11 August, 2010

Ibadah Puasa



Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."




Pendahuluan:

Perkataan puasa (assaum) dalam bahasa Arabnya bermaksud menahan diri. Dan mengikut pengertian syarak yang ditakrifkan oleh ahli-ahli fekah bermaksud antaranya "Menahan diri dari makan minum dan dari segala perkara yang boleh membatalkannya bermula dari terbit fajar hinggalah jatuh matahari."


Puasa diwajibkan ke atas setiap individu muslim yang mukallaf tanpa pengecualian dan puasa juga termasuk salah satu daripada rukun Islam yang lima. Di dalam al-Quran dan al-Hadis di dapati banyak keterangan-keterangan yang menunjukkan wajibnya berpuasa dan ianya telahpun diamalkan oleh umat manusia sejak zaman berzaman lagi iaitu di masa Rasul-rasul yang terdahulu.


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Wahai mereka-mereka yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas mereka yang sebelum daripada kamu. Mudah-mudahan kamu bertaqwa."
(Surah al-Baqarah ayat 183)


Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:

"Dibangunkan agama Islam itu di atas lima perkara: Bersaksi tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruhNya, mengerjakan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan kerja Haji dan puasa bulan Ramadhan."
(Sahih Bukhari dan Muslim)



Sejarah:

Puasa bukanlah merupakan perkara ataupun amalan baru di dalam kehidupan manusia.malahan puasa telah diamalkan oleh umat manusia sebelum diutuskan Nabi Muhammad S.A.W. ke dunia ini. Rasul-rasul terdahulu dan pengikut-pengikutnya terutama pengikut-pengikut agama Samawi yang terkenal seperti Yahudi dan Nasrani, mereka telah berpuasa. Pun begitu, perlu ditegaskan puasa yang diamalkan oleh mereka itu berbeza di antara satu sama lain.


1. Umat Yahudi mengikut riwayat kitab suci agamanya, puasa memang dituntut ke atas mereka supaya mengerjakannya. Cara mereka berpuasa pada peringkat pertama mereka diwajibkan menahan diri daripada makan minum dalam tempoh sehari semalam. Namun begitu sebagai kelonggaran, mereka dibenarkan makan dan minum tidak lebih dari sekali dalam jangka waktu tersebut. kemudian cara itu diubah sedikit demi sedikit dari berpuasa sehari semalam dijadikan puasa dari tengah malam sampai tengahari. Begitulah perubahannya terus berlaku...


2. Umat Nasrani di zaman purba juga mengerjakan puasa. Mereka berpuasa sebanyak empat puluh hari dalam setahun mengikut Nabi Isa, tempoh mereka berpuasa ialah sehari semalam. Tetapi akhirnya diubah oleh padri-padri mereka dengan bermacam-macam cara seperti setengah daripada berpuasa dengan tidak memakan daging, ada yang berpuasa dengan tidak memakan ikan, telur dan sebagainya. Selain daripada itu ahli-ahli sejarah juga mengatakan ada terdapat umat Kristian yang berpuasa mengikut musim yang tertentu (satu masa).


3. Bangsa Arab sendiri di zaman Jahilliah di mana pada masa itu mereka menjadi penyembah patung-patung yang tidak bernyawa tetapi mereka juga telah menetapkan hari-hari yang tertentu untuk mereka berpuasa.


Begitulah juga dengan bangsa-bangsa lain yang terbesar di dunia ini seperti bangsa Tionghua dan India yang mana kedua-duanya terkenal sebagai bangsa yang tertua di dunia. Mereka telah mengerjakan amalan berpuasa sebagai satu ibadat untuk berdamping diri dengan Tuhan mereka.



Puasa Dipandang Dari Berbagai Aspek:

1. Politik

Ditinjau dari segi politik, puasa melambangkan satu kesatuan yang besar dari seluruh bangsa yang mendukung agama Islam sebagai agamanya. Dengan ketibaan bulan Ramadhan, umat Islam di seluruh dunia serentak bergerak mengerjakan puasa dalam satu masa yang tertentu (bulan Ramadhan).


Kesatuan yang sebegitu besar dan suci itu sudah tentu tidak mudah diganggu oleh orang lain kerana kesatuan itu lahirnya dari hati nurani yang bersih dan tulus ikhlas semata-mata untuk mengabdikan diri demi menjunjung perintah Tuhan Yang Maha Esa.


2. Demokrasi dan Sosial

Ditinjau dari segi demokrasi dan sosial, puasa merupakan satu latihan yang tidak ternilai ertinya kerana dengan berpuasa secara tidak langsung sedikit sebanyak dapat membuang perasaan berpuak-puak di dalam hidup yang timbul dari perasaan sombong dan ego seperti yang kaya dengan yang miskin, yang kuat dengan yang lemah dan begitulah seterusnya. Dengan diwajibkan berpuasa, semua manusia tanpa kecuali siapakah dia dan apakah pangkatnya, semuanya terpaksa menempuh ujian yang sama iaitu berpuasa.


Kesan sosial dari berpuasa, orang-orang yang mewah dalam kehidupannya dapat merasa dan membayangkan betapa pedih dan azabnya orang-orang yang kurang bernasib baik dalam hidupnya untuk bersama-sama masyarakat bagi mendapat sesuap pagi dan sesuap petang dalam keadaan dunia yang penuh mencabar. Dengan berpuasa timbullah keinsafan dan perasaan timbangrasa, tolong-menolong dan kasih sayang kepada orang-orang yang kesempitan di dalam hidupnya.


3. Dari Sudut Rohani.

Ditinjau dari segi rohani tidak syak lagi puasa itu besar sekali faedahnya. Antara lain ianya dapat memberi ketenangan jiwa kerana puasa yang sebenarnya bermaksud bukan setakat menahan nafsu dari makan minum dan sebagainya malahan untuk membuktikan sejauh manakah taatnya kepada perintah Tuhan. Lantaran itu, orang yang berpuasa jiwanya selalu taat kepada Allah S.W.T. dan dengan kepatuhan menjunjung titah perintahNya jiwa orang-orang yang berpuasa akan mendapat ketenangan dan ketenteraman.


4. Dari Sudut kesihatan.

Ditinjau dari segi kesihatan puasa juga amat berfaedah kepada manusia. Ada kalanya manusia dimestikan berpuasa. Mengikut penyelidikan ahli-ahli perubatan, telah menunjukkan bahawa sebahagian daripada penyakit yang menyerang manusia itu ada pada manusia itu sendiri yang didapati di dalam perutnya. Justeru itu, perut perlu dibersihkan dan direhatkan dengan berpuasa. Di samping itu, doktor perubatan juga berpendapat ada juga penyakit yang menyerang tubuh badan manusia harus diubati dengan berpuasa mengikut jangka waktu yang tertentu.



Bilakah Bermula Puasa Tiap Tahun?

Puasa pada tiap-tiap tahun bagi orang Islam dikira bermula pada satu haribulan Ramadhan. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran, Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, perbezaan di antara yang benar dengan yang salah. Oleh sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan (Ramadhan) maka hendaklah ia berpuasa."
(Surah al-Baqarah ayat 185)


Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:
"Dari Ibni Umar r.a. aku dengar daripada Rasulullah S.A.W. ada berkata, Apabila kamu kelihatan anak bulan (Ramadhan) maka hendaklah kamu berpuasa dan jika kamu kelihatan anak bulan (Syawal) maka hendaklah kamu berbuka (berhari raya) jika tidak kelihatan kerana dilindungi awan hitam hendaklah kamu takdirkan (kirakan)."
(Sahih Bukhari dan Muslim)



Syarat-syarat Wajib Berpuasa:

Tidak semua orang diwajibkan supaya berpuasa kecuali telah sempurna syarat-syaratnya. Syarat-syarat itu sebagi berikut:

1. Hendaklah ia beragama Islam.
2. Berakal.
3. Sampai umur (baligh).
4. Berkuasa mengerjakannya.



Bahagian-bahagian Puasa:

Puasa terbahagi kepada dua bahagian:

1. Puasa Wajib.
Iaitu puasa sebulan di dalam bulan Ramadhan.

2. Puasa Sunat.
Puasa yang sunat ada banyak di antaranya ialah:

1. Puasa enam hari pada bulan Syawal selepas hari raya.
2. Puasa hari Asyura iaitu pada hari kesepuluh bulan Muharram.
3. Puasa hari kesembilan dalam bulan Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji.
4. Puasa pada bulan Rejab dan Sya'aban.
5. Puasa hari Isnin dan Khamis dalam seminggu.



Perkara-perkara Sunat Dilakukan Oleh Orang Yang Berpuasa:

1. Menyegerakan berbuka puasa.

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda:
"Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa."

2. Berbuka dengan buah tamar (kurma) atau dengan makanan yang manis.
3. Membaca doa berbuka sekurang-kurangnya "Ya Allah, bagi Engkaulah jua puasaku dan dengan rezeki Engkaulau aku berbuka."
4. Makan sahur dan melambatkan waktunya.

Diriwayatkan daripada Anas RA katanya: Rasulullah SAW bersabda:
"Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya."

5. Membanyakkan membaca al-Quran.
6. Membanyakkan memberi sedekah kepada fakir miskin.
7. Mengerjakan solat Tarawih.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan: "Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."



Perkara Yang Sayugia Dijauhi Oleh Orang Yang Berpuasa:

Sebagai seorang muslim dimestikan menjauhi diri dengan seberapa mungkin dari melakukan sifat-sifat keji seperti suka berbohong, tidak amanah, sombong, suka mencaci orang dan sebagainya lebih-lebih lagi di dalam bulan puasa yang mulia. Mudah-mudahan puasanya itu tidak menjadi hampa dan kosong sebaliknya mendapat ganjaran yang baik daripada Allah S.W.T.


Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa."


Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)."


Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:
"Berapa banyak orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat balasannya melainkan lapar dan dahaga."



Perkara-perkara Yang Membatalkan Puasa:

1. Makan dan minum dengan sengaja.
2. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga (lubang anggota) dengan sengaja.
3. Muntah dengan sengaja.
4. Melakukan persetubuhan di siang hari.
5. Mengeluarkan mani dengan sengaja.
6. Menjadi gila.



Hari-hari yang Tidak Boleh Berpuasa:

Tidak semua hari yang terkandung di dalam setahun itu boleh dilakukan puasa. malahan ada hari-hari yang tertentu yang diharamkan berpuasa. hari-hari itu ialah:

1. Hari raya Puasa.
2. Hari Raya Haji.
3. Hari Tasyrik iaitu hari yang ke sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah.



Pembahagian Puasa Mengikut Tingkatan (Darjat):

Sesetengah ulama membahagikan puasa itu mengikut tingkatan yang dilakukan oleh manusia kepada beberapa peringkat. Imam al-Ghazali sendiri membahagikan puasa itu kepada tiga bahagian. Bahagian-bahagian itu ialah:

1. Puasa Umum.
2. Puasa Istimewa.
3. Puasa Paling Istimewa.


Puasa Umum:
Ialah dengan menghindarkan perut dari makan, minum dan menahan anggota sex dari memuaskan nafsu.

Puasa Istimewa:
Ialah puasa yang dapat menghindarkan dan mengawasi pancaindera iaitu mata, telinga, lidah, tangan dan kaki dari melakukan sebarang dosa.

Puasa Paling Istimewa:
Iaitu puasa yang ditambah lagi dengan puasa hati dari semua keinginan yang rendah dan fikiran-fikiran keduniaan. Puasa yang semacam ini puasa yang paling tinggi darjatnya dan dikehendaki oleh Allah S.W.T.



Beberapa Kelebihan Bulan Puasa:

Bulan puasa ialah satu bulan ibadat yang ada padanya beberapa kelebihan dan keistimewaan. Antara kelebihan-kelebihan dan keistimewaan itu telah diterang dan dibuat perbandingan oleh Rasulullah S.A.W.


Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:
"Tiap-tiap sesuatu itu ada pintunya. Dan pintu bagi ibadat ialah puasa."


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda:
"Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu."



Peristiwa-peristiwa Penting Yang Berlaku Di Dalam Bulan Puasa:

Telah banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang besar dan penting pada bulan puasa yang seharusnya dijadikan panduan oleh setiap muslim. Di antara peristiwa-peristiwa besar itu:

1. Diturunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk kepada manusia sepanjang zaman. Di dalamnya melengakapi hukum-hakam yang menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Segala isi yang terkandung di dalamnya sesuai untuk diamalkan setiap masa dan tempat, tidak akan berubah dan tidak akan boleh diubah sehingga hari kiamat.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-Quran dan kamilah yang memelihara dan menjaganya."
(Surah al-Hijr ayat 9)


2. Berlaku Malam Lailatul Qadar iaitu satu malam yang sangat beruntung bagi orang yang ingin berbuat ibadat kepada Tuhannya.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan, dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu, malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan, pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."
(Surah al-Qadar ayat 1, 2, 3 dan 4)


Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda:
"Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan."


3. Berlakunya Peperangan Badar iaitu satu peperangan yang besar dan penting di dalam sejarah Islam dan merupakan peperangan pertama dalam Islam.



Peranan Puasa Membentuk Peribadi Muslim:

Puasa dapat menimbulkan beberapa sifat yang terpuji di dalam jiwa seseorang muslim. Menimbulkan perasaan jihad yang bersedia dengan jiwa raga untuk menghadapi sebarang kemungkinan sama ada berbentuk kebendaan ataupun kerohanian.


Di samping itu menimbulkan semangat berani, amanah, insaf dan lain-lainnya. Berani menghadapi lapar dan dahaga beserta sanggup pula menahan diri daripada segala bentuk yang disukai oleh nafsunya yang mana ditegaskan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. memerangi nafsu itu lebih besar daripada menghadapi peperangan bersenjata.


Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:
"Sekarang kita telah kembali daripada peperangan dan akan menghadapi satu peperangan lagi yang lebih besar iaitu peperangan malawan nafsu."


Juga orang yang berpuasa itu dengan sendirinya telah mengajar dirinya amanah dan memikul segala ujian dan perintah Allah S.A.W. yang boleh membawa keinsafan bahawa tiada seorangpun yang lebih darjatnya di sisi Tuhan kecuali orang itu banyak amalan dan taqwanya.


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".
(Surah al-Hujuraat ayat 13)



6 Any comments?:

eMMe said...

slmt berpuasa BR..jgn ponteng tau! no excuse! hahaha...

Iaryylr said...

Selamat Berpuasa Bro!, entri ini memang menarik dan mencuci semula saraf minda, tidak rugi membacanya berulang kali...

De'din said...

thank 4 the info

btw, jom baca entri Melentur buluh biarlah dari rebungnya

sweetie2010.blogspot said...

Salam BR,

Dapat banyak maklumat mengenai puasa disini.tima kasih dan Selamat berpuasa buat BR sekeluarga.

Anak SMP said...

Wah Ilmu yang sangat bermanfaat, komplet lagi.

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa.

Shukri786 said...

Penerangan yang begitu luas sekali tentang ibadah puasa, banyak info dapat dikongsi... jom berkongsi info dengan entri ini pula... Pengertian puasa zahir dan batin
Selamat menunaikan ibadah puasa...

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'