22 June, 2010

Cuti-cuti Malaysia 2010 (Hari Kedua)



Hari Kedua: 09.06.2010 (Rabu)

Perjalanan dari Mersing diteruskan lagi menghala ke Kuantan. Melalui jalan pesisir pantai dan menempuh beberapa bandar kecil seperti Endau, Rompin, Nenasi dan Pekan. Pemandangan pantai memutih dan laut yang membiru sungguh menarik hati.



Sebaik sahaja menempuhi Felda Endau, tiba-tiba aku teringatkan seorang rakan lama iaitu Ahmad bin Bahari yang telah lama terpisah sewaktu di sekolah rendah dahulu. Beliau telah mengikuti keluarganya berpindah dari Kedah ke Felda Endau kerana bapanya telah terpilih untuk menjadi peneroka di situ di sekitar tahun 1978 iaitu 32 tahun yang lalu.


Apa yang mengingatkan aku kepada Ahmad ini ialah kami sama-sama 'menggagau' ikan puyu dan sepat di bendang semasa kanak-kanak dahulu. Banyak ikan bendang yang dapat sampai boleh dibuat ikan kering. Ahmad ini juga mengingatkan aku kepada telatah kanak-kanak dahulu yang suka mencangkung di tepi jalanraya dengan 'berkelumbungkan' kain pelikat sambil memerhatikan kenderaan yang lalu lalang...


Tiba di Felda Endau aku terus ke Pejabat Feldanya bertanyakan penerokanya yang bernama Bahari. Kata pegawai yang bertugas, cuma ada seorang sahaja peneroka yang bernama Bahari (telahpun meninggal) lalu akupun ditunjukkan rumahnya.


Bertanya punya bertanya, tiada orang bernama Ahmad bin Bahari di sini, Bahari yang aku ke rumahnya itu berasal daripada Selangor. Misi Jejak Kasih gagal. Kepada Ahmad atau sesiapa yang mengenali beliau bolehlah berikan info kepada BR. (Gambarnya ketika berusia 11 tahun adalah seperti di atas).


Tiba di Pekan, Pahang. Berehat seketika di tepi sungai di bawah pokok Hujan-hujan. Terpandang pula tag pada pokok tersebut. Ingatkan bloggers sahaja yang kena tag, rupa-rupanya pokok pun turut sama ditag. Langkah yang diambil oleh Majlis Daerah Pekan ini amatlah aku puji kerana telah mengambil langkah yang bijak memelihara warisan termasuklah pokok-pokok.


Pemandangan old town yang terdapat di bandar Pekan. Kepada pengumpul-pengumpul barang-barang lama bolehlah mencuba untuk menjalankan ekspedisi mengorek di bandar ini. Manalah tahu rezeki anda di sini...


Pukul 2.30 p.m selamat tiba di Kuantan, Pahang Darul Makmur. Kali terakhir aku pernah tiba di bandar ini ialah pada tahun 2007.


Pusing-pusing seketika di bandar Kuantan dan berhenti di hadapan Stadium Darul Makmur sementara menanti bapa saudara yang menjemput kami sekeluarga ke rumahnya di Batalion 7, pasukan Gerakan Am, Kem Bukit Galing.


Selepas berehat panjang dan makan-makan, perjalanan di teruskan lagi ke Kuala Terengganu melalui jalan pesisir pantai juga menempuh bandar Cukai, Kemaman, Kertih, Paka dan Dungun.


Replika tengkolok berwarna kuning yang terdapat di bandar Kemaman sebagai mercu tanda.



Lagi satu mercu tanda yang terdapat di bandar Cukai.


Tiba di Paka iaitu Kompleks Industri Petroleum Petronas. Ultraman memang suka tempat sebegini sebagai tempat dia berlawan dengan raksaksa.


Berehat sebentar di tepi sungai Tebing Tembah, Paka. Pemandangan kehidupan sungai yang menarik juga terdapat sebuah restoran yang besar di sini.


Rumah rakit yang terdapat di Tebing Tembah.


Kelihatan Luqman seperti keletihan setelah sehari suntuk berada di dalam kereta. Tiba di Pantai Kelulut, Marang jam telahpun menunjukkan ke pukul 8.30 p.m. Penginapan tidaklah dirisaukan sangat kerana [GB] Aiman telahpun dari awal lagi menempah sebuah hotel di bandar Kuala Terengganu.


Perubahan di saat-saat akhir anak-anak minta menginap di tepi pantai pula kerana ingin mandi laut, lalu bertukarlah tempat menginap di Rhu Muda Beach Motel, Marang.


Dari sini kita boleh menikmati satu pemandangan yang cukup indah di malam hari di mana kelihatan lampu-lampu yang bekerlipan dari bot-bot nelayan yang mencandat sotong di tengah lautan.




1 Any comments?:

sweetie2010.blogspot said...

Salam BR,

seronok yer bercuti ngan anak-anak.jauh perjalanan luas pemandangan.

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'