21 March, 2010

Yang Dinamakan Agama



YANG DINAMAKAN AGAMA

Adapun yang dinamakan agama itu ibarat daripada terhimpun padanya empat perkara iaitu:
1. Iman
2. Islam
3. Tauhid
4. Makrifat

Erti Iman itu ialah percaya dan membenarkan barang (sesuatu) yang didatangkan oleh Rasulullah SAW, iaitu tiap-tiap perkara yang disampaikan dan diajarkan oleh Nabi itu sebenarnya datang dari Allah SWT. Bukanlah buatan dan rekaan daripada Nabi.

Firman Allah yang bermaksud:
“Tiada ia (Nabi) bertutur daripada pihak kemahuan dirinya melainkan ia (Nabi) bertutur itu wahyu yang diwahyukan kepadanya”.

Juga ada tersebut dalam sebuah hadis Qudsi yang menunjukkan akan kebenaran Rasulullah SAW dengan firman Allah yang bermaksud:
“Telah benarlah hambaku (Muhammad SAW) pada tiap-tiap barang yang menyampai ia daripadaKu (Allah)”.

Dan adalah kesimpulan Iman itu dinamakan Rukun Imam. Ianya mencakupi enam perkara iaitu:
1. Percayakan Allah
2. Percayakan Malaikat
3. Percayakan Kitab Allah
4. Percayakan Segala Rasul Utusan Allah
5. Percayakan Hari Kiamat
6. Percayakan Untung Baik dan Untung Jahat itu daripada Allah

Adapun makna percaya akan Allah itu ialah 'Itiqad dengan jazam (tetap dan teguh) yang putus bahawasanya Allah Taala itu adalah Tuhan Yang Esa (Tunggal) yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang menjadi sekalian makhluk dan mentadbirkannya dengan bijaksana dan wajib dikenal akan Allah dengan sebenar-benar pengenalan dan patut disembahkanNya.

Dan makna percayakan malaikat itu ialah percayakan bahawa Malaikat itu hamba Allah Taala yang bukan mereka itu laki-laki atau perempuan dan tiada mereka itu beribu dan berbapa dan tiada mereka itu makan dan minum dan tiada mereka itu tidur. Adalah pekerjaan mereka itu mengikut apa yang dititahkan oleh Allah Taala dan bilangan mereka itu terlalu banyak tiada boleh mengetahuinya melainkan Allah Taala jua. Sekelian mereka itu terpelihara daripada mengerjakan maksiat lagi suci mereka itu daripada segala sifat manusia.

Bahawasanya penghulu-penghulu mereka itu empat iaitu:
1. Jibrail menyampaikan wahyu
2. Mikail menurunkan hujan dan menjaga rezeki
3. Israfil meniup sangkakala
4. 'Izrail mencabut nyawa

Dan wajib diketahui akan mereka itu atas jalan tafsil sepuluh malaikat mengikut tugas/pekerjaan iaitu:

• Munkar dan Nakir yang menanya keduanya kepada segala orang yang telah mati.
• Malik Ridzuan menjaga syurga.
• Malik Zabaniah menjaga neraka.
• Rakid dan Atid satu pada kanan Mukallaf dan satu pada kiri menyurat keduanya akan sekalian kebajikan dan kejahatan yang dikerjakan oleh mukallaf itu.

Wajib pula mengetahui beberapa malaikat yang menanggung 'Arash' dan mereka itu sekarang ini empat malaikat dan ditambah akan mereka itu empat malaikat lagi pada hari Qiamat yang mana jumlah semuanya adalah lapan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Menanggung ia [malaikat] akan 'Arasy Tuhan engkau atas mereka itu pada hari Kiamat lapan orang".

Dan makna percaya akan Kitab Allah Taala itu iaitu beramal dengan segala suruhannya dan menjauh segala tegahan serta yakin dan percaya dengan sebenar-benar kepercayaan bahawasanya sebenar daripada Allah Taala.

Bahawasanya kitab yang diturunkan dari langit itu sebanyak 104 Suhuf:
• 50 Suhuf diturunkan kepada Nabi Syis
• 30 Suhuf diturunkan kepada Nabi Idris
• 10 Suhuf diturunkan kepada Nabi Ibrahim
• 10 Suhuf diturunkan kepada Nabi Musa dahulu sebelum daripada Kitab Tuarat
• Kitab Taurat bagi Nabi Musa
• Kitab Injil bagi Nabi Isa
• Kitab Zabur bagi Nabi Daud
• Kitab Al-Qur'an bagi Nabi Muhammad SAW.

Maka sekalian yang tersebut itu wajib kita percaya dan membenarkannya. Akan tetapi apabila dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w dan diturunkan kepadanya Al-Quran, maka tiada harus mengikut akan yang lain daripada Al-Quran kerana Al-Quran menghimpunkan dan menasakhkan akan segala hukum yang turun kepada rasul-rasul yang dulu daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Dan makna percaya akan sekelian Ambiya' 'Alaihissalamtu-Wassalam adalah sekelain mereka itu 124 000 orang atas Qaul yang masyhur dan yang jadi Rasul daripada mereka itu 313 orang. Wajib dipercayai apa-apa yang dikhabarkan oleh mereka itu adalah sebenarnya titah daripada Allah Taala seperti segala suruhan dan tegahnya bukan daripada hawa nafsu mereka itu(rasul-rasul) sendiri tetapi adalah datang daripada Wahyu Allah.

Dan makna percaya akan hari Kiamat ialah percayakan kedatangan hari penentuan yang lagi akan berlaku dengan tiada syak. Termasuk juga percaya akan alam kubur, hari bangkit semula,hari perhimpunan(masyar), kiraan amalan, mizan, pembahagian surat amalan, titian sirat, syafaat Kubra Nabi Kita Muhammad SAW.,syurga dan neraka dan lain-lain yang berkaitan dengan hari Kiamat.

Dan percaya kepada untuk baik dan untung jahat sekeliannya adalah dengan kuasa dan kehendak Allah yang telah ditentukan dan dikadarkan daripada azali lagi.

Bermula Iman ada kalanya bertambah dengan sebab bertambah taat manusia dengan mengerjakan segala titah perintah Allah dan menjauhkan segala larangan dan ada kalanya kurang dengan sebab kurang taat dengan sebab mengerjakan maksiat.

Firman Allah dalam yang bermaksud:
"Dan apabila dibaca atas mereka itu akan ayat-ayat Allah Taala nescaya bertambah mereka itu imannya".
(Al-Anfaal: 3)

Dan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Bermula Iman itu lebih daripda tujuh puluh cawangan".
(Riwayat Bukhari)

Dan adalah martabat orang mukmin itu tiga martabat iaitu:

1. Dholim Linafsih.
Iaitu Zalim dirinya sendiri iaitu mereka sentiasa mengerjakan maksiat atau mereka yang mencampur amal-amal yang sholeh dengan kejahatan.

2. Muktasid.
Iaitu mereka yang beramal atas perkara-perkara yang wajib dan menjauhkan perkara yang haram dengan tidak menambahkan amalan-amalan yang sunat dan tiada kurang dengannya.

3. Saabiqul Bilkhoiraat.
Iaitu mereka yang berlumba kepada kebajikan iaitu mereka sentiasa Taqarub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan mengerjakan segala yang wajib dan segala yang sunat serta meninggalkan perkara yang haram dan yang makruh.

Firman Allah dalam yang bermaksud:
"Kemudian Kami pusakakan kitab itu untuk orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami. Di antara mereka ada yang aniaya kepada dirinya(tidak mengikut isi kitab/Dholim Linafsih) dan di antaranya ada yang sederhana (menurut sekadar tenaganya/Muktasid) dan di antaranya ada yang maju (Saabiqul Bilkhoiraat) memperbuat kebajikan dengan izin Allah. Itulah kurnia yang besar".
(Al-Fatir : 32)


Adapun keadaan Iman itu setengah ulama telah membahagikan kepada lima bahagian iaitu:

1. Iman Taklid.
Iaitu iman yang mengambil daripada perkataan orang dengan tiada boleh mengeluarkan dalil. Iman ini ada pada kebanyakan orang awam.

2. Iman Ilmu Yakin.
Iaitu iman yang jadi daripada makrifat pada segala 'Aqaid dengan segala dalil. Iman ini adalah bagi orang-orang yang mempunyai dalil dan burhan.

3. Iman 'Ainul Yakin.
Iaitu iman yang jadi daripada makrifat hati bagi Allah Taala dengan sekira-kira tiada ghaib daripada hatinya dengan sekejap mata jua pun. Iman ini bagi Ahli Muroqabah dinamakannya Makam Muroqabah.

4. Iman Haqqul Yakin.
Iaitu iman yang jadi daripada musyahadahkan Allah Taala dengan Ainul Basyirah(mata hati). Iman ini bagi orang Arif yang dinamakan Maqam Musyahadah.

5. Iman Kamalul Yakin. (atau iman daripada hakikat).
Iaitu iman yang jadi daripada keadaan tiada memandang ia melainkan Allah SWT. Iman ini bagi orang yang Tahqiq yang dinamakan Makam Fana.

Adapun erti Tauhid itu mengesakan Zat Allah Taala dan mengesakan SifatNya dan mengesakan AsmaNya dan mengesakan AfaalNya.

Adapun erti makrifat itu mengenalkan yakni mengenalkan ZatNya yang Wajibal Wujud dan mengenalkan setengah daripda Sifat Kamalat Tuhan yang tiada terhingga banyaknya dan mengenalkan setengah daripada AfaalNya yang mengadakan Mumkin daripada tiada kepada ada dan daripada ada kepada tiada.

Maka mengenal ini difardukan atas tiap-tiap mukallaf yang akil baligh lelaki dan perempuan kerana setengah daripada permulaan yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui dan belajar dan mengajar akan dia.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Permulaan agama ialah mengenal Allah".

Yakni mengenal setengah daripada SifatNya yang wajib lagi sabit bagi Zat Tuhan kita, dan yang mustahil padanya dan harus padaNya.

Seperti yang difatwakan oleh Imam Sanusi Rahimallahi Taala dengan katanya:
"Dan wajib atas tiap-tiap mukallaf pada syarak mengetahui barang yang wajib pada hak Tuhan kita dan barang yang mustahil padaNya dan barang yang harus padaNya dan demukian juga pada hak segala Rasul 'Alaihi Sholaatu Wassalam."


Maka dengan mengenal yang demikian itu barulah sah ibadatnya.

Ini diambil faham daripada sabda Rasulullah yang bermaksud;
"Tiada sah ibadat melainkan kenal tuhan yang diibadat akan Dia."

Tetapi bukanlah disuruh kenal itu Kunhi (Ain) Zat Allah Taala kerana Kunhi Zat Allah Taala tiada dapat oleh pendapat segala makhluk melainkan Nabi kita Muhammad SAW ketika ia mikraj jua.

Firman Allah yang bermaksud:
"Tiada mendapat akan Dia (Allah) oleh segala penglihatan dan Ia jua yang mendapat akan penglihatan"

Dan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Bahawasanya Allah Taala terdinding Ia daripada penglihatan dan bahawasanya segala malaikat yang di atas menuntut akan Dia sebagaimana kamu tuntut akan dia itu"

Dan makna terdinding Allah Taala daripada penglihatan samada penglihatan yang zahir iaitu tiada dapat dipandang atau dilihat akan Kunhi zat Allah Taala di dalam dunia ini maka tiap-tiap perkara yang didapati dengan pancaindera di dalam dunia ini adalah sekaliannya itu makluk bukan Tuhan.

Atau dengan fikiran iaitu tiada dapat memikir akan hakikat Kunhi zat dan kerana Tuhan itu:
"Tiada seumpama Allah Taala itu suatu dan Ia jua Tuhan yang amat mendengar lagi amat melihat".

Dan Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Mahasuci engkau (hai Tuhanku) tiada aku kenal akan dikau sebenar-benar pengenalan"

Dan kata Saiyyidina Abu Bakar Al-Sidiq RA:
"Lemah daripada pendapat itulah pendapat".

dan kata Sayyidina Ali RA:
"Tiap-tiap barang yang terlintas pada cita-citamu dan yang berupa pada hatimu maka Allah Taala bersalahan akan yang demikian itu".

Dan kata Sayyidina Jaafar Al-Shodiq RA:
"Barang (sesuatu) yang terlintas di hati engkau maka iaitu binasa. Bermula Allah Taala menyalahi yang demikian itu"

Dan kata segala 'Arifin:
"Demikianlah Ijmak (sepakat) Ahli Sunnah Wal Jammah...tiap-tiap barang yang tersangka dengan segala sangka kamu dan dapat akan dia dengan akal kamu maka adalah ia baru seumpama kamu".

Kerana yang demikian itulah Rasulullah S.A.W bersabda dengan maksudnya:
“Fikir oleh kamu pada segala kejadian dan jangan kamu fikir pada Yang Menjadi kerana bahawasanya tiada dapat meliputi fikiran kamu."

Iaitu hendaklah fikir kepada segala kejadian Allah seperti langit bumi dan barang antara keduannya yang menunjukkan akan keesaan Allah dan kekuasaan.

Bahawasanya Allah Taala bersifat Ia dengan segala Sifat Kamalat yang tiada terhingga baiknya melainkan Ia jua Yang Tahu. Tiada wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui akan dia dengan jalan tafsil (perincian) melainkan dua puluh sifat jua.

Kata Imam Sanusi Rahimallahi Taala:
" Setengah daripada barang yang wajib mengetahui oleh tiap-tiap mukallaf bagi Tuhan kita 20 sifat”.

Oleh itu tiap-tiap seorang daripada kita WAJIB mempelajari Ilmu Sifat 20 ini yang juga disebut seperti kenyataan di atas tanpa mengira siapa kita.


Kata penyair sufi terkenal abad ke-13, Jalaluddin Al-Rumi:
"... ketika aku mendengar cerita cintaku yang pertama, aku mula mencari-cari engkau... tidak tahu betapa butanya aku... pasangan bercinta bukan bertemu di satu tempat akhirnya... mereka sebenarnya sudah bersama sejak azali lagi..."


0 Any comments?:

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'