Showing posts with label Tupperware. Show all posts
Showing posts with label Tupperware. Show all posts

25 June, 2010

Bekas Tupperware Old Skool...


Pulang bercuti di kampung baru-baru ini masih sempat lagi menggeledah barang-barang lama atau harta pusaka yang tersimpan di dalam rumah. Rupa-rupanya masih banyak lagi khazanah dan harta karun yang belum diterokai yang mana rata-ratanya cukup mengimbau kenangan di masa lalu untuk kita kongsikan bersama.



Salah satunya ialah bekas Tupperware ini. Untuk pengetahuan, bekas Tupperware ini memang mempunyai nostalgianya yang tersendiri kerana bekas inilah yang pernah aku gunakan sewaktu membawa bekal ke sekolah di tahun 70-an dahulu.


Sudah uzur tetapi masih boleh digunakan lagi. Itulah penangan Tupperware, alah membeli menang memakai... (merujuk pada waktu itu la...).


Sudah pastilah ianya Tupperware lama buatan U.S.A yang cukup tahan lasak berbanding dengan barangan Tupperware buatan sekarang.



Masih terbayang lagi ianya terisi dengan nasi putih, telur goreng dan kicap. Makanan blues kegemaran aku. Bukannya tiada makanan lain untuk dibawa, tetapi memang itulah makanan yang paling digemari, mudah dan ringkas untuk disediakan.


Wang saku bawa juga 15 duit (15 sen) pada waktu itu untuk membeli air, kuih atau ais krim. Nilai 5 sen masih lagi digunakan dengan harga makanan di kantin hanya disekitar 5 sen dan 10 sen seperti mee, bihun, laksa dan nasi lemak ikan bilis yang dihidangkan di dalam pinggan ayan. Tetapi jarang benar aku ke kantin kerana lebih selesa berkelah bersama rakan-rakan di bawah pokok atau di tepi kelas pada waktu rehat.



Pada waktu rehat, beberapa rakan sekelas dan rakan-rakan dari kelas sebelah akan berkumpul di bawah sepohon pokok arkasia sambil menikmati bekal masing-masing. Berbual-bual dari hal-hal semasa sehinggalah kepada rancangan TV yang telah ditonton malam tadi sambil berkongsi-kongsi bekalan yang dibawa. Bila dah selesai makan, MAIN... sehingga loceng tamatnya waktu rehat berbunyi. (Loceng tembaga ketukan manual).


Sungguh enjoy pada waktu itu, pergi ke sekolah seperti hendak pergi berkelah dan cukup santai tanpa menjinjing beg yang berat dan terbeban dengan pelbagai aktiviti pembelajaran seperti kanak-kanak sekarang. Zaman persekolahan pada waktu itu tidak 'membunuh' zaman kanak-kanak walhal pada waktu itu Peperiksaan Penilaian Darjah Lima jika dibandingkan adalah setaraf dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekarang...


05 April, 2010

Tupperware Ada Lagi... Bekas Meletak Bunga Telur



Akupun kurang pasti apakah kegunaannya. tetapi yang pasti semasa kecik-kecik dulu aku tengok orang buat bekas bunga telur masa kenduri kahwin. Biasanya diletakkan sepasang iaitu satu di kiri dan satu di kanan. Siapa sangka Tupperware pun reti juga bab-bab bunga telur ni..



Inilah dia rupanya. Sudah agak lama tidak digunakan, sebab itulah nampak kotor sedikit.



Jika sebelum ini ada tertulis perkataan "TUPPERCRAFT" pada bekas acuan puding, tetapi pada bekas meletak bunga telur ini tertulis pula perkataan "FLORALIER". (kurang jelas sedikit, sila klik untuk besarkan image).




Pemandangan dari atas. Yang berjaring-jaring itulah tempat orang cucuk bunga telur.



Pemandangan dari bawah.



Inilah yang tiada pada barangan Tupperware sekarang... Made in Australia.


03 April, 2010

Lagi Daripada Tupperware... Acuan Puding


Mengikut sejarah, Barangan Tupperware telah dihasilkan oleh seorang jurutera kimia iaitu Earl Silas Tupper (1907-1983) di Amerika Syarikat pada tahun 1946. Jadi nama Tupperware ini diambil sempena nama penciptanyalah cuma ditambah 'ware' sikit di hujung tu.

Di sini ada lagi satu keluaran daripada Tupperware yang aku hendak tunjukkan iaitu acuan puding, agar-agar pun boleh, buat acuan pulut kuning untuk hantaran pun boleh.



Nampak lusuh sedikit sebab sudah lama tidak digunakan.





Juga tertulis perkataan "JEL-N-SERVE" dan "TUPPERCRAFT".



Di bahagian atas tudung tertera dengan jelas Made in Australia.



Pandangan dari bahagian bawah.
Acuan berbentuk bintang di bawahnya, boleh ditukar-tukar.



Ada empat kesemuanya (campur dengan yang telah sedia ada).



Acuan berbentuk bunga tulip.



Acuan berbentuk hati atau 'love' he.. he..



Acuan berbentuk pokok krismas.


Ini adalah pelapik puding yang telah siap.



Hasilnya memang cantik jika puding yang dihasilkan itu berwarna warni.



01 April, 2010

Acuan Ais Krim Daripada Tupperware


Semasa aku balik kampung baru-baru ni, habis semua barang aku selongkar. Tiba-tiba terjumpalah pulak dengan barang Tupperware ini.

Kalau ikut sejarah, barangan Tupperware ini mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1963 iaitu kira-kira 47 tahun yang lalu. Akupun belum dilahirkan lagi...

Masa dulu-dulu cara perniagaan Tupperware ni ialah dengan cara buat 'party' atau lebih dikenali dengan 'Party Tupperware'. Memang cukup popular masa itu dalam era-era 70an.

Tuan rumah yang terpilih akan menjemput jiran-jiran ke rumah bagi tujuan mempromosikan barangan Tupperware ini. Masa inilah kalau hendak tukar barangan Tupperware yang rosak dengan yang baru pun boleh. Maka ramailah surirumah yang aku tengok sendiri dengan sengaja 'merosakkan' Tupperware masing-masing yang sedia ada untuk ditukarkan dengan yang baru...

Ada jamuan ringan sekali, yang paling popular bihun goreng la.. Lepas tu tuan rumah tadi akan diberi cenderahati berupa barangan Tupperware oleh dealer tersebut..

Sekarang pun barangan Tupperware ni masih lagi dijual, tetapi pembeli boleh membuat pesanan melalui katalog atau online pun boleh.

Pengaruh Tupperware ni cukup kuat sehingga kinipun asalkan apa-apapun bekas palstik orang akan panggil 'Tupperware' walaupun ianya bukan jenama Tupperware.. Lebih kurang macam Colgate dengan ubat gigi lah.

Kalau tak silap aku barangan Tupperware yang aku nak tunjukkan ni dah berusia melebihi 40 tahun. Sebab dari aku kecil lagi benda ni dah ada. Pernahlah aku merasa aiskrim dari acuan ini dulu-dulu.



Acuan ais krim daripada Tupperware. Ada 6 acuan kesemuanya.



Pandangan dari atas.



Ini pula tapak acuan.



Isikan apa-apa air manis yang kita suka. lepas tu masukkkan ke dalam peti ais di bahagian sejuk beku, bila dah beku, siaplah.. Ala-ala buat Aiskrim Malaysia gitu.





Ini yang paling aku teruja sekali. Ada tertulis Orlando, Florida, U.S.A.


Nota: Kepada semua pengunjung yang dihormati, setiap hari sepanjang bulan April ini hampir kesemua entri yang akan dipaparkan lebih bertumpu kepada barang-barang lama koleksi peribadi, keluarga dan rakan-rakan yang cukup sentimental dan penuh nostalgia. Jadi jangan lupa untuk berkunjung lagi selepas ini. Sebarang komen dan maklumat tambahan daripada anda amat dihargai. Terima kasih. - Blues Riders




Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'