Sudah lama tidak me'mosting' kisah
Luqman, anak BR yang sulung ini. Pada Hari Raya yang lalu BR sekeluarga beraya di Trolak Selatan. Memang meriahlah dengan suasana Hari Raya diikuti dengan rumah terbuka pada Hari Raya Keduanya. Banyak juga duit raya yang Luqman dapat daripada tok ayah, maktok, ibu-ibu dan bapa-bapa saudaranya serta saudara-mara yang datang berkunjung meskipun beliau tidak pernah mengerti apa-apa...

Pada Hari Raya Ke-2 juga BR membawa Luqman ke sebuah klinik kulit di Tapah (Klinik Jaya) kerana terdapat ketumbuhan di pipinya. Entah apa penyakit kulit itu tak tahulah pula tetapi menurut doktor ianya tidaklah serius dan akan hilang selepas diubati.
Bermasalah juga kerana ubat 'makan' semua dalam bentuk pil atau tablet, tiada yang cecair. Luqman memang bermasalah sedikit untuk mengambil ubat pil atau tablet ini. Terpaksalah doktor sediakan pula ubat yang ditumbuk dan dicampur dengan sirap selain daripada beberapa jenis krim sapuan. Alhamdulillah, sehingga hari ini sudah menampakkan kesembuhannya.
Terima kasih juga kepada doktor Jaya yang telah memenuhi tanggungjawab sosialnya dengan hanya mengambil bayaran ubat sahaja tanpa mengenakan sebarang caj konsultansi memandangkan Luqman seorang OKU yang menghidap penyakit Cerebral Pulsy (CP). Biasanya jika bayaran untuk penyakit kulit pastinya akan mencecah ratusan ringgit. Rezeki Luqman mungkin...

Di sebalik adik-adiknya bergembira dengan duit raya dan pelbagai barang mainan yang dibeli, tidak dilupakan juga Luqman pun ada barang baharu yang dibelikan untuknya. Sebuah 'kerusi roda raya' untuk menggantikan kerusi roda lama yang telah rosak. Telah dirosakkan oleh 'seseorang' (salah seorang daripada 3 orang adiknya) yang sampai sekarang tiada siapapun yang tampil mengaku. Boleh hancur hub dan berterabur jejari mereka kerjakan..

Amat penting untuk memudahkan pergerakannya terutama apabila ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pemulihan Carakerja (JPCK). Pernah BR mendukungnya sejauh lebih kurang 80 meter dari tempat parkir, macam nak tercabut tangan, bagai nak patah pinggang...
Kerusi roda yang baharu ini nampaknya lebih selesa sedikit daripada yang lama kerana lebih sesuai dengan fizikal Luqman. Kakinya sudah semakin panjang sampaikan meleret ke lantai jika masih menggunakan kerusi roda yang lama.
Apa-apapun, pastinya Luqman akan gembira sekiranya dia mengerti...
Moral Value: Tuhanlah di sisinya, syurgalah di tanganNya...