15 October, 2010

Kenaikan Harga Rokok


Rokok Gold Flake Luxury Length

Kenaikan harga rokok baru-baru ini telah disambut gembira oleh mereka yang tidak merokok manakala bagi mereka yang merokok pula, penstrukturan semula harga rokok ini dilihat sebagai satu penghargaan oleh pihak kerajaan untuk mengangkat martabat perokok kepada satu status yang lebih tinggi iaitu menjadi satu kelompok elit di mana hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang layak digelar perokok. He.. he.. (Ini hanyalah pandangan peribadi).


Rokok Gold Flake Luxury Length ini memang cukup popular pada tahun 1980-an di mana pada waktu itu BR sedang mengikuti satu kursus pengajian di Pulau Pinang. Rokok ini akan mengingatkan BR kepada seorang lecturer di Jabatan Sains (Fizik) iaitu Encik Miskin bin Fakir Mohd iaitu ayah kepada bekas ratu gimnas terkenal Dr. Faiznur Miskin dan juga adiknya seorang artis dan pelakon terkenal Jehan Miskin.

Pada waktu itu kedua-dua beradik (tiga beradik sebenarnya) ini masih lagi bersekolah rendah dan setiap pagi pasti akan melalui tempat BR dan rakan-rakan berehat (port) sementara menunggu waktu kuliah bermula.


Untuk pengetahuan, rokok ini berukuran lebih kurang 10 cm panjang berbeza 1.5 cm panjangnya daripada rokok biasa sesuai dengan namanya 'Luxury Length'. Terdapat dua kemungkinan disini sama ada panjangnya ini untuk memberikan lebih kepuasan merokok ataupun untuk lebih mempercepatkan pendeknya jangka hayat si perokok... He.. he..


Rokok ini juga merupakan rokok budget pada waktu itu memandangkan harganya yang lebih rendah jika dibandingkan dengan rokok jenama Benson & Hedges dan Dunhill pada ketika itu. Harga sebenarnya BR dah lupa tetapi kalau tidak silap harganya adalah kurang daripada RM3 bagi sekotak rokok 20 batang ini.


Dikilangkan oleh Malaysian Tobacco Co. Bhd. Kuala Lumpur dan terdapat juga perkataan W.D. & H.O. WILLS yang bererti rokok adalah bersaudara dengan Rokok Tembak yang pernah disiarkan terdahulu.


Amaran Oleh Kerajaan Malaysia: 'Merokok Membahayakan Kesihatan' rupa-rupanya masih belum menyedarkan perokok tentang bahayanya merokok ini.


Untuk makluman, rokok Gold Flake Luxury Length ini telah tiada lagi di pasaran sekarang. Ramai juga rakan-rakan BR yang menghisap rokok ini pada waktu itu kerana harganya yang ekonomi.

Maka teringatlah pula dengan seorang rakan baik iaitu Encik Osman bin Hashim (sekarang menjadi pensyarah di UM) yang lebih dikenali sebagai 'Man 20' kerana kotak rokok 20 batang sentiasa berada di dalam poketnya kerana tabiat merokok yang kuat (Pada waktu itu ada pilihan kotak rokok 7's, 14's dan 20's).


Sedikit kisah mengenai Encik Miskin bin Fakir Mohd:

Seorang yang berbadan besar, tinggi dan kacak tetapi sungguh cool (iras-iras Ramli Sarip) serta suka menyendiri. Beliau merupakan seorang lecturer yang cukup berpengetahuan di dalam bidangnya kerana pernah suatu ketika beliau menjelaskan mengenai satu formula fizik penuh satu papan hitam lengkap dengan sebutan di dalam Bahasa Inggeris yang jelas mengenai setiap formula yang ditulisnya.

Tidak hairanlah jika menurut sumber, beliau adalah anak Melayu yang pertama membuat Master di Jerman dalam bidang fizik. Pengakuan daripada salah seorang bekas anak didiknya ini, beliau memang seorang yang genius!


(gambar sekadar hiasan)

Beberapa contoh formula fizik yang dihuraikannya dengan jelas oleh beliau yang membuatkan kami semua terlopong bercampur baur di antara tidak memahami ataupun sungguh kagum dengan kebolehan beliau...

Selalu juga BR duduk semeja bersamanya di kantin sambil berbual-bual. Banyak nasihat serta falsafah yang diberikan sambil beliau mengisap rokok Gold Flake ini. Maklumlah pada waktu itu BR baru sahaja berusia awal 20-an. Dari situ dapatlah dirumuskan bahawa beliau adalah seorang perokok tegar dan rokok inilah yang menjadi pilihannya.

Telah hampir 20 tahun lebih BR sudah bertemu dengan Encik Miskin bin Fakir Mohd ini, berita terakhir diketahui beliau berada di Sungai Petani, Kedah dan ada juga khabar yang mengatakan beliau telahpun kembali ke Rahmatullah. Kepada sesiapa yang tidak mengenali siapakah Encik Miskin bin Fakir Mohd ini pastinya berbagai cerita dan kisah yang didengari lengkap dengan tokok-tambah yang tidak sepatutnya.

Walaupun berbagai 'cerita' mengenai beliau yang diperkatakan, beliau tetap merupakan seorang guru dan 'rakan' yang paling BR hormati dan segani. Gayanya yang segak sewaktu berjalan sambil menghisap rokok Gold Flake ini akan sentiasa diingati.

Pernah suatu ketika beliau hanya mendengarkan kami lagu 'Patah Hati' sepanjang kuliah, lengkap dengan ulasannya sekali. Ada kekecewaan yang amat mendalam yang cuba dirungkaikan berdasarkan bait-bait lagu Patah Hati ini ataupun mungkin juga ada 'sesuatu' yang ingin dikongsikan bersama kami pada waktu itu... Hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui.


Patah Hati


Patah hatiku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri
Tak tentu haluan

Patah hati ku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri
Tak tentu haluan

Ku harap janjimu
Bahagia selalu
Sayang
Rupanya patah
Rupanya patah di tengah jalan

Hendak diulang... Hendak diulang
Resah menanggung
Sayang
Kenanglah jangan
Kenanglah jangan disebut pun jangan

Hancur hatiku
Di dalam nestapa
Mengenangkan nasib
Mengenang nasib
Diriku malang

Maksud hatiku
Maksud hatiku
Bahagia bersama
Sayang
Apakan daya diriku miskin
Harta tak punya

Ingin ku petik
Bintang yang tinggi
Sayang
Tanganku hangus
Tanganku hangus disambar petir



Untuk pengetahuan, Encik Miskin bin Fakir Mohd ini mengalami masalah mental disorder yang menurut sumber mungkin disebabkan oleh congenital. Ada juga sumber yang mengatakan beliau menjadi begitu disebabkan oleh 'high neuroticism' sewaktu melanjutkan pelajarannya dahulu. Wallahualam.

Walau apapun berita yang sahih mengenai beliau selepas ini, harapan BR semoga beliau sentiasa dilindungi Allah S.W.T. hendaknya. Amin.


4 Any comments?:

nikths said...

selain Gold Flake,lain2 rokok yg dah hilang kelibatnya Virginia Gold,Kingsway,Perillys,YSL,White Horse dan banyak lagi.

zmah said...

Merokok bukan saja merbahaya kepada PEROKOK tapi persekitarannya PEROKOK juga turut terjejas.

zaitun @ kak tun said...

betoi3!...yg dok sebelah tu nanti silap2 mati dulu :(

Anonymous said...

disamping hargaya yg tlh naik,ada mesej jelas yg disampai kan kerajaan bahawa rokok itu bahaya.kpd yg terlajak merokok tu nak buat camna la kan.kalau Boleh tu lagi bagus.namun dek sikit kesedaran dan harganya mahal pasti perokok2 semua tak mau anak2 mereka merokok nanti.tiada siapa yg nak tengok anak2 mereka menjadi perokok nanti! Dek kerana harganya yg mahalah generasi kita akan datang hidup sihat.

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'