30 November, 2011

Orang Pertama Melabur


Perdana Menteri Malaysia yang ke-3, Allahyarham Tun Hussein Onn, adalah orang PERTAMA yang membeli Amanah Saham Nasional dengan melabur $10 dan menerima buku pelaburan bernombor 0000001 dari Pengerusi Permodalan Nasional Berhad pada waktu itu, Allahyarham Tun Ismail Ali di majlis pelancarannya kira-kira 30 tahun yang lalu iaitu pada hari Isnin, 20 April 1981 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.


Objektifnya ialah bagi menjana pulangan yang berpatutan dalam bentuk pengagihan pendapatan dan pertumbuhan modal kepada pemegang-pemegang unit melalui pelaburan dalam kepelbagaian portfolio.


Detik yang bersejarah itu telah pula disusuli dengan penyertaan rakyat Bumiputera yang mewakili berbagai-bagai sektor dan pekerjaan yang dijemput menerima buku pelaburan masing-masing dari Perdana Menteri.


Allahyarham Tun Hussein Onn menerima buku pelaburan dari Pengerusi Permodalan Nasional Berhad pada waktu itu, Allahyarham Tun Ismail Ali di majlis pelancarannya pada 20 April 1981.


Wakil sektor petani tanaman campur ialah Encik Nayan Taib dari Perlis, sementara wakil penanam padi pula Haji Zakaria Ariffin dari Kedah.


Gadis Cik Noraini Omar mewakili sektor pengeluaran dari Pulau Pinang dan Perak pula diwakili oleh Encik Hashim Haji Shaari sebagai ketua di sebuah lombong di negeri itu.

Operator pengangkut Encik Ilias Yaakob mewakili Selangor, sementara Wilayah Persekutuan mengemukakan kerani, Encik Borhan Abdullah yang berkhidmat dengan Dewan Bandaraya.


Negeri Sembilan diwakili oleh pekerja sukarela PEMADAM, Encik Hassan Malek sementara Melaka diwakili oleh guru, Puan Shamsiah Abdul Hamid.

Pekerja industri berat, Encik Sadiman Bandi mewakili Johor dan Pahang diwakili oleh peneroka Felda, Encik Sulong Hassan.

Seterusnya, Encik Abdul Rahman Idris, pembantu di pelantar minyak, mewakili Terengganu dan ahli perniagaan kraftangan, Puan Hajah Masnah Yusof dari Kelantan.

Sabah diwakili oleh Cik Flora Mobilik, mewakili industri pembalakan dan Sarawak menghantar Encik Hamdan Samad pekerja industri petroleum.

Encik Hitam Wali Nawan mewakili orang asli, sementara Konstabel Mohd Shah Taib mewakili polis dan Sarjan Faisal Mohd Kassim mewakili pasukan tentera.

Wakil nelayan ialah Encik Abu Bakar Awang, Encik Mohamad Ismail, guru mewakili OKU (Orang Kelainan Upaya) dan Puan Esah Mat Darus mewakili surirumah.

Semoga kemunculan mereka di atas pentas dan menerima buku pelaburan masing-masing akan menggerakkan masyarakat yang diwakilinya untuk sama-sama menyertai Skim ASN itu seberapa segera.


Moral Value: Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

29 November, 2011

Nas Atea


Hidup di dunia ini banyak pancarobanya,
Suka duka, sedih gembira,
Disayangi dan dibenci,
Kita harus tabah dan cekal hati menghadapinya.

Begitulah nasihat Nas Atea seorang rekording artis baharu dalam dunia seni suara kira-kira 29 tahun yang lalu di tahun 1982.


Dengan kelahiran album sulungnya berjudul "Masih Ada Yang Sayang" di bawah label Guntur Records kini tercapailah sudah cita-citanya dan hasrat hatinya sejak dari kecil lagi untuk menjadi rekording artis yang diminati ramai.

Nasmalehan Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Nas Atea sahaja, berusia 23 tahun pada waktu itu dan dilahirkan di Mentakab, Pahang. Nas Atea telah lama menceburkan diri dalam bidang nyanyian. Beliau telah berusaha mengasah bakat bermula dari khemah majlis-majlis perkahwinan di tempatnya hingga membawa kepada pentas hiburan, pub, coffee house dan kelab malam.

Berkat usaha yang tidak mengenal penat dan jemu untuk mengejar cita-citanya, kini telah menjadi kenyataan apabila Guntur Records menawarkannya untuk menjadi rekording artis mereka yang pertama.

Nas Atea menyatakan lapangan nyanyian sudah tidak asing lagi baginya sejak beliau berusia sepuluh tahun. Bagi beliau, menyanyi di coffee house hanyalah semata-mata untuk merintis jalan di samping mencari pengalaman untuk menuju kejayaan.


Bukan Yuna dan Anna Raffali sahaja yang boleh bermain gitar, Nas Atea pun boleh sejak dahulu lagi..


Nas Atea sebenarnya telah mewarisi lapangan seni suara atas galakan dan tunjuk ajar dari kedua-dua orang tuanya, abang dan kakak-kakaknya. Menurut Nas Atea, beliau pernah menganggotai kumpulan muzik Mega yang pernah memasuki pertandingan juara kugiran pada tahun 1972 dan 1973. Di samping itu beliau pernah menjadi penyanyi tetap Avons Group di Mentakab, Pahang.

Kelunakan suara Nas Atea dalam menyampaikan berbagai corak dan irama lagu seperti lagu "Malam Syahdu" dan "Bagaikan Embun Pagi" ciptaan Ikhtiman Ismail menggambarkan kematangan beliau menyampaikan sesebuah lagu itu.

Manakala alunan dan melodi indah dalam lagu "Masih Ada Yang Sayang" dan "Sulaman Kata" ciptaan penerbit albumnya iaitu Afzainizam Ismail membuatkan beliau mempunyai potensi baik untuk menjadi seorang penyanyi popular.


Wajah Nas Atea sekarang.
(Imej carian Google)


Album pertama Nas Atea ini mengandungi sepuluh buah lagu iaitu:

Muka Satu

1. Malam Syahdu - Ikhtiman Ismail/Ally Noor.
2. Tetap Abadi - Afzainizam Ismail/Morzailan.
3. Masih Ada Yang Sayang - Afzainizam Ismail/Anir A.F.
4. Bunga Kasih - Nas Atea/Nas Atea.
5. Sulama Kata - Afzainizam Ismail/Hamzah Saidi.

Muka Dua

1. Kesyukuran (Nasyid) - Afzainizam Ismail/Indon.
2. Bagaikan Embun Pagi - Ikhtiman Ismail/Ally Noor.
3. Senyum Lah Sayang - Ikhtiman Ismail/Ikhtiman Ismail.
4. Pesta Hari Lahir - Ikhtiman Ismail/Ikhtiman Ismail.
5. Sendu Di Pagi Raya - Afzainizam Ismail/Syam.

Penerbit: Afzainizam Ismail.
Terbitan: Guntur Film Production Sdn. Bhd.
Edaran: Warnada Sdn. Bhd.
Susunan Muzik: Afzainizam Ismail bersama Ikhtiman Ismail dan Tik.

27 November, 2011

Trafalgar Square, London.


Trafalgar Square by night in the background St. Martin-in-the-Fields, at the heart of London, is one of the city’s most vibrant open spaces. Located in the heart of London, this popular square is the backdrop for many well-known films and TV shows, and is a common meeting place for events and festivals.


Managed by the Greater London Authority, Trafalgar Square is a landmark in central London enjoyed by Londoners and all visitors alike. It is a lively place often used for a wide range of activities including: special events and celebrations like the Royal Wedding, Olympics One Year to Go, St Patrick's Day and Chinese New Year; filming and photography; and rallies and demonstrations.


Trafalgar square also contains a large number of statues and two fountains by Sir Edwin Lutyens, added in 1939. The square is surrounded by many great buildings.


Untuk maklumat lanjut, sila ke Wikepedia/Trafalgar Square


25 November, 2011

Adat Berkhatan, Perjalanan Ke Alam Remaja


Suatu perkara yang sukar dialami dan dilupakan pada zaman kanak-kanak lelaki ialah "masuk jawi". Masuk jawi merupakan zaman peralihan antara zaman kanak-kanak ke zaman praremaja. Zaman yang menunjukkan taraf kelakian seorang kanak-kanak lelaki yang diberi pengiktirafan sebagai "Orang Muda". Selepas menjalani upacara masuk jawi ini, kanak-kanak tersebut seperti dinaikkan taraf atau mendapat lesen untuk berkawan dan bergaul dengan orang dewasa.


Hukum masuk jawi atau bersunat ini adalah WAJIB bagi lelaki dan perempuan di sisi ulama mazhab syafie.

Di setengah-setengah tempat, masuk jawi dipanggil juga sebagai bersunat, berkhatan ataupun bersuci. Bagi masyarakat Melayu pula, masuk jawi merupakan adat resam nenek moyang yang diamalkan sejak turun-temurun dengan mengadakan kenduri-kendara.

Biasanya kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur antara sepuluh hingga dua belas tahun akan disunatkan oleh seorang tukang sunat atau lebih mesra dipanggil "Tok Mudim". Biasanya ibubapa akan berpakat untuk majlis ini secara beramai-ramai sama ada adik-beradik dan jiran tetangga atau mencari kawan-kawan sebaya anaknya yang dipanggil "rakan sesunat".

Selepas menetapkan tarikh dan persetujuan Tok Mudim, ibubapa akan menjemput sanak saudara dan orang kampung untuk mengadakan majlis kenduri masuk jawi ini. Tok Mudim akan diberikan wang pendahuluan di samping peralatan yang diperlukan seperti pulut semangat, bunga telur, batang pisang, seekor ayam jantan, sebiji buyung air, sirih pinang secukupnya dan benang mentah.

Sehari sebelum upacara masuk jawi diadakan, kanak-kanak tersebut akan dipuja semangatnya, dimandikan air tolak bala, diandamkan dan dipakaikan dengan pakaian baharu atau pakaian pengantin. Ada juga yang mengenakan pakaian seorang pendekar atau pahlawan. Menurut pendapat orang tua-tua, perbuatan ini bertujuan untuk memberikan semangat kepada kanak-kanak tadi supaya tidak berasa takut ataupun gentar untuk menghadapi Tok Mudim pada keesokan harinya.


Kanak-kanak yang bakal masuk jawi ini akan diberikan peluang menuntut apa sahaja yang mereka ingin atau idamkan untuk makan kerana selepas disunatkan kanak-kanak tersebut akan dikenakan pantang. Biasanya mereka diberikan nasi berlaukkan ikan masin seperti ikan gelama dan pelata. Dalam masa pantang ini mereka juga tidak boleh makan makanan yang berbisa, gatal dan berlemak disamping tidak dibenarkan berjalan atau melangkah bendul. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada alahan, mabuk darah, pitam dan terutamanya 'bentan' demi untuk keselamatan.

Ada juga keluarga yang mengarakkan anak lelakinya sehari sebelum bersunat dan ada yang mengarakkannya pada hari bersunat itu. Bagi keluarga yang berada akan menyediakan sebuah pelamin untuk ditepung tawarkan anak lelaki yang bakal disunatkan.

Sekiranya anak lelaki tersebut telah khatam al-Quran, maka upacara mengkhatam al-Quran akan dijalankan terlebih dahulu. Ada juga anak perempuan atau anak lelaki lain yang telah khatam diberi kesempatan untuk mengkhatam al-Quran pada majlis masuk jawi ini.


Pada hari kanak-kanak tersebut hendak disunatkan, Tok Mudim akan menyuruh kanak-kanak tersebut berendam sama ada di dalam kolam yang disediakan atau pada masa dahulu berendam di dalam sungai sepuas-puasnya. Tujuan berendam ini adalah untuk mengurangkan pengaliran darah, mengecutkan kulit dan menyucikan bahagian yang hendak disunatkan.

Selepas berendam, Tok Mudim akan memandikan mereka dengan air yang disediakan di dalam buyung yang telah dijampi.

Selesai memandikan kanak-kanak ini, mereka akan diberikan pakaian berupa kain sarung (pelikat) dan disuruh duduk keliling menghadap pulut semangat dan bunga telur untuk menjalani upacara menyuap pulut semangat. Mereka dikehendaki memakan tiga kepal pulut atau tiga suap sahaja. Selepas ini mereka akan menanti dengan penuh debaran giliran untuk disunatkan sama ada di atas pelamin atau di tengah rumah.


Tok Mudim biasanya akan menyunatkan mereka di serambi rumah atau di suatu sudut yang terlindung sedikit. Kanak-kanak yang hendak disunatkan akan disuruh duduk bercelapak di atas batang pisang dengan keadaan berhadapan dengan Tok Mudim. Kain sarung akan dibuangkan atau diselimutkan di bahagian belakang sementara kedua belah tangannya diluruskan ke depan diletakkan di atas lutut. Kemudian anak lelaki itu akan disandarkan kepada seorang pemegangnya di belakang sambil mendongakkan kepala.

Inilah saat-saat yang paling kritikal untuk dilalui untuk bersunat. Banyak kejadian melarikan diri, menangis dan menjerit biasanya akan berlaku pada waktu ini. Tidak kurang juga kepada peserta lain yang sedang menunggu giliran, emosi mereka adalah bergantung 100% kepada peserta yang sebelumnya. Jika elok yang sebelum mereka itu, eloklah mereka, jika menjerit terlolong yang itu maka secara psikologi akan meninggalkan kesan kepada peserta yang seterusnya.. hehe..

Tok Mudim akan mula membuka cerita, bersyair ataupun berpantun untuk melekakan kanak-kanak tersebut demi memudahkan kerja mencantas kulit kemaluan anak tersebut. Ada juga Tok Mudim yang membaca mentera seperti menurun atau berselawat dengan tujuan yang sama.


Muhammad Aidiel masih boleh tersenyum gembira beberapa saat lagi sebelum disunatkan.


Pencantasan hendaklah dilakukan dengan pisau yang tajam, pantas dan sekali cantas sahaja untuk mengelakkan sakit. Pada masa dahulu Tok Mudim tidak menggunakan sebarang cara atau ubat bius (pelali) seperti sekarang. Sakit akibat luka dicantas memang terasa ke'originalan'nya bak kata orang tua-tua, bagai digigit semut sahaja adanya..

Seterusnya Tok Mudim akan membalutkan luka cantasan tadi dengan kain dan diikat dengan tali (tangsi) yang dibuat khas oleh Tok Mudim. Kanak-kanak yang telah disunatkan akan dipapah ke bilik dan kemudian kain sarungnya diikat pada bucu tengah dengan tali ke palang bumbung. Biasanya mereka akan disediakan dengan tempurung kelapa untuk diketuk di kepala lutut kononnya untuk mengelakkan sengal, tegang urat dan menghilangkan sakit. Ada juga yang menggunakan bulu ayam untuk mengorek telinga apabila terasa sakit, mencium buah limau dan sebagainya.

Bagi ibu bapa dulu-dulu, kanak-kanak itu juga akan dibekalkan dengan rokok untuk dihisap ketika terasa sakit. Tetapi perbuatan ini amatlah tidak digalakkan.

Sementara itu, bahagian kulit yang telah dipotong 'kutil' akan ditanam bersama abu panas di bawah rumah dan ada yang menyalainya beberapa hari sebelum ditanam.

Selepas disunatkan, kanak-kanak tersebut tidak dibenarkan mandi selama tiga hari. Luka bahagian yang disunat itu akan dicuci pada tiap-tiap pagi dan petang selama sepuluh hari sehingga luka tersebut kering dan sembuh. Ubat yang digunakan secara tradisi ialah 'gelomok nyior' iaitu sejenis debu yang terlekat di pelepah kelapa muda dan pelbagai jenis daun kelat. Ada juga yang menggunakan 'teh cina' sebagai pencuci luka tersebut di samping ubat luka yang paling popular pada waktu itu ialah ubat berwarna biru nila 'cap senapang'.

Berpantang semasa menunggu masa sembuh amatlah menyiksakan disamping selalu diawasi oleh ibu bapa. Kanak-kanak itu tidak boleh terpijak tahi ayam kerana dikatakan lambat sembuh, tidak boleh makan makanan yang berkelapa, telur, sayuran gatal dan daging kerana dikatakan membawa alahan. Biasanya luka bersunat ini akan sembuh selama dua minggu atau selewat-lewatnya tiga minggu.


Berbeza dengan sekarang dengan pelbagai teknik bersunat moden dengan ubat-ubatan yang disediakan, luka bersunat ini akan sembuh selewat-lewatnya hanya seminggu sahaja. Saat menghadapi sembuh sepenuhnya adalah yang paling menyeronokkan kerana kanak-kanak akan merasa 'geli' terutamanya ketika hendak memakai seluar... hehe..

Sekiranya dalam tempoh tersebut tidak sembuh, ini bermakna ia telah melanggar pantang larang, bentan, alahan atau tersampuk. Tok Mudim akan datang semula dalam tempoh sembuh untuk membuka balutan luka atau menyembuh sakit yang melanggar pantang.

Zaman kini telah jauh berubah, sudah jarang-jarang lagi kedapatan majlis kenduri, adat berarak, berendam dan berpantang seperti dahulu. Ramai ibu bapa lebih suka memilih bersunat di klinik atau hospital yang menyediakan pelbagai teknik bersunat moden yang lebih mudah dan selamat. Namun demikian, ada juga ibu bapa yang terus memilih bersunat secara tradisi ini (menggunakan Tok Mudim) atas sebab-sebab yang tersendiri. Biar apapun pilihan, tujuannya tetap sama iaitu untuk menunaikan tanggungjawab wajib bersunat bagi lelaki dan perempuan di sisi ulama mazhab syafie.

Demikianlah serba sedikit kisah mengenai majlis bersunat yang pernah diadakan suatu ketika dahulu. Mungkin ada pembaca yang mempunyai kisahnya yang tersendiri ketika melalui saat-saat genting untuk berkhatan terutamanya secara tradisional di mana masih belum ada lagi pelbagai kaedah moden berkhatan seperti hari ini. Sedih, lucu atau gembira tetap akan meninggalkan kesan dan kenangan yang tidak mungkin dilupakan untuk dikisahkan kembali kepada anak cucu kerana itulah pengalaman sekali seumur hidup...


Semalam, 24.11.2011, Alhamdulillah, maka selamat sejahteralah kedua-dua putera BR iaitu Muhammad Muqri dan Muhammad Aidiel berkhatan di Poliklinik Razi, Tapah, pada jam 9.00 pagi.


Moral Value: Kata orang hanya 3 perkara yang paling digeruni oleh lelaki, 1. Masuk jawi, 2. Akad nikah; 3. Isteri hendak bersalin.


21 November, 2011

Tahniah Mohamad Nazhan


Berdasarkan posting UPSR 2011 yang lalu, ramai yang bertanya apakah keputusan UPSR anak kedua BR, si Nazhan.




Syukur alhamdulillah, kerana ini mungkin juga rezeki beliau berkat usaha yang ditunjukkan.

Kepada semua guru yang pernah mengajar beliau selama tujuh tahun (termasuk 1 tahun pra sekolah), BR ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas pengorbanan dan jasa bakti yang telah diberikan.

Begitu juga dengan orang perseorangan yang telah memberikan dorongan dan semangat untuk beliau. Hanya Allah S.W.T sahajalah yang dapat membalas jasa dan budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian..


Mohamad Nazhan disamping keputusan UPSR 2011 yang diperolehinya.

Masih jauh lagi perjalanan yang akan ditempuhinya, semoga kejayaan akan sentiasa mengiringi beliau selalu. Amin.


Moral Value: Sometimes, we must be hurt in order to grow. It's simply because, some lessons are best learned through pain.

20 November, 2011

Ujian Tuhan


Ni la Abang BR hang nak habaq mai, dua tiga hari ni tak boleh nak on9 (pinjam perkataan generasi kini) pasai laptop Abang BR hangpa melingkop. Disaat-saat genting pulak tu, apapun tak boleh... Tak tahulah pula kenapa tiba-tiba screen laptop jadi hitam pekat tanpa sebarang paparan. Jenuh jugalah menggagau di dalam gelap.


Inilah rupa screen yang gelap itu. Memang gelap..


Nasib baik juga bukan sistem yang terganggu, cuma paparan sahaja yang menjadi gelap. Masih kedengaran dengan jelas Windows di buka dengan sebaiknya sewaktu proses booting.

Mengikut perkiraan ini adalah kali kedua masalah screen ini berlaku. Kali pertama dahulu masalah screen juga tetapi lebih serious kerana retak mungkin akibat terhempas atau tertindih benda berat tetapi telah diganti dengan screen yang baharu, lebuhraya juga RM700.


Ini pula rupa surat arahan dari jabatan. Rakan setugas panggil "Surat Kepala Rimau".


Ngam-ngam pula terjadi pada hari Rabu 16.11.2011 sehari sebelum keputusan rasmi UPSR 2011 diumumkan. Sungguh mengerikan kerana semua data melalui aplikasi yang dikehendaki oleh kementerian semuanya tidak boleh dicapai. Semuanya perlu diselesaikan segera kerana melibatkan data peringkat negeri dan terus ke kementerian.

Itu belum dikira yang lain-lain lagi, blog pun nak kena update juga, rakan-rakan bloggers pun nak kena lawat juga, rakan-rakan yang sedang bergurau-senda di Facebook pun nak kena ambil tahu juga, Email pun nak kena jenguk-jenguk juga sebab semua penghantaran data melalui email. Portal UPSI pun nak kena jeling-jeling juga.. He he..


Susah hati punya pasal, kalau boleh nak hisap rokok macam ni..
(Imej carian Google)


Melilaulah sekejap, pegang yang tu tak kena, pergi sini tak kena, tengok yang tu tak kena, duduk sini tak kena, pendek kata serba tak kena jadinya. Memang tidak dapat disembunyikan lagi walaupun dengan sedaya upaya yang ada cuba untuk berlagak cool.

Sungguhpun demikian. terima kasih banyak-banyaklah kepada rakan-rakan setugas yang sedia meminjamkan laptop dan apa jua yang boleh dipinjam, tetapi apakan daya, semua data berada dalam hard disk asal. Buka hard disk asal untuk dijadikan external, casing SATA pula tak ada..


Inilah rupanya screen yang rosak itu.


Akhirnya terpaksalah bergegas ke Tanjung Malim, cadangnya memang hendak beli yang baharu tetapi mujurlah technician bertugas boleh membaikinya dan berjanji untuk menyiapkannya dengan kadar segera. Katanya small matter saja ni, cuma siap duit saja..


Alhamdulillah, sekarang segalanya telah kembali asal bak kata orang kampung BR, back to normal.

Banyak pengajaran yang boleh diperolehi daripada ujian kecil yang diturunkan ini, salah satunya ialah bagaimanalah orang dulu-dulu boleh menjalankan tugas mereka dengan cemerlang walaupun tanpa laptop dan internet?

Orang sekarang jika tiada laptop (atau seumpamanya) dan sambungan internet, seolah-oleh semua kerja tidak boleh dijalankan. Mungkin itulah yang dinamakan kemajuan bersesuaian dengan arus zaman, tetapi adakah kita semua juga sudah cukup bersedia untuk itu?


Ini pula rupa resit dengan jumlah wang yang kena bayar. Ada sesiapa nak sponsor? Keh keh keh..


Moral Value: Sabar adalah jalan keluar terbaik bagi orang yang tidak menemukan jalan keluar yang lain..

15 November, 2011

Khairol Ke USMA West Point


Pemenang Hadiah Komandan 1987, Khairol Amali bin Ahmad dari Maktab Tentera Diraja (MTD) telah terpilih untuk mengikuti Latihan Kadet Kelas 1992 di United States Military Academy (USMA) West Point, New York, Amerika Syarikat. Kursus selama empat tahun ini akan bermula pada Jun 1988.

Untuk terpilih mengikuti kursus di Akademi Ketenteraan yang unggul ini bukanlah sesuatu yang mudah. USMA West Point telah menjemput sebanyak 79 buah negara bagi mengemukakan 6 calon bagi tiap-tiap negara. Bagaimanapun hanya menghadkan 10 tempat sahaja untuk calon-calon dari negara-negara sahabat.


Khairol Amali bin Ahmad


Ini adalah merupakan kali yang kedua penuntut Malaysia berjaya dalam pemilihan tersebut. Tahun lalu penuntut dari Maktab Tentera Diraja juga telah terpilih. Khairol Amali, 18 tahun sebelum terpilih terpaksa menjalani ujian-ujian dan temuduga yang dikendalikan oleh Penasihat Pertahanan Kedutaan Amerika Syarikat bersama-sama 5 orang rakannya yang lain.

Di antara ujian-ujian tersebut ialah Test of English as Foreign Language (TOEFL), Scholastic Aptitude Test (Verbal), Scholastic Aptitude Test (Maths) dan Physical Aptitude Test. Semua rekod-rekod ujian tersebut telah dihantar ke USMA dan pemilihan akhir dibuat oleh pihak pentadbiran akademi tersebut.

Berasal dari Parit Buntar, Perak, Khairol merupakan anak sulung dari 4 orang adik beradik. Mula menjejakkan kaki di Maktab Tentera Diraja pada tahun 1983 sebagai pelajar Tingkatan Satu adalah atas dasar minat. Walaupun kedua ibu bapanya bertugas sebagai guru, beliau tidak pernah mendapat tentangan untuk menuntut di MTD dan ke USMA West Point.

Menurutnya lagi, kedua orang tuanya menyerahkan kepada beliau sendiri untuk memilih kerjaya dan mencorakkan masa depannya sendiri dengan bantuan dan pengawasan. Ini disebabkan sejak Tingkatan Satu lagi beliau telah belajar berdikari apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga dan menuntut di MTD.


Khairol, pemenang Hadiah Komandan 1987.


Khairol yang hobinya membaca dan melukis menyatakan rasa gembiranya kerana telah dipilih. Sesungguhnya pemergiannya selama 4 tahun merupakan satu cabaran dan beliau berazam akan mengikuti kursus tersebut sebaik mungkin demi mengharumkan nama negara.

Bercita-cita menjadi seorang jurutera, dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pada tahun 1985 beliau telah mendapat Gred A dengan 6 Agregat dan pada tahun 1987 mendapat Gred 1 dengan 7 Agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau juga aktif dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum dan dalam bidang sukan pernah mewakili pasukan hoki MTD. Dalam Perbarisan Tamat Latihan di Divisyen Putra pada Disember 1987, beliau telah berjaya merangkul Hadiah Komandan yang merupakan penuntut terbaik keseluruhan meliputi bidang akademik, kokurikulum, ketenteraan, sukan dan disiplin yang tinggi.

Mengikut perkiraan, usia Khairol sekarang ialah 41 tahun dan mengikut carian Googles, beliau kini ialah pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan pangkat Lt. Kol. Prof. Madya Khairol Amali Bin Ahmad di Fakulti Kejuruteraan. Sekalung tahniah buat beliau dan semoga kejayaannya ini akan terus menjadi ikutan generasi kini.


Moral Value: Wherever you stand... Be the soul of that place.


13 November, 2011

Warsaw Wilanów Palace, Poland


Wilanów is situated 10 km from the centre of Warsaw and is at the end of the historical Royal Route. Wilanów takes its name from words in Italian´villa nuova´. A palace with the park near Warsaw, built like a miniature of Versailles, at the end of the XVII century by an Italian architect Agostino Lotti for the King of Poland Jan III Sobieski. Several times rebuilt and changed later by among others Michelangelo Palloni.


Wilanow was built for Jan Sobieski (r. 1674-96), Poland's most dashing monarch. It was Sobieski who led the Catholic Allies in the liberation of Vienna from the Turks in 1683. This baroque belter later passed through the hands of several of Poland's most influential families, and it remained in private hands right up until 1944.


Wilanow mercifully survived the war, and today it represents one of the richest attractions in Warsaw. It's choc-full of splendid art, including paintings by some of the biggest names in European art, from Jean-Louis David to Bernardo Bellotto. The palace's fine gardens are currently undergoing renovation.

In the 1805 the owner Stanisław Kostka Potocki opened the public museum in Wilanow, which was one of the first in Poland.


Untuk maklumat lanjut, sila ke: Wikepedia/Wilanów Palace

11 November, 2011

Rahim Maarof


Kerana minat yang begitu mendalam dan mendapat galakan dari kaum keluarga serta rakan-rakan seperjuangan, seorang anak muda sanggup meninggalkan jawatan sebagai pegawai kerani di salah sebuah syarikat swasta di ibu kota semata-mata mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang rekording artis kira-kira 30 tahun yang lalu.

Kini harapan dan cita-citanya kian menyinar setelah berjaya menghasilkan album sulungnya berjudul "Kini Aku Sendiri" (More Than I Can Say) terbitan Life Records pada tahun 1981.


Beliau ialah Rahim Maarof seorang yang lemah lembut dan cepat mesra bila berbual. Rahim bercita-cita tinggi ingin menjadi seorang rekording artis profesional di tanah air kita.

Sebenarnya Rahim bukanlah orang baru di bidang seni suara tetapi telah melibatkan diri dalam bidang ini sejak di bangku sekolah lagi. Selama sepuluh tahun Rahim berusaha bersungguh-sungguh memperdalami bakatnya dalam seni suara dan pernah menyandang juara dalam pertandingan talentime di sekolahnya dan pertandingan menyanyi di Peyton Place, Petaling Jaya.

Rahim yang berusia 23 tahun pada waktu itu dan berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan merupakan anak keenam dari sebelas orang adik beradik. Sebelum menjadi rekording artis, Rahim sentiasa mendalami mutu nyanyiannya di kelab-kelab malam dan pub. Di samping menyanyi Rahim juga boleh bermain alat muzik seperti dram dan gitar.


Walaupun Rahim sudah mula bertapak untuk menunjukkan bakatnya di kelab-kelab malam dan pub, namun hati kecilnya masih belum puas selagi belum dapat membuat rakaman ke piring hitam. Dari galakan dan jasa baik rakan-rakannya yang banyak mendorongnya dalam bidang seni suara, Rahim terus berusaha.

Akhirnya dengan asuhan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh seorang pemuzik dan penerbit Ben Soepranto, Rahim berjaya mengeluarkan album sulungnya itu.


"Saya berhutang budi dan berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberi perangsang terhadap saya dengan munculnya LP ini, terutamanya kepada Ben Soepranto kerana memberi peluang merakamkan LP saya ini."

Dalam album sulungnya terdapat dua belas lagu nyanyian Rahim dengan diiringi oleh Band Carcosa.

Muka Satu

1. Kini Aku Sendiri - saduran lagu "More Than I Can Say" nyanyian Leo Sayer
2. Geli Hati (J. Risma)
3. Hayalan Senja (O. Ghani)
4. Hanya Dalam Mimpi (O. Ghani)
5. Senja Di Pekan (O. Ghani)
6. Rintihan Anak (J. Risma)


Muka Dua

1. Dendang Patah Hati (O. Ghani)
2. Apa Salah Ku (O. Ghani)
3. Mengenang Mu (O. Ghani/Ben Soepranto/Rahim Maarof)
4. Aku Ke Kota (J. Risma)
5. Cinta (J. Risma)
6. Yati Penggoda (B. Soepranto)

Kepada pembaca yang pernah mendengar lagu "Kini Aku Sendiri" (More Than I Can Say), liriknya macam kelakar pun ada kerana terjemahan lirik yang hampir sama dengan lagu asalnya.

Rahim pernah memenangi Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun 1990.

Sehingga kini Rahim masih lagi dapat bertahan dengan lagu-lagunya yang sedap didengar. Antaranya ialah "Istana Menanti", "Usang" dan "Cinta Kristal".


Moral Value: People cry, not because they're weak. It's because they've been strong for too long..

07 November, 2011

TV Warna Diperkenalkan


Generasi baharu mungkin ada yang tidak pernah menyedari bahawa suatu ketika dahulu iaitu sebelum tarikh 28 Disember 1978 iaitu kira-kira 33 tahun yang lalu, semua siaran TV di negara kita adalah dalam bentuk hitam putih. Mungkin sebaik sahaja "celik-celik mata" telah dihidangkan dengan siaran 100% TV warna dengan pelbagai rancangan yang menarik, telah menyebabkan zaman wujudnya TV hitam putih itu telah dilupakan tanpa disedari.


Majlis Pelancaran TV Warna ini dilancarkan sempena genap 15 tahun usia siaran TV di Malaysia pada 28 Disember 1978 oleh Perdana Menteri Datuk Hussein Onn. Rancangan pertama yang disiarkan dalam bentuk warna ialah program Puspawarna yang disiarkan secara langsung. Perubahan dari hitam putih kepada TV warna ini merupakan satu lagi kejayaan besar media ini di samping kemajuan kemajuan di segi tambahan masa siaran, penerbitan rancangan tempatan dan sebagainya.

Ura-ura melancarkan perkhidmatan TV warna di Malaysia mula diperbincangkan sejak tahun 1974. Berikutan dengan itu sebuah Lembaga Petugas TV warna RTM telah ditubuhkan dalam bulan Ogos 1976 berikutan dengan langkah kerajaan meluluskan projek tersebut yang pelancarannya ditetapkan pada akhir 1978.

Lembaga Petugas telah diarahkan untuk mengkaji keperluan-keperluan tambahan kakitangan, latihan dan juga alat-alat kelengkapan. Sejak penubuhannya, Lembaga ini telah mengadakan beberapa persiapan dan di antara lain telah mencadangkan untuk memberi latihan kepada para kakitangan supaya mereka mempunyai pengetahuan yang lengkap dan semasa bagi melaksanakan projek TV warna.

Beberapa pertubuhan penyiaran yang mempunyai siaran TV warna telah dihubungi untuk mendapatkan kemudahan latihan. Antaranya termasuklah BBC London, BCNZ New Zealand, ABC Australia dan juga CBC Kanada.


Beberapa rombongan yang terdiri dari anggota-anggota Lembaga Petugas termasuk pegawai-pegawai Kejuruteraan, Penerbitan, Perkhidmatan Filem, Berita, Rekabentuk dan Pementasan dan juga yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaannya telah membuat lawatan ke negara-negara seperti Britain, Jerman, Australia, Kanada, Switzerland, New Zealand dan juga Singapura untuk mengkaji segala aspek pelaksanaan TV warna serta masalah-masalah yang dihadapi di negara-negara tersebut.

Sambil itu beberapa kumpulan kakitangan telah dihantar ke luar negeri terutama Britain, Australia dan Kanada untuk mendapatkan latihan di pertubuhan-pertubuhan penyiaran di negara-negara tersebut.

Peralihan daripada rancangan hitam putih kepada warna telah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Ini bermakna tidak semua rancangan-rancangan TV selepas tarikh itu adalah 100% dalam bentuk warna. Siaran TV berwarna dijangka akan hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam masa lima tahun selepas itu.


Di antara rancangan-rancangan yang disiarkan dalam bentuk warna pada waktu itu ialah A Man Called Slone dibintangi oleh Robert Conrad dan Ji-Tu Cumbuka, Mysterious Monsters dibintangi oleh Peter Graves, filem western Sentinel, Hart to Hart dibintangi oleh Robert Wagner, filem jenaka Benson, Salvage dan Incredible Hulk (Mr. McGee.. you don't like me when i'm angry.. pastu jadi hijau.. hehe..)

Tayangan untuk kanak-kanak juga seperti Cinderella, Johnny Appleseed, Robin Hood, Alice in Wonderland, Snow White, Hiawatha, Around The World in 80 Days dan Tom Sawyer.

Bagi melicinkan lagi proses pelancaran TV warna, sebuah jawatankuasa khas pelaksanaan telah dibentuk dengan tugas meneliti tiga perkara iaitu mengkaji sama ada peti TV warna boleh didapati dengan harga paling murah supaya mampu dimiliki oleh semua golongan rakyat; mendapatkan potongan cukai dari kementerian Kewangan untuk harga komponen TV warna serta menentukan peti TV yang diimport dapat dikurangkan harga, dan ketiga, mencari jalan sama ada peti TV warna dapat disewa untuk mereka yang kurang mampu.


Datuk Mohamed Rahmat (Menteri Penerangan pada waktu itu) mengingatkan pengguna-pengguna bahawa walaupun TV warna telah dilancarkan, ini tidaklah bererti mereka yang tidak memiliki TV warna tidak boleh mendapatkan siaran di TV hitam putih mereka.

"Mereka yang mempunyai TV hitam putih akan tetap dapat melihat tayangan filem-filem seperti biasa. Mereka tidak seharusnya mendengar khabar-khabar angin kononnya apabila TV warna dilancarkan, TV hitam putih mereka tidak akan berguna lagi."

Pelancaran TV warna ini telah menelan belanja sebanyak $80 juta dan hampir $30 juta telah dibelanjakan untuk pelaksaannnya di peringkat awal. ($ adalah nilai matawang pada waktu itu).

Kepada pembaca yang pernah melalui zaman TV hitam putih pastinya mempunyai nostalgianya yang tersendiri yang tidak dimiliki oleh generasi sekarang. Masih teringat lagi betapa ajaibnya pada waktu itu apabila melihat buat pertama kalinya siaran TV dalam bentuk warna...


Untuk maklumat lanjut mengenai RTM, pembaca boleh ke: Wikipedia/Televisyen Malaysia


Moral Value: Every day may not be good but there's something good in every day.


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'