Showing posts with label Botol. Show all posts
Showing posts with label Botol. Show all posts

26 January, 2011

Botol Susu Pisang Marigold


Kepada generasi kini tidak hairanlah sekiranya masih ada yang tidak mengetahui apakah sebenarnya botol kaca ini sekiranya tidak diberitahu bahawa ia sebenarnya adalah sebuah botol susu.

Di kalangan generasi pembaca yang dilahirkan sekitar tahun 1960-an pula tentunya masih ingat ataupun pernah menikmati susu di dalam botol seperti ini semasa bayi dahulu. Sengaja BR simpan sebagai kenang-kenangan kerana botol seperti ini sudah lama tidak pernah digunakan lagi.


Lebih dikenali sebagai 'botol susu pisang' kerana bentuknya seperti sebiji pisang. Pun begitu masih ada nama dan istilah lain bagi botol susu ini mengikut negeri masing-masing. Bentuk fizikalnya juga sungguh sesuai untuk dipegang oleh bayi yang sedang menyusu.

Mempunyai dua lubang di kiri dan kanan botol untuk meletakkan puting susu. Pada mulanya BR fikirkan bahawa botol susu ini telah dicipta khas untuk mereka yang memiliki anak kembar memandangkan terdapat dua lubang untuk meletakkan puting susu...


Untuk pengetahuan Mak Long Che'a dan Pak Su Wie, botol susu Marigold Feeding Bottle ini adalah buatan England seperti mana yang tertulis (emboss) pada botolnya. Namun begitu BR tidak dapat mengambil gambar close-up nya kerana tulisannya itu agak kabur.


Fuyoo!.. Betul-betul macam pisang... He.. he..

Botol susu ini juga adalah 100% diperbuat daripada kaca dan dijamin bebas BPA (Bisphenol A) berbanding dengan BOTOL SUSU KACA yang pernah BR paparkan sebelum ini kerana masih mempunyai penutup plastik. Sebenarnya kaedah penggunannya ialah dengan meletakkan puting susu pada salah satu lubang sahaja manakala lubang yang lagi satu akan di tutup dengan gabus.


Botol susu ini juga terdapat dalam berbagai saiz dan jenama membuktikan penggunaannya memang cukup popular suatu ketika dahulu. Agak menghairankan juga kerana meskipun ianya diperbuat daripada kaca, namun tidaklah seberat mana dan masih relevan untuk dipegang oleh seorang bayi.

Mengapakah botol susu seperti ini sudah tidak digunakan lagi sekarang? Tentu ada pro dan kontranya...


13 January, 2011

Botol Susu Bambino Peninggalan Adolf Hitler...


Setelah sekian lama menyepikan diri daripada 'memosting' di dalam blog Blues Riders ini, maka pada hari ini bermulalah kembali paparan yang dimulakan dengan botol susu Bambino ini. Pada awal tahun biasalah selalunya BR sibuk dan menyibuk dengan tugasan-tugasan rasmi dan tidak rasmi yang perlu dibereskan terlebih dahulu.

Kepada pengunjung dan pembaca setia blog ini, jangan bimbang kerana blog ini akan terus bersiaran seperti biasa insyaAllah...


Botol susu Bambino ini adalah 100% diperbuat daripada kaca tatkala pengeluaran botol susu plastik masih belum meluas penggunaannya. Untuk pengetahuan, botol susu Bambino ini tidak dijamin juga bebas BPA (Bisphenol A) kerana meskipun botolnya diperbuat daripada kaca namun penutupnya masih lagi diperbuat daripada plastik... He.. he..


Jenama BAMBINO emboss pada botol.


Terdapat dua jenis sukatan pada botol susu ini iaitu dalam sukatan cubic centimeters...


... dan ounces.


Sering kali kita melihat botol-botol susu adalah amat popular keluaran daripada England atau pun China tetapi botol susu ini adalah buatan Jerman pula, Kak Chik, Dik Yah. Mungkin juga sdr. Adolf Hitler pernah menggunakan botol susu ini ketika bayi dahulu siapa tahu?


Disertakan juga dengan puting susu dummy yang BR sendiripun tidak pasti apakah fungsinya. Hendak dikatakan puting susu sebenar tidak juga kerana ianya keras dan tiada lubang dan diperbuat daripada bahan seperti plastik. Bentuknya juga agak pelik kerana bengkok sedikit... He.. he..


Kondisinya masih cantik tetapi terdapat seperti kabus pada kaca botol. Tidak pasti pula kesan kabus itu adalah asal ataupun hasil daripada penggunaannya setelah sekian lama.

Satu peristiwa yang benar-benar menyentuh kalbu ialah pernah sewaktu kanak-kanak dahulu BR melihat sebuah keluarga menggunakan botol kicap sebagai botol susu mungkin kerana tidak mampu membeli botol susu...


Moral Value: Susu ibu adalah sebaik-baik susu.


20 December, 2010

Chuo Kian Aerated Water


Bagi memeriahkan lagi dunia koleksi botol-botol soda, BR paparkan sebiji botol aerated water Chuo Kian yang telah diperolehi di Ipoh tidak berapa lama dahulu.


Rasanya produk ini masih baru dan mungkin dikeluarkan di tahun 1990-an atau 2000-an untuk pasaran tempatan di Sarawak. Mungkin sama seperti jenama KEKO yang setakat ini hanya boleh ditemui di pasaran utara Semenanjung.


Begitu jauh botol ini 'merantau' iaitu dari Chuo Kian Aerated Water Co. Sdn. Bhd., Sibu, Sarawak, Malaysia untuk tiba di Semenanjung.


Jenama Chuo Kian yang ditulis cantik seperti ribbon Coca-Cola.


Tulisan Cina yang mungkin membawa maksud yang sama seperti di atas.


Botol berkaca jernih ini mempunyai isian 285ml iaitu isian standard bagi kebanyakan jenama minuman.

06 December, 2010

The New Aerated Water Co. Penang


Botol berguli atau codd bottle The New Aerated Water Co. Penang ini sudah lama BR miliki secara kebetulan kerana tertarik dengan sebiji guli yang berada di dalamnya. Walaupun BR bukanlah seorang pengumpul botol tegar, namun minat terhadap botol-botol lama ini tetap ada kerana barulah BR menyedari bahawa ramai lagi di luar sana yang mempunyai minat yang sama.


Tidak pasti pula tahun bilakah ianya dikeluarkan, tetapi mungkin sudah lama berdasarkan beberapa bubbles kecil yang terdapat pada kaca botol. Berketinggian kira-kira 8 inci dan memiliki kaca kehijauan yang tebal. Keadaannya memang masih elok tanpa sebarang kecacatan atau serpihan pada botol.


Tertulis perkataan emboss The New Aerated Water Co. Penang pada badan botol. Untuk pengetahuan, inilah 'semangga' atau satu-satunya botol codd yang BR miliki, sebagai 'gundu' atau penguat semangat mengumpul botol... He.. he..


Dikeluarkan oleh Wm Barnard & Sons London berdasarkan cetakan emboss di belakang botol.


Meniru shot bro frightrice untuk menunjukkan sebiji guli yang berada di dalam botol.


Pandangan sisi botol.


Sebenarnya untuk membuka dan meminum air daripada botol codd ini ada caranya yang tersendiri. Pengalaman ini BR alami ketika mencuci botol ini, air susah untuk dikeluarkan kerana guli di dalam botol itu asyik menutup mulut botol mengikut arah air keluar. Jadi, bagaimana pula untuk meminumnya? Mungkin guli tersebut akan ditolak menggunakan lidah... He.. he..


Untuk menjelaskan lagi dengan lebih panjang lebar mengenai botol codd ini memanglah BR tak pandai. Oleh itu sebagai rujukan mengenai botol-botol codd ini pembaca bolehlah melayari blog: Reviving History: A Story of Ayer Lamned


Ataupun untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sejarah codd bottles ini bolehlah melawat: Antique Bottles


01 December, 2010

120 Years Fraser & Neave


Setelah kita dihidangkan dengan kisah tragis F&N Cinta Pantai Merdeka suatu ketika dahulu, kali ini kita ikuti lagi kisah botol F&N ini yang bolehlah diistilahkan sebagai serupa tetapi tak sama. Sekali pandang sememangnya tiada apa-apa perbezaan di antara botol-botol F&N yang dipaparkan ini, cuma yang jelas hanyalah saiznya sahaja yang berbeza tetapi masih lagi merupakan botol-botol lama keluaran Fraser & Neave.


Sebenarnya terdapat perbezaan yang ketara iaitu salah satu daripada botol-botol ini adalah repro keluaran khas di tahun 2003 (Commemorative Pack) sempena memperingati 120 tahun Fraser & Neave.


Pandangan dari hadapan botol memang serupa, sama tinggi, sama rendah dan mempunyai saiz botol yang sama dengan asal sehingga sukar untuk dibezakan.


"120 YEARS FRASER & NEAVE .... trusted for generations COMMEMORATIVE PACK" dengan gambaran splash merah dan biru terdapat di belakang botol.


Jika bukan kerana lambang 120 tahun F&N ini, tentunya kita tidak dapat membezakan antara botol yang baharu dengan botol yang lama.


Patutlah botolnya seperti baharu dan berkilat-kilat.


Perbezaan di bahagian bontot botol di mana boleh dilihat botol F&N keluaran khas ini (kiri) adalah kosong tanpa tulisan berbanding dengan keluaran yang asal (kanan) yang bertulisan.




Pandangan dari sisi botol.


Sedikit kisah mengenai Fraser & Neave:

Fraser & Neave Holdings rekod untung tertinggi.


Sumber: Berita Harian 10.11.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)

Fraser & Neave Holdings Bhd, merekodkan keuntungan keseluruhan kumpulan tertinggi sebanyak RM694 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September lalu dengan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding RM242.9 juta dicatatkan tahun lalu.

Mengulas lanjut berhubung perancangan syarikat pada masa depan, Ng berkata, syarikat bercadang mengukuhkan teras ketiga perniagaannya iaitu segmen perniagaan makanan yang baru diperoleh menerusi pelaburan dalam syarikat berasaskan makanan ringan.

Katanya, strategi pengukuhan itu adalah sebahagian daripada langkah syarikat bersiap sedia untuk menghadapi tempoh peralihan Coca-Cola yang tamat menjelang September tahun depan.


"Kenaikan keuntungan operasi disebabkan peningkatan jualan minuman ringan dan kejatuhan kos bahan mentah tenusu" - Ng Jui Sia Ketua Eksekutif Fraser & Neave Holdings Bhd.


30 November, 2010

The Tiger Balm Brand


Tiger Balm merupakan salah satu balm yang cukup popular suatu ketika dahulu untuk meredakan sakit kepala atau seumpamanya. Aromanya yang menyegarkan dan 'berangin' sungguh mujarab bagi melegakan kesakitan yang dialami. Botol kosong Tiger Balm ini sengaja BR simpan entah sejak bila lagi memandangkan keunikan yang terdapat pada botolnya.


Botolnya berketinggian kira-kira 1.5 inci dan amat sesuai untuk dibawa ke mana-mana dan digunakan pada saat-saat kita memerlukan. Botol ini juga memiliki kaca yang tebal dan tidak mudah pecah.


Meskipun saiz botol ini kecil sahaja, tetapi hampir keseluruhan bahagian pada botol ini dipenuhi dengan tanda perniagaan yang di emboss.


Pada penutupnya terdapat tanda perniagaan yang di emboss.


Pada bontot botol juga terdapat gambar harimau emboss. Bila melihat kepada gambar harimau ini, maka teringatlah pula pada lambang Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Filem Negara Malaysia suatu masa dahulu.

Filem yang paling popular keluaran Filem Negara Malaysia pada waktu ialah 'Gelombang' lakonan Rubiah Suparman. Ditayangkan di kampung-kampung oleh Jabatan Penerangan.


Sedikit maklumat mengenai Tiger Balm:

It has always been our belief that no one should be constrained from leading a full and active life because of aches and pains. That is why Tiger Balm ointment was created nearly 100 years ago from ancient Chinese sources and subsequently expanded over the years into different formats to give you the relief you desire for different areas of pain.

Tried, tested and trusted by generations of users, you can rely on Tiger Balm's unique and proven herbal formulation to ease your aches and pains and for your optimal well-being. Be it headaches, rheumatic or arthritic pains, muscle strains and sprains, Tiger Balm has just the pain relief remedy for you.

It doesn't matter whether you are young or old. Tiger Balm is committed to evolving alongside your lifestyle needs. As a pain relief specialist, Tiger Balm is focused on delivering innovative herbal-based products that come in a wide variety of convenient formats to use at home, at work, and at play.

So go on, live your life to the fullest and achieve your goals without being constrained by pain!

22 November, 2010

Balang Tang Emboss


Seperti yang telah dijanjikan, hari ini BR akan mengumumkan jawapan dan pemenang bagi soalan teka-teki siri 5/2010 yang telah disiarkan pada 18.11.2010 yang lalu. (Sila rujuk: SINI).


Setelah ditutup jam 9.00 pagi ini, penyertaan yang diterima amatlah menggalakkan berdasarkan penambahan penyertaan berbanding dengan siri teka-teki yang dijalankan sebelumnya. Sebanyak 23 jawapan telah diterima dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang telah sudi mengambil bahagian.

Berikut ialah jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh para peserta:

1. Safinaz Hanum Ahmad Anuar - oren Tangs
2. SiNoMoSa - MILO
3. lan_ax - nescafe
4. Syazwana - nescafe
5. Nur Qistina - nescafe tutup kuning
6. ita cutevirus - oren sunquick
7. LayarLara - indocafe
8. Echam - Kopi tongkat ali
9. kaminobody - air sprite
10. kaminobody - horlick
11. kaminobody - milo
12. Noor Faezah Mazli - f&N
13. Ejen 010 - Sunquick
13. fairus - F & N
15. Nafisa81 - yogurt
16. Tengku Nizam - susu F & N
17. Insan Marhaen - Horlick
18. iza - penutup air minit F&N
19. ana ayesha - ovaltine
20. Solihin Zubir - vico
21. Ying Yi LR - coca-cola
22. ..:::purpleholet:::.. - This post has been removed by the author.
23. ..:::purpleholet:::.. - bekas susu f&n


Setelah diteliti oleh para juri dan juruodit bertauliah berdasarkan jawapan yang diberikan di atas, keputusan pemenangnya ialah: Safinaz Hanum Ahmad Anuar dengan jawapannya oren Tangs.

Meskipun ada penambahan huruf 's' pada jawapan sebenar iaitu Tang, namun para juri telah mengambil keputusan untuk menerima jawapan tersebut memandangkan jawapan tersebut adalah yang hampir tepat.

Kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dan yang tidak mengambil bahagian, cuba lagi di lain kali kerana ruangan teka-teki bersiri ini akan BR kemukakan dari semasa ke semasa. Untuk makluman, apalah sangat pada hadiah yang ditawarkan tetapi semuanya ini hanyalah untuk suka-suka dan untuk memeriahkan suasana berblog sahaja tanpa sebarang maksud yang tersurat mahupun tersirat...

Marilah sama-sama kita ikuti kisah balang oren TANG ini:


Setelah kita ikuti dengan jayanya kisah TANG, kali ini kita lihat pula balang TANG emboss yang BR perolehi ketika pulang ke kampung baru-baru ini. Kedua-dua balang TANG ini telah dijadikan pasu bunga dan diletakkan di luar rumah. Setelah dibelek-belek nyatalah ianya balang TANG yang entah tahun bila ianya dikeluarkan tetapi yang pastinya sudah tentu sebelum tahun 2002.


Memiliki rupa bentuk dan ketinggian (kira-kira 7 inci) yang seakan-akan sama antara kedua-duanya cuma yang membezakannya hanyalah tulisan TANG emboss yang terdapat pada setiap balang.


Tulisan TANG berlatar belakangkan kaca bergerutu lengkap dengan sukatan 1 liter.




Tulisan TANG berlatar belakangkan kaca licin.


Boleh juga dijadikan jag minuman yang tidak bertangkai seperti jag PYREX, cuma ianya tidak berpenutup. Tidak dapat dipastikan pula sama ada kehadiran balang-balang ini sememangnya berpenutup atau tidak.

Jenuh juga menyental untuk menghilangkan karat pada kedua-dua balang ini supaya nampak seperti baru, tetapi gagal kerana karat yang terhasil adalah terlalu degil untuk dihilangkan walaupun berbagai kaedah digunakan. Kepada pembaca yang mempunyai petua berguna untuk membersihkan bekas kaca seperti ini bolehlah memberi bantuan di sini.


Pandangan dari atas menunjukkan bentuknya yang cantik dan memiliki kualiti kaca yang tebal dan berkualiti.


19 November, 2010

Botol Glucolin Koolers


"KOOLERS" adalah minuman glukosa buah-buahan Tropika yang enak. Ia mengandungi glukosa untuk tenaga dan jus buah-buahan campuran asli dengan Vitamin C tambahan. Keluaran GLUCOLIN Glucose dan merupakan bes minuman seperti Ribena tetapi tidaklah sepopular Ribena walaupun dengan meminumnya kita boleh mendapatkan tenaga yang 'cool'... He.. he..


"KOOLERS" perlu dicairkan sebelum diminum. Ia sesuai untuk kanak-kanak berumur 1 tahun ke atas dan juga orang dewasa.


Bahan-bahan:

Sukrosa, Sirap Berfruktosa Tinggi, campuran jus buah Oren, Markisah, Mangga dan Pic, Sirap Glukosa, perisa asli, perapi makanan, asid sitrik, bahan-bahan penstabil, pewarna asli, Vitamin C (30mg/100ml) dan pengawet yang dibenarkan. Pada labelnya juga jelas tertulis "No artificial colour or flavour."


Peraturan menggunakan:

Bagi setiap penyediaan 240ml - Campurkan 1 bahagian "KOOLERS" dengan lima bahagian air. Untuk mendapatkan tenaga tambahan, anda disyorkan meminum 240ml sebanyak 3 kali sehari (bersamaan 330 kkal).


Botol ini berketinggian kira-kira 27 cm, penutup atasnya telah diseal dengan lapisan kertas aluminium untuk menjamin kualitinya. Barangan ini mengandungi jus buah semulajadi dan kandungan semulajadinya mungkin mendap. Goncang sebelum guna. Sila simpan di tempat sejuk setelah dibuka. Sebaik-baiknya, gunakan dalam tempoh 30 hari.


Terdapat juga perkataan "GLUCOLIN" pada penutup botol serta anak panah sebagai panduan membuka botol.


Pada bontot botol juga terdapat perkataan "GLUCOLIN" emboss.


Dibuat untuk The Boots Company (F.E.) Pte. Ltd., Petaling Jaya, Selangor. Tarikh luput yang jelas kelihatan ialah pada 18 September 1997 iaitu kira-kira 13 tahun yang lalu. Tidak pastilah pula sama ada produk ini masih lagi berada di pasaran kerana telah lama jugalah kiranya tiada terlihat di pandangan mata...


Moral Value: Kurangkan penggunaan gula dalam minuman dan makanan anda.

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'