04 September, 2010

Malam Lailatul Qadar


Lailatul Qadar tanda manusia dikasihi Allah. Salah satu keagungan, keistimewaan dan kemuliaan Ramadan ialah satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang hanya muncul pada 10 hari terakhir Ramadan itu lebih dikenali sebagai Lailatul Qadar. Rasulullah S.A.W. sendiri memohon kepada Allah agar malam bersejarah yang penuh hikmah itu menemuinya.


Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah". - (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:
"Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau". - (Hadis riwayat Muslim )

Keistimewaan Lailatul Qadar diserikan lagi penurunan wahyu al-Quran untuk pertama kalinya kepada Rasulullah sewaktu baginda berada di Gua Hira. Selepas itu al-Quran mula diturunkan secara berperingkat-peringkat dan beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun lagi di Madinah al-Munawwarah. Peristiwa bersejarah penurunan al-Quran diabadikan Allah dalam helaian al-Quran.

Antaranya firman Allah bermaksud:
"Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar". Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar". - (Surah al-Qadr, ayat 1-5).

Jelas daripada mafhum ayat suci di atas bahawa Lailatul Qadar akan muncul pada setiap Ramadan sebagai anugerah Ilahi dan rahmat Allah yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad. Malam yang penuh bersejarah itu dinilai sebagai malam yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya daripada seribu bulan. Ulama bersepakat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun mereka berselisih pendapat mengenai malam ke berapa daripada 10 malam terakhir itu. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya:
"Barang siapa yang ingin mendapatkan Lailatul Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27." - (Hadis riwayat Ahmad)

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir. Walau apapun harinya, yang pentingnya pada malam itu Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan-Nya kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan.

Kelebihan Lailatul Qadar tentu tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu saja dalam Ramadan.

Akan tetapi fadilat malam mulia itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai keIslaman dalam setiap tutur kata, perilaku, akhlak, ibadat dan kegiatan sehariannya.

Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga dan kebahagiaan abadi.

Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadar pertama kali menemui Rasulullah S.A.W. ketika baginda sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira, bermuhasabah dan merenung diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Tidak berapa lama kemudiannya, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa bersama wahyu Ilahi untuk membimbing baginda sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan perjalanan hidupnya.

Ia juga membawa perubahan kepada detik dan perjalanan hidup umat manusia sejagat. Selanjutnya, Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh.

Justeru, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama seribu bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan umat terdahulu. Usia baginda dan umatnya adalah pendek.

Contohnya, Nabi Nuh dikurniakan Allah umur selama 950 tahun. Maka, Lailatul Qadar adalah kurniaan sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana lamanya waktu seribu bulan apabila dihitung dalam kiraan tahun ialah selama 80 tahun lebih. Tambahan pula, angka itu jauh lebih banyak berbanding dengan umur umat Nabi Muhammad S.A.W. yang rata-ratanya dalam sekitar 60 tahun saja.

Kerana keutamaan inilah, Rasulullah S.A.W. amat menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan. Dalam hal ini, memadailah Rasulullah S.A.W. sebagai model yang menampilkan teladan terpuji untuk diikuti oleh umat Islam seluruhnya dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf dan membangunkan keluarganya agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari.

Rasulullah S.A.W. juga tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat dalam masjid seperti solat Tahajud, solat Witir, solat Tarawih, berzikir kepada Allah serta membaca dan tadarus al-Quran.

Baginda juga sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara doa yang sering baginda baca ialah doa bermaksud:
"Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih".

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan kebajikan akhirat saja, malah untuk memantapkan lagi langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa. Tambahan pula, setiap manusia pada dasarnya tidak akan terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.


Oleh: Engku Ahmad Zaki Engku Alwi (www.bharian.com.my)


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk kuih raya hari ini:


Resepi Biskut 'Aloka'


Bahan-bahannya:


1 gelas tepung jagung
1 gelas tepung gandum
2 gelas tepung ubi goreng
1 gelas gula halus
1 gelas mentega
2 biji telur ayam (ambil putihnya sahaja)


Cara Membuatnya:


Tepung, gula dan mentega digaul sehingga sebati. Pukul putih telur hingga kembang, masukkan ke dalam adunan. Kemudian dibahagi dua bahagian.

Sebahagian dibubuh koko (gaul). Canai warna koko dan warna putih dibuat bulat, letak ditengah dan gulung. Masukkan ke dalam acuan dan semperitkan dan potong dengan benang.

Atur dalam tempat pembakar dan bakar.


Selamat mencuba!


03 September, 2010

Gelas F&N Cordial Versi Bunga Kuning


Salah satu gelas berbunga kuning pemberian percuma dengan setiap pembelian F&N Cordial. Amat sesuai untuk dijadikan gelas kepada tetamu memandangkan saiznya yang sederhana sesuai untuk tuan rumah yang ingin melakukan penjimatan... He.. he..


Tidak pasti pula bilakah gelas ini mula dikeluarkan tetapi selain daripada berbunga kuning, gelas ini boleh juga didapati di dalam versi berbunga merah. Sila rujuk: http://spallanpunya.blogspot.com/2010/08/gelas-f-vii.html



Pada mulanya disangkakan gelas ini hanyalah gelas hiasan biasa tetapi apabila diamati di bahagian bawah gelas terdapat pula tulisan F&N Cordial.



Mungkin terdapat lagi beberapa versi warna gelas ini yang di luar pengetahuan BR, walau bagaimanapun jika dapat dikumpulkan kesemuanya alangkah cantiknya jika gelas ini dijadikan gelas minuman kepada tetamu sempena Hari Raya yang bakal tiba nanti. Maka akan terbangkitlah suasana Aidilfitri yang sungguh nostalgia...


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk kuih raya hari ini:


Resepi Biskut Peanut Butter


Bahan-bahannya:


1 biji kuning telur
4 auns gula halus
4 auns peanut butter
3 1/2 auns spry (?)
4 auns marjerin
5 auns tepung ubi
10 auns tepung gandum
2 sudu kismis hitam
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh vanilla


Cara Membuatnya:


Bubuh spry, marjerin, peanut, gula dan pukul hingga kembang. Bubuh kuning telur, pukul lagi, kemudian bubuh pula tepung gandum yang sudah diayak sama baking powder.

Gaul sampai sebati, tekan dalam acuan peanut butter, bubuhkan kismis dan bakarlah.


Selamat mencuba!


02 September, 2010

Jom Buat Biskut Raya Dengan Sawa...


Kalau di zaman dulu-dulu waktu-waktu begini merupakan saat yang paling sibuk sekali bagi kaum ibu untuk menyediakan kuih atau biskut raya memandangkan Hari Raya telahpun semakin dekat. Boleh dikatakan hampir kesemua kuih-kuih raya pada waktu itu adalah original home made kerana perniagaan kuih-muih raya tidaklah sepesat sekarang.



Zaman telah berubah di mana kebanyakan kaum ibu adalah bekerjaya dan mungkin tidak sempat untuk membuat kuih sendiri. Lebih mudah membelinya dengan berbagai pilihan kuih-muih yang berkenan di hati yang banyak dijual sama ada di bazar Ramadhan, kedai-kedai, pasaraya-pasaraya hatta di pasaraya perabut Ikea sekalipun he..he..



Sesuatu yang amat menyentuh kalbu ialah apabila terlihatkan kembali pembuat kuih Sawa 91 ini. Boleh dikatakan setiap rumah dulu-dulu mesti pernah memilikinya dan tugasnya amatlah diperlukan pada waktu-waktu begini untuk membuat kuih.









Disertakan dengan 18 jenis kepingan acuan kuih yang akan membentuk kuih yang berlainan walaupun daripada adunan kuih yang sama. Kuih yang paling popular dihasilkan daripada Sawa 91 ini ialah kuih kegemaran BR iaitu Kuih Samperit.



Berbagai bentuk acuan yang boleh dipilih untuk membentuk kuih yang diingini. Bentuk kuih yang bakal dihasilkan bolehlah dirujuk kepada gambar yang terdapat pada kotak Sawa 91 ini. Oleh sebab itu kotak Sawa 91 ini tidak boleh dibuang dan tidak dilupakan juga iaitu lokasi utama tempat penyimpanan acuan kuih Sawa ini ialah di dalam almari lauk.



Alat penekan ini mempunyai takuk-takuk di mana setiap satu tekanan takuk ini mewakili satu bentuk kuih yang akan dihasilkan dan disusun di atas dulang pembakar sebelum dimasukkan ke dalam oven. Oven yang yang paling popular pada waktu itu tentulah yang berjenama Butterfly berwarna hitam empat segi yang diletakkan di atas dapur minyak tanah. Mempunyai pintu bercermin dan meter suhu pada pintunya itu.



Made in Sweden tu.. kak long.. kak cik..



Bila sebut mengenai kuih Samperit ini sebenarnya sewaktu BR kanak-kanak dahulu bukanlah kuih itu sebenarnya yang digemari tetapi buah ceri yang biasanya berwarna hijau atau merah yang diletakkan di atasnya itu yang menjadi pilihan manakala kuihnya itu akan dibuang. Biasanya aktiviti mengorek buah ceri ini akan dilakukan di belakang pintu takut kalau-kalau nanti emak marah... he.. he..



Tidak tahulah berapakah usianya acuan kuih Sawa 91 ini kerana alat ini telahpun disedari ada di dalam almari lauk emak semenjak BR masih kanak-kanak lagi.






Khidmatnya kini mungkin telah dilupakan kerana kebanyakan kaum ibu sudah tidak membuat kuih-muih sendiri lagi... hu.. hu..


-------------------------------------------------------------------------------------------------

Cadangan biskut raya hari ini:


Resepi Biskut Samperit


Bahan-bahan:


250 gm buttercup
200 gm gula halus
1 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
400 gm tepung gandum
100 gm tepung jagung
30 gm tepung kastad
Ceri merah dan hijau (dihiris dadu kecil)


Cara penyediaan:


Pukul mentega dan gula hingga kembang. Masukkan esen vanilla dan telur, pukul lagi hingga sebati. Akhir sekali, masukkan tepung gandum, tepung jagung dan tepung kastad.

Gunakan acuan bunga cina dan terapkan ke atas loyang yang telah disapukan dengan mentega.

Hiaskan dengan hirisan ceri merah dan hijau dan bakar di dalam oven hingga kekuning-kuningan.


Gambar dan resepi Biskut Samperit ini adalah ihsan daripada: http://kakcikrecipes.blogspot.com/2007/09/biskut-raya-biskut-samperit.html


Selamat mencuba!


01 September, 2010

HP Sauce


HP sauce ialah satu lagi jenama sos yang cukup terkenal suatu masa dahulu. Tidak pasti lagi sama ada jenama sos ini masih berada di pasaran kita sekarang, walau bagaimanapun sama-samalah kita mengenali sos ini dengan lebih dekat lagi terutama bagi mereka yang tidak pernah mengenalinya. Harganya di pasaran Malaysia pada waktu itu bolehlah dianggap mahal iaitu belasan ringgit bagi sebotol sos seberat 255g ini. Mungkin ianya digunakan oleh golongan tertentu sahaja dan digunakan untuk masakan dan makanan yang tertentu sahaja...



HP Sauce is a popular brown sauce by HP Foods, now produced by H.J. Heinz in Elst, the Netherlands.

It is the most well-known brand of brown sauce in the United Kingdom and Canada as well as the best selling, with 71% of the UK market.

HP Sauce has a malt vinegar base, blended with tomato, dates, tamarind extract, sweetener and spices. It is noteable for being one of the few sauces using tamarind.

It usually is used as an adjunct to hot or cold savoury food, or as an ingredient in soups or stews.

Untuk maklumat lanjut bolehlah dirujuk: http://en.wikipedia.org/wiki/HP_Sauce



Dikeluarkan oleh: HP Foods Limited, Market Harborough, Leics, England. Jika di Malaysia HP Sauce ini diimpot oleh Golden Blaze Agencies Sdn. Bhd. Petaling Jaya Selangor. Manakala di Singapura ianya diimpot oleh Britannia Brands (S) PTE. LTD.



Jelas tertulis berbagai bahan yang digunakan iaitu: cuka, tomato, kurma, gula putih, kismis, sirap gula, garam, tepung kanji (modified), tepung gandum hitam, asam jawa, rempah-rempah, sos soya, tepung soya tidak berlemak, mustard, pati bawang dan serbuk perasa.



HP Sauce ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada 'By Appointment To Her Majesty The Queen Manufactures Of HP Sauces' yang mana telah diketahui hanya produk yang berkualiti sahaja yang layak untuk mendapatkan pengiktirafan ini. Sayugia dimaklumkan bahawa HP Sauce ini tiada pula ternampak logo halal pada labelnya...



Tarikh luput penggunaanya ialah pada 10.05.1996 dan ini bererti telah 14 tahun botol sos yang belum digunakan ini BR simpankan untuk tatapan kita semua.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan untuk juadah berbuka hari ini:


Resepi Sambal Pecal Jawa Moden


Bahan-bahannya:


25 tangkai cili kering
20 sen udang kering
20 ulas bawang merah (kecil)
1 batang serai
10 sen asam jawa
10 biji cabai
seinci halia
sedikit belacan
tiga ulas bawang putih
1/2 kati kacang tanah
sedikit ajinomoto
satu cawan minyak masak
sedikit garam dan gula pasir


Cara Membuatnya:


Kacang tanah digoreng tidak pakai minyak, buang kulitnya, digiling tiga suku halus.

Cili kering direndam dengan air panas dan digiling halus. Bawang dan serai dipotong halus. Udang kering juga digiling.
Halia dan belacan digoreng dengan dengan minyak hingga kering.

Setelah siap, kacang tanah yang sudah digiling, campurkan dengan cili giling serta bawang, serai, halia dan belacan digaul rata-rata.

Bubuh gula, air asam jawa, garam secukup rasa, sedikit ajinomoto seelok-elok bancuhan.


*Nilai sen bagi harga bahan-bahan di atas adalah berdasarkan tahun resepi ini dikeluarkan iaitu pada tahun 1977. Pengalaman pembaca diperlukan untuk menukarkan nilai tersebut kepada nilai semasa.


Selamat mencuba!


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'