26 March, 2011

Hampton Court Palace Postcard


Hampton Court Palace is located in southwest London in the borough of Richmond upon Thames. Hampton Court Palace is the former home of the flamboyant King Henry VIII, he extended and developed this grand palace after acquiring it in the 1520's. Its many royal occupants have ensured the palace has fabulous furnishings, tapestries and paintings. Set in 60 acres of formal gardens, which include the famous maze and Great Vine, this palace is well worth a visit.


Hampton Court Palace is called "The Greatest Palace in Britain". The palace that has witnessed over 500 years of English royal history, including many of the great events from Henry VIII's life.


Over the centuries, staff, visitors, workmen and residents have experienced strange phenomena for which there is often no practical explanation...


For more information, please visit: Wikipedia/Hampton Court Palace


25 March, 2011

Rexel 'Ubat Stap-ler'


Mungkin ramai di antara kita yang sering menggunakan 'stap-ler' sama ada di rumah mahupun di pejabat untuk mengklip kertas, plastik mahupun pulut udang. Tetapi mungkin ramai juga yang belum pernah melihat atau menggunakan 'ubat stap-ler' jenama Rexel ini kerana lazimnya jenama Max buatan Jepun yang sering menjadi pilihan. Sementelahan jenama-jenama buatan China yang semakin berlambak di pasaran juga pastinya menjadi pilihan kerana harganya yang lebih murah.


Sememangnya sudah menjadi kelaziman kepada kita memberikan istilah 'ubat' kepada benda-benda seperti ini umpamanya bateri, peluru dan sebagainya. Mengikut nama sebenarnya di dalam Bahasa Malaysia ialah dawai kokot dan 'stap-ler' yang selalu kita sebut-sebutkan itu ialah pengokot.


Untuk makluman, di tahun 1950-1960-an di waktu belum adanya klip kertas dan dawai kokot ini, kebanyakan pejabat menggunakan jarum peniti untuk mengklip kertas dan dokumen-dokumen mereka.

Ini terbukti dengan kebanyakan dokumen-dokumen lama yang BR miliki dari tahun 1950-an sehinggalah ke tahun 1960-an telah diklip menggunakan jarum peniti dan kesan lubang serta karat jarum peniti tersebut masih kelihatan dengan jelas.


Dawai kokot ini sebenarnya telah lama usianya iaitu dikeluarkan di sekitar tahun 1960-an. Dawai kokot jenama Rexel ini adalah buatan England dan Rexel merupakan satu jenama pengeluar peralatan stationery dan pejabat yang masih popular di England sehingga kini.


Made ini England tu Mak Tam Rahmah... Produk Rexel ini masih lagi berada di pasaran tetapi sudah tentulah wajah baharu yang diberikan terhadap setiap keluarannya.


'Ubat stap-ler' jenama Rexel ini mempunyai beberapa kelebihan seperti yang tercatat di kotaknya iaitu senang diisi, tidak tersumbat dan bermata pahat supaya penggunaannya menjadi lebih mudah.

Jika dibandingkan kualitinya dengan dawai kokot sekarang, sudah tentulah dawai kokot jenama Rexel ini jauh lebih baik kualitinya kerana ia dihasilkan daripada logam yang kukuh dan kemas apabila dikokot. Kebanyakan dawai kokot sekarang dihasilkan daripada logam lembut yang kualitinya amat mengecewakan.


23 March, 2011

Jom Tengok Wayang...?


Siapa yang tidak pernah tengok wayang? Daripada tiket wayang yang berkoyak dan bertulisan nombor tempat duduk daripada kapur jahit sehinggalah kepada zaman komputer touch screen sekarang ini, sekurang-kurangnya sekali mesti pernah punya...

Seingat-ingat BR filem pertama yang pernah ditonton ialah filem hindustan "Haati Mere Saathi" (cerita gajah-gajah) yang sungguh popular di tahun 1970-an di panggung Empire Alor Setar dibawa oleh arwah ayah. Diikuti oleh "Bobby", "Tangan Besi", "King Kong", filem-filem "Badul" dan sebagainya.


Contoh sekeping tiket wayang panggung Rex Telok Intan, Perak yang berharga RM4.00 pada waktu itu bagi kelas pertama. Tiket ini masih baharu mungkin di sekitar tahun 1982 - 1990-an kerana menggunakan nama Telok Intan (dahulunya Telok Anson) dan menggunakan simbol RM (dahulunya $ atau Ringgit).

Tidak hairanlah jika sekarang ini kita mendengar jumlah kutipan tiket sesuatu filem itu boleh mencecah jutaan ringgit, kadang-kadang bukanlah kerana filem itu baguspun, tetapi kerana harga tiketnya yang berkali-kali ganda nilainya daripada harga tiket filem dahulu...

Sewaktu di Alor Setar dahulu memang terdapat banyak panggung wayang di sana seperti Rex, Sky (Jalan Putra), Royal (berdekatan OCBC Bank), Cathay (Jalan Langgar), Sri Intan (belakang Sekolah Convent) dan Empire (berhampiran Pekan Rabu).

Di awal remaja, panggung Royal yang menjadi pilihan kerana panggung ini akan menayangkan filem kung fu. BR minat sungguh dengan filem kung fu yang biasanya akan mengisahkan mengenai pembalasan dendam seorang pemuda yang menuntut ilmu kung fu daripada seorang peminta sedekah yang mabuk. Ala-ala "Drunken Master" gitu...

Apabila telah meningkat sedikit lagi dewasa, filem "Butterfly" lakonan Pia Zadora pun dah kira o.k. dah... Masuk pula tidak perlu membeli tiket, hanya memberi rasuah kepada penjaga tiket selepas semua penonton masuk ke dalam panggung... He.. he..

Sepintas lalu suasana di dalam panggung wayang ketika itu ialah penonton boleh merokok. Maka 'berkelun-kelun' lah asap rokok yang kelihatan menghiasi layar panggung. Makanan ringan yang paling popular pula bukannya popcorn, tetapi kuaci bunga matahari atau kuaci hitam. Apabila selesai sesuatu tayangan dan apabila penonton mula bangun dari kerusi maka akan kedengaranlah 'bercerau-cerau' bunyi kulit kuaci itu jatuh ke lantai.

Kalau filem komedi pula, umpamanya filem arahan Badul, adegan ketuk kepala dan aksi mengeliat allahyarham R Jaafar sudah cukup untuk menggamatkan panggung. Bagi yang pernah menontonnya pula tidak berhenti-henti akan menceritakan apa yang akan berlaku pada adegan yang seterusnya.


Salah satu cara panggung wayang mempromosikan filem-filem yang akan ditayangkan ialah melalui hebahan kereta berspeaker corong ke kampung-kampung dan juga melalui brochure atau pamplete yang akan ditampal atau diedarkan ke merata tempat.

Paparan kali ini marilah sama-sama kita melihat sekeping brochure wayang daripada panggung Rex Kampar, Perak yang entah bilakah tahunnya kerana keseluruhan depan belakang brochure ini adalah bertulisan Cina. Nak translatepun BR tak pandai.

Kalau dilihat rasanya memang cukup lama kerana pada waktu itu nombor telefon panggung Rex Kampar ini hanya menggunakan nombor 3 digit sahaja. Nombornya pun cantik iaitu 111.


Jika diperhatikan pada gambarnya, filem ini mungkin sebuah filem cinta romantis. Tetapi apakah tajuknya dan siapakah pengarah dan pelakon-pelakonnya tidaklah pula diketahui.

Kepada pembaca berbangsa Cina atau kepada mereka yang memahami tulisan Cina ini dapatlah kiranya memberikan maklumat mengenai filem ini di ruangan komen nanti.


22 March, 2011

Laksa Houz Cherok To' Kun Mari...


Entri kali ini agak berbeza sedikit kerana BR hendak mempromosikan sebuah kedai laksa beras yang baharu sahaja beroperasi di Kampung Cherok To' Kun, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Nama kampung ini mungkin agak klasik sedikit tetapi ianya hanya terletak kira-kira 3 km sahaja dari bandar Bukit Mertajam.

Selain daripada terkenal sebagai tempat kelahiran bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, ia juga terkenal dengan taman rekreasi Cherok To' Kun yang terletak di kaki bukit Bukit Mertajam yang boleh diikuti melalui simpang Jalan Kolam yang terletak berhampiran dengan Laksa Houz ini.

Mula beroperasi pada 16.03.2011 yang lalu dan telah mula menjadi buah mulut dan mendapat sambutan yang hebat di kalangan penduduk-penduduk di sekitar Bukit Mertajam dan kawasan di sekitarnya meskipun ianya baharu sahaja dibuka.


Beralamat di 2842, Kampung Cherok To' Kun, 14000 Bukit Mertajam dan terletak di tepi Jalan Kulim iaitu di sebelah kanan sebelum masjid Cherok To' Kun dari Bukit Mertajam dan jika dari Kulim pula, sudah tentulah ianya terletak selepas masjid Cherok To' Kun di sebelah kiri ke Bukit Mertajam... He.. he..

Waktu perniagaannya ialah pada setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam dan Laksa Houz ini akan ditutup pada hari Jumaat. Hak milik penuh PK Niaga Jaya Enterprise (PKNJ) merupakan 100% milik bumiputera dan tidak diragui lagi status halalnya.

Untuk pengetahuan, penyediaan laksa beras ini sehinggalah kepada kuahnya yang sedap itu adalah diusahakan sendiri oleh PKNJ dengan memiliki tempat memproses laksa dan kuahnya sendiri di lokasi yang berhampiran.


Harga bagi sepinggan laksa biasa ialah RM3.00 manakala harga bagi laksa campur (campur to'kua, cucur udang, sambal sotong) ialah RM4.00.

Secara saintifiknya hidangan laksa merupakan satu set hidangan yang lengkap mengandungi karbohidrat (laksa), protein (kuah ikan), dan lain-lain sumber vitamin yang dihasilkan oleh bahan-bahan ramuannya seperti telur, salad dan ulam-ulaman. Amat sesuai untuk hidangan menyihatkan bagi seisi keluarga.


Sesuai dengan namanya Laksa Houz, kedai ini hanyalah menjual laksa sahaja sebagai trademarknya yang merupakan satu kelainan bagi kebanyakan kedai makan yang lain.

Susun atur dan tata hias kedai yang moden dan menarik sungguh selesa dan bergaya apabila menikmati hidangan laksa di sini. Kedai ini juga boleh memuatkan kira-kira 40 orang pelanggan dalam satu-satu masa.


Menurut sumber, pemilik laksa Houz ini adalah berasal daripada Kuala Perlis manakala isteri beliau pula berasal daripada Pulau Pinang. Hasil gabungan dua resepi laksa Kuala Perlis dan Laksa Pulau Pinang itulah yang telah berjaya menghasilkan satu hidangan laksa yang sungguh enak. Kalau tidak percaya, silalah mencubanya...


Aspek kebersihan merupakan elemen utama yang diberi perhatian dalam penyediaan makanan di Laksa Houz ini yang jarang kita lihat di gerai-gerai biasa.

Kepada penduduk-penduduk di sekitar Bukit Mertajam dan Seberang Perai, Laksa Houz juga sedia untuk menerima tempahan laksa bagi majlis kenduri perkahwinan, kenduri doa selamat, kenduri arwah, jamuan hari jadi, jamuan pejabat, majlis bertunang, majlis berkhatan dan berbagai-bagai lagi majlis jamuan dengan memberikan harga yang istimewa.

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus dengan pemilik kedai iaitu Kasim Mohamad: 012-4535401 dan Kak Za: 012-6265401.


Seorang pelanggan sedang enak menikmati laksa beras ini sehingga tidak menyedari gambarnya sedang diambil.


Pelayan yang segak dan lengkap beruniform sedia menanti kehadiran anda dan melayan kehendak pelanggan.

Adalah diharapkan semoga Laksa Houz ini akan terus berkembang maju dengan membuka beberapa buah lagi cawangannya di seluruh Malaysia. Dengan ini juga dapat mengangkat hidangan laksa yang biasanya boleh kita dapati di gerai-gerai dan di warung-warung sahaja menjadi satu hidangan elit yang boleh dinikmati oleh berbagai lapisan kaum.

Semoga Laksa Houz To' Kun ini juga akan dapat berdiri seiring dengan lain-lain produk makanan yang popular di Seberang Perai ini seperti char kuey teow dan mee udang Sungai Dua, mee Man Kambu, mee kuah ketam, mee rebus Pak Ngah dan sebagainya.

Kepada anda yang datang ke Seberang Perai atau ke Pulau Pinang, cubalah cari kedai Laksa Houz untuk mencuba laksa beras yang lain dari yang lain ini...


19 March, 2011

Kelapa Matag


"Awat yang hari ni hang pi cerita pasai pokok nyoq pulak dah? Mokalau hari Sabtu selalu hang dok penaik cerita pasai poskad?" Sebelum soalan yang lebih kurang berbunyi demikian dikemukakan, sukacita dimaklumkan bahawa entri khas majlis penanaman pokok kelapa Matag ini terpaksa juga diadakan kerana adalah diharapkan semoga suatu hari nanti ianya akan menjadi satu entri yang paling blues untuk dikenang...


Menurut cerita nenek moyang dahulu kala tatkala di zaman sebelum wujudnya lagi surat beranak atau sijil lahir pada waktu itu, salah satu cara untuk mengetahui umur seseorang itu ialah dengan menanam pokok kelapa. Bilangan tahun kelahiran seseorang itu akan dikira berdasarkan bilangan takuk yang terdapat pada pokok kelapa tersebut yang ditanam oleh bapa bayi berkenaan pada hari kelahirannya.

Bagi menyambung tradisi tersebut (tetapi bukan kerana kelahiran anak), sebaliknya sebagai satu simbolik bagi memperingati satu peristiwa penting yang telah berlaku dalam hidup BR pada 17.03.2011 yang lalu, maka tertanamlah pokok kelapa Matag ini sebagai kenang-kenangannya.

Pokok kelapa juga telah dipilih memandangkan ianya merupakan pokok serba guna dari hujung daunnya hinggalah ke umbut akarnya dan insyaAllah hasilnya akan dapat dinikmati dalam tempoh masa lebih kurang empat tahun dari sekarang...

Sama-samalah kita ikuti kronologi penanaman pokok kelapa Matag ini:


1. Mencari lokasi atau tapak penanaman yang sesuai. Berair atau kering sangatpun tak bagus juga.

Mungkin tidak ramai di antara kita yang mengenali pokok kelapa Matag ini. Ia sebenarnya merupakan sejenis pokok kelapa baka baharu yang telah dihasilkan selain daripada baka pokok-pokok kelapa terdahulu seperti kelapa Mawa, kelapa Pandan, kelapa Gading, kelapa sawit? dan sebagainya lagi.

Kelapa Matag atau nama saintifiknya Cocos nucifera L adalah jenis kacukan kelapa tempatan Kelapa Malaya Rendah (Malayan Dwarf) dengan Kelapa Tagnanan Tinggi dari Filipina. Ia boleh menghasilkan kira-kira 30,000 biji buah setiap hektar setahun.


2. Seteleh menemui lokasi yang sesuai, kerja-kerja memecah dan mengorek tanahpun dilakukan.

Pokoknya lebih rendah, kira-kira 5.06.0 meter tinggi, dan mula berbuah empat hingga lima tahun selepas ditanam. Buah kelapa yang dihasilkan sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti untuk air kelapa muda, santan dan juga berisi tebal dan lebih berat apabila menghasilkan kelapa kering (kopra).

Kelapa Matag juga bersaiz lebih besar daripada kelapa jenis Mawa dan turut mampu memberi pulangan yang baik kepada penanam kerana isinya lebih tebal, rasanya yang enak dan 'banyak santan'... He.. he..


3. Memasukkan benih kelapa Matag ini ke dalam lubang.

Tugas ini perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati, lemah lembut dan penuh kasih sayang. Tangan serta jari jemari yang 'sejuk' diperlukan di sini kerana menurut kata orang tua-tua, kalau tangan 'panas' tidak boleh menanam pokok, nanti pokok tidak mahu hidup ataupun tidak menjadi.

Kelapa Matag boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas berada di tapak pertanian dan setiap tandan mampu menghasilkan 15 biji pada peringkat awal berbuah dengan jangka hayatnya antara 25 hingga 30 tahun. Pokok ini juga akan mula berbuah walaupun ianya masih rendah.


4. Mengambus kembali tanah.

Baka ini mempunyai ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang cepat dan tidak cerewet untuk dijaga Ia mula berbunga pada tahun ke-3 dan proses penuaian bolehlah dilakukan pada tahun ke-4. Empat tahun mungkin terlalu lama bagi seseorang tetapi dalam sedar tak sedar masa itu akan terus berlalu dan lambat laun empat tahun itu akan tetap tiba jua tanpa disedari.


5. Menyiram. Menurut kata orang tua-tua juga, selepas menanam sesuatu pokok, wajib ianya disiram.

Untuk pengetahuan, benih kelapa matag ini dijual pada harga yang agak tinggi iaitu di antara RM25 hingga RM40 sepokok. Kepada pembaca yang telah melawat MAHA baru-baru ini tentunya lebih arif mengenai harganya ini.


Pemandangan lokasi di hadapan halaman rumah selepas pokok kelapa Matag ini ditanam. Setiap hari bolehlah selalu memerhati dan membelainya...


Ini adalah satu contoh imej carian Googles sebatang pokok kelapa Matag yang telah mengeluarkan hasilnya. Tu dia.. nala punya la 'merendoh' buah dia Encik Mat.

Adalah diharapkan agar pokok kelapa Matag yang ditanam oleh BR inipun akan berbuah seperti ini dalam tempoh empat tahun lagi dan perkembangan tumbesarannya akan dipantau dan akan dipaparkan dari semasa ke semasa.

Kepada pembaca yang ingin merasai hasilnya, dijemputlah datang ke rumah BR empat tahun lagi... he.. he..


Untuk maklumat lanjut mengenai kelapa Matag ini, pembaca bolehlah ke: MOA/Kelapa Matag


Moral Value: “Demi MASA. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan yang beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan KEBENARAN. Yang berpesan-pesan dengan KESABARAN”. - Tafsir surah al-Asr.


17 March, 2011

Penyembur Badan Safar


Inilah 'penyembur badan' ataupun yang bermaksud pewangi badan jenama Safar yang mungkin anda pernah gunakan suatu ketika dahulu kalau tidak silap di sekitar 1980-1990-an. Penyembur badan jenama Safar ini merupakan salah satu produk dandanan diri bercirikan Islamik seangkatan dengan jenama Zaitun pada waktu itu.


Tertera jelas pada botol atau can penyembur badan ini iaitu "Tanpa Alkohol" untuk lebih meyakinkan pengguna bahawa produk ini adalah bersih daripada sebarang najis dan boleh dibawa sembahyang.


Isian 80gm dan merupakan keluaran Syarikat Safar Industry, Prai, Pulau Pinang. Tidak pasti lagi sama ada syarikat ini masih lagi beroperasi lagi sekarang kerana rasanya sudah lama tidak kelihatan produk-produk jenama Safar ini berada di pasaran.


Perkataan Safar turut juga dikenali sebagai "Sapaq" menurut kata orang-orang kampung BR... He.. he..


Penyembur badan Safar boleh digunakan di seluruh badan. Dirumus dengan keharuman asli, penyembur kami boleh menjadikan anda merasa segar sepanjang hari.


Marilah sama-sama kita lihat ayat-ayat yang digunakan: "Jangan menyembur ke muka, dekat mata atau bahagian badan yang luka. Jangan letak can ditempat dengan suhu melebehi 50 darjah Celcius. Mudah dibakar. Jangan menyembur dekat api. Simpan ditempat jauh dari kanak-kanak."

Untuk pengetahuan, jenama Safar ini berkemungkinan besar diambil bersempena bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam. Safar juga bererti kosong. Ketika BR kanak-kanak dahulu bulan Safar ini selalunya dikaitkan dengan bulan yang turunnya bala bencana dan mala petaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir.

Berbagai-bagai perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan syariat Islam telah dilakukan oleh masyarakat waktu itu kononnya untuk 'menolak bala'. Antaranya ialah upacara Mandi Safar dan majlis perkahwinan juga biasanya tidak diadakan di dalam bulan Safar kerana bimbangkan sesuatu yang buruk akan berlaku.



Moral Value: "Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.''


15 March, 2011

Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Enam


Setelah kita mengikuti kisah buku teks Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Empat, untuk entri kali ini marilah sama-sama kita ikuti pula kisah buku teks Ilmu Kesihatan Untuk Sekolah Rendah Malaysia Darjah Enam yang pastinya akan mengimbau kembali kenangan semasa bersekolah rendah di suatu masa dahulu.


Kulit hadapan buku menggambarkan serba sedikit mengenai isi kandung buku iaitu mengenai penjagaan kesihatan, sistem pernafasan dan sistem pendengaran. Semester pertama ijazah kedoktoran mesti belajar mengenai semua ini... He.. he..


Pada kulit belakang buku juga membawa maksud yang sama iaitu mengenai sistem pencernaan, gigi dan mata.


Penerbitan Kerajaan Malaysia (Kementerian Pelajaran) dan hakcipta Dewan Bahasa dan Pustaka 1974. Cetakan pertama ialah pada tahun 1974 dan diulang cetak sebanyak sebelas kali sehingga tahun 1984. Buku ini dicetak oleh Percetakan Harian, Setapak Garden, Kuala Lumpur.

Secara keseluruhannya buku ini mencakupi berbagai aspek penjagaan kesihatan rohani dan jasmani supaya akan menghasilkan murid-murid yang benar-benar berilmu dan berguna kepada masyarakat dan negara keseluruhannya sebagai bekalan untuk mereka menempuhi alam remaja.

Isi Kandungan terdiri daripada 30 Pelajaran yang dipersembahkan melalui gaya penulisan yang mudah difahami beserta dengan ilustrasi-ilustrasi yang mudah yang dikira amat sesuai dengan peringkat umur murid-murid Darjah Enam pada waktu itu. Ilustrasi-ilustrasi mudah itu juga boleh menarik minat dan daya ingatan murid terhadap sesuatu tajuk pelajaran.

Isi Kandungnya:

1. Kebersihan Diri.
2. Kelaziman Kesihatan.
3. Mata, Telinga, Hidung dan Kerongkong.
4. Gigi Kita.
5. Bentuk Gigi.
6. Kesihatan Gigi.
7. Makanan yang Memberi Tenaga, Membina Badan dan Mencegah Penyakit.
8. Air.
9. Bekalan Air untuk Orang Ramai.
10. Memilih, Menyedia, Menyimpan dan Menjaga Makanan.
11. Pencernaan Makanan.
12. Tumbesaran.
13. Senaman dan Hiburan.
14. Berehat.
15. Tidur.
16. Persikapan.
17. Hormat-menghormati antara Keluarga.
18. Menjadi Orang yang Berguna.
19. Persahabatan.
20.Mengawal Rasa Hati.
21. Kesihatan dan Keselamatan Di Rumah.
22. Kesihatan dan Keselamatan Di Sekolah.
23. Sampah dan Kotoran Rumah.
24. Mencegah Penyakit yang Berjangkit.
25. Kesan-kesan Buruk daripada Minuman.
26. Kegunaan dan Salah Guna Ubat-ubatan.
27. Masa Kecemasan.
28. Kesihatan Masyarakat.
29. Kerajaan dan Kesihatan.
30. Peranan Seseorang warganegara yang Baik.

Terdapat juga soalan-soalan latihan yang dikemukakan di akhir tajuk pelajaran yang telah dipelajari sebagai pengukuhan.

Marilah sama-sama kita ikuti beberapa tajuk pelajaran yang telah BR pilih secara rawak untuk tatapan kita. Pembaca juga boleh klik pada imej untuk membesarkannya.


Tajuk Pelajaran 1: Kebersihan Diri.

Berkisar kepada penjagaan dan kebersihan diri iaitu cara penjagaan rambut, badan, tangan, kaki dan pakaian. Dihuraikan satu persatu sebab dan akibat kepentingan penjagaan kebersihan diri ini.

Satu tajuk pelajaran yang dikira amat penting bagi murid-murid mempraktikannya. Semasa BR bersekolah dahulu, uji kaji mengenai kebersihan kuku juga dilakukan oleh Cikgu Saidin di mana satu sampel kotoran kuku telah diambil lalu diletakkan di atas sekeping roti. Hasilnya selepas beberapa hari kita boleh melihat roti tersebut telah menjadi berkulat dan diandaikan begitulah rupanya makanan yang kita makan dengan menggunakan tangan yang berkuku kotor.


Tajuk Pelajaran 4: Gigi Kita.

Mengenalkan murid kepada struktur gigi, jenis-jenis gigi serta tugas gigi masing-masing. Contohnya gigi kacip, gigi taring, gigi geraham besar dan gigi geraham kecil. Penjelasan yang ringkas tetapi cukup berinfo mengenai gigi. Untuk pengetahuan, semasa di zaman persekolahan dahulu memang terdapat ramai rakan-rakan BR yang bergigi 'rongak' termasuklah BR sendiri... He.. he..


Tajuk Pelajaran 7: Makanan yang Memberi Tenaga, Membina Badan dan Mencegah Penyakit.

Tajuk ini berkisar mengenai kepentingan pemakan untuk tubuh badan. Dinyatakan mengenai jenis-jenis makanan yang mempunyai kanji, gula, lemak, makanan pembina badan dan makanan pencegah penyakit.

Disebut juga mengenai kepentingan protein dan vitamin serta kepentingan memakan buah-buahan tempatan seperti betik, jambu, rambutan, cempedak dan sebagainya. Tidak hairanlah jika diperhatikan penduduk Malaysia di sekitar tahun 1960-1970-an mempunyai tubuh badan yang menarik dan tidak ramai yang obesiti.


Tajuk Pelajaran 9: Bekalan Air untuk Orang Ramai.

Topik ini ialah mengenai kepentingan air dalam kehidupan manusia. Di antaranya ialah air pili (air paip), air hujan, air tasik atau kolam, air perigi dan air sungai. Di kampung BR dahulu memang terdapat air pili seperti di dalam gambar yang diletakkan di tepi-tepi jalan bagi kemudahan penduduk kampung menggunakan air bersih.

Pada waktu itu kemudahan air paip dari rumah ke rumah adalah belum meluas dan penduduk kampung cuma disediakan sebuah pili awam seperti itu untuk kegunaan ramai. Adalah menjadi perkara biasa jika dilihat orang mandi dan membasuh pakaian di tepi jalan pada waktu itu. Kebanyakan penduduk kampung pada waktu itu juga lebih banyak menggunakan perigi sebagai sumber air mereka.


Tajuk Pelajaran 14: Berehat.

Topik ini berkisar mengenai kepentingan berehat di dalam kehidupan. Walaupun dilihat mudah, tetapi berehat merupakan satu keperluan yang mesti diberi perhatian yang kebanyakannya diabaikan oleh masyarakat hari ini. Sengaja BR paparkan tajuk ini kerana ilustrasi funfair dan sekeluarga sedang berehat sambil mendengar radio merupakan ilustrasi yang cukup mengingatkan BR kepada suasana di sekolah rendah dahulu.


Tajuk Pelajaran 18: Menjadi Orang yang Berguna.

Tajuk ini ialah mengenai keperluan supaya murid menjadi orang yang berguna dan boleh hidup berdikari.

"Kita mesti belajar bagaimana hendak menjaga dan menolong diri sendiri. Kita mesti juga belajar bagaimana hendak hidup sihat dan cara hendak menjaga perasaan hati orang lain. Kita juga patut tahu bagaimana hendak membuat pertimbangan pada satu-satu perkara yang terjadi."


Tajuk Pelajaran 23: Sampah dan Kotoran Rumah.

Satu tajuk yang dikira amat penting untuk murid dan masyarakat menghasilkan persekitaran yang bersih dan sihat. Di antara topik yang dihurai di sini ialah mengenai pembuangan sampah-sarap, pembuangan najis, tandas moden, tangki septik atau limbahan, tandas angkat dan sebagainya. Kaedah pembinaan sesebuah tandas juga diterangkan di dalam topik ini.

Untuk pengetahuan, sebelum adanya tandas moden seperti hari ini, terdapat beberapa bentuk tandas pada zaman dahulu seperti tandas kolam, tandas korek, tandas angkut dan tandas 'baling'. Tidak dapat dihuraikan satu persatu kaedah-kaedah tandas yang telah disebutkan itu memadai hanya mereka yang pernah merasainya sahaja yang mengetahui...


Demikianlah serba sedikit imbauan mengenai apa yang telah dipelajari oleh murid-murid dahulu bagi subjek Ilmu Kesihatan Darjah Enam ini. Kepada pembaca yang pernah menggunakan buku teks ini sudah tentu mempunyai cerita yang tersendiri untuk dikongsikan. Berdasarkan kepada isi kandung buku teks ini serta kesungguhan guru-guru yang mengajar pada waktu itu, ramai di antara kita yang patut bersyukur kerana telah menjadi apa yang telah kita jadi sekarang...


13 March, 2011

Eric Clapton Lelong 70 Gitar...


Penyanyi rock terkenal, Eric Clapton meletakkan 70 gitarnya untuk lelongan amal kelmarin yang menarik minat ratusan peminat setianya sekali gus berjaya melepasi sasaran jualan.

Gitar berongga Clapton dikenali sebagai Gibson buatan 1948 dilelong pada harga AS$83,000 (RM252,120), menjadikan barang yang paling mahal dalam lelongan itu. Ia hanya dianggarkan bernilai AS$30,000 (RM91,155).

Kebanyakan barang dijual lebih tinggi daripada harga disasarkan agensi pelelongan Bonhams.


Lelongan itu termasuk gitar Fender Stratocaster, yang sering dikaitkan dengan lagenda pemain gitar itu termasuk model hitam yang digunakan dalam konsert Cream Reunion di Royal Albert Hall di London dan Dataran Medison New York pada 2005.

Gitar Stratocaster yang sinonim dengan Clapton dijual dengan harga AS$51,000 (RM154,887) dalam lelongan yang turut berjalan serentak di New York, Los Angeles, London dan secara online.

Hasil lelongan akan didermakan ke pusat pemulihan dadah dan alkohol, Pusat Crossroads di Antigua. Pusat ini diasaskan Clapton yang juga bekas penagih heroin dan bekas peminum minuman keras pada 1998.

Gitar akustik 12 tali, Martin, yang digunakan Clapton semasa menyanyikan lagu 'Motherless Child' dijual pada harga AS$70,000 (RM212,703), sedangkan ia dijangka hanya meraih AS$5,000 (RM14,195).


Sumber: Berita Harian 11.03.2011
(Sila klik untuk besarkan imej)


Selain itu, gitar yang turut menarik perhatian pembida ialah replika gitar 2006 yang mempunyai tanda rokokpada bahagian kepalanya dikenali sebagai 'Blackie' Stratocaster, digunakan Clapton sepanjang 1970-an. Ia dibeli pada harga AS$30,000 (RM91,184).


Gitar Blackie yang asal sudah dibeli kedai peralatan muzik Guitar Center pada harga AS$959,500 (RM2.9 juta) pada 2004.

Lelongan itu turut menawarkan puluhan alat pembesar suara milik Clapton termasuk Supro 1960-an, yang dikatakan pernah digunakan pemain gitar Jimmy Page dalam album 'Led Zeppelin II'. Ia dijual pada harga AS$28,000 (RM85,077).

Ini bukan kali pertama Clapton menjual alat muziknya. Pada 1999, beliau berjaya mengumpul lebih AS$5 juta (RM15.1 juta) dan pada 2004, mengumpul AS$7.4 juta (RM22.4 juta). Kesemuanya disumbangkan ke Pusat Crossroads.

Tambahan kepada lelongan Clapton itu, ada juga gitar yang disumbangkan dan ditandatangani legenda rock lain seperti Jeff Beck, JJ Cale dan Joe Bonamassa.

Artifak yang bercampur turut dilelong termasuk tiga sut rekaan Gianni Versace yang dibuat sempena konsertnya di Royal Albert Hall pada 1990, beg sandang kulit hitam rekaan Andrea Valentini dan telefon bimbit ditandatangani Clapton.

Untuk maklumat lanjut mengenai Eric Clapton, pembaca boleh ke: Wikipedia/Eric Clapton


******************************


Eric Clapton merupakan salah seorang pemain gitar yang terbaik di dunia setakat ini selain daripada Jimi Hendrix, B.B. King, Stevie Ray Vaughan, Jimmy Page dan beberapa nama lain lagi.


Nama-nama seperti Man Kidal, Joe (Burnmark), Sham (Kamikaze), Edry Hashim, Izo( XPDC) Hillary Ang, Kid (Search), Samad (Lefthanded), Abu (MAY), Joe (Wings) dan beberapa nama lain yang tidak disebutkan di sini tidak kurang juga kehebatan mereka di Malaysia. Masing-masing juga memiliki kehebatan dan skills masing-masing.


Tetapi (secara peribadi) BR lebih memilih Rosli Mohalim (Sweet Charity) dan Julian (Blues Gang) sebagai gitaris yang diminati. Bagi Julian, selain daripada boleh bermain gitar, beliau juga boleh membuat/ubahsuai gitar, satu kemahiran yang tidak ramai dimiliki oleh pemain gitar.

Allahyarham M. Shariff juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan gitaris-gitaris yang lain pada zamannya. Beliau juga pernah dianugerahkan 'The Fender Man' oleh syarikat pengeluar gitar terkemuka itu berdasarkan bakat dan kesetiaannya terhadap gitar Fender yang sering digunakan.


Ini pula gitar Fender acoustic milik BR yang masih lagi disimpan sebagai kenang-kenangan. Jika sebelum ini habis kesemua gitar elektrik, pass box, amplifier dan peralatan yang berkaitan dengannya telah dijual, cukuplah tinggal yang ini satu sahaja sebagai penguat semangat.


Seperti si Ninja yang telah sealkan pedangnya di dalam peti, cuma jika di dalam keadaan terdesak baharulah si Ninja tadi akan mengeluarkan pedangnya semula. Selalunya untuk membalas dendam atas kematian keluarganya... He.. he..

Namun begitu, kadang kala petik juga untuk menghilangan kebosanan. Biasanya lagu-lagu puitis ketuhanan Ebiet G. Ade dan Hattan menjadi pilihan, bersesuaian dengan usia...


Bunyinya memang merdu tambahan pula dipadankan dengan tali Martin. Dibeli pada awal 1990-an dengan harga 'sebulan gaji' pada waktu itu. Eeer.. kalau lelong ada harga ka ni?


Chromatic Tuner pun ada, yang ini ada gunanya juga kerana boleh digunakan untuk tuning angklong. Tetapi pendengaran semulajadi biasanya lebih tepat...


Hattan - Rindu Bertandang Lagi

Rindu bertandang lagi kekasih
Hatiku merintih keranamu
Kesunyian mencengkam
Lautan kenangan
Ajaibnya perasaan oh..

Rindu membawa daku kekasih
Pada musim-musim bersamamu
Rasa kasih dan rindu
Yang tertanam buatmu
Di jambangan usiaku

Waktu memisahkan aku denganmu
Kemanisan bersatu dalam sebuah rindu
Kini saat indah menjadi sejarah
Dan musim pun berlalu bersama waktu
Kini bertemankan sebuah perasaan
Rasa kasih rasa rindu padamu

Rindu bertandang lagi di hati
Rindu menghampiri kala sendiri
Halaman hidupku yang kosong tak terisi
Sungguh lama dikau pergi


"The Feeling Is Legendary"


12 March, 2011

Postcard The Isle of Skye


The Island of Skye, situated off the West coast of Mainland Scotland, is the largest and best known of the Inner Hebrides.


One of the largest and best known Scottish islands, Skye is particularly famous for its mountain scenery. Many people come here to climb or walk in the Cuillin and the Quiraing. Quite an expanding population since the early 1990s, now there are over 9000 people living on the island.


Sometimes described as 'The Isle of Mists under the Shadow of Great Mountains', the Isle of Skye is the largest of the Inner Hebrides group. The Cuillin Hills from the backbone of the island and the coastline is deeply indented by sea-lochs forming rocky peninsulas.


For more information, please visit: Isle of Skye


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'