


03 May, 2011

Norway: Midnight sun at North Cape Postcard


To put the record straight, the North Cape, a magnificent sheer granite cliff face towering above the island of Mageroya in northern Norway, high above the Arctic Circle, is not, as many people consider it to be, the most northerly point in mainland Europe. However, viewing the midnight sun on Norway's North Cape is an unforgettable experience, the sun sinks majestically toward the horizon but then stops, hanging in the sky; a giant red ball over a pristine, golden sea. Then it begins to rise again.


Its 307 m high, steep cliff is often referred to as the northernmost point of Europe, However, the neighbouring point Knivskjellodden is actually 1,457 metres further north. Moreover, both of these points are situated on an island, which means the northernmost point of mainland Europe is in fact Cape Nordkinn (Kinnarodden), about 20 km from the village of Mehamn.


The North Cape was named by English explorer Richard Chancellor in 1553 when he passed the cape in the search for a Northeast passage. From then on, it was occasionally visited by daring explorers who climbed the steep cliff face to the plateau; famous visitors include King Oscar II of Sweden and Norway in 1873 and Thailand's King Chulalongkorn in 1907. A road was opened to the North Cape in 1956. Today, the North Cape is a major tourist attraction.


Memerhati pemandangan matahari jatuh memang sungguh mengasyikkan. Teringat BR suatu ketika dahulu di tahun 1980-an sebuah drama bersiri yang ditayangkan di TV bertajuk "Lure Of Sunset" yang mengisahkan tentang kasih sayang dan pengorbanan...



Untuk maklumat lanjut mengenai North Cape ini, sila ke: Wikipedia/North Cape


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'