Itulah lebih kurang bentuk ayat yang dibaca ketika seseorang itu menerima telegram suatu ketika dahulu. Sesungguhnya telegram ini adalah cukup sinonim dengan perkhabaran berita sedih yang memerlukan tindakan segera oleh pihak yang menerimanya sesuai dengan sifatnya sebagai salah satu alat perhubungan yang terpantas pada waktu itu. Lebih pantas daripada Pos Laju... He.. he..
Biasanya pesanan daripada telegram ini akan mengambil masa selama satu hari untuk sampai kepada penerimanya dan disampaikan pula oleh posmen seperti surat. Adalah sesuatu yang paling ditakuti dan di'fobia'i oleh penerimanya apabila posmen menghulurkan telegram memandangkan kebangkalian berita kesedihan adalah amat tinggi berbanding dengan berita gumbira. Satu persepsi yang telah sekian lama terpahat di pemikiran penerima telegram.Untuk itu, di sini BR paparkan sekeping telegram yang telahpun berusia 40 tahun untuk tatapan generasi kini yang tidak pernah melihatnya dan sebagai satu nostalgia kepada pakcik-makcik dan opah-tok wan yang pernah menggunakan perkhidmatan ini suatu ketika dahulu tidak kiralah sebagai pengirim ataupun penerimanya.
Telegram ini dikirimkan oleh seseorang daripada Melbourne kepada keluarganya di Petaling Jaya pada tahun 1970 dan diuruskan oleh Jabatan Talikom Malaysia dan Pejabat Taligerap Petaling Jaya. Mesej yang disampaikan tidak perlu panjang tetapi padat memandangkan bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan telegram ini adalah berdasarkan bilangan patah perkataan yang digunakan.
Kalau hendak tulis panjang-panjang dan dengan bahasa yang berbunga-bunga adalah dinasihatkan supaya menggunakan surat sahaja. "Sebelum mata pena ini terus menari-nari di atas lembaran kertas yang usang ini, izinkanlah daku bla..bla..bla.." contoh bahasa berbunga yang pernah BR baca pada surat dulu-dulu he..he..
Contohnya di sini ialah "ARRIVED SAFELY LETTER FOLLOWS LOVE HUI". Lebih kurang membawa maksud yang pengirimnya yang bernama Hui ini telahpun selamat sampai ke destinasi dan surat-menyurat akan menyusul kemudian. (Bukan berita sedih...).
Di era 1970-an, perkhidmatan telegram ini sememangnya cukup popular sebagai salah satu alat perhubungan terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan-kawasan yang sukar untuk dihubungi.
Dengan kemudahan telefon bimbit, internet, e-mail, sidang video, SMS, MMS, Push-to-Talk, Radio Amatur, blog, shoutmix, cbox (he.. he..) dan pelbagai lagi kaedah perhubungan yang semakin canggih sekarang ini, perkhidmatan telegram ini semakin dipinggirkan meskipun pada waktu ini perkhidmatan ini masih lagi dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad.





























