18 August, 2010

Sos Tomato Dan Sos Cili Del Monte


Del Monte ialah sebuah syarikat gergasi yang terkenal dari Amerika dengan menyediakan bahan asas masakan Itali seperti tomato puree, sardin dan lain-lain produk makanan yang bertin atau berbotol. Sos tomato dan sos cili keluaran Del Monte ini memang cukup popular di kalangan pengguna di sekitar awal 1980-an. Tidak hairanlah jika salah sebuah syarikat makanan segera yang terkenal di negara kitapun pernah menggunakan sos Del Monte di dalam perniagaan mereka.


BR sendiripun pernah menggunakan sos Del Monte ini di dalam perniagaan burger yang dijalankan suatu ketika dahulu. Mungkin kerana rasanya yang lebih enak daripada sos-sos jenama yang lain ataupun kerana pada waktu itu tidak banyak pengeluar sos-sos tomato dan cili terutamanya daripada kalangan bumiputera.


Sos tomato dan sos cili yang BR tunjukkan ini telahpun luput tarikh iaitu pada 13 & 30 April 1989 setiap satu iaitu kira-kira 21 tahun yang lalu. Telah disimpan sekian lama untuk dijadikan bahan nostalgia bagi mereka yang pernah menggunakan produk ini dan kepada generasi kini yang tidak pernah melihat ataupun mengenali sos Del Monte ini. He.. he..


Masih di dalam pack yang kemas dan belum dibuka. Sudah tentulah tidak boleh dimakan lagi memandangkan usianya telahpun mencecah 21 tahun. Warna sosnya pun telah bertukar menjadi merah kehitaman.


Terdapat pemberian hadiah percuma iaitu sharpener berbentuk botol sos kecil bagi pembelian kombo sos tomato dan sos cili 340g ini.


Kesitimewaan Del Monte ini ialah ia menggunakan istilah tomato 'catsup' bukannya 'ketchup' seperti yang biasa digunakan oleh pengeluar-pengeluar sos tomato yang lain.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan juadah berbuka hari ini:



Resepi Puding Ara


Bahan-bahannya:


2 cawan tepung jagung
1 biji kelapa
6 cawan gula pasir
6 sudu koko Van Houten


Cara Membuatnya:


Kelapa diparut dan diperah, diambil santannya sebanyak mana yang dapat.

Di dalam periuk, bancuh kesemua bahan-bahan tadi, gula, tepung jagung, santan dan koko Van Houten, seperti membuat puding jagung.

Kacau di atas api sehingga adunan itu kental dan kelihatan berkilat. Selepas itu diturunkan dari api dan disejukkan ke dalam loyang. Kalau suka boleh juga disejukkan di dalam peti sejuk.


Selamat mencuba!



17 August, 2010

Ubat Nyamuk Cap Cobra Blues...


Ubat nyamuk atau racun nyamuk merujuk kepada racun serangga yang khusus digunakan bagi membunuh nyamuk atau menghalau nyamuk. Antara jenis ubat nyamuk yang popular adalah lingkaran ubat nyamuk yang dibakar (asap), ubat nyamuk elektrik (meruap), ubat nyamuk semburan (aerosol), fogging dan sebagainya. Tidak perlulah dipertikaikan mengapakah ianya di panggil 'ubat' kerana semenjak kita celik-celik mata lagi benda ini telahpun dipanggil 'ubat' nyamuk. He.. he..


Ini pula ialah ubat nyamuk cap Cobra (ular tedung) yang pernah BR gunakan suatu masa dahulu di tahun-tahun 1980-an. Harganya pada waktu itu ialah 45 sen sekotak yang mengandungi 10 lingkaran ubat nyamuk. Ianya dikeluarkan oleh Syarikat Long Life Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Tasek, Ipoh, Perak.


Jika tiada ubat nyamuk komersil, kaedah tradisional yang biasa digunakan pada waktu dulu untuk menghalau nyamuk ialah dengan cara membakar kayu getah di bawah rumah.


Di bahagian belakang kotak tertulis "Tiap-tiap lengkaran ubat nyamuk boleh menghindar nyamuk selama 8 jam dalam satu bilik yang sederhana besarnya. Tidak mengandungi D.D.T. dan tidak merbahaya kepada menusia dan binatang."


Untuk pengetahuan, D.D.T. ialah dichloro-diphenyl-trichloroethane yang digunakan untuk menghapuskan serangga yang merosakkan tanaman dan membunuh serangga pembawa penyakit seperti nyamuk yang membawa malaria dan demam kuning, serta kutu yang membawa typhus. Ianya telah diharamkan penggunaannya di negara kita di sekitar tahun 1970-an kerana racun ini telah memberi kesan terhadap kehidupan unggas.


Namun begitu, ada cadangan supaya D.D.T ini dibenarkan semula penggunaannya dengan seliaan ketat kerajaan bagi mengatasi masalah denggi, malaria dan demam kuning yang semakin meningkat saban tahun semenjak ianya diharamkan. Menurut kajian, D.D.T. ini tidaklah berbahaya mana kepada manusia dan kepada tumbuhan melainkan jenis cucumber (timun).


Di kotak ubat nyamuk ini tertulis dengan jelas 'mosquito destroyer' atau 'pemusnah' nyamuk berbeza dengan ubat nyamuk sekarang yang kebanyakannya hanya menulis 'penghalau' nyamuk. Entah dimanakah silapnya ubat nyamuk sekarang seolah-oleh kurang power jika dibandingkan dengan ubat nyamuk dulu-dulu. Atau mungkin juga nyamuk sekarang sudah semakin kebal dan immune terhadap ubat nyamuk sekarang.


Kita ikuti berita mengenai wabak demam denggi yang semakin mencemaskan sekarang melalui keratan akhbar ini. 26,927 kes denggi dengan 91 orang maut sehingga Julai 2010 dan 88 kematian sepanjang tahun 2009. Majoriti kes adalah membabitkan negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.


Sumber: Berita Minggu 25.07.2010
(Sila klik untuk besarkan imej).


Sedikit info mengenai ubat nyamuk:


Pensyarah Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr. Jamal Hisham Hashim, yang terbabit dalam kajian itu berkata, lingkaran ubat nyamuk juga menghasilkan gas formaldehyde yang turut ada dalam asap rokok.


Pembakaran satu lingkaran ubat nyamuk di dalam bilik tertutup boleh memberi kesan yang sama kepada penghuninya seperti menghisap antara 75 hingga 137 batang rokok. Asap berkenaan boleh menyebabkan seseorang yang berada di dalam bilik tertutup itu menghadapi risiko mendapat penyakit kronik seperti barah dan masalah pernafasan seperti bronkitis dan penyakit asma yang bermakna risiko ubat nyamuk adalah sama seperti rokok.


Kajian bersama Universiti Perubatan dan Pergigian New Jersey, Universiti Rutgers, Amerika Syarikat serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati asap lingkaran ubat nyamuk di negara ini juga mengandungi banyak sebatian organik yang tidak termasuk karsinogen, iaitu ejen yang boleh menyebabkan barah.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan juadah berbuka hari ini:



Resepi Puding Planta


Bahan-bahannya:


1 tahil agar-agar
5 cawan air
2 1/2 cawan gula
1 cawan susu
2 camca besar Planta
2 biji telur



Cara Membuatnya:


Masak agar-agar dengan gula, kemudian pukul telur dengan Planta.

Apabila agar-gar sudah menggelegak, angkat sebentar kemudian ditapis. Selepas itu letakkan semula di atas api yang sederhana.

Kemudian barulah dimasukkan susu, telur dan Planta yang telah dipukul tadi sambil dikacau rata-rata. Apabila sudah cukup pekat barulah diangkat dan dimasukkan ke dalam acuan.


Selamat mencuba!


16 August, 2010

Sagon Oh Sagon Blues...


Kepada semua pembaca, inilah makanan ringan kegemaran BR ketika di zaman kanak-kanak dahulu. Dikenali sebagai 'Sagon' dan tidak pasti pula sama ada di tempat lain diberi panggilan dengan nama yang lain. Sebenarnya pada waktu itu tidak banyak makanan ringan moden yang boleh didapati seperti sekarang ini, yang ada hanyalah makanan ringan keluaran kampung seperti keropok, biskut dan kekacang. Harganya pula pada waktu itu hanyalah 5 sen atau 10 sen sebungkus dan dijual di dalam plastik 'aiskrim Malaysia'.


Bentuk fizikal sagon ini ialah makanan ber'serbuk'. Oleh itu, satu kelemahan yang dikenal pasti apabila memakan sagon ini ialah dilarang bercakap ketika sagon berada di dalam mulut kerana kemungkinan ianya akan berhamburan keluar dari mulut adalah tinggi. Namun begitu, adalah sukar untuk bercakap sambil memakan sagon kerana mulut terasa bagaikan digam...


Gambar close-up sagon yang di letakkan ke dalam piring. Sagon ini diperbuat daripada bahan-bahan yang mudah sahaja iaitu tepung beras, kelapa, gula dan garam. Cara penyediaannya juga mudah sahaja iaitu goreng semua bahan-bahan tadi sampai wangi dan selepas itu tambah gula dan garam secukup rasa. Sagon ini juga boleh diwangikan dengan memasukkan beberapa helai daun pandan. Rasanya memang sedap, lemak-lemak, masin dan manis...


Baru-baru ini ketika singgah di R & R Gunung Semanggol menghala ke Selatan Lebuhraya PLUS, sempat juga BR membeli sagon ini yang dijual di sebuah gerai. Rasa berbangga kerana makanan kampung ini telah boleh dikomersialkan sedemikian rupa.


Masih lagi dibungkus di dalam plastik 'aiskrim Malaysia' dan langkah yang diambil oleh syarikat SOFYNICE TRADING ini haruslah dipuji kerana telah mempromosikan semula makanan tradisional rakyat Malaysia ini. Cuma satu sahaja yang perlu diberi perhatian iaitu adalah tidak wajar harga bagi sebungkus sagon ini ialah RM1.20 sebungkus!


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan juadah berbuka hari ini:



Resepi Puding Swiss Roll


Bahan-bahannya:


1 oz. agar-agar
6 gelas air
4 merah telur
4 sudu cornflour
16 oz. gula kasar
1 tin kecil susu cair
4 oz. mentega
Swiss Roll (boleh dibeli di kedai)



Cara Membuatnya:


Agar-agar dimasak dengan 6 gelas air. Bancuhkan merah telur, cornflour, gula kasar, susu cair dan mentega hingga sebati.

Setelah agar-agar dimasak, masukkan ke dalam adunan kedua dan dikacau.

Jerangkan sekali lagi untuk beberapa ketika kemudian barulah diagkat.

Susun Swiss Roll ke dalam acuan dan tuangkan adunan tadi dan sejukkan.



Selamat mencuba!


15 August, 2010

Botol F & N Ketipang Payung...


Pulang dari Trade Fair di Amcorp tempohari nampak gayanya BR telahpun terkena 'angin' mengumpul botol. Bermula daripada peringkat paling beginner atau 'chau kia' sekali, inilah dia botol F & N 285ml yang diperolehi daripada sebuah restoran yang telah dirobohkan untuk diubahsuai berhampiran kediaman baru-baru ini.



Cantik juga dijadikan koleksi dan perhiasan terutamanya bagi yang masih berisi air. Jika di susun di dalam almari dengan botol-botol dari berbagai jenama dan perisa, tentu cantik dengan pemandangan isian air yang berwarna-warni.



Sambil-sambil itu sempat juga membelek-belek majalah-majalah lama dan tiba-tiba terpandanglah pula gambar yang telah disiarkan di dalam majalah Sinar Zaman, Jilid VI, Bil. 65, keluaran April 1978.



Gambar di bawah ini diambil di Restoran Norlaila Ketipang Payung yang terletak di Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan. Fokus gambar dan rencananya ialah mengenai pengusaha Restoran Ketipang Payung ini iaitu Puan Laila bt. Mohd Yusuf.



Kadang-kadang gambar-gambar lama seperti ini adalah penting sebagai bahan bukti bahawa bentuk dan rupa botol F & N 'seumpama' di atas telahpun diguna pakai semenjak 32 tahun yang lalu (ataupun lebih lama) sepertimana yang dapat kita lihat terhidang di atas meja makan itu (di dalam bulatan).


Tetapi yang lebih menarik minat BR ialah 'sesuatu' yang diletakkan di atas meja makan ketika pemiliknya sedang asyik menjamu selera (di dalam bulatan). Rasanya pemiliknya itu adalah seorang tentera berdasarkan daripada pakaian celoreng yang dipakai. Apakah bendanya itu? Rasa-rasanya macam sejenis submesingun.. Rasa ngeri apabila melihat situasi itu memandangkan sebarang kemungkinan kemalangan boleh sahaja berlaku terutama di tempat awam seperti itu. (Sila klik untuk besarkan imej).


Moral Value: Kecuaian Boleh Membawa Padah.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan juadah berbuka hari ini:


Resepi Puding Ubi Kentang


Bahan-bahannya:


1 kati ubi kentang
2 cawan telur ayam
2 cawan gula pasir
3/4 cawan susu pekat
1 cawan tepung gandum
10 sen kismis



* Ini adalah resepi lama. Sukatan bahan-bahannya masih lagi menggunakan kaedah lama. Pengalaman dan kemahiran 'agak-agak' adalah diperlukan untuk sukatan bahan-bahannya mengikut sukatan semasa.



Cara Membuatnya:


Pukul telur dengan gula hingga kembang. Ubi direbus hingga empuk. Kemudian dilecekkan hingga lumat.

Kemudian masukkan telur yang telah dipukul ke dalam ubi yang telah dilecek tadi.

Kacau rata-rata, masukkan tepung dan susu, kacau hingga sebati.

Masukkan ke dalam acuan, taburkan kismis dan bakar.


Selamat mencuba!


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'