Showing posts with label Buku Teks. Show all posts
Showing posts with label Buku Teks. Show all posts

14 May, 2011

Buku Sejarah Malaysia Darjah Enam


Entri ini sebenarnya telahpun dipaparkan pada 12.05.2011 yang lalu tetapi oleh kerana entah apa yang telah berlaku kepada Blogger baru-baru ini, kesannya ialah posting ini termasuklah dengan komen-komen yang dikemukakan oleh pembaca telah 'hilang' daripada blog ini secara tiba-tiba. Hairan memanglah hairan tetapi tidaklah menghairankan sangat kerana biasalah apabila menggunakan perkhidmatan yang percuma ini.

Tetapi mujurlah cuma satu post sahaja yang hilang, kalau semuanya hilang, memang nak kena terminate dah blog ni. Walau bagaimanapun mujur lagi sekali di mana BR sempat membuat backup bagi setiap post, cuma yang tidak boleh diselamatkan ialah komen-komen pembaca yang telah hilang.

Kepada pembaca yang ingin membuat komen semula dan komen daripada pembaca baharu amatlah dialu-alukan. Oleh itu marilah kita ikuti semula ulang tayang kisah Buku Sejarah Malaysia Darjah Enam ini. Sebarang kesulitan amatlah dikesali...

Setelah kita mengikuti kisah buku teks Sejarah Malaysia Darjah Empat, kali ini marilah sama-sama kita ikuti pula kisah buku teks Sejarah Malaysia Darjah Enam yang pernah kita gunakan semasa di darjah 6 suatu masa dahulu. (Sila klik untuk besarkan setiap imej).


Kulit hadapan buku yang menunjukkan gambaran pelukis mengenai sebuah bangunan hospital atau sekolah yang memiliki ciri-ciri reka bentuk moden.


Pada kulit belakang buku pula yang membawa gambaran pelukis mengenai permodenan sistem jalan raya dengan gambaran seperti sebuah lebuh raya seperti yang dapat kita lihat sekarang. Jelas sekali bilangan kenderaan di atas jalan raya tidaklah sesibuk pada hari ini.


Diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka 1984. Hakcipta oleh Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Khoo Kay Kim dan Muhd. Yusof bin Ibrahim 1979. (Penulis-penulis ini merupakan sejarawan negara yang terkenal sehingga ke hari ini).

Buku teks ini boleh dikatakan baharu juga kerana sebelum ini pelajaran Sejarah adalah dikenali sebagai pelajaran Tawarikh. Cetakan pertama ialah pada tahun 1979 dan cetakan kedua (dengan pembetulan) pada tahun 1980. Sejarah pun boleh buat pembetulan juga? Buku ini telah diulang cetak sebanyak enam kali sehingga tahun 1984 dan dicetak oleh Penerbitan Adabi Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Secara keseluruhannya buku ini mengandungi berbagai aspek sejarah yang diharap akan menambah pengetahuan murid-murid tentang Sejarah Malaysia dan negara-negara lain. Sejarah tokoh-tokoh dan pejuang-pejuang Malaysia serta tokoh-tokoh daripada negara lain dikemukakan supaya murid boleh melihat dan mencontohi perkara-perkara baik yang telah dilakukan oleh mereka.

Murid akan dapat mengetahui bagaimana beraninya Dol Said dan Rentap, bagaimana rajin dan pandainya Za'ba, Joseph Lister, Alexander Graham Bell dan lain-lain lagi.


Isi Kandung terdiri daripada 16 topik pelajaran yang dipersembahkan melalui gaya penulisan yang mudah difahami beserta dengan ilustrasi-ilustrasi yang menarik sesuai dengan tahap penerimaan murid-murid pada waktu itu. Sungguhpun demikian, tajuk-tajuk pelajarannya bolehlah dikatakan agak berat juga memandangkan murid perlu mengingati beberapa nama tokoh dan tarikh-tarikh penting yang berlaku.


Isi Kandungnya:

1. Kemunculan Kuasa Portugis dan Kedatangan mereka ke Melaka.
2. Jatuhnya Melaka dan Kesan-kesan Portugis.
3. Empayar Johor-Riau.
4. Empayar Johor-Riau dan Orang Bugis.
5. Belanda di Tanah Melayu.
6. Pemecahan Empayar Johor-Riau.
7. British di Tanah Melayu.
8. Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu.
9. Penentangan Tokoh-tokoh Tempatan terhadap British.
10. Sarawak, Sabah dan Kedatangan British.
11. Penentangan terhadap British di Sarawak dan Sabah.
12. Perkembangan Ekonomi.
13. Sistem Pendidikan.
14. Perkembangan Sistem Pendidikan.
15. Perkembangan Perkhidmatan Kesihatan dan Perubatan.
16. Pengangkutan dan Perhubungan.

Terdapat juga soalan-soalan latihan lisan dan objektif yang dikemukakan di akhir tajuk pelajaran sebagai langkah pengukuhan. Kita ikuti cabutan beberapa tajuk pelajaran yang sempat dipaparkan.


Tajuk Pelajaran 1: Kemunculan Kuasa Portugis dan Kedatangan mereka ke Melaka.

Topik ini berkisar mengenai sejarah kemunculan kuasa Portugis dan kedatangan mereka ke Melaka. Beberapa tokoh pelayaran seperti Putera Henry Ahli Pelayaran, Christopher Columbus, Vasco da Gama, Alfonso de Albuquerque (Cikgu Mat Isa menyebut sebagai Alfonso di ibu kaki) turut diperkenalkan.

Topik ini juga menceritakan mengenai kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada 24 Ogos 1511 dan penentangan rakyat Melaka terhadap Portugis. Kisah Sultan Ahmad Syah, Tun Fatimah, Laksamana Khoja Hassan dan beberapa tokoh penentang yang lain turut diceritakan. Sedih apabila membaca kisah ini dan mulalah teringatkan lagu nyanyian Kumpulan Bumiputra Rockers "1511" yang mengisahkan mengenai pejuang-pejuang yang mempertahankan Melaka ini.


Tajuk Pelajaran 4: Empayar Johor-Riau dan Orang Bugis.

Topik ini ialah mengenai kewujudan kuasa-kuasa Melayu bermula daripada zaman Aceh, Johor-Riau, Peperangan Jambi dan asal-usul orang Bugis di Tanah Melayu. Salasilah Raja-Raja Selangor juga turut dipaparkan bersama dengan kisah Raja Haji seorang pahlawan Bugis yang terbilang pada waktu itu.


Tajuk Pelajaran 7: British di Tanah Melayu.

Berkisar kepada kedatangan British di Tanah Melayu. Murid didedahkan dengan apakah tujuan Inggeris menubuhkan Syarikat Hindia Timur, penentangan terhadap Inggeris di Pulau Balambangan, kegiatan ekonomi British di kawasan Selat Melaka, Negeri-negeri Selat, Sistem Residen dan sebagainya.

Beberapa orang tokoh British seperti Francis Drake, Francis Light, Alexander Dalrymple dan Sir Andrew Clarke juga turut diperkenalkan selain daripada tokoh-tokoh tempatan seperti Sultan Abdullah dan beberapa orang Pembesar Negeri Perak.

Secara peribadi, memang cukup hebat isi kandungannya dan tidak hairanlah jika murid-murid hari ini dikatakan buta sejarah kerana mereka tidak pernah mempelajari sejarah sebagaimana yang telah kita pelajari pada waktu dahulu...


Tajuk Pelajaran 9: Penentangan Tokoh-tokoh Tempatan terhadap British.

Tajuk ini berkisar mengenai penentangan tokoh-tokoh tempatan terhadap British di mana Cikgu Mat Isa begitu bijak menyampaikan pengajarannya bagi membangkitkan semangat patriotisme
dikalangan murid-muridnya pada waktu itu.

Dimulakan dengan penentangan terhadap British oleh Sultan Kedah, Dol Said, Datuk Kelana Sungai Ujung, Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Sultan Ahmad Pahang, Haji Abdul Rahman Limbung dan beberapa orang tokoh pejuang yang lain yang sanggup menggadai nyawa demi mempertahan tanah air daripada penjajahan...


Tajuk Pelajaran 13: Sistem Pendidikan.

Mengenalkan murid kepada sistem pendidikan negara bermula daripada Zaman Kerajaan Melayu Melaka, Zaman Portugis dan Belanda serta di zaman Inggeris dan Negeri-negeri Selat. Disentuh juga mengenai kemasukan buruh Cina dan India yang telah mempengaruhi sistem pendidikan pada waktu itu. Turut disentuh ialah mengenai perkembangan Sekolah Melayu sehingga Perang Dunia yang Pertama dan sehingga selepas Perang Dunia yang Pertama.

Beberapa orang tokoh pendidikan seperti Buyong bin Adil, Ibrahim bin Yaakob, Za'ba (Zainal Abidin bin Ahmad), Abdul Hadi bin Haji Hassan, Nordin Haji Harun, Muhammad Isa bin Mahmud, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan sebagainya turut juga diberi perhatian terhadap sumbangan mereka terhadap perkembangan sistem pendidikan negara dan politik pada waktu itu.


Demikianlah serba sedikit imbauan mengenai apa yang telah dipelajari oleh murid-murid pada waktu itu bagi subjek Sejarah ini. Jika pada hari ini ramai murid sekolah rendah yang tidak mengenali siapakah itu Datuk Dol Said, Datuk Kelana Sungai Ujung, Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Sultan Ahmad Pahang, Haji Abdul Rahman Limbung dan beberapa nama lain pejuang negara, janganlah disalahkan mereka kerana mereka tidak pernah mempelajari perkara itu dan memang layaklah murid-murid hari ini dikatakan buta sejarah...


"Bagai padang jarak padang terkukur,
Yang mengkebumi ratusan perwira,
Mengalir darah masih hangat,
Menuntut pembela Bangsa,
Negara, Agama di kemudian hari..."


Moral Value: Teringat kata-kata mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad, "Melayu mudah lupa..."


15 March, 2011

Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Enam


Setelah kita mengikuti kisah buku teks Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Empat, untuk entri kali ini marilah sama-sama kita ikuti pula kisah buku teks Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Enam yang pastinya akan mengimbau kembali kenangan semasa bersekolah rendah di suatu masa dahulu.


Kulit hadapan buku menggambarkan serba sedikit mengenai isi kandung buku iaitu mengenai penjagaan kesihatan, sistem pernafasan dan sistem pendengaran. Semester pertama ijazah kedoktoran mesti belajar mengenai semua ini... He.. he..


Pada kulit belakang buku juga membawa maksud yang sama iaitu mengenai sistem pencernaan, gigi dan mata.


Penerbitan Kerajaan Malaysia (Kementerian Pelajaran) dan hakcipta Dewan Bahasa dan Pustaka 1974. Cetakan pertama ialah pada tahun 1974 dan diulang cetak sebanyak sebelas kali sehingga tahun 1984. Buku ini dicetak oleh Percetakan Harian, Setapak Garden, Kuala Lumpur.

Secara keseluruhannya buku ini mencakupi berbagai aspek penjagaan kesihatan rohani dan jasmani supaya akan menghasilkan murid-murid yang benar-benar berilmu dan berguna kepada masyarakat dan negara keseluruhannya sebagai bekalan untuk mereka menempuhi alam remaja.

Isi Kandungan terdiri daripada 30 Pelajaran yang dipersembahkan melalui gaya penulisan yang mudah difahami beserta dengan ilustrasi-ilustrasi yang mudah yang dikira amat sesuai dengan peringkat umur murid-murid Darjah Enam pada waktu itu. Ilustrasi-ilustrasi mudah itu juga boleh menarik minat dan daya ingatan murid terhadap sesuatu tajuk pelajaran.

Isi Kandungnya:

1. Kebersihan Diri.
2. Kelaziman Kesihatan.
3. Mata, Telinga, Hidung dan Kerongkong.
4. Gigi Kita.
5. Bentuk Gigi.
6. Kesihatan Gigi.
7. Makanan yang Memberi Tenaga, Membina Badan dan Mencegah Penyakit.
8. Air.
9. Bekalan Air untuk Orang Ramai.
10. Memilih, Menyedia, Menyimpan dan Menjaga Makanan.
11. Pencernaan Makanan.
12. Tumbesaran.
13. Senaman dan Hiburan.
14. Berehat.
15. Tidur.
16. Persikapan.
17. Hormat-menghormati antara Keluarga.
18. Menjadi Orang yang Berguna.
19. Persahabatan.
20.Mengawal Rasa Hati.
21. Kesihatan dan Keselamatan Di Rumah.
22. Kesihatan dan Keselamatan Di Sekolah.
23. Sampah dan Kotoran Rumah.
24. Mencegah Penyakit yang Berjangkit.
25. Kesan-kesan Buruk daripada Minuman.
26. Kegunaan dan Salah Guna Ubat-ubatan.
27. Masa Kecemasan.
28. Kesihatan Masyarakat.
29. Kerajaan dan Kesihatan.
30. Peranan Seseorang warganegara yang Baik.

Terdapat juga soalan-soalan latihan yang dikemukakan di akhir tajuk pelajaran yang telah dipelajari sebagai pengukuhan.

Marilah sama-sama kita ikuti beberapa tajuk pelajaran yang telah BR pilih secara rawak untuk tatapan kita. Pembaca juga boleh klik pada imej untuk membesarkannya.


Tajuk Pelajaran 1: Kebersihan Diri.

Berkisar kepada penjagaan dan kebersihan diri iaitu cara penjagaan rambut, badan, tangan, kaki dan pakaian. Dihuraikan satu persatu sebab dan akibat kepentingan penjagaan kebersihan diri ini.

Satu tajuk pelajaran yang dikira amat penting bagi murid-murid mempraktikannya. Semasa BR bersekolah dahulu, uji kaji mengenai kebersihan kuku juga dilakukan oleh Cikgu Saidin di mana satu sampel kotoran kuku telah diambil lalu diletakkan di atas sekeping roti. Hasilnya selepas beberapa hari kita boleh melihat roti tersebut telah menjadi berkulat dan diandaikan begitulah rupanya makanan yang kita makan dengan menggunakan tangan yang berkuku kotor.


Tajuk Pelajaran 4: Gigi Kita.

Mengenalkan murid kepada struktur gigi, jenis-jenis gigi serta tugas gigi masing-masing. Contohnya gigi kacip, gigi taring, gigi geraham besar dan gigi geraham kecil. Penjelasan yang ringkas tetapi cukup berinfo mengenai gigi. Untuk pengetahuan, semasa di zaman persekolahan dahulu memang terdapat ramai rakan-rakan BR yang bergigi 'rongak' termasuklah BR sendiri... He.. he..


Tajuk Pelajaran 7: Makanan yang Memberi Tenaga, Membina Badan dan Mencegah Penyakit.

Tajuk ini berkisar mengenai kepentingan pemakan untuk tubuh badan. Dinyatakan mengenai jenis-jenis makanan yang mempunyai kanji, gula, lemak, makanan pembina badan dan makanan pencegah penyakit.

Disebut juga mengenai kepentingan protein dan vitamin serta kepentingan memakan buah-buahan tempatan seperti betik, jambu, rambutan, cempedak dan sebagainya. Tidak hairanlah jika diperhatikan penduduk Malaysia di sekitar tahun 1960-1970-an mempunyai tubuh badan yang menarik dan tidak ramai yang obesiti.


Tajuk Pelajaran 9: Bekalan Air untuk Orang Ramai.

Topik ini ialah mengenai kepentingan air dalam kehidupan manusia. Di antaranya ialah air pili (air paip), air hujan, air tasik atau kolam, air perigi dan air sungai. Di kampung BR dahulu memang terdapat air pili seperti di dalam gambar yang diletakkan di tepi-tepi jalan bagi kemudahan penduduk kampung menggunakan air bersih.

Pada waktu itu kemudahan air paip dari rumah ke rumah adalah belum meluas dan penduduk kampung cuma disediakan sebuah pili awam seperti itu untuk kegunaan ramai. Adalah menjadi perkara biasa jika dilihat orang mandi dan membasuh pakaian di tepi jalan pada waktu itu. Kebanyakan penduduk kampung pada waktu itu juga lebih banyak menggunakan perigi sebagai sumber air mereka.


Tajuk Pelajaran 14: Berehat.

Topik ini berkisar mengenai kepentingan berehat di dalam kehidupan. Walaupun dilihat mudah, tetapi berehat merupakan satu keperluan yang mesti diberi perhatian yang kebanyakannya diabaikan oleh masyarakat hari ini. Sengaja BR paparkan tajuk ini kerana ilustrasi funfair dan sekeluarga sedang berehat sambil mendengar radio merupakan ilustrasi yang cukup mengingatkan BR kepada suasana di sekolah rendah dahulu.


Tajuk Pelajaran 18: Menjadi Orang yang Berguna.

Tajuk ini ialah mengenai keperluan supaya murid menjadi orang yang berguna dan boleh hidup berdikari.

"Kita mesti belajar bagaimana hendak menjaga dan menolong diri sendiri. Kita mesti juga belajar bagaimana hendak hidup sihat dan cara hendak menjaga perasaan hati orang lain. Kita juga patut tahu bagaimana hendak membuat pertimbangan pada satu-satu perkara yang terjadi."


Tajuk Pelajaran 23: Sampah dan Kotoran Rumah.

Satu tajuk yang dikira amat penting untuk murid dan masyarakat menghasilkan persekitaran yang bersih dan sihat. Di antara topik yang dihurai di sini ialah mengenai pembuangan sampah-sarap, pembuangan najis, tandas moden, tangki septik atau limbahan, tandas angkat dan sebagainya. Kaedah pembinaan sesebuah tandas juga diterangkan di dalam topik ini.

Untuk pengetahuan, sebelum adanya tandas moden seperti hari ini, terdapat beberapa bentuk tandas pada zaman dahulu seperti tandas kolam, tandas korek, tandas angkut dan tandas 'baling'. Tidak dapat dihuraikan satu persatu kaedah-kaedah tandas yang telah disebutkan itu memadai hanya mereka yang pernah merasainya sahaja yang mengetahui...


Demikianlah serba sedikit imbauan mengenai apa yang telah dipelajari oleh murid-murid dahulu bagi subjek Ilmu Kesihatan Darjah Enam ini. Kepada pembaca yang pernah menggunakan buku teks ini sudah tentu mempunyai cerita yang tersendiri untuk dikongsikan. Berdasarkan kepada isi kandung buku teks ini serta kesungguhan guru-guru yang mengajar pada waktu itu, ramai di antara kita yang patut bersyukur kerana telah menjadi apa yang telah kita jadi sekarang...


18 October, 2010

Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Empat


Sebuah lagi buku teks sekolah rendah di tahun 1970-an iaitu Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Empat. Buku inilah yang BR gunakan semasa di darjah empat dahulu. Bersaiz kira-kira 6" x 8" serta mengandungi 108 muka surat sarat dengan ilmu-ilmu penjagaan kesihatan rohani dan jasmani. (Sila klik untuk setiap imej yang lebih jelas).


Kulit hadapan buku menggambarkan serba sedikit mengenai isi kandung buku iaitu mengenai 'Tumbesaran Tubuh', 'Kegemaran Untuk Berehat' dan 'Kebersihan Pakaian'.


Pada kulit belakang buku juga mempunyai ilustrasi yang membawa maksud yang sama iaitu di bawah tajuk 'Bersenam, Berehat dan Tidur', 'Berjenis-jenis Makanan' dan 'Pertolongan Cemas'.


Hakcipta Dewan Bahasa dan Pustaka 1974. Cetakan pertama ialah pada tahun 1974 dan diulang cetak sebanyak sembilan kali sehingga tahun 1984. Buku ini dicetak oleh Percetakan Harian, Setapak Garden, Kuala Lumpur.

Isi Kandungan terdiri daripada 30 Pelajaran yang dipersembahkan melalui gaya penulisan yang mudah difahami berserta dengan ilustrasi-ilustrasi yang mudah dan dikira amat sesuai dengan peringkat umur murid-murid darjah empat (10 tahun). Ilustrasi-ilustrasi mudah itu juga boleh menarik minat dan daya ingatan murid terhadap sesuatu tajuk pelajaran.

Tajuk-tajuk Pelajaran yang dimuatkan di dalam buku ini ialah:

1. Kebersihan Diri dan Perawakan.
2. Kebersihan Pakaian.
3. Mata, Telinga, Hidung dan Kerongkong.
4. Cahaya.
5. Pernafasan.
6. Perjalanan Darah.
7. Gigi.
8. Berjenis-jenis Makanan.
9. Buah-buahan dan Sayur-sayuran.
10. Air di dalam Tubuh.
11. Peraturan Makan yang Baik.
12. Makanan Pembina Tubuh.
13. Tumbesaran Tubuh.
14. Bersenam, Berehat dan Tidur.
15. Sikap yang Baik.
16. Kasih dan Hormat.
17. Berkelakuan Baik.
18. Percaya kepada Diri Sendiri.
19. Tolong-menolong dan Bertimbangrasa.
20. Kegemaran untuk Berehat.
21. Kebersihan di Rumah.
22. Kebersihan di Sekolah.
23. Keselamatan di Rumah.
24. Keselamatan di Sekolah.
25. Membuang Kotoran.
26. Kuman Penyakit.
27. Penyakit Merebak.
28. Sebab-sebab Kemalangan.
29. Pertolongan Cemas.
30. Bekerjasama untuk Kesihatan.


Terdapat juga soalan-soalan latihan yang dikemukakan di akhir setiap tajuk pelajaran yang telah dipelajari sebagai aktiviti pengukuhan.

Kita ikuti beberapa cabutan tajuk pelajaran yang BR paparkan ini semoga akan mengembalikan nostalgia kepada pembaca yang pernah menggunakan buku ini.


Tajuk Pelajaran 1: Kebersihan Diri dan Perawakan.

Berkisar kepada penjagaan dan kebersihan diri iaitu cara penjagaan kulit, rambut dan kuku. Dihuraikan secara ringkas dan mudah tetapi cukup mengesankan. Biasanya guru-guru dahulu akan mengarahkan seorang murid membaca kuat petikan ini manakala murid-murid lain akan menunjukkan dengan jari teks yang dibaca itu. Masing-masing akan berdebar-debar takut kalau-kalau selepas itu giliran kita pula...


Tajuk Pelajaran 3: Mata, Telinga, Hidung dan Kerongkong.

Berkisar mengenai mengenal mata, telinga, hidung dan tekak (ENT) dan cara penjagaannya. Dilengkapi dengan gambarajah mata, telinga dan hidung supaya murid-murid lebih memahami struktur deria-deria tersebut. Cubalah bertanya kepada murid-murid Tahun Empat sekarang, apa itu kornea? ataupun koklea? Untuk memudahkan ingatan, Cikgu Saidin selalu mengingatkan kami bahawa koklea ini bentuknya seperti siput babi yang berada di dalam telinga. He.. he..


Tajuk Pelajaran 5: Pernafasan.

Tajuk ini berkisar mengenai pernafasan iatu menyedut oksigen dan menghembuskan karbon dioksida. Dijelaskan juga mengenai kepentingan mengeluarkan benda-benda yang tidak dikehendaki oleh tubuh seperti air yang mengandungi urea (air kencing). Topik ini diteruskan lagi pada Pelajaran 6 iaitu "Perjalanan Darah." Cikgu Saidin selalu mempraktikkan gabungjalin iaitu menceritakan mengenai kebesaran Illahi dengan izinNya memberikan kita hidup di dunia ini dengan menghirup udara dengan percuma...

Ilustrasi pada tajuk ini menunjukkan beberapa orang murid sedang menjalani pelajaran Pendidikan Jasmani (PJ). Untuk makluman, pemakaian seluar pendek dan bersinglet adalah fenomena biasa yang akan kita lihat sewaktu murid-murid dahulu menjalani PJ. Pada waktu ini juga berbagai ragam yang boleh dilihat kerana ada murid yang hanya 'berseluar katok' dan singlet yang berlubang-lubang, bak kata Cikgu Aris, 'banyak tingkap'...


Tajuk Pelajaran 13: Tumbesaran Tubuh.

Topik ini adalah mengenai mengukur tumbesaran tubuh yang secara tidak langsung menunjukkan murid-murid dahulu telahpun mengamalkan diet yang sihat melalui rekod tumbesaran yang direkodkan setiap 3 bulan sekali.

"Kita tentu berasa sukacita kalau tubuh kita cepat membesar dan cepat menjadi tinggi. Tetapi, jikalau tidak boleh jadi begitu, tentulah ada sebab-sebabnya. Kita patut cari sebab-sebabnya dan ia mungkin boleh diperbaiki. Boleh jadi kita tidak cukup bersenam atau tidak cukup makan makanan yang berzat. Oleh sebab itu, cepatlah berjumpa dengan doktor meminta nasihat."


Tajuk Pelajaran 15: Sikap Yang Baik.

Topik ini mengajar murid supaya mempunyai sikap yang baik. Salah satu daripadanya ialah berjalan dan duduk dengan cara yang betul dan bergaya. Cuba bayangkan betapa pada waktu itu pembentukan siasah yang baik telahpun dipupuk hanya melalui cara berjalan dan cara duduk.

Cikgu Saidin selalu menitikberatkan soal ini terutama sewaktu duduk hendaklah tegak dan di dalam keadaan bersedia. Beliau juga menegaskan supaya sewaktu berjalan juga mesti tegakkan badan manakala langkah dimulakan dengan kaki kanan dan tumit kaki dicecahkan dahulu...

Ini dijelaskan dalam teks berikut di muka surat 57: Ingatlah: "Berjalan mesti bergaya dan duduk pun mesti bergaya juga. Bila berjalan bukalah dada dan angkat kepala. Bila duduk pun mesti buka dada juga dan jangan duduk membongkok seperti orang tua.'


Tajuk Pelajaran 20: Kegemaran Untuk Berehat.

Inilah tajuk pelajaran yang walaupun ringkas tetapi perlu diberikan perhatian yang serius iaitu kepentingan rehat dan riadah di dalam diri murid terutamanya selepas belajar. Diberikan beberapa contoh berehat atau beriadah dengan berkebun, memelihara ikan, melukis, mengumpul setem, bepersatuan dan sebagainya.

Pendek kata murid disuruh supaya buatlah apa sahaja kegemaran yang boleh merehatkan otak dan tubuh. Berbeza dengan murid-murid sekarang yang dilihat padat dengan aktiviti-aktiviti belajar tanpa masa rehat yang mencukupi (berdasarkan pemerhatian ke atas anak BR sendiri).


Tajuk Pelajaran 24: Keselamatan di Sekolah.

Ini adalah topik yang paling penting. Al maklumlah murid-murid dahulu sememangnya cukup gemar bermain terutamanya pada waktu rehat termasuklah BR sendiri. Diterangkan mengenai jangan berlari-lari turun tangga, nanti kita terjatuh. Jangan bertolak-tolak atau berkejar di kantin, nanti kita terlanggar orang yang membawa makanan atau minuman yang panas.

Jangan berlaku kasar bila bermain dengan kawan-kawan, seperti menolak kawan atau melanggar kawan-kawan yang lebih kecil daripada kita. (Cikgu Saidin telah menerangkan konsep buli disini). Jangan pula melempar batu atau pasir kepada kawan-kawan yang sedang bermain.


Tajuk Pelajaran 27: Penyakit Merebak Menerusi Lalat.

Tajuk ini adalah mengenai kepentingan menjaga kesihatan melalui kebersihan persekitaran kerana penyakit boleh merebak melalui persekitaran yang kotor. Dijelaskan secara ringkas mengenai penyakit yang boleh merebak menerusi lalat (penyakit buang air darah dan penyakit taun), menerusi nyamuk tiruk (demam malaria), lipas, tikus (penyakit hawar) serta kepentingan membersihkan tangan dan jangan meludah merata-rata.

Seringkali kita melihat poster-poster yang ditampal terutamanya di Pusat-pusat Kesihatan ataupun di sekolah-sekolah yang mengingatkan kita mengenai perkara ini. Sebenarnya kita telahpun mempelajarinya 30 tahun yang lalu!


Tajuk Pelajaran 29: Pertolongan Cemas.

Topik ini memceritakan mengenai kepentingan pertolongan cemas dan langlah-langkah yang perlu diambil ketika berlaku kecemasan.

"Tetapi kalau kita tidak tahu cara-cara pertolongan cemas, janganlah cuba menolong mereka. Ini boleh menyebabkan mangsa kemalangan itu bertambah sakit. Lekaslah beritahu orang lain yang ada di situ atau pergi ke tempat telefon dan beritahu polis. Panggillah doktor atau ambulan dengan segera."


Demikianlah serba sedikit imbauan mengenai apa yang telah dipelajari oleh murid-murid dahulu bagi subjek Ilmu Kesihatan ini. Melalui ilustrasi-ilustrasi yang dipaparkan di dalam buku ini sudah cukup untuk mengingatkan kita kembali sejarah suka dan duka pengajian sekolah rendah yang telah lama kita tinggalkan dahulu.

Untuk pengetahuan, buku ini sudah tidak digunakan lagi setelah KBSR diperkenalkan manakala subjek Ilmu Kesihatan ini telah dirangkumkan ke dalam subjek Pendidikan Jasmani menjadikan ianya kini subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Kepada pembaca yang pernah menggunakan buku ini, bolehlah berkongsi pengalaman anda disini.


14 July, 2010

Buku Sains Rendah Moden Darjah 5


Ini pula ialah kisah mengenai Buku Sains Rendah Moden Darjah 5 yang pernah aku gunakan semasa di darjah lima dahulu dan sudah semestinya di tahun 1970-an. Masih diingat lagi cikgu yang mengajar mata pelajaran Sains pada waktu itu ialah cikgu Saidin, orang Alor Setar. Jika ada yang tidak betul jawapannya, pembaris panjang berwarna kuning (juga dikenali sebagai 'roti panjang') akan hinggap di betis mengikut bilangan kesalahan jawapan yang dilakukan.



Kulit hadapan buku menunjukkan ilustrasi angkasa lepas, cakerawala dan ujikaji terhadap cahaya. BR memang seronok mempelajari sains ini terutama apabila tiba di bahagian melakukan ujikaji kerana pada waktu inilah kita akan lebih memahami konsep sesuatu topik.



Bahagian belakang buku pula menunjukkan ilustrasi pembiakan haiwan dan tumbuhan termasuk juga manusia yang dikategorikan sebagai mamalia.



Setebal 104 muka surat dan diterbitkan pada tahun 1974. Telah diulang cetak sebanyak tujuh kali sehingga tahun 1984.


Isi Kandungannya terdapat 4 Unit pembelajaran iaitu:


Unit 1: Pembiakan Tumbuhan
Unit 2: Pembiakan Haiwan
Unit 3: Cahaya
Unit 4: Angkasa Lepas


Seperti juga di dalam Buku Sains Rendah Darjah 4, Setiap unit diakhiri dengan soalan-soalan ulangkaji berupa soalan-soalan objektif dan subjektif. Marilah sama-sama kita ikuti beberapa petikan muka surat yang terdapat di dalam buku ini.



Muka surat 4 dan 5 mempelajari tentang pembiakan tumbuhan. Contoh yang diberikan ialah keratan rentas bunga raya dan yang ini wajib kena salin di dalam buku tulis dan wajib keluar di dalam peperiksaan. Istilah-istilah yang terdapat pada bunga raya seperti stigma, stamen, ranggi, benangsari, ovari, oviul memang perlu dihafal oleh setiap murid. Diajar juga mengenai kaedah pemindahan debunga atau pendebungaan sebelum bunga boleh menghasilkan biji benih.



Muka surat 22 dan 23 mengisahkan mengenai pembiakan ikan iaitu haiwan yang bertelur di dalam air. Juga terdapat beberapa contoh ikan yang diberikan seperti ikan matahari, ikan pelaga siam dan ikan guppy. Teringat di zaman kanak-kanak dahulu meneroka di parit dan paya termasuklah di kubang kerbau untuk mencari ikan pelaga ini atau dipanggil juga 'ikan kharin' atau 'ikan semilai'.


Muka surat 34 dan 35 menceritakan pula mengenai pembiakan mamalia iaitu haiwan yang melahir dan menyusukan anak dan ini termasuk jugalah manusia. Nilai murni yang cuba diterapkan disini ialah haiwanpun pandai menjaga anak tidak seperti sekarang, sehingga terpaksa diwujudkan pula Pusat Perlindungan Bayi...


Sistem reproduksi manusia juga turut diajar secara tidak langsung melalui bab ini. Bagi cikgu Saidin pula, beliau bijak menerangkan bab ini dengan cara yang cukup berhemah dan 'berlapik' sesuai dengan tahap umur anak muridnya. Masih teringat lagi kata-katanya "Kamu semua akan mengetahui perkara ini secara fitrah semula jadi yang datang bersama kematangan diri". Sebab itulah orang dulu-dulu yang tidak pernah bersekolahpun anak cucu berderet juga... He..he..


Muka surat 56 dan 57 ialah mengenai cahaya dan pembalikan. Banyak ujikaji-ujikaji yang dijalankan bagi membuktikan bahawa cahaya itu bergerak lurus dan boleh dipantulkan. Cahaya juga boleh dipantulkan dengan lurus oleh permukaan yang licin dan rata manakala
cahaya akan dipantulkan ke merata arah oleh permukaan yang kasar. Sebab itulah kita boleh melihat muka kita pada benda-benda yang berkilat tetapi tidak pada sekeping kayu.



Muka surat 70 dan 71 ialah mengenai sistem suria yang menyentuh mengenai peredaran bumi dan bulan mengelilingi matahari. Banyak fakta-fakta mengenai bumi, bulan dan matahari disertakan disini. Cubalah bertanya dengan murid Tahun Lima sekarang berapa jauhkah jaraknya di antara bumi dengan bulan?


Tentunya anda yang sezaman dengan BR mempunyai pengalaman yang menarik untuk dikongsikan bersama melalui buku ini...


05 June, 2010

Buku Sejarah Malaysia Darjah Empat


Sebuah lagi buku teks sekolah rendah di tahun 1970-an iaitu Sejarah Malaysia Darjah Empat. Buku inilah yang telah aku gunakan semasa di darjah empat dahulu. Banyak berjasa kerana isi kandungnya dikira agak berat jika dibandingkan dengan pengetahuan sejarah murid-murid sekolah rendah sekarang ini.



Kulit hadapan buku menggambarkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-20 di Dataran Merdeka. Gambar formasi manusia membentuk angka atau tulisan ini memang cukup popular sewaktu mana-mana sambutan Hari Kemerdekaan, tidak sah jika tidak ada. he.. he..



Pada kulit belakang buku ada gambar pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun pada waktu itu iaitu di sekitar tahun 1977.



Hakcipta Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan pertama ialah pada tahun 1977 dan diulang cetak sebanyak lapan kali sehingga tahun 1984.



Tajuk Pelajaran 1: Mengapa Kita Belajar Sejarah.

Menghuraikan secara ringkas apa erti sejarah bersama ilustrasi perubahan hidup di tahun 1970-an berbanding dengan keadaan hidup bapa atau datuk murid-murid pada zaman sebelumnya. Maksudnya di tahun 1970-an pun dah moden dah...



Muka surat 80 dan 81, menceritakan mengenai penciptaan jentera dan kenderaan. Telahpun diajar untuk mengenali pencipta jentera dan kenderaan seperti Thomas Cowan (jentera wap), Christian Hurghens (kereta pertama), Gottlieb Daimler (kereta), Henry Ford (kereta) dan George Stephenson (keretapi).



Tajuk Pelajaran 12: Sejarah Bahasa.

Menceritakan serba sedikit mengenai sejarah bahasa bermula daripada bahasa lisan, bahasa yang berubah dan luput serta bahasa dalam bentuk tulisan bergambar dan ideograf. Turut diberi contoh tulisan bergambar yang terdapat di Gua Niah. Cubalah bertanyakan kepada murid-murid di Darjah Empat sekarang sekiranya mereka tahu di manakah letaknya Gua Niah...



Tajuk Pelajaran 13: Bahasa Kebangsaan dan Loghat-Loghat Di Malaysia.


Lebih kurang bermaksud kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan kaum. Juga terdapat lakaran peta Asia Tenggara.


Demikianlah serba sedikit imbauan mengenai apa yang telah dipelajari oleh murid-murid dahulu bagi subjek sejarah semasa di darjah empat. Suka dimaklumkan bahawa sebelum mata pelajaran sejarah ini diperkenalkan, ianya lebih dikenali sebagai mata pelajaran 'Tawarikh' he.. he..


07 May, 2010

Buku Sains Rendah Moden Darjah 4


Ramasamy, Ali, Tong Seng.. Itulah di antara watak-watak utama yang terdapat di dalam buku-buku teks di zaman persekolahan aku dahulu. Dengan watak-watak itu jugalah yang membolehkan aku mengenal ABC, nombor, menulis, membaca dan mengira seperti sekarang ini.



Apa yang akan dipaparkan ini adalah buku teks pelajaran Sains Rendah Moden Darjah Empat yang pernah digunakan semasa belajar di sekolah rendah di tahun 1970-an. Apa yang menariknya ialah ianya 100% di dalam Bahasa Melayu, sebab pada masa itu belum ada lagi PPSMI (Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris).


Aku percaya ramai ahli-ahli sains Malaysia yang seangkatan telah lahir hasil daripada buku ini termasuklah mereka yang menggubal Dasar PPSMI walaupun ketika itu di universiti tempatan bahasa penghantarnya adalah bahasa Inggeris. Ia tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada siswa dan siswinya. Berjaya juga dengan cemerlang, contohnya aku, dia dan ramai lagi... he.. he..



Kulit belakang buku.



Mengandungi 104 muka surat dan telah diterbitkan pada tahun 1974 serta telah diulang cetak sebanyak tujuh kali sehingga tahun 1984 iaitu tahun di mana KBSR (Kurikulum Baru Sekolah Rendah) diperkenalkan.


Isi Kandungannya terdiri daripada 4 Unit iaitu:

Unit 1: Haba
Unit 2: Kehidupan Tumbuhan

Unit 3: Kehidupan Haiwan

Unit 4: Bulan, Bintang dan Matahari


Setiap unit diakhiri dengan soalan-soalan ulangkaji berupa soalan-soalan objektif dan subjektif.



Muka surat 8 dan 9 menceritakan tentang pengembangan udara dan ujikaji yang dijalankan. Ada satu kisah lucu di sini yang masih aku ingat di mana apabila ujikaji pengembangan udara melalui belon dan botol dilakukan, tiba-tiba belon yang dipasang di botol B yang diletakkan di dalam bekas air panas telah bangun dan menegak dengan mengejut! Satu kelas termasuk cikgu Saidin yang mengajar ketawa berdekah-dekah dengan membawa tafsiran yang tersendiri...



Muka surat 12 dan 13 masih lagi menceritakan tentang haba dan ujikaji yang dijalankan. Memang enjoy dan berjaya menarik minat murid kerana setiap unit akan disusuli dengan ujikaji-ujikaji untuk menjelaskan lagi pemahaman.



Muka surat 34 dan 35 menceritakan mengenai kehidupan tumbuhan meliputi kitaran tumbuhan tanaman semusim, tanaman dua musim dan tanaman saka. Tanaman saka?



Muka surat 46 dan 47 masih lagi mengenai kehidupan tumbuhan iaitu jenis-jenis buah dan biji serta biji benih.



Muka surat 58 dan 59 menceritakan mengenai kehidupan haiwan dan tumbuhan serta kepentingan makanan.


Moral value: Membaca Suluh Ilmu (motto sekolah rendah aku dahulu..)
Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'