31 May, 2010

Bekas Abu Rokok Jata Malaysia


Ini adalah satu lagi bekas abu rokok yang dikatakan 'must have' bagi setiap almari hiasan kepunyaan nenek di kampung. Dinamakan 'Bekas Abu Rokok Jata Malaysia' kerana terdapat Jata Malaysia serta Jata 13 buah negeri-negeri yang terdapat di dalam Malaysia terukir di bekas abu rokok tersebut. Diperbuat daripada sejenis logam yang seakan-akan pewter tetapi ianya lebih ringan.


Saiznya tidaklah besar mana cuma besar sedikit sahaja daripada sebuah piring. Amat sesuai untuk dijadikan cenderamata terutamanya kepada para pelancong dan juga untuk dijadikan hiasan memandangkan ianya terlalu 'cantik' untuk digunakan oleh perokok-perokok.


Terdapat Jata Malaysia yang besar di tengah-tengah bekas abu rokok diikuti dengan Jata Negeri-negeri di sekelilingnya. Amat sesuai untuk di jadikan sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) bagi guru-guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan... he.. he..


Kedudukan Jata Malaysia di tengah-tengah bekas abu rokok ini dikatakan tidak sesuai kerana abu rokok yang melekat di celah-celah ukiran ini amat susah untuk ditanggalkan lalu meninggalkan pemandangan yang kurang menarik kepada bekas abu rokok ini.


Terukir jelas Jata-jata bagi Negeri Selangor, Terengganu, Johore, Kedah dan Kelantan.



Juga terdapat Jata-jata dari Negeri Perak, Perlis, Sabah dan Sarawak.


Tidak ketinggalan juga Jata-jata bagi Negeri Malacca, Negeri Sembilan, Pahang dan Penang (13 kesemuanya). Kebanyakan ejaan bagi nama negeri-negeri ini dieja di dalam Bahasa Inggeris mungkin kerana seperti yang telah dikatakan tadi bahawa bekas abu rokok ini digunakan untuk cenderamata kepada pelancong.


Bahagian belakang bekas abu rokok yang menampakkan ianya ditempa melalui acuan khas.




Moral Value: Kata sesetengah orang, "Bagaimana keadaan bekas abu rokok, begitulah keadaan orang yang merokok..." Betulkah begitu? he.. he..


29 May, 2010

Happy Couple... Kah Kah Kah...


Inilah alat permainan semasa aku kanak-kanak dahulu. Namanya 'Happy Couple' kerana apabila suis ditekan, maka terdengarlah bunyi ketawa yang tidak berhenti-henti sehinggalah suis itu ditekan semula. Sebagai satu nostalgia, aku masih menyimpannya sehingga kini.


Didatangkan di dalam uncang kain berwarna kuning atau hijau. Terlukis gambar sepasang kepala lelaki dan perempuan sedang ketawa dan tertulis perkataan 'Happy Couple' pada uncang tersebut. Malangnya uncang bagi mengisi alat ini telah tewas ditelan masa, dah reput...


Amat sesuai digunakan untuk 'mengusik' rakan-rakan di waktu malam kerana bunyi ketawa yang mengilai tak berhenti-henti itu kadangkala amat menyeramkan terutamanya di waktu malam...


Dibeli pada tahun 1979, rasanya inilah permainan yang paling canggih sedikit pada waktu itu. Kumpul duit raya nak beli ni pun...


Bahagian belakang alat, kelihatan berhampiran skru di atas ialah lubang di mana sebuah motor kecil diletakkan. Di dalamnya pula terdapat sekeping disc kecil berwarna putih seperti piring hitam diputarkan oleh motor tersebut untuk menghasilkan bunyi.


Menggunakan bateri saiz sedang.


Pembesar suara untuk mengeluarkan suara ketawa.


Made in Japan. Memang hebat akal Jepun ni...


28 May, 2010

Sekejap Tegang Sekejap Kendur...


Di zaman kanak-kanak dahulu rasanya tentu anda semua pernah bermain dengan permainan ini. Seekor patung haiwan yang tegak akan menjadi kendur apabila ditekan di bahagian bawah tapaknya dan ianya akan menjadi tegak semula apabila bahagian bawahnya dilepaskan.


Sesuai juga untuk dijadikan perhiasan di rak-rak atau di dalam cermin perhiasan.


Bahagian di bawah tapak yang apabila ditekan akan menjadikan zirafah ini terkulai.


Objek juga boleh dikendurkan dengan berbagai bentuk. Itulah yang menyeronokkan bagi seorang kanak-kanak.


Terkulai layu... Amat sesuai untuk dijadikan bahan lawak jenaka bagi kanak-kanak berusia di bawah satu tahun.


Ini pula objek seekor patung anjing. Sama seperti zirafah tadi ianya akan menjadi kendur apabila bahagian bawah tapaknya ditekan.



Terkulai ke kanan...


Terkulai ke kiri...


Bahagian bawah tapak objek yang berfungsi sebagai penegang dan penegak. Satu permainan yang mudah dan binaan yang cukup simple tetapi daya kreativiti pencipta permainan ini amatlah dikagumi.


27 May, 2010

Beg Tangan Peninggalan Opah



Beg tangan, tas tangan atau lebih dikenali sebagai 'handbag' merupakan satu barangan yang telah menjadi satu kemestian bagi setiap wanita tidak kira pada zaman dahulu mahupun sekarang. Perubahan-perubahan yang berlaku seiring dengan perubahan masa menjadikan berbagai-bagai bentuk dan jenama beg tangan telah dikeluarkan untuk menjadi pilihan kepada wanita-wanita masa kini. Namun begitu, kehadiran beg-beg tangan wanita pada zaman dahulu janganlah pula kita lupakan meskipun sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan dengan gaya dan fesyen zaman sekarang.


Beg tangan yang kita lihat ini telahpun berusia melebihi 50 tahun, kepunyaan nenek seorang rakan setugas yang turut sama berminat untuk berkongsi koleksi barangan nostalgia bersama BR.


Bertangkai tangan sahaja dan tiada tali penggalas, merupakan beg tangan yang cukup popular di tahun 1950-1960-an dengan saiz dan bentuknya begitu simple dan comel dipandang mata, mungkin sesuai pada zaman tersebut di mana item-item barangan yang perlu dibawa oleh seorang wanita adalah terhad berbanding sekarang.



Cara membawanya ialah dengan memegang atau disangkut sahaja di tangan di samping tangan pemiliknya yang dihiasi dengan barangan kemas yang bergemerlapan. Beg tangan yang tidak berjenama ini diperbuat daripada 100% kulit asli di mana ketahanan dan keutuhannya memang telah terbukti.


Mempunyai hiasan yang ringkas tetapi menarik iaitu logam keemasan berbentuk bunga matahari di hadapan beg. Sesuai untuk digayakan dengan pakaian kebaya atau baju kurung bagi menyerlahkan lagi 'kefemininan' seseorang wanita.



Pandangan di bahagian belakang beg. Tidak hairanlah jika kita perhatikan gambar-gambar lama tinggalan ibu atau nenek, beg tangan seperti ini mesti kelihatan tersangkut di tangan dengan penuh bergaya di mana kedudukan kaki juga memainkan peranan yang penting. Ala-ala Allahyarham Biduanita Saloma gitu...



Pandangan dari sisi.


Bukaan beg yang tidak begitu luas, melambangkan kesopanan wanita di zaman dahulu ketika mengambil barangan di dalamnya. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana kes-kes ragut terutamanya yang bermotosikal amat jarang sekali kita dengar pada waktu itu berbanding dengan sekarang ini...



Bahagian dalaman beg, mempunyai compartment yang sesuai untuk diisikan dengan barangan kaum hawa. Satu poket berzip untuk mengisi syiling dan satu lagi poket tidak berzip. Sayugia juga diingatkan bahawa beg ini tidak sesuai untuk diisikan dengan botol susu bayi bagi kaum ibu kerana saiz beg yang agak kecil... he.. he..



Kunci pembuka dan penutup beg berbentuk butang selisih yang boleh ditolak-tolak supaya beg akan tertutup kemas. Kepada ibu-ibu dan opah-opah yang pernah memiliki dan menggayakan beg ini suatu ketika dahulu, tentunya terdapat berbagai cerita yang menarik di sebalik beg tangan ini...


Penghargaan: Rakan setugas, Pn. Zuraida bt. Tauhid.



26 May, 2010

Staedtler Mathematical Drawing Instruments


Inilah Mathematical Drawing Instruments atau lebih dikenali sebagai 'bekas pensel geometri', 'set geometri', 'geometri box', 'kotak geometri' dan berbagai-bagai lagi nama yang diberikan di mana akhirnya telah membawa kita kepada satu makna dan benda yang sama.


Sesiapa sahaja yang pernah bersekolah menengah dahulu tidak sahlah jika tidak pernah memilikinya. Selalunya digunakan di dalam subjek Sains, Matematik dan Geografi. Peralatan di dalamnya jarang-jarang digunakanpun bergantung kepada subjek yang memerlukannya sahaja. Tetapi bekas geometri inilah yang telah aku gunakan di sepanjang persekolahan sekolah menengah.


Jenama yang paling popular pada waktu itu ialah HELIX OXFORD (Berwarna biru dan ada gambar bangunan Universiti Oxford di hadapan). Ramai di kalangan rakan-rakan aku yang menggunakan jenama tersebut. Harganya lebih kurang sama sahaja pada waktu itu, tetapi entah di mana silapnya aku boleh pula menggunakan jenama STEADTLER ini, mungkin kerana warnanya yang kuning atau untuk tampil lebih berbeza... he.. he..


Dibeli pada awal 1980-an ketika mula-mula memasuki alam sekolah menengah dan harganya lebih kurang di dalam lingkungan RM3.00. (Dah lupa). Punyalah seronok dan bangga kerana telah memiliki kotak pensel yang baharu dan dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh...


Sewaktu mula-mula beli dahulu kotak geometri ini lengkap didatangkan bersama pensel, pemadam, pengasah dan juga jadual waktu. Yang itu tidak sempat untuk diselamatkan kerana telah musnah dimamah usia.


Triangle ruler, 90 dan 45 darjah. Memang seronok apabila menggunakan peralatan geometri ini di mana ketepatan ukuran memainkan faktor utama di dalam mendapat jawapan yang betul kepada sesuatu soalan. Ala-ala engineer gitu...


Jangka sudut dan pembaris lurus enam inci. Masih original kerana terdapat cetakan jenama Staedtler pada setiap pembaris.


Jangka Tolok, digunakan untuk menyukat jarak terutamanya di dalam peta topo. Semasa cikgu tiada di dalam kelas, boleh juga dijadikan dart, tuju-tuju dinding, ataupun main 'tikam-tikam' di celah jari...


Jangka Lukis, digunakan untuk membuat bulatan, separa bulatan atau yang seumpamanya. Hati-hati sewaktu menggunakan alat ini kerana bukan takut cedera tetapi takut habis berlubang buku dibuatnya.


Acuan plastik di dalam kotak geometri supaya alatan-alatan di dalamnya tersusun kemas. Masih kekal bersama.


Didatangkan juga bersama sarung untuk menyimpan kotak geometri yang diperbuat daripada kotak. Juga masih aku kekalkan.


Moral Value: "Sayangi dan hargailah apa yang anda miliki sekarang sebelum ianya tiada" he.. he..



25 May, 2010

Dulang Bersulam Penghias Dinding


Di sekitar tahun 1970-an dahulu, dulang ini merupakan satu bentuk hiasan yang sungguh popular di setiap rumah. Biasanya diletakkan di dinding rumah di bahagian ruang tamu.


Terdapat dua bentuk yang biasa dilihat iaitu bulat ataupun bujur. Terdapat juga pemilik yang menjadikan dulang ini sebagai bingkai gambar di mana terdapat gambar di tengah-tengah dulang dan dilapisi cermin lutsinar di hadapan. Namun begitu, ada juga pemilik yang menggunakan dulang ini sebagai dulang sebenar untuk menyajikan minuman.



Berbagai corak yang menarik boleh didapati dari dulang ini. Ada yang berwarna-warni seperti di dalam gambar, hitam dan putih serta berbagai warna lagi mengikut citarasa pemilik. Selain daripada itu corak yang menghiasi dulang juga di datangkan dengan berbagai variasi yang cukup menawan.


Jelas kelihatan bingkai dulang daripada dawai kasar yang perlu dibentuk terlebih dahulu mengikut bentuk yang diingini sebelum kerja-kerja menyulam dilakukan.


Close-up hasil anyaman yang kemas.



Dihasilkan daripada anyaman atau sulaman tali plastik berwarna. Memang halus buatannya kerana kerja-kerja sebegini pastinya memerlukan kemahiran, ketekunan dan kesabaran yang tinggi.


Pemandangan di bahagian belakang. Terdapat juga dulang yang dihasilkan mempunyai kaki.



Inilah hasilnya sebuah dulang yang sungguh cantik sesuai untuk dijadikan hiasan mahupun digunakan di dalam kehidupan sehari-hari.


Pada hari ini, kehadiran dulang ini bagi menghiasi dinding-dinding di ruang tamu rumah sudah sukar untuk dilihat lagi. Mungkin telah dibuang lantaran sudah tidak sesuai lagi dengan zaman sekarang. Suasana retro pasti terhasil jika masih ada lagi mereka yang menjadikan dulang ini sebagai hiasan... sungguh nostalgia!


24 May, 2010

Gelas Di Dalam Almari Hiasan


Sememangnya telah menjadi lumrah pada suatu ketika dahulu bahawa setiap rumah mesti mempunyai sebuah almari hiasan di mana di dalamnya akan dipenuhi dengan pinggan mangkuk dan gelas-gelas minuman sama ada untuk hiasan dan juga untuk kegunaan 'rasmi'.


Biasanya lokasi almari hiasan ini terletak di ruang tamu, berkaki dan mempunyai dua cermin lutsinar di hadapan sebagai pintu yang boleh di sorong-tarik pada kedua-dua belah cermin. Ia juga mempunyai beberapa tingkat rak untuk meletakkan barang hiasan.


Pada hari inipun masih terdapat lagi almari hiasan di kebanyakan rumah-rumah, cuma bentuk dan isi kandung almari tersebut sahaja yang telah banyak berubah. Diisikan dengan koleksi pinggan mangkuk berharga, cenderamata dari luar negara, kaca-kaca kristal dan sebagainya bagi menggambarkan status dan 'keprestijan' tuan rumah.


Apa yang menjadi nostalgianya di sini ialah koleksi beberapa biji gelas yang selalunya terdapat di dalam almari hiasan pada waktu itu yang telah ditunjukkan oleh seorang rakan untuk kita kongsikan bersama.


Mungkin ada gelas-gelas yang dipaparkan ini boleh mengembalikan ingatan kepada sesiapa sahaja yang pernah berada di zaman tersebut... Gelas pendek ini saiznya tidaklah besar, sekadar cukup untuk membasahkan tekak ketika meraikan tetamu.


Biasanya gelas-gelas ini diperolehi daripada hadiah atau pemberian tetamu di majlis perkahwinan kerana telah menjadi satu trend pada suatu ketika dahulu hadiah berbentuk gelas ini telah menjadi pilihan ramai sebagai hadiah di majlis kenduri kahwin.



Selain daripada sebagai perhiasan, gelas-gelas ini juga turut digunakan ketika meraikan tetamu yang bertandang ke rumah. Sering kelihatan tuan rumah akan ke ruang tamu lalu mengambil gelas-gelas ini dari dalam almari ini. Dikeluarkan dari dalam dalam cermin, disusun di dalam dulang dan dibawa ke dapur untuk diisikan minuman.


Jika kopi atau teh yang dihidangkan (minuman rasmi pada waktu itu), seringkali juga timbul soalan daripada tuan rumah kepada tetamu, "Kopi/Teh minum tak?" Masih terbayang lagi keharuman kopi atau teh berbaur arang kayu api...


Jadi, kepada tetamu yang telah mempelajari Ilmu Tata Rakyat (salah satu subjek yang aku pelajari di sekolah rendah dahulu, lebih kurang seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan pada hari ini) minum atau tidak minum kopi atau teh, terpaksa minumlah juga...


Sayugialah juga diingatkan bahawa pada waktu itu bukann semua orang memiliki peti sejuk di rumah masing-masing. Untuk itu, air kopi atau teh panas memang biasalah dihidangkan di dalam gelas di samping di dalam cawan. Kalau di dalam cawan, air tadi akan dituang ke dalam piring, dihembus untuk disejukkan lalu diminum melalui piring. Biasanya dilakukan oleh seorang ibu kepada anaknya yang kecil. Satu gambaran yang amat sukar kita lihat sekarang...


Dalam banyak-banyak gelas yang aku belek-belek, didapati gelas ini sedikit berbeza dari yang lain-lain kerana gelas ini adalah gelas berupa cenderamata sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tercatat juga di dalam tulisan jawi "Persekutuan Tanah Melayu" dan "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat".



Kalau benarlah gelas ini dikeluarkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun 1957, bermakna usianya sekarang telah hampir kepada 53 tahun. Menurut maklumat, set gelas hari kemerdekaan ini juga didatangkan dengan satu set enam biji gelas.


Penghargaan: Rakan setugas En. Zainuddin b. Mat Shariff.


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'