21 June, 2010

Cuti-cuti Malaysia 2010 (Hari Pertama)


Cuti sekolah pertengahan tahun 2010 selama 16 hari telahpun habis, gunalah peluang itu untuk membawa keluarga bercuti sementara masih ada waktu untuk itu. Pada tahun ini aku mengambil keputusan untuk membawa keluarga bercuti pusing-pusing Semenanjung melalui Pantai Barat dan Pantai Timur. Semua negeri di Semenanjung aku jelajah (sebahagian sahaja) kecuali Perlis kerana jauh sangat ke Utara. Sama-samalah kita ikuti percutian yang menyeronokkan ini...


Hari Pertama: 08.06.2010 (Selasa)


10.30 a.m. Bertolak dari rumah ke Mersing, Johor.


Memasuki Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui Slim River, Perak. Melalui beberapa negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Tidak banyak pemandangan indah yang boleh dilihat, hanyalah pokok kelapa sawit kerana melalui lebuhraya.


Berhenti rehat di Hentian Pagoh. Masih banyak lagi petak parkir yang kosong tetapi memang sengaja aku parkirkan kereta di petak OKU (Orang Kurang Upaya) bagi memudahkan pengurusan Luqman. Sedang aku berehat-rehat berhampiran kereta, tiba-tiba datang sebuah Naza Citra berwarna biru muda berhenti di belakang kereta aku, menurunkan penumpangnya yang mungkin hendak ke tandas manakala pemandunya masih di dalam kereta.


Tiba-tiba pemandunya (seorang lelaki Cina dan keluarganya) menurunkan cermin kiri hadapan keretanya dan menegur, "Boss, lu pandai baca Melayu ka? Sambil mulutnya memberikan isyarat menunjuk kepada papan tanda 'Untuk OKU Sahaja'. Tanpa berkata apa-apa aku terus ke kereta untuk mengambil kad OKU Luqman, sebaik sahaja aku berpaling, Naza Citra tadi terus memecut laju. Akupun sempat melambai-lambaikan kad OKU tadi kepadanya dan tentunya dengan jelas beliau akan dapat melihatnya dari cermin pandang belakang keretanya.


Maka dengan kejadian itu terfikirlah aku petak parkir yang disediakan untuk OKU hanya untuk pemandu OKU sahaja atau termasuk dengan penumpang OKU? Walau bagaimanapun aku tidak menyalahkan lelaki tadi kerana tindakannya betul tetapi mungkin ayat tanya yang digunakan itu agak kurang sopan dan tidak tepat kepada orang yang ditanya. Atau mungkin juga sangkaannya aku telah menyalahgunakan petak parkir OKU...



Tiba di susur keluar Air Hitam, Johor tepat jam 3.30 p.m. Bayaran tolnya ialah RM48.70. Hujan renyai-renyai mulai turun. Berehat sebentar di stesen minyak Shell berhampiran tol Air Hitam untuk membeli jajan untuk anak-anak. Perjalanan ke Mersing diteruskan lagi melalui Kluang. Untuk pengetahuan, inilah pertama kali aku akan ke Mersing, hanya papan tanda jalan dan bantuan GPS di telefon bimbit sahaja yang menjadi panduan. Kalau tersesat memang susah jadinya, saudara mara sudahlah tiada di kawasan itu, umpama dagang Pak Malau...


Berhenti rehat seketika di Kluang. Di dalam perjalanan percutian sebegini perlu rehat bebanyak di dalam perjalanan kerana tiada apa yang perlu dikejarkan.


Tiba di persimpangan Felda Nitar. Sudah 32 tahun Felda Nitar ini diwujudkan berdasarkan tahun 1978 yang tertulis pada pintu gerbangnya. Singgah sebentar membeli makanan kerana ada pasar sehari di situ yang menjual berbagai jenis makanan. Terdapat juga jualan 'Laksa Penang' di sini kata penjualnya, tetapi ada taugeh...


Lebih kurang pukul 6.00 p.m tiba di bandar Mersing. Hujan renyai-renyai masih turun di sepanjang perjalanan. Ronda-ronda dan pusing-pusing dahulu di Pekan Mersing sebelum mencari tempat untuk bermalam. Sempat melihat di ODO meter kereta, sudah 565 km perjalanan. Rasa bangga berbunga di hati kerana cita-cita untuk sampai di Mersing ini tercapai juga akhirnya.


Sebahagian daripada pemandangan bandar Mersing.



Check-in di Sri Mersing Resort, Air Papan. Mungkin kerana pada hari biasa maka masih ada lagi chalet-chalet yang kosong. Kelihatan anak-anak dengan bangganya bergambar di hadapan pintu masuk resort sebagai tanda kenang-kenangan.


Terdapat kolam renang di resort ini. Memang menyeronokkan bagi kanak-kanak termasuklah aku sendiri yang turut sama berendam.


Keesokan harinya perjalanan akan diteruskan ke Kuantan. Sempat juga meninjau pemandangan di sekitar jeti Teluk Buih. Jeti ini juga boleh dijadikan tempat untuk memancing.


Kelihatan sebahagian daripada bot-bot yang digunakan oleh nelayan-nelayan pesisir pantai untuk ke laut. Untuk makluman, hasil laut yang segar juga boleh didapati di jeti ini.



Keindahan Pantai Teluk Godek.



Pemandangan laut yang menawan dari Fishing Bay Beach Resort.


Nota: Ikutilah post-post percutian BR untuk beberapa hari ini. BR akan kembali semula dengan lebih banyak barangan dan kisah-kisah blues selepas itu, InsyaAllah.



11 Any comments?:

Nurul Aznil said...

Salam,

OKU bukan orang kurang upaya, TETAPI orang KUAT USAHA :)

mikaidamann said...

Salam, tumpang tanya BR, Luqman OKU apa ya? My son ada dyslexia, ada kwn cadang daftarkn utk dpt status OKU juga.Harap tak kecil hati ya cuma curious saja.

Blues Riders said...

BR to mikaidaman,

Luqman mengidap Cerebral Pulsy (CP) iaitu kegagalan fungsi saraf... tidak mampu bergerak dan hanya mampu ketawa, menangis dan menjerit. Keperluannya hariannya 100% perlu dibantu. Setiap bulan dari usianya 1 tahun dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan pemulihan carakerja.

Tuhanlah disisinya, Syurgalah di tangannya...

Suhana Shahril said...

Pernah terdengar orang berkata, Allah menguji hambanya di kalangan yang terpilih. Allah lebih maha mengetahui yang bermakna Allah lebih tahu tahap kekuatan/ kesabaran hamba yang terpilih itu dalam menghadapi ujian yang diberikan.

Areef said...

Salam,

sekolah saya pernah wat family day kat pantai air papan tu n resort tulah tpt kiteorg bermalam.tp sepanjang 2 hari kat sn, sign bendera merah tak turun2,menandakan takleh mandi laut.so, swimming pool tulah yg dikerjakan, baik yg kecik mahupun yg besar,heheheh...

moga tuan sekeluarga akan sentiasa tabah menjalani kehidupuan bersama anak istimewa itu...

MR. MIND said...

bestnya bcuti2...

Cheqna said...

Salam, semoga terbuka jalan agar Luqman sembuh..amiin.

Pasal parking tu, sepatutnya bertanya dengan hemah, tak rugi pun...

n mungkin dia pecut sebab takut tuan ambil apa2 barang yg mudaratkan dia kot..hehe..

mikaidaman said...

Salam, BR saya percaya ibu bapa yang istimewa saja yang privilege utk mendpt anak2 yg istimewa juga :-). Jangan putus asa, anak saya yang dyslexic dulu tidak boleh membaca, tidak pandai bertutur tapi dgn early intervention program dia boleh buat kedua2nya walaupun mental capacitynya seperti bdk 6 thn sedangkan kini sudah berusia 8 thn. Dugaan saya amat sikit dbandingkn dgn BR, InsyaAllah Allah akan membantu BR.

Qaseh said...

salam Tok...
salam buat Aiman juga..harap semua keluarga Tok sihat selalu...patut le lama x nampak..banyak tempat tok tercampak...best la Aiman g jalan2 Adik Ammar ngan Dyna dok umah je dendiam...kekekke

Abd Karim MJ said...

Salam.. Bro.. Kisah kita hampir serupa... Saya punyai 2 anak OKU Autisme & Hyperactive... segalam urusan perlu di uruskan... Tak apa bro.. syurga Milik Dia.. Insallah.. ada bahagain untuk kita ! .. amin..

moses said...

Bab parking tu bro,kalo u tak park kat situ sure di masuk park kete dia.selalu sgt saya tengok macam tu.

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'