19 July, 2010

Resepi Masak Tauhu Goreng


Resepi yang akan BR tunjukkan kali ini sememangnya mempunyai kaitan yang sungguh rapat dengan kenaikan harga barang masa kini tidak kiralah sama ada yang diumumkan atau yang tidak diumumkan. Dinasihatkan kepada pembaca yang ingin mencuba resepi ini agar mendapatkan nasihat yang sewajarnya daripada ibu-ibu atau opah-opah ataupun daripada mereka yang pernah hidup di era 1970-an.




Inilah resepinya yang dimaksudkan:



MASAK TAUHU GORENG


BAHAN-BAHANNYA:


5 keping tauhu putih
10 sen timun
5 sen gula timbang
5 sen cuka
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
10 sen taugeh
10 sen kacang tanah
5 sen kicap
5 biji lada padi
10 sudu minyak kacang


CARA MEMBUATNYA:


Tauhu dibersihkan dan digoreng hingga 3/4 masak. Taugeh dibersihkan buang ekornya dan dicelur. Timun dibuang kulit kemudian dipotong nipis-nipis dan bulat.


Kacang tanah digoreng kemudian ditumbuk bersama-sama lada padi. Bawang putih, garam dan gula digiling lumat dan digaulkan dengan kacang yang ditumbuk tadi.


Masukkan kicap, cuka dan serbuk perasa sambil dikacau mengikut pekat yang dikehendaki.


Tauhu goreng dipotong 10 kemudian diatur di dalam pinggan. Taburkan taugeh dan timun di atasnya dan tuangkan kuahnya tadi bila menghidangkannya.


Resepi ini diperolehi daripada majalah Sinar Zaman Jilid VI Bil. 56, Tahun 1977. Manakala resepi ini pula adalah kiriman daripada Azizah A. Bakar, Sri Ladang Gemas, N. Sembilan.


Kebanyakan sukatan bagi bahan yang digunakan adalah di dalam nilai sen yang mungkin sudah tidak relevan lagi dengan zaman sekarang. Namun begitu, bahan-bahan serta kaedah membuatnya adalah masih sama dan tidak berubah. Khidmat nasihat untuk menterjemahkan kembali sukatan yang betul bagi bahan-bahannya di dalam bentuk sen itu adalah penting untuk menjaminkan resepi ini menjadi apabila dibuat.


Selamat mencuba bagi mereka yang ingin mencubanya!


18 July, 2010

Lintah Ada Lagi...



Lintah gergasi ditemui di Perlis?
Begitulah tajuk sebuah keratan berita Mingguan Malaysia bertarikh 06.06.2010. Kita ikuti berita selanjutnya...
(Sila klik untuk besarkan imej)




Lintah gergasi ini telah ditemui oleh seorang penyelia tapak pembinaan, Mohd Izman Ismail ketika melakukan kerja-kerja pemasangan parit di Semadong, Kangar. Lintah gergasi itu bersaiz kira-kira sebesar tapak tangan dan boleh memanjang kira-kira 30 sentimeter atau sepanjang pembaris (1 kaki) itu juga mempunyai kulit yang agak kesat, tidak seperti lintah biasa.


Menurut Izman, haiwan itu dijumpai di permukaan air parit dan ketika itu, lintah berkenaan dikatakan menghampiri kakinya, kemungkinan untuk menghisap darah. Beliau berkata, haiwan yang ditemuinya itu agak unik kerana saiznya lebih besar berbanding lintah kerbau yang selama ini sudah dikategorikan besar kerana boleh mencapai kira-kira 12 sentimeter panjang.


Jika benarlah haiwan ini telah disahkan sebagai lintah, maka berhati-hatilah kita terutamanya kepada pemancing-pemancing atau sesiapa sahaja yang sering menghampiri kawasan-kawasan yang berair yang dikhuatiri mempunyai lintah. Berdasarkan kepada saiznya yang telah dinyatakan, pembaca sendiri dapat menjangka apakah masalah yang akan timbul nanti...


Moral Value: Tidak kiralah walau di manapun kita berada, berhati-hati dan pekalah selalu dengan persekitaran...


17 July, 2010

Beg Kertas Maya Karin


Kempen 'Anti Beg Plastik' yang dilakukan oleh Maya Karin perlu diberikan sokongan seandainya kita sedar betapa pentingnya menjaga alam sekitar dari tercemar oleh bahan-bahan plastik atau pollyethene ini. Umum mengetahui bahawa beg plastik memakan masa yang sangat lama untuk dilupuskan sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar. Banyak negara yang telah mengharamkan penggunaan beg plastik ini sebaliknya digantikan oleh karung kertas untuk mengisi barang belian.


Untuk pengetahuan, sebelum Maya Karin dilahirkan lagi (Maya Karin dilahirkan pada 29 Oktober 1979), penggunaan beg-beg kertas ini telahpun lama digunakan di negara ini sebelum datangnya beg-beg plastik seperti sekarang. Berikut ialah contoh beg-beg kertas bertangkai benang merah putih yang cukup popular suatu ketika dahulu.



Beg kertas daripada Alor Setar Supermarket Sdn. Bhd. beralamat di No. 68, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah. Supermarket ini adalah di antara supermarket yang paling popular di Alor Setar pada waktu itu di samping Lucky Supermarket dan Kedah Supermarket.


Beg kertas daripada Emporium Melaka yang beralamat di 1st, 2nd & 3rd floor, 124 Jalan Bunga Raya, Melaka. Nombor telefonnya pun masih lagi menggunakan empat angka. Kepada orang Melaka bolehlah memberikan info emporium ini masih wujud lagi atau tidak.



Cetakan di bahagian sebelah lagi beg kertas Emporium Melaka dalam tulisan Cina.


Ini pula beg kertas daripada kilang Hock Aun Confectionery & Coffee Powder Manufactory beralamat di Nos 88 - 90, Denison Road, Teluk Anson, Perak. Untuk makluman Teluk Anson adalah nama lama bagi Teluk Intan sekarang. Kilang ini juga menggunakan nombor telefon tiga angka sahaja pada waktu itu.


Cetakan pada sebelah beg adalah sama cuma warnanya sahaja yang ditukarkan kepada warna hijau. Beg kertas seperti ini juga boleh digunakan untuk mengaji quran pada waktu dulu.


Ini pula ialah beg kertas daripada Syarikat Tong Seng yang beralamat di Guan Fong Yen Restaurant, No. 112, Jalan Bunga Raya, Melaka. Sebuah syarikat yang popular di dalam pengeluaran produk manisan seperti gula melaka, dodol dan jem di Melaka pada waktu itu.


Di bahagian sebelah beg mengiklankan produk dodol melaka yang berharga $1.60 sebungkus pada waktu itu. Masih lagi menggunakan nombor telefon empat digit.


Kelemahan penggunaan beg kertas ini ialah ianya tidak tahan hujan atau basah. Kos pengeluarannya yang lebih tinggi daripada beg plastik menyebabkan penggunaannya telahpun dihentikan. Namun begitu, kepada mereka yang pernah menggunakan beg kertas ini pastinya akan bernostalgia apabila melihatnya kembali...


Kesimpulannya, penggunaan beg plastik dan beg kertas ini adalah sama sahaja jika kita mengkaji dari sudut kesannya kepada alam sekitar. Perkara yang paling penting sebagai manusia ialah kesedaran dan tanggung jawab menjaga alam sekitar kita sendiri. Jangan buang sampah seperti plastik dan kertas di merata-rata tempat.


16 July, 2010

Resepi Kek Lapis Tsunami


Peristiwa gempa bumi (dalam laut) yang diikuti oleh bencana tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 iaitu hampir 6 tahun yang lalu telah mengejutkan masyarakat dunia dan negara kita juga tidak terkecuali daripada terkena badainya. Kejadian yang berlaku pada petang Ahad kira-kira pukul 1.45 p.m. itu dikhuatiri telah menyebabkan 74 orang maut (di negara kita) manakala 5,000 orang lagi telah hilang tempat kediaman di samping berlaku banyak kerosakan harta benda dan kecederaan di kawasan persisiran pantai dan kepulauan di sebahagian negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung.


Untuk makluman, buku resepi Kek Lapis Sarawak tulisan Rabiah Amit ini adalah di antara 'mangsa' yang terselamat sewaktu bencana tersebut berlaku di rumah seorang rakan setugas iaitu di Kampung Kepala Jalan, Kuala Sungai Muda, 08500 Kota Kuala Muda, Kedah.


Beliau sekeluarga telah terselamat daripada kejadian itu kerana telah bertolak pulang ke Perak pada sebelah paginya iaitu kira-kira pada pukul 10.00 a.m. hari kejadian. Meskipun tanda-tanda gegaran telahpun dirasai namun tidak menyangka pula bahawa itu adalah amaran awal satu bencana tsunami akan berlaku. Sebaik sahaja sampai di Perak, beliau sekeluarga bergegas kembali semula ke kampung sebaik sahaja menerima berita tentang tsunami ini.


Syukur Alhamdulillah kerana semua ahli keluarga beliau di kampung terselamat. Namun begitu kesedihan tetap dirasai memandangkan kampung yang baharu sahaja ditinggalkan tiga jam yang lalu telah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur dengan bilangan kematian jiran-jiran dan sahabat handai di sekitar 15 orang.


Trauma yang dialami akibat kejadian ini sememangnya tidak dapat dielakkan, selang beberapa minggu BR sendiri pergi melawat ke tempat ini. Memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, bagaimana dan apa yang sebenarnya telah berlaku ketika kejadian. Turut diceritakan oleh seorang rakan bahawa sebuah kereta Wira miliknya sehingga kini hilang lesap entah kemana ditelan badai tsunami...



Sekiranya buku ini boleh berkata-kata, tentu sekali pengalamannya amat bermakna untuk kita kongsikan bersama bagaimana ombak laut setinggi pohon kelapa tiba-tiba sahaja menerjah lalu memusnahkan apa sahaja yang berada di hadapannya. Masih terdapat kesan-kesan lumpur yang sukar ditanggalkan yang cukup memberikan nostalgia syahdu ketika bencana tsunami itu berlaku. Menunjukkan betapa kebesaran Allah S.W.T tiada siapa yang dapat menandinginya.


Kesan melekat pada helaian muka surat buku ini masih lagi kelihatan tetapi sungguhpun demikian masih terdapat lagi muka surat yang masih elok dan boleh dibaca.


Kepada pembaca yang ingin menyalin dan mencuba resepi kek lapis tsunami ini (kek lapis aiskrim keju) bolehlah berbuat demikian dengan klik pada imej untuk membesarkannya.



Begitu juga dengan kek gulung kipas ini.


Tsunami (bahasa Jepun ombak besar di pelabuhan, Kunrei-shiki: Tunami). Tenaga setiap tsunami adalah tetap, fungsi ketinggiannya dan kelajuannya. Dengan itu, apabila gelombang menghampiri pantai, ketinggiannya meningkat sementara kelajuannya menurun. Gelombang tersebut bergerak pada kelajuan tinggi, hampir tidak disedari apabila melintasi air dalam, tetapi meningkat kepada ketinggian 30 meter atau lebih.


Tsunami juga telah mengubah persepsi masyarakat Malaysia bahawa negara kita tidak bebas lagi daripada bencana alam utama.


Ini pula bukanlah kek lapis yang telah dihasilkan daripada buku resepi ini tetapi ianya merupakan cebisan lumpur tsunami yang telah dihadiahkan kepada BR oleh rakan setugas tersebut sebagai kenang-kenangan. Mungkin buku resepi dan cebisan lumpur ini boleh dijadikan bukti bahawa di suatu ketika bencana tsunami ini pernah melanda negara kita untuk tatapan generasi akan datang.


Mungkin benar kata-kata Ebiet G. Ade melalui nyanyiannya 'Berita Kepada Kawan':
"Barangkali di sana ada jawabnya, mengapa di tanahku terjadi bencana, mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita, yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa..."
Salam takziah buat waris mangsa-mangsa tsunami yang telah terkorban.


Penghargaan: Puan Mazlina bt. Che Yusuf.


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'