18 October, 2010

Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Empat


Sebuah lagi buku teks sekolah rendah di tahun 1970-an iaitu Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Empat. Buku inilah yang BR gunakan semasa di darjah empat dahulu. Bersaiz kira-kira 6" x 8" serta mengandungi 108 muka surat sarat dengan ilmu-ilmu penjagaan kesihatan rohani dan jasmani. (Sila klik untuk setiap imej yang lebih jelas).


Kulit hadapan buku menggambarkan serba sedikit mengenai isi kandung buku iaitu mengenai 'Tumbesaran Tubuh', 'Kegemaran Untuk Berehat' dan 'Kebersihan Pakaian'.


Pada kulit belakang buku juga mempunyai ilustrasi yang membawa maksud yang sama iaitu di bawah tajuk 'Bersenam, Berehat dan Tidur', 'Berjenis-jenis Makanan' dan 'Pertolongan Cemas'.


Hakcipta Dewan Bahasa dan Pustaka 1974. Cetakan pertama ialah pada tahun 1974 dan diulang cetak sebanyak sembilan kali sehingga tahun 1984. Buku ini dicetak oleh Percetakan Harian, Setapak Garden, Kuala Lumpur.

Isi Kandungan terdiri daripada 30 Pelajaran yang dipersembahkan melalui gaya penulisan yang mudah difahami berserta dengan ilustrasi-ilustrasi yang mudah dan dikira amat sesuai dengan peringkat umur murid-murid darjah empat (10 tahun). Ilustrasi-ilustrasi mudah itu juga boleh menarik minat dan daya ingatan murid terhadap sesuatu tajuk pelajaran.

Tajuk-tajuk Pelajaran yang dimuatkan di dalam buku ini ialah:

1. Kebersihan Diri dan Perawakan.
2. Kebersihan Pakaian.
3. Mata, Telinga, Hidung dan Kerongkong.
4. Cahaya.
5. Pernafasan.
6. Perjalanan Darah.
7. Gigi.
8. Berjenis-jenis Makanan.
9. Buah-buahan dan Sayur-sayuran.
10. Air di dalam Tubuh.
11. Peraturan Makan yang Baik.
12. Makanan Pembina Tubuh.
13. Tumbesaran Tubuh.
14. Bersenam, Berehat dan Tidur.
15. Sikap yang Baik.
16. Kasih dan Hormat.
17. Berkelakuan Baik.
18. Percaya kepada Diri Sendiri.
19. Tolong-menolong dan Bertimbangrasa.
20. Kegemaran untuk Berehat.
21. Kebersihan di Rumah.
22. Kebersihan di Sekolah.
23. Keselamatan di Rumah.
24. Keselamatan di Sekolah.
25. Membuang Kotoran.
26. Kuman Penyakit.
27. Penyakit Merebak.
28. Sebab-sebab Kemalangan.
29. Pertolongan Cemas.
30. Bekerjasama untuk Kesihatan.


Terdapat juga soalan-soalan latihan yang dikemukakan di akhir setiap tajuk pelajaran yang telah dipelajari sebagai aktiviti pengukuhan.

Kita ikuti beberapa cabutan tajuk pelajaran yang BR paparkan ini semoga akan mengembalikan nostalgia kepada pembaca yang pernah menggunakan buku ini.


Tajuk Pelajaran 1: Kebersihan Diri dan Perawakan.

Berkisar kepada penjagaan dan kebersihan diri iaitu cara penjagaan kulit, rambut dan kuku. Dihuraikan secara ringkas dan mudah tetapi cukup mengesankan. Biasanya guru-guru dahulu akan mengarahkan seorang murid membaca kuat petikan ini manakala murid-murid lain akan menunjukkan dengan jari teks yang dibaca itu. Masing-masing akan berdebar-debar takut kalau-kalau selepas itu giliran kita pula...


Tajuk Pelajaran 3: Mata, Telinga, Hidung dan Kerongkong.

Berkisar mengenai mengenal mata, telinga, hidung dan tekak (ENT) dan cara penjagaannya. Dilengkapi dengan gambarajah mata, telinga dan hidung supaya murid-murid lebih memahami struktur deria-deria tersebut. Cubalah bertanya kepada murid-murid Tahun Empat sekarang, apa itu kornea? ataupun koklea? Untuk memudahkan ingatan, Cikgu Saidin selalu mengingatkan kami bahawa koklea ini bentuknya seperti siput babi yang berada di dalam telinga. He.. he..


Tajuk Pelajaran 5: Pernafasan.

Tajuk ini berkisar mengenai pernafasan iatu menyedut oksigen dan menghembuskan karbon dioksida. Dijelaskan juga mengenai kepentingan mengeluarkan benda-benda yang tidak dikehendaki oleh tubuh seperti air yang mengandungi urea (air kencing). Topik ini diteruskan lagi pada Pelajaran 6 iaitu "Perjalanan Darah." Cikgu Saidin selalu mempraktikkan gabungjalin iaitu menceritakan mengenai kebesaran Illahi dengan izinNya memberikan kita hidup di dunia ini dengan menghirup udara dengan percuma...

Ilustrasi pada tajuk ini menunjukkan beberapa orang murid sedang menjalani pelajaran Pendidikan Jasmani (PJ). Untuk makluman, pemakaian seluar pendek dan bersinglet adalah fenomena biasa yang akan kita lihat sewaktu murid-murid dahulu menjalani PJ. Pada waktu ini juga berbagai ragam yang boleh dilihat kerana ada murid yang hanya 'berseluar katok' dan singlet yang berlubang-lubang, bak kata Cikgu Aris, 'banyak tingkap'...


Tajuk Pelajaran 13: Tumbesaran Tubuh.

Topik ini adalah mengenai mengukur tumbesaran tubuh yang secara tidak langsung menunjukkan murid-murid dahulu telahpun mengamalkan diet yang sihat melalui rekod tumbesaran yang direkodkan setiap 3 bulan sekali.

"Kita tentu berasa sukacita kalau tubuh kita cepat membesar dan cepat menjadi tinggi. Tetapi, jikalau tidak boleh jadi begitu, tentulah ada sebab-sebabnya. Kita patut cari sebab-sebabnya dan ia mungkin boleh diperbaiki. Boleh jadi kita tidak cukup bersenam atau tidak cukup makan makanan yang berzat. Oleh sebab itu, cepatlah berjumpa dengan doktor meminta nasihat."


Tajuk Pelajaran 15: Sikap Yang Baik.

Topik ini mengajar murid supaya mempunyai sikap yang baik. Salah satu daripadanya ialah berjalan dan duduk dengan cara yang betul dan bergaya. Cuba bayangkan betapa pada waktu itu pembentukan siasah yang baik telahpun dipupuk hanya melalui cara berjalan dan cara duduk.

Cikgu Saidin selalu menitikberatkan soal ini terutama sewaktu duduk hendaklah tegak dan di dalam keadaan bersedia. Beliau juga menegaskan supaya sewaktu berjalan juga mesti tegakkan badan manakala langkah dimulakan dengan kaki kanan dan tumit kaki dicecahkan dahulu...

Ini dijelaskan dalam teks berikut di muka surat 57: Ingatlah: "Berjalan mesti bergaya dan duduk pun mesti bergaya juga. Bila berjalan bukalah dada dan angkat kepala. Bila duduk pun mesti buka dada juga dan jangan duduk membongkok seperti orang tua.'


Tajuk Pelajaran 20: Kegemaran Untuk Berehat.

Inilah tajuk pelajaran yang walaupun ringkas tetapi perlu diberikan perhatian yang serius iaitu kepentingan rehat dan riadah di dalam diri murid terutamanya selepas belajar. Diberikan beberapa contoh berehat atau beriadah dengan berkebun, memelihara ikan, melukis, mengumpul setem, bepersatuan dan sebagainya.

Pendek kata murid disuruh supaya buatlah apa sahaja kegemaran yang boleh merehatkan otak dan tubuh. Berbeza dengan murid-murid sekarang yang dilihat padat dengan aktiviti-aktiviti belajar tanpa masa rehat yang mencukupi (berdasarkan pemerhatian ke atas anak BR sendiri).


Tajuk Pelajaran 24: Keselamatan di Sekolah.

Ini adalah topik yang paling penting. Al maklumlah murid-murid dahulu sememangnya cukup gemar bermain terutamanya pada waktu rehat termasuklah BR sendiri. Diterangkan mengenai jangan berlari-lari turun tangga, nanti kita terjatuh. Jangan bertolak-tolak atau berkejar di kantin, nanti kita terlanggar orang yang membawa makanan atau minuman yang panas.

Jangan berlaku kasar bila bermain dengan kawan-kawan, seperti menolak kawan atau melanggar kawan-kawan yang lebih kecil daripada kita. (Cikgu Saidin telah menerangkan konsep buli disini). Jangan pula melempar batu atau pasir kepada kawan-kawan yang sedang bermain.


Tajuk Pelajaran 27: Penyakit Merebak Menerusi Lalat.

Tajuk ini adalah mengenai kepentingan menjaga kesihatan melalui kebersihan persekitaran kerana penyakit boleh merebak melalui persekitaran yang kotor. Dijelaskan secara ringkas mengenai penyakit yang boleh merebak menerusi lalat (penyakit buang air darah dan penyakit taun), menerusi nyamuk tiruk (demam malaria), lipas, tikus (penyakit hawar) serta kepentingan membersihkan tangan dan jangan meludah merata-rata.

Seringkali kita melihat poster-poster yang ditampal terutamanya di Pusat-pusat Kesihatan ataupun di sekolah-sekolah yang mengingatkan kita mengenai perkara ini. Sebenarnya kita telahpun mempelajarinya 30 tahun yang lalu!


Tajuk Pelajaran 29: Pertolongan Cemas.

Topik ini memceritakan mengenai kepentingan pertolongan cemas dan langlah-langkah yang perlu diambil ketika berlaku kecemasan.

"Tetapi kalau kita tidak tahu cara-cara pertolongan cemas, janganlah cuba menolong mereka. Ini boleh menyebabkan mangsa kemalangan itu bertambah sakit. Lekaslah beritahu orang lain yang ada di situ atau pergi ke tempat telefon dan beritahu polis. Panggillah doktor atau ambulan dengan segera."


Demikianlah serba sedikit imbauan mengenai apa yang telah dipelajari oleh murid-murid dahulu bagi subjek Ilmu Kesihatan ini. Melalui ilustrasi-ilustrasi yang dipaparkan di dalam buku ini sudah cukup untuk mengingatkan kita kembali sejarah suka dan duka pengajian sekolah rendah yang telah lama kita tinggalkan dahulu.

Untuk pengetahuan, buku ini sudah tidak digunakan lagi setelah KBSR diperkenalkan manakala subjek Ilmu Kesihatan ini telah dirangkumkan ke dalam subjek Pendidikan Jasmani menjadikan ianya kini subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Kepada pembaca yang pernah menggunakan buku ini, bolehlah berkongsi pengalaman anda disini.


10 Any comments?:

Ckin Kembaq said...

wah!BR bagus ni..smpan elok lagi buku2 tu...n_n

Shaizul Sapar said...

saya sempat tengok buku tu.klu x silap saya tahun 1995.haha..terigt kenangn lama bila tgk cover buku ni.

Bulat said...

ksuka sgt katun yg dorang lukis dlm buku teks dulu2 ..hehee...comel je..

Kniedaz said...

Suka buku2 zaman dulu..likisan cantik dan berwarna warni..buat kita minat nak baca

Tokanpuakajoran® Cikgu Budr said...

sukatanyapun amat lengkap

Al Faqiir said...

Sob link blog ini sudah ada di blog saya. Link balik sob:). thanks:):):)

sweetie2010.blogspot said...

Salam,

teringat masa zaman sekolah rendah dulu...ermm

Sham said...

BR tak cerita pasal ilmu 'hisap' ke??? hehe...

pak ary said...

waaa.....taun bile ek?lope dah~

Unknown said...

buku teks yg lain contohnya buku agama islam tahun 1 era 80 an.
watak utamanya nama Ahmad.

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'