30 June, 2010

Ray Ban Pertama Aku...


Inilah cermin mata hitam yang pertama aku miliki kira-kira 25 tahun yang lalu. Waktu itu penggunaan cermin mata ini sangat penting terutama ketika bermotosikal. Selain daripada dapat mengelakkan daripada mata termasuk habuk, ianya juga boleh membuatkan mata menjadi 'sejuk' ketika cuaca panas dan dapat menghindari mata daripada pancaran UV (Ultra Violet).



Pada waktu itu harganya murah sahaja dan mampu dimiliki oleh setiap orang berbeza dengan harga sekarang di mana lebih tinggi berlipat kali ganda. Jenama Ray Ban boleh dikira sebagai salah satu jenama yang berkualiti bagi cermin mata yang telah lama berada di pasaran.



Memang bergaya habis dan boleh menambahkan gaya 'kehanseman' si pemakai. Bekas menyimpan kaca mata ini juga boleh digayakan dengan menyelitkannya dipinggang sepertimana kebanyakan orang meletakkan telefon bimbit di pinggang.



Cetakan 'BL' (Bausch &n Lomb) sebagai tanda ketulenan yang terdapat di cermin kaca mata. Pada cermin mata Ray Ban keluaran sekarang, cetakan 'BL' ini telah ditukarkan dengan 'RB'.



Juga terdapat tulisan B & L Ray Ban U.S.A. tertulis di bahagian atas cermin mata. Bagi cermin mata hitam yang baharu keluaran Ray Ban, tiada lagi U.S.A ini sebaliknya telah digantikan dengan Made In Italy.


Sudah lama aku tidak menggunakannya kerana telah ada yang baharu. Cermin mata ini mengingatkan aku kepada suatu ketika dahulu ianya pernah dipinjamkan dan dipakai oleh nenek selepas beliau menjalani pembedahan mata. Selepas nenek meninggal, cermin mata ini disimpan sahaja tanpa ada sesiapa mempedulikannya lagi...


29 June, 2010

Setem ada lagi...!


Bila sudah alang-alang bercerita mengenai setem, mari kita ikuti lagi pendedahan ekslusif setem-setem yang terdapat di dalam album ini... he.. he..


Album setem pun sudah memang nampak klasik.. Dibeli di tahun 1970-an.
























Sebenarnya setem-setem ini mempunyai nilainya yang tersendiri kerana terkenangkan di zaman kanak-kanak dahulu dimana aku telah memaksa emak untuk membeli sebuah album setem. Juga terkenangkan menggeledah di tempat-tempat pembuangan sampah mencari sampul-sampul surat terbuang yang bersetem, bergaduh dan berebut dengan rakan-rakan hanya kerana setem...


28 June, 2010

Setem Lama Berharga RM5 Juta


Setem RM5 Juta jadi tarikan.


Fuuh! Alangkah bahagianya kalau akulah yang memiliki setem ini...
(Sila klik untuk besarkan image)




-Sumber: Mingguan Malaysia 21.03.2010


Tak payah RM5 juta, RM1 juta pun kira orait la tu.. he.. he..


Lalu aku pun selongkarlah khazanah lama iaitu sebuah album setem yang mengandungi setem-setem yang pernah aku kumpul semasa kanak-kanak dahulu. Album setem ini memang tidak pernah dicampur-adukkan dengan setem-setem yang aku miliki setelah dewasa kerana setem-setem yang terdapat di dalam album ini memberi satu nostalgia ketika mula-mula berjinak-jinak mengumpul setem ketika berusia 10 tahun. So, don't judge the album by its cover... he.. he..


Sebenarnya memang terlalu banyak setem-setem yang aku miliki tetapi masih melekat di sampul surat atau di sampul surat yang telah dipotong. Ada juga setem-setem yang masih melekat pada resit atau dokumen perjanjian pada zaman dahulu. Kebanyakan setem-setem adalah dari zaman Malaya yang sukar didapati sekarang.


Kononnya untuk melengkapkan set 13 negeri di dalam Malaysia, tetapi sehingga sekarang tidak pernah lengkap.

Pelbagai setem Malaya. Sebahagian besarnya masih lagi di dalam bekas plastik yang belum sempat 'diproses'. Setem-setem dari luar negara pun banyak juga.


Di zaman kanak-kanak dahulu aku selalu mencari setem di tempat pembuangan sampah pejabat-pejabat kerajaan berhampiran. Memang banyak setem-setem yang boleh didapati terutamanya di Pejabat Daerah atau Pejabat Tanah.



Selain daripada itu setem-setem ini juga didapati dengan cara bertukar-tukar dengan kawan dan juga pemberian daripada saudara-mara.


Demikianlah sebahagian daripada koleksi setem yang terdapat di dalam album setem di zaman kanak-kanak dahulu. Sebenarnya hobi ini telah diteruskan dengan mengumpul poskad dan sampul surat hari pertama pula apabila telah meningkat dewasa. Memang banyak poskad-poskad di dalam dan di luar negara begitu juga dengan sampul-sampul surat hari pertama yang telah dikumpul. Jika hendak dipaparkan di dalam blog ini takut nanti jadi blog filateli la pulak. Walau bagaimanapun ianya tetap akan diselitkan juga nanti.


27 June, 2010

Lesen P.S.V. Dan G.D.L. @ 'Chapras'


Suatu ketika dahulu fenomena pemandu-pemandu kenderaaan awam seperti teksi dan bas dan juga sebarang kenderaan pengangkut barang-barang seperti lori dan van termasuklah konduktor bas atau 'kolet bas' memakai lencana seperti ini adalah satu perkara biasa sama ada disematkan atau disangkutkan di poket hadapan baju. Konduktor bas sekolah aku dahulu menyangkutnya di pinggang dengan penuh 'eksennya'.


Ini ialah Lencana Public Service License (P.S.V) yang digunakan oleh pemandu-pemandu perkhidmatan awam seperti teksi, kereta sewa dan bas. Masih lagi menggunakan ejaan lama iaitu 'Negeri2 Tanah Melayu' diikuti dengan nombor siri lencana serta perkataan 'Kereta Perkhidmatan Awam Derebar'.


Sekarang zaman sudah berubah, tiada lagi kelihatan mereka yang disebutkan di atas memakai lencana seperti ini meskipun undang-undang untuk memiliki lesen ini masih kekal cuma pemakaiannya sahaja dimansuhkan kerana telah diganti dengan lesen yang berbentuk kad. Mungkin terdapat rungutan di kalangan pemakainya atas pelbagai sebab.


Untuk mendapatkan lesen ini, beberapa syarat telah dikenakan termasuklah sihat tubuh badan dan perlu lulus peperiksaan yang telah ditetapkan. (Sila rujuk dengan JPJ untuk maklumat lanjut).


Untuk pengetahuan, lencana-lencana ini juga dipanggil 'Chapras'. Sehingga kini akupun tidak pasti apakah maksud sebenarnya Chapras itu. Mungkin juga pinjaman daripada perkataan Inggeris yang telah di Melayukan seperti 'Up and stand' menjadi 'Ooop Pat Tin' (kata-kata untuk menyuruh kanak-kanak bangun berdiri) di dalam bahasa Melayu.


Ini pula ialah G.D.L. (Good Driver's Licence) digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan yang mengangkut barang-barang seperti lori dan van.


Juga masih menggunakan ejaan Bahasa Melayu lama iaitu 'Derebar Kereta2 Pengangkut Barang2'.


Satu lagi contoh G.D.L. (Good Driver's Licence) dengan nombor siri lesen yang berlainan.


Lencana G.D.L versi terbaru kerana terdapat perkataan 'Malaysia' bagi menggantikan 'Negeri2 Tanah Melayu' dan 'Pemandu Kenderaan Barang-barang' bagi menggantikan perkataan 'Derebar Kereta2 Pengangkut Barang2'. Juga terdapat tulisan 'JPJ' yang merujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan iaitu jabatan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen ini.


Terdapat tulisan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) di belakang sarung lencana. Apa yang paling mengingatkan aku kepada lencana ini ialah telatah seorang pemandu teksi yang pernah aku naiki menjadi begitu kelam-kabut kerana lencananya telah hilang ketika ditahan oleh polis.


26 June, 2010

Pemotong Telur...


Ini ialah pemotong telur rebus yang akupun tidak pasti berapakah usia sebenarnya. Digunakan sejak turun temurun, tahan lasak dan tidak berkarat kerana diperbuat daripada aluminium dan masih digunakan sehingga kini.


Pada waktu inipun masih ada lagi pemotong telur seperti ini, tetapi kebanyakan materialnya ialah daripada plastik sama ada buatan tempatan ataupun buatan China.


Semasa kanak-kanak dahulu, selalu aku gunakan pemotong telur ini sebagai gitar. Emak selalu marah bimbangkan dawainya akan terputus.


Dawai-dawai yang bertindak sebagai pemotong telur. Untuk makluman, dawainya juga tidak berkarat setelah sekian lama.


Buatan England daripada produk 'Jala'. Amat sesuai dan perlu ada di dapur-dapur yang bercirikan Gaya Inggeris.


Cuma perlu letakkan sahaja sebiji telur rebus yang telah dibuang kulitnya di tengah-tengah acuannya, kemudian tekanlah dawai tersebut sehingga ke bawah untuk membelah telur. Sila pastikan telur yang hendah dibelah tadi betul-betul direbus dengan sempurna kerana pemotong telur ini amatlah tidak sesuai bagi telur yang lembik atau kurang masak.


Hasilnya telur tadi akan terbelah dengan 11 bahagian setebal kira-kira 5mm setiap satu belahan dengan tersusun, anak muda andapun pasti berebut-rebut untuk melakukannya untuk merasai pengalaman membelah telur...


Inilah hasilnya, amat sesuai digunakan oleh penjual nasi lemak, mee, laksa atau apa-sajalah makanan yang berasaskan penggunaan telur. Telur akan terpotong dengan begitu cantik dan penuh sopan santun apabila dihidangkan.


25 June, 2010

Bekas Tupperware Old Skool...


Pulang bercuti di kampung baru-baru ini masih sempat lagi menggeledah barang-barang lama atau harta pusaka yang tersimpan di dalam rumah. Rupa-rupanya masih banyak lagi khazanah dan harta karun yang belum diterokai yang mana rata-ratanya cukup mengimbau kenangan di masa lalu untuk kita kongsikan bersama.



Salah satunya ialah bekas Tupperware ini. Untuk pengetahuan, bekas Tupperware ini memang mempunyai nostalgianya yang tersendiri kerana bekas inilah yang pernah aku gunakan sewaktu membawa bekal ke sekolah di tahun 70-an dahulu.


Sudah uzur tetapi masih boleh digunakan lagi. Itulah penangan Tupperware, alah membeli menang memakai... (merujuk pada waktu itu la...).


Sudah pastilah ianya Tupperware lama buatan U.S.A yang cukup tahan lasak berbanding dengan barangan Tupperware buatan sekarang.



Masih terbayang lagi ianya terisi dengan nasi putih, telur goreng dan kicap. Makanan blues kegemaran aku. Bukannya tiada makanan lain untuk dibawa, tetapi memang itulah makanan yang paling digemari, mudah dan ringkas untuk disediakan.


Wang saku bawa juga 15 duit (15 sen) pada waktu itu untuk membeli air, kuih atau ais krim. Nilai 5 sen masih lagi digunakan dengan harga makanan di kantin hanya disekitar 5 sen dan 10 sen seperti mee, bihun, laksa dan nasi lemak ikan bilis yang dihidangkan di dalam pinggan ayan. Tetapi jarang benar aku ke kantin kerana lebih selesa berkelah bersama rakan-rakan di bawah pokok atau di tepi kelas pada waktu rehat.



Pada waktu rehat, beberapa rakan sekelas dan rakan-rakan dari kelas sebelah akan berkumpul di bawah sepohon pokok arkasia sambil menikmati bekal masing-masing. Berbual-bual dari hal-hal semasa sehinggalah kepada rancangan TV yang telah ditonton malam tadi sambil berkongsi-kongsi bekalan yang dibawa. Bila dah selesai makan, MAIN... sehingga loceng tamatnya waktu rehat berbunyi. (Loceng tembaga ketukan manual).


Sungguh enjoy pada waktu itu, pergi ke sekolah seperti hendak pergi berkelah dan cukup santai tanpa menjinjing beg yang berat dan terbeban dengan pelbagai aktiviti pembelajaran seperti kanak-kanak sekarang. Zaman persekolahan pada waktu itu tidak 'membunuh' zaman kanak-kanak walhal pada waktu itu Peperiksaan Penilaian Darjah Lima jika dibandingkan adalah setaraf dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekarang...


24 June, 2010

Cuti-cuti Malaysia 2010 (Hari Terakhir)



Hari Terakhir: 11.06.2010 (Jumaat)

Perjalanan akan diteruskan ke Pulau Pinang melalui Lebuhraya Timur-Barat.


Pemandangan yang biasa kita lihat di negeri Kelantan iaitu salah sebuah negeri yang dipimpin oleh Kerajaan Negeri PAS.


Perjalanan menyeberangi Sungai Kelantan.


Iklan Ubat Cap Kaki Tiga yang menarik perhatian di bandar Tanah Merah. Teringat aku semasa kanak-kanak dahulu berpura-pura batuk semata-mata untuk menikmati kelazatan ubat batuk Cap Kaki Tiga ini.



Singgah shopping di Bukit Bunga iaitu tempat membeli-belah barangan daripada Thailand yang terkenal di Kelantan.


Keindahan Tasik Banding yang boleh dilihat ketika melalui Lebuhraya Timur-Barat melalui Jeli-Grik.


Lebuhraya Grik-Butterworth yang telah siap sepenuhnya dan memberikan keselesaan dan menjimatkan masa.


Anak-anak mula keletihan dan masing-masing tertidur.


Tiba di kampung (Permatang Pauh, Seberang Perai) jam 4.30 p.m. ODO meter kereta menunjukkan 1,533 km perjalanan. Syukurlah semuanya selamat dan menikmati percutian yang cukup menggembirakan. Lengkaplah sudah satu perjalanan panjang yang menempuhi negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.


Menghabiskan cuti di kampung sehingga Khamis 17.06.2010 sebelum pulang semula ke Perak.


Moral Value: "Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan"...



23 June, 2010

Cuti-cuti Malaysia 2010 (Hari Ketiga)


Hari Ketiga: 10.06.2010 (Khamis)


Tempat penginapan di Rhu Muda Beach Motel. Sempat juga bertemu dengan En. Zainuddin iaitu rakan setugas yang kampung mertuanya di Kuala Terengganu.


Melayan anak-anak mandi laut sepuas-puasnya. Kelihatan di belakang itu ialah Pulau Kapas yang menjadi tumpuan pelancong di Kuala Terengganu.


Anak-anak begitu gembira bermain pantai, 'bercanda di pasiran pantai... aah.. aah..'


Bersiar-siar sebentar di Jeti Pulau Kapas atau Marang Waterfront untuk menikmati keindahan lautan. Amat bertepatan sekali Kuala Terengganu diberikan jolokan sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.


Mercu tanda di bandar Marang iaitu replika udang dan sotong. Singgah di Pasar Besar Marang untuk membeli serba sedikit makanan seperti keropok, ikan masin, satar dan nasi dagang. Anak yang seorang itu suka sungguh dengan satar, RM15 satar dimakan seorang sahaja...


Untuk pengetahuan, Satar ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan yang dihancurkan dan dicampurkan dengan kelapa serta cili giling. Dibungkus dengan daun pisang berbentuk tiga segi kemudian dicucuk dengan sebatang bilah buluh atau besi seperti satay lalu dipanggang di atas bara api. Ianya sungguh sedap makan panas-panas.



Replika Batu Bersurat yang terdapat di bandar Kuala Terengganu. Terletak di tangah-tengah bulatan jalan utama memasuki ke pusat bandar.



Bersiar-siar di Dataran Shahbandar. Kelihatan bas bandar 'Cas Ligas' yang berbentuk tradional yang dikira satu-satunya yang terdapat di Malaysia. Tidak sesuai untuk perjalanan jauh kerana bimbangkan bumbungnya akan tertanggal. He.. he..


Bila sudah datang ke Kuala Terengganu, memang tidak sahlah jika tidak ke Taman Tamadun Islam yang terkenal dengan Masjid Kristalnya. Kami telah dibawa oleh Pn. Noor Ashikin sebagai pemandu pelancong iaitu rakan setugas orang rumah yang memang berasal dari Kuala Terengganu.


Pemandangan Masjid Kristal yang cukup indah.


Replika Taj Mahal yang terdapat di dalam Taman Monumen. Bayaran dikenakan untuk memasuki taman ini ialah dewasa RM15.00 manakala kanak-kanak dan warga emas RM8.00.


Mendedahkan kepada pengunjung keindahan senibina-senibina Islam yang terdapat pada bangunan-bangunan di zaman lampau.


Singgah sebentar di Pasar Chabang Tiga untuk membeli apa-apa yang patut sebagai buah tangan daripada Terengganu.


Berehat dan makan-makan di rumah Pn. Noor Ashikin lalu kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan. Melalui jalan pesisir pantai dan menempuh bandar Setiu, Kg. Raja, K. Besut dan Pasir Puteh.


Pukul 8.30 p.m. tiba di Kota Bharu. Bermalam di rumah abang di Pengkalan Chepa. Kebetulan pula berlangsungnya Muktamar PAS, memang sukar untuk mendapatkan hotel atau resort yang kosong.


Pertama kali aku menikmati sup belut sewaktu makan malam di sebuah restoran tom yam di Pengkalan Chepa. Memang sedap meskipun sesekali terasa juga 'kembang tengkuk' apabila terbayangkan mengenai fizikal belut itu. Namun tetap aku gagahi juga demi menghormati anak-anak dilihat sungguh berselera menikmatinya...


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'