Showing posts with label Dokumen Lama. Show all posts
Showing posts with label Dokumen Lama. Show all posts

19 July, 2011

Pas Bulanan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang


Dalam membelek-belek harta karun yang tersimpan, tiba-tiba terlihatlah pula pada Pas Bulanan Feri Pulau Pinang yang dikeluarkan pada tahun 1985 ini. Maka teringatlah kenangan 26 tahun lalu ketika BR masih bersekolah di sebuah sekolah atap di Bukit Mertajam. Pas ini memang masih disimpan rapi namun faktor masa telah menjadikan ia uzur dimamah usia.

Agak pelik pula bunyinya apabila tinggal di Pulau Pinang tetapi bersekolah di Seberang Perai. Sebenarnya waktu itu BR dalam proses pertukaran sekolah, jadi untuk sementara waktu terpaksalah berulang-alik setiap hari ke seberang. Hanya selepas beberapa bulan barulah BR dapat bertukar ke St. Xavier Institution, berdekatan dengan rumah di Beach Street (dekat Padang Kota Lama).


(Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, gambar dan butir-butir yang terdapat pada kad ini terpaksa dikaburkan).


Kad ini bersaiz lebih kurang 4" x 3" dan ia perlu diperbaharui setiap bulan, hanya dengan menggantikan kertas merah nipis yang dilekatkan pada kad.

Pas ini dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang kepada pelajar sekolah atau pekerja yang berulang-alik di antara Pulau Pinang dan Seberang Perai. Berapa nilainya pada waktu itu BR sudah tidak ingat tetapi pas ini boleh digunakan pada bila-bila masa dan untuk beberapa kali tanpa had berulang-alik menaiki feri setiap hari. Tiada sebarang tanda atau tebukan seperti pas bulanan bas, hanya tunjukkan kepada petugas kaunter dan boleh berlalu menaiki feri dengan senang hati..


Pada waktu itu perkhidmatan feri ini adalah 24 jam tanpa henti di mana Jambatan Pulau Pinang masih lagi dalam proses pembinaan. Feri merupakan pengangkutan utama bagi pengguna sama ada pejalan kaki mahupun yang berkenderaan untuk ke seberang. Tragedi terminal feri runtuh (1988) juga masih belum berlaku. Untuk pengetahuan, warna rasmi feri pada waktu itu hanyalah satu sahaja iaitu KUNING.. he.. he..


Bahagian belakang kad yang menyatakan dengan jelas syarat-syarat penggunaan kepada pemegang kad.


Apabila menaiki feri setiap hari tentulah banyak pengalaman suka duka yang ditempuhi. Elok juga jika BR kongsikan di sini sebagai kenangan untuk sama-sama kita ketawa ataupun bersedih.

Pernah satu hari itu BR terlewat ke sekolah hanya kerana feri tidak dapat berlabuh kerana air laut surut. Lama juga terpaksa terapung berlegar di tengah laut sementara menanti air pasang. Bayangkanlah alasan sedemikian hendak diberikan kepada guru disiplin.. Jika pembaca sendiri yang menjadi guru itu boleh diterimakah alasan itu?

Pernah juga ada kes terjun feri (cubaan bunuh diri). Seorang lelaki, tetapi berjaya diselamatkan oleh krew feri. Pelik juga apabila difikirkan jika benar-benar hendak bunuh diri, apabila dihulurkan pelampung, kelam kabut juga beliau menggapai pelampung itu untuk menyelamatkan diri. Hanya untuk menyusahkan orang.. Teruk juga dia dibelasah kerana itu.

Ada juga cerita seorang peniaga ayam bermotosikal dengan raga ayamnya di belakang telah terbalik ketika feri merapat di tambatan. Maka bertaburanlah ayam-ayamnya di dalam feri, tetapi berjaya ditangkap kembali oleh penumpang yang lain. Untuk pengetahuan, kemahiran seseorang pemandu feri biasanya akan dinilai ketika feri merapat di tambatan, seorang pemandu yang berpengalaman akan merapat secara slow and steady tanpa berlaku sebarang hentakan yang terlalu kuat.. he.. he..

Pernah juga seorang pakcik datang bertanya feri yang mana hendak ke Pulau Pinang kerana setiap feri yang sampai tidak pula tertulis 'Pulau Pinang'. Untuk pengetahuan, setiap feri diberikan nama-nama pulau seperti Pulau Undan, Pulau Aman dan sebagainya tetapi semua feri akan hanya menuju ke satu destinasi iaitu Pulau Pinang.

Ada juga seorang pakcik yang telah tergelincir daripada tangga feri dan mengalami kecederaan yang serius. Maklumlah tangga feri itu mempunyai kecuraman 80 darjah sama seperti tangga kapal.


Kenderaan yang rosak dan terpaksa ditolak keluar oleh krew feri memang biasa berlaku. Pernah juga berlaku kejadian seorang pemandu kereta dengan lajunya terus meluncur melalui terminal lalu terjun ke laut bersama keretanya.


Sebagai maklumat kepada pengguna feri, gambar rajah teknikal feri juga turut disediakan.


Perjalanan biasanya akan mengambil masa selama 20 minit jika tiada sebarang halangan. Banyak pemandangan indah boleh dilihat seperti kapal-kapal besar yang berlabuh, ikan lumba-lumba yang berenang mengikuti feri (jika bernasib baik), pemandangan Jambatan Pulau Pinang dari jauh dan sebagainya. Adalah menjadi sesuatu yang wajib atau tidak sah jika anda ke Pulau Pinang jika tidak pernah menaiki feri.

Untuk maklumat terkini menganai Feri Pulau Pinang ini, pembaca bolehlah ke: Wikipedia/Feri Pulau Pinang


Moral Value: Hidup ini umpama pelayaran..


26 April, 2011

Tambang Murah Keretapi Tanah Melayu



TAMBANG MURAH UNTOK ROMBONGAN


Keretapi Tanah Melayu Menawarkan:

(a) Satu sa-tengah bayaran bagi perjalanan pergi-balek untok rombongan sa-ramai 10 orang atau lebeh;

(b) Satu satu pertiga bayaran bagi perjalanan pergi-balek untok rombongan sa-ramai 50 orang atau lebeh, dan

(c) Satu bayaran bagi perjalanan pergi-balek untok rombongan sa-ramai 100 orang atau lebeh.

Jemput bertanya mengenai persediaan2 perjalanan kapada:

PENGURUS TERAFIK
Peti Surat, 1089, Kuala Lumpur.


(Sila klik untuk besarkan imej)


Iklan Keretapi Tanah Melayu ini telah dipetik daripada Majalah Mastika keluaran November, 1966 iaitu kira-kira 45 tahun yang lalu.. lama dah...

Sewaktu kecil dahulu memang BR selalu menaiki keretapi untuk pulang ke kampung. Apabila terpandang iklan ini terutamanya pada gambar keretapi itu, terkenanglah kembali pada zaman tersebut.

Keretapi jenis ini juga turut dikenali sebagai "rail car" dan tidak 'berkepala' seperti keretapi biasa iaitu ala-ala komuter sekarang. Ia juga hanya membawa beberapa koc sahaja dan berwarna perak (silver). Sungguh seronok menaikinya pada waktu itu kerana deruman enjinnya yang berbunyi seperti kereta terutama ketika ia hendak mula bergerak.

Kanak-kanak yang menaiki keretapi pada waktu itu ada syarat-syaratnya yang perlu dipatuhi, antaranya ialah:

1. Tidak boleh menangis di dalam keretapi kerana nanti keretapi tidak mahu bergerak selagi ia tidak 'melanggar' kanak-kanak tersebut.

2. Tidak boleh mengeluarkan kepala atau tangan kerana nanti akan dipotong oleh pemenggal yang sentiasa menanti di bawah.


(Imej ihsan harizamrry.com)

Sementara menunggu keretapi tiba, BR selalu bermain dan memetik bunga labah-labah (Spider Lily) yang boleh dikatakan wajib ditanam bersusun pada setiap stesen keretapi pada waktu itu.


Tidak akan hilang nostalgia itu dan kepada pembaca yang pernah mengalaminya, jemput-jemputlah berkongsi pengalamannya...


23 April, 2011

Sudahkah Anda menjelaskan Cukai Taksiran?


Cukai pintu atau cukai taksiran adalah cukai yang dikenakan ke atas pemilik dan penghuni pegangan berkadar yang terletak di dalam kawasan bidang kuasa sesebuah Majlis. Bagi menggalakkan penghuni membayarnya dengan segera, terdapat juga beberapa Majlis Daerah yang menawarkan hadiah-hadiah yang lumayan seperti motosikal sehinggalah ke tiket parkir.

Entri kali ini marilah kita melihat pula sekeping resit cukai taksiran yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Utara Seberang Perai bagi setengah tahun berakhir pada 31.12.1969.

Apa yang menarik mengenai resit ini ialah mengenai penggunaan ejaan lama Bahasa Malaysia yang memerlukan sedikit masa untuk kita memahaminya. Begitu juga dengan kaedah 'mematikan setem' yang masih lagi diamalkan untuk sebarang resit rasmi pada waktu itu.


(Sila klik untuk besarkan imej)


RASIT YANG RASMI akan di-chapkan di-sini dan tidak akan di-terima sabagai bukti bayaran terkechuali jika di-chapkan oleh Mesin Rasit Majlis.


Bill ini hendak-lah di-simpan dan ditunjok semasa membuat bayaran. Chek bayaran kira2 ini hendak-lah di-keluarkan dengan nama "Majlis Daerah Utara, Seberang Perai" dan di-palangan Kira2 "Penerima Sahaja." BAYARAN DENGAN SETEM TIDAK DI-TERIMA.


(Sila klik untuk besarkan imej)

Di bahagian belakang resit tertera beberapa syarat meminda rumah dan pembayaran taksiran.

PINDAAN DAN PERUBAHAN KA-RUMAH TANGGA

Untok faedah enche' sebagai tuan yang empunya rumah atau pendudok-nya, hendak-lah enche' mendapat kebenaran jika enche' hendak meminda atau membuat sa-barang perubahan pada rumah enche'. Jika pekerjaan itu di-buat sechara haram, harus enche' terpaksa meruntohkan-nya atau enche' munkin akan di-da'awa yang mana akan mendatangkan kerugian kapada enche'.

Permintaan enche' hendak-lah di-alamatkan kapada Majlis Daerah Utara, Seberang Perai.

HASIL RUMAH

Hasil Rumah hendak-lah di-bayarkan sa-tengah terlebeh dahulu dengan tidak payah di-tuntut lagi pada 1hb. Januari dan 1hb. July pada tiap2 tahun.


Untuk maklumat lanjut mengenai sejarah Majlis Daerah Utara, Seberang Perai ini, pembaca bolehlah melayari: MPSP


******************************************


APAKAH ITU CUKAI TAKSIRAN?

Cukai pintu adalah cukai yang dikenakan ke atas pemilik dan penghuni pegangan berkadar yang terletak di dalam kawasan bidang kuasa sesebuah Majlis.

SIAPAKAH PEMBAYAR CUKAI TAKSIRAN?

Jika anda mempunyai rumah, rumah kedai, hotel, stesen servis, tanah kosong atau pegangan berkadar yang lain yang terletak di dalam kawasan Majlis, anda akan dikenakan cukai taksiran. Sebaliknya, jika anda menduduki bangunan atas tanah tanpa dokumen hakmilik berasingan atau tanah yang dirizabkan untuk sesuatu maksud awam, anda juga perlu membayar cukai taksiran.

KENAPA PERLU MEMBAYAR CUKAI TAKSIRAN?

Kutipan dari cukai pintu adalah perlu untuk menampung perbelanjaan Majlis dalam menyediakan perkhidmatan seperti penyelenggaraan, taman rekreasi, pemotongan rumput, lampu jalan dan tempat kemudahan awam untuk kesejahteraan masyarakat.

BOLEHKAH CUKAI TAKSIRAN DIBERI PELEPASAN?

Cukai taksiran boleh diberi pelepasan jika bangunan tersebut dirobohkan atau dimusnahkan dengan sebab-sebab kebakaran, angin ribut atau sebab-sebab lain.

BILA PERLU DIBAYAR?

Cukai Taksiran perlu dibayar 2 kali setahun iaitu:

* ½ tahun pertama – 1hb. Januari hingga 28hb. Februari.
* ½ tahun kedua – 1hb. Jul hingga 31hb. Ogos bagi tiap-tiap tahun.

Cukai taksiran yang dibayar selepas tarikh akhir pembayaran akan dikenakan caj 1% sebulan atau sebahagian daripadanya.

APAKAH YANG AKAN TERJADI JIKA TIDAK MENJELASKAN CUKAI DALAM TEMPOH TERSEBUT?

Mengikut Akta 171, anda akan dikenakan tindakan –tindakan seperti berikut:

* Notis (Borang E) akan dikeluarkan kepada anda. Anda dikehendaki menjelaskan dalam masa 1 hari daripada tarikh notis. Denda sebanyak 2% daripada baki tunggakan akan dikenakan kepada anda mengikut Seksyen 147(1).

* *Jika masih gagal, waran tahanan akan dikeluarkan keatas anda. Waran ini membolehkan Majlis merampas barang-barang yang ada di dalam bangunan atau menutup bangunan daripada menjalankan operasinya atau melelong bangunan tanah melalui Pendaftar Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 151. Bayaran waran sebanyak 10 peratus juga akan dikenakan.

BAGAIMANA UNTUK MENGELAKKAN DIKENAKAN DENDA ATAU TINDAKAN MAHKAMAH?

Bayar segera sebelum 28hb. Februari – 31hb. Ogos pada tiap-tiap tahun.


Moral Value: Tunggu diskaun denda... He.. he..



21 April, 2011

Pengubat Barah - Vekano


Setiap penyakit ada ubatnya termasuklah penyakit barah. Untuk itu marilah kita ikuti satu petikan iklan lama yang telah dipetik daripada sebuah majalah lama. Iklan bertulisan jawi dan bertulisan tangan ini telah dikeluarkan disekitar tahun 1960-an.


Mungkin ubat ini akan menjadi yang terlaris di pasaran pada masa ini memandangkan ayat-ayat pengiklanannya yang sungguh menarik minat pembaca.


"Pil tablet menghilangkan sakit-sakit barah dan tali perut yang agung"


Mengandungi vitamin "U" untuk melindungi dari jangkitan penyakit barah - Penyelidikan terbaharu gabungan dari ubat-ubatan China buatan Jepun

Harga sekotak tin berisi 30 biji $4.50.


Boleh dibeli di kedai-kedai ubat seluruh Malaysia dan Singapura.


Kemungkinan besar iklan ini bukanlah ditujukan untuk penyakit barah secara umumnya. Berdasarkan kepada latar belakang usus besar yang ditunjukkan, ia sebenarnya mungkin ditujukan kepada pengidap penyakit ulser ataupun gastrik bagi meredakannya.

Satu lagi persoalannya bolehkah pembaca menjelaskan mengenai vitamin "U" yang dimaksudkan?


Moral Value: "Mencegah lebih baik dari mengubati..."


19 April, 2011

Hanya Kita Saja Yang Tahu...


Gemersik suara
Desir dedaunan membisikkan ke jiwa
Melagukan cerita bersama airmata
Berakhirnya sebuah perjalanan...

Rangkap pertama lirik lagu "Hanya Kita Saja Yang Tahu" dendangan Dato' David Arumugam dan Jay Jay sungguh mengesankan terutama bagi mereka yang pernah kehilangan insan yang tersayang. BR sendiripun pernah mengalami itu...

Namun begitu, setiap makhluk yang hidup pasti akan mati. Sesungguhnya kematian tetap akan menjemput insan untuk kembali kepada penciptaNya. Sekuat mana pun kita lari, sejauh manapun kita cuba hindari, namun kematian akan tetap mengekori kita. Bila waktunya tiba masanya kita tetap akan pergi jua yang kita sendiri tidak mengetahuinya bila...

Untuk entri kali marilah sama-sama kita memperingati mati kerana sabda Rasullullah S.A.W: “Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yg menghapuskan kelazatan (mati), maka sesungguhnya (dengan mengingati mati itu), dia tidak akan dalam keadaan banyak (angan-angan) melainkan mensedikitkannya, dan tidak dlm keadaan sedikit (amalan ) melainkan memperbanyakkannya.” Hadis riwayat al Baihaqi daripada ibn Umar r.a.


(Sila klik untuk besarkan imej)

Marilah sama-sama kita melihat sekeping Sijil Kematian (Certificate Of Registeration Of Death) atau dalam tulisan jawinya tertulis "Certifiket Rajister Mati" yang telah dikeluar kepada si mati pada tarikh 23.03.1952 iaitu kira-kira 59 tahun yang lalu.

Perlu dijelaskan dan menuntut kefahaman bahawa tidak terniat langsung untuk menyentuh perasaan mana-mana pihak selain daripada hanya untuk berkongsi maklumat dan rujukan berdasarkan beberapa dokumen lama yang masih berada di dalam simpanan BR.

Dari dahulu sehinggalah sekarang, pendaftaran kematian ini masih lagi diguna pakai cuma bentuk, rupa dan isi kandung butiran Sijil Kematian ini sahaja yang berbeza dari semasa ke semasa.

Pendaftaran kematian ini sebenarnya adalah tertakluk kepada Seksyen 19, Akta 299 bagi Semenanjung, Seksyen 14(1), Ordinan Sabah, Cap.123 bagi negeri Sabah dan Seksyen 15(1) dan (2), Ordinan Pendaftaran Kelahiran & Kematian 1951, Sarawak Cap.10 bagi negeri Sarawak.

"Dia yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian Dia keluarkan kamu menjadi anak-anak, kemudian kamu sampai dewasa, kemudian kamu menjadi orang tua. Dan diantara kamu ada orang yang diwafatkan sebelum itu dan supaya kamu sampai kepada ajal (waktu) yang ditentukan, mudah-mudahan kamu memikirkannya"
(Surah al-Mukminum ayat 67)


Untuk maklumat lanjut mengenai prosedur pendaftaran kematian, sila layari: Jabatan Pendaftaran Negara


Moral Value: "Semangatmu tetap bersamaku, Selama... Pasti!"


15 April, 2011

Sudahkan Anda Mengisi e-Filing?


Setiap warganegara bertanggungjawab menjelaskan cukai ke atas pendapatan yang diperolehinya di dalam atau luar Malaysia. Sumber pendapatan yang boleh dikenakan cukai pendapatan termasuklah pendapatan dan keuntungan daripada perdagangan, profesion dan perniagaan, gaji, ganjaran, pendapatan, dan keuntungan berasaskan gaji, dividen, faedah atau diskaun, sewa, royalti atau premium, pencen, anuiti atau bayaran berkala yang lain dan perolehan atau keuntungan yang berbentuk pendapatan yang tidak dinyatakan di atas.


(Sila klik untuk besarkan imej)

Entri kali ini BR ingin menunjukkan satu dokumen lama yang merupakan sekeping Penyata Cukai Pendapatan asal yang tahun taksirannya ialah pada tahun 1949. Dikeluarkan oleh Department Of Inland Revenue, Federation Of Malaya bertarikh 15 September 1956.

Penyata ini dikeluarkan di atas nama Mr. Voo Kim Wah yang mungkin merupakan seorang hartawan pada waktu itu dengan jumlah pendapatan tahunan beliau ialah $17,271.00 tatkala BR belumpun dilahirkan dan difahamkan pada waktu itu harga barang masih lagi dijual di dalam unit sen. Jumlah cukai yang perlu dibayar oleh beliau ialah $880.00 yang dikira satu jumlah yang cukup besar pada waktu itu.


(Sila klik untuk besarkan imej)

Bahagian belakang penyata yang mengandungi butiran mengenai kadar cukai pada tahun tersebut. Sesuai untuk dijadikan rujukan dan perbandingan dengan kadar cukai terkini setelah kira-kira 60 tahun berlalu.


*************************************************************

Pendapatan bercukai diperolehi setelah dikira segala kos dan perbelanjaan yang terlibat secara menyeluruh atau eksklusif dalam usaha untuk menghasilkan pendapatan berkenaan. Kadar cukai bergantung kepada status penduduk individu berkenaan yang ditentukan oleh jangka masa beliau tinggal di dalam negara ini (seperti yang dinyatakan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967, di bawah Seksyen 7).

Individu bermastautin dikenakan cukai ke atas pendapatan bercukainya pada kadar bersenggat daripada 2% hingga 30% selepas ditolak pelepasan cukai.

Walau bagaimana pun, bagi individu dengan pendapatan bercukai kurang daripada RM2,500 dicukai pada kadar sifar. Pendapatan bercukai seseorang individu bermastautin diperolehi dengan memotong jumlah pendapatan beliau dengan jumlah pelepasan individu. Tanggungan cukai individu bermastautin dikurangkan dengan rebat. Hal-hal berkaitan cukai pendapatan di Malaysia adalah di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia.


Tarikh akhir e-Filing (tiada punca perniagaan) ialah pada 30 April 2011. Sebagai seorang warganegara yang bertanggung jawab, laksanakanlah tanggung jawab anda sekarang... He.. he..


JALANKANLAH TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI RAKYAT PRIHATIN BANTULAH NEGARA MEMBANTERAS PENGELAK CUKAI PENDAPATAN.


Maklumat lanjut mengenai percukaian ini boleh didapati di: LHDN


23 March, 2011

Jom Tengok Wayang...?


Siapa yang tidak pernah tengok wayang? Daripada tiket wayang yang berkoyak dan bertulisan nombor tempat duduk daripada kapur jahit sehinggalah kepada zaman komputer touch screen sekarang ini, sekurang-kurangnya sekali mesti pernah punya...

Seingat-ingat BR filem pertama yang pernah ditonton ialah filem hindustan "Haati Mere Saathi" (cerita gajah-gajah) yang sungguh popular di tahun 1970-an di panggung Empire Alor Setar dibawa oleh arwah ayah. Diikuti oleh "Bobby", "Tangan Besi", "King Kong", filem-filem "Badul" dan sebagainya.


Contoh sekeping tiket wayang panggung Rex Telok Intan, Perak yang berharga RM4.00 pada waktu itu bagi kelas pertama. Tiket ini masih baharu mungkin di sekitar tahun 1982 - 1990-an kerana menggunakan nama Telok Intan (dahulunya Telok Anson) dan menggunakan simbol RM (dahulunya $ atau Ringgit).

Tidak hairanlah jika sekarang ini kita mendengar jumlah kutipan tiket sesuatu filem itu boleh mencecah jutaan ringgit, kadang-kadang bukanlah kerana filem itu baguspun, tetapi kerana harga tiketnya yang berkali-kali ganda nilainya daripada harga tiket filem dahulu...

Sewaktu di Alor Setar dahulu memang terdapat banyak panggung wayang di sana seperti Rex, Sky (Jalan Putra), Royal (berdekatan OCBC Bank), Cathay (Jalan Langgar), Sri Intan (belakang Sekolah Convent) dan Empire (berhampiran Pekan Rabu).

Di awal remaja, panggung Royal yang menjadi pilihan kerana panggung ini akan menayangkan filem kung fu. BR minat sungguh dengan filem kung fu yang biasanya akan mengisahkan mengenai pembalasan dendam seorang pemuda yang menuntut ilmu kung fu daripada seorang peminta sedekah yang mabuk. Ala-ala "Drunken Master" gitu...

Apabila telah meningkat sedikit lagi dewasa, filem "Butterfly" lakonan Pia Zadora pun dah kira o.k. dah... Masuk pula tidak perlu membeli tiket, hanya memberi rasuah kepada penjaga tiket selepas semua penonton masuk ke dalam panggung... He.. he..

Sepintas lalu suasana di dalam panggung wayang ketika itu ialah penonton boleh merokok. Maka 'berkelun-kelun' lah asap rokok yang kelihatan menghiasi layar panggung. Makanan ringan yang paling popular pula bukannya popcorn, tetapi kuaci bunga matahari atau kuaci hitam. Apabila selesai sesuatu tayangan dan apabila penonton mula bangun dari kerusi maka akan kedengaranlah 'bercerau-cerau' bunyi kulit kuaci itu jatuh ke lantai.

Kalau filem komedi pula, umpamanya filem arahan Badul, adegan ketuk kepala dan aksi mengeliat allahyarham R Jaafar sudah cukup untuk menggamatkan panggung. Bagi yang pernah menontonnya pula tidak berhenti-henti akan menceritakan apa yang akan berlaku pada adegan yang seterusnya.


Salah satu cara panggung wayang mempromosikan filem-filem yang akan ditayangkan ialah melalui hebahan kereta berspeaker corong ke kampung-kampung dan juga melalui brochure atau pamplete yang akan ditampal atau diedarkan ke merata tempat.

Paparan kali ini marilah sama-sama kita melihat sekeping brochure wayang daripada panggung Rex Kampar, Perak yang entah bilakah tahunnya kerana keseluruhan depan belakang brochure ini adalah bertulisan Cina. Nak translatepun BR tak pandai.

Kalau dilihat rasanya memang cukup lama kerana pada waktu itu nombor telefon panggung Rex Kampar ini hanya menggunakan nombor 3 digit sahaja. Nombornya pun cantik iaitu 111.


Jika diperhatikan pada gambarnya, filem ini mungkin sebuah filem cinta romantis. Tetapi apakah tajuknya dan siapakah pengarah dan pelakon-pelakonnya tidaklah pula diketahui.

Kepada pembaca berbangsa Cina atau kepada mereka yang memahami tulisan Cina ini dapatlah kiranya memberikan maklumat mengenai filem ini di ruangan komen nanti.


24 February, 2011

Lesen TV


Lesen Alat Terima Siaran Televisyen atau lebih dikenali sebagai Lesen TV ini memang merupakan satu dokumen yang perlu ada di dalam setiap rumah yang memiliki set radio dan TV suatu ketika dahulu. Adalah menjadi satu kesalahan dan akan didenda sekiranya pemilik set radio dan TV pada waktu itu tidak memiliki Lesen TV ini. Bayarannya ialah RM24 bagi tempoh setahun dan boleh dibayar di mana-mana Pejabat Pos di seluruh Malaysia pada waktu itu.


Pada kebiasaannya Lesen TV ini akan dipamerkan di dalam rumah supaya mudah dilihat oleh pegawai penguat kuasa yang datang membuat pemeriksaan. Terpulanglah kepada tuan rumah sama ada untuk membingkaikannya ataupun hanya melekatkannya di dinding dengan menggunakan paku tekan.

Lesen TV yang bertarikh 15.07.1999 dan tamat pada 15.07.2000 ini masih baru dan merupakan siri yang terakhir sebelum penggunaannya dimansuhkan pada tahun 1999. Bagi Lesen TV yang terawal, butiran yang terdapat pada Lesen TV ini adalah bertulis tangan dan bukannya cetakan komputer. Walaupun telah pudar, tetapi masih boleh dibaca.


Sebenarnya memang terdapat beberapa laman dan blog yang telahpun memaparkan kisah Lesen TV ini, salah satunya ialah Lan Antique. Tetapi apa yang lebih menyeronokkan di sini ialah mengenai beberapa kisah lucu yang boleh kita kongsikan bersama iaitu semasa pegawai penguat kuasa Lesen TV datang membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah pada waktu itu. Kepada pembaca yang pernah mengalami sendiri kisah menyorokkan TV dengan membungkusnya dengan selimut ataupun tilam bolehlah kita kongsikan bersama. Ada juga yang terlebih sorok sehingga terlupa di mana radio itu disorok... He.. he..

Maka kelam-kabutlah (kepada mereka yang tidak memiliki Lesen TV ini) memberikan berbagai alasan untuk mengelakkan daripada didenda oleh penguat kuasa. Alasan yang paling popular ialah TV rosak, ada yang menumpangkannya di rumah jiran yang memiliki lesen dan yang paling kelakar ialah mengaku tidak pernah memiliki TV tetapi antenna TV kelihatan di bumbung rumah...

Jika difikirkan apalah sangat dengan RM2.00 sebulan itu jika dibandingkan dengan siaran sebuah stesen TV berbayar kini yang paling minima RM40.00 sebulan itu tetapi asyik menyiarkan siaran yang berulang-ulang...


Kepada pembaca terutamanya generasi baharu yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai lesen TV ini bolehlah ke: Wikipedia/Lesen Televisyen


29 December, 2010

Ngangkung... Siapa Yang Kena?


Bertujuan hanya sebagai info, di sini BR paparkan sekeping tiket nombor ekor (Magnum 4D) di mana tarikh cabutannya ialah pada hari Khamis 17.04.1986 iaitu kira-kira 24 tahun yang lalu.

Tiket seperti ini memang tidak asing lagi kepada mereka yang 'kaki nombor' dan semoga ianya akan mengembalikan semula nostalgia kepada mereka sama ada yang telah insaf atau pun yang belum insaf... He.. he..


(Sila klik untuk besarkan imej)


4-D Numbers Forecast ini dikeluarkan oleh Magnum Corporation Berhad dan All prizes guaranteed in full.


Pada waktu itu penggunaan komputer masih belum meluas dan tulisan manual telah digunakan berbeza dengan sekarang di mana tiket nombor ekor adalah cetakan komputer sepenuhnya.

Nombor yang dipilih ialah 7491 bernilai RM5 (Kecil). Jelas kelihatan pada tiket tersebut ialah investment ialah RM4.75 manakala Gaming Tax (Dibayar kepada siapa Gaming Tax ini?) ialah RM0.25. Tiket ini adalah untuk siri cabutan yang ke-46 pada tahun tersebut.


Moral Value: Judi Adalah Haram Di Sisi Islam.


25 September, 2010

Seniwati Datuk Maria Menado


Sambil membelek album gambar lama di kampung sewaktu pulang berhari raya baru-baru ini, terjumpalah pula dengan gambar ini. Arwah ayah merupakan salah seorang peminat seniwati ini dan tidak hairanlah poskad ini masih lagi tersimpan sebagai kenang-kenangan.

Untuk makluman, gambar ini sebenarnya adalah sekeping poskad yang menunjukkan seniwati Datuk Maria Menado bersama sebuah piala Miss Film Star Malaya 1955 yang diianjurkan oleh St. John Ambulance Association bertempat di Johor Baharu Fun Fair pada tahun 1955. (Berdasarkan catatan pada piala itu).


Datuk Maria Menado (nama asal beliau Liesbet Dotulong) dilahirkan pada 2 Februari 1932, merupakan seorang bintang filem Melayu yang termasyhur antara 1957 dan 1963. Maria Menado berhijrah ke Singapura dan memeluk Islam ketika berusia 19 tahun dan berkahwin dengan promoter tinju dan juga penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad.

Peranannya sebagai puntianak dalam filem "Pontianak", yang merupakan filem seram tempatan yang sulung, memberikannya kemasyhuran dalam dunia filem tempatan pada tahun 1957. Pada tahun itu, beliau digelarkan "Wanita Terjelita Malaya" oleh Times Magazine serta "Wanita Berpakaian Paling Menarik di dalam Asia Tenggara" oleh United Press International, sebuah pertubuhan berita.

Untuk maklumat lanjut mengenai seniwati tersohor ini silalah rujuk: http://ms.wikipedia.org/wiki/Maria_Menado


Kualiti gambar ini agak kurang memuaskan kerana dianggarkan poskad ini telah disimpan semenjak 50 tahun yang lalu. Namun begitu adalah diharapkan agar generasi kini sama ada di kalangan artis mahupun bukan artis supaya lebih mengenali dan menyedari bahawa artis-artis kita dulu-dulu sememangnya hebat...


24 September, 2010

Kad Selamat Hari Raya Di Tahun 50-an...


Hari ini 15 Syawal 1431H kita masih lagi dalam suasana Hari Raya. Tentunya banyak sekali undangan-undangan ke majlis rumah terbuka yang terpaksa dipenuhi terutamanya pada hari esok dan lusa. Puasa sebulan dan berhari rayapun sebulanlah juga..


Kali ini BR hendak tunjukkan sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya yang telahpun berusia hampir 55 tahun kepunyaan arwah ayah yang masih tersimpan rapi di dalam album gambarnya.


Lambang bunga padi, tanda berjabat tangan serta keris yang bersilang yang melatari kad ucapan ini adalah menandakan bahawa kad ucapan adalah daripada seorang anggota polis. Difahamkan bahawa kad ucapan ini telah beliau terima daripada seorang rakan setugas di sekitar tahun 1950-an ketika bersama-sama bertugas di Kem Alor Akar, Kuantan, Pahang.


Kualiti kertas kad ucapan ini adalah sama dengan kualiti kertas gambar foto hitam putih pada waktu itu. Secara tidak langsung ini juga telah membuktikan bahawa kad ucapan dengan cetakan gambar peribadi pengirim telahpun lama wujud semenjak dahulu lagi. Agak malang kerana tarikh sebenar kad ucapan ini telah kabur untuk kita mengetahui usia sebenarnya...


Kad ucapan ini menggunakan tulisan jawi sepenuhnya dan disertakan juga dengan bait-bait syair yang indah menggambarkan perasaan si pengirim:


Bukan tak hajat hendak kemari,
Berhari raya barang sehari,
Sebab tak dapat meminta cuti,
Kad sahaja datang menziarahi.

Makan terminum halal dipinta,
Terkhilaf terbebel dimaafkan serta,
Tunggu pula tidak berjumpa,
Di dalam hati sedikit tak lupa.


21 August, 2010

Loteri PEMADAM Malaysia...


Bagi pembaca yang pernah melalui kehidupan di tahun 1970-an tidak kiralah sama ada masih kanak-kanak ataupun telah dewasa, tiket loteri Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) ini sudah tentulah bukan suatu perkara yang 'pelik' pada waktu itu. PEMADAM telah ditubuhkan pada 22 Mac 1976 dan sebagai sebuah badan bukan kerajaan, PEMADAM telah bergerak cergas membantu kerajaan memerangi DADAH iaitu Musuh Utama Negara dengan inisiatif mewujudkan loteri ini bertujuan untuk mengutip dana bagi menampung perbelanjaan di dalam usaha untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia.



Perangilah Penyalahgunaan Dadah Habis-habisan



Dadah dikatakan telah mula mengancam anak-anak muda dalam tahun 1972 apabila Pesta Woodstock diadakan oleh Pengakap, di Cheras, dekat Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, sebelum itu dadah tidak begitu terkenal dana adalah tidak benar bahawa dadah boleh mengatasi banyak masalah. Penagihnya juga tidak mempunyai pegangan.

Orang-orang muda yang terlibat dengan salahguna dadah lemah peribadinya, mereka tidak boleh dipimpin. Hanya ibu bapa dan guru yang boleh membimbing.

Dadah juga merupakan masalah keselamatan dan akan memudahkan anasir-anasir komunis menyerap masuk menjalankan dakyah kepada yang terlibat.

Para belia yang gemar dengan nilai hidup dari barat, terutamanya meniru para penyanyi barat banyak terlibat dengan dadah.


SOSIAL

Dan ini juga adalah masalah sosial yang wujudnya secocok dengan kegemaran anak muda.

Pusat tahanan penagih dadah di Pulau Jerjak hanya mampu menempatkan 700 orang sahaja, tetapi sekarang hampir 1,000 orang.

Ada penagih yang telah balik semula selepas mendapat rawatan.

Dalam soal ini para alim ulama perlu turut sama mengatasi masalah itu dengan memberi satu cara pemulihan yang intensif.

Kementerian Kebajikan Am, telah berjaya merawat lebih dari 2,000 penagih.

Penglibatan RELA adalah amat dialu-alukan dan boleh memberikan kerjasama mencegah kemasukan bahan-bahan itu di sempadan.

Kerajaan akan melancarkan kempen mencegah penyalahgunaan dadah secara besar-besaran tahun depan melibatkan berbagai-bagai kalangan dan Jabatan Kerajaan.

Baru-baru ini para dukun dan bomoh telah pula bermesyuarat di Kuala Lumpur untuk menolong Kerajaan memerangi penyakit masyarakat yang berbahaya ini.

PEMADAM telah pula ditubuhkan untuk melibatkan orang ramai dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah. Orang ramai adalah diseru memberikan sokongan kepada PEMADAM dengan menjadi ahli di tempat masing-masing.

Pihak PEMADAM baru-baru ini telah melancarkan jualan loteri untuk memungut wang dari seluruh masyarakat bagi membiayai berbagai-bagai rancangannya dalam menghadapi masalah dadah.

Orang ramai adalah diminta menyokong usaha ini dengan membeli tiket-tiket yang dijual dengan seberapa banyak yang ikhlas.

Usaha menentang penyalahgunaan dadah dan merawat penagih-penagihnya adalah memerlukan perbelanjaan yang besar.

Beberapa buah Kerajaan Negeri telah ikut menolong menjayakan rancangan PEMADAM khasnya di segi pemulihan.

Kerajaan Negeri Terengganu telah menguntukkan sebuah pulau iaitu Pulau Tenggul dekat Dungun untuk dijadikan Pusat pemulihan. Kerajaan Johor telah menguntukkan Pulau Pisang dekat Mersing sementara Kerajaan Selangor menguntukkan kawasan 200 ekar di Salak Tinggi, Sepang untuk tujuan yang sama. Semuanya ini memerlukan belanja yang besar.

Berdermalah dengan membeli Loteri PEMADAM.


(Artikel ini telah dipetik daripada majalah Sinar Zaman, Jilid VI, Bil. 59, 1977).



Tiket Loteri PEMADAM ini berharga seringgit sekeping pada waktu itu dan hadiah-hadiah yang disediakan kepada pemenang Loteri PEMADAM ini ialah:

Satu (1) hadiah yang Pertama - sebuah Rumah Banglo
Satu (1) hadiah yang Kedua - sebuah Rumah Terrace
Satu (1) hadiah yang Ketiga - sebuah Rumah Terrace

Lima (5) hadiah yang Keempat - tiap-tiap satu sebuah TV set
Sepuluh (10) hadiah yang Kelima - tiap-tiap satu sebuah Cassette Recorder
Dua puluh lima (25) hadiah yang Keenam - tiap-tiap satu sebuah Kipas Meja
Lima puluh tujuh (57) hadiah yang Ketujuh - tiap-tiap satu sebuah Periuk Nasi


Tiket seperti contoh di atas akan diundi di dewan Tunku Abdul Rahman pada 15 Oktober, 1977 jam 2.30 petang.


Untuk pengetahuan, Loteri PEMADAM ini telah lama dimansuhkan bersesuaian dengan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia...


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:



Resepi Agar-agar Lychee


Bahan-bahannya:


1 oz. agar-agar
1 tin susu cair
4 biji telur (asingkan putih dan merah telurnya)
1 1/4 tin gula
1 tin lychee (dipotong kecil-kecil)


Cara Membuatnya:


Masakkan agar-agar dengan air hingga hancur. Masukkan gula dan kemudian ditapiskan agar-agar yang telah hancur itu.

Setelah ditapis masakkan semula agar-agar itu hingga mendidih dan dimasukkan pula susu, telur merah yang telah dipukul terlebih dahulu dan lychee.

Akhir sekali masukkan telur putih yang juga telah dipukul dan kemudian dituangkan agar-agar tadi ke dalam bekas yang telah dibasahkan terlebih dahulu.

Bila sudah beku bolehlah dipotong dan dihidangkan.


Selamat mencuba!


29 July, 2010

Happy Birthday To You...


Mungkin tidak ramai yang berpeluang untuk melihat Sijil Daftar Kelahiran (Certificate Of Registration Of Birth) yang telah dikeluarkan pada 29.07.1950 ini. Ini juga bererti pemilik sijil lahir ini telahpun berusia genap 60 tahun pada hari ini...


Kadang-kadang terfikir juga mengapakah dokumen yang sepenting ini kerap sangat bertukar wajah dan tidak diseragamkan. Sebagai contoh, anak-anak BR yang empat orang itu memiliki sijil lahir yang berbeza bagi setiap seorang. Ada yang siap di'laminated', ada yang kecil dan bertaip, ada yang tiada pekerjaan bapa, ada yang lengkap nombor mykid, ada yang bertanda tangan pemaklum, ada yang bersaiz A4, ada yang ditulis 'Borang A', ada yang bertulis 'Borang A1' dan bla.. bla.. bla.. He.. he..


Anda bagaimana?


24 July, 2010

Rukun Tetangga vs Rukun Rumahtangga...


Mungkin ramai di antara kita terutamanya generasi muda kini yang tidak mengetahui apakah itu Rukun Tetangga. Rukun Tetangga telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1975 asalnya untuk menjamin keselamatan penduduk setempat. Satu akta yang dikenali sebagai Peraturan Rukun Tetangga 1975 (P.U. (A) 279/75) [3] telah diluluskan untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada pertubuhan tersebut.


Ia juga merupakan satu program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Malaysia. Konsep program ini hampir sama seperti Neighbourhood Watch seperti yang diamalkan di United Kingdom. Objektifnya ialah untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.


Peranan utama Rukun Tetangga ialah menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan yang bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan. Anggota kumpulan rondaan biasanya dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan tersebut lebih kurang seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telah diperkenalkan di kebanyakan kampung-kampung dan taman-taman perumahan seperti sekarang ini.


Untuk makluman, sehari bercuti pada keesokan harinya adalah layak diberikan kepada anggota Rukun Tetangga yang telah bertugas pada sebelah malamnya. Di sini BR paparkan satu contoh surat kebenaran bercuti Rukun Tetangga bertarikh 29 Julai 1978. Dapat dilihat di situ iaitu waktu bertugas ialah bermula pada pukul 12.00 a.m. hingga 4.00 a.m. Sayugia diingatkan bahawa ahli-ahli yang bertugas biasanya adalah terdiri daripada kaum lelaki sahaja.


Satu pos kawalan atau lebih dikenali sebagai Pondok Rukun Tetangga akan dibina dan dijadikan sebagai bilik gerakan di sesuatu kawasan kejiranan itu. Berbagai lapisan penduduk tidak kira bangsa dan agama bersama-sama meronda dan menjaga keselamatan kampung masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sebagai pengenalan, satu lilitan kain di lengan akan dipakai oleh anggota Rukun Tetangga yang bertulis 'RT'. Lampu suluh dan sebatang belantan juga turut dibekalkan selain daripada bekalan 'roti mayat' dan secerek kopi 'O' untuk anggota-anggota Rukun Tetangga yang bertugas pada malam itu... He.. he..


Pada 1984, fokus pertubuhan ini bertukar kepada merapatkan hubungan di antara pelbagai kaum di Malaysia. Kemudian pada 2001, fokus program ini sekali lagi bertukar kepada fokus sekarang, iaitu pembangunan masyarakat setempat. Kepada abang-abang dan pakcik-pakcik yang pernah menyertai Rukun Tetangga ini bolehlah memberikan info pengalaman yang boleh kita kongsikan bersama.


23 July, 2010

Telegram - "Pulang Segera Ayah Sakit Tenat"


Itulah lebih kurang bentuk ayat yang dibaca ketika seseorang itu menerima telegram suatu ketika dahulu. Sesungguhnya telegram ini adalah cukup sinonim dengan perkhabaran berita sedih yang memerlukan tindakan segera oleh pihak yang menerimanya sesuai dengan sifatnya sebagai salah satu alat perhubungan yang terpantas pada waktu itu. Lebih pantas daripada Pos Laju... He.. he..


Biasanya pesanan daripada telegram ini akan mengambil masa selama satu hari untuk sampai kepada penerimanya dan disampaikan pula oleh posmen seperti surat. Adalah sesuatu yang paling ditakuti dan di'fobia'i oleh penerimanya apabila posmen menghulurkan telegram memandangkan kebangkalian berita kesedihan adalah amat tinggi berbanding dengan berita gumbira. Satu persepsi yang telah sekian lama terpahat di pemikiran penerima telegram.


Untuk itu, di sini BR paparkan sekeping telegram yang telahpun berusia 40 tahun untuk tatapan generasi kini yang tidak pernah melihatnya dan sebagai satu nostalgia kepada pakcik-makcik dan opah-tok wan yang pernah menggunakan perkhidmatan ini suatu ketika dahulu tidak kiralah sebagai pengirim ataupun penerimanya.


Telegram ini dikirimkan oleh seseorang daripada Melbourne kepada keluarganya di Petaling Jaya pada tahun 1970 dan diuruskan oleh Jabatan Talikom Malaysia dan Pejabat Taligerap Petaling Jaya. Mesej yang disampaikan tidak perlu panjang tetapi padat memandangkan bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan telegram ini adalah berdasarkan bilangan patah perkataan yang digunakan.


Kalau hendak tulis panjang-panjang dan dengan bahasa yang berbunga-bunga adalah dinasihatkan supaya menggunakan surat sahaja. "Sebelum mata pena ini terus menari-nari di atas lembaran kertas yang usang ini, izinkanlah daku bla..bla..bla.." contoh bahasa berbunga yang pernah BR baca pada surat dulu-dulu he..he..


Contohnya di sini ialah "ARRIVED SAFELY LETTER FOLLOWS LOVE HUI". Lebih kurang membawa maksud yang pengirimnya yang bernama Hui ini telahpun selamat sampai ke destinasi dan surat-menyurat akan menyusul kemudian. (Bukan berita sedih...).


Di era 1970-an, perkhidmatan telegram ini sememangnya cukup popular sebagai salah satu alat perhubungan terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan-kawasan yang sukar untuk dihubungi.


Dengan kemudahan telefon bimbit, internet, e-mail, sidang video, SMS, MMS, Push-to-Talk, Radio Amatur, blog, shoutmix, cbox (he.. he..) dan pelbagai lagi kaedah perhubungan yang semakin canggih sekarang ini, perkhidmatan telegram ini semakin dipinggirkan meskipun pada waktu ini perkhidmatan ini masih lagi dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad.


21 July, 2010

Sijil Lulus Pelajaran Sekolah Rendah 1972


Sebagai seorang pelajar yang telah menamatkan zaman persekolahannya, selain daripada sijil akademik, sijil berhenti sekolah juga adalah amat penting sebagai resume untuk memohon sesuatu pekerjaan. Melalui sijil berhenti sekolah, seseorang itu boleh dinilai mengenai pencapaian akademik, kelakuan dan pencapaiannya yang tertentu di dalam sesuatu bidang ko-akademik dan kokurikulum.


Kali ini BR akan tunjukkan contoh sekeping sijil tamat persekolahan sekolah rendah yang dikeluarkan oleh pihak sekolah di tahun 1970-an. Kepada abang-abang dan kakak-kakak yang pernah bersekolah pada zaman tersebut tentu sekali telah memiliki sijil seperti ini kerana pengeluarannya adalah seragam bagi semua sekolah-sekolah rendah di seluruh Malaysia pada waktu itu.


Contoh sijil yang dipaparkan di sini ialah daripada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Huah, Kampar, Perak yang telah dikeluarkan kepada salah seorang muridnya bertarikh 6 November 1972. (Maklumat peribadi terpaksa dipadam untuk tidak menyinggung mana-mana pihak). Keseluruhan pernyatan pada sijil ini masih lagi menggunakan ejaan-ejaan lama Bahasa Melayu. Kaedah pengisian maklumat pada sijil ini juga turut berbeza mengikut sesebuah sekolah kerana ada maklumat sijil yang ditaip dan ada juga yang hanya bertulisan tangan.


Dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu sebagai bukti bahawa seseorang itu telah menamatkan persekolahannya di sekolah rendah selama enam tahun iaitu dari darjah 1 hingga darjah 6. Sijil ini juga boleh digunakan pada waktu untuk memohon pekerjaan untuk menjadi seorang tentera selain daripada sihat tubuh badan. Ramai rakan-rakan BR yang telah menjadi tentera dengan menggunakan sijil ini.


Di bahagian belakang sijil, tercetak panduan gred-gred tertentu yang digunakan untuk menilai tahap pencapaian seseorang murid itu sepanjang pengajiannya di sekolah rendah. Bermula daripada Pangkat I bagi yang terbaik manakala Pangkat V bagi yang amat lemah.


Berlalu dengan perubahan zaman dan tahap pembelajaran masa kini, Sijil Lulus Pelajaran Sekolah Rendah ini seolah-olah sudah tidak sesuai lagi untuk dijadikan resume untuk memohon sesuatu pekerjaan. Seboleh-bolehnya pencapaian akademik di tahap yang tertinggi adalah menjadi keutamaan pada masa kini untuk seseorang itu boleh memasuki sektor pekerjaan makan gaji. Kepada adik-adik yang masih belajar, utamakanlah pelajaran untuk kesenangan di masa hadapan...


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'