Showing posts with label Beg. Show all posts
Showing posts with label Beg. Show all posts

04 November, 2010

Beg Uncang Camel


Camel ialah salah satu jenama rokok cap unta yang cukup popular dari dahulu dan masih mampu bertahan sehingga kini. Rokok Camel yang cukup dikenali ialah 'Camel Pendek' iaitu rokok Camel yang tidak berpenapis dan pendek seperti rokok jenama Lucky Strike.


Adalah dipercayai kemunculan rokok Camel ini bermula semenjak tahun 1920-an lagi melalui pengasasnya iaitu Richard Joshua Reynolds melalui RJ Reynolds Tobacco Company.


Materialnya adalah daripada bahan seperti plastik yang rain proof. Berbentuk seperti uncang dan boleh disandang untuk menunjukkan gaya yang santai dan bersahaja.


Amat sesuai untuk kegunaan perantau bagi melengkapkan gaya musafir berkelana.


Beg ini tidaklah sebesar mana, cukup sekadar diisikan dengan beberapa helai persalinan semasa di perantauan sesuai dengan gaya unta yang lasak. Di samping itu dapat juga mempromosikan jenama rokok Camel ini...


Tidak dapat dipastikan pula bila dan bagaimanakah beg ini BR perolehi sama ada dibeli atau dihadiahkan oleh syarikat rokok Camel kerana masanya telah terlalu lama untuk diingati kembali. Beberapa hadiah pemberian Camel seperti pemetik api dan rantai kunci turut disimpan tetapi sayangnya telah hilang ditelan waktu...

Kepada pembaca yang mempunyai maklumat bolehlah dikongsikan bersama.


Amaran: Merokok Membahayakan Kesihatan!


17 July, 2010

Beg Kertas Maya Karin


Kempen 'Anti Beg Plastik' yang dilakukan oleh Maya Karin perlu diberikan sokongan seandainya kita sedar betapa pentingnya menjaga alam sekitar dari tercemar oleh bahan-bahan plastik atau pollyethene ini. Umum mengetahui bahawa beg plastik memakan masa yang sangat lama untuk dilupuskan sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar. Banyak negara yang telah mengharamkan penggunaan beg plastik ini sebaliknya digantikan oleh karung kertas untuk mengisi barang belian.


Untuk pengetahuan, sebelum Maya Karin dilahirkan lagi (Maya Karin dilahirkan pada 29 Oktober 1979), penggunaan beg-beg kertas ini telahpun lama digunakan di negara ini sebelum datangnya beg-beg plastik seperti sekarang. Berikut ialah contoh beg-beg kertas bertangkai benang merah putih yang cukup popular suatu ketika dahulu.



Beg kertas daripada Alor Setar Supermarket Sdn. Bhd. beralamat di No. 68, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah. Supermarket ini adalah di antara supermarket yang paling popular di Alor Setar pada waktu itu di samping Lucky Supermarket dan Kedah Supermarket.


Beg kertas daripada Emporium Melaka yang beralamat di 1st, 2nd & 3rd floor, 124 Jalan Bunga Raya, Melaka. Nombor telefonnya pun masih lagi menggunakan empat angka. Kepada orang Melaka bolehlah memberikan info emporium ini masih wujud lagi atau tidak.



Cetakan di bahagian sebelah lagi beg kertas Emporium Melaka dalam tulisan Cina.


Ini pula beg kertas daripada kilang Hock Aun Confectionery & Coffee Powder Manufactory beralamat di Nos 88 - 90, Denison Road, Teluk Anson, Perak. Untuk makluman Teluk Anson adalah nama lama bagi Teluk Intan sekarang. Kilang ini juga menggunakan nombor telefon tiga angka sahaja pada waktu itu.


Cetakan pada sebelah beg adalah sama cuma warnanya sahaja yang ditukarkan kepada warna hijau. Beg kertas seperti ini juga boleh digunakan untuk mengaji quran pada waktu dulu.


Ini pula ialah beg kertas daripada Syarikat Tong Seng yang beralamat di Guan Fong Yen Restaurant, No. 112, Jalan Bunga Raya, Melaka. Sebuah syarikat yang popular di dalam pengeluaran produk manisan seperti gula melaka, dodol dan jem di Melaka pada waktu itu.


Di bahagian sebelah beg mengiklankan produk dodol melaka yang berharga $1.60 sebungkus pada waktu itu. Masih lagi menggunakan nombor telefon empat digit.


Kelemahan penggunaan beg kertas ini ialah ianya tidak tahan hujan atau basah. Kos pengeluarannya yang lebih tinggi daripada beg plastik menyebabkan penggunaannya telahpun dihentikan. Namun begitu, kepada mereka yang pernah menggunakan beg kertas ini pastinya akan bernostalgia apabila melihatnya kembali...


Kesimpulannya, penggunaan beg plastik dan beg kertas ini adalah sama sahaja jika kita mengkaji dari sudut kesannya kepada alam sekitar. Perkara yang paling penting sebagai manusia ialah kesedaran dan tanggung jawab menjaga alam sekitar kita sendiri. Jangan buang sampah seperti plastik dan kertas di merata-rata tempat.


13 July, 2010

Beg Tangan Manik... Lip Lap, Lip Lap...


Kali ini BR hendak menceritakan mengenai beg manik yang pernah popular suatu ketika dahulu di tahun 1970-an. Mesti makcik-makcik dan opah-opah masih mengingatinya kerana mungkin pernah memiliki ataupun menghasilkannya sendiri. Beg manik ini adalah 100% buatan tangan dengan berbagai-bagai corak dan reka bentuk boleh dihasilkan bermodalkan manik dan tali tangsi yang di'anyam' sedemikian rupa.


Untuk pengetahuan, beg tangan manik ini pernah menjadi kegilaan suri-suri rumah menghasilkannya sendiri di waktu lapang sama ada untuk kegunaan sendiri ataupun untuk dijual. Ada kalanya mereka berkumpul beramai-ramai sambil menghasilkan beg ini di samping bertukar-tukar fikiran tentang corak dan reka bentuk beg yang bakal dihasilkan. Tempat utama yang menjadi pilihan ialah di Balai Raya di mana di situ akan ada seorang 'instructor' yang akan memberi tunjuk ajar cara-cara membuat beg ini.



Penghasilan beg tangan manik ini memerlukan kesabaran, ketekunan dan daya kreativiti yang tinggi. Ada beg yang dihasilkan hanya dengan satu warna dan bentuk manik dan ada juga beg yang mempunyai berbagai warna dan bentuk manik supaya lebih menarik. Rasanya berminggu jugalah masa yang diperlukan untuk menghasilkan sesebuah beg ini berdasarkan tahap kerumitan dan daya kreativiti pembuatnya.



Kelemahan penggunaan beg tangan manik ini ialah ianya tidak sesuai untuk diisikan dengan barangan yang kecil kerana terdapat lubang-lubang di antara manik yang boleh mencicirkan barangan tersebut. Juga sifatnya yang lutsinar dan berlubang membolehkan setiap isi beg boleh dilihat oleh orang ramai. Mungkin ini akan meningkatkan lagi bilangan kes-kes ragut masa kini ataupun cubalah anda bayangkan jika salah satu daripada tali maniknya terputus...



Sungguhpun ianya pernah menjadi kegilaan suatu ketika dahulu, namun yang menghairankan ialah penggunaannya tidaklah pula dilihat secara meluas. Mungkin ianya dibuat hanya untuk perhiasan sahaja ataupun untuk anak-anak bermain pondok-pondok sebab semasa kecil dahulupun BR pernah bermain dengan beg tangan manik ini. He.. he..


Bagi pembuat beg yang kreatif, juga diadakan pengunci beg pada penutupnya untuk tujuan keselamatan. Memang cantik dan memikat hati tetapi sanggupkah anda kaum wanita membawanya sebagai beg tangan rasmi ke mana-mana atau mungkin ke pejabat?


Lip lap, lip lap 'menghelit' kata orang utara (berkilat memancar) apabila terkena sinaran cahaya matahari atau cahaya lampu. Amat sesuai digayakan ketika pergi 'dinner' atau 'candle light cafe'. Pakai pula pakaian yang berkilat... Memang tidak dapat digambarkan dengan perasaan dan kata-kata. He.. he..


12 July, 2010

Beg Plastik Peperiksaan


Semasa dulu-dulu sewaktu di sekolah rendah, bila tiba sahaja hari peperiksaan tidak kiralah Peperiksaan Penggal Pertama ataupun Peperiksaan Akhir Tahun, memang cukup seronok kerana tidak perlu membawa beg atau buku-buku ke sekolah. Cukup dengan hanya membawa alat tulis dan bekal makanan sahaja jika ada. Bagi murid-murid yang 'pengemas' pula bolehlah membawa sebuah buku ataupun majalah sebagai pelapik kertas soalan peperiksaan nanti yang dicetak di atas kertas pendua menggunakan mesin gelek (stensilan).


Beg yang paling popular untuk dibawa pada waktu ialah ialah beg plastik ataupun beg kertas coklat bertangkai tali, berbelang merah putih. Beg plastik yang selalu BR bawa ialah beg plastik bercap 'Aji No-Moto'. Pada waktu itu harganya ialah 20 sen sekeping.



Selain daripada itu, beg-beg plastik berbagai jenama iklan juga boleh didapati secara percuma daripada restoran, emporium dan supermarket, kedai pakaian, tukang jahit dan sebagainya. Sesetengah beg plastik seperti ini juga mempunyai 'pengunci' berlubang di bahagian pemegangnya supaya menutup dengan lebih kemas.


27 May, 2010

Beg Tangan Peninggalan Opah



Beg tangan, tas tangan atau lebih dikenali sebagai 'handbag' merupakan satu barangan yang telah menjadi satu kemestian bagi setiap wanita tidak kira pada zaman dahulu mahupun sekarang. Perubahan-perubahan yang berlaku seiring dengan perubahan masa menjadikan berbagai-bagai bentuk dan jenama beg tangan telah dikeluarkan untuk menjadi pilihan kepada wanita-wanita masa kini. Namun begitu, kehadiran beg-beg tangan wanita pada zaman dahulu janganlah pula kita lupakan meskipun sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan dengan gaya dan fesyen zaman sekarang.


Beg tangan yang kita lihat ini telahpun berusia melebihi 50 tahun, kepunyaan nenek seorang rakan setugas yang turut sama berminat untuk berkongsi koleksi barangan nostalgia bersama BR.


Bertangkai tangan sahaja dan tiada tali penggalas, merupakan beg tangan yang cukup popular di tahun 1950-1960-an dengan saiz dan bentuknya begitu simple dan comel dipandang mata, mungkin sesuai pada zaman tersebut di mana item-item barangan yang perlu dibawa oleh seorang wanita adalah terhad berbanding sekarang.



Cara membawanya ialah dengan memegang atau disangkut sahaja di tangan di samping tangan pemiliknya yang dihiasi dengan barangan kemas yang bergemerlapan. Beg tangan yang tidak berjenama ini diperbuat daripada 100% kulit asli di mana ketahanan dan keutuhannya memang telah terbukti.


Mempunyai hiasan yang ringkas tetapi menarik iaitu logam keemasan berbentuk bunga matahari di hadapan beg. Sesuai untuk digayakan dengan pakaian kebaya atau baju kurung bagi menyerlahkan lagi 'kefemininan' seseorang wanita.



Pandangan di bahagian belakang beg. Tidak hairanlah jika kita perhatikan gambar-gambar lama tinggalan ibu atau nenek, beg tangan seperti ini mesti kelihatan tersangkut di tangan dengan penuh bergaya di mana kedudukan kaki juga memainkan peranan yang penting. Ala-ala Allahyarham Biduanita Saloma gitu...



Pandangan dari sisi.


Bukaan beg yang tidak begitu luas, melambangkan kesopanan wanita di zaman dahulu ketika mengambil barangan di dalamnya. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana kes-kes ragut terutamanya yang bermotosikal amat jarang sekali kita dengar pada waktu itu berbanding dengan sekarang ini...



Bahagian dalaman beg, mempunyai compartment yang sesuai untuk diisikan dengan barangan kaum hawa. Satu poket berzip untuk mengisi syiling dan satu lagi poket tidak berzip. Sayugia juga diingatkan bahawa beg ini tidak sesuai untuk diisikan dengan botol susu bayi bagi kaum ibu kerana saiz beg yang agak kecil... he.. he..



Kunci pembuka dan penutup beg berbentuk butang selisih yang boleh ditolak-tolak supaya beg akan tertutup kemas. Kepada ibu-ibu dan opah-opah yang pernah memiliki dan menggayakan beg ini suatu ketika dahulu, tentunya terdapat berbagai cerita yang menarik di sebalik beg tangan ini...


Penghargaan: Rakan setugas, Pn. Zuraida bt. Tauhid.



20 May, 2010

Beg Pakaian Dendang Perantau...


Kepada abang-abang dan kakak-kakak yang pernah menjadi perantau di sekitar tahun 1980-an, beg pakaian yang akan aku tunjukkan ini pastinya sudah tidak asing lagi di kalangan mereka kerana pengunaan beg pakaian ini begitu popular sekali di zaman tersebut.


Ini diceritakan sendiri oleh pemilik beg ini yang pernah menggunakannya sewaktu bertandang ke rumah mertuanya di hari perkahwinan beliau yang telah berlangsung pada tahun 1985. Masih disimpan dan dijaga dengan rapi kerana beg ini mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri.


Pada waktu itu penggunaan beg pakaian berbentuk 'beg peti' sebegini telah menjadi pilihan utama kerana beg-beg pakaian yang beroda atau yang bergalas sepertimana yang biasa kita lihat pada hari ini masih lagi di peringkat awal pengeluaran.


Seakan-akan atau sama seperti 'beg peti' yang pernah aku bawa ke sekolah suatu ketika dahulu cuma saiznya sahaja yang agak besar. Materialnya adalah daripada kotak yang tebal dan amat sensitif jika terhimpit dengan sesuatu yang berat kerana beg ini akan menjadi kemek.



Masih lagi di dalam keadaan yang elok dan boleh digunakan, cuma terpulanglah kepada individu itu sama ada sanggup atau tidak kerana ianya agak kurang sesuai pada ketika ini lantaran terdapatnya beg-beg pakaian yang lebih moden dan cantik di pasaran sekarang. Memang blues habislah bagi mereka yang menggunakannya lagi pada ketika ini...



Tangkai pemegang yang kemas dan sedap digenggam sama seperti beg sekolah yang pernah aku gunakan dahulu. Terdapat juga ruang untuk melekatkan nama pemilik di beg yang terletak di bawah tangkai.



Pengunci juga disediakan di kiri dan kanan beg bagi memastikan keselamatan barangan di dalamnya. Di zaman persekolahan dahulu, pengunci beg inilah yang selalu aku gunakan sebagai 'meriam' dengan meletakkan pemadam atau batu-batu kecil sebagai pelurunya. Boleh bermain perang-perang di dalam kelas. He.. he..



Memiliki kapasiti ruang yang agak luas dan cukup untuk membekalkan pakaian selama seminggu bertandang. Beg ini juga selalu digunakan oleh peniaga-peniaga terutamanya penjual-penjual ubat pada waktu itu kerana ruangnya yang luas ini amat sesuai untuk diisikan dengan barangan jualan.



Terdapat poket di bahagian dalam beg yang biasanya untuk diisikan dengan gadget seperti alat-alat solek serta alatan dandanan diri. Jika pada beg sekolah dahulu, bahagian ini akan diisikan dengan bekas pensel dan juga alat-alat tulis.



Ruang isian pakaian yang lengkap dengan tali pengemas supaya pakaian di dalamnya tidak berselerak sewaktu beg ini dibawa.


Kepada anda yang pernah menggunakan beg ini suatu masa dahulu, pastinya akan tersenyum sendirian dan akan menggamit memori yang tersendiri di dalam mengenangkan seribu kisah lalu bersamanya...


Penghargaan:

Beg pakaian ini adalah ihsan daripada Tn. Hj. Mat Tajuddin b. Jailani, iaitu rakan setugas yang turut sama berkongsi minat bersama BR di dalam mengimbau masa silam yang terlalu indah untuk dikenang...


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'