Setelah kita melihat butang polis dulu-dulu, untuk entri seterusnya, kita ikuti pula kisah mengenai wisel polis dulu-dulu. Seperti juga butang polis, adalah dipercayai bahawa wisel polis ini juga telah digunakan sejak tahun 1950-an lagi iaitu hampir 50 tahun yang lalu.
Sepenuhnya adalah "wisel" yang sebenar tanpa sebarang bebola di dalam yang sudah tentu memerlukan tiupan angin yang lebih kuat bersesuaian dengan teknologi pada waktu itu. Diperbuat oleh 100% logam tulen yang tahan karat serta mempunyai kadar berat yang bersesuaian dan boleh dikilatkan ke tahap maksima dengan menggunakan autosol.
Panjangnya ialah kira-kira 8cm dan berbunyi nyaring jika ditiup dengan menggunakan teknik yang betul. Amat tidak bersesuaian jika wisel ini digunakan oleh polis trafik sekarang memandangkan bunyinya tidaklah senyaring wisel fox atau wisel yang berbola di dalam.Tidak dapat dipastikan pula wisel ini buatan daripada negara mana kerana tiada sebarang catatan mengenai itu. Tetapi berdasarkan kualiti yang ditunjukkan serta kronologi penggunaannya oleh anggota polis sejak 50 tahun yang lalu, adalah dipercayai wisel ini buatan England, sama seperti butang baju sebelumnya.
Wisel ini biasanya akan diikat pada rantai atau tali wisel lalu dimasukkan ke dalam poket baju atas. Biasanya digunakan hanya untuk perhiasan kerana memang tidak pernahpun dilihat atau dikisah di dalam drama 'Gerak Khas' arahan Dato' Yusuf Haslam anggota polis akan meniup wisel ini ketika mengejar penjenayah atau dalam keadaan kecemasan. Kecualilah anggota polis trafik yang memang cukup sinonim dengan wisel walaupun bukan jenis wisel yang ini.














































