22 August, 2010

Pahlawan Kanak-kanak 1977


Jamakuddin bin Ahmad, 12 tahun dari Sarawak tidak menyangka sama sekali akan terpilih sebagai Pahlawan Kanak-kanak dan menerima Pingat Hang Tuah. Malah dia tidak tahu langsung tentang adanya pengurniaan pingat itu kepada kanak-kanak yang berjasa. Maka oleh itu ia menganggap adalah di luar dugaan apabila beliau dipilih sebagai pemenang pingat itu pada tahun 1977.


Jamakuddin diberi gelaran Pahlawan Kanak-kanak kerana berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun dari lemas di sungai di kampungnya iaitu Kampung Haji Karim, Bahagian Keenam, Sarikei, Sarawak pada 4 Disember tahun 1976. Jamakuddin ialah murid darjah enam Sekolah Rendah Kerajaan Abang Haji Matahir di Sarikei.

Ketika ditemui di Staduim Negara selepas menerima Pingat Hang Tuah dari Yang di-Pertuan Agong di hadapan beribu-ribu orang kanak-kanak di perayaan Hari kanak-kanak Sedunia 1977, Jamakuddin berkata tindakannya menyelamatkan kanak-kanak itu adalah secara jujur dan ikhlas.

"Secara kebetulan kanak-kanak yang diselamatkan itu ialah cucu kepada penghulu kampung kami," sampuk ayah Jamakuddin, Encik Ahmad bin Anis yang hadir mengiringi anaknya itu. Menurut Jamakuddin, dia ternampak kanak-kanak itu sedang dia di dalam perjalanan menuju ke kedai untuk membeli barang-barang yang disuruh oleh ibunya. "Saya terus sahaja ke tempat itu dan terjun ke dalam arus yang deras itu," ceritanya. "Bila saya lihat keadaannya terlalu pucat, sayapun menjerit memanggil ibunya yang tinggal tidak jauh dari sungai itu," kata Jamakuddin lagi.

Menurut bapanya, Jamakuddin adalah seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap. Di rumah dia cuma suka membantu ibunya seperti menolong menjaga adik-adiknya. Walaupun dia kelihatan lemah lembut tetapi bila ditanya cita-cita di masa depan, beliau berkata askar adalah pilihan utamanya. Jamakuddin mempunyai dua orang adik perempuan dan dia adalah anak sulung.


Gambar menunjukkan beberapa persembahan menarik oleh kanak-kanak di majlis sambutan itu. Selain daripada menerima Pingat Hang Tuah, Jamakuddin juga dihadiahkan wang tunai berjumlah $500 (nilai pada waktu itu) hadiah dari Colgate dan Palmolive. Segala pembiayaan pakaian, tambang serta wang perbelanjaan dihadiahkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.


Dimanakah Jamakuddin sekarang?


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Agar-agar Celoreng


Bahan-bahannya:


1 tahil agar-agar
1 kati gula batu
1 besen air sejuk
1 camca esen ros
4 macam pencelup warna


Cara Membuatnya:


Agar-agar dibasuh bersih dan dimasak dengan air hingga hancur. Masukkan gula batu sambil dikacau.

Apabila naik buih, buangkan buihnya. Setelah masak taruh esen ros dan kacau. Masaklah hingga pekat.

Kemudian tuangkan ke dalam acuan. Bubuh empat pencelup warna setempat-setempat supaya tidak tergaul rapi. Biarkan hingga beku.


Selamat mencuba!


21 August, 2010

Loteri PEMADAM Malaysia...


Bagi pembaca yang pernah melalui kehidupan di tahun 1970-an tidak kiralah sama ada masih kanak-kanak ataupun telah dewasa, tiket loteri Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) ini sudah tentulah bukan suatu perkara yang 'pelik' pada waktu itu. PEMADAM telah ditubuhkan pada 22 Mac 1976 dan sebagai sebuah badan bukan kerajaan, PEMADAM telah bergerak cergas membantu kerajaan memerangi DADAH iaitu Musuh Utama Negara dengan inisiatif mewujudkan loteri ini bertujuan untuk mengutip dana bagi menampung perbelanjaan di dalam usaha untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia.



Perangilah Penyalahgunaan Dadah Habis-habisan



Dadah dikatakan telah mula mengancam anak-anak muda dalam tahun 1972 apabila Pesta Woodstock diadakan oleh Pengakap, di Cheras, dekat Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, sebelum itu dadah tidak begitu terkenal dana adalah tidak benar bahawa dadah boleh mengatasi banyak masalah. Penagihnya juga tidak mempunyai pegangan.

Orang-orang muda yang terlibat dengan salahguna dadah lemah peribadinya, mereka tidak boleh dipimpin. Hanya ibu bapa dan guru yang boleh membimbing.

Dadah juga merupakan masalah keselamatan dan akan memudahkan anasir-anasir komunis menyerap masuk menjalankan dakyah kepada yang terlibat.

Para belia yang gemar dengan nilai hidup dari barat, terutamanya meniru para penyanyi barat banyak terlibat dengan dadah.


SOSIAL

Dan ini juga adalah masalah sosial yang wujudnya secocok dengan kegemaran anak muda.

Pusat tahanan penagih dadah di Pulau Jerjak hanya mampu menempatkan 700 orang sahaja, tetapi sekarang hampir 1,000 orang.

Ada penagih yang telah balik semula selepas mendapat rawatan.

Dalam soal ini para alim ulama perlu turut sama mengatasi masalah itu dengan memberi satu cara pemulihan yang intensif.

Kementerian Kebajikan Am, telah berjaya merawat lebih dari 2,000 penagih.

Penglibatan RELA adalah amat dialu-alukan dan boleh memberikan kerjasama mencegah kemasukan bahan-bahan itu di sempadan.

Kerajaan akan melancarkan kempen mencegah penyalahgunaan dadah secara besar-besaran tahun depan melibatkan berbagai-bagai kalangan dan Jabatan Kerajaan.

Baru-baru ini para dukun dan bomoh telah pula bermesyuarat di Kuala Lumpur untuk menolong Kerajaan memerangi penyakit masyarakat yang berbahaya ini.

PEMADAM telah pula ditubuhkan untuk melibatkan orang ramai dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah. Orang ramai adalah diseru memberikan sokongan kepada PEMADAM dengan menjadi ahli di tempat masing-masing.

Pihak PEMADAM baru-baru ini telah melancarkan jualan loteri untuk memungut wang dari seluruh masyarakat bagi membiayai berbagai-bagai rancangannya dalam menghadapi masalah dadah.

Orang ramai adalah diminta menyokong usaha ini dengan membeli tiket-tiket yang dijual dengan seberapa banyak yang ikhlas.

Usaha menentang penyalahgunaan dadah dan merawat penagih-penagihnya adalah memerlukan perbelanjaan yang besar.

Beberapa buah Kerajaan Negeri telah ikut menolong menjayakan rancangan PEMADAM khasnya di segi pemulihan.

Kerajaan Negeri Terengganu telah menguntukkan sebuah pulau iaitu Pulau Tenggul dekat Dungun untuk dijadikan Pusat pemulihan. Kerajaan Johor telah menguntukkan Pulau Pisang dekat Mersing sementara Kerajaan Selangor menguntukkan kawasan 200 ekar di Salak Tinggi, Sepang untuk tujuan yang sama. Semuanya ini memerlukan belanja yang besar.

Berdermalah dengan membeli Loteri PEMADAM.


(Artikel ini telah dipetik daripada majalah Sinar Zaman, Jilid VI, Bil. 59, 1977).



Tiket Loteri PEMADAM ini berharga seringgit sekeping pada waktu itu dan hadiah-hadiah yang disediakan kepada pemenang Loteri PEMADAM ini ialah:

Satu (1) hadiah yang Pertama - sebuah Rumah Banglo
Satu (1) hadiah yang Kedua - sebuah Rumah Terrace
Satu (1) hadiah yang Ketiga - sebuah Rumah Terrace

Lima (5) hadiah yang Keempat - tiap-tiap satu sebuah TV set
Sepuluh (10) hadiah yang Kelima - tiap-tiap satu sebuah Cassette Recorder
Dua puluh lima (25) hadiah yang Keenam - tiap-tiap satu sebuah Kipas Meja
Lima puluh tujuh (57) hadiah yang Ketujuh - tiap-tiap satu sebuah Periuk Nasi


Tiket seperti contoh di atas akan diundi di dewan Tunku Abdul Rahman pada 15 Oktober, 1977 jam 2.30 petang.


Untuk pengetahuan, Loteri PEMADAM ini telah lama dimansuhkan bersesuaian dengan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia...


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:



Resepi Agar-agar Lychee


Bahan-bahannya:


1 oz. agar-agar
1 tin susu cair
4 biji telur (asingkan putih dan merah telurnya)
1 1/4 tin gula
1 tin lychee (dipotong kecil-kecil)


Cara Membuatnya:


Masakkan agar-agar dengan air hingga hancur. Masukkan gula dan kemudian ditapiskan agar-agar yang telah hancur itu.

Setelah ditapis masakkan semula agar-agar itu hingga mendidih dan dimasukkan pula susu, telur merah yang telah dipukul terlebih dahulu dan lychee.

Akhir sekali masukkan telur putih yang juga telah dipukul dan kemudian dituangkan agar-agar tadi ke dalam bekas yang telah dibasahkan terlebih dahulu.

Bila sudah beku bolehlah dipotong dan dihidangkan.


Selamat mencuba!


20 August, 2010

Nila Cap Burung Unta...


Pepatah lama "kerana nila setitik rosak susu sebelanga" sememangnya sudah tidak asing lagi kepada kita semua. Secara tidak langsung ianya juga menunjukkan penggunaan nila ini telah sekian lama wujud di dalam kehidupan kita seharian sebagai medium untuk mengekalkan keputihan pakaian yang berwarna putih.


Untuk pengetahuan, selain daripada untuk memutihkan pakaian, nila juga digunakan untuk mengelakkan pakaian putih dari menjadi kekuningan. Suatu ketika dahulu penggunaan nila ini memang cukup popular terutama dikalangan murid-murid sekolah. BR sendiripun tidak terkecuali... He he..


Bukan setakat baju sekolah di'nila'kan, kasut sekolah pun turut diberi sentuhan nila. Pemandangan di mana murid-murid ke sekolah dengan pakaian dan kasut yang kebiruan adalah fenomena biasa yang boleh kita lihat pada waktu itu.


Kepada pembaca yang mempunyai pengalaman ke sekolah berbaju biru (bukan pengawas sekolah) akibat penggunaan nila ini bolehlah berkongsi bersama BR di sini. Bila dikenangkan kembali memang terasa lucu dan amat kelakar kenangan kita dahulu...


Nila yang dipaparkan di sini adalah berbentuk serbuk tetapi seingat BR, nila yang emak gunakan dahulu berbentuk kiub, diikat dan dibungkus di dalam kain kecil lalu dicelupkan ke dalam besen yang mengandungi pakaian yang hendak dinilakan. Air yang kebiruan akan terhasil bercampur dengan pakaian. Pakaian tersebut dibasuh dan dibilas bersih sebelum dijemur.


Tetapi awas! jika terlebih sukatan itulah yang akan membuatkan pakaian putih tadi akan menjadi kebiruan...


Generasi kini mungkin tidak mengetahui apa itu nila lagi kerana penggunaan nila ini boleh dikategorikan sebagai telah pupus memandangkan setiap rumah telah menggunakan kaedah membasuh pakaian menggunakan mesin basuh.


Bahan pencuci pakaian yang didatangkan dengan berbagai formula kebersihan dan keharuman telah menggantikan fungsi nila ini selain daripada penggunaan air paip bersih telah mengelakkan pakaian daripada menjadi kekuningan berbeza dengan zaman dahulu di mana penggunaan air sungai ataupun air perigi adalah menjadi sumber utama untuk membasuh pakaian secara manual.


Tips:

Nila juga boleh digunakan secara tradisional untuk mengubati penyakit beguk (leher membengkak akibat kekurangan iodine). Caranya ialah dengan menggunakan nila dan cuka makan iaitu dengan mencampurkan kedua-dua bahan tersebut dan kemudian di sapukan pada bahagian yang bengkak. Lakukan selalu sehingga hilang bengkaknya.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Agar-agar Putih Telur Berlimau


Bahan-bahannya:


1/4 oz. agar-agar
3/4 pain air
3 oz. gula
1 biji putih telur
1 helai daun pandan
1/2 biji air limau nipis
Bahan pewarna hijau atau kuning


Cara Membuatnya:


Basuh serta rendam agar-agar. Tos dengan betul dan rebus dengan air dan daun pandan yang dicarik dan disimpul.

Apabila agar-agar hancur, masukkan gula dan rebus lagi hingga gula hancur.

Sementara itu, pukul putih telur hingga putih dan gebu.

Tapis agar-agar dengan kain maslin dan biar sejuk sedikit. Pukul dan masukkan putih telur ke dalam agar-agara hingga menjadi sama rata. Bubuh air limau nipis dan sedikit sahaja pewarna.

Tuangkan ke dalam acuan yang telah dibilas dan dirikan dalam air sejuk.

Dinginkan baik-baik sebelum menghidang. Hidangkan dalam mangkuk gelas berkaki.


Selamat mencuba!


19 August, 2010

Gold Dollar Tea...


Gold Dollar Tea atau Teh Ringgit Emas ini cukup terkenal semenjak dari tahun 1970-an lagi. Dikategorikan sebagai salah satu jenama teh yang cukup enak pada waktu itu dan mempunyai serbuk teh yang agak kasar. Berlambangkan (tanda perniagaan) simbol ringgit pada pembungkusnya membuatkan ianya cukup dikenali sebagai teh 'duit emas'.


Ditanam dan dan dikilangkan oleh Gunong Emas Tea Plantations Sdn. Bhd., Cameron Highland, Pahang, Malaysia. Sememangnya ia adalah 'teh tulen dari gunung'. Gold Dollar Tea Estate juga merupakan salah satu daripada ladang teh yang menarik untuk dikunjungi di Cameron Highland dan termasuk di dalam peta lawatan jika anda ke sana.


Masih menggunakan sukatan lama di dalam menyatakan berat bersihnya iaitu 1 aun atau 28.4 gram bagi bungkusan teh seperti ini.


Bukti bahawa teh ini telah wujud semenjak tahun 1975 kerana telah mendapat pengiktirafan kelulusan paiwaian daripada Standards Institution of Malaysia (SIM) pada waktu itu. Untuk pengetahuan, SIM ini adalah sebuah badan standard kebangsaan pada waktu itu sebelum tertubuhnya Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) sekarang.


Serbuk teh yang timbul di permukaan cawan atau gelas bersama kepulan asap kepanasan ditambah pula dengan aroma teh ini yang harum, membuatkan sesiapa sahaja yang pernah merasainya pasti tidak akan melupakannya. Jika di kampung dahulu, air teh yang bercampur dengan aroma kayu terbakar (dapur kayu) sungguh nostalgia jika dikenangkan kembali...


Pada hari ini tidak pasti lagi sama ada teh Gold Dollar Tea atau Teh Ringgit Emas ini masih wujud atau tidak. Mungkin nama dan kehebatannya dahulu telah ditenggelami oleh jenama-jenama teh popular yang lain seperti Lipton dan BOH. Namun kepada pembaca yang pernah menggunakannya, pastinya ada nostalgia apabila melihatnya kembali...


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:



Resepi Puding Jagung


Bahan-bahannya:


1 tahil agar-agar
4 1/2 gelas air
1 3/4 gelas gula pasir
4 biji telur ayam
1 tin jagung
1 tin susu cair


Cara Membuatnya:


Agar-agar dimasak hingga hancur.

Merah telur diputarkan hingga naik.

Apabila agar-agar telah hancur, masukkan gula dan tapiskan.

Merah telur, jagung dan susu cair dimasukkan ke dalam sebuah bekas dan kacau sampai sebati. Kemudian masukkan adunan ini ke dalam agar-agar dan masak sekali lagi.

Kacau di atas api yang sederhana. Bila telah pekat, angkat dan tuangkan ke dalam acuan, biarkan sehingga ia beku.


Selamat mencuba!


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'