Inilah Mathematical Drawing Instruments atau lebih dikenali sebagai 'bekas pensel geometri', 'set geometri', 'geometri box', 'kotak geometri' dan berbagai-bagai lagi nama yang diberikan di mana akhirnya telah membawa kita kepada satu makna dan benda yang sama.

Sesiapa sahaja yang pernah bersekolah menengah dahulu tidak sahlah jika tidak pernah memilikinya. Selalunya digunakan di dalam subjek Sains, Matematik dan Geografi. Peralatan di dalamnya jarang-jarang digunakanpun bergantung kepada subjek yang memerlukannya sahaja. Tetapi bekas geometri inilah yang telah aku gunakan di sepanjang persekolahan sekolah menengah.

Jenama yang paling popular pada waktu itu ialah HELIX OXFORD (Berwarna biru dan ada gambar bangunan Universiti Oxford di hadapan). Ramai di kalangan rakan-rakan aku yang menggunakan jenama tersebut. Harganya lebih kurang sama sahaja pada waktu itu, tetapi entah di mana silapnya aku boleh pula menggunakan jenama STEADTLER ini, mungkin kerana warnanya yang kuning atau untuk tampil lebih berbeza... he.. he..

Dibeli pada awal 1980-an ketika mula-mula memasuki alam sekolah menengah dan harganya lebih kurang di dalam lingkungan RM3.00. (Dah lupa). Punyalah seronok dan bangga kerana telah memiliki kotak pensel yang baharu dan dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh...

Sewaktu mula-mula beli dahulu kotak geometri ini lengkap didatangkan bersama pensel, pemadam, pengasah dan juga jadual waktu. Yang itu tidak sempat untuk diselamatkan kerana telah musnah dimamah usia.

Triangle ruler, 90 dan 45 darjah. Memang seronok apabila menggunakan peralatan geometri ini di mana ketepatan ukuran memainkan faktor utama di dalam mendapat jawapan yang betul kepada sesuatu soalan. Ala-ala engineer gitu...

Jangka sudut dan pembaris lurus enam inci. Masih original kerana terdapat cetakan jenama Staedtler pada setiap pembaris.

Jangka Tolok, digunakan untuk menyukat jarak terutamanya di dalam peta topo. Semasa cikgu tiada di dalam kelas, boleh juga dijadikan dart, tuju-tuju dinding, ataupun main 'tikam-tikam' di celah jari...

Jangka Lukis, digunakan untuk membuat bulatan, separa bulatan atau yang seumpamanya. Hati-hati sewaktu menggunakan alat ini kerana bukan takut cedera tetapi takut habis berlubang buku dibuatnya.

Acuan plastik di dalam kotak geometri supaya alatan-alatan di dalamnya tersusun kemas. Masih kekal bersama.

Didatangkan juga bersama sarung untuk menyimpan kotak geometri yang diperbuat daripada kotak. Juga masih aku kekalkan.
Moral Value: "Sayangi dan hargailah apa yang anda miliki sekarang sebelum ianya tiada" he.. he..